You are on page 1of 33

KANDUNGAN

BIL PERKARA MUKA SURAT

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan 3

1.2 Pernyataan Masalah 6

1.3 Tujuan Kajian 7

1.4 Objektif Kajian 7

1.5 Kepentingan Kajian 8

1.6 Definisi Konsep dan Operasional 8

1.7 Kerangka Konseptual 11

2.0 ULASAN KEPUSTAKAAN

2.1 Biografi Ibnu Khaldun 12

2.2 Pemikiran Ibnu Khaldun 12

2.3 Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Sains 17

2.4 Persamaan Antara Pemikiran Ibnu Khaldun Dengan Strategi Pengajaran

Dan Pembelajaran Sains 20

3.0 METODOLOGI KAJIAN

3.1 Rekabentuk Kajian 20

3.2 Responden Kajian 20

3.3 Instrumen Kajian 20

3.4 Prosedur Kajian 20

4.0 DAPATAN DAN ANALISIS 21

5.0 PERBINCANGAN 26

6.0 KESIMPULAN, RUMUSAN DAN CADANGAN 29

1
7.0 PENUTUP 30

RUJUKAN 31

LAMPIRAN 1 32

2
1.0 PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Wawasan 2020 merupakan satu agenda penting negara untuk menjadikan Malaysia sebuah

negara industri dan maju mengikut acuan kita sendiri. Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan

mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya

tersendiri tanpa terikut kepada cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan

yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak diukur dari segi pencapaian

lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu masyarakat yang

sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain.

Selaras dengan itu, salah satu agenda penting kerajaan adalah untuk membangunkan satu sistem

pendidikan bertaraf dunia (KPM 2006). Sistem pendidikan ini akan memberi penekanan kepada

pembangunan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral, beretika tinggi serta

berpengetahuan dan berkemahiran.Ini juga bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

iaitu :

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi

potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan

seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan

kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,

berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejateraan diri serta

member sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.

(KPM 1990)

3
Pendidikan merupakan proses yang berterusan dari lahir sehingga ke akhir hayat. Malahan dalam

Islam, pendidikan bermula dari dalam kandungan ibu lagi di mana ibu-ibu digalakkan membaca

doa-doa dan ayat-ayat tertentu semasa mengandung. Kemudian setelah anak itu lahir, mereka

menerima pendidikan asas di rumah yang dibimbing oleh ibu bapa mereka. Peringkat ini sangat

penting dalam perkembangan sahsiah kanak-kanak. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang

bermaksud :

“ Ajarlah anakmu mengerjakan sembahyang ketika ia berusia tujuh tahun, pukullah jika ia

meninggalkannya semasa berusia sepuluh tahun dan pisahkanlah mereka dari tidur

bersamamu.” (Riwayat Tirmizi)

Anak-anak dilahirkan ke dunia ini bukan untuk gagal tetapi untuk menjadi khalifah yang

memimpin dunia ini. Sebagai khalifah, pasti Tuhan membekalkan mereka dengan akal yang

sempurna, bakat, kebolehan serta keupayaan yang luar biasa. Menurut Tengku Asmadi (2008)

tugas ibu bapa sebagai pendidik utama dalam rumahtangga adalah membongkar semua potensi

dan kehebatan yang ada dalam diri anak-anak.

Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, potensi harus dikembangkan secara menyeluruh dan

bersepadu dalam setiap aktiviti kehidupan manusia berlandaskan nilai-nilai murni dan juga

norma-norma masyarakat. Semua potensi akan berkembang secara sepadu dari segala aspek

samada jasmani, emosi, rohani dan intelek. Maka akan lahirlah insan yang seimbang dan

harmonis yang memiliki dan menghayati ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai

kepercayaan dan keyakinan yang teguh kepada Tuhan, mempunyai fikiran dan jiwa yang

tenteram, tubuh badan yang sihat dan cergas serta dapat bekerjasama dengan orang lain.

4
KBSM telah digubal bagi mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan meningkatkan

mutu pendidikan negara. Asas kepada KBSM adalah falsafah kesepaduannya dimana daya

keintelektuan perlu berasaskan akidah dan berpaksikan tauhid. Setiap aspek samada aspek logik,

nilai, metafizik dan epistimologi telah diberi penekanan yang sewajarnya dalam perlaksanaan

KBSM. Konsep kesepaduan dalam KBSM ini mampu melahirkan insan soleh dan berakhlak

mulia.

Sains adalah satu bidang yang dinamik, objektif dan universal. Ianya tidak harus dipandu oleh

akal semata-mata tetapi mesti berpaksikan ilmu wahyu dan akidah. Ini adalah kerana pemikiran

akal manusia adalah terhad dan tidak dapat memahami hikmah-hikmah disebalik kejadian-

kejadian sains. Dalam Islam, sains mempunyai dua matlamat iaitu jangka pendek dan jangka

panjang. Matlamat jangka pendek ialah mengenali hakikat kejadian alam serta memanafaatkan

ilmu itu bagi kebaikan semua manakala matlamat jangka panjang ialah mengagung dan

membesarkan Allah s.w.t.(Danial 2008). Ini berbeza dengan pemikiran sains barat yang hanya

mementingkan individu atau ahli sains semata-mata hasil dari pemikiran dualisme mereka.

Dengan itu mereka secara jelas memisahkan diantara benda dan roh dan menjadikan alam

terdedah kepada manipulasi sains dan manusia meletakkan alam ke dalam genggaman mereka

sendiri (Cemil,2008).

Bagi mencapai matlamat sains yang berkonsepkan tauhid ini, metodologi dan pendekatan yang

diambil mesti berasaskan kepada syariat dan akhlak agar iannya tidak mendatangkan

kemudaratan kepada individu, alam sekitar dan masyarakat. Strategi-strategi pengajaran dalam

pendidikan sains perlu disesuaikan dengan idea-idea pemikir-pemikir Islam. Ibnu Khaldun

5
merupakan pemikir hebat Islam yang idea-ideanya telah menyumbang kepada sejarah pemikiran

manusia samada di dunia barat atau Islam. Walaupun hidup pada kurun ke-14, idea-idea tulen

dan inovatifnya masih lagi bersinar, berguna dan relevan sehingga kini. Ianya diterimapakai

oleh semua golongan samada sejarawan, ahli politik, ahli teologi, ahli ekonomi, guru dan juga

pendidik.

