You are on page 1of 20

Generasi Muda/Remaja..

Artikel yang diterbitkan di Laman Web Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Generasi Muda : Harapan dan Cabaran


Abu Bakar Bin Yang
Fellow

04/09/2009 | Artikel Bahasa Malaysia

Di saat kita mengharungi pergelutan zaman yang semakin pantas berubah dan juga
semakin menjurus ke arah kehidupan kebendaan yang begitu dahsyat, kita tidak
seharusnya lalai dalam memberikan asuhan dan bimbingan yang sewajarnya kepada
generasi muda masa kini. Menyedia dan mencorakkan daya fikir serta mengasuh mereka
dengan kefahaman Islam yang sebenar adalah satu keperluan yang mesti dilakukan kerana
ianya ternyata dapat memberikan kesan mendalam kepada golongan ini. Hal ini
berdasarkan kepada keupayaan golongan muda untuk mencerap dengan mudah apa sahaja
bentuk pendidikan yang diberikan sama ada yang baik ataupun yang sebaliknya.

Oleh itu bentuk pendidikan yang bakal dimasukkan ke dalam minda golongan ini perlulah
sesuatu yang berupaya untuk membentuk pemikiran mereka yang sihat dan pada masa
yang sama berupaya pula menyediakan mereka sebagai pelapis yang akan mewarisi bumi
Malaysia ini. Usaha ini juga pastinya menjadi matlamat untuk mewujudkan satu generasi
yang cintakan ilmu yang seterusnya melahirkan golongan pemikir dan juga pewaris
kepimpinan yang berkualiti. Cita-cita yang sebegini pastinya suatu yang sukar untuk dicapai
terutamanya dalam suasana kehidupan masa kini yang begitu mencabar, namun ianya
bukanlah suatu yang mustahil.

Sebenarnya hasrat untuk memiliki dan melahirkan generasi yang hebat bukanlah perkara
baru, malah ianya juga pernah disuarakan oleh Sayyidina Umar al Khattab suatu ketika
dahulu. Pernah suatu ketika bersama-sama dengan para sahabat yang lain Umar bertanya
kepada para sahabatnya apakah yang diinginkan oleh mereka. Lalu antara mereka ada
yang bercita-cita untuk memiliki sejumlah harta yang banyak, dan dengan harta itu dapat
mereka sedekah dan belanjakan pada jalan Allah. Namun keinginan Umar jauh berbeza
daripada para sahabatnya, apabila beliau mengatakan "Aku inginkan sekumpulan manusia
yang hebat seperti Abu Ubaydah al Jarrah, Muaz ibn. Jabal dan Salim Maula Abi Hudhaifah
untuk membantu aku mendaulatkan agama Allah."

Ternyata apa yang diungkapkan oleh Umar ini merupakan satu pengertian yang besar
tentang peri pentingnya membina satu generasi yang berkualiti untuk memikul dan
melaksanakan impian dan cita-cita umat Islam. Lembaran sejarah juga telah
memperlihatkan kepada kita bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. sendiri dalam rangka
usahanya menjayakan risalah Islam telah melaksanakan program pembinaan satu
kelompok manusia yang menjadi teras utama sebagai benteng dan tulang belakang
pembentukan umat yang baru. Kelompok manusia inilah yang dinamakan oleh Syed Qutb
sebagai ‘generasi al Quran yang unik', iaitu kelompok teras yang berkualiti dan yang telah
menjayakan segala bentuk perancangan yang dibuat oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Golongan teras yang berkualiti ini telah melalui pendidikan dan penghayatan nilai-nilai
dinamik al Quran yang ditampil dan diterjemahkan dalam setiap aspek kehidupan
Rasullullah s.a.w. sebagai pendidik serta pembimbing kepada generasi al Quran yang unik
ini. Sebagai pemimpin dan juga pendidik kepada pengikutnya, Rasulullah s.a.w. berupaya
mengenali setiap potensi yang ada pada setiap diri pengikutnya, dan potensi ini digilap dan
diasuh secukupnya oleh Baginda sehingga dari generasi inilah lahirnya peribadi-peribadi
agung yang masih sesuai untuk diteladani hingga ke hari ini.

Di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. semua orang mendapat peluang untuk menampil dan
mengembangkan potensi masing-masing, termasuk mereka yang pernah memusuhi
Baginda sebelum memeluk Islam seperti Khalid al Walid dan Umar al Khattab sendiri. Tidak
ada di kalangan umat Islam yang dianaktirikan atau amalan diskriminasi dipraktikkan,
malah setiap pengikut Rasulullah s.a.w. dianggap sebagai aset yang sangat bernilai.

Suasana kepimpinan Rasulullah s.a.w. juga memperlihatkan kepentingan amalan budaya


kualiti yang menyeluruh dan meluas di dalam masyarakat Islam ketika itu kerana kualiti
tidak mengenal rupa paras, warna kulit, bangsa, umur atau keturunan. Dalam suasana
demikianlah lahirnya pemuda Usamah bin Zayd yang diberi kesempatan untuk memimpin
ketumbukan tentera Islam ketika usianya masih belasan tahun. Di bawah kepimpinan
baginda jugalah buah pemikiran Salman al Farisi diberi ruang ketika keputusan diambil
untuk membina benteng di sekeliling Kota Madinah ketika Perang Khandak, sedangkan
Salman bukanlah anak watan tanah Arab melainkan beliau merupakan anak kelahiran bumi
Parsi. Begitu juga kehebatan kualiti iman yang dipamerkan oleh Bilal ibn. Rabah, seorang
manusia berkulit hitam yang asalnya seorang hamba abdi, tetapi diangkat darjatnya
sebagai sahabat kanan baginda Rasulullah s.a.w. yang dijamin syurga kerana kualiti
keimanan yang dimilikinya.

Begitulah juga hasrat dan cita-cita kita hari ini untuk melihat lahirnya golongan muda Islam
yang berkualiti tampil ke hadapan dan memimpin masyarakat masa kini. Di Malaysia,
jumlah penduduk yang boleh dikategorikan sebagai golongan muda membentuk lebih 40
peratus daripada penduduk negara. Ini merupakan satu jumlah yang besar. Sekiranya
separuh daripada jumlah ini dapat berperanan sebagai golongan yang berkualiti, itu sudah
memadai untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang cukup kuat di persada antarabangsa.
Namun dengan jumlah yang ramai tetapi tanpa kualiti yang diharapkan tidak akan
membawa kita ke mana-mana. Bahkan kita telah diingatkan oleh Allah SWT bahawa yang
baik dan berkualiti itu tidak sama dengan yang buruk walaupun yang buruk itu kelihatan
banyak, sebagaimana firmanNya dalam surah al Maidah, ayat 100, "Katakanlah: Tidak
sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik
hatimu..."

Justeru, pembinaan golongan muda yang berkualiti yang akan mewarisi tanah air ini
sewajarnya diberi perhatian utama dalam agenda pembangunan negara. Pembangunan
modal insan sepertimana yang diwar-warkan kebelakangan ini oleh pemerintah mestilah
diberikan perhatian yang serius dan kesungguhan yang tinggi. Tanpa kesungguhan yang
jitu maka tidak mungkin keinginan kita untuk melihat golongan pewaris yang kuat dan
berkemampuan lahir untuk menghadapi cabaran hari depan. Kejayaan membina masa
depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang lebih banyak bergantung kepada keupayaan
generasi masa kini membina kualiti generasi pewaris tersebut.

Perit getir kehidupan masa kini telah memperlihatkan kepada kita bahawa masyarakat akan
datang lebih merupakan masyarakat yang penuh dengan persaingan. Bahkan sekarang ini
pun kita sudah merasakan bahang persaingan yang cukup hebat dan betapa cemasnya kita
menyaksikan generasi anak-anak kita berhempas pulas menghadapi persaingan di pelbagai
bidang. Keadaan ini memperlihatkan sekali lagi kepada kita bahawa hanya mereka yang
berkualiti sahaja yang mampu mengungguli persaingan ini.

Maka dengan itu, strategi dan program pembinaan generasi pewaris ini perlulah diberi
perhatian dengan lebih gigih lagi terutamanya melengkapkan mereka dengan ilmu-ilmu
yang betul dan sesuai dengan perkembangan zaman. Kewujudan generasi ilmuan yang
berkualiti dengan kekuatan daya saing yang tinggi sudah pasti akan menghasilkan kesan
yang baik dalam pembentukan generasi pewaris. Iaitu generasi pewaris keilmuan yang
terlatih dan terdedah kepada unsur-unsur pembinaan diri yang terarah dan turut
menghayati serta memiliki jiwa Islam yang kental.

Justeru, pembinaan generasi pewaris yang berkualiti yang kita idamkan sangat bergantung
kepada arah tuju, semangat dan kegigihan yang kita lakukan sekarang. Mana mungkin kita
dapat melahirkan generasi pewaris yang kuat dan berkualiti sekiranya kita sendiri
mengabaikan tanggungjawab untuk membina generasi yang cerdas mindanya, murni
jiwanya dan lebih-lebih lagi yang beriman dan beramal serta berilmu dan berakhlak mulia.
http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1885&cmd=resetall

Belia Hari Ini Cermin Masa Depan Negara


Nor Hartini Bt. Saari
Pegawai Penyelidik

30/05/2008 | Artikel Bahasa Malaysia

"Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya
pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang
berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah
negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk
berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku." Itulah kata kata yang lahir
daripada Profesor Doktor Yusuf Al-Qardhawi.

Kita boleh katakan bahawa apa yang dimaksudkan oleh beliau ini sebagai generasi muda
yang merujuk kepada golongan belia kerana merekalah yang bakal mewarnai corak
peradaban bangsa pada masa hadapan.

Nilai kepentingan belia kepada pembangunan negara dapat juga diperhatikan melalui
cogankata-cogankata yang sering dikaitkan dengan golongan mereka seperti ‘Belia Tonggak
Negara', ‘Belia Harapan Bangsa', ‘Belia Cemerlang dan Negara Gemilang', ‘Belia Hari Ini
Pemimpin Hari Esok' dan sebagainya.

