You are on page 1of 4

Hadiah Untuk Cikgu

Aku memulakan sesi kelas pada pagi itu dengan bertaaruf. “Bapa kerja apa?” “Bapa menoreh getah,
cikgu.” “Mak?” “Mak jaga adik.” “Berapa orang semua?” Syakir mengangkat jari dan menunjukkan lima.
“Kerja apa?” “Kak kerja kantin sekolah. Abang minggu lepas jatuh motor kat Jabor. Orang kampung
cakap abang Mat Rempit.” Penerangan dari Syakir membuatkan Tingkatan Dua Imam Hanafi itu huru-
hara dengan gelak ketawa. “Kamu pulak siapa nama?” tanyaku semata-mata mahu menarik perhatian
agar keadaan kelas kembali reda. “Nama saya Tsaqif. Mak memotong getah. Ayah kerja jual ikan.
Kekadang mak menolong ayah.” “Siapa masak nasi?” “Nenek.” Sekali lagi kelas kembali riuh dengan
gelak ketawa. Tsaqif tertunduk lalu terduduk. Sebagai siswazah yang baru menamatkan pengajian di
Universiti Islam Antarabangsa, inilah pertama kali aku ditugaskan jauh di pedalaman Terengganu.
Sekolah ini menjadi saksi kesinambungan untukku meneruskan profesion yang dianggap mencabar.
Sesi perkenalan hari tersebut telah pun berakhir. Aku mahu memulakan tugas seperti biasa.
“Assalamualaikum!” Terdengar satu suara memberi salam diikuti ketukan pintu. Pantas aku dan
penghuni kelas menoleh. Kelihatan seorang budak lelaki dalam keadaan comot sambil di bahunya
tergalas beg yang using. Dia mengangguk lantas segera berlari ke meja. Dia cuba menyembunyikan beg
plastik yang berada di tangan. “Kamu siapa nama?Kenapa lewat?” pertanyaanku membuatkan kelas
sunyi sepi. “Saya, Anas.” Jawabnya ketakutan. “Kamu tahu tak peraturan sekolah ini masuk pukul
berapa?” “Tahu, cikgu…” jawab Anas sambil tertunduk. “Habis kenapa kamu lewat. Apa yang sedang
kamu sorokkan?” tanyaku sambil mendekati meja Anas. “Tak…tak ada apa-apa,cikgu…” “Kalau tak ada
apa-apa, masakan kamu takut. Cepat keluarkan apa yang ada dalam meja kamu..” aku memberi arahan
pertama.
“Nasi lemak nenek dia bekalkan kot?” jawab Azrul selaku pelajar paling nakal di kelas tersebut.
Keadaan kelas kembali riuh. “Kamu dah la datang lewat. Bila cikgu bertanya, kamu tak nak jawab. Bila
cikgu beri arahan kamu membatu. Cikgu takkan mulakan kelas selagi kamu tak tunjukkan apa yang kamu
bawa.” “Woi, bukak le. Aku nak tengok gak. Aku lapar ni.” sindir Ammar sambil tergelak. “Dia memang
macam tu, cikgu. Selalu datang lewat ke sekolah. Entah apalah dalam plastik tu. Rampas je cikgu.” Laju
saja mulut Zikri Izzat memberi arahan. “Sekali lagi cikgu bertanya, apa yang ada dalam meja kamu?” aku
cuba berlembut. “Cikgu, maafkan saya. Saya lewat tadi kerana singgah di tepi paya belakang sekolah kita
ni.” “Kamu buat apa kat sana?” “Saya kutip pucuk paku, cikgu.” “Hahaha…” kelas sekali lagi bising.
“Kamu kutip pucuk paku? Jadi dalam plastik ni adalah…” “Ya, cikgu. Ada pucuk paku” Anas berterus-
terang sambil mengeluarkan plastik yang dimaksudkan.
“Hahaha! Kelakarla kamu ni.” Aku tergelak besar dan juga terkejut. Tidak menyangka di saat pelajar
membawa buku dan alat tulis ke sekolah tetapi pelajar ini membawa pucuk paku. Sesuatu yang
melucukan. Kisah Anas membawa pucuk paku ke sekolah diceritakan olehku kepada guru-guru. “Tu
perkara biasalah. Anas mengutip pucuk paku sebaik sahaja datang ke sekolah. Maklumlah..dia orang
susah. Ayah dah meninggal, adik-beradik pula ramai. Ibunya hanya menoreh getah untuk menampung
kehidupan mereka anak-beranak. Pucuk paku tu boleh dibuat lauk makan tengahari dan malam.” Cikgu
Ain menerangkan. Aku terdiam…Esoknya..”Anas!Mari sini sekejap!” panggilku sebaik sahaja masuk ke
kelas. Anas mendekati serba salah. “Hari ni awak tak kutip pucuk paku ke?” Aku bertanya ramah.
“Err..saya…” Anas serba salah untuk menjawabnya. “Ibu awak masak apa pucuk paku semalam?Mesti
sedap kan. Lain kali jemputla cikgu makan di rumah awak.” Aku tersenyum.
“Cikgu suka pucuk paku ke? Semalam mak masak lemak pucuk paku.” Bulat mata Anas menerangkan.
“Suka juga. Tapi cikgu suka kerabu pucuk paku.” Spontan Anas menyambung. “Oh!Begitu. Hujung
minggu ni apa kata cikgu datang ke rumah saya. Tapi rumah saya buruk..tak ada kerusi. Cikgu kena
duduk atas lantai nanti. Cikgu tak kisah ke?” Aku menggelengkan kepala. “Cikgu tak kisah. Asalkan Anas
janji kutip pucuk paku banyak-banyak dan tolong ibu Anas masak untuk cikgu nanti,boleh?” Anas