1.2 PERNYATAAN MASALAH

Pendidikan pada hari ini lebih mementingkan kepada keputusan yang cemerlang dalam

peperiksaan daripada membentuk sahsiah pelajar. Dengan itu lahirlah cerdik pandai yang hanya

mementingkan keduniaan semata-mata tanpa mempedulikan aspek-aspek rohaniah. Mereka

menjadi professional yang berkiblatkan kepada aspek material sehingga melupakan matlamat

kehidupan yang sebenar.Sedangkan dalam Al-Quran, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Tidaklah Aku menjadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu”

Menurut para ulama, konsep ibadah disini bukan bermakna ibadah ritual semata-mata malah

setiap perbuatan manusia dikira sebagai ibadah sekiranya mereka melakukannya kerana Allah

s.w.t. Inilah yang menjadi maksud manusia dijadikan oleh Allah s.w.t.

Dalam Falsafah pendidikan Kebangsaan, pendidikan adalah bertujuan melahirkan insan yang

seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, strategi-strategi

dalam pengajaran dan pembelajaran mestilah menjurus ke arah itu. Pemikiran Ibnu Khaldun

6
adalah antara strategi-strategi yang perlu diterapkan kepada pelajar untuk melahirkan insan yang

menepati kehendak dan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hasilnya, akan lahirlah

cendiakawan-cendiakawan yang berfikiran tinggi dengan paradigm-paradigma baru seperti para

professional yang bukan sahaja mahir dalam bidang mereka malah menjadi insan yang bertakwa

kepada Allah s.w.t. Mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t

kerana kemantapan akidah yang ada dalam diri mereka. Keyakinan yang mantap dalam diri

mereka menjadi penghalang daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar.

1.3 TUJUAN KAJIAN

Tujuan kajian ini adalah untuk melihat bagaimana penerapan pemikiran Ibnu Khaldun dalam

strategi pengajaran dan pembelajaran sains dapat melahirkan insan jauhari dan bestari serta

memenuhi hasrat Falsafah pendidikan Kebangsaan.

1.4 OBJEKTIF KAJIAN

Kajian tentang membangunkan modal insan dengan menerapkan pemikiran Ibnu Khaldun

mempunyai objektif seperti berikut:

i) Mendapatkan pandangan guru bahawa penerapan pemikiran Ibnu Khaldun dapat

melahirkan insan jauhari dan bestari.

ii) Mengenalpasti amalan penerapan pemikiran Ibnu Khaldun dalam kalangan guru-guru

sains.

7
iii) Menilai pandangan guru tentang kerelevanan penerapan pemikiran Ibnu Khaldun

dengan strategi pengajaran dan pembelajaran sains.

1.5 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini dilakukan untuk menilai sejauh mana guru-guru sains menerapkan pemikiran Ibnu

Khaldun dalam pengajaran dan pembelajaran sains di sekolah. Ini adalah kerana strategi-strategi

pengajaran yang digariskan oleh Ibnu Khaldun mampu untuk melahirkan insan jauhari dan

bestari . Modal insan yang berkualiti ini adalah sangat penting untuk membangunkan negara

selaras dengan hasrat Falsfah Pendidikan Kebangsaan dan wawasan 2020.

1.6 DEFINISI KONSEP DAN OPERASIONAL

1.6.1 Pemikiran Ibnu Khaldun

Ibnu Khaldun adalah pemikir hebat yang mana kehebatan, keunggulan dan keaslian pemikiran

beliau dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dapat dibuktikan dengan terjumpanya karya-

karya beliau seperti Muqaddimah. Pemikiran beliau adalah asli dan mengandungi idea-idea yang

inovatif, segar dan futuristik. Beliau meninggalkan satu legasi keilmuan untuk ditelaah, ditekuni,

dibedah dan diambil hikmah daripadanya. Pandangan dan pemikiran beliau sering dijadikan

rujukan oleh tokoh-tokoh dunia kontemporari (Zaid, 2008)

Menurut Fahri (2001), terdapat beberapa pandangan Ibnu Khaldun berkenaan dengan pendidikan

yang sangat sesuai dan amat bermanafaat digunakan dalam sistem pendidikan . Antaranya ialah :

8
i. Ilmu perlu disampaikan secara berperingkat-peringkat berdasarkan tahap keupayaan

pelajar

ii. Pelajar tidak sepatutnya dipaksa untuk mengingati sesuatu subjek pada peringkat awal

pengajaran

iii. Sesuatu subjek perlu diajar secara berterusan, tidak terpisah dan sistematik.

iv. Dua subjek tidak sepatutnya diajar pada masa yang sama.

v. Terlalu banyak maklumat pada satu masa pengajaran tidak digalakkan.

vi. Tidak terlalu tegas dan agresif kepada pelajar

vii. Lawatan dan pertemuan dengan pakar adalah sangat berguna dalam pendidikan

viii. Teori mesti diikuti dengan amali

ix. Belajar sains memerlukan kemahiran

Satu lagi idea Ibnu Khaldun menurut Tajul dan Nor’ Aini (1992) ialah guru-guru perlu

menggunakan contoh-contoh berupa alat bantu mengajar untuk memudahkan pengajaran.

1.6.2 Definasi Pemikiran Ibnu Khaldun Secara Operasi

Dalam kajian ini, hanya beberapa definasi yang mencapai tahap pemikiran tinggi sahaja yang

dikaji iaitu ilmu diberi secara berperingkat berdasarkan tahap keupayaan pelajar, lawatan dan

perbincangan bersama pakar, teori perlu diikuti dengan amali dan penggunaan alat bantu

mengajar

1.6.3 Strategi Pengajaran dan Pembelajaran

Strategi pengajaran dan pembelajaran adalah pendekatan yang digunakan dalam pengajaran dan

pembelajaran samada berpusat guru, bahan atau murid. Antara kaedah-kaedah yang biasa

digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kaedah inkuari, lawatan, bermain, diskusi,

9
pemudahcaraan, kumpulan, projek, kelas, modul, individu, bercerita, koperatif, kolaboratif,

penyelesaian masalah, demonstrasi dan simulasi.