Mengikut Dasar Pembangunan Belia dan Akta Pertubuhan Belia serta Pembangunan Belia
Malaysia, belia ditakrifkan dalam akta ini sebagai seseorang yang berumur tidak kurang
lima belas tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun. Sehingga tahun 2005 jumlah belia
dianggarkan 11.1 juta atau 42.5% daripada keseluruhan penduduk negara. Memandangkan
jumlah golongan belia yang agak besar, maka sumbangan dan tanggungjawab belia juga
dilihat begitu besar.

Sesungguhnya, tanggungjawab besar belia pada hari ini adalah untuk menjana
pembangunan bangsa, negara dan agama. Pada usia muda ini jugalah dianggap sebagai
tempoh waktu yang penting bagi tujuan pembentukan generasi pelapis kerana pada usia ini
berlakunya pertumbuhan jasmani, pemikiran, akhlak serta bakat seseorang itu berada pada
tahap yang sangat sesuai untuk menyerap sebarang pendekatan, pemikiran serta ilmu
pengetahuan.

Maka tidak hairanlah, ada yang mengatakan pada peringkat ini, golongan belia berada
dalam tahap paling baik untuk melakukan perancangan dan tindakan yang boleh membantu
kemajuan dirinya dan juga ummah.

Namun begitu, apa yang dapat kita lihat dalam suasana semasa, dalam arus kemodenan
dan kemajuan ini, golongan belia menghadapi cabaran sangat hebat. Golongan ini bukan
sahaja terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sihat seperti budaya Hedonisme iaitu
yang suka berfoya-foya, dan berhibur dengan keterlaluan dan melalaikan, bahkan mereka
seringkali dikaitkan dengan kegiatan penagihan dadah, rempit dan jenayah, ragut, lumba
haram dan sebagainya.

Perangkaan yang ditunjukkan sejak tahun 2001 sehingga Mei 2006 mencatatkan 3,182
penunggang motosikal ditahan dan 2,970 daripada mereka yang berusia 16 tahun. Ini tidak
termasuk mereka yang meninggal dunia akibat lumba haram. (Berita Harian, 8 September
2006). Berdasarkan kepada maklumat yang dikeluarkan oleh Persatuan Mecegah Dadah
Malaysia (Pemadam) pada tahun 2005 sahaja, bilangan penagih dadah di kalangan
golongan belia yang berusia antara 16-39 tahun berjumlah 23, 699 orang atau 72.23%.

Mungkin pada hari ini jumlah ini sudah bertambah. Apakah punca permasalahn ini terus
berlaku? Menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al Attas, permasalahan golongan ini
antaranya berpunca daripada kekeliruan mereka terhadap faham ilmu dan kehilangan adab
dalam masyarakat. Persoalannya sekarang, bagaimana untuk mempersiapkan belia ini bagi
persediaan untuk memartabatkan dan memperkasakan agama masa akan datang?

Jika dimbas semasa zaman kegemilangan tamadun Islam, antara tokoh belia yang perlu
dicontohi ialah Usama Bin Zaid yang ketika itu berusia 18 tahun telah menjadi panglima
perang untuk menentang kerajaan Rom di Syam. Begitu juga semasa perkembangan Islam
di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Ibni Abi
Talib, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi para sahabat nabi
yang ketika itu menjadi pelopor kepada kebangkitan dan menjadi penggerak dan sentiasa
berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah s.a.w. Kebanyakan mereka pada
ketika itu, berusia kurang daripada 40 tahun.

Melihat kepada suasana semasa, bagaimana sejarah lampau ini dapat diulangi semula, jika
sebahagaian besar golongan belia tidak mempunyai kesedaran untuk memajukan diri dan
ummah? Sehubungan itu, dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa
hadapan negara, maka golongan belia ini perlu meletakkan diri mereka sebagai penggerak
dan pembina tamadun yang unggul, yang dihormati oleh masyarakat dunia.

Justeru itu, mereka perlu memikirkan masa depan agar dapat menghasilkan kesedaran. Bak
kata pepatah "Menyesal dahulu pendapatan ,menyesal kemudian tidak berguna." Nama baik
dan keperibadian yang tinggi perlu dijaga untuk jaminan masa depan. Oleh itu, golongan
belia hari ini perlu menunaikan tanggungjawab dan kewajipan yang boleh menjamin masa
depan cemerlang.

Sebenarnya pada usia muda ini adalah waktu yang paling baik untuk menimba ilmu
pengetahuan serta kemahiran dan apabila seseorang itu telah mencapai usia 40 tahun, dia
dikatakan telah mencapai tahap kematangan. Apabila kematangan itu dicapai maka
seseorang itu bolehlah memikul atau menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan
baik. Nabi Muhammad SAW sendiri telah dilantik menjadi rasul ketika baginda berusia 40
tahun.

Seperkara lagi golongan belia juga perlu menekankan kepada akhlak. Akhlak yang baik
harus diiringi bersama-sama pegangan agama yang tidak longgar. Akhlak Rasulullah s.a.w
perlu dijadikan contoh yang terbaik terutama di kalangan belia. Akhlak baginda Rasulullah
s.a.w adalah seumpama al Quran.

Andai akhlak baginda menjadi ikutan, kita dapat melahirkan pemimpin pada hari esok yang
berakhlak mulia, berilmu dan mengamalkan amalan kerohanian yang mantap dalam semua
hal terutama menguruskan pentadbiran negara.

Walau apapun suasana semasa, kita masih tidak terlambat untuk membangunkan golongan
belia hari ini. Usaha memperkasakan ilmu, selain kesedaran golongan belia hari ini terhadap
gaya hidup Muslim yang mengamalkan ajaran islami, mampu mengangkat martabat
golongan belia.

Dalam pada itu, golongan belia perlu bersedia dalam memajukan diri dan seterusnya dapat
memberikan sumbangan yang besar kepada negara. Semoga golongan belia hari ini
bersedia untuk menjadi seseorang yang mempunyai jati diri yang kuat dalam usaha
menjauhkan diri daripada sebarang amalan dan tindakan yang boleh merosakkan diri,
maruah dan melemahkan umat Islam.

Jika persediaan ini disempurnakan dengan baik dan rapi, maka cogankata ‘Belia Hari Ini
Cermin Masa Depan Negara' dapat dilihat dan dilaksanakan dengan jayanya.

http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1603&cmd=resetall

Media Dan Akal-Budi Generasi Muda


Dr. Mohd Sani b. Badron
Fellow Kanan

05/12/2007 | Artikel Bahasa Malaysia

Pujangga Melayu pernah berpesan, "melentur buluh biarlah dari rebungnya" yang masih
muda dan lembut.  Pokok buluh tua yang sudah keras akan patah kalau dilenturkan.

Pengajaran bagi kita adalah, zaman kanak-kanak dan muda-remaja adalah tahap penting
dalam membentuk budi-pekerti, akhlaq, perangai, watak dan minda.  Akhlaq dan perangai
watak yang telah terakam semenjak zaman kanak-kanak dan muda-remaja sukar untuk
dihapuskan atau diubah. 

Masalahnya, golongan kanak-kanak dan muda-remaja belum mampu membezakan antara


yang benar dengan yang palsu.  Sedangkan, dalam masa yang sama, golongan muda dan
kanak-kanak sangat perlu kepada contoh tauladan yang baik dari segi akhlaq, pemikiran
dan kehidupan.

Bayangkanlah pula apa yang akan terjadi sekiranya anak-anak dan generasi muda kita
membesar di tengah-tengah gambaran-gambaran atau imej-imej media yang buruk dari
segi akhlaqnya yang sentiasa disuapkan kepada mereka. 

Sebagai contoh, bayangkanlah apa yang akan berlaku kepada penonton berusia muda
sekiranya dalam rancangan-rancangan televisyen kita, orang-orang yang jahat ditunjukkan
sebagai selalunya bahagia, sementara orang-orang yang baik ditunjukkan bersifat melarat;
orang-orang yang tidak jujur ditanggap sebagai selalu untung (iaitu kalau
penyelewengannya tersorok daripada pihak berkuasa), sementara orang-orang yang
mempunyai sifat amanah (integrity) ditanggap sebagai merugikan diri sendiri.

Tentulah penonjolan budaya yang seperti ini akan merosak dan mengeruhkan cita-rasa
penonton Malaysia amnya dan generasi muda khasnya.

Memanglah membaca atau menonton satu atau dua karya atau rancangan yang buruk tidak
akan terus menjadikan seseorang itu individu yang jahat.  Walau bagaimanapun, ia tetap
akan meninggalkan kesan bahawa kejahatan itu adalah sesuatu yang biasa dan
menyeronokkan. 

Akibatnya, pembaca atau penonton mungkin terbiasa dengan gambaran atau imej
bagaimana aksi bergaduh atau aksi ganas sangat berkesan dalam menyelesaikan masalah
secara yang pantas; minuman yang memabukkan dipaparkan sebagai suatu perkara
menarik dan bukannya memudaratkan; perlakuan seksual pula tidak perlu kepada sebarang
peraturan. 

Demikianlah, ibarat makanan yang berbisa bagi akal dan roh, gambaran dan imej media
yang berbahaya dari segi akhlaqnya sama ada secara langsung mahupun tidak, hari demi
hari, sedikit demi sedikit, secara senyap-senyap akan membarah merosakkan roh dan
meracuni akal-fikiran anak-anak kita generasi muda.

Memetik kata-kata Nicholas Johnson, "All television is educational television.  The question
is: what is it teaching?," perkataan dan ucapan yang cabul dan carut, bahasa dan gambar
yang tidak senonoh, jika diambil ringan, akan membawa kepada perbuatan yang cabul dan
perlakuan yang tidak senonoh juga. 
Tentulah golongan kanak-kanak dan muda-remaja tidak seharusnya dibenar mendengar
atau mengulang perkara-perkara tersebut. 

Bayangkanlah betapa hebatnya cabaran anak-anak kita pada hari ini yang membesar dalam
persekitaran yang siang-malamnya di kelilingi media, daripada televisyen-darat dan tv-
satelit serta internet, membawa kepada media iPod, wayang gambar, telefon mudah-alih,
dan permainan video serta sebagainya lagi.

