You are on page 1of 10

Muka 1 drp 10

KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM


Oleh:Ghafani bin Awang Teh

Kenakalan remaja (Juvenile Delinquence) adalah merujuk kepada perbuatan dan aktiviti remaja
yang berlawanan dengan norma-norma masyarakat, undang-undang negara dan agama, seperti
mencuri, merompak, merogol, berzina, membunuh, menagih dadah, menderhaka kepada kedua
ibu bapa dan seumpamanya. Perbuatan remaja dikatakan nakal kerana remaja dianggap belum
matang, belum dewasa dan perbuatan jenayah yang mereka lakukan tidak dikenakan hukuman
berat. Hukuman yang dijatuhkan kepada mereka ialah remaja itu ditempatkan di pusat-pusat
pemulihan akhlak dan diberi pendidikan khas. Ahli-ahli sains sosial berbeza-beza pendapat
tentang had umur remaja. Ada yang mengatakan alam remaja di antara 10 – 18 tahun atau 13
tahun – 12 tahun. Menurut Islam, kanak-kanak mula dapat membezakan perkara yang baik
dan buruk setelah mencapai mumaiyiz iaitu berumur tujuh tahun. Pada ketika
inilah ibu bapa atau penjaganya patut melatih anak mengerjakan ibadat yang
wajib. Apabila anak mencapai umur baligh, mereka wajib melaksanakan semua
suruhan agama dan menjauhkan segala larangannya. Lingkungan baligh ialah
mencapai umur 15 tahun atau kanak-kanak lelaki sudah bermimpi bersetubuh dan
kanak-kanak perempuan pula telah keluar haid dalam tempuh umur antara 9
hingga 15 tahun. TEORI TABIAT MANUSIA Pakar psikologi kaunseling membuat pelbagai teori
bagi menjelaskan pembentukan tabiat manusia. Corey (1986) menyatakan beberapa teori
penting yang menjelaskan tentang tabiat itu ialah:

Pertama: Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Frued. Teori ini menyatakan tabiat
manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan seksual, kuasa
agresif dan tidak rasional yang wujud dalam diri manusia bagi tujuan menjaga survival
perkembangan hidupnya. Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri manusia secara membabi buta
(tidak sedar). Kombinasi unsur-unsur itu dan konflik hidup semasa kecil yang tidak dapat
diselesaikan
pada masa itu akan menjadi punca dan penentu tabiat anak pada masa hadapan.

Kedua: Teori Analisis Transaksi: Teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil
daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Semasa kecil anak akan merakamkan
secara langsung apa saja percakapan dan perbuatan yang ditayangkan oleh ibu bapa kepada
mereka. Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang lama atau
menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh
persekitaran.

Ketiga: Teori Behaviorisma: Menurut teori ini tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk hasil
daripada proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah
apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah, walaupun mereka sendiri
yang mencipta sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.

Keempat: Teori Pemusatan Klien: Teori ini membuat andaian bahawa tabiat manusia semula
jadinya baik, rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Walau
bagaimanapun manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan
mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang, keselamatan dan
seumpamanya.

Kita dapati bahawa pandangan teori kaunseling barat tentang tabiat manusia
adalah sebahagian dari pandangan Islam. Mereka mengkaji tabiat manusia dari
aspek luaran sahaja dengan merujuk kepada faktor persekitaran, proses
pembahagian, kemahiran keibubapaan dan keperluan jasmani. Keadaan ini
berlaku kerana mereka tidak dibimbing oleh al-Quran dan kajian itu dibuat
berdasarkan latarbelakang kehidupan masyarakat di barat. Sebagai contoh, walaupun pendapat
Frued dikritik hebat tentang tabiat manusia, tetapi teorinya adalah berkaitan dengan perasaan

KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM


Oleh:Ghafani bin Awang Teh
Muka 2 drp 10

nafsu Ammarah yang mewakili unsur kehaiwanan atau keperluan jasmani manusia.

Dari segi pendekatan Islam, Muhammad al-Jiasi (1976) menyatakan: terdapat empat peringkat
nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia iaitu:
a. Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi
mereka yang berada diperingkat ini tidak merasakan perbezaan antara yang baik dan
jahat. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya,
juga apabila melakukan kebaikan, ia tidak gembira.

b. Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai


tabiat masa lampau dan sedia keluar untuk memulakan kehidupan yang
positif.

c. Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta
merasa keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.

d. Nafsu Mutmainnah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini
berusaha terus untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya.