1.6 KERANGKA KONSEPTUAL

Kerangka konseptual ini diadaptasi daripada kerangka konseptual yang dikemukakan oleh Tajul

dan Nor’ Aini (2002) mengenai pendidikan dan wawasan 2020. Dalam kerangka konseptual ini

(Rajah 1), ia bermula dengan pendidikan bersepadu yang merupakan proses pendidikan yang

mementingkan keperluan dunia dan akhirat. Seterusnya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang

menekankan kepada perkembangan potensi individu untuk mewujudkan insan yang seimbang

dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Berdasarkan Falsafah ini, rancangan

KBSM dilaksanakan bertujuan melahirkan insan yang baik. Selain daripada itu, KBSM bertujuan

melahirkan pelajar yang boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat dan berfungsi secara

berkesan dan produktif dalam proses keharmonian dan pembangunan negara. Pemikiran Ibnu

Khaldun yang mencapai tahap pemikiran tinggi seterusnya diterapkan dalam pengajaran dan

pembelajaran sains. Pemikiran Ibnu Khaldun yang mencapai tahap pemikiran tinggi ialah ilmu

diberi secara berperingkat berdasarkan tahap keupayaan pelajar, lawatan dan perbincangan

bersama pakar, teori perlu diikuti dengan amali dan penggunaan alat bantu mengajar.

Melalui penerapan pemikiran Ibnu Khaldun ini, akidah pelajar menjadi lebih mantap disamping

keupayaan berfikir yang tinggi. Contohnya melalui penggunaan alat bantu mengajar, pelajar

dapat melihat setiap kejadian sains dengan mata mereka sendiri dan ini menguatkan lagi

keimanan mereka apabila dihubungkan dengan Allah s.w.t. Begitu juga melalui lawatan, pelajar

dapat merasai pengalaman sebenar di lapangan. Dengan itu lahirlah insan jauhari dan bestari.

10
Rajah 1 : Kerangka Konseptual Kajian

PENDIDIKAN
BERSEPADU

FALSAFAH PENDIDIKAN
KEBANGSAAN

KURIKULUM BERSEPADU
SEKOLAH MENENGAH
(KBSM)

PEMIKIRAN IBNU KHALDUN


o Ilmu diberi secara berperingkat berdasarkan
tahap keupayaan pelajar
o Lawatan dan perbincangan bersama pakar
o Teori perlu diikuti dengan amali
o Penggunaan alat bantu mengajar

INSAN JAUHARI DAN BESTARI

11
1.0 ULASAN KEPUSTAKAAN

2.1 Biografi Ibnu Khaldun

Nama lengkap Ibnu Khaldun ialah Abdul Rahman Zaid Waliuddin bin Muhammad. Beliau

dilahirkan pada 1 Ramadhan 732H bersamaan dengan 27 Mei 1332M di Tunisia. Gelaran Ibnu

Khaldun merujuk kepada moyangnya yang bernama Khalid bin Uthman iaitu seorang yang

berbangsa Arab Yaman yang memasuki Andalus kira-kira abad ke 7 Masihi. Masyarakat

Andalus dan Maghribi telah menukar panggilan “Khalid” menjadi “Khaldun” sebagai simbol

penghormatan dan sanjungan terhadapnya. Menurut Ibnu Hazm, keluarga Ibnu Khaldun berasal

dari wilayah Hadramaut di Yaman di mana salsilah keturunan beliau bersambung daripada

Sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Wail bin Hajr yang pernah meriwayatkan 70 Hadith dari

Rasulullah s.a.w.

Ibnu Khaldun dilahirkan dalam keluarga yang berpengaruh dan berpendidikan tinggi. Semenjak

kecil lagi beliau mendapat pendidikan dalam pelbagai ilmu Islam seperti al-Quran, Al-Hadith,

perundangan Islam, kesusasteraan, falsafah, bahasa, mantik dan logik sehingga menjadikan

beliau seorang cendikiawan yang agung. Beliau terlibat secara aktif dalam bidang pendidikan,

pengajaran, politik serta pentadbiran negara. Karya beliau yang paling terkenal ialah

“Mukaddimah” di mana sebahagian besar tulisannya berkait dengan ilmu dan pendidikan.

2.2 Pemikiran Ibnu Khaldun Tentang Pendidikan

Menurut Tajul & Nor’ Aini (1992), Ibnu Khaldun memandang pendidikan sebagai salah satu

industri yang berkembang dalam sebarang masyarakat yang mempunyai kepentingan dalam

kehidupan individu. Menurut Ibnu Khaldun, tujuan utama pendidikan ialah memberi kesempatan

kepada fikiran untuk aktif bekerja dan ini membuka fikiran ke arah kematangan individu. Beliau

12
membahagikan ilmu kepada ‘naqliyyah’ dan ‘aqliyyah’. Ilmu naqliyyah wajib dipelajari oleh

setiap muslim untuk memandu kehidupan mereka manakala ilmu ‘aqliyyah’ harus dipelajari oleh

seluruh manusia untuk kematangan dan pengembangan akal fikiran. Idea-idea Ibnu Khaldun ini

selaras dengan hasrat Falsafah pendidikan Kebangsaan yang menekankan kepada pendidikan

seumur hidup. Pendidikan yang baik akan melahirkan bangsa yang kuat dan mulia sebaliknya

pendidikan yang rapuh menyebabkan bangsa itu lemah dan hina.

Berikut adalah antara pemikiran Ibnu Khaldun berkaitan dengan proses pembelajaran :

a) Ilmu perlu disampaikan secara berperingkat-peringkat berdasarkan tahap keupayaan


pelajar

Penyampaian ilmu seharusnya berperingkat-peringkat daripada aras rendah kepada aras tinggi

kerana ianya akan memudahkan pemahaman pelajar. Guru perlu mengambil kira tahap

keupayaan pelajar dalam menyampaikan sesuatu ilmu. Ini diakui oleh Bloom (1956) yang

menyarankan taksonomi pembelajaran yang terdiri dari tiga domain iaitu kognitif, psikomotor

dan afektif. Domain kognitif melibatkan enam aras bermula dengan pengetahuan dan diikuti

dengan kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan akhirnya penilaian. Ini bermakna pelajar yang

berkeupayaan rendah perlu diberi tahap pengetahuan terlebih dahulu diikuti tahap kefahaman

dan seterusnya. Teori ini disokong oleh Biggs & Collis (1982) dengan ‘SOLO (Structure of The

Observed Learning Outcomes) taxonomy’ yang memberi penekanan kepada “Surface learning”

dan “Deep Learning” di mana “Surface learning” hanya melibatkan fakta, maklumat dan silibus

sahaja manakala “Deep Learning” melibatkan maksud, pemikiran yang dalam, tujuan hidup dan

refleksi. Dalam Islam, penurunan wahyu atau Al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w.

dilakukan secara berperingkat-peringkat oleh Allah s.w.t.untuk memudahkan manusia

memahami dan melaksanakannya. Rasulullah s.a.w juga mendidik ummatnya secara

13
berperingkat-peringkat supaya ianya tidak menjadi kejutan kepada manusia. Dalam pendidikan

anak-anak, Rasulullah s.a.w. membahagikannya kepada empat peringkat iaitu antara umur 1-7

tahun, 7-14 tahun, 14-21 tahun dan lebih 21 tahun. Ini akan memudahkan pembentukan manusia

dan melahirkan insan jauhari lagi bestari.