Kita tidak sepatutnya membiarkan sahaja generasi muda, sama ada secara langsung
ataupun tidak langsung, menerima sahaja idea-idea asing, yang sebahagiannya jauh
bertentangan dengan apa yang kita cita-citakan sebagai satu bangsa yang beragama. 

Kita mempunyai tanggungjawab yang berat untuk mengikhtiarkan anak-anak kita generasi
muda hidup dalam suasana yang sihat, di tengah-tengah rancangan dan program media
yang mempunyai kesan yang elok dan manis. 

Karya, rancangan dan program yang kita hasilkan atau yang kita benarkan untuk
disebarkan, akan terpancar ke dalam mata dan telinga anak-anak kita generasi muda,
seperti angin bayu yang jernih lagi menyegarkan. 

Janganlah kita melepaskan peluang keemasan untuk secara halus menarik roh anak-anak
kita dari tahun-tahun awal mereka lagi ke arah yang bersetujuan dengan kesopanan dan
kesusilaan yang juga merupakan rukun negara yang kelima. 

Walaupun media di Malaysia sedikit-sebanyak telah cuba berusaha memenuhi keperluan


masyarakat kita dalam mewujudkan suasana yang aman-majmuk dan keserasian
masyarakat, kita belum boleh lagi berpuas hati. Ini kerana, kita sedang berhadapan dengan
cabaran besar gelombang globalisasi revolusi digital yang isinya, faham-fahamnya dan
konsep-konsepnya dikuasai oleh Dunia Barat.

Gelombang yang melanda ini akan menenggelamkan bangsa kita, melainkan jika kita
berjaya meningkatkan jasa-bakti, sumbangan dan ‘dinamisme moral' demi memperkukuh 
jatidiri bangsa yang berlandaskan agama.

http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1469&cmd=resetall

Kesinambungan Kepimpinan Generasi Muda; Adakah Suatu Hakikat


Nor Hartini binti Saari
Pegawai Penyelidik

29/03/2007 | Artikel Bahasa Malaysia

Sebenarnya kita masih lagi tercari-cari di manakah kesinambungan kepimpinan generasi


muda hari ini? Di manakah titik noktahnya? Akibat pelbagai keruntuhan akhlaq yang
melanda akhir-akhir ini ia telah menimbulkan pelbagai kebimbangan dan keresahan
daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa, institusi pendidikan dan pihak kerajaan. Inilah
akibat keruntuhan akhlaq belia yang tidak kunjung padam pada hari ini. Keadaan ini
menjadi lebih sukar bagi kita untuk memilih golongan pemimpin generasi hari ini untuk
disifatkan pada masa akan datang.

Jika golongan ini tidak digilap pegangan akal dan kekuatannya dengan nilai-nilai keagamaan
dan nilai-nilai murni, gejala-gejala rosak tidak mungkin akan berkurangan. Bahkan ianya
bertambah banyak dan akan muncul pula kerosakan-kerosakan baru. Perkara yang
membelenggu masyarakat seperti dadah, seks bebas, pelacuran di sana-sini, rogol, budaya
samseng dan black metal antara penyakit lama yang belum diubati sepenuhnya. Belum pun
sempat negara keluar dari kemelut lama, datang pula masalah baru seperti mat rempit,
budaya gothik, isu murtad, buli, ajaran-ajaran sesat, pembuangan anak dan pelbagai
perkara lagi yang cukup memburukkan. Semua ini melibatkan generasi muda masa kini.

Dalam menuju era globalisasi, masyarakat haruslah memberi peluang kepada generasi
muda ini untuk menjadi pemimpin atau ketua, untuk memantapkan lagi corak kehidupan.
Namun, kebelakangan ini terdapat beberapa perkara berkaitan remaja dan belia yang
buruk. Justeru, bagaimanakah kita sebagai umat Islam untuk bertindak sebagai generasi
akan datang untuk menjadi pemimpin yang disegani atau pemimpin yang dihormati?
Adakah ini akan terjadi sekiranya kemelut masyarakat tidak dibanteras. Inilah salah satu
cabaran paling utama demi menjadikan generasi hari ini sebagai pemimpin pada masa akan
datang.

Jika kita melihat perbezaan belia Islam suatu ketika dahulu, pelajar dan golongan belia
adalah nadi dan tonggak kepada pembangunan masyarakat. Golongan inilah yang banyak
menitiskan keringat memperjuangkan faham pembaharuan sehingga sanggup berkering
tekak dan bertegang lidah bagi memastikan matlamat dan wawasan perjuangan mereka
termakbul.

Selain itu, sejarah juga telah merakamkan sumbangan belia-belia dalam mencipta
kegemilangan ilmu pengetahuan, keamanan, dan perpaduan. Lihatlah insan-insan dahulu
seperti Muhammad Al-Qasim, pemuda yang telah menerangi tanah India dengan nur Islam
di zaman khilafah Umawiyah; Imam al-Syafi`i menjadi ilmuan ulung ketika mudanya,
bahkan telah menjadi mufti ketika usia sembilan tahun; Muaz ibu Jabal, panglima perang
yang berjaya menawan Kota Andalus, dan banyak lagi belia-belia Islam yang telah
memahat kejayaan besar dalam lipatan sejarah manusia.

Hakikatnya, itu cuma gambaran dari lipatan sejarah kita puluhan tahun dahulu. Kini,
angkatan generasi muda kita dianggap lesu dan tidak bermaya. Tiada lagi kedengaran
suara-suara daripada para pejuang muda atau kelihatan kelibat tokoh-tokoh muda yang
patut dibanggakan oleh masyarakat. Persoalannya bagaimanakah ini boleh terjadi? Di
manakah generasi muda di mata masyarakat? Apakah tiada kesinambungannya untuk
memimpin kini?

Generasi belia adalah kelompok yang paling besar dan bertenaga dalam masyarakat.
Sehubungan itu, mereka haruslah diberikan peluang dan hala tuju agar mereka dapat
mengambil peluang untuk meneroka ilmu baru, yakni kepimpinan Islam. Kesedaran ini
perlu dalam membangkitkan kembali kesedaran dan cabaran di kalangan belia Islam masa
kini.

Kita sedia maklum, bahawa Islam adalah agama shumul yang mengajar dan menuntut kita
agar menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Islam merupakan satu landasan hidup. Beramal
dengan Islam bererti melahirkan makhluq yang mencerminkan aqidah dan akhlak Islam,
melahirkan umat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup yang dibawakan
oleh Islam sebagai al-Din. Sewajarnya umat Islam di semua peringkat pada hari ini
menyedari bahawa jatuh bangun faham agama, tamadun serta pengenalan umat banyak
bergantung kepada kemampuan generasi muda. Dengan sokongan dan pengorbanan
mereka, banyak berlaku peristiwa-peristiwa yang telah mengubah perjalanan masa depan
dunia dan tamadun kemanusiaan. Itulah hasilnya jika generasi muda dididik dengan aqidah
dan akhlak yang betul.

Sehubungan itu, dalam membentuk generasi muda hari ini, ibu bapa sewajarnya
memberikan penekanan pendidikan agama. Pendidikan agama itulah akan menjadi satu
landasan dan benteng dalam diri anak-anak untuk tidak terjerumus dalam gejala buruk
masyarakat. Jiwa mereka mesti dibekalkan dengan unsur-unsur baik sebagai pembimbing
akal fikiran dan pembakar semangat pada masa hadapan.

Namun, apa yang menyedihkan ialah sesetengah ibu bapa menjadikan pendidikan agama
untuk anak-anak hanya satu amalan suri, yakni belajar di sekolah semata-mata. Apabila
pulang ke rumah didikan agama ini diabaikan oleh ibu bapa, kerana segelintir ibu bapa
merasakan pendidikan agama di sekolah sudah mencukupi. Tanggapan ini patut dibanteras
jika ingin melihat golongan belia memberi sumbangan murni kepada kepimpinan negara.
Pendidikan agama dan aqliah mestilah seiring dalam merangka kejayaan dunia dan akhirat.
Faham agama tidak membuang dunia dan tidak pula semata-mata menumpukan akhirat.
Malah faham agama Islam adalah anutan yang mengimbangi tuntutan hidup sekarang dan
yang akan datang.

Selain itu, kerajaan perlulah memantau unsur pembangunan belia dan beliawanis. Hiburan-
hiburan melampau harus dibanteras dan digantikan dengan amalan berfaedah. Media cetak
dan elektronik perlu berfikir panjang sebelum memaparkan wayang dan rancangan harian.
Kegiatan berunsurkan pengajaran, pembinaan jati diri, penghayatan agama, pencerdasan
akal perlu diperbanyakkan, dan unsur-unsur lucah dan buruk wajib dibanteras. Apalah
gunanya jika ekonomi dan pembangunan negara bertambah pesat, tetapi manusia hidup
berada dalam ketakutan, hilang kepercayaan dan keamanan masyarakat semakin terhakis.
Tiada guna negara berbangga dengan pencapaian sains dan teknologi maklumat, tetapi
rakyat merasa terasing dalam negara sendiri.

Kesimpulannaya, pihak kerajaan, institusi pendidikan, NGO, institusi masjid, ibu bapa dan
guru haruslah peka terhadap unsur belia hari ini. Pengajaran dari Hijrah Rasul mesti
diperhalusi dengan sebaik mungkin. Jika belia di zaman dahulu telah membuktikan
kemampuan mereka dalam mengatasi masalah besar, sudah tentu belia sekarang juga
memiliki kemampuan untuk mencipta pembaharuan dan menjayakan matlamat ini. Semua
ini bukanlah suatu yang mustahil jika semua pihak benar-benar sedar dan peka dalam
pembentukan belia yang baik.

