You are on page 1of 8

CERPEN SEBAGAI BAHAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU

Oleh: Roslinah binti Raya (Mac 2008)


Universiti Brunei Darussalam

1.0 PENDAHULUAN

Menurut Kamus Komprehensif Bahasa Melayu, sastera merupakan bahasa yang


dicirikan oleh keindahan kata-kata, sama ada melalui lisan atau tulisan. Manakala
kesusasteraan pula ialah hasil seni yang diwujudkan dalam bentuk prosa bebas dan
puisi.

Bahasa dan sastera tidak seharusnya dipisahkan kerana keduanya diibaratkan seperti
irama dan lagu. Jika salah satunya tiada, maka tidaklah bermakna salah satu yang
lain itu. Di dalam karya sastera, pengarang menggunakan bahasa sebagai media
pengantar untuk menyampaikan idea, mesej dan pandangan mengenai dunianya.
Karya sastera yang dihasilkan dapat mengembangkan bahasa seseorang kerana karya
sastera biasanya menggunakan bahasa yang halus indah dan tinggi.

Bahan sastera seharusnya menjadi sebahagian daripada bahan pengajaran dan


pembelajaran di sekolah. Pendedahan awal seharusnya bermula dari murid-murid itu
berada di peringkat rendah bawah lagi. Dalam peringkat sekolah rendah, pengajaran
bahan sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berbeza daripada pengajaran
Kesusasteraan Melayu yang diajarkan secara khusus. Penggunaan bahan sastera di
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu hanya menjadikan bahan sastera itu sebagai
komponen yang dijadikan bahan utama bagi mengukuhkan penguasaan Bahasa
Melayu murid-murid.

Di Negara Brunei Darussalam, sesetengah guru sekolah rendah masih kurang mahir
menggunakan bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu. Guru-guru juga
didapati kurang inisiatif dalam menggunakan bahan sastera dalam pengajaran,
bahkan ada yang beranggapan bahawa bahan sastera tidak sesuai diajarkan di
sekolah rendah. Perkara ini terjadi mungkin juga kerana guru tersebut kurang
berminat dalam karya-karya sastera.

Kertas kerja ini akan membincangkan beberapa perkara yang berkaitan penggunaan
bahan sastera dalam pengajaran seperti objektif, prinsip pemilihan serta kelebihan
menggunakan bahan sastera, jenis-jenis bahan sastera dan cerpen sebagai bahan
pengajaran Bahasa Melayu. Dengan adanya kertas kerja ini, diharap akan dapat
memberikan sedikit sebanyak panduan kepada guru-guru serta bakal guru.

2.0 SASTERA SEBAGAI BAHAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU

Menurut Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001: 31), melalui pembacaan
karya sastera sebagai bahan pengajaran, murid-murid akan dapat menikmati serta
menghayati kesusasteraan Melayu yang disampaikan dalam struktur bahasa yang
indah. Bahan sastera biasanya digunakan untuk mengajar kefahaman,

1
perbendaharaan kata, tatabahasa, lisan dan sebagainya. Kaedah dan teknik yang
digunakan terpulang kepada guru, untuk menjadikan suasana pengajaran dan
pembelajaran menarik minat murid-muridnya. Fokus pengajaran guru menggunakan
bahan sastera ini ialah kepada objektif khusus bagi meningkatkan kemahiran
berbahasa seperti membaca, lisan, menulis serta mempelajari peribahasa dan
tatabahasa.

Berikut diterangkan objektif penggunaan, prinsip pemilihan dan kelebihan


menggunakan bahan sastera.

2.1 Objektif Penggunaan Bahan Sastera Dalam Pengajaran Bahasa


Melayu

Menurut Rozaiman (2007: 10), walaupun bahan sastera (BAHTERA) digunakan


sebagai bahan pengajaran, namun dari segi penggabungjalinan, objektif dan tujuan
mengajarkan kesusasteraan Melayu itu boleh dijadikan dasar pengajaran dan
pembelajaran BAHTERA. Objektif-objektif khusus Sukatan Pelajaran Kesusasteraan
Melayu tersebut adalah seperti berikut:

1. memberi kefahaman tentang nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan


kebudayaan yang terdapat dalam karya sastera;
2. menerapkan nilai-nilai moral yang dicerminkan melalui karya sastera;
3. menganalisis bentuk dan memberi kefahaman isi kesusasteraan serta
mengahargai nilai keindahan bahasa dalam kesusasteraan;
4. mengekalkan, menyuburkan dan memperkembangkan minat terhadap
kesusasteraan; dan
5. membuat penilaian terhadap mutu sesuatu karya sastera yang sepadan dengan
kemampuan pelajar.