Menurut Ibnu Khaldun lagi, guru perlu mengulangi sesuatu subjek lebih dari tiga kali sehingga

pelajar benar-benar faham dan biasa dengan subjek tersebut . Ini bertepatan dengan strategi

pembelajaran masteri yang merupakan satu pendekatan yang memastikan semua murid

menguasai objektif pembelajaran yang ditetapkan. Menurut PPK(2002), Pendekatan masteri

berpegang kepada prinsip bahawa setiap murid mampu belajar jika diberi peluang. Peluang perlu

diberi kepada murid untuk belajar mengikut kadarnya, tindakan pengayaan dan pemulihan perlu

dijadikan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran

b) Pelajar tidak sepatutnya dipaksa untuk mengingati sesuatu subjek pada peringkat awal
pengajaran

Sesetengah guru biasanya menerangkan aspek-aspek yang sukar bagi sesuatu subjek pada

peringkat awal pengajaran yang menyebabkan pelajar sukar untuk memahaminya. Ini

menyebabkan pelajar akan cuba menghafal suatu perkara yang tidak difahami dengan jelas

sedangkan otak mereka tidak dapat menerimanya. Pelajar menjadi malas dan minda mereka akan

menolak segala maklumat yang mengakibatkan masa pengajaran menjadi lama. Ini merupakan

kaedah pengajaran yang lemah dan membosankan.

Menurut Ibnu Khaldun, guru sepatutnya tidak membebankan pelajar dengan pelajaran yang

melangkaui keupayaan mereka. Dalam pengajaran perlu ada ulangkaji dan hafalan perlu

dielakkan melainkan kes-kes tertentu yang tidak dapat dielakkan.

14
c) Sesuatu subjek perlu diajar secara berterusan, tidak terpisah dan sistematik.

Perbincangan sesuatu subjek seharusnya berterusan dengan cara yang tersusun sehingga selesai.

Ianya perlu mengikut urutan dan sistematik tanpa gangguan supaya mudah difahami dan kekal

dalam ingatan. Input yang diberikan secara tersusun akan mudah diserap ke dalam otak dan

menghasilkan output yang tersusun juga.

d) Dua subjek tidak sepatutnya diajar pada masa yang sama.

Dua subjek tidak sepatutnya diajar pada masa yang sama atau dicampuradukkan dengan subjek

yang lain. Penumpuan kepada mempelajari dua subjek pada masa yang sama menyebabkan

sesuatu ilmu itu tidak lengkap dan maklumat tidak akan diserap dengan betul

e) Terlalu banyak maklumat pada satu masa pengajaran tidak digalakkan.

Menurut Ibnu Khaldun, terlalu banyak maklumat pada satu masa pengajaran menyebabkan

kesukaran mempelajari maklumat yang sebenar. Beliau membahagikan sains kepada ‘science-

means’ dan ‘science-purposes’. Beliau percaya bijak pandai pada masakini yang memberikan

penekanan kepada ‘science-means’telah membuahkan hasil yang negatif dalam mempelajari

subjek tersebut.

f) Tidak terlalu tegas dan agresif kepada pelajar

Bertindak terlalu tegas dan agresif kepada pelajar semasa pengajaran terutamanya kepada pelajar

yang masih muda (kanak-kanak) adalah sangat tidak digalakkan. Ianya akan memberi kesan

yang negatif kepada pelajar. Tindakan ini juga memberi kesan psikologi kepada mereka dan

membantutkan keinginan mereka untuk belajar dan bekerja. Disebabkan ketakutan, kanak-kanak

ini akan menjadi tidak sopan dan mungkinakan berbohong. Mereka akan belajar untuk

melakukan tindakan yang bertentangan dengan kehendak hati mereka dan tindakan ini

15
membentuk karektor mereka. Justeru, ibu bapa dan guru sepatutnya tidaklah terlalu agresif untuk

mengajar mereka ketaatan dan sifat-sifat yang baik.

g) Lawatan dan pertemuan dengan pakar adalah sangat berguna dalam pendidikan

Seseorang itu biasanya mempelajari pengetahuan, etika, pandangan dan nilai dari guru atau

orang yang mahir dalam bidang berkenaan. Guru dan pakar-pakar dalam bidang tertentu ini

merupakan ‘role model’ untuk diikuti dan diteladani. Oleh itu, dengan mengadakan lawatan

bersama guru dan perbincangan dengan pakar menyebabkan seseorang pelajar itu akan lebih

memahami sesuatu ilmu yang dipelajari. Lawatan juga akan mendedahkan mereka kepada

pengalaman sebenar di lapangan. Ini bertepatan dengan kaedah pembelajaran kontekstual yang

mengaitkan pembelajaran dengan pengalaman sebenar di luar bilik darjah.

h) Teori mesti diikuti dengan amali

Ibnu Khaldun menekankan kepentingan mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam bentuk

amali seperti memerhati, merasai dan melakukan eksperimen. Ini menjadikan sesuatu ilmu itu

mudah difahami oleh pelajar. Melalui amali atau eksperimen, pelajar melihat sendiri proses yang

berlaku. Menurut PPK (2001), sains mengutamakan kaedah inkuiri dan penyelesaian masalah

dimana dalam proses ini kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir digunakan.

i) Belajar sains memerlukan kemahiran

Ibnu Khaldun percaya bahawa mempelajari sains memerlukan kemahiran. Tradisi sangat penting

dalam pengajaran dan perlu disokong untuk pembangunan sains

j) Alat bantu mengajar digunakan untuk memudahkan pengajaran.

