You are on page 1of 10

1.

Penggunaan Bahasa yang Salah pada Papan Tanda dan Iklan Bercetak
2. Kemalangan Maut Menjelang Perayaan Utama
3. Demam Denggi/Chikungunya
4. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
5. Gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah
6. Kenaikan Harga Barang
7. Kebanjiran Bahan-bahan Berunsur Lucah, Tahyul dan Ganas
8. Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin
9. Usaha untuk Memajukan Industri Pertanian di Malaysia
10.Kebanjiran Drama Bersiri Asing
11.Bangunan atau Tempat Bersejarah
12.Masalah Bencana Alam
13.Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan di Negara Kita
14.Internet dan Dasar Langit Terbuka
15.Jenayah Ragut dan Langkah untuk Menanganinya
16.Penggunaan Kad Kredit
17.Masalah Perumahan
18.Penyakit kanser
19. Sekolah Kluster

Oleh; Cikgu Khir


Posted by Mohd Khir Kassim at 2:03 AM 0 comments
Oleh hal yang demikian, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa
dengan kerjasama anggota masyarakat. (Kesimpulan) Pihak berkuasa
hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan
kesan rasuah kepada masyarakat. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Hal ini
demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan
merosakkan jentera pentadbiran negara. (Huraian – Apa kesannya) Jadi,
sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar masalah ini dapat ditangani
dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. (Peribahasa) Sekiranya hal ini
dapat direalisasikan, sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas
daripada belenggu rasuah. (Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 2

Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana
ekonomi sesebuah negara. (Kesimpulan) Usaha-usaha yang serius hendaklah
dipertingkat untuk menarik pelaburan asing agar hal ini akan menambahkan
pelaburan ke dalam negara kita. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Sekiranya
pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara sudah pastinya
ekonomi negara tersebut sukar untuk berkembang. (Huraian – Apa kesannya)
Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut mengalami masalah
kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. (Huraian – Apa
kesannya) Jadi, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini
hendaklah mencari jalan (Peribahasa) bagi menarik lebih banyak pelabur asing
untuk membuat pelaburan. (Kepentingan)
ii. KHH (Kesimpulan, Hurai, Harapan)

Perenggan Penutup Contoh 3

Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk membanteras


masalah jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Dengan kata lain, anggota
masyarakat perlulah berganding bahu dengan pihak berkuasa iaitu melaporkan
kejadian jenayah yang berlaku itu dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah
jenayah ini sudah pasti dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus
berleluasa di negara kita. (H)

Isu kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berlaku di negara kita
telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Huraikan
kesan-kesan isu tersebut dan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Karangan contoh di bawah ini ditulis oleh salah seorang daripada anak murid
saya iaitu Nurzafirah bt. Rahim (6A2) berdasarkan tugasan mingguan yang telah
diberikan kepadanya sebelum ini.

Pendahuluan
- Masalah kebanjiran PATI – perlu tindakan

Isi-isi Penting
i. masalah jenayah
ii. memonopoli peluang pekerjaan
iii. ancaman kepada keselamatan negara
iv. langkah penguatkuasaan undang-undang
v. penyelesaian secara diplomatik

Penutup
- timbulkan kesan negatif – perlu ditangani

Karangan Contoh

Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang datang ke negara kita secara senyap-
senyap sudah lama berlaku dan hal ini menyebabkan kebanjiran pendatang
berkenaan secara besar-besaran. Pelbagai usaha dan tindakan tegas telah
diambil oleh pihak berkuasa, misalnya pihak imigresen yang mengetatkan
pengawasan di sempadan negara dan tidak kurang juga tindakan kerajaan untuk
mengembalikan sebilangan besar pendatang asing yang tiada permit ke negara
mereka. Ekoran daripada tindakan tersebut, usaha pendatang asing tanpa izin
yang berniat untuk datang ke negara ini dapat dibanteras. Oleh hal yang
demikian, usaha itu haruslah diteruskan agar keamanan dapat dikekalkan di
negara kita.

Terdapat pelbagai kesan akibat kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara
ini. Salah satunya ialah kesan negatif iaitu timbulnya masalah jenayah dalam
kalangan mereka. Masalah jenayah seperti rompakan, ragut dan sebagainya
tidak dinafikan turut didalangi oleh pendatang tanpa izin ini. Kehadiran mereka
tanpa permit sukar untuk dikenal pasti oleh pihak berkuasa. Lantaran itu, mereka
sewenang-wenangnya menggunakan kesempatan tersebu ibarat pepatah,
"Sambil menyelam minum air", untuk melakukan jenayah secara berselindung
tanpa diketahui oleh pihak berkuasa tempatan. Masalah jenayah sedemikian jika
tidak dibanteras sudah tentu akan menyusahkan masyarakat tempatan dan turut
menyebabkan imej negara tercalar.