Jadi kini, kita mahu melihat kepimpinan muda sanggup berkorban dan ada keyakinan diri
yang tinggi untuk memimpin umat Islam. Untuk menjadi pemimpin masa hadapan generasi
muda sekarang perlu mempunyai asas kepimpinan yang jelas berpandukan aqidah, syarak
dan akhlak yang baik. Akhlak yang baik dan mulia secara langsung dapat mencerna
kepimpinan ke arah kesempurnaan seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Hanya
pendekatan Islam inilah yang pasti dapat merungkai dan menyelesaikan permasalahan
generasi muda masa kini. Jika permasalahan ini diubati segera, nescaya generasi muda
sekarang boleh menjadi pemimpin masa hadapan dan impian ini akan menjadi satu hakikat
dan bukan lagi khayalan.

http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1227&cmd=resetall

Pendidikan Islam Asas Pembentukan Akhlak Mulia Remaja


Abu Bakar Yang
Pegawai Penyelidik

28/06/2005 | Artikel Bahasa Malaysia

Kepentingan ilmu dalam kehidupan adalah suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan, lebih-
lebih lagi dalam usaha untuk menjadikan masyarakat kita masyarakat yang berilmu dan
berinformasi. Bagi orang Islam, terutamanya para remaja yang bakal mengisi kepimpinan
negara masa depan, jenis ilmu yang wajar dipelajari adalah yang mampu membentuk satu
pandangan hidup yang sempurna, progresif dan dinamik. Maka dengan itu, ianya menuntut
kepada keseimbangan antara ilmu agama dan juga ilmu dunia.

Setiap cabang ilmu perlulah diisi dengan semangat dan roh keagamaan, akhlak atau nilai
murni dan moral supaya terasa kesannya dalam jiwa. Ilmu yang dipelajari adalah untuk
diamalkan bagi memberi kesan positif kepada mereka yang mempelajarinya. Ilmu yang
berguna tetapi tidak diamalkan adalah antara punca terjadinya kepincangan dalam hidup
manusia.

Setiap kegiatan penyaluran ilmu dan maklumat atau latihan kemahiran wajib disulami
dengan unsur keagamaan seperti kesedaran terhadap aspek ketuhanan dan nilai-nilai
akhlak. Jangan sekali-kali menganggap kesedaran agama adalah hanya diterapkan apabila
berada di kelas atau ceramah agama sahaja, malah kesedaran dan penghayatan agama itu
adalah di setiap ruang lingkup kehidupan seorang manusia.

Setiap pihak, terutama pendidik dan ibubapa bertanggungjawab untuk membawa


perubahan yang positif dalam pendidikan terutamanya yang berkaitan dengan pendidikan
remaja. Kegagalan memberikan perhatian terhadap aspek berkenaan bakal melahirkan
manusia yang gagal bertanggungjawab terhadap perbuatannya dan menjadikan kehidupan
mereka terumbang ambing. Di mana kesannya hanya akan menjadikan mereka hidup
umpama mesin biologi untuk memenuhi keperluan biologikal sahaja.

Imam al-Ghazali mentakrifkan pendidikan itu sebagai "mengeluarkan perangai buruk yang
ada pada manusia dan menyemaikan perangai dan sifat yang baik." Dari sini kita dapat
melihat bahawa pendidikan itu bersifat dalaman dengan tujuan untuk melahirkan insan yang
sempurna dan berakhlak mulia. Ianya juga bertujuan untuk menghasilkan perubahan positif
kepada pembentukan pemikiran dan tindakan seseorang individu yang seterusnya akan
membolehkannya berfungsi dengan sempurna dalam masyarakat atau ruang lingkup
kegiatannya sama ada di alam persekolahannya, pekerjaannya, rumah tangganya atau
sebagainya.

Tanpa suatu arah perubahan tertentu, lebih-lebih lagi jika yang terbentuk pada peribadi
berkenaan adalah perubahan negatif, bererti sudah berlaku suatu bentuk kegagalan dalam
usaha pendidikan. Kegagalan untuk memupuk akhlak terpuji dalam diri manusia adalah
suatu bencana kerana tujuan asas pendidikan sudah tersasar jauh daripada mencapai
matlamatnya.

Bayangkanlah apabila kandungan pendidikan yang tidak seimbang menghasilkan manusia


yang tidak jelas "standard" moralnya atau hala tuju hidupnya. Kehidupan seharian mereka
hanyalah untuk memenuhi keperluan biologikal seperti makan-minum, perlindungan,
berkeluarga dengan tanpa rasa tanggungjawab untuk berbakti kepada agama, bangsa dan
negara.

Kegagalan seperti ini patut dibuat 'bedah-siasat' berdasarkan pertimbangan terhadap


pelbagai faktor seperti tahap kewibawaan ilmu dan peribadi guru, kesahihan sistem
pendidikan yang dipakai, kadar sokongan ibubapa dan keluarga, keprihatinan dan
kewibawaan pemimpin setiap peringkat serta suasana persekitaran masyarakat dan negara
di mana membesarnya seseorang individu. Maka dengan itu, satu penilaian yang sahih dan
saksama dengan mengenepikan unsur sentimen dan prejudis perlu dilaksanakan supaya
terbuka ruang ke arah penyelesaian yang lebih konkrit.

Oleh hal yang demikian, tanggungjawab pendidikan adalah amanah bagi semua pihak, dan
ianya menuntut agar setiap lapisan masyarakat memahami konsep pendidikan sebenar
supaya matlamat pendidikan yang ingin dicapai tidak tersasar. Keberhasilan sesuatu usaha
pendidikan di mana-mana peringkat adalah ditinjau daripada sejauh mana perubahan positif
yang mampu dicapai dalam selang masa tertentu terhadap seseorang, terutamanya terhadap
golongan remaja masa kini.

Siapa pun tidak dapat menafikan bahawa kalangan remaja khususnya pelajar adalah
merupakan aset dan potensi yang sangat perlu dipelihara kerana untung nasib masa depan
sesebuah masyarakat dan negara adalah terletak sepenuhnya di atas bahu mereka. Mereka
adalah pewaris yang sah tamadun masa kini untuk dilanjut dan dipertingkatkan mutunya
pada masa akan datang.

Dalam konteks negara kita, kalangan remaja membentuk peratusan yang besar daripada
keseluruhan jumlah penduduk negara.� Maka kita tentunya tidak akan membiarkan remaja
dengan permasalahannya begitu sahaja tanpa ada sebarang jalan penyelesaian. Satu kaedah
yang mantap dan sesuai perlulah dicari supaya para remaja kita tidak berterusan
terperangkap di bawah penguasaan unsur-unsur negatif.

Untuk mewujudkan gaya hidup dan budaya yang berkualiti dan bermutu, selain daripada
menyediakan pendekatan pendidikan yang 'Islamik' seperti yang telah diketengahkan, kita
nampaknya tidak ada banyak pilihan melainkan mewujudkan sistem kawalan sosial yang
berkesan di pelbagai peringkat kehidupan. Sistem kawalan sosial yang rapi dan munasabah
mestilah diwujudkan bermula dari institusi perundangan dan pentadbiran negara hinggalah
kepada institusi keluarga dan persekolahan.

Pihak berkuasa mestilah mempunyai visi yang jelas tentang kualiti dan mutu budaya serta
gaya hidup yang ingin dibangunkan. Selaras dengan itu juga, penyediaan satu garis panduan
atau peraturan hendaklah digubal dan dipatuhi oleh setiap pihak yang terlibat, terutamanya
saluran media yang nampaknya begitu berpengaruh dalam membentuk pemikiran dan
perilaku remaja masa kini.

http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=800&cmd=resetall

Generasi Muda Islam Perlukan Kekuatan Minda


Khairul Azhar Bin Idris
Fellow

10/07/2002 | Artikel Bahasa Malaysia

Generasi muda di negara ini merupakan kelompok terbesar yang mengisi ruang populasi
dan jumlah keseluruhan kependudukan negara. Dianggarkan sebanyak 50% daripada
seramai lebih kurang 24 juta penduduk negara ini diisi oleh mereka yang berusia antara 15
hingga 40 tahun. Kadar ini membayangkan betapa negara ini dicorak oleh mereka sama
ada dari segi keperluan sumber manusia, pendidikan, kesenian dan hiburan, gaya hidup dan
sebagainya yang agak lebih menonjol berbanding keperluan lain khususnya dalam bidang
kesihatan dan perubatan (jika bukan kerana gejala AIDS dan dadah). Ini juga menunjukkan
mereka sebagai kelompok masyarakat yang memainkan peranan yang amat besar dan
penting dalam jatuh bangun sesebuah negara. Apa juga yang mereka lakukan sebenarnya
tetap akan memberi implikasi kepada kesejahteraan negara.

Dalam usaha untuk menjadi sebuah negara membangun dan maju setanding dengan
negara lain, setiap anggota masyarakat terutamanya generasi muda Islam seharusnya
bersedia untuk menerima perubahan yang membantu kepada tercapainya matlamat
tersebut. Kerajaan kita sering menyeru golongan muda negara ini supaya jangan takut
untuk menyertai kepesatan dunia teknologi maklumat. Generasi muda Islam harus merebut
peluang ini. Dalam era globalisasi ini, mereka yang tidak turut serta akan ketinggalan dan
mungkin juga boleh menjadi mundur dalam sekelip mata, paling tidak pun ketinggalan dari
segi penguasaan ilmu dan maklumat terkini. Zaman ini mengakui bahawa maklumat adalah
keuntungan dan mungkin juga sebagai satu komoditi. Mereka yang bermaklumat adalah
mereka yang akan mencipta dan memberi keuntungan dan senario kini pula melihat
keuntungan bukannya wang semata-mata, tetapi biasanya maklumat lah yang membuat
wang. Inilah yang dikenali sebagai knowledge based economy atau k-ekonomi,
sebahagiannya. Memandangkan peri pentingnya keterlibatan generasi muda secara
langsung dalam mencorakkan pembangunan negara, pihak kerajaan pula tidak berat tangan
dalam menyediakan pelbagai ruang dan peluang kepada mereka supaya mereka dapat
bersama menyertai pembangunan ini, sejajar dengan hasrat kerajaan. Di antaranya ialah
dengan menyediakan prasarana berkaitan teknologi maklumat, peluang pendidikan dan
perniagaan berkaitan IT, serta lainnya. Senario semasa generasi muda Islam negara ini
memperlihatkan kepada umum bahawa mereka lebih tertumpu dalam bidang-bidang yang
bukan menjadi keutamaan dalam arus perdana bagi mencapai kemajuan negara. Jika ada
pun, bilangannya amat terhad berbanding bilangan generasi muda dari kaum-kaum lain.
Mereka seumpama tidak bersama dalam mempelopori atau menerajui arus perdana
wawasan negara. Akibatnya mereka gagal untuk turut serta dalam mencorakkan hala tuju
dan wawasan kemajuan negara. Ini merupakan di antara beberapa faktor mengapa mereka
agak terkebelakang dan ketinggalan. Perkara utama yang menghalang keterlibatan mereka
dalam perkara ini adalah sikap kurang keyakinan diri di samping tiada sokongan dari segi
contoh teladan dan idola yang baik yang boleh diikuti dan inilah juga punca kepada
kelemahan minda yang mereka alami. Keyakinan diri adalah sumber kekuatan peribadi dan
idola yang baik merupakan contoh yang dapat menyokong ketrampilan personaliti mereka.
Generasi muda Islam memang wajar menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh dan
ikutan sahsiah mereka. Firman Allah dalam surah Al Ahzab ayat 21 bermaksud:
Sesungguhnya ada pada diri Rasululluh itu contoh teladan yang baik bagi orang yang
mengharap rahmat Allah dan kebaikan hari Kiamat dan banyak pula mengingati Allah.