Ibnu Khaldun menyarankan guru-guru supaya menggunakan alat bantu mengajar untuk

memudahkan pengajaran. Menurut Tajul dan Nor’ Aini (1992), idea Ibnu Khaldun selari dengan

16
bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang ditekankan dalan KBSM sekarang dimana setiap

guru disarankan menyusun dan merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan baik

dari segi pemilihan, penyesuaian dan penggunaan bahan-bahan pengajaran. Alat-alat tersebut

haruslah mengandungi unsur-unsur intelek dan nilai-nilai murni yang dapat mewujudkan insane

yang boleh bertindak dan berfikir secara dewasa.

2.3 Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Sains

Menurut PPK(2001), Strategi pengajaran dan pembelajaran dalam kurikuluim sains

mengutamakan pembelajaran berfikrah. Pembelajaran berfikrah adalah satu proses pemerolehan

dan penguasan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang dapat mengembangkan minda seseorang

murid ke tahap optimum. Murid dilibatkan secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran yang

mengintegrasikan pemerolehan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan penerapan nilai murni

dan sikap saintifik.

Antara pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran sains adalah :

a) Pendekatan Inkuiri

Pendekatan inkuiri penemuan merupakan pendekatan yang mementingkan pembelajaran melalui

pengalaman. Secara amnya, inkuiri bermaksud mencari maklumat, menyoal dan menyiasat

sesuatu fenomena yang berlaku di sekeliling. Melalui aktiviti eksperimen, murid akan menyiasat

sesuatu fenomena dan membuat kesimpulan sendiri. Pendekatan ini dualisme dan sekular kerana

ianya bermula dengan ragu.Oleh itu pembelajaran secara inkuiri mesti terlebih dahulu dimulakan

dengan yakin terhadap wahyu Allah s.w.t. (Tajul & Nor’ Aini, 2007). Pendekatan ini boleh

17
dikaitkan dengan pemikiran Ibnu Khaldun yang menyatakan bahawa teori perlu diikuti dengan

amali.

b) Konstruktivisme

Konstruktivisme ialah satu fahaman yang mencadangkan murid belajar sesuatu cuma bila

mereka membina pemahaman sendiri. Pemikiran ini terlalu mementingkan kebebasan, hak

individu dan bebas nilai. Oleh itu menurut Tajul & Nor’ Aini (2007), ianya hanya boleh

digunakan jika dilaksanakan dengan konsep berguru yang dinamakan konstruktivisme bersepadu

iaitu yang berpaksikan akidah.

c) Pembelajaran Kontekstual

Pembelajaran kontekstual adalah pembelajaran yang dikaitkan dengan kehidupan harian murid.

Dalam pembelajaran kontekstual, kaitan antara bahan yang diajar dengan kehidupan harian

dieksplisitkan. Dengan cara ini, murid akan dapat menghayati kerelevanan pembelajaran sains

dengan kehidupan mereka. Dalam pendekatan ini, guru boleh menggunakan kaedah lawatan atau

kerja lapangan ke tempat-tempat tertentu. Pembelajaran akan menjadi lebih bermakna dan

menyeronokkan. Ini juga menjadi salah satu pemikiran Ibnu Khaldun tentang pengajaran dan

pembelajaran iaitu lawatan dan pertemuan dengan pakar.

d) Pembelajaran Masteri

Pembelajaran masteri merupakan satu pendekatan yang memastikan semua murid menguasai

objektif pembelajaran yang ditetapkan. Menurut Tajul & Nor’ Aini (2007), konsep pembelajarn

masteri yang lebih tepat adalah seperti menghafal Al-Quran. Ibnu Khaldun juga menekankan

18
kepada pembelajaran masteri dimana menurut beliau sesuatu ilmu itu perlu diajar berperingkat-

peringkat berdasarkan tahap keupayaan pelajar dan proses pengulangan perlu dilakukan beberapa

kali untuk lebih memahaminya. Penurunan wahyu kepada Rasulullah s.a.w juga adalah secara

beransur-ansur melalui Jibril atau meresap terus ke jiwa Rasulullah s.a.w. Dengan cara ini

mudahlah ianya difahami, diamalkan dan disebarkan.

e) Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran sains

Menurut PPK (2001), simulasi dan animasi computer merupakan satu lagi kaedah untuk

mengajar konsep sains yang mujarad dan sukar. Ianya menjadikan pengajaran lebih

menyeronokkan dan berkesan dan murid lebih mudah memahami pengajaran guru. Kaedah ini

juga diakui oleh Ibnu Khaldun dalam pemikirannya berkenaan penggunaan alat bantu mengajar.

Dalam Al-Quran juga Allah s.w.t. menyuruh kita memerthatikan alam ini dan memikirkan

bagaimana Allah s.w.t menjadikan kehidupan ini kerana dengannya akan menguatkan keimanan

dan akidah seseorang. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Dan ketika Nabi Ibrahim berkata kepada Tuhannya, bagaimanakah Kamu menghidupkan

benda-benda yang telah mati, maka Allah bertanya (nabi Ibrahim), adakah kamu tidak yakin

(beriman) ? Nabi Ibrahim menjawab: sesungguhnya aku yakin tetapi untuk mententeramkan

hatiku (menambahkan lagi keyakinan), Allah berkata, ambillah empat ekor burung (disembelih

dan digaul) dan setiap bahagian diletakkan di atas empat gunung serta serulah nescaya burung-

burung itu akan datang pada kamu(dalam keadaan bercantum dan sempurna).Dan ketahuilah

Allah Maha Perkasa lagi Bijaksana”.

(Al-Baqarah:260)

19
2.4 Persamaan Antara Pemikiran Ibnu Khaldun Dengan Strategi Pengajaran Dan

Pembelajaran Sains

Jadual 1 di bawah menunjukkan persamaan antara pemikiran Ibnu Khaldun dengan strategi
pengajaran dan pembelajaran sains

STRATEGI PENGAJARAN DAN


PEMIKIRAN IBNU KHALDUN
PEMBELAJARAN SAINS
Ilmu perlu disampaikan secara berperingkat-
Pembelajaran masteri
peringkat berdasarkan tahap keupayaan pelajar
Lawatan dan perbincangan bersama pakar
Pembelajaran Kontekstual
Teori perlu diikuti dengan amali
Pendekatan Inkuiri
Penggunaan alat bantu mengajar Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan
pembelajaran

Jadual 1

3.0 METODOLOGI KAJIAN

3.1 Rekabentuk Kajian

Kajian dilaksanakan dengan kaedah kuantitatif melalui kaedah tinjauan menggunakan soal seidik

3.2 Responden Kajian

Responden kajian terdiri daripada 10 orang guru dari tiga buah sekolah di Kuala Terengganu.