Manakala objektif yang digariskan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (2006:3)
bagi sekolah-sekolah rendah juga mementingkan penggunaan bahan sastera dalam
pengajaran Bahasa Melayu. Objektif ke empat itu antara lain menyatakan:

‘membaca, memahami dan menghayati pelbagai bahan termasuk bahan-bahan


kesusasteraan dan ilmiah’.

Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001:32), pula menggariskan beberapa
objektif tentang penggunaan bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu seperti
berikut:

1. Menggalakkan seseorang itu membaca kerana minatnya didorong oleh


kebolehannya membaca, memahami dan berfikiran kritis terhadap yang
dibaca. Oleh itu semakin banyak pembacaan semakin meningkat kebolehan
menggunakan bahasa.

2
2. Memahami setiap hal dalam tatabahasa secara tidak langsung. Begitu juga
dalam penggunaan bahasa daerah, ungkapan, istilah dan struktur ayat yang
kesemuanya terjadi mengikut keadaan yang benar dalam karya sastera.
3. Membolehkan seseorang memberikan penafsiran atau interpretasi kepada
sesuatu kenyataan yang ditemui dalam pembacaannya.
4. Menghayati keindahan bahasa dan mendorong melahirkan penggunaan
bahasa yang baik serta menarik kepada perkembangan kebudayaan yang
bernilai.
5. Karya sastera kebanyakannya mencerminkan dan merakamkan peristiwa
perlakuan manusia, dapat mengenali sistem sosial dan sosiobudaya sekitar
mereka.
6. Minat pelajar dapat dipupuk melalui pendedahan bahan-bahan sastera. Secara
tidak langsung akan menanam atau menimbukan bakat yang terpendam
dalam penulisan.
7. Untuk menyemai pemikiran positif dan kreatif serta optimis dalam
menggalakkan hasrat dan proses pendidikan seumur hidup.
8. Untuk mendidik para pelajar mengamalkan keperibadian yang seimbang
peranannya sebagai ahli sebuah komuniti.

2.2 Kelebihan Menggunakan Bahan Sastera

Penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa dapat meningkatkan keupayaan


pelajar dalam menggunakan bahasa yang meluas dan tinggi kerana karya-karya
sastera mengandungi bahasa-bahasa yang indah, tinggi dan perbendaharan kata yang
banyak.

Selanjutnya Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001) menyatakan bahawa
penggunaan bahan sastera mempunyai banyak kelebihan seperti memberikan
keseronokan kepada pelajar kerana karya sastera itu mengandungi pelbagai
keindahan serta huaraian tentang hal-hal yang aneh dan ajaib yang diselaraskan
mengikut peringkat umur pelajar.

Terdapat pelbagai jenis karya sastera yang mengikut kesesuaian peringkat umur
pelajar. Oleh itu, terpulanglah kepada guru untuk memilih, menilai dan
menyesuaikan bahan sastera tersebut dengan pengajarannya.

Menurut Ismail Ahmad (dalam Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud, 2001),
penggunaan bahan sastera dalam pendidikan Bahasa Melayu akan membuka ruang
kepada pelajar untuk melihat dunia yang lebih luas yang bermula dari pengalaman
sendiri untuk meneroka pengalaman luar hidupnya melalui hubungan masyarakat
dan budayanya.

Manakala menurut Subadrah Nair (dalam Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud,
2001), pula, penggunaan bahan-bahan sastera dalam pengajaran bacaan dan
kefahaman secara langsung dapat memupuk semangat membaca di jiwa pelajar.
Sebagai contoh penggunaan cerpen atau cerita rakyat akan dapat membantu pelajar

3
mengenali watak-watak, memahamkan isi cerita dan meningkatkan perbendaharaan
kata serta memupuk minat pelajar dalam bidang pembacaan.

Penggunaan bahan sastera seperti pantun, sajak, cerpen atau cerita rakyat juga akan
membantu pelajar bukan Melayu mengenali kebudayaan orang-orang Melayu.

Sebagai kesimpulan, terdapat banyak kelebihan yang dapat diambil manfaat dalam
penggunaan bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu. Guru-guru hendaklah
mengambil inisiatif dalam memilih bahan-bahan yang sesuai bagi menjadikan
suasana pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menyeronokkan bagi semua
pelajar. Pemilihan bahan yang baik serta bersesuian akan menjadikan pelajar faham
dan minat terhadap isi kandungan yang disampaikan oleh guru.