Di samping itu, penguasaan dalam bidang sains dan teknologi juga merupakan satu lagi
cabaran untuk mencapai tahap negara maju. Bidang kritikal sains dan teknologi seperti
perubatan, bio informasi dan bio teknologi, sains angkasa, kejuruteraan dan lain-lain
seharusnya menjadi tarikan minat kepada generasi muda Islam. Penguasaan mereka dalam
bidang ini akan menjadikan mereka sebagai bangsa yang terkehadapan sebagaimana
terkehadapan dan majunya Islam pada awal-awal kemunculannya. Sejarah membuktikan
pengusaaan umat Islam dalam ilmu sains dan teknologi, falsafah, kejuruteran, astronomi
dan sebagainya di samping penguasaan dalam ilmu Al Quran dan Hadis, Tasawuf, ilmu
Tauhid dan sebagainya, telah menjadikan mereka maju dan dihormati di serata pelosok
dunia pada ketika itu. Sebagai umat yang berilmu, umat Islam amat berkuasa di zaman itu.
Gaya hidup, budaya dan bahasa mereka telah menjelajahi seluruh alam semesta. Dari
Tanah Arab, hinggalah ke Amerika Syarikat dan negara China, seterusnya ke Asia
Tenggara.

Perlu diingat bahawa umat Islam maju pada ketika itu bukan lah kerana penguasaan
mereka dalam bidang sains dan teknologi semata-mata. Mereka tidak maju kerana ilmu
sains dan teknologi atau ilmu keagamaan semata-mata. Mereka maju kerana penguasaan
pemikiran dan akhlak mereka yang telah dibentuk berdasarkan kepada ilmu-ilmu
keagamaan dan ilmu-ilmu yang berasaskan pentaakulan dan kepintaran pengetahuan
dalam asas sains dan teknologi dan ini didorong oleh tema dan konsep yang terdapat dalam
pengkajian mereka terhadap Al Quran. Ketika itu mereka amat dihormati dan disegani, dan
ilmu, kajian serta penyelidikan mereka telah menjadi tumpuan umat manusia khususnya
dari Eropah. Masyarakat Eropah pada ketika itu datang untuk mempelajari ilmu-ilmu Islam
yang boleh membawa kemajuan dan kuasa dalam kehidupan mereka, tetapi menolak
semua bentuk nilai ketuhanan dan kemanusiaan yang terdapat dalam ajaran agama Islam.
Sejarah mengakui kerakusan mereka ini apabila sedikit-demi sedikit negara-negara Islam
diserang oleh pelbagai tentera Eropah. Dalam tahun 1492, pemerintah Islam Granada
terpaksa menyerahkan negara mereka kepada tentera Sepanyol dan membina penempatan
baru di Afrika Utara, sementara itu, tentera Inggeris-Peranchis telah menyerang Turki
dalam tahun 1920 an dan dikuasai pula oleh Greek. Turki pernah dilabel sebagai Orang
Sakit Eropah kerana ketidakpastian jatidiri penduduknya kesan penjajahan tersebut.

Walaubagaimanapun, umat Islam boleh mengulangi dan memiliki semula kegemilangan


mereka andainya mereka kembali kepada ajaran Islam dengan minda yang lebih terbuka
dan seimbang. Keterbukaan minda generasi muda menuntut agar pandangan mereka
tentang urusan kehidupan berada dalam lingkungan nilai-nilai Uluhiyyah dan Rububiyyah
sebagaimana diajar oleh Islam. Nilai-nilai berkenaan lah yang akan membentuk piawaian
dan garis panduan yang seharusnya mereka turuti apabila berurusan dalam kehidupan.
Nilai-nilai ini juga yang akan mencetuskan keseimbangan minda, agar tidak terlalu ekstrim
ketika menilai kehidupan. Menjauhi ekstrimisma, bukan sahaja dalam urusan duniawi,
tetapi juga dalam memandang dunia ini, juga satu tuntutan Islam. Firman Allah dalam
surah Al Qasas, ayat 77 bermaksud: Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah
dari kebaikan Hari Akhirat dan jangan pula lupa mencari kebaikan kehidupan dunia dan
berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu, dan janganlah membuat
kerosakan, sesungguhnya Allah tidak menyukai golongan yang membuat kerosakan.

http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=707&cmd=resetall

Pengaruh Cult Di Kalangan Remaja


Khairul Azhar Bin Idris
Fellow

14/03/2002 | Artikel Bahasa Malaysia

Pada umumnya, cult atau pun ajaran sesat adalah satu perilaku atau fahaman yang sering
dikaitkan dengan kesesatan kerana ajarannya yang mempunyai unsur-unsur ketahyulan,
khurafat dan pemujaan syaitan. Cult atau ajaran sesat sebenarnya didokongi oleh satu
golongan atau kumpulan manusia yang menjadikan pemujaan atau penyembahan iblis dan
syaitan sebagai matlamat utama ajaran. Di samping itu, mereka juga berpegang kepada
kepercayaan dan fahaman-fahaman yang berunsur tahyul dan khurafat atau magik serta
sihir yang ada kaitannya dengan kedudukan, keagongan atau kemuliaan seseorang. Juga
terdapat penyalahgunaan dadah dan seks bebas, didorong oleh fahaman keagamaan dan
politik songsang serta lain-lain.

Memang terdapat individu yang memuja manusia atau kumpulan tertentu kerana minat
atau perasaan kasih dan sayang yang melampau. Dan Islam telah pun meletakkan garis
panduan yang jelas dalam hal ini agar ia tidak melampaui batas. Dalam Islam, pemujaan
terhadap mana-mana objek atau makhluk selain dari Allah adalah satu kesesatan yang
sudah tentu membawa kepada syirik. Apatah lagi yang menjadi objek pemujaan itu adalah
syaitan yang sudah jelas kedudukannya sebagai musuh umat manusia yang utama.
Menurut ajaran Islam, segala kepercayaan yang tidak mengagungkan KeEsaan Allah adalah
ajaran sesat. Pemujaan yang mutlak hanyalah kepada Allah, bukan kepada yang lain
dariNya. Bersesuaian dengan firman Allah dalam surah az Zaariyaat, ayat 56 bermaksud:
"Aku ciptakan Jin dan Manusia supaya mereka mengabdi dan memuja Ku"
Mengapa fahaman dan ajaran cult ini menjadi sesat ? Terdapat beberapa ciri yang
menjadikan ajaran tersebut sebagai sesat. Perkara pokok adalah seperti berikut:
1. Memuja selain Allah yang membawa kepada syirik
2. Memuja iblis dan syaitan
3. Bercanggah dengan al Quran, al Sunnah, al Ijmak dan al Qiyas
4. Bercanggah dengan iktikad dan kepercayaan Ahli Sunnah wal Jamaah

Ciri-ciri utama ajaran sesat atau berunsur cult:


1. Bergiat secara berkumpulan yang diketuai oleh seseorang yang mempunyai ciri-ciri
tersendiri seperti petah berpidato, seseorang yang dianggap agong dan mulia serta kaya,
atau dianggap sebagai keramat, pandai mempengaruhi dan lain-lain
2. Bergiat secara underground
3. Mempunyai fahaman songsang dari kebiasaan seperti anti ketuhanan, hedonisme,
memuja syaitan dan iblis, upacara meminum darah, perhubungan seks secara batiniah dan
membunuh diri secara beramai-ramai
4. Mempunyai identiti kumpulan yang tersendiri seperti pakaian hitam, simbol-simbol
bintang bucu lima, salib terbalik, muzik ekstrim, tingkahlaku liar dan ganas dan lain-lain
5. Terlalu fanatik kepada kepercayaan dan fahaman dalam kumpulan mereka

Kalau dahulu, pengaruh cult ini cukup meluas di kalangan golongan dewasa, tetapi kini ia
telah merebak di kalangan anak-anak remaja. Jika dulu ajaran sesat ini didorong oleh
fahaman agama yang songsang, tetapi kini pengaruh muzik juga boleh menjadikan
seseorang itu sesat. Cuba imbau kembali gejala buruk black metal di kalangan remaja
negara ini baru-baru ini. Mengapa perkara ini terjadi? Adakah ibubapa gagal mendidik anak-
anak mereka sebaiknya? Adakah guru-guru tidak memberikan ajaran agama secukupnya
kepada murid mereka di samping menunjukkan kepincangan institusi ulamak? Ataukah
kerajaan terlalu mengutamakan kemajuan dan kesan negatifnya menimpa golongan
remaja?

