You are on page 1of 10

KONSEP DAN MATLAMAT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

(FPK)

Pada tahun 1988, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah diumumkan


secara rasminya. Falsafah pendidikan ini akan menentukan arah haluan, asas
dan sumber inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang
pendidikan di Malaysia. Berikut ialah petikan daripada FPK:
"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Merujuk kepada FPK yang dinyatakan di atas, maka matlamat FPK ialah
untuk melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya menjadi
warganegara yang berguna. Selain itu, matlamat FPK bertujuan melahirkan
rakyat Malaysia yang sempurna dan memiliki serta menghayati ciri-ciri
berikut:
o Percaya dan patuh kepada Tuhan
o Berilmu pengetahuan
o Berakhlak mulia
o Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara
o Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu
o Memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.
Selain perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang,
melalui pendidikan adalah diharapkan Malaysia dapat mencapai matlamat
pendidikannya iaitu:
o Melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh memenuhi
kewajiban sebagai seorang warganegara.
o Menghasilkan rakyat yang progresif, mahir serta cekap supaya
membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta
sempurna demi memberi sumbangan kepada negara.
o Melahirkan warganegara yang memahami dan menerima serta
mengamalkan prinsip-prinsip dan cita-cita demokrasi Perlembagaan.
o Melahirkan rakyat yang taat setia kepada Raja dan cintakan negara.
o Melahirkan rakyat yang memahami serta mengamalkan prinsip-prinsip
Rukun Negara, bersikap toleransi demi mewujudkan perpaduan rakyat
berbilang kaum.
o Mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum dengan membekalkan
kemudahan-kemudahan asas pendidikan kepada golongan yang kurang
berada.

Pada lazimnya, ideologi dan aspirasi negara merupakan factor yang penting
untuk menentukan matlamat pendidikan kebangsaan. Matlamat ini akan
menjadi lebih jelas, mantap, bermakna dan sempurna apabila dijelmakan
sebagai penyataan FPK.

Secara ringkasnya, FPK menggariskan segala istilah, pemikiran dan prinsip


berkaitan dengan bidang pendidikan di negara kita. Dengan erti kata lain,
ianya menggabungkan matlamat, dasar-dasar dan amalan-amalan
pendidikan sebagai satu entiti yang tekal, jelas dan logik. FPK bertujuan untuk
menjelaskan secara rasional amalan-amalan pendidikan terkini serta
membimbing tindakan dan tren pendidikan masa depan.
FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN FPK

Idea untuk menggubal FPK telah tercetus pada tahun 1979 setelah
penerbitan Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pelajaran. Laporan tersebut mengandungi isu-isu penting yang berkaitan
dengan pendidikan termasuk prinsip, nilai dan hala tuju pendidikan.

Dengan kata lain, Jawatankuasa Kabinet mengesyorkan unsur-unsur yang


harus diberi penekanan dalam aspek pembangunan kemanusiaan. Untuk
menggubal FPK yang boleh memberi panduan dan bimbinganyang manfaat
kepada segala usaha pendidkan, beberapa faktor yang berkaitan hendaklah
dipertimbangkan terlebih dahulu. Di antara faktor-faktor berikut ialah:
1. faktor agama: agama Islam ialah agama rasmi negara kita. Di
samping itu, agama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain juga bebas
dianuti mengikut undang-undang negara. Semua agama tersebut
terutamanya agama Islam merupakan faktor penting dalam proses
penggubalan FPK. Unsur agama ini dapat dilihat melalui penyataan
berikut: " mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaaan dan
kepatuhan kepada Tuhan…."
2. faktor sosial: masyarakat negara ini terdiri daripada masyarakat
majmuk. Keharminian dan kemakmuran negara bergantung kepada
sikap toleransi, kerjasama dan hormat menghormati tanpa mengira
kaum, agama dan kepercayaan. Sikap positif ini amat penting dalam
usaha mengukuhkan perpaduan kaum yang merupakan kriterian paling
penting untuk mewujudkan keadaan sosial yang stabil. Tujuan ini telah
dinyatakan di dalam FPK iaitu: "…..melahirkan rakyat
Malaysia….memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara."
3. faktor politik: di dalam usaha membentuk ideologi negara, pengaruh
politik memainkan peranan penting dalam penentuan dasar pendidikan
negara. FPK digubah berlandaskan kepada ideologi negara yang
dicerminkan dalam dokumen-dokumen rasmi seperti Laporan
Pendidkan, Rancangan Malaysia dan Rukun Negara.
4. faktor ekonomi: rakyat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai
kemahiran dapat membantu memperkembangkan ekonomi negara
dengan meningkatkan daya pengeluarannya. Ianya telah dinyatakan
iaitu: "…melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
beketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan memberi
sumbangan terhadap kemakmuran negara."
5. faktor individu: potensi individu dapat dikembangkan melalui proses
pendidikan. Potensi tersebut merangkumi aspek-aspek intelek, rohani,
emosi dan jasmani. Perkembangan potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu akan menjana insan yang seimbang dan
harmonis.
6. faktor sejagat: perkembangan sistem pendidikan antarabangsa
mempengaruhi penggubalan FPK. Idea-idea yang dihasilkan semasa
seminar pendidikan antarabangsa mempengaruhi FPK. Sebagai
contoh, program pendemokrasian pendidikan dan pendidikan seumur
hidup.