Kebanjiran pendatang asing tanpa izin juga turut menyebabkan peluang


pekerjaan dalam pelbagai sektor khususnya sektor pembuatan dimonopoli oleh
pendatang tersebut. Tidak dinafikan migrasi pendatang asing ini ke negara kita
adalah berpunca daripada kurang peluang pekerjaan di negara mereka. Oleh hal
yang demikian, mereka mengambil kesempatan untuk berhijrah ke negara jiran
untuk mencari pekerjaan melalui sindiket pekerjaan yang tidak sah.
Kesanggupan mereka untuk bekerja di negara ini terbukti apabila banyak sektor
pembinaan yang menawarkan mereka pekerjaan sebagai buruh binaan yang
memenatkan. Walaupun begitu, seperti kata peribahasa, "Alah bisa tegal biasa",
kesusahan tersebut tidak menghalang mereka untuk terus bekerja, tidak sama
seperti rakyat negara ini yang tidak tahan dengan pekerjaan berat tersebut.

Kesan lain akibat masalah tersebut ialah keselamatan negara akan turut
terancam dengan kehadiran beribu-ribu pendatang asing tanpa izin. Hal ini
demikian kerana, selain melakukan jenayah, kehadiran mereka yang ramai serta
kualiti kesihatan yang tidak dijaga turut menjejaskan kesihatan rakyat tempatan.
Penyakit berjangkit seperti selesema burung dan pelbagai penyakit lagi yang
memudaratkan kesihatan akan disebarkan secara tidak langsung. Pemantauan
seperti pemeriksaan kesihatan yang sepatutnya dilakukan oleh imigran dari luar
negara tidak dilakukan kerana kehadiran mereka ke negara ini adalah secara
haram dan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya. Akibatnya, masyarakat
tempatan akan berasa tidak selamat dengan persekitaran luar dan berasa
waswas untuk keluar bekerja dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah


kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara kita iaitu salah satunya dengan
menguatkuasakan undang-undang. Tidak dinafikan, pendatang asing tanpa izin
yang bolos ke negara kita disebabkan oleh bantuan individu yang berkuasa
kerana kegiatan rasuah yang menular. Oleh hal yang demikian, setelah pelbagai
inisiatif diambil, namun masih ada lagi kes pendatang asing tanpa izin yang
berjaya melepasi sempadan maka hal ini tidak lain berkaitan dengan kegiatan
rasuah yang berlaku dalam kalangan pihak berkuasa yang menjaga sempadan
negara. Oleh itu, tindakan tegas harus diambil oleh kerajaan untuk membendung
gejala ini. Penguatkuasaan yang ketat, misalnya mengenakan denda yang berat
kepada pesalah yang mendalangi kegiatan tersebut serta mengembalikan
pendatang asing tanpa izin ke negara asal mereka merupakan antara langkah
yang boleh diambil.

Masalah yang turut melibatkan hubungan antara dua negara ini seharusnya
diselesaikan secara diplomatik antara kedua-duanya, misalnya negara Indonesia
perlu menyokong dan mempersetujui tindakan kerajaan Malaysia untuk
menghantar sebilangan besar rakyat negara tersebut yang tidak memiliki permit
pekerjaan yang sah di negara ini tanpa mengenakan tindakan berat kepada
mereka. Negara Indonesia juga perlu menerima keputusan jika Malaysia
terpaksa mengenakan hukuman kepada sebahagian rakyat negara jiran yang
berkeras untuk tidak menyerah diri pada tarikh yang ditetapkan. Kerjasama
antara kedua-dua pihak ini pasti akan mengurangkan masalah kebanjiran
pendatang asing tanpa izin ke negara ini, seterusnya hubungan diplomatik
antara kedua-dua buah negara juga tidak akan terjejas.

Oleh hal yang demikian, kebanjiran pendatang asing tanpa izin sememangnya
membawa kesan yang negatif kepada negara. Masalah ini sudah tentu akan
menjadi lebih serius jika tidak ditangani segera. Jadi, semua pihak haruslah
berganding bahu untuk menangani masalah tersebut. Selain itu kerjasama
antara pihak berkuasa tempatan serta pihak kerajaan kita dengan kerajaan
negara jiran perlu ditingkatkan agar masalah rasuah dalam kalangan pihak
berkuasa tidak berlaku. Hal ini perlu dibanteras agar tidak memburukkan
keadaan lagi. Jika masalah tersebut dapat ditangani, sudah tentu hal ini tidak
akan menjejaskan hubungan diplomatik antara negara yang sudah sekian lama
terjalin.
Oleh; Nurzafirah Rahim.