Sememangnya amat di luar daripada dugaan masyarakat negara kita bahawa muzik boleh
menjadi satu kumpulan cult atau kumpulan ajaran sesat. Memang kuat juga pengaruh
muzik ini terutamanya di kalangan kanak-kanak dan remaja. Pengalaman negara ini sudah
sebati dengan ajaran sesat yang didorong oleh fahaman keagamaan yang songsang, yang
mempunyai kumpulan dan ahli-ahli yang tersendiri. Kebiasaannya terdiri daripada golongan
dewasa yang mudah terpengaruh. Tambahan pula, golongan ini adalah majoriti mereka
yang telah mula kembali kepada agama atau mula berjinak-jinak dengan agama. Beberapa
contoh ajaran sesat yang pernah menggemparkan negara ini sedikit masa dulu seperti
ajaran Aurad Muhammadiah oleh Al Arqam, ajaran Tarikat Naqsabandiyah Kadir un Yahya,
ajaran Tok Ayah dan banyak lagi. Tiada ahli remaja terlibat kerana pada peringkat ini
mereka lebih cenderung kepada aktiviti selain dari aktiviti keagamaan, terutamanya muzik
dan hiburan. Akibatnya, pengaruh muzik dan hiburan yang kuat dalam kehidupan mereka
menjadikan mereka terlalu fanatik dengan muzik yang mereka minati itu.

Pengaruh cult dan ajaran sesat di kalangan remaja yang berpunca akibat dari rasa fanatik
dan taksub terhadap muzik tertentu mula menggemparkan negara ini apabila pengaruh
buruk muzik black metal mula diketengahkan oleh Menteri Perpaduan Negara dan
Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman. Selepas kenyataan oleh
menteri berkenaan, ia telah menjadi satu isu yang amat hangat, kerana tindakannya telah
memberikan sedikit keberanian dan keyakinan diri kepada masyarakat umum untuk
menyingkapnya yang sebelum ini amat was-was untuk membicarakannya secara terbuka.

Bagaimana pengaruh cult boleh meresap ke dalam diri remaja? Pada dasarnya, ia berpunca
dari pengaruh muzik black metal. Walaupun ia sejenis aliran muzik dari genre metal, tetapi
ia bukan semata-mata muzik. Ia adalah aliran muzik liar dan songsang yang bersifat
underground dan banyak menampilkan aliran muzik berbentuk hard rock dan heavy metal.
Terdapat unsur pemujaan syaitan dalam aliran muzik ini dan ia mula dikesan pada tahun
1970an apabila artis rock dari Amerika Jimmy Hendrik mula menonjolkannya. Bermula dari
situ, jumlah peminatnya semakin ramai sehingga terbentuklah kumpulannya yang
tersendiri. Penampilan mereka di atas pentas dengan wajah syaitan yang dipuja akhirnya
menjadi ikutan sebagai satu trend masyarakat terutamanya remaja. Kesannya bukan
sahaja dari segi penampilan wajah, tetapi juga pakaian sehinggalah kepada fahaman dan
kepercayaan. Selain black metal, terdapat juga muzik metal lain seperti Pink Metal, Skin
Head, Hip Hop, Trash Metal dan Hard Metal. Kesemua aliran muzik ini mempunyai
peminatnya yang tersendiri. Biasanya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yang amat
meminati aliran muzik ekstreme.

Mengimbau kewujudan dan penerimaan remaja negara ini terhadap muzik aliran ini, ia
bermula seawal tahun 1980-an. Kehadirannya di negara ini dari negara asalnya seperti
Sweden, Norway dan Finland pada masa itu mendapat pelbagai reaksi masyarakat. Antara
rasa bimbang dan cemas, suka dan benci, namun ia mendapat perhatian yang
memberangsangkan dari golongan muda-mudi. Pada mulanya ia hanyalah satu hiburan dari
aliran muzik kontemporari, tetapi kini ia mengejutkan negara sebagai satu kumpulan ajaran
sesat dengan pengikut dan cirinya tersendiri. Jika ditinju dari sudut penampilan kumpulan
muzik black metal ini, banyak yang buruk dari baiknya. Pakaian serabai dan wajah syaitan
menjadi imej digemari. Setiap album dan lirik lagu menyimpang dari syariat Islam. Ia
mengandungi unsur anti ketuhanan dan pemujaan syaitan serta khurafat. Tidak hairanlah
pada peringkat awal lagi, masyarakat amat tidak senang dengan kehadiran aliran muzik ini
di negara ini.

Walaubagaimanapun, kebimbangan yang ada tidak mampu menyekat pengaruhnya. Ini


kerana ia bukanlah satu isu jenayah sehingga sampai mengancam kestabilan atau
keselamatan negara. Akibatnya, tiada sebarang pemantauan oleh pihak berkuasa kerana
bab ini bukan kerja mereka. Dalam satu perjumpaan mufti-mufti di Pulau Pinang tidak
berapa lama dulu, ada disarankan agar kerajaan mengharamkan kemasukan muzik aliran
ini ke negara ini. Tindakan ini kelihatannya amat berisiko. Ia mungkin akan mengundang
kekecewaan golongan pencinta seni yang berjuang atas dasar seni untuk seni. Tetapi
sekiranya semua pihak berfikir secara logik, semua tindakan mereka akan lebih rasional
lagi.

Ciri-ciri ahli kumpulan black metal:


1. Berpakaian serba hitam, berlambang salib terbalik dan objek pentagram
2. Meminati muzik ekstrim dan metal berunsur pemujaan syaitan dan iblis, melibatkan
dadah dan arak, anti agama dan memijak al Quran
3. Ada upacara 'Gig', pemujaan dan meminum darah binatang
4. Menggalakkan perhubungan seks bebas sesama ahli
5. Sering menghitamkan wajah ketika menghadiri upacara pemujaan
6. Berusaha mencari ahli baru dengan mendapat wang sebagai komisen

Pengaruh cult dan ajaran sesat di kalangan remaja negara ini merupakan satu isu serius
dan mesti dibanteras segera. Semua pihak seperti ibubapa, guru, pemimpin agama dan
masyarakat perlu berganding bahu bagi membanterasnya. Ibubapa perlu sering memantau
perilaku anak-anak mereka. Jangan abaikan perhatian yang sepatutnya anak-anak ini
terima. Pihak kerajaan pula harus lebih memahami aliran muzik yang membina roh dan
minda serta daya intelek remaja dan muda-mudi, bukan semata-mata rambang mata
kepada keuntungan berlipat ganda tetapi sebenarnya merosakkan. Penguatkuasaan perlu
sering dipertingkatkan lagi. Jika perlu, haramkan kemasukan aliran muzik yang akan
mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat. Sememangnya setiap ahli masyarakat
negara ini sentiasa prihatin dan akan bekerjasama dengan kuasa yang ada pada pihak
berkuasa demi kebaikan bersama.

http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=696&cmd=resetall

Islam Menjamin Kesihatan Seksual Remaja


Khairul Azhar Bin Idris
Fellow

00/00/0000 | Artikel Bahasa Malaysia

Islam sebagaimana yang difahami merupakan satu gaya hidup yang lengkap dengan
pelbagai panduan yang mencorakkan kesempurnaan ajarannya. Oleh yang demikian, umat
Islam sudah semestinyalah tidak akan teraba-raba dalam mengharungi alam yang fana ini
dalam keadaan yang tidak pasti atau dalam keraguan. Ini termasuklah isu yang berkaitan
dengan seksualiti yang merupakan aspek kehidupan yang amat peribadi bagi seseorang
individu itu. Islam sentiasa cuba memberi panduan untuk mereka agar tidak timbul rasa
bersalah di kemudian hari.
Remaja pula merupakan satu kelompok masyarakat yang amat besar nilainya bagi umat
Islam. Mereka adalah bakal pemimpin dan pendakwah yang akan meneruskan
kesinambungan masyarakat dan tamaddun bangsa mereka. Sebagai pemimpin dan
pembela di masa yang akan datang, mereka itu wajar dibela dan dipelihara sebaik mungkin.
Di samping menyediakan suasana yang mampu meningkatkan potensi perkembangan dan
kecemerlangan diri mereka, para remaja juga hendaklah dididik dan ditunjuk ajar tentang
pelbagai perkara yang baik. Mereka juga hendaklah diasuh untuk sentiasa meningkatkan
keupayaan diri sendiri dengan memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan
maklumat yang baik serta kemahiran-kemahiran tertentu.

Era globalisasi kini telah mendedahkan para remaja dengan pelbagai gaya hidup dan
persekitaran yang amat luas dan mencabar. Cabaran dan dugaan yang luas ini adalah tidak
terhad, termasuklah aktiviti kehidupan peribadi mereka yang menyangkut aktiviti seksualiti.
Ini merupakan satu isu kerana para remaja pada era ini lebih terdedah dengan implikasi
berkaitan aktiviti seksual. Pada asasnya, aktiviti seksual remaja kini berlaku akibat daripada
aktiviti gaya hidup bersosial yang terlalu bebas dan tiada had. Kajian klinikal di Amerika
mendapati bahawa golongan remaja dan belia yang berusia antara 17 dan 30 tahun adalah
golongan yang paling ramai dijangkiti pelbagai penyakit jangkitan seks. Trend ini dijangka
akan berterusan memandangkan remaja adalah golongan yang paling aktif dan seterusnya
menjadikan mereka sebagai golongan yang paling berisiko tinggi dijangkiti penyakit
kelamin. Selagi perubahan gaya hidup sihat tidak diamalkan, para remaja akan terus
menjadi kumpulan utama dijangkiti pelbagai penyakit jangkitan seks dan juga kumpulan
teramai yang menyebarkan penyakit jangkitan seks dalam masyarakat.

Gaya hidup sihat adalah gaya hidup yang mengutamakan amalan kesihatan dan
pencegahan jangkitan penyakit. Trend semasa menunjukkan bahawa kebanyakan penyakit
merbahaya berlaku akibat daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat. Malah, kebanyakan
jangkitan oleh bakteria, virus dan kulat juga disebarkan oleh aktiviti gaya hidup yang tidak
sihat ini. Sebagai contohnya, penyalahgunaan dadah boleh menyebarkan HIV yang
mengakibatkan AIDS. Ketagihan alkohol pula boleh menyebabkan penyakit kongenital,
sindrom otak organik dan lain-lain. Perlakuan seks bebas boleh menyebabkan jangkitan
penyakit kelamin seperti syphilis, gonorrhea, chlamydia, herpes dan sebagainya,
termasuklah AIDS. Gaya pemakanan yang tidak seimbang pula boleh menyebabkan
penyakit kardiovaskular, obesity, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.