Sehubungan itu, adalah diharapkan pendidikan negara ini merangkumi


semua aspek yang dapat melahirkan warganegara yang berilmu dan dapat
memberi sumbangan kepada negara serta memberi jasa ke arah kemajuan,
keamanan dan kestabilan antarabangsa.
ELEMEN-ELEMEN DI DALAM FPK

1. Pendidikan suatu usaha berterusan


Pendidikan adalah suatu proses pemerolehan dan pemindahan ilmu,
kemahiran dan nilai murni. Proses pemerolehan dan pemindahan berlansung
secara berterusan bermula dari kecil hingga ke akhir hayat. Pendidikan awal
kanak-kanak amat penting untuk membentuk asas sahsiah kanak-kanak yang
berada dalam lingkungan umur antara satu hingga enam tahun. Sahsiah yang
dibentuk akan terus berkembang sepanjang tempoh persekolahan. Setelah
tamat persekolahan, setiap individu masih terus meningkatkan ilmu,
kemahiran dan akhlak mereka. Proses pendidikan yang berterusan dapat
membantu individu menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan.

2. Memperkembangkan potensi individu


Setiap individu memiliki pelbagai keupayaan, bakat dan potensi intelek,
jasmani, emosi dan rohani sejak lahir. Kebanyakannya terpendam dalam
kendiri. Fungsi utama pendidikan ialah memperkembangkan dan
meningkatkan potensi individu supaya mencapai tahap cemerlang. Bakat,
potensi dan kebolehan dapat dicungkil, dipupuk, dikembangkan dan
ditingkatkan. Ianya akan terjelma melalui interaksi sosial dengan orang lain
dan alam sekeliling.

3. Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu


Perkembangan potensi individu tidak lengkap dan sempurna jika dilakukan
secara berasingan. Ia harus dikembangkan secara menyeluruh dan
bersepadu. Maka, untuk membentuk insan yang berilmu pengetahuan,
bertenaga mahir serta berakhlak mulia dengan sempurna, aktiviti kokurikulum
juga harus diberi penekanan di samping kurikulum akademik di dalam bilik
darjah. Potensi yang ada pada diri individu harus dikembangkan ke peringkat
optimum dengan mengintegrasi bakat dan kebolehan yang saling berkait
rapat.
4. Insan yang seimbang dan harmonis
Insan yang seimbang memiliki ilmu (intelek), sahsiah yang baik (emosi),
percaya kepada Tuhan serta memiliki akhlak yang baik (rohani) dan kesihatan
diri yang baik (jasmani). Insan yang seimbang dan harmonis memiliki
kesedaran dan keinsafan terhadap tanggungjawab terhadap diri, keluarga
dan negara. individu ini akan sentiasa berikhtiar menyelesaikan masalah yang
dihadapi, melaksanakan tanggungjawab demi kemajuan diri, keluarga,
bangsa dan negara.

5. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan


Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan memberi tumpuan kepada aspek
seperti berikut:
o mengakui wujudnya Pencipta
o mengakui Tuhan sebagai pencipta manusia dan alam
o menyedari bahawa hokum dan fenomena alam merupakan peraturan
yang ditetapkan oleh Tuhan
o menyedari bahawa individu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas
segala perbuatan dan tindakannya.
o Melakukan kebaikan dan menghindari keburukan
o Meningkatkan serta mengukuhkan kepercayaan agama.

6. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan


Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan merupakan rakyat yang memiliki
ciri-ciri:
o Mencintai ilmu pengetahuan
o Minat membaca
o Sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan
o Sentiasa meningkatkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan
o Memanfaatkan ilmu untuk kebaikan diri dan orang lain
o Berfikiran terbuka, luas dan mendalam.
7. Rakyat Malaysia yang berketerampilan
Rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran sentiasa sedia
memberi sumbangan kepada negara tercinta. Rakyat Malaysia yang
berketerampilan merupakan rakyat yang memiliki ciri-ciri berikut:
o Berilmu pengetahuan dan berkelayakan yang sesuai dengan tugas yang
dipertanggungjawabkan
o Mempunyai kemahiran yang sesuai dalam pelaksanaan tugasnya
o Dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna
o Berpandangan jauh dan berinisiatif

8. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia


Rakyat yang memiliki tingkah laku yang bersopan santun, berdisiplin dan baik
serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Rakyat Malaysia yang
berakhlak mulia ialah rakyat yang mempunyai ciri-ciri berikut:
o Dapat menilai perkara yang baik dan yang buruk
o Mempunyai perwatakan yang baik
o Berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral sebagai prinsip hidup

9. Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab


Rakyat yang mempunyai tanggungjawab sempurna terhadap Tuhan, bangsa
dan negara dan melaksanakan tugasnya dengan cekap, bersih dan amanah.
o Menyedari tugas dan tanggungjawab sendiri
o Menyedari tugas dan tanggungjawab harus dilaksanakan dengan
sempurna
o Mematuhi peraturan dan undang-undang negara
o Berusaha untuk meningkatkan diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa
dan negara.
10. Rakyat Malaysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri
Melalui perkembangan potensi individu secara menyeluruh, rakyat akan
memiliki jiwa yang tenteram untuk memahami keperluannya sendiri, keluarga,
masyarakat, agama dan negara. Rakyat yang berupaya mencapai
kesejahteran diri ialah rakyat yang memiliki keupayaan seperti berikut:
o Daya ketahanan diri yang kuat untuk menangani cabaran hidup
o Berfikiran waras dan berjiwa tenang

11. Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan


Rakyat yang berusaha untuk memupuk perpaduan melalui sifat toleransi,
bertimbang rasa, kekitaan, hormat menghormati dan lain-lain. Mereka juga
akan berusaha untuk memajukan ekonomi negara berdasarkan dasar-dasar
yang telah ditetapkan. Selain itu, mereka akan mengekalkan kestabilan politik
dan keamanan negara dan mematuhi perlembagaan serta peraturan negara
di samping mempertahankan maruah diri, profesion, agama, bangsa dan
negara.
IMPLIKASI FPK TERHADAP SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

FPK merupakan sebuah dokumentasi yang murni dan luhur dan perlu dihayati
untuk mendapatkan kesan daripada pelaksanaannya. FPK merupakan satu
penyataan hasrat kerajaan terhadap sistem pendidikan di negara ini. FPK
juga merupakan garis panduan dan rujukan para pendidik dalam
melaksanakan tugas mendidik anak bangsa.

Setiap warga pendidik di negara ini haruslah bersifat terbuka terhadap


perubahan-perubahan yang dilaksanakan terutamanya dalam bidang sains
dan teknologi seiring dengan perkembangan pendidikan antarabangsa. Selain
itu, mereka haruslah memainkan peranan secara aktif bagi merealisasikan
FPK supaya keberkesanannya dapat dinikmati dan memperkembangkan
sistem pendidikan di Malaysia.

Perubahan-perubahan dalam sukatan pelajaran adalah tidak dapat dielakkan


dalam usaha untuk melahirkan rakyat yang seimbang dan berdaya saing
bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global. FPK adalah merupakan
pemacu kepada usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan yang dapat
menyumbang kemajuan, kemakmuran dan keharmonian kepada negara.

Tugas dan tanggungjawab pendidik bukan hanya terbatas dan tertumpu


kepada penyampaian ilmu dan kemahiran sahaja. Mereka harus menyedari
tugas mereka juga adalah untuk membentuk modal insan yang mempunyai
nilai-nilai positif, bukan sekadar mempunyai intelek yang tinggi dan jasmani
yang sihat. Oleh itu, jelaslah bahawa berperanan besar dalam merealisasikan
FPK dengan menterjemahkannya ke arah memajukan pendidikan di
Malaysia.

You might also like