Daripada Cikgu Mohd Khir Kassim


Posted by Mohd Khir Kassim at 10:10 PM 2 comments

Tips 1 Karangan STPM 2008

Tips 1 Karangan
Masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga petrol
telah memberikan banyak kesan kepada para pengguna di negara kita. Jelaskan
kesan-kesan tersebut dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk
menanganinya.

Rangka Karangan

Pendahuluan (IKCLH @ IKTHH)


Kenaikan harga petrol – kenaikan harga barang – perlu tingkatkan usaha –
kenaikan harga boleh dikawal – perlu berusaha untuk kawal kenaikan
Isi-isi Penting (IKTHH @ IKCLH @ 5W1H)
i. Kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit – kuasa
beli berkurangan – harga barang keperluan dapur meningkat – mendatangkan
kesan kepada pengguna – perlu bijak berbelanja.
ii. Kadar inflasi meningkat – ekonomi bermasalah – beri contoh – menyusahkan
masyarakat – perlu jimatkan perbelanjaan.
iii. Jalankan kempen jimat cermat – sampaikan mesej – gunakan media arus
perdana – beri kesedaran – kenaikan harga dapat ditangani.
iv. Rancang perbelanjaan seharian – beli barang yang perlu – beli barang yang
murah – dapat jimatkan wang – kurangkan masalah.
v. Pengguna digalakkan menanam sayur – tak perlu beli sayur – tanam sayur
sendiri – berikan kepada jiran – eratkan hubungan

Kesimpulan (RCAPH @ KHH)


Amalan berjimat cermat – sedar akan kenaikan harga – timbulkan banyak
masalah – jangan sudah terhantuk baru nak tengadah – tangani kenaikan harga
barang.

Harga petrol yang meningkat di seluruh dunia telah menyebabkan kenaikan


harga bahan bakar tersebut tidak dapat dielakkan dan turut meningkat di negara
kita. Kenaikan tersebut telah menyebabkan kenaikan semua harga barang di
pasaran. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan telah memainkan peranan
dengan mengambil langkah yang perlu dan meningkatkan usaha untuk
mengawal kenaikan harga barang itu agar berpatutan dan tidak terlalu tinggi.
Hasilnya kenaikan harga barangan lain masih boleh dikawal dan kenaikan
tersebut masih boleh diterima oleh anggota masyarakat. Untuk menghadapi
masalah ini juga, semua pihak perlulah berganding bahu dalam mengekang
kenaikan harga barang yang melampau dan bekerjasama dengan kerajaan
untuk mengawal kadar inflasi yang semakin meningkat, seperti kata pepatah
"Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing".

Kenaikan harga barangan telah memberikan kesan kepada semua orang,


antaranya ialah masalah ini akan menyebabkan kehidupan golongan yang
berpendapatan rendah semakin terhimpit. Hal ini demikian kerana, kuasa beli
mereka semakin berkurangan dan pendapatan mereka menjadi semakin
berkurangan. Sebagai contohnya, barang-barang keperluan dapur semakin
meningkat dan dianggarkan meningkat dalam lingkungan 20 hingga 50 peratus
daripada harga yang sebelumnya. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan
kesan kepada mereka kerana pendapatan mereka sebelum ini cuma cukup
makan sahaja. Oleh hal yang demikian, anggota masyarakat perlulah berbelanja
dengan bijak dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu kerana beringat
sebelum kena dan berjimat sebelum habis.