Di seluruh dunia, amalan gaya hidup seks bebas dan tidak sihat telah menjadi punca utama
pelbagai penyakit jangkitan seks seperti yang telah disebutkan di atas. Dan kini, insiden ini
amat ketara pula di kalangan remaja. Menurut anggaran WHO atau World Health
Organization, setiap tahun, setiap seorang daripada 20 orang remaja akan dijangkiti
penyakit kelamin. Dan daripada 333 juta kes baru penyakit jangkitan kelamin, 111 juta kes
berlaku di kalangan belia berusia bawah 25 tahun. Jangkitan syphilis akan meningkat ke
tahap tertinggi bagi golongan berusia antara 15 dan 30 tahun berbanding kumpulan umur
lain. Setiap tahun, purata lebih daripada separuh kes baru HIV adalah di kalangan belia
berusia antara 15 dan 24 tahun. Di Amerika, terdapat 2 kes baru jangkitan HIV dalam
tempoh satu jam, manakala di Malaysia terdapat 13 jangkitan baru setiap hari,
sebagaimana menurut Kementerian Kesihatan (BH, Mei 17, 1999).

Trend ini akan berterusan dan akan menjadi bertambah buruk melainkan amalan gaya
hidup sihat menjadi teras kehidupan. Islam sememangnya sudah menyediakan garis
panduan tersendiri sebagai asas kepada amalan gaya hidup yang sihat ini terutamanya
dalam mencegah penyakit jangkitan kelamin. Dalam al Quran, surah Al Isra�, ayat 32
bermaksud

�dan janganlah kamu hampiri zina, kerana ia adalah seburuk-buruk perbuatan, yang
membawa kepada kejahatan�.

Daripada ayat ini, dengan tegas Allah memerintahkan umat Islam supaya menjauhkan diri
daripada perzinaan, apatah lagi melakukannya. Ayat ini juga melarang manusia mendekati
sebarang punca yang boleh membawa kepada terjadinya zina. Mereka ditegah sama sekali
melibatkan diri dengan perkara-perkara yang mencetuskan zina seperti menonton filem
atau membaca majalah lucah, bercerita tentang sesuatu yang lucah, menjual atau membeli
barangan berunsur kelucahan, bercampur gaul dengan bebas antara lelaki dan perempuan,
memberi isyarat berunsur seks dan sebagainya. Semua faktor ini mendorong kepada
perlakuan seks yang tidak sihat. Lebih baiklah menjauhi semua perkara ini sebelum
terjadinya perzinaan.

Pendekatan yang diberikan oleh Islam ini lebih bersifat behavioristic dan praktikal serta
menjurus kepada kaedah pencegahan. Ia menuntut agar umat manusia tidak membiarkan
diri mereka terjebak ke kancah perzinaan dan kemaksiatan yang jika terjadi akan
membawa kepada pelbagai implikasi buruk yang mungkin akan melibatkan perbelanjaan,
usaha dan tenaga yang banyak bagi tujuan rawatan dan perubatan. Malah, kadang kala
nyawa pula yang akan menjadi pertaruhannya.

Remaja pula sebagai satu kelompok yang kurang matang (walaupun waras) sering gagal
menilai implikasi tersebut. Apa yang terlintas di fikiran mereka hanyalah keseronokan tanpa
menilai risiko dan kerugian yang akan dialami kemudian. Berfikirlah, apakah mereka
sekadar ingin menikmati keseronokan yang sementara sifatnya tetapi akhirnya terpaksa
menanggung kerugian dari segi kewangan, kesihatan dan mungkin nyawa. Amalkanlah
gaya hidup sihat sebagaimana yang telah diajar oleh Islam.
http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=640&cmd=resetall

Remaja dan akhlak


Abu Bakar Bin Yang
Pegawai Penyelidik

00/00/0000 | Artikel Bahasa Malaysia

Perkembangan mutakhir, terutamanya menjelangnya abad 21, telah memperlihatkan


kepada kita akan gejala yang melanda negara kita berhubung dengan disiplin para
remaja. Berbagai pihak telah mengeluarkan hujah-hujah mereka untuk melepaskan diri
daripada tuduhan kegagalan mendisiplinkan para remaja terutamanya yang berada di
bangku sekolah.

Rata-rata masyarakat hari ini sedang kebingungan dengan fenomena keruntuhan


akhlak di kalangan remaja. Pelbagai persoalan ditimbulkan. Apakah pihak sekolah
selaku institusi pendidikan gagal menangani masalah itu? Bagaimana pula peranan
ibubapa dan keluarga? Sejauh manakah keprihatinan pemimpin dalam soal ini?
Bagaimana pula reaksi institusi agama dalam menanganinya?

Keruntuhan akhlak di kalangan remaja khususnya para pelajar dengan kewujudan


kumpulan-kumpulan samseng di sekolah-sekolah sejak akhir-akhir ini cukup
memilukan hati kita semua, kerana ianya menggambarkan betapa biadap dan
runtuhnya disiplin dan akhlak segelintir daripada golongan remaja kita.

Barangkali masih segar diingatan kita bagaimana seorang pelajar 8 tahun ditikam tidak
kurang dari sepuluh kali oleh pelajar tingkatan satu pada 21 Jun yang lalu hanya
kerana tidak memberikan wang sakunya. Begitu juga bagaimana deritanya seorang
pengawas di sebuah sekolah menengah di Kluang Johor dibelasah oleh sekumpulan
remaja dengan menggunakan besi dan rotan berpaku pada 3 Julai yang lalu. Betapa
hancurnya hati ibubapa seorang remaja perempuan berumur 16 tahun apabila ditahan
polis kerana menyertai kumpulan untuk merompak sebuah kondominium Prisma
Perdana, Cheras, pada 26 Mei. Lebih menyayat hati kita lagi apabila seorang remaja
perempuan berumur 16 tahun dituduh membunuh wanita berumur 58 tahun kerana
tidak memberikannya wang yang diminta pada 24 September yang lalu. Yang terkini
dan seolah-olah seperti menjadi barah yang begitu cepat merebak ialah kecenderungan
remaja membakar sekolah sebagai tanda protes dan tidak puas hati mereka kepada
para guru.

Kes-kes sebegini adalah sebahagian daripada keganasan yang membabitkan para


remaja khususnya para pelajar yang ternyata begitu berani mencabar undang-undang.
Dalam tempoh 10 tahun antara 1989 hingga 1998, kadar jenayah yang melibatkan
remaja lelaki meningkat sebanyak 35 peratus, remaja perempuan 25 peratus, dan
sepanjang tahun 1998 sebanyak 6338 kes baru yang membabitkan remaja telah
dilaporkan. Dalam laporan ini remaja Melayu yang beragama Islam adalah yang paling
banyak terbabit! (Berita Harian 12 Julai 2000)

Kumpulan pelajar ini seolah-olah telah hilang pertimbangan diri dan kewarasan fikiran.
Mereka bertindak sesuka hati dan perbuatan mereka terkeluar dari jangkaan kita yang
waras. Kita juga tentu bersimpati dengan para guru di sekolah-sekolah yang terbabit
apabila imej sekolah yang selama ini dianggap mulia, tempat mencurahkan ilmu bagi
mendidik anggota masyarakat, telah menjadi mangsa segelintir pelajar yang masih
terbelengu dengan perangai yang tidak bertamadun. Bagaikan pepatah �madu diberi,
tuba yang dibalas�.

Segala persoalan berkenaan akan terjawab dengan mengkaji dan menilai kembali
pengertian sebenar konsep pendidikan, tujuan dan peranannya terhadap pembangunan
insan dalam sesebuah masyarakat dan negara.

Tanpa menuding jari ke arah mana-mana pihak, semua patut insaf betapa
kemerosotan akhlak dan moral pelajar serta generasi muda menandakan ada kesilapan
pada bahagian tertentu pendidikan, sama ada formal atau tidak formal.

Sebelum dikaji konsep pendidikan, kita perlu sedar dan insaf bahawa pendidikan
bukanlah tugas pihak tertentu, tetapi adalah amanah dan tanggungjawab semua �
meliputi individu, ibubapa dan keluarga, pemimpin masyarakat dan negara.

Setiap insan bertanggungjawab, bahkan wajib mendidik dirinya sendiri dengan mencari
pelbagai cabang ilmu dan maklumat serta memilih pengalaman hidup yang positif bagi
membentuk cara berfikir dan bertindak yang tepat dan dapat diterima oleh agama,
budaya dan nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan yang universal. Tegasnya,
pendidikan adalah tanggungjawab setiap individu tanpa kompromi.

Dari sudut penakrifannya, pendidikan adalah �suatu proses penyemaian ilmu secara
berterusan kepada insan�. Prof. Syed Mohd. Naquib al-Attas mendefinisikan
pendidikan sebagai �satu usaha atau proses menitiskan sesuatu ke dalam diri
manusia�. Dr. Abdul Halim el-Muhammady pula menyatakan bahawa �pendidikan
Islam itu sebagai satu proses mendidik dan melatih akal, jasmani, rohani dan emosi
manusia berasaskan sumber wahyu, al-Quran dan as-Sunnah, pengalaman salaf al-
soleh serta ilmuan muktabar dengan matlamatnya untuk melahirkan insan yang
soleh�. Sementara Imam al-Ghazali pula mengatakan �pendidikan itu ialah
mengeluarkan perangai yang buruk yang ada pada manusia dan menyemaikan
perangai dan sifat yang baik�. Secara umumnya, daripada pandangan-pandangan di
atas kita boleh mengatakan bahawa pendidikan itu bersifat dalaman dengan
bermatlamatkan melahirkan insan yang sempurna dan berakhlak mulia serta ianya
proses yang mengambil masa yang panjang.
Walau apapun definisi yang diberikan, dalam memahami pengertian pendidikan, tiga
perkara perlu diberi perhatian iaitu proses pendidikan, jenis ilmu dan konsep insan.
Secara formalnya, proses pendidikan dilaksanakan dengan perantaraan pelbagai sistem
atau peralatan canggih bagi menyalurkan ilmu dan maklumat.