2.3 Prinsip Pemilihan Bahan Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Guru bahasa perlu bijak dalam memilih bahan sastera untuk digunkan dalam
pengajaran Bahasa Melayu. Guru perlu mengambil kira tentang objektif pengajaran,
pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan serta latar belakang pelajar yang
akan diajar. Guru boleh saja memilih bahan daripada buku teks, tetapi tidak
seharusnya bersandarkan kepada buku teks semata-mata. Guru perlu berusaha
mencari atau memilih dari sumber-sumber lain yang bersesuaian seperti buku cerita
rakyat, koleksi-koleksi sajak, pantun, cerpen dan sebagainya. Seterusnya akan
disenaraikan beberapa prinsip pemilihan bahan sastera yang dianjurkan oleh ahli-ahli
bahasa. Antaranya,

Menurut Asmah Hj Omar (1984), terdapat tiga aspek dalam pemilihan bahan berupa
petikan seperti berikut:
i. Pandangan guru Bahasa Melayu. ‘Apakah tujuan ia memilih sesuatu
petikan itu?’
ii. Kemampuan pelajar yang bergantung kepada umur, tingkat kesedaran,
pengalaman, pencapaian bahasa, jantina dan sebagainya.
iii. Linguistik dan pedagogi. ‘Adakah teks yang dipilih sesuai dengan laras
bahasa yang akan diajarkan?’

Selain itu, guru juga perlu menitikberatkan aspek lain seperti gaya bahasa yang baik,
mempunyai unsur-unsur moral, nilai-nilai murni yang boleh diterapkan kepada
pelajar, teknik penceritaan yang baik dan sebagainya. Pergerakan proses
pembelajaran iaitu, daripada yang mudah kepada yang sukar dan daripada perkara
yang diketahui kepada yang tidak diketahui juga menjadi sukat-sukat bagi prinsip
pemilihan bahan sastera dalam pengajaran bahasa.

Manakala menurut B.Rahmanto (dalam EL Moody, dalam Abdul Rasid Jamian dan
Arba’ie Sujud, 2001) selain prinsip-prinsip yang dikemukan, aspek psikologi juga
perlu diambil kira kerana ia berkait rapat dengan dengan minat dan sikap pelajar
dalam kesusasteraan. Peringkat tahap perkembangan psikologi kanak-kanak
terbahagi kepada empat peringkat iaitu tahap khayal (umur 8-9 tahun), tahap

4
romantik (umur 10-12 tahun), tahap realistik (umur 13-16 tahun) dan tahap
generalisasi (umur 16 tahun).

Pemilihan bahan yang bersandarkan kepada tahap psikologi pelajar akan


memudahkan pelajar memahami isi karya sastera yang guru sampaikan. Sebaliknya,
jika guru menggunakan bahan seperti yang di luar dari latar belakang dan budaya
pelajar, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi kurang berkesan atau
tidak berkesan sama sekali.
Dalam pada itu EL Moody seterusnya menyatakan, terdapat empat prinsip penting
dalam pemilihan bahan iaitu:
i. Bahan-bahan hendaklah disusun daripada yang senang kepada
yang sukar.
ii. Bermula daripada konkrit kepada yang abstrak.
iii. Adanya urutan kronologi.
iv. Disusun berdasarkan kepada strategi yang telah dirancangkan.

Daripada saranan mengenai prinsip pemilihan bahan sastera yang dianjurkan oleh
ahli-ahli bahasa dan sastera, dapat dirumuskan bahawa prinsip-prinsip pemilihan
bahan tersebut haruslah dilakukan dengan teliti serta mempertimbangkan perkara
seperti latar belakang pelajar, bahan yang digunakan, objektif pengajaran dan
sebagainya. Pemilihan bahan yang kurang teliti akan menjadikan pengajaran dan
pembelajaran tidak akan membuahkan hasil yang membanggakan dan tidak
berkesan.

3.0 JENIS-JENIS BAHAN SASTERA TEMPATAN

Di Negara Brunei Darussalam terdapat banyak jenis bahan sastera sebagai khazanah
yang tidak ternilai harganya. Guru-guru boleh menggunakan bahan-bahan sastera
tempatan bagi memperkenalkannya kepada pelajar-pelajar. Berikut disenaraikan
beberapa jenis sastera tempatan yang dijelaskan oleh Rozaiman (2007:17-21)

i. Pantun
Buku seperti Lanang Berladu Lanang merupakan kumpulan pantun bangsa
Melayu Brunei yang diungkayahkan oleh Prof. Madya Dr. Hj Hashim. Terdapat
pelbagai jenis pantun yang mengandungi persoalan dan pengajaran terutama
untuk mengajarkan kemahiran berfikir analogi melalui pembayang maksud yang
mengandungi banyak perlambangan.

ii. Syair
Dewan Bahasa Dan Pustaka telah banyak menerbitkan banyak buku syair,
antaranya Adun Nan Alun Sebahtera, Rampaian Laila Syair, Syair Perlembagaan
Negeri Brunei, Syair Asli Rajang Hari, Syair Nasihat dan sebagainya. Masih
ramai pelajar tidak mengetahui tentang kewujudan syair-syair ini melainkan
guru-guru mengenalkannya kepada mereka melalui bahan pengajaran di bilik
darjah.