3.3 Instrumen Kajian

Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah dalam bentuk soalselidik. Soal selidik ini

dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bahagian A : Maklumat responden dan Bahagian B:

Penerapan pemikiran Ibnu Khaldun dalam strategi pengajaran dan pembelajaran sains.

3.4 Prosedur Kajian

Melalui soal selidik yang diedarkan , data akan dianalisis dengan mencari frekuensi dan peratus.

Data-data yang diperolehi akan dipersembahkan menggunakan carta bar.

20
4.0 DAPATAN DAN ANALISIS

4.1 Dapatan kajian tentang pandangan guru bahawa penerapan pemikiran Ibnu Khaldun dapat

melahirkan insan jauhari dan bestari.

Rajah 1

100%
90%
80%
70%
Peratus 60%
50%
40%
30%
20%
10%
0%
Tidak setuju Tidak Pasti Setuju

Hasil kajian mendapati 70% guru bersetuju bahawa penerapan pemikiran Ibnu Khaldun dapat

melahirkan insan yang jauhari dan bestari. Ini membuktikan mereka menyokong pemikiran Ibnu

Khaldun dalam pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan modal insan yang selaras dengan

hasrat Falsafah pendidikan Kebangsaan. Namun begitu, masih ada 30% guru yang kurang pasti

samada pemikiran Ibnu Khaldun dapat melahirkan modal insan. Mereka mungkin kurang

memahami tentang pemikiran Ibnu Khaldun dalam konteks pengajaran dan pembelajaran sains.

21
4.2 Dapatan kajian tentang amalan penerapan pemikiran Ibnu Khaldun dalam kalangan guru-

guru sains.

a) Mengajar secara berperingkat-peringkat mengikut tahap keupayaan pelajar

Rajah 2

100%
90%
80%
70%
60%
Peratus
50%
40%
30%
20%
10%
0%
Tidak setuju Tidak Pasti Setuju

Daripada Rajah 2, 90% guru bersetuju dengan penerapan pemikiran Ibnu Khaldun dalam aspek

pengajaran secara berperingkat-peringkat mengikut tahap keupayaan pelajar. Hasil dapatan

kajian ini menggambarkan kebanyakan guru mengamalkan pemikiran Ibnu Khaldun dalam

pengajaran mereka. Dapatan ini menunjukkan bahawa kebanyakan guru percaya melalui cara ini

pelajar akan dapat menguasai sesuatu subjek.

22
b) Melakukan lawatan dan pertemuan dengan pakar

Rajah 3

100%
90%
80%
70%
Peratus 60%
50%
40%
30%
20%
10%
0%
Tidak setuju Tidak Pasti Setuju

Dapatan kajian menunjukkan bahawa 100% guru bersetuju bahawa lawatan dan perjumpaan

dengan pakar merupakan satu kaedah yang baik dalam pengajaran dan pembelajaran. Mereka

sependapat dengan Ibnu Khaldun dan sentiasa mengamalkannya di sekolah. Mereka

memahami melalui kaedah ini pelajar akan mendapat banyak ilmu dan maklumat yang sangat

bermanafaat dalam kehidupan mereka

23
c) Melakukan eksperimen/amali selepas pengajaran teori

Rajah 4

100%
90%
80%
70%
Peratus 60%
50%
40%
30%
20%
10%
0%
Tidak setuju Tidak Pasti Setuju

Hasil dapatan kajian menunjukkan 100% guru bersetuju dengan Ibnu Khaldun dalam pengajaran

dan pembelajaran dimana selepas pengajaran teori ianya perlu disusuli dengan amali atau

eksperimen. Mereka percaya amali akan dapat mengukuhkan lagi teori. Disamping itu pelajar

akan dapat memerhatikan sendiri teori yang dipelajari melalui aktiviti amali atau eksperimen.

d) Menggunakan alat bantu mengajar

Rajah 5

100%
90%
80%
70%
Peratus 60%
50%
40%
30%
20%
10%
0%
Tidak setuju Tidak Pasti Setuju

24
Berkenaan pemikiran Ibnu Khaldun tentang penggunaan alat bantu mengajar, 100% guru

bersetuju menggunakan alat bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran sains. Ini

menunjukkan bahawa penggunaan alat bantu mengajar menjadikan pembelajaran lebih menarik

dan menyeronokkan.

4.3 Dapatan kajian tentang pandangan guru tentang kerelevanan penerapan pemikiran Ibnu

Khaldun dengan strategi pengajaran dan pembelajaran sains .

Rajah 6
80%
80%
70%
70%
60%
60%
Peratus
50%50%
50%
40%
Tidak Setuju
40% Tidak Pasti
30% Setuju
30%
20%
20%

10%

0%
Inkuiri-penemuan Kontekstual Masteri Penggunaan ICT

Kebanyakan guru berpendapat Pemikiran Ibnu Khaldun amat sesuai dengan strategi pengajaran

dan pembelajaran terkini. Dalam aspek pendekatan inkuiri-penemuan, 80% guru bersetuju

kaedah ini bertepatan dengan pemikiran Ibnu Khaldun dimana beliau menekankan amali setelah

pengajaran teori untuk memudahkan pemahaman sesuatu subjek. Begitu juga dari aspek

kontekstual dimana 70% guru bersetuju ianya juga bertepatan dengan pemikiran Ibnu Khaldun

tentang lawatan dan perjumpaan dengan pakar.

25
Namun begitu, hanya 50% guru bersetuju pembelajaran masteri bertepatan dengan pemikiran

Ibnu Khaldun manakala sebahagian yang lain tidak pasti. Sebahagian guru ini mungkin kurang

memahami tentang konsep pembelajaran masteri. Dalam aspek penggunaan ICT pula, 60% guru

bersetuju ianya bertepatan dengan pemikiran Ibnu Khaldun tentang penggunaan alat bantu

mengajar. Dapatan ini menunjukkan kebanyakan guru menggunakan alat bantu mengajar untuk

membantu pengajaran mereka.

5.0 PERBINCANGAN

Berdasarkan kepada dapatan kajian, penerapan pemikiran Ibnu Khaldun adalah sangat berkesan

untuk melahirkan insan jauhari dan bestari. Aspek-aspek yang ditekankan dalam pemikiran Ibnu

Khaldun berupaya merubah paradigma dan membentuk pemikiran pelajar. Justeru, ianya

tergolong dalam ciri-ciri pemikiran tinggi yang lahir dari ahli pemikir yang hebat seperti Ibnu

Khaldun.