Kesan lain yang akan menjejaskan pengguna akibat kenaikan harga barang
ialah kadar inflasi akan meningkat di negara kita. Apabila kadar inflasi
meningkat. sudah tentu ekonomi kita akan menghadapi masalah untuk
berkembang dan seterusnya pertumbuhan ekonomi akan lembab. Sebagai
contohnya sebelum bulan Jun 2008 kadar inflasi di negara kita masih berada di
bawah paras 3 peratus, tetapi apabila harga petroleum meningkat pada bulan
Jun, kadar inflasi juga meningkat hingga melebihi 7 peratus. Oleh itu, kesan
inflasi ini sudah tentu akan menimbulkan masalah kepada semua golongan
masyarakat. Jadi, semua pihak perlulah menjimatkan perbelanjaan seharian bagi
mengelakkan masalah inflasi daripada terus mencengkam masyarakat.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan anggota
masyarakat di negara kita untuk menangani masalah ini. Langkah tersebut ialah
pihak kerajaan perlu menjalankan kempen jimat cermat dalam kalangan
pengguna. Hal ini demikian kerana, melalui kempen, mesej kerajaan untuk
menggalakkan masyarakat supaya berjimat cermat akan mendatangkan hasil.
Kempen tersebut boleh dijalankan melalui media massa arus perdana seperti
televisyen, radio dan juga media cetak. Kempen tersebut juga sekurang-
kurangnya diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada para pengguna.
Dengan cara itu, kesan kenaikan harga barang akan dapat ditangani dengan
lebih berkesan dalam kalangan pengguna.

Langkah seterusnya ialah para pengguna perlu merancang perbelanjaan


seharian dengan lebih berhemat. Hal ini akan menjadikan para pengguna di
negara kita lebih bijak semasa berbelanja iaitu membeli barang-barang yang
diperlukan sahaja. Barang-barang yang kurang diperlukan tidak perlu dibeli atau
mungkin ada barangan alternatif yang lain dan lebih murah harganya di pasaran.
Para pengguna boleh membeli barang makanan yang dimakan setiap hari
sahaja berbanding dengan makanan sampingan yang kurang penting. Oleh itu,
wang yang digunakan untuk membeli barang-barang yang kurang diperlukan itu
dapat dijimatkan dan digunakan untuk keperluan lain yang lebih penting. Perkara
ini serterusnya dapat mengurangkan masalah yang timbul akibat kenaikan harga
barang yang dihadapi oleh semua pengguna.

Anggota masyarakat yang juga merupakan pengguna digalakkan untuk


menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Dengan cara
ini, para pengguna tidak perlu lagi membeli sayur-sayuran di pasar setiap hari.
Sebagai contohnya, anggota masyarakat boleh menanam sayur-sayuran yang
mudah ditanam di belakang rumah ataupun di dalam pasu seperti cili, kangkung,
sawi, kunyit, serai, tomato dan sebagainya. Selain untuk kegunaan sendiri,
sayur-sayuran itu juga boleh diberikan kepada jiran-jiran yang berhampiran.
Sudah tentu tindakan ini akan menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak
langsung, cara ini juga boleh merapatkan hubungan sesama jiran dan
seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.

Oleh hal yang demikian, para pengguna hendaklah menjadikan amalan berjimat
cermat sebagai budaya dalam kehidupan seharian. Oleh itu, semua pengguna
perlulah sedar akan kesan buruk akibat kenaikan harga barang sekiranya tidak
diambil endah oleh anggota masyarakat. Sekiranya para pengguna tidak
membudayakan amalan berjimat cermat, sudah tentulah kenaikan harga barang
akan menimbulkan masalah yang serius kepada mereka sendiri. Jadi, langkah
awal dan proaktif perlulah diambil, janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah
atau apabila nasi sudah menjadi bubur baru hendak bertindak. Sekiranya
langkah proaktif tersebut diamalkan sudah tentu masalah kenaikan harga barang
yang hangat diperkatakan pada masa ini akan dapat ditangani dengan berkesan.
Daripada Cikgu Mohd Khir Kassim
Posted by Mohd Khir Kassim at 9:20 PM 2 comments
SATURDAY, NOVEMBER 15, 2008

Peringatan Akhir Kepada Calon STPM 2008

Kertas 2 Bahasa Malaysia STPM 2008

Peringatan terakhir sebelum menghadapi peperiksaan.

Peringatan tentang Masa:


Pastikan anda membuat perancangan masa mengikut soalan dan masa yang
diperuntukkan
Analisis Soalan STPM Bahasa Melayu Kertas 2 (2002 - 2007)

Soalan Bahagian A : Karangan

2002
1. Faktor yang mempengaruhi kestabilan institusi kekeluargaan. (Format umum)
2. Kesan pertumbuhan pasar raya. (Format umum)
3. Langkah untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
(Format umum)
4. Punca kekurangan bekalan air dan langkah mengatasinya. (Format khusus -
Laporan)

2003
1. Kesan negatif pencemaran sungai dan langkah mengatasinya. (Format umum)
2. Sebab kelembapan pasaran buku ilmiah dan cadangkan langkah untuk
mepertingkatkannya. (Format umum)
3. Faktor yang menyebabkan berlakunya kegiatan cetak rompak dan kesan-
kesannya. (Format umum)
4. Kelemahan sistem pengangkutan awam dan langkah mengatasinya. (Format
khusus -Laporan)

2004
1. Usaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan penduduk melalui sistem
pendidikan. (Format umum)
2. Kesan buruk penggunaan racun serangga dan langkah mengatasi masalah.
(Format umum)
3. Ulasan tentang faktor kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran dalam
mencapai kemajuan negara. (Format umum)
4. Cara memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar. (Format
khusus - Ucapan)

2005
1. Kepentingan aktiviti sukan dalam kehidupan warga Malaysia. (Format umum)
2. Dapatkah Malaysia menjadi pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini. (Format
umum)
3. Cara-cara Malaysia mengatasi kegawatan ekonomi. (Format khusus -
Ceramah)
4. Kesan negatif penggunaan tenaga buruh kanak-kanak di negara dunia ketiga.
(Format umum)

2006
1. Kebaikan aktiviti kitar semula kepada masyarakat dan negara. (Format khusus
- Ceramah)
2. Penjelasan tentang sebab-sebab siswazah kurang berminat dalam bidang
pertanian. (Format umum)
3. Penyataan kekesalan tentang kesan negatif program bersifat realiti yang
disiarkan melalui televisyen. (Format khusus - Memorandum)
4. Sebab golongan belia kurang berminat dalam bidang keusahawanan. (Format
umum)

2007
1. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, jelaskan tindakan yang perlu
dilakukan untuk memperkukuh patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini.
(Format umum)
2. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan gejala obesiti atau
kegemukan dikatakan berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak sihat.
(Format umum)
3. Jelaskan faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya kegiatan seni budaya
tradisional kini semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat
negara ini. (Format umum)
4. Jelaskan penyataan langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memasukkan
komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi
para pelajar tingkatan satu hingga lima boleh memberikan kesan yang positif
kepada pelajar. (Format umum)

Soalan Bahagian B : Rumusan

2002
Petikan tentang teknologi Internet

2003
Petikan tentang usaha meningkatkan sektor pertanian
2004
Petikan tentang sekolah sebagai institusi untuk memupuk perkembangan
individu secara menyeluruh

2005
Petikan tentang masalah sosial dalam kalangan remaja dan program yang
dilaksanakan untuk mengatasinya.

2006
Petikan yang berkaitan dengan industri pengiklanan.

2007
Petikan tentang sektor pertanian – Potensi dan masa depan.

Soalan Bahagian C : Alih Bentuk Teks

2002
Dialog – Petikan drama
Dialog – Petikan cerpen

2003
Sajak
Iklan

2004
Dialog – Bahan kreatif
Sajak

2005
Prosa klasik
Dialog – Petikan cerpen

2006
Dialog
Iklan

2007
Dialog – Petikan cerpen Kelapa Nan Sebatang
Dialog - Perbualan

Soalan Bahagian D : Analisis Kesalahan Bahasa

2002
Kata pemeri, kata sendi nama, ejaan, kata bilangan, binaan ayat pasif, dan ayat
tiada subjek.

2003
Kata sendi nama, binaan ayat pasif, kata ganda, kata kerja transitif aktif, dan
penjodoh bilangan.

2004
Penjodoh bilangan, ayat tiada subjek, kata hubung pancangan relatif, binaan
ayat pasif, kata adjektif dengan imbuhan ‘memper...kan’, dan ejaan.

2005
Kata hubung komplemen, kata pemeri, kata sendi nama ‘di’, binaan ayat pasif
diri ketiga, kata nama ‘pada’ dan kata kerja aktif transitif.

2006
Kata hubung pancangan keterangan, ayat aktif transitif, ejaan, penggunaan kata
hubung pada awal ayat, ayat majmuk pancangan relatif, dan kata ganda.

2007
Kata hubung pancangan keterangan, kata nafi, kata hubung pancangan
keterangan, kata tanya, ayat pasif kata ganti nama pertama, dan kata seru.

Berdasarkan analisis soalan-soalan STPM yang lepas, anda dapat meneliti trend
soalan dan membuat jangkaan bagi tahun ini.

Semoga berjaya.

Daripada Cikgu Khir.


Posted by Mohd Khir Kassim at 1:27 PM
2 comments:
Cikgu Ghalib said...

Cikgu Khir,
Elok kita gunakan istilah karangan yang berformat umum dan karangan

You might also like