You are on page 1of 2

PENGANTAR ILMU USUL FIQH

Oleh:
Irwan bin Mohd Subri al-Butiyy

PENDAHULUAN
Untuk memahami sesuatu ilmu, ia bergantung kepada gambaran umum ilmu tersebut
yang dijelmakan melalui definisinya. Jika dilihat kepada istilah Usul Fiqh, ia
mengandungi dua perkataan iaitu “Usul” dan “Fiqh”. Setiap perkataan mempunyai
makna tersendiri dan apabila keduanya digabungkan, ia membentuk definisi kepada
Usul Fiqh itu sendiri. Sebelum di sebut definisi ilmu ini, maka kita perlu memahami
terlebih dahulu, apa maksud dua perkataan tadi (”Usul” dan “Fiqh”).

Usul
Perkataan “Usul” berasal daripada Bahasa Arab dan ia adalah kata jamak kepada “al-
Aslu” (asal). Maksudnya dari segi bahasa, ialah “asas kepada sesuatu benda/perkara”.
Contohnya tapak yang ingin dibina rumah di atasnya dipanggil
“al-Aslu” (asas). Manakala dari segi istilah, “Usul” boleh diertikan dengan beberapa
maksud:
a. Dalil, contohnya: asal (dalil) kepada kewajipan zakat ialah firman Allah Taala
yang bermaksud “dan tunaikanlah zakat” (surah al-Baqarah ayat 43).
b. Kaedah, contohnya: asal (menurut kaedahnya) menjual perkara yang tiada
adalah terbatal.
c. Perkara yang rajih (kuat), contohnya asal antara al-Quran dan qiyas ialah al-
Quran. Maksudnya al-Quran lebih kuat dan berautoriti berbanding qiyas.
d. Istishab, contohnya: asal (menurut hukum istishab) sesuatu perkara adalah
harus sehinggalah datang dalil menyatakan sebaliknya. Istishab ialah
mengekalkan hukum asal, yakni perkara yang harus pada masa dahulu, akan
terus kekal harus pada masa sekarang dan akan datang sehingga ada bukti
menyatakan sebaliknya.
e. Lawan kepada perkataan furuk, contohnya: ayah adalah asal dan anak adalah
furuk (maksudnya berasal daripada ayah).
f. Perkara yang dikiaskan ke atasnya (al-Maqis ‘Alayh), contohnya: arak adalah
asal kepada semua minuman yang memabukkan. Maksudnya semua minuman

1
memabukkan seperti minuman air daun ketum dikiaskan ke atas arak dari segi
pengharaman hukumnya.
Daripada enam maksud kepada perkataan “Usul” di atas, istilah yang lebih hampir
dengan perbincangan ilmu Usul Fiqh ialah yang bermaksud dalil.

Fiqh
Perkataan fiqh juga berasal daripada bahasa arab dan dari segi bahasanya ia
bermaksud mengetahui dan memahami sesuatu perkara. Dari segi istilah pula, fiqh
bermaksud “mengetahui hukum hakam syarak berkenaan perbuatan mukallaf yang
disandarkan kepada dalil-dalil tafsiliyy“. Fiqh merupakan satu ilmu lain dan
berasingan daripada ilmu Usul Fiqh, namun kedua-duanya saling kait mengait antara
satu sama lain.

DEFINISI USUL FIQH


Apabila dua perkataan “Usul” dan “Fiqh” digabungkan menjadi “Usul Fiqh”, maka
ulama memberikan definisi mudah, iaitu yang dimaksudkan dengan Usul Fiqh ialah
dalil-dalil fiqh. Apakah dalil-dalil fiqh? Dalil-dalil fiqh yang dimaksudkan sebagai
teras kepada ilmu Usul Fiqh dan ilmu Fiqh ada empat iaitu:
a. al-Quran.
b. Sunnah.
c. Ijmak.
d. Qiyas.
Jadi menurut definisi ini, ilmu Usul Fiqh ialah perbincangan berkenaan empat
dalil (sumber) rujukan kepada hukum hakam Syarak dan bagaimana mengistinbat
(membina) hukum daripadanya. Perbincangan dalil-dalil (sumber) tersebut
merangkumi dalil-dalil ijmaliyy dan dalil-dalil tafsiliyy. Dalil ijmaliyy ialah empat
sumber di atas dari segi kehujahannya, yakni sama ada empat dalil tersebut boleh
dijadikan hujah ataupun tidak. Manakala dalil tafsiliyy ialah dalil-dalil terperinci
seperti setiap satu ayat al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W yang berkaitan hukum
hakam.

BERSAMBUNG…

You might also like