5
iii. Perambahan
Perambahan merupakan versi Brunei yang sama istilahnya dengan peribahasa.
Namun ia mempamerkan kehidupan masyarakat Brunei. Guru-guru boleh
mendaptakan buku mengenainya yang bertajuk Perambahan Brunei dan
menjadikannya sebagai bahan pengajaran terutama bagi mengajarkan maksud
perbandingan dan kosa kata Melayu Brunei.

iv. Diangdangan / Hikayat


Diangdangan merupakan hikayat penglipur lara. Antara contoh diangdangan
ialah, Hikayat Awang Kamaruddin, Diangdangan Bujang Sigandam, Awang Si
Linong, Hikayat Awang Si Ambok, Hikayat Awang Si Ambok dan banyak lagi
diangdangan lainnya yang dapat dijadikan sebagai bahan pengajaran Bahasa
Melayu.

v. Cerpen
Cerpen merupakan salah satu bahan kesusasteraan Melayu (Brunei) Moden.
Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei juga telah banyak menerbitkan cerpen yang
juga boleh digunakan dalam pengajaran bahasa. Antara cerpen yang pernah
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah, Apabila Sungai Mengalir,
Basikal Idaman, Bumi Warisan, Di Hujung Pertemuan dan sebagainya.

Selain daripada senarai-senarai di atas, terdapat juga bahan saster tempatan lain
seperti, cerita rakyat, sastera sejarah atau historiografi, sastera epik, sajak atau
puisi, novel dan drama. Sekali lagi dinyatakan di sini, terpulanglah kepada guru
untuk menyesuaikannya dengan isi pengajaran yang ingin disampaikan kepada
pelajar.

4.0 CERPEN SEBAGAI BAHAN PENGAJARAN DALAM BAHASA


MELAYU

4.1 Cerpen Bertajuk ‘Satu Ringgit’ Sebagai Bahan Pengajaran Imbuhan


{meN..} Bagi Darjah 6.

Sinopsis:
Kisah seorang wanita yang mengenang kisah silamnya semasa berpuasa di bulan
Ramadan. Dia dilatih berpuasa oleh kedua ibu bapanya secara berperingkat-
peringkat iaitu, bermula dari setengah hari dan jika sudah berupaya, dia dilatih
berpuasa sehari suntuk. Bapa saudaranya pula mendorongnya berpuasa dengan cara
memberikan upah satu ringgit setiap hari dia berpuasa. Di samping bercerita tentang
kisah satu ringgit, dia juga mengenang tentang suasana bulan Ramadan di zaman
kanak-kanaknya dan dibandingkannya dengan suasana berpuasa pada masa kini.
(Sila rujuk lampiran)

Kisah yang terkandung di dalam cerpen ini boleh digunakan bagi mendidik pelajar
terutamanya pelajar di sekolah rendah, tentang nilai-nilai murni iaitu seperti, tidak
mengerjakan ibadah terutamanya puasa kerana untuk mendapatkan wang.

6
Selain itu, banyak aspek tatabahasa dan kemahiran asas Bahasa Melayu yang dapat
diajarkan menggunakan cerpen yang dipilih. Sebagai contoh aspek tatabahasa
tersebut ialah seperti, imbuhan, cakap ajuk dan cakap pindah, kata nama dan
sebagainya. Manakala aspek kemahiran asas Bahasa Melayu juga boleh diajarkan
seperti aspek kemahiran menulis, mendengar, bertutur dan membaca.

Berikut akan di huraikan tentang aspek tatabahasa dan kemahiran asas Bahasa
Melayu yang penulis fikirkan sesuai dalam pengajaran Bahasa Melayu menggunakan
cerpen Satu Ringgit ini.

