You are on page 1of 5

DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

TEORI PERMINTAAN, PENAWARAN DAN KESEIMBANGAN HARGA

Aliran Pasaran Input dan Output

Terdapat dua unit asas yang penting di dalam aliran pasaran input dan output iaitu firma
dan isirumah. Sektor firma terdiri daripada pengeluar yang membuat keputusan
mengeluarkan barangan atau perkhidmatan dengan cara menukar input kepada output.
Firma menggunakan faktor-faktor pengeluaran (input) dan akan membayar sejumlah
wang dalam bentuk sewa, upah, bunga dan untung kepada pemilik faktor pengeluaran
(input) tersebut.

Sektor isirumah terdiri daripada pengguna yang membelanjakan wang mereka untuk
membeli barangan dan perkhidmatan. Mereka juga adalah pemilik faktor pengeluaran.
Sektor firma akan membeli faktor pengeluaran daripada isirumah di pasaran faktor.
Sektor isirumah pula akan menggunakan wang yang diperolehi daripada hasil penjualan
faktor pengeluaran untuk membeli barangan atau perkhidmatan di pasaran barangan.
Gambarajah di bawah menunjukkan aliran pusingan faktor pengeluaran (input) dan
barangan (output) di antara sektor isi rumah dengan sektor firma di pasaran faktor dan
pasaran barangan.

PASARAN
FAKTOR

FIRMA ISIRUMAH

PASARAN
BARANGAN
Aliran wang
Aliran barang

Daripada aliran pasaran input dan output ini muncul dua konsep penting di mana
isirumah meminta barangan atau perkhidmatan daripada firma dan firma menawarkan
barangan tersebut dengan mengenakan bayaran yang tertentu. Maka, wujudlah istilah
permintaan dan penawaran.

Permintaan

Permintaan boleh didefinisikan sebagai kehendak seseorang pengguna terhadap sesuatu


barangan atau perkhidmatan pada tingkat harga tertentu. Daripada definisi ini, sekiranya
seseorang itu berkehendak kepada sesuatu, tiga perkara perlu dipenuhi iaitu:
i. mesti ada kehendak / kemahuan untuk mendapatkan sesuatu
ii. mampu untuk memiliki – mempunyai wang yang cukup
iii. bercadang untuk membeli

Kehendak atau kemahuan seseorang pengguna perlulah disokong dengan kemampuan


membayar atau kuasa membeli pengguna tersebut. Barulah permintaan boleh dikatakan
suatu permintaan yang berkesan.

Semester Ogos 2006/2007 1


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

Pembahagian Jenis Barangan atau Perkhidmatan

Ada tiga yang utama iaitu:


i. Barangan percuma – tiada bayaran yang dikenakan. Pengguna boleh
memperolehinya tanpa apa-apa kos di dalam pengeluarannya. Contoh, air
hujan dan udara.
ii. Barangan awam – barang yang faedahnya dinikmati oleh setiap lapisan
masyarakat sama ada mereka meminta atau tidak. Contoh, lampu jalan yang
disediakan oleh kerajaan, sekolah, hospital, jalanraya dan kemudahan-
kemudahan lain.
iii. Barangan ekonomi – penawaran terhad dan memerlukan bayaran untuk
mendapatkannya.

Hukum Permintaan

Sekiranya semua faktor lain adalah tetap (ceteris paribus), maka jika harga sesuatu
barang meningkat, kuantiti yang diminta terhadap barangan tersebut merosot dan
sebaliknya. Ini dapat ditunjukkan oleh Jadual Permintaan berikut:
Jadual Permintaan Durian Pada Tingkat Harga Berbeza
Harga (RM) sekg Kuantiti Permintaan
(kg)
3.40 10
3.20 20
3.00 30
2.80 40
2.60 50
2.40 60
2.20 70

Jadual Permintaan – merujuk kepada senarai kuantiti barang yang diminta pada pelbagai
tingkat harga. Daripada jadual diterjemahkan dalam bentuk keluk permintaan –
hubungan di antara kuantiti yang diminta bagi sesuatu barangan dengan tingkat harga
barang tersebut, dengan andaian ceteris paribus.
Harga
3.80 Keluk Permintaan
3.60
3.40 D
3.20
3.00
2.80
2.60
2.40
2.20 D
10 20 30 40 50 60 70 80 Kuantiti

Keluk Permintaan Pasaran

Keluk Permintaan Pasaran terbentuk dengan menjumlahkan kuantiti yang diminta bagi
setiap individu dalam sesebuah pasaran yang sama mengikut tingkat harga. Contohnya
permintaan individu di pasaran ayam.

Semester Ogos 2006/2007 2


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

Jadual Permintaan Ayam oleh Ali dan Ahmad di Pasar Borong Selangor
Kuantiti diminta
Kuantiti diminta oleh Kuantiti diminta oleh
Harga PASARAN
Ali Ahmad
(Ali + Ahmad)
12 2 3 5
10 4 6 10
8 6 9 15
6 9 12 21
4 12 15 27

Permintaan Luarbiasa

Permintaan luarbiasa adalah bertentangan dengan hukum permintaan yang asal. Hukum
permintaan yang asal menyatakan bahawa jika harga barang meningkat, andaian ceteris
paribus maka kuantiti yang diminta untuk barangan tersebut akan merosot. Tetapi
permintaan luarbiasa harga meningkat kuantiti barang yang diminta akan meningkat
juga. Contoh bagi situasi ini adalah barangan mewah. Barang mewah dibeli bagi tujuan
untuk kemegahan bagi mereka yang mementingkan status atau kedudukan yang tinggi di
kalangan masyarakat. Walaupun harga meningkat, tetapi pengguna sanggup membeli
barangan tersebut menyebabkan permintaan bertambah. Dan ini menyalahi hukum
permintaan yang asal.

Satu lagi contoh permintaan luarbiasa adalah untuk barang Giffen seperti beras hancur
yang digunakan oleh golongan kurang berada. Walaupun harganya merosot, sepatutnya
lebih banyak beras hancur akan diminta tetapi ini tidak berlaku. Apabila harga jatuh,
kuantiti yang diminta juga jatuh. Ini disebabkan kerana apabila harga beras hancur jatuh,
pendapatan benar pengguna akan meningkat, dan mereka boleh membeli barangan yang
lebih berkualiti dan bermutu tinggi berbanding beras hancur. Dan ini mendorong kuantiti
yang diminta untuk beras hancur merosot.

Faktor-Faktor (Penentu-Penentu) yang Mempengaruhi Permintaan

Selain harga barang itu sendiri, ada beberapa faktor lain yang boleh mempengaruhi
permintaan di pasaran. Faktor-faktor ini akan menyebabkan peralihan keluk permintaan

Semester Ogos 2006/2007 3


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

dari kiri ke kanan atau dari kanan ke kiri bergantung kepada kesan faktor penentu
tersebut ke atas permintaan. Antara faktor-faktor penentu itu adalah:
i. Harga barang lain yang berkaitan
a. Harga barang pengganti – kedua-dua barang boleh dianggap sebagai
pengganti jika ia mempunyai fungsi dan ciri-ciri yang sama dan saling
menggantikan. Dalam kata lain, pengguna ada pilihan sama ada untuk
menggunakan salah satu barang tersebut. Contoh, antara teksi, bas dan
komuter; pengguna boleh membuat pilihan sama ada untuk menggunakan
perkhidmatan teksi, bas atau komuter untuk ke KL. Pilihan pengguna
adalah berdasarkan kepada harga yang dikenakan. Andaian harga komuter
lebih murah, maka permintaan untuk komuter adalah lebih tinggi
berbanding teksi dan bas. Jika harga komuter meningkat, pengguna akan
mengganti menggunakan perkhidmatan bas atau teksi yang lebih murah.
Contoh barang pengganti yang lain adalah antara kereta Honda dan
Proton, Sos Cili Cap Maggi dan Kimball, dan Roti Gardenia dan High5.

b. Harga barang penggenap – jenis barang yang saling melengkapi di antara


satu sama lain. Dalam erti kata lain, penggunaan barang pertama tidak
lengkap jika tiada barang yang kedua. Contohnya di antara kereta dan
petrol. Jika ramai pengguna membeli kereta, maka permintaan untuk
petrol akan meningkat kerana pengguna perlu mengisi petrol di dalam
kereta masing-masing untuk bergerak. Jika harga kereta meningkat, ramai
pengguna tidak mampu membelinya dan akan menyebabkan permintaan
untuk petrol merosot. Contoh barang penggenap yang lain termasuklah
pen dan dakwat, kamera dan filem, komputer dan disket, reket tenis dan
bola tenis, dan pensyarah dan pelajar.

ii. Pendapatan pengguna


Pendapatan pengguna menentukan kuasa beli mereka atau kemampuan
mereka untuk mendapatkan sesuatu barang atau perkhidmatan. Dengan
andaian harga barang adalah tetap, peningkatan pendapatan pengguna akan
menyebabkan kuasa beli pengguna bertambah dan pengguna mampu untuk
membeli lebih banyak barang. Sebaliknya jika pendapatan jatuh, maka kuasa
beli pengguna akan merosot dan mengurangkan permintaan pengguna
terhadap barang tersebut.

Walau bagaimanapun, secara lebih tepat kesan pendapatan boleh dilihat


dengan melihat jenis barang tersebut sama ada barang tersebut barang
NORMAL, MESTI, MEWAH atau BAWAHAN. Bagi barang normal,
peningkatan pendapatan akan menyebabkan permintaan terhadap barang
normal bertambah dan sebaliknya.

Bagi barang mesti, perubahan (peningkatan dan penurunan) pendapatan


pengguna tidak akan mengubah permintaan terhadap barang tersebut. Bagi
barang mewah, peningkatan pendapatan akan meningkatkan permintaan
barangan tersebut dan sebaliknya. Bagi barang bawahan peningkatan
pendapatan akan mengurangkan permintaan barangan tersebut dan begitu
juga sebaliknya.

iii. Citarasa dan keutamaan pengguna

Semester Ogos 2006/2007 4


DPE 1013 Prinsip Mikroekonomi

Perubahan citarasa pengguna boleh mengakibatkan permintaan terhadap


barangan juga berubah. Contohnya apabila citarasa pengguna terhadap
makanan segera seperti Pizza, KFC atau McDonald meningkat, maka
permintaan untuk barang tersebut akan meningkat dan begitu juga sebaliknya.

iv. Saiz populasi penduduk


Permintaan juga bergantung dan ditentukan oleh bilangan penduduk bagi
sesuatu kawasan. Semakin besar saiz penduduk maka semakin banyak
permintaan terhadap barang atau perkhidmatan bagi sesetengah barangan atau
perkhidmatan. Contohnya, jika golongan remaja adalah 50% daripada
keseluruhan masyarakat, maka permintaan untuk barangan atau perkhidmatan
yang berkaitan dengan remaja akan meningkat berbanding untuk golongan
lain.

v. Jangkaan pengguna terhadap harga, pendapatan pada masa kan datang


Jika pengguna mengandaikan harga kereta meningkat pada masa akan datang,
maka mereka akan membeli kereta sekarang dan ini akan meningkatkan
permintaan semasa kereta, begitu juga sebaliknya. Dan jika pengguna
mengandaikan pendapatan pada masa akan datang meningkat, maka
permintaan barang atau perkhidmatan untuk masa akan datang meningkat

vi. Musim
Perubahan cuaca yang kadangkala sejuk kadangkala panas akan juga
mempengaruhi permintaan pengguna terhadap sesuatu barang. Contoh, jika
pada musim hujan tentulah permintaan untuk payung akan meningkat dan
sebaliknya jika cuaca panas, maka permintaan untuk penghawa dingin akan
meningkat. Begitu juga jika pada musim perayaan seperti Hari Raya Puasa,
Deepavali, Chinese New Year dan Krismas. Ada barangan atau perkhidmatan
yang akan menunjukkan peningkatan dalam permintaannya oleh pengguna.

vii. Kemudahan kredit


Kemudahaan mendapatkan sumber kredit juga boleh mempengaruhi
permintaan pengguna terutamanya barangan seperti rumah, kenderaan dan
tanah. Jika kemudahan ini mudah untuk diperolehi maka permintaan akan
meningkat.

viii. Polisi kerajaan


Jika kerajaan menguatkuasakan penggunaan lampu brek ketiga pada setiap
kenderaan, maka permintaan lampu brek ketiga akan meningkat. Begitu juga
apabila kerajaan menggalakkan pengguna membeli buku dengan memberikan
pengecualian cukai pendapatan akan menyebabkan permintaan untuk bahan
bacaan meningkat.

ix. Kesan Pengiklanan


Melalui pengiklanan, penjual boleh menarik pengguna supaya membeli
barangan tersebut dan akan meningkatkan permintaan. Contoh pengiklanan
barangan serta perkhidmatan telekomunikasi seperti telefon bimbit, streamyx,
dan kad prabayar.

Semester Ogos 2006/2007 5

You might also like