Aspek-aspek yang termasuk dalam pemikiran tinggi dalam kajian ini ialah :

i) Ilmu perlu disampaikan secara berperingkat-peringkat berdasarkan tahap keupayaan

pelajar

ii) Lawatan dan pertemuan dengan pakar adalah sangat berguna dalam pendidikan

iii) Teori mesti diikuti dengan amali

iv) Penggunaan alat bantu mengajar

Aspek yang pertama yang dikaji dalam kajian ini ialah berkenaan penyampaian ilmu yang

seharusnya berperingkat-peringkat berdasarkan tahap keupayaan pelajar. Dengan cara ini dan

melalui pengulangan beberapa kali, ianya akan meresap ke dalam jiwa seseorang pelajar yang

26
akan memudahkan pemahaman. Dalam Muqaddimahnya Ibnu Khaldun menggunakan perkataan

Malakah yang membawa erti “satu sifat yang sebati di dalam jiwa” yang terhasil kerana sesuatu

perbuatan dan pengulangan perbuatan tersebut dari masa ke semasa sehingga gambaran

perbuatan tadi bersebati dengan jiwa pelaku. Disini dapat difahami malakah itu bermaksud tabiat

(habit) yang terbina dalam diri modal insan dari latihan, pengulangan, tindakan sebenar, proses

berfikir, aktiviti fizikal, teknikal, bahasa dan spiritual yang dilakukan secara berulang-ulang

sehingga sikap dan tabiat terbentuk dalam diri mereka. Ini akan mewujudkan pemahaman

sebenar terhadap sesuatu ilmu pengetahuan yang kemudiannya akan mewujudkan kemahiran

(skill) yang tinggi dalam sesuatu bidang yang diceburi.

Aspek yang kedua adalah lawatan dan pertemuan dengan pakar yang juga dapat melahirkan

insan jauhari dan bestari. Melalui lawatan pelajar dapat memerhatikan apa yang mereka telah

belajar dalam situasi sebenar yang tidak boleh didapati di dalam bilik darjah. Kaedah ini akan

meningkatkan lagi pemahaman sesuatu konsep kerana ia memberi peluang kepada pelajar

memerhatikan perkaitan antara bahan maujud dengan proses-proses yang berlaku. Disamping itu,

pembelajaran akan lebih menyeronokkan kerana perbincangan bermakna berlaku dalam proses

mengumpul maklumat. Melalui pertemuan dengan pakar pula, segala permasalahan dan

kesilapan konsep dalam pembelajaran akan dapat diselesaikan.

Aspek ketiga dalam kajian ini adalah teori mesti diikuti dengan amali. Melalui amali atau

eksperimen pelajar akan mendapat kemahiran untuk melakukan penyelidikan sains. Dalam

pendidikan sains penguasaan kemahiran saintifik adalah penting kerana ia menyediakan pelajar

untuk mendapat pengetahuan sains serta menimbulkan minat dan keseronokan dalam

pembelajaran sains. Dengan ini, kemahiran saintifik akan menjuruskan pelajar ke arah pemikiran

secara kritis, kreatif dan analitis (Tobin dan Copie, 1980). Dalam wawasan 2020, salah satu

27
cabaran yang perlu ditangani adalah mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif yang

inovatif dan berpandangan jauh serta menjadi penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi

di masa hadapan. Begitu juga dalam kurikulum sains KBSM dimana proses pengajaran dan

pembelajaran harus berteraskan pengalaman sendiri seseorang pelajar melalui pendekatan inkuiri

dan penemuan. Sehubungan dengan ini panduan. Pentaksiran Kerja Amali (PEKA) Kimia

dihasilkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum bagi mempertingkatkan penilaian prestasi

pelajaran sains, khususnya melibatkan penguasaan kemahiran saintifik pelajar. Namun begitu

pendekatan inkuiri perlu dimulakan dengan konsep yakin bukannya ragu.

Aspek terakhir dalam kajian ini ialah berkenaan penggunaan alat bantu mengajar (ABM).

Penggunaan ABM memudahkan penyampaian guru serta menjadikan pembelajaran lebih

menarik dan berkesan. Pelajar pula akan lebih memahami sesuatu subjek yang diajar disamping

meningkat konsentrasi dan ingatan mereka. Pelajar akan menggunakan deria mata mereka dan

melalui pandangan ianya akan meresap ke dalam hati. Pengajaran sains yang dikaitkan dengan

kebesaran Allah dan ilmu wahyu melalui persembahan ABM yang menarik akan meningkatkan

lagi keyakinan pelajar kepada Allah s.w.t. Justeru, guru perlu mengeksploitasi ABM agar ianya

benar-benar memberi kesan yang mendalam kepada pelajar.

Kesemua aspek-aspek yang diterangkan di atas mempunyai hubungan rapat dengan strategi

pengajaran dan pembelajaran sains masakini. Namun begitu, pemikiran Ibnu Khaldun akan

memberi nilai tambah kepada strategi pengajaran dan pembelajaran tersebut dengan menerapkan

nilai-nilai agama dan tauhid untuk melahirkan pelajar jauhari dan bestari.

28
6.0 KESIMPULAN, RUMUSAN DAN CADANGAN

Kesimpulan daripada kajian ini ialah pembelajaran dengan kaedah yang sesuai dan pelbagai

akan melahirkan insan yang berilmu dan menghayati ilmu yang disampaikan. Ilmu tanpa

penghayatan atau amalan merupakan satu kerugian besar kepada ummah. Pepatah Arab

menyatakan ;

“Ilmu tanpa amal seumpama pokok yang tidak berbuah”

Melalui penerapan pemikiran Ibnu Khaldun yang menekankan proses-proses pengulangan,

lawatan, amali dan pemerhatian akan meningkatkan lagi penghayatan ilmu dalam diri pelajar.

Pelajar bukan hanya sekadar mempelajari teori tetapi menjiwai sesuatu ilmu yang dipelajari.

Ianya akan menjadi benteng yang cukup ampuh bagi menangani cabaran-cabaran yang pelbagai

dan kompleks dalam dunia hari ini. Tanpa penghayatan ilmu, golongan muda terutamanya

pelajar begitu mudah dipengaruhi oleh perkara-perkara buruk yang berlaku disekeliling mereka.