4.2 Aspek Tatabahasa Dan Kemahiran Asas Bahasa Melayu

Berdasarkan bahan cerpen Satu Ringgit ini, aspek tatabahasa yang difikirkan sesuai
ialah, imbuhan me{N}. Pengajaran ini ditujukan untuk murid-murid darjah 6 sekolah
rendah. Manakala aspek kemahiran asas yang diberi penekanan termasuklah
kemahiran lisan, membaca dan menulis.

a. Kemahiran lisan
Kemahiran lisan ialah gabungan di antara kemahiran mendengar dan kemahiran
bertutur. Kemahiran ini dapat dipupuk melalui aktiviti bercerita setelah guru
membacakan cerpen tersebut. Murid-murid juga menyenaraikan imbuhan me{N}
yang terdapat di dalam cerpen tersebut. Selain itu guru juga boleh menyuruh
murid menyenaraikan kata dasar daripada perkataan berimbuhan yang telah
dinyatakan sebelumnya.

b. Kemahiran membaca
Murid membaca petikan cerpen yang diberikan oleh guru. Namun ada baiknya
jika penggabungjalinan bahan dibuat oleh guru iaitu dengan menggunakan
tayangan slaid mengenai cerpen tersebut, supaya murid dapat membaca dengan
jelas dan guru dapat menjimatkan masa serta wang dalam menyediakan banyak
bahan bercetak. Penggabungjalinan ini juga bertujuan untuk menjadikan guru
supaya lebih berkreativiti dan sekali gus akan dapat meningkatkan minat dan
memotivasi murid supaya mengikuti pengajaran guru dengan lebih berkesan.

c. Kemahiran menulis
Kemahiran menulis boleh dipupuk melalui aktiviti membina ayat baharu
berpandukan perkataan berimbuhan yang disenaraikan semasa aktiviti lisan.
Guru juga boleh mengarahkan murid untuk menulis sinopsis cerpen yang mereka
baca. Selain itu banyak lagi aktiviti yang dapat dijalankan seperti menuliskan
nilai-nilai murni yang terdapat daripada cerpen tersebut, menuliskan sebuah
karangan berpandukan perkataan imbuhan yang disenaraikan sebelumnya dan
menyenaraikan isi-isi penting yang terdapat di dalam cerpen tersebut.

Melalui aktiviti yang telah disenaraikan di atas, adalah diharapkan murid-murid


akan dapat mengembangkan dan meningkatkan pemikiran intelek mereka dengan
bantuan guru yang juga seharusnya mempunyai kreativiti yang tinggi. Guru perlu

7
menggunakan pendekatan, kaedah, teknik dan strategi yang bersesuaian bagi
mencapai objektif pengajaran dengan berkesan.

5.0 KESIMPULAN

Kunci kejayaan pengajaran Bahasa Melayu bukan hanya terletak pada kecanggihan
kurikulum atau kelengkapan kemudahan di sekolah. Namun ia terletak kepada
kredibiliti guru dalam mengatur dan memanfaatkan bahan pengajaran di bilik darjah.
Begitu halnya dalam penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa
memerlukan kekreatifan guru dalam mengolah bahan-bahan tersebut mengikut
kesesuaian dan keperluan murid-murid di bilik darjah.

Selain tujuan kita ingin memupuk minat murid terhadap karya-karya sastera
terutamanya karya sastera tempatan, guru perlu juga memotivasi dirinya sendiri agar
lebih kerap menggunakan dan mengenal karya-karya sastera yang pelbagai ini. Guru
perlu rajin dalam mencari sumber lain selain daripada hanya bergantung kepada
penggunaan buku teks sahaja.

Akhirnya, untuk memupuk minat murid terhadap karya sastera aktiviti berterusan
juga perlu diusahakan bukan sahaja di bilik darjah, malahan aktiviti susulan di luar
darjah seperti, pihak sekolah mengadakan pertandingan mendeklamasikan sajak,
berbalas pantun, berpidato dan peraduan berbahas. Dengan yang demikian khazanah
kesusasteraan kita akan sentiasa disanjung dan menjadi kebanggaan oleh generasi
masa kini.

Rujukan:

Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001). Integrasi Media; Pengajaran Bahasa
dan Sastera. Subang Jaya. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Asmah Hj Omar. (1984). Kaedah Pengajaran Bahasa. Kuala Lumpur. Dewan


Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Arbak Othman (2005). Kamus Komprehensif Bahasa Melayu.
Shah Alam. Fajar Bakti Sdn Bhd.

Rozaiman Makmun. (2007). BAHTERA: Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa.


Bandar Seri Begawan. Universiti Brunei Darussalam.

Sidang Penyusun. (2006). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah


Negara Brunei Darussalam. Bandar Seri Begawan. Kementerian Pendidikan

You might also like