Pada prinsipnya nafsu itu adalah mewakili dua keperluan naluri manusia iaitu naluri
kehaiwanan (jasmani) dan rohani (wahyu). Kadang kala berlaku pertarungan sengit antara
dua naluri itu untuk mempengaruhi hati manusia. Seorang ahli falsafah akhlak Islam, Ibnu
Maskawaih menyatakan pertembungan nafsu dalam diri manusia menghasilkan tiga
peringkat tabiat manusia.

a. Manusia yang baik tabiatnya. Manusia yang baik tabiatnya tidak akan berubah menjadi
manusia yang jahat;

b. Manusia yang jahat tabiatnya. Manusia dalam kategori ini tidak akan menjadi baik kerana
memang pembawaannya sudah jahat; dan

c. Manusia yang berada dipertengahan tabiatnya. Golongan ini boleh berubah menjadi baik
atau jahat bergantung kepada pendidikan dan persekitaran yang diterimanya.

Konsep Diri Remaja Kadangkala ibu bapa mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan
anak mereka melintasi alam remaja berlaku begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan
yang dihadapi oleh anak mereka. Ibu bapa perlu mengetahui bahawa masa remaja ialah
masa peralihan zaman dari alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Pada masa ini anak-
anak tidak lagi dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa.

Peralihan zaman alam kanak-kanak menuju alam dewasa adalah suatu masa yang
penting kepada remaja kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep dirinya atau
siapakah diri aku atau suatu proses menentukan konsep jati diri pada dirinya. Rogers (1985)
menyatakan antara perubahan nyata yang berlaku pada akhir masa remaja ialah:

a. Perubahan pada fizikal Bagi anak lelaki didapati mengalami perubahan jelas pada
jasmani di mana anggota badan kelihatan mula gempal, sasar, dan tegap. Manakala si
gadis pula mula menampakkan sifat-sifat kewanitaannya seperti datang haid, buah dada
membesar, pinggang mula ramping dan punggung melebar. Apabila sampai pada
peringkat akhir remaja simbol-simbol daya tarikan seks mula kelihatan dan diiringi juga
rangsangan seksual yang mula meningkat.

b. Perubahan Emosi dan Fikiran Di peringkat remaja, perasaan dan fikiran anak lelaki
setabil kerana mereka tidak lagi kanak-kanak. Pada zaman kanak-kanak skrip hidup
hariannya ditentukan oleh ibu bapa dan kita dapati perbuatan mereka dibuat secara

KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM


Oleh:Ghafani bin Awang Teh
Muka 3 drp 10

spontan tanpa dipengaruhi oleh fikiran dan emosi. Apabila anak melangkah ke alam
remaja, ia mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji skrip hidup ibu bapa,
mencuba sesuatu yang baru dan berkhayal tentang keindahan dunia kehidupan orang
dewasa yang sukar dicapai baginya. Perubahan emosi dan fikiran ini menimbulkan
kegelisahan pada remaja kerana untuk berdikari mereka tidak mampu dan untuk
mengikut jejak langkah orang dewasa juga tidak berupaya. Keadaan ini menimbulkan
konflik nilai dalam dirinya. Mereka mengalami rasa gembira dan kadangkala kesunyian,
berkahayal dengan orang yang dikaguminya, dan cenderung mencontohi dalam pelbagai
perkara, seperti cara berpakaian, cara bergaul dan cara berfikir. Orang yang dikagumi
yang akan dicontohi kemungkinan terdiri dari penyanyi popular, pelakon popular,
pelawak, tokoh ulamak, tokoh politik, ahli sukan atau sebagainya. Ini bergantung kepada
pendedahan dan pengajaran yang diterima oleh remaja itu.

c. Narcisma - Narcisma adalah merujuk kepada ketagih cinta dan ingin dicintai untuk
mendapatkan kasih sayang pada diri sendiri. Pada masa kanak-kanak, perasaan cinta
dan dicintai di arah dan disandarkan kepada ibu bapa atau keluarga. Apabila anak itu
mencapai remaja, perasaan narcisma ini memuncak kerana remaja mengalami rasa
kesunyian (Emotional Vacumm) yang hebat kesan daripada peralihan masa untuk
berdikari dan memperluaskan rakan sosial yang sesuai. Narcisma amat kuat wujud pada
gadis remaja kerana perempuan dari segi biologinya bersifat pasti di mana ia
memerlukan seseorang untuk membantu dan membimbingnya keluar dari rasa
kesunyian itu. Berdasarkan faktor inilah kita dapati aktiviti bercinta dan faktor tukar
pasangan di kalangan remaja adalah lumrah, tetapi gadis remaja lebih dulu terlibat
dengan aktiviti bercinta berbanding dengan remaja lelaki yang sebaya dengan umurnya.