menunjukkan kegembiraan yang amat. Dia melompat-lompat. Dan sepanjang minggu itu, Anas
menunjukkan perlakuan yang luar biasa. Dia seolah-olah tidak sabar menunggu hari minggu. Mungkin
hari minggu nanti, tercapai hajatnya membawa guru dari bandar Kemaman ini menjejakkan kaki ke
teratak keluarganya yang serba kekurangan. Aku tidak kisah semua itu. Tapi aku kagum dengan
semangatnya untuk membantu ibunya dalam mencari sumber makanan untuk keluarganya.
Pagi minggu yang dijanjikan, aku keluar dari rumah. Anas sudah ada dalam ingatanku. Aku terus
melangkahkan kaki. Menurut Anas, sebaik saja berjalan di tepi paya, belok ke kanan dan akan berjumpa
ladang getah. Terdapat pokok sena rendang dan ikut batas tanah. Akan berjumpa satu jalan raya yang
tidak berturap. Tidak jauh dari jalan raya tersebut ada sebuah rumah buruk. Itulah rumah Anas. Tiba di
jalan raya itu aku dapati hampir lima belas orang yang sedang mengerumuni sesuatu. Aku merasa tidak
sedap hati. “Ini Cikgu Wan ke?” Tanya seorang lelaki tua. “Ya, saya. Kenapa pakcik?” “Anas, anak mak!”
jerit seorang perempuan tua seolah-olah di sampuk hantu. Mataku terus saja tertancap pada suara
tersebut. Berderau darahku tatkala melihat perempuan tua tersebut sedang memangku seorang budak
lelaki yang berlumuran darah. Di tangan budak tersebut terdapat plastik yang berisi pucuk paku. Dan
budak lelaki itu adalah… “Ya Allah..Anas!!” Aku menerpa ke arah Anas dan meraung sekuat hati.
Aku sedar, tubuh itu kini telah pun menjadi arwah. Murid kesayanganku telah meninggal dunia.
“Sabarlah Makcik Kiah…” beberapa penduduk kampung cuba menenangkan Makcik Kiah. Kini aku tahu
bahawa Makcik Kiah adalah emak Anas. “Makcik, saya Cikgu Wan…” “Cikgu, Anas…Anas sangat
sayangkan cikgu. Anas cakap, cikgu suka makan pucuk paku. Dia nak masak sendiri pucuk paku ni untuk
cikgu..Tapi, dia dah tak ada. Dia dilanggar lori yang membawa getah sewaktu berlari melintas jalan
tadi..” kata Makcik Kiah dengan suara yang tidak dapat ditahan lagi. “Makcik, kami jumpa ini..” seorang
pemuda menunjukkan sesuatu. Aku menoleh. Melihat sepucuk surat milik Anas. Dengan tangan yang
terketar-ketar Makcik Kiah memberikan surat tersebut kepadaku. Di sampul surat tersebut tertulis
namaku dengan jelas. Sebak hatiku melihat sekeping kad dan sebutir kerongsang berwarna putih yang
cantik. Pada kad tersebut tertulis..
“ Kepada cikgu yang disayangi
Anas di sini menyusun sepuluh jari
Untuk meminta maaf pada cikgu
Adakalanya semasa cikgu mengajar
Anas bermain
Maafkanlah
Kerongsang ini adalah hadiah
Istimewa untuk cikgu sempena Hari Guru esok
Semoga cikgu diberkati
TERIMA KASIH CIKGU…”
Serentak dengan itu aku menangis terisak-isak. “Ya Allah..anak muridku telah terkorban keranaku.
Mulianya insan yang bernama Anas. Maafkan cikgu, Anas..Kehilanganmu ibarat sebiji permata yang
sukar dicari ganti..” Petang itu… “Cikgu tak nak balik lagi?” Tanya Syakir mengejutkan lamunan. “Kamu
baliklah dulu. Biarkan cikgu di sini.” “Kami balik dulu, cikgu.” Pinta Tsaqif. Kawan-kawan sekelas arwah
mengucapkan selamat tinggal lalu melangkah meninggalkan perkarangan kubur. Aku terus menyapu air
mata yang jatuh ke pipi. Aku kini betul-betul di depan kubur Anas. Segala perasaan menjadi satu. “Anas,
seolah baru semalam kita berkenalan. Kini kamu telah pergi buat selama-lamanya. Kisah pucuk paku
masih lagi bermain di fikiran. Kerongsang yang kamu beri akan cikgu jaga dengan sebaiknya. Cikgu
terharu mengenang ini semua. Apapun cikgu bangga memilih profesion ini. Apatah lagi memiliki murid
sepertimu. Alangkah mulianya hatimu Anas…” rintihku sayu. “Semoga rohmu dicucuri rahmat. Ya Allah,
tempatkan anak muridku ini dalam golongan orang yang soleh.” Doaku sebelum meninggalkan tanah
kubur yang masih merah dan sunyi sepi itu. Selamat tinggal Anas…
NUKILAN RASA
WAN KHADIJAH BINTI WAN IBRAHIM
G 0919128
SECTION 1 (DPLI JULAI 2009)

IDEA UTAMA
 Kesabaran dalam mendidik anak bangsa terutamanya di kawasan pedalaman.
 Sensitif dan mengambil berat situasi pelajar dalam bidang akademik dan bukan akademik.
 Menunaikan tanggungjawab dengan gigih dan sepenuh hati.

KERANGKA PERBINCANGAN
 Kesediaan seorang guru untuk mengajar di pedalaman dan luar bandar.
 Keperluan untuk menyelidik sebelum menghukum.
 Pengorbanan seorang guru dan seorang pelajar.

You might also like