Bagi golongan pendidik, terutamanya para guru mereka perlulah memiliki minat yang
mendalam, kewibawaan ilmu dan keperibadian yang luhur untuk memastikan kejayaan
proses pendidikan. Remaja sukar menerima ilmu dan mencontohi guru yang tidak
serius, apatah lagi yang boleh dipertikaikan peribadi dan akhlaknya walaupun dalam
perkara yang dianggap remeh seperti merokok, cara bercakap dan berpakaian. Rasa
hormat kepada guru adalah antara syarat asas dalam memastikan kejayaan
penyaluran ilmu dan nilai-nilai yang baik kepada para remaja.

Dalam konteks tidak formal pula seperti dalam institusi keluarga, ibubapa perlu
sentiasa menyingkirkan sifat negatif daripada menjadi amalan dalam rumahtangga.
Bayangkan konflik jiwa kepada anak jika ibubapa setiap hari menghantar anak ke kelas
fardu a�in tetapi si anak mengetahui ibubapanya tidak pernah sembahyang atau cuma
ke masjid seminggu sekali.

Sementara dalam bidang kepimpinan pula, pemimpin perlu mengawasi diri daripada
bersikap �cakap tak serupa bikin� untuk memastikan keberkesanan
kepemimpinannya yang juga suatu bentuk pendidikan.

Pendeknya, untuk melahirkan generasi remaja yang berakhlak mulia memerlukan


kepada penglibatan yang serius dari semua pihak. Tanpa kerjasama dari setiap pihak
yang terlibat akan membantutkan usaha untuk mendisiplin remaja. Kita juga turut
bimbang masa depan para remaja kini lebih-lebih lagi di era globalisasi yang tiada lagi
batas sempadan komunikasi yang menjanjikan sesuatu yang kita sendiri tidak pasti.

http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=675&cmd=resetall

Remaja dan keseimbangan ilmu


Abu Bakar Bin Yang
Pegawai Penyelidik

00/00/0000 | Artikel Bahasa Malaysia

Kepentingan ilmu dalam kehidupan adalah suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan
lagi, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menjadikan masyarakat kita masyarakat yang
berilmu dan berinformasi. Bagi kita orang Islam, terutamanya para remaja yang bakal
mengisi kepimpinan negara masa depan, jenis ilmu yang wajar dipelajari adalah yang
mampu membentuk sudut pandangan hidup yang sempurna dan sederhana. Ianya
menuntut kepada keseimbangan ilmu agama dan dunia.

Setiap cabang ilmu perlulah diisi dengan semangat dan roh keagamaan, akhlak atau
nilai murni dan moral supaya terasa kesannya dalam jiwa. Ilmu yang dipelajari adalah
untuk diamalkan bagi memberi kesan positif kepada mereka yang mempelajarinya.
Ilmu yang berguna tetapi tidak diamalkan adalah punca terbesar kepincangan dalam
hidup manusia.

Selain itu, aspek yang perlu juga diberi penekanan ialah konsep insane. Konsep ini
perlulah difahami oleh para remaja kita dengan mengambilkira aspek kejadian manusia
yang meliputi rohani dan jasmani. Kedua-duanya perlu diberikan perhatian serius
dalam pendidikan dan wajib dikembangkan secara seimbang.Setiap kegiatan
penyaluran ilmu dan maklumat atau latihan kemahiran wajib disulami dengan unsur
keagamaan, seperi kesedaran terhadap aspek keTuhanan dan nilai-nilai akhlak. Jangan
sekali-sekali menganggap kesedaran agama adalah hanya diterapkan apabila berada di
kelas atau ceramah agama sahaja.

Setiap pihak, terutama pendidik dan ibubapa, bertanggungjawab membuat perubahan.


Kegagalan memberikan perhatian terhadap aspek berkenaan bakal melahirkan manusia
yang gagal bertanggungjawab terhadap perbuatannya kerana tiada keyakinan terhadap
persoalan kerohanian, seperti pembalasan selepas mati. Kesannya mereka hanyalah
hidup umpama mesin biologi untuk memenuhi keperluan biologikal sahaja.

Pendidikan bertujuan menghasilkan perubahan positif kepada pembentukan pemikiran


dan tindakan seseorang individu yang seterusnya akan membolehkannya berfungsi
dengan sempuna dalam masyarakat atau ruang lingkup kegiatannya, sama ada di alam
persekolahannya, perkerjaannya, rumah tangganya atau sebagainya.

Tanpa suatu arah perubahan tertentu, lebih-lebih lagi jika yang tertayang pada peribadi
berkenaan adalah perubahan negatif, bererti sudah berlaku suatu bentuk kegagalan
dalam usaha pendidikan. Kegagalan berkenaan tidak semestinya berlaku pada
peringkat pendidikan formal. Banyak sifat negatif berakar umbi daripada pendidikan
dalam keluarga, terutama keluarga yang porak peranda dengan seribu satu masalah.
Kegagalan memupuk akhlak terpuji kepada insan adalah suatu tragedi kerana tujuan
asas pendidikan sudah tersasar jauh daripada mencapai matlamatnya.

Bayangkanlah apabila kandungan pendidikan yang tidak seimbang menghasilkan


manusia yang tidak jelas �standard� moralnya atau hala tuju hidupnya. Kehidupan
harian mereka adalah untuk memenuhi keperluan biologikal, seperti makan-minum,
perlindungan, berkeluarga, dengan tanpa memiliki tanggungjawab yang lebih besar
dan murni untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Apabila hasrat, terutama
pendidikan untuk melahirkan perubahan positif pada corak pemikiran dan perbuatan
tidak tercapai - inilah tragedi � kesudahan yang paling menyayat hati dalam sesuatu
usaha pendidikan.

Kegagalan seperti ini patut dibuat �bedah-siasat� berdasarkan pertimbangan


terhadap pelbagai faktor, seperti tahap kewibawaan ilmu dan peribadi guru, kesahihan
sistem pendidikan yang dipakai, kadar sokongan ibubapa dan keluarga, keprihatinan
dan kewibawaan pemimpin setiap peringkat serta suasana persekitaran masyarakat
dan negara di mana membesarnya seseorang individu. Penilaian yang sahih dan
saksama dengan mengenepikan unsur sentimen dan prejudis bakal membuka ruang ke
arah penyelesaian yang lebih konkrit.

Keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa pendidikan adalah amanah bagi semua


pihak. Memahami konsep pendidikan sebenar akan memudahkan pemahaman
matlamat atau tujuan pendidikan. Keberhasilan sesuatu usaha pendidikan di mana-
mana peringkat adalah ditinjau daripada sejauh mana perubahan positif yang mampu
dicapai dalam selang masa tertentu terhadap seseorang.

Tujuan ilmu adalah untuk diamalkan dengan memaksimumkan kebaikan yang


diperolehi untuk diri dan masyarakat. Sekiranya semakin lama seseorang manusia
hidup dan menerima pendidikan, sama ada secara formal atau tidak tetapi semakin
negatif corak pemikiran dan perilakunya, jelaslah ini adalah suatu tragedi dan mala
petaka kepada pendidikan. Langkah yang tepat perlu diambil segera.

Siapa pun tidak dapat menafikan bahawa kalangan remaja khususnya pelajar adalah
merupakan aset dan potensi yang amat perlu dipelihara, kerana untung nasib masa
depan sesebuah masyarakat dan negara adalah terletak sepenuhnya di atas bahu
mereka. Mereka adalah pewaris yang sah tamadun masakini untuk dilanjut dan
dipertingkatkan mutunya pada masa akan datang.

Dalam konteks negara kita, kalangan remaja merupakan lebih dari separuh
keseluruhan penduduk negara. Maka kita tentunya tidak akan membiarkan remaja
dengan permasalahannya begitu sahaja tanpa ada sebarang jalan penyelesaian. Satu
kaedah yang mantap dan sesuai perlulah dicari supaya para remaja kita tidak
berterusan terperangkap di bawah penguasaan unsur-unsur negatif.

Untuk mewujudkan gaya hidup dan budaya yang berkualiti dan bermutu, selain
daripada menyediakan pendekatan pendidikan yang Islamik seperti yang telah
d\iketengahkan, kita nampaknya tidak ada banyak pilihan melainkan mewujudkan
sistem kawalan sosial yang berkesan di pelbagai peringkat kehidupan. Sistem kawalan
sosial yang rapi tetapi munasabah mestilah diwujudkan bermula dari institusi keluarga
dan persekolahan hinggalah kepada institusi perundangan dan pentadbiran negara.

Pihak berkuasa mestilah mempunyai visi yang jelas tentang kualiti dan mutu budaya
serta gaya hidup yang dikehendaki. Selaras dengan itu, meletakkan garis panduan
yang mesti diikuti oleh setiap pihak yang terlibat, terutamanya saluran media yang
nampaknya begitu berpengaruh dalam membentuk pemikiran dan perilaku remaja
masa kini. Untuk itu, cuma gaya hidup yang sesuai dengan kualiti dan mutu yang
dikehendaki sahaja yang diberi sanjungan dan ditonjolkan dalam setiap kesempatan
yang ada.

Yang terakhir, malah yang terpenting dalam hubungan ini ialah keperluan kepada
wujudnya satu falsafah khusus yang mendasari visi dan cita-cita yang dipegang oleh
pihak yang berkuasa supaya rujukan dapat dibuat kepada falsafah tersebut dalam
setiap aktiviti yang dilaksanakan. Pastinya, falsafah Islam adalah pilihan kita kerana
pendekatannya telah terbukti mampu menyelesaikan sebarang permasalahan manusia
dari dulu hingga sekarang. Hanya pendekatan Islam sahajalah yang dapat merungkai
dan menyelesaikan permasalahan akhlak remaja masa kini, sesuai dengan sabda
Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya:

�Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia�

http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=676&cmd=resetall

You might also like