Jika narcisma ini digunakan secara positif maka remaja akan menentukan dirinya tidak
mudah dieksploitasi oleh orang lain. Sekiranya narcisma di salah gunakan kerana
remaja mempunyai konsep diri yang salah atau kelalaian ibu bapa memberi kasih sayang
maka remaja akan memburu narcisma di luar untuk memenuhi rasa kesunyian seperti
menghisap dadah, mengikut geng, berpeleseran, berzina, cinta rakan sejenis dan
seumpamanya. Dalam aktiviti narcisma ini perempuan lebih mudah menjadi mangsa
dengan pujukan dan rayuan lelaki kerana ia bersifat pasif.

d. Menyertai Kumpulan Perubahan emosi dan fikiran remaja telah mendorongkan remaja
memperluaskan dan memperbesarkan rakan sosialnya. Mereka memperluaskan rakan
sosial ini dengan cara menyertai kumpulan tertentu atau membentuk kumpulan baru
berdasarkan umur sebaya, hobi yang sama, prinsip hidup yang sama atau taraf sosial
yang sama. Adalah perkara biasa kita lihat kelompok remaja mempunyai identiti tertentu
seperti menggunakan bahasa yang anih, pakaian yang pelik, tertarik dengan aktiviti yang
mencabar dan sebagainya. Penyertaan remaja dalam kelompok sama ada kelompok
kecil atau besar adalah tanda perubahan yang sihat dalam pertumbuhan mentalnya.
Walaubagaimana pun, jika penyertaan dalam kelompok itu disalahgunakan, maka ia
akan mengheret remaja berkenaan dalam aktiviti yang bercanggah dengan agama dan
undang-undang negara. Pada masa remaja inilah kita dapati ibu bapa sering mempunyai
pendapat yang berbeza dengan pandangan rakan sebaya dalam usaha memberi
bimbingan dan pendidikan terhadap si anak remaja itu.

e. Menentang Kekuasaan Orang tua-tua kita selalu mengingatkan bahawa masa remaja
adalah masa pancaroba kerana remaja sedang mencari tapak untuk berdikari dan bebas
dari kongkongan ibu bapa. Biasanya remaja merasa bahawa kuasa yang ada pada ibu
bapa, guru-guru dan orang dewasa terlalu kuat yang boleh menghalang pencapaian cita-
cita mereka. Perbezaan besar pendapat dan gaya hidup remaja dengan ibu bapa, orang
dewasa dan guru akan mencetuskan permusuhan kerana remaja menganggap bantahan
itu merendahkan harga diri mereka yang memang telah sedia bergelora. Oleh itu apabila
berlaku perselisihan, remaja akan menjadi rakan sebaya mereka atau mereka bertindak

KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM


Oleh:Ghafani bin Awang Teh
Muka 4 drp 10

nekad melakukan kejahatan untuk membuktikan kepada ibu bapa atau orang yang lebih
tua bahawa mereka boleh berdikari atau mampu melakukan apa yang orang dewasa
lakukan.

Sebenarnya pencarian konsep diri telah bermula sejak anak masih kecil lagi tetapi pada
masa remaja mula kelihatan menonjol kerana remaja mula pandai belajar berfikir dan
menggunakan emosinya hasil daripada interaksi dengan dunia luar, iaitu ibu bapa, rakan
sebaya dan persekitaran. Masa remaja sendiri penting bagi perkembangan konsep diri
kerana pada masa inilah remaja mengalami proses pemurnian dan sekaligus mengalami
perubahan. Bagi kebanyakan remaja, proses pemurnian konsep diri berjalan lancar,
tetapi mereka yang jauh menyimpang dari pemurnian itu, pertumbuhan hidupnya akan
menghadapi masalah, iaitu manusia yang kotor peribadinya.

Faktor Kenakalan berdasarkan pandangan Islam dan sokongan teori psikologi kaunseling
barat, punca kenakalan remaja boleh dibahagikan kepada empat faktor:

Pertama : Faktor keluarga Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian
besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental,
fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang
berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal
atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu
sendiri. Isu pembawaan keluarga itu ialah;
a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan dhaif di mana anak membesar dalam
keadaan terbiar.

b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.

c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga


kebajikan keluarga.

d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.

e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.