Inilah hakikat yang perlu diakui pada hari ini dimana kita melihat betapa ramai remaja terlibat

dengan gejala-gejala sosial yang tidak bermoral. Ini disebabkan oleh kurangnya ketahanan jiwa

dan jati diri yang ada dalam diri mereka. Mereka bukannya tidak pernah melalui sistem

pendidikan tetapi ilmu yang dipelajari di sekolah masih tidak mampu menjadi benteng kepada

mereka dalam menangkis gejala-gejala mungkar ini.

Justeru, sistem pendidikan harus dinilai semula agar ianya benar-benar menepati hasrat Falsafah

Pendidikan Kebangsaan. Dalam membentuk sistem pendidikan yang baik, unsur pelajaran

sepatutnya disepadukan dengan agama. Malangnya pada hari ini, sebahagian guru begitu terarah

untuk menyediakan pelajar ke arah peperiksaan bukannya menjiwai proses pendidikan itu

sendiri. Akibatnya, pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan akan terbiar manakala

yang cemerlang dalam peperiksaan menjadi ‘the skill barbarian’.

29
Hasil daripada kajian ini, beberapa cadangan telah difikirkan bagi melahirkan insan jauhari dan

bestari melalui penerapan pemikiran Ibnu Khaldun. Antaranya ialah ;

i) Guru perlu menggunakan seluruh kreativiti dan kepandaian mereka dalam mendidik

dan membimbing pelajar menjadi insan yang berguna.

ii) Peneguhan dan nasihat perlu sentiasa diberi dan diulang tanpa jemu sehingga ianya

benar-benar meresap dalam diri pelajar.

iii) Guru perlu menggunakan kaedah pengajaran yang sesuai dengan tahap pemikiran

pelajar mereka dan menjadikan pembelajaran sesuatu yang menyeronokkan.

iv) Guru perlu memberi layanan yang adil tanpa pilih kasih kepada setiap pelajar agar

mereka berasa tidak disisihkan.

v) Suasana sekolah seharusnya kondusif sebagai tempat untuk memperolehi ilmu yang

bermanafaat.

7.0 PENUTUP

Menyemai benih pemikiran tinggi ke arah perubahan paradigma merupakan tanggungjawab

semua pihak. Ianya perlu berlaku secara berterusan, konsisten dan tanpa kompromi dalam

melahirkan modal insan yang sangat diperlukan oleh negara. Lahirnya insan jauhari dan bestari

ini merupakan satu anugerah yang besar yang tidak ternilai harganya kerana melalui pimpinan

mereka negara akan menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang digeruni kawan dan lawan.

30
RUJUKAN

.
Biggs,J.and Collis,K.(1982) Evaluating the Quality of Learning: The Solo Taxonomy.
New York: Academic Press.

Bloom, B et al. 1956. Taxonomy of educational objectives: Handbook I, The cognitive domain.
New York, David McKay & Co.

Fahri Kayadibi (2001).Ibnu Khaldun And Education. The Hamdard Islamicus. Istanbul, Turkey

Ibnu Khaldun (2001). Mukadimah Ibnu Khaldun (Terjemahan). Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.

Kementerian Pendidikan Malaysia (1990). Pukal Latihan Kurikulum Bersepadu Sekolah


Menengah, Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka

Kementerian Pelajaran Malaysia (2006).Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.


Putrajaya :Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pelajaran
Malaysia

Pusat Perkembangan Kurikulum(2001). Huraian Sukatan Mata Pelajaran Sains KBSM.


Kementerian Pendidikan Malaysia

Tajul Ariffin Noordin, Nor’Aini Dan.(1992). Pendidikan dan wawasan 2020: Falsafah,
perguruan dan persekolahan. Arena Ilmu(M) Sdn. Bhd.Kuala Lumpur.

Tajul Ariffin Noordin, Nor’Aini Dan.(2007). Pendidikan Bersepadu : Ilustrasi & Penjelasan
Lengkap. UKM, Bangi.

Tengku Asmadi (2008). Teknik Memotivasikan anak cara positif.PTS Millennia Sdn. Bhd.Batu
Caves, Selangor

Tobin, K.G & Copie, W. (1980). “Teaching Process Skill In The Middle School. School Science
& Mathemathics”. Journal of Research In Science Teaching

Zaid Ahmad (2008). Mesej Ibnu Khaldun Dalam Konteks Masyarakat Umat Islam Kini.
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia.(MUAFAKAT)

31
LAMPIRAN 1

Jadual 1: Penerapan Pemikiran Ibnu Khaldun Dalam Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran

Sains

BIL ITEM TIDAK TIDAK SETUJU


SETUJU PASTI

1. PEMIKIRAN IBNU KHALDUN membantu melahirkan


30% 70%
insan jauhari dan bestari.

3. Saya dapat menerapkan PEMIKIRAN IBNU KHALDUN


semasa P&P sains dalam aspek-aspek berikut:
10% 90%
a) Saya mengajar murid berdasarkan tahap
keupayaan mereka dan sentiasa mengulangi
beberapa kali.
b) Saya tidak pernah memaksa murid mengingati
setiap perkara yang diajar pada peringkat awal 10% 10% 80%
pengajaran .
c) Saya sentiasa merancang pengajaran dan mengajar 10% 90%
secara sistematik
d) Saya tidak pernah mengajar dua tajuk pada masa 20% 10% 70%
yang sama kerana ianya mengelirukan murid
e) Saya tidak memberikan terlalu banyak maklumat 20% 80%
kepada murid pada satu masa pengajaran.
f) Saya tidak terlalu tegas dan agresif kepada murid 10% 30% 60%
semasa pengajaran.
g) Saya ada melakukan lawatan bersama pelajar dan
menganjurkan kursus kepada pelajar bersama 100%
guru-guru pakar
h) Pada pendapat saya belajar sains memerlukan 100%
kemahiran dan amali
i) Saya menggunakan alat bantu mengajar dalam
pengajaran sains supaya murid lebih memahami 100%
dan menghubungkannya dengan kehebatan Allah

4. PEMIKIRAN IBNU KHALDUN masih lagi relevan


20% 80%
dengan kaedah pengajaran terkini

5. Pendekatan dan kaedah pengajaran berikut adalah


bertepatan dengan PEMIKIRAN IBNU KHALDUN :

a) Pendekatan Inkuiri-penemuan 20% 80%

32
b) Konstruktivisme 20% 80%

c) Pembelajaran Kontekstual 30% 70%

d) Pembelajaran Masteri 50% 50%

e) Penggunaan ICT 40% 60%

33

You might also like