You are on page 1of 6

Cerpen Remaja

Sejak meninggalkan alam persekolahan, Rosmah mula berjinak-jinak dengan rakan-rakan


yang tidak bermoral. Sikapnya bertambah liar sejak orang tuanya menyahut seruan Illahi.
Dirinya tidak terurus dan menghadapi tekanan setelah mendengar berita yang menyayat hati
tentang orang tuanya.
Terpaksalah dia hidup bersendirian di rumah yang sederhana besar memandangkan dirinya
anak tunggal dan kini bergelar anak yatim piatu. Pilu sungguh hati! Hanya Tuhan sahaja yang
tahu hatinya tika itu. Oh Tuhan!
“Tahniah, Rosmah!,” Syikin, teman baiknya mengucapkan tahniah kepadanya kerana
mendapat 5A1 dalam peperiksaan SPM lepas. Seukir senyuman terpamer di wajah gadis itu.
“Thanks, Syikin. Ala, kau pun apa kurangnya. Keputusan kita sama aje,” Rosmah
menyambut tangan yang dihulur teman baiknya. Mereka bersalaman.
Dari riak wajah ceria, mereka berdua begitu gembira sekali. Walaupun keputusan mereka
belum berada pada tahap yang cemerlang, namun mereka berasa bangga dan bersyukur dengan
keputusan itu kerana itulah hasil usaha mereka selama lima tahun bersekolah di sekolah
menengah.
“Jadi, apa plan kau lepas ini? Nak kahwin?,” soal Syikin sambil menepuk lembut bahu
temannya itu. Sempat pula berseloroh. Mereka berdua ketawa.
Sepi. Suasana meriah oleh gelak tawa mereka berdua kini bertukar menjadi sepi.
Rosmah masih berfikir untuk menjawab soalan pertama yang baru diutarakan oleh Syikin.
Soalan itulah yang sering bermain-main tanpa henti di mindanya.
“Aku pun tak tahu. Nak cari kerja kutt,” senyuman hambar diberikan. Hanya itu yang
mampu dijawabnya. Selebihnya, diserahkan kepada kuasa-Nya. Dia lebih mengetahui.
…Bintang terlihat terang…
…Saat dirimu datang…
Lamunan Rosmah terhenti.
Arghhh….!
Lagu “Kembali Pulang” hasil nyanyian Kangen Band menerobos suasana sepi tadi. Lagu itu
menandakan seseorang berada di hujung talian.
Tanpa berlengah, punat yang berwarna hijau ditekan.
“Hello!,”
“Wei Rosmah!,”
“Kenapa, Nuri?” soalnya, bersahaja.
“Kau free tak? Datang tempat biasa, jam 11 malam ini. Cepat, jangan lambat!,” arah si
pemanggil. Tegas.
Tanpa menunggu jawapan Rosmah, talian diputuskan.
“Tapi…,” Rosmah yang ingin membantah, terpaksa akur dengan arahan itu. Jika dia
membantah,dia sendiri tahu akibatnya. Tentu teruk dibelasah! Dasyatnya!
Gadis yang berumur 18 tahun itu terpinga-pinga seketika. Namun, dia cepat bersiap-siap
setelah dilihatnya satu jam lagi angka 10 akan bertukar 11. Masa tidak pernah menunggu sesiapa
walau dia seorang raja atau menteri. Dia menjejakkan kakinya ke tempat biasa seperti yang
diarah oleh Nuri, kawan baru dikenalinya yang sering mengajaknya keluar malam untuk
berseronok.
Lima minit lagi sebelum jam 11, dia sudah berada di muka pintu sebuah rumah usang.
Rumah itu dijadikan sebagai sarang tempat mereka berseronok, tempat mereka melakukan dosa!
Dilihatnya, ramai kawannya yang berada si situ, merokok,menghidu gam, berdating, dan
mendengar lagu rock sambil menari ala orang kurang siuman. Kehadirannya, seperti biasa tidak
dhiraukan oleh mereka yang sibuk dengan aktiviti-aktiviti di dalam rumah usang itu. Remaja!
Beginikah? Arghhh….
“Wei, kenapa termenung aje ni? Enjoy lah! Jangan nak buat muka masam macam kerang
busuk kat sini pulak! Sini hidup kita, syurga kita. Happy!!!,” kata-katanya seperti menyindir,
tapi malas dia mahu mengulas kata-kata Nuri. Nuri menghamburkan ketawanya.Tapi sejenak
suara ketawa besar Nuri hilang dek tenggelam oleh lagu rock yang memeriahkan suasana di
rumah itu.
Rosmah tersenyum hambar. Masam sungguh wajahnya malam itu. Berbeza dengan malam
sebelumnya, di mana dia akan menurut semua arahan yang diberikan oleh kawan-kawannya.
Rosmah mengambil sebatang rokok lalu disuakan ke dua celah bibirnya yang sedikit hitam. Dia
menikmati keseronokan yang terhidang malam itu bersama kawan-kawannya yang lain.
“Hai, cik manis,” sapa seorang lelaki yang berbadan tegap. Tinggi sedikit dari dirinya.
Lelaki itu menyentuh pipinya dan memegang lembut lengannya lagak orang yang sedang
berpacaran. “Free tak? Untuk malam ini aje,” ujar lelaki yang mungkin 10 tahun lebih tua dari
dirinya. Eeee…
Kenyitan mata menggoda dari lelaki tua itu merimaskan Rosmah. Tak sedar diri betul!
Sumpah Rosmah dalam hati. Dia belum pernah berdepan dengan situasi sebegini. Ekor matanya
memandang anak mata lelaki tua tak sedar diri itu. Manusia itu seperti mendambakan sesuatu
dari dirinya. Sungguh menakutkan!
Rosmah tersentak! Dia menepis tangan lelaki itu dan menolaknya sedaya mungkin setelah
disedarinya tangan kasar lelaki tua itu mula merayap ke tubuhnya. Kelihatannya, lelaki itu
sedikit terkejut atas tindakan spontannya sebentar tadi. Mata dan wajah lelaki itu kelihatan
merah menandakan reaksi wajahnya yang marah.
Rosmah berserah sahaja jika sesuatu yang buruk berlaku ke atas dirinya, tapi maruah perlu
dijaga. Teringat seketika dengan pesanan mamanya, yang mensihatinya untuk menjaga maruah
diri walau dalam keadaan apa sekalipun. Baru dia sedar, selama ini dia melupakan Maha
Pencipta, Tuhannya. Dalam keadaan cemas ini, barulah dia teringat Allah, yang pasti membantu
hamba-Nya. InsyaAllah.
Cemas! Itulah yang dirasainya sekarang. Dia hanya mampu berdoa dalam hati. Ya
Allah….
Lelaki yang masih berapi kemarahan itu memukul dan menampar Rosmah.
“Agggghh,”
Rosmah kaget, tapi dia perlu mempertahankan dirinya. Dia tidak menyangka lelaki itu
bertindak di luar jangkaannya. Sungguh sakit! Itulah yang dirasainya kini. Kawan-kawannya
yang berada di situ tidak menolongnya. Hanya menjadi penonton setia. Mereka ibarat penonton
yang sedang menonton drama. Lelaki tua dan Rosmah pula ibarat pelakonnya.
“Kawan, tolong aku!,” rintih hatinya.
Harapkan pagar, pagar makan padi! Inikah kawan yang pernah menabur janji akan
sentiasa tolong aku ketika memaksa aku untuk menyertai mereka melakukan aktiviti yang jelek?
Penipu!
Satu tamparan yang maha hebat hinggap sekali lagi di pipinya yang sudah berdarah sejak
tadi. Dia cuba untuk melawan, tapi apakan daya seorang perempuan lemah sepertinya melawan
seorang lelaki yang berbadan tegap? Air mata yang masih hangat terus menerus mengalir tanpa
henti. Dia menahan kesakitan itu…
Lelaki yang tidak berperikemanusiaan itu meninggalkan rumah usang setelah memberikan
dua tendangan hebat ke tubuhnya. Rosmah terbaring di atas lantai. Lemah tubuhnya saat itu. Dia
terkulai layu. Kepalanya berpusing-pusing, ingin pengsan rasanya. Beberapa saat, pandangannya
yang kabur semakin kabur dan gelap!
Kelopak mata cuba dibuka walaupun pedih rasanya. Sedikit kabur pandangannya tika itu.
Samar-samar kelihatan seseorang sedang lena di kerusi. Hati bertanya-tanya siapakah gerangan
yang sudi membawaku ke sini? Sini? Hospital rupanya.
“Syikin,” nama itu terkeluar dari mulutnya yang masih bengkak. Betapa malunya dia pada
teman baiknya, Syikin.
Ohh Tuhan! Mengapa? Aku begitu malu dengan Syikin. Satu-satunya teman yang sering
menasihatiku suatu masa dulu tapi tidak ku peduli malah ku menghinanya. Mengapa dia masih
menyayangiku. Sungguh hina diriku ini…
Dia cuba mengingati saat temannya berusaha menasihatinya dulu. Auchh.. sakit
kepalanya, tapi diusahakannya juga untuk mengingati apa yang berlaku beberapa bulan yang
lalu. Biarlah dia merasa kesakitan kepalanya, tapi itu tidak setimpal dengan rasa sakit pada hati
Syikin…
“Ros, aku harap kau sedar ini semua ujian Tuhan. Kenapa kau berubah seratus peratus
menjadi seperti begini? Walaupun parents kau telah pergi, kau masih ada aku dan kawan-kawan
yang lain. Kita kongsi masalah, Ros. Jangan biarkan diri kau rosak hanya kerana tidak bijak
menghadapi ujian kehidupan,” sudah puas Syikin memujuknya untuk berubah menjadi seperti
dirinya semula. Tapi, diendahkan saja. Nasihat itu dibiarkan berlalu bersama hembusan lembut
angin.
Dia tidak akan berputus asa malah dia akan terus memujuk dan menasihati temannya yang
menghadapi tekanan itu.
Rosmah mendengus kasar. Keluhan Syikin turut kedengaran. Taman yang sunyi dan
tenang sejak tadi kini tidak setenang tadi. Kehangatan mula dirasai oleh dua sekawan itu.
“Kau tak faham bahasa ke? Apa yang tak kena dengan aku? Aku dah dewasa untuk
menentukan hidup aku sendiri. Ini hidup lah, Syikin! Kita harus mencuba sesuatu yang baru.
Menimba pengalaman, apa salahnya?,” Rosmah cuba mempertahankan dirinya yang dirasakan
betul. Dia tersenyum sinis.
“Aku tahu ini hidup. Tapi hidup tak semudah yang disangka. Kita bukannya di syurga, tak
perlu takut untuk melakukan sesuatu. Tapi kita di dunia! Dunia yang berduri! Duri-duri
kehidupan sentiasa ada sama ada kita sedar atau tidak! ,” Syikin meluahkan apa yang terpendam.
“Kita harus mencuba sesuatu yang baru?” Syikin mengulangi ayat yang tersembur dari
mulut Rosmah. “Contohnya? Seperti merokok? Menghidu gam? Bergaul bebas? Itukah sesuatu
baru yang kau nak cuba?,” tempelak Syikin.
Rosmah mencebik. Kata-kata pedas itu umpama semburan cili ke mata seseorang. Pedas!
Dilihatnya Rosmah diam membisu. Mukanya seperti menahan malu. Ahh..pedulikan! Kau
kena berubah! Kata hati Syikin.
“Ros, mengapa perlu kau lakukan sesuatu yang tidak berfaedah malah membuang masa?
Jika kau inginkan sesuatu yang baru, mengapa tidak kau mencari pekerjaan dengan
menggunakan sijil SPM kau? Jika parents kau masih hidup, sudah tentu mereka sedih melihat
keadaan kau sekarang ini…,” soalan bertubi-tubi diludahkan kepada Rosmah.
Syikin begitu sedih sekali melihat perubahan temannya. Dulu dia seorang yang berbudi
pekerti, baik hati, berdisiplin, tapi semuanya hilang ditelan masa. Pengaruh rakan-rakan yang
tidak bermoral menyebabkannya seperti ini.
Dia juga tidak percaya dengan khabar angin yang mengatakan Rosmah merokok dan
berkawan dengan sampah masyarakat. Dia juga tidak percaya jika Rosmah berpakaian ketat
sehingga kelihatan pusat, seperti gaya orang barat. Astaghfirulla hal ‘azim…
Rosmah di hadapan matanya. Barulah dia percaya akan khabar angin yang sememangnya
benar itu. Ke mana perginya tudung yang sering menemani dan menutupi rambutnya? Ke mana
perginya adab sopan yang diamalkannya dulu? Ke mana hilangnya imannya dulu? Pelbagai
soalan yang berlayar di mindanya.
“Sudahlah Syikin! Jangan kau ungkit kisah lamaku! Siapa kau nak nasihatkan aku? Kau
bukan siapa-siapa di mata aku. Malah kau menyemak mataku sahaja. Kau tak sedarkah siapa
kau? Kau cuma anak miskin yang menumpang di rumah orang! Tidak malukah kau menumpang
rumah orang selama berpuluh tahun lamanya? Dasar perempuan tak tahu malu!,” suaranya
sengaja dikuatkannya. Dia memberikan senyuman sinis kepada Syikin.
Sindiran pedas! Rosmah senyum mengejek. Puas hatinya melihat perempuan yang sering
mengganggu masanya hanya untuk berceramah dengannya, menangis teresak-esak. Padan muka!
Jerit hatinya.
Oh…Ros, kenapa kau bicara seperti itu. Salahkah aku menasihatimu sebagai seorang
sahabat? Oh Tuhan! Hatiku terguris dengan kata-katamu, wahai sahabat. Sungguh pedih sekali.
Ya Allah, lindungilah sahabat ku ini, sesungguhnya dia telah kehilangan iman dari dadanya.
Kuatkanlah imannya, Ya Allah…Kuatkan juga imanku menerima ujian Mu ini Ya Allah…
Rosmah meninggalkan Syikin yang masih hangat dengan air mata akibat kata-katanya
tadi. Syikin menyeka air matanya. Dia berharap Rosmah tidak terlambat untuk sedar dari mimpi
buruk yang sebenarnya adalah kenyataan!
“Ros, dah sedar?,” sapaan mesra dari teman baiknya, teman yang pernah menasihatinya
membantutkan ingatannya pada masa mereka bertekak dulu.
Rosmah mengangguk lemah. Tanpa disedari, air matanya telah lama menemaninya ketika
dia mengimbau kenangan lalu. Dia menyeka air mata itu, takut dilihat oleh Syikin.
Syikin yang telah lama memerhati teman baiknya itu termenungkan sesuatu dan
menangis, hanya tersenyum.
“Ros, jangan diseka air mata itu. Menangislah sepuas-puasnya, Ros. Jangan dipendam
dalam hati, nanti memakan diri,” Syikin menggenggam erat tangan Ros. Ros membalasnya
lemah memandangkan kondisinya belum stabil sepenuhnya.
Rosmah terharu dengan kata ikhlas dari temannya itu. Oh sahabatku….
Rosmah menangis, tidak ditahannya lagi. Dia ingin menangis sepuas-puasnya. Syikin juga
turut menangis. Rosmah mendapati dirinya masih disayangi,
“Syikin…,”panggil Rosmah. Dua pasang mata beradu kala itu. Senyuman manis temannya
menenangkan jiwanya.
“Aku…er…aku nak minta maaf pasal hari itu. Aku tak sengaja menghinamu. Maafkan aku
atas sikap burukku selama ini. Aku tahu permintaan maafku tidak dapat menyembuhkan luka
yang terguris di hati seorang teman baik seperti Syikin. Jika kau tidak memaafkan aku, aku
pasrah. Sesungguhnya aku tidak layak menerima kemaafan dari kau,” ujarnya.
Suasana mereka ditemani dengan air mata dari hati yang ikhlas. Wajah matahari
dilindungi kepulan-kepulan awan hitam. Hujan renyai-renyai ibarat awan juga turut menangis
lalu membuang isi perutnya ke muka bumi.
“Teman, aku tak pernah berdendam dengan kau. Kau sahabat aku, tak salah kiranya aku
menolongmu dan mendoakan yang terbaik untukmu. Mungkin kejadian semalam tentang lelaki
itu adalah hikmah-Nya untuk kau sedar sebelum kau bertambah sesat di atas jalan raya
kehidupan yang beronak duri.
Semalam, aku mendengar khabar kau pengsan di sebuah rumah usang. Aku bergegas ke
sana dan mendapati terdapat beberapa orang pegawai polis. Suasana malam tadi begitu
mencemaskan. Semua sampah masyarakat itu ditahan bagi membantu siasatan tentang
pengambilan dadah.
Aku bersyukur kerana kau tidak dilibatkan dan tidak ditahan, kerana kau belum
menyentuh dadah. Aku tahu kau hanya merokok dan ingin melepaskan diri dari orang tua itu
kerana kau masih mempunyai maruah diri yang belum tercemar. Betapa berkuasanya Tuhan
melindungimu, wahai teman,” luah Syikin.
“Syikin, aku..er..,” sukar untuknya berdepan dengan temannya itu.
Perasaan malu menebal dalam diri. Dia tidak menyangka orang yang telah dihinanya dan
diketepikan suatu ketika dulu berada di depan matanya membantu diri yang terpesong dari
landas kehidupan. Sungguh murni hatimu, Syikin…
Rosmah berasa insaf atas semuanya. Tiap yang berlaku pasti ada hikmah-Nya. Dia
merasakan dia sangat bertuah mempunyai seorang teman yang begitu baik dan mengamalkan
sifat mahmudah. Dia juga bersyukur kepada-Nya kerana dia masih diberikan ruang taubat dalam
dirinya.
Sungguh tidak disangka masih ada seorang hamba Allah yang dikenalinya membantunya
tanpa menghiraukan kata-katanya yang kesat dulu. Syikin, satu-satunya yang dia ada di dunia
ini. Dia ibarat kakak yang sering menasihatinya tanpa jemu.
“Lupakan semuanya yang telah berlalu, Ros. Aku dah anggap kau seperti keluarga aku.
Anggaplah semuanya ujian pertama dari-Nya sebelum kau meneruskan destinasi untuk terus
menetap di dunia ini. Sesungguhnya masih banyak lagi ujian yang menanti kita selepas ini. Aku
pasti Dia sentiasa melindungi hamba-hamba-Nya yang ingin bertaubat. Bertaubat lah Ros…,”
nasihat ikhlas itu disemat dalam diri.
Rosmah mengangguk. Senyuman terus menghiasi wajah mereka berdua. Matahari yang
ditutupi dek awan sejak tadi kini dengan megah mempamerkan wajahnya menandakan hujan
telah reda.
Syikin meminta diri untuk keluar sebentar kerana ingin membeli makanan untuk
mengulas perut tengah hari itu.
Hati Rosmah berbunga riang. Air mata tetap menjadi teman setia untuk dirinya.
Keadaannya belum pulih sepenuhnya, lebam di seluruh tubuhnya masih kelihatan. Namun, dia
tetap bersyukur. Alhamdulillah…
Pintu dikuak perlahan. Syikin datang membawa dua bungkus nasi goreng. Langkah
Syikin terhenti seketika melihat Rosmah di dalam bilik itu. Rosmah? Syikin menangis…
Gembira hatinya, bersyukur tidak terhingga kerana Rosmah menunjukkan dirinya ingin
bertaubat. Suara merdu Rosmah berkumandang sedang membaca ayat al-Quran…

You might also like