Kedua : Faktor Peribadi Yang Kotor. Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang
yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah,
tamak, dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya.
Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional
yang mewakili nafsu kehaiwanan, hasil daripada pendendam dan pengalaman yang diterima
sejak kecil. Peribadi yang kotor mungkin telah bermula sejak kecil dan kemudian diperkukuh
pula bila anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain-lain perkataan peribadi fitrah anak telah
terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.

Ketiga : Faktor sekolah. Sekolah merupakan tempat memberi pengajaran dan pendidikan
kedua kepada anak selepas ibu bapa. Faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:
a. Disiplin sekolah yang longgar.
b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.
c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.
Keempat : Faktor Persekitaran. Faktor persekitaran adalah merujuk kepada peranan
masyarakat, multi-media dan pusat-pusat hiburan yang menyediakan pelbagai produk yang
boleh menggalakkan dan meningkatkan rangsangan seksual.

Aktiviti faktor persekitaran yang boleh merosakkan akhlak manusia ialah:

KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM


Oleh:Ghafani bin Awang Teh
Muka 5 drp 10

i) Persembahan konsert rock


ii) Pusat-pusat video game
iii) Pengguguran
iv) Pergaulan bebas lelaki dan perempuan
v) Penyiaran gambar lucah
vi) Penubuhan pusat-pusat hiburan yang berunsur seks
vii) Aktiviti simbol seks seperti pertandingan ratu cantik dan pertunjukan fesyen wanita.
Rawatan Kenakalan Persoalan yang timbul kepada ibu bapa atau pihak berkuasa kerajaan ialah
apakah kaedah terbaik yang digunakan dalam Islam bagi mengatasi kenakalan di kalangan
remaja. Dalam Islam kita dapati bahawa Allah telah menurunkan dua puloh lima Rasul bertujuan
membimbing dan membantu manusia supaya hidup mengikut fitrah. Wawasan agama Islam
diturunkan adalah untuk membentuk akhlak manusia sebagai usaha meneruskan
kesinambungan fitrah kewujudan manusia. Akhlak mulia adalah perasaan semula jadi manusia
(fitrah).

Allah telah berfirman: Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam
bentuk yang sebaiknya.” (Surah Al-Tiin:4)

Ketika menjelaskan perkara yang sama Rasulullah s.a.w. bersabda:


Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua
ibu bapanya untuk meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya.” (Riwayat
Bukhari)

Sejarah Rasulullah s.a.w. membebaskan penduduk arab Jahiliyah daripada kongkongan dan
belenggu nafsu kehaiwanan memberi satu pengajaran penting tentang pembentukan akhlak
manusia. Antara kaedah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah program bina insan dan
kemahiran keibubapaan.

Kaedah bina insan ini meliputi:


PERTAMA: Kaedah Pendidikan Hati Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam diri manusia
terdapat dua naluri yang berlainan sifatnya yang selalu bersaing untuk mempengaruhi tabiat
manusia.

Dua naluri itu bersaing untuk menunjuk dan mempengaruhi hati. Imam Ghazali menyatakan hati
dalam tubuh manusia diibaratkan sebagai Maharaja yang mengarah dan mengawal tabiat
manusia. Manakala Frued dalam teori kaunselingnya menyatakan “hati dalam diri menusia
dikenali sebagai ‘Super ego’”. Dia menjadi perantaraan seolah-olah ‘Laluan Sutera’ (Silk road)
yang bertindak sebagai pembuat keputusan tabiat manusia sama ada baik atau buruk, betul atau
salah.

Penemuan Frued itu adalah menyokong pendapat yang telah lama dikemukakan
oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging apabila baik ia,
maka baiklah seluruh badan. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan. Itulah hati.” (Riwayat
Bukhari dan Muslim)

Hati itu sesuatu yang ada di dalam dada yang berbentuk zat (bukan material). Ia harus diisi
dengan sesuatu. Bila Allah mengisinya, maka orang itu menjadi baik. Jika syaitan mengisinya,
orang itu menjadi jahat. Oleh itu apabila kita berzikir bererti hati kita diisi dengan Allah, sentiasa
bersama Allah dan tidak memberi tempat langsung kepada syaitan mempengaruhinya. Allah
berfirman: Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang
diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang
menghasut dan menyesatkannya) lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang
daripadanya.”(Surah Al-Zukhruf:36)

KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM


Oleh:Ghafani bin Awang Teh
Muka 6 drp 10

Ternyata bahawa pendidikan hati secara berzikir sepanjang masa adalah kaedah berkesan untuk
menggilapkan hati supaya bebas dari gangguan syaitan. Allah telah memberi jaminan bahawa
orang yang bersih hatinya (surah Asy-Syams: 9-10).

Zikir-zikir yang paling baik diamalkan ialah lafaz:


a. Subhanallah
b. Alhamdulillah
c. Allahuakhbar
d. Lailahaillallah
e. Walahaulawalaquwatailla billahilaliyulazim
Dalam Islam. Lima zikir ini dikenali sebagai “Albaqiyyatussholihat’ dimana amalannya boleh
memberi pahala yang berterusan di akhirat. Pembersihan hati amat penting kepada manusia
untuk membentuk keinsafan dan kesedaran diri supaya berlaku jujur, membuat baik kepada dua
ibubapa, memelihara kesucian diri, kasih sayang dan mendekati kepada aktiviti terpuji yang lain.

KEDUA: Kaedah Menghayati Ibadat Khusus Ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, zakat
dan haji yang difardhukan kepada umat Islam bertujuan melatih dan menggilap manusia supaya
kekal dalam kaedah fitrah. Diantara ibadat khusus ini, sembahyang merupakan ibadat yang
terpenting dalam pembentukan akhlak manusia. Allah berfirman: Maksudnya: “Sesungguhnya
sembahyang itu boleh mencegah seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”
(Surah Al-Ankabut:45)
Manakala dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman: Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah
orang yang beriman iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyang.” (Surah Al-Mu’minun:1-2)

Ibadat sembahyang dianggap senjata terpenting dalam pembentukan akhlak manusia


berdasarkan keterangan berikut:

a. Rasulullah s.a.w. menerima sendiri perintah sembahyang fardhu ketika mengadap Allah
pada masa Israk-Mikraj. Ibadat lain hanya diterima melalui perantaraan Malaikat Jibril;

b. Rasulullah s.a.w. mensifatkan sembahyang adalah tiang agama. Apabila seseorang tidak
menunaikan sembahyang bererti orang lain tidak dapat membezakan seseorang itu
Islam atau kafir. Keadaan ini memberi ruang kepadanya melakukan perbuatan keji tanpa
segan silu.

c. Rasulullah s.a.w. telah berpesan bimbinglah akhlak anak sejak kecil dengan cara
membantu dan melatih anak bersembahyang bila ia berumur tujuh tahun. Oleh itu
apabila anak mencapai umur 10 tahun dan masih kelihatan enggan dan degil untuk
mendirikan sembahyang maka pukullah anak itu dengan tidak mencederakannya atau
sembahayakannya.

d. Sembahyang adalah sebahagian daripada zikir. Berdasarkan faktor inilah


ibadat sembahyang difardhukan disepanjang masa sama ada kita sihat atau sakit.

KETIGA: Kaedah Qiyamullail Qiyamullail adalah merujuk kepada amalan ibadat yang dibuat
di sepanjang malam atau separuh malam dengan mengerjakan ibadat tertentu seperti
sembahyang sunat, berzikir, bertahlil, membaca al-Quran dan beristighfar. Ibadat ini
merupakan amalan sunat bagi individu yang mampu melaksanakannya. Program Qiyamullail
amat berkesan ke arah peningkatan ketaqwaan seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Kerjakanlah solat malam, sebab itu adalah kebiasaan orang-orang soleh dahulu
sebelum daripada kamu, juga satu jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhan-mu, juga
sebagai penebus keburukan-keburukanmu, pencegah dosa serta dapat menghalaukan
penyakit dari badan.” (Riwayat Al-Tirmizi)

KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM


Oleh:Ghafani bin Awang Teh
Muka 7 drp 10

Melalui penjelasan di atas menunjukkan program bina insan amat penting kepada anak-anak
dan ibu bapa sendiri untuk menjamin kesinambungan fitrah. Sebenarnya manusia telah
membuat perjanjian dengan Allah untuk taat kepada-NYA adalah sama seperti binatang yang
buruk (hidup melata) di atas muka bumi. Allah berfirman: Maksudnya: “Bukankah Aku Tuhan
kamu”
Roh-roh manusia menjawab: “Benar,(Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi.” (Surah Al-
A’raf:172)

Kesan dialog perjanjian ini ialah manusia wajib mentaati dan beribadat kepada Allah, kerana
itulah cara untuk meletakkan taraf manusia di sisi Allah iaitu sebagai khalifah Allah. Allah
mensifatkan manusia tidak beriman atau tidak mahu beribadat kepada Allah adalah sama
seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi, Allah berfirman: Maksudnya:
“Sesungguhnya sejahat (Makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah
orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya) sebab itu mereka tidak (mahu)
beriman.” (Surah Al- Anfaal: 55)

Kemahiran Keibubapaan Al-Quran dan Hadis telah memberi garis panduan umum
berhubung dengan kemahiran keibubapaan dalam pendidikan anak-anak. Ibu bapa adalah
pemimpin dalam rumahtangga. Sebagai pemimpin dalam rumahtangga, mereka perlu
mengetahui dan menguasai kemahiran tertentu. Antara panduan kemahiran
keibubapaan yang digariskan oleh Islam ialah:
a. Ibubapa hendaklah berlaku adil, menjaga kebajikan dan suka memaafkan ahli
keluarganya. (Surah Al-Nahl:90)

b. Bersikap lemah lembut dan memberi pertolongan dan bimbingan. Kalau kekerasan
digunakan, maka orang akan menjauhkan diri daripada kita. (Surah Ali’-imran:159)

c. Ibubapa jangan menjadi kecewa dengan tingkahlaku anaknya dan anak pula jangan
menjadi sengsara kerana perbuatan ibu bapanya. (Surah Al-Baqarah:233)

d. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya


ialah
mereka yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.
(Riwayat Al-Tirmizi dan Al-Hakim)

Berdasarkan pandangan Islam dan pendapat ahli psikologi kaunseling barat, kemahiran
keibubapaan yang perlu dikuasai oleh ibu bapa ialah:
a. Model Ibu bapa Yang Salih Ibu bapa yang salih adalah merujuk kepada ibu bapa yang
taat menghayati ajaran Islam. Ibu bapa yang salih adalah model terbaik untuk memberi
pendidikan agama kepada anak-anak. Zakiah Darajat (1983) menyatakan: ‘yang
dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan agama yang diberi oleh
guru-guru di sekolah sahaja. Apa yang penting adalah penanaman jiwa agama yang
dimulai dari rumahtangga, semenjak anak masih kecil dengan cara membiasakan
anak dengan tingkahlaku dan aktiviti yang baik. Walau bagaimanapun, amat
dikesalkan sekali terdapat ibu bapa yang tidak mengerti ajaran agama yang
dianutinya, bahkan ramai pula yang memandang rendah ajaran agama itu malah
ajaran agama tidak dilaksanakan langsung. Apabila tidak mengenali ajaran agama,
maka lemahlah hati nuraninya. Jika hati nuraninya
lemah, kawalan hatinya juga lemah.’ Ibu bapa yang salih adalah ibu bapa yang
cemerlang. Maka ibu bapa perlu mengambil daya usaha untuk mengadakan secara
sendirian program bina insan dari masa ke semasa dalam rumahtangga. Adalah
menjadi perkara yang rumit
apabila anak telah menjadi jahat tabiatnya barulah ibu bapa sibuk ke sana ke mari
untuk mencari rawatan. Untuk menjauhi anak menjadi jahat tabiatnya maka ibu bapa
hendaklah membiasakan dan melatihkan anak mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti

KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM


Oleh:Ghafani bin Awang Teh
Muka 8 drp 10

tolong menolong, beramah, jujur, menghormati ibu bapa atau orang tua, kasih sayang,
berjimat cermat, malu, membuat kebajikan dan sebagainya.

b. Mendisiplinkan Anak Dengan Kasih Sayang Disiplin adalah merujuk kepada kaedah
untuk melatih dan mempastikan anak mematuhi peraturan tertentu. Disiplin bukanlah
bermakna menggunakan kekerasan. Satu kesilapan besar ibu bapa yang
mendisiplinkan anak dengan memaki hamun, cacian, kutukan dan kekerasan kerana
perbuatan itu dianggap mendera anak secara mental, fizikal dan akan merendahkan
harga diri anak. Cara paling baik mendisiplinkan anak ialah dengan kasih sayang. Ibu
bapa perlu secara tegas memberitahu anak bahawa ibu bapa lebih merasa senang
hati, gembira, ceria dan sukacita jika anak melakukan sesuatu perkara positif. Anak
juga perlu dilatih membuat kebajikan, dan pada masa yang sama ganjaran atau pujian
perlu diberi bila anak membuat kebaikan sebagai usaha memperkukuhkan tingkah
laku positif.

c. Terima Anak Tanpa Syarat Walau si anak jahat sekalipun, ibu bapa wajib memberi
bimbingan dan menjaga kebajikannya. Terdapat ibu bapa yang menghalau anak, tidak
mengaku anak atau mencederakannya apabila anak itu melakukan kejahatan.
Tindakan ibu bapa ini adalah bercanggah dengan Islam kerana hubungan nasab
antara ibu bapa dengan anak masih ada. Kesediaan anak pulang menemui ibu bapa
membimbingnya ke arah jalan yang benar. Ibu bapa yang cemerlang adalah ibu bapa
yang mengadakan sendiri kaunseling terhadap anak yang bermasalah. Langkah
kaunseling itu boleh di buat dengan cara:
i) Wujudkan suasana akrab dan mesra supaya anak tidak merasa takut untuk
meluahkan perasaan kepada ibu bapa;

ii) Minta si anak memberi penerangan dan penjelasan tentang latarbelakang


masalah yang berlaku;

iii) Mendengar dengan penuh minat penjelasan anak dan sekali sekala
mencelah untuk mendapatkan gambaran dan mengenalpasti masalah yang
dihadapi oleh anak;

iv) Meminta anak memberi pendapat sendiri bagaimana cara untuk mengatasi
masalah itu dan cadangan yang ia mampu untuk melaksanakannya; dan

v) Jika didapati anak telah celik akal atau menyesal di atas kesalahannya, ibu
bapa boleh meminta anak membuat ikrar atau bertaubat tidak melakukan
lagi perbuatan yang tidak diingini itu.

d. Memenuhi Masa Lapang Bersama Anak Ketagih terhadap kerjaya atau pekerjaan
sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga adalah bercanggah dengan ajaran
islam. Ibu bapa apabila sudah tua memerlukan pertolongan ihsan anak dan disebalik
itu juga anak ketika masih kecil amat memerlukan perhatian dan kasih sayang ibu
bapa. Keinginan anak untuk bercakap-cakap, bermesra dan bermain bersama dengan
ibu bapa seolah-olah anak menghulurkan tangan bagi meraih kasih sayang. Apa yang
penting ialah kualiti masa yang diperuntukkan. Kesempatan terbaik bagi ibu bapa
untuk memenuhi masa lapang bersama anak ialah sembahyang berjemaah, makan
bersama, membaca al-Qur’an bersama, bersukan bersama, dan sebagainya.
Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa,
kerana telah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.

KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM


Oleh:Ghafani bin Awang Teh
Muka 9 drp 10

e. Peka terhadap Pergerakan Anak Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan
anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan
anak. Tingkah laku anak yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ialah:
i) Rakan sebaya anak dan aktivitinya;
ii) Fesyen pakaian, rambut, kasut dan keadaan fizikalnya;
iii) Tingkah laku non-verbalnya seperti keceriaan, kesedihan, pendiam dan
sebagainya;
iv) Kemampuan anak membezakan perkara yang baik dan buruk;
v) Siapakah lebih berpengaruh sama ada ibu bapa atau rakan sebaya terhadap
dirinya; dan
vi) Keupayaannya untuk berdikari.
Kemahiran ini amat penting untuk ibu bapa kuasai supaya tingkah laku mereka tidak terbatas
menjadi tabiat jahat.

f. Jangan Salah Guna Kuasa. Dalam proses pertumbuhan dan pembesaran, anak
memerlukan rasa selamat, aman dan rasa di terima dalam keluarga. Dalam pergaulan
seharian, kadang kala timbul pertengkaran diantara ibu bapa dengan anak kerana
masing-masing cuba mempertahankan diri atau mencari siapa yang menang. Dalam
hal ini ibu bapa perlulah mengelakkan menggunakan kuasa
veto untuk mencari kemenangan, kerana ia bersifat lebih positif dan
menambahkan lagi penghormatan anak terhadap ibu bapa. Ibu bapa hendaklah
berbincang dan memberi alasan-alasan yang munasabah secara baik mengapa ibu
bapa menolak sesuatu permintaan anak. Penyalahgunaan kuasa ibu bapa terhadap
anak menyebabkan anak membuat tanggapan bahawa kehadirannya dalam keluarga
adalah tidak dikehendaki dan tidak berguna.
g. Kesabaran Satu lagi kemahiran yang perlu ada bagi ibu bapa ialah bersabar. Tiap-tiap
anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza-
beza. Ibu bapa tidak memperolihi faedah dengan mencaci, memarahi dan mengutuk
anak kerana anak tidak dapat membaca dan memahami kehendak ibu bapa. Dalam
Islam, kesabaran adalah salah satu tanda beriman. Silap Memberi bimbingan Dan
Kaunseling

Abu Said al-Khudri meriwayatkan satu kisah yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w.
kepadanya. Diriwayatkan pada zaman dahulu kala terdapat seorang yang paling banyak
dosanya kerana telah membunuh seramai 99 orang. Dia mahu bertaubat dan mencari
seseorang yang boleh menerangkan hukum bolehkah dia bertaubat. Dia telah menemui
seorang pendeta dan bertanya bahawa dia sudah membunuh manusia seramai 99 orang,
bolehkah ia bertaubat?. Pendeta itu lantas menjawab ‘tidak boleh’. Maka pendeta itu
dibunuhnya menjadikan mangsanya seramai 100 orang. Kemudian dia mencari lagi orang
yang paling alim dan ditunjukkan orang alim itu ia sudah membunuh 100 orang, maka masih
bolehkah ia bertaubat. Orang alim itu menasihatinya “pindahlah kamu ke kampong Anu
kerana penduduknya menyembah Allah dan kamu sembahlah Allah bersama mereka dan
jangan kamu kembali lagi ke kampong kamu kerana penduduknya jahat.”

Maka berangkatlah orang itu ke kampong Anu. Dipertengahan jalan dia meninggal dunia.
Maka bertengkarlah dua Malaikat iaitu Malaikat Rahman dam Malaikat Azab sama ada untuk
dikategorikan orang baik atau jahat. Malaikat Rahman menyatakan si mati sudah bertaubat,
manakala Malaikat Azab pula berkata si mati tidak ada amal kebajikan. Kemudian turun
malaikat lain untuk menjadi orang tengah dengan cara mengukur jarak jauh kampung
asalnya dengan kampung Anu. Keputusanya didapati orang itu mati berhampiran dengan
kampung Anu. Maka ia dimasukkan sebagai seorang ahli Syurga.

Isu penting dalam kisah ini ialah:

KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM


Oleh:Ghafani bin Awang Teh
Muka 10 drp 10

a. Kesilapan memberi bimbingan akan mempengaruhi perasaan seseorang sehingga


pendeta dibunuh kerana gagal menghilangkan gelojak emosinya atau perasaan
marahnya;

b. Bergaul atau tinggal di kawasan orang-orang beriman cara berkesan


memulihkan akhlak; dan

c. Taubat orang tersebut diterima Allah. Hidayah Allah Hidayah Allah adalah juga faktor
penting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang. Nabi Nuh a.s. gagal
memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah s.a.w. gagal
memujuk bapa saudaranya Abu Talib kembali ke pangkuan Islam. Allah berfirman:
Maksudnya:“Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi idayah
petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah
jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya,
dan dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah Al-Qasas: 56)

Walau bagaimanapun kita lihat Saidina Umar berjaya memeluk Islam apabila mendengar
ayat-ayat al-Qur’an, walhal Umar sebelumnya terkenal dengan perangai jahiliyahnya.

Manusia adalah sebaik-baik kejadian, berakal, selalu berfikir, menyelidik dan menetukan
keputusan pemikiran baik, maka baiklah perbuatannya. Tetapi bila jalan pemikirannya salah,
maka akan salahlah perbuatannya. Orang yang baik dan benar jalan pemikirannya maka
orang itu dikatakan mendapat hidayat dari Allah. Maka apabila salah jalan pemikirannya
hingga melakukan kejahatan maka ia tidak mendapat petunjuk Allah. Oleh yang demikian ibu
bapa hendaklah selalu berdoa kepada Allah untuk mendapatkan petunjuk Allah selain
daripada mengamalkan suruhan Allah yang lain.

PENUTUP

Mendidik dan membimbing anak bukanlah perkara mudah. Ibu bapa hendaklah terus
menerus tanpa berputus asa dalam membentuk akhlak anak. Langkah penting bagi ibu bapa
dalam meneruskan kesinambungan fitrah akhlak anak ialah memberi pendidikan agama
bermula sejak kecil lagi. Langkah ini bagi menjamin supaya penerusan akhlak fitrah tidak
terencat apabila ia menempuhi alam remaja. Walaupun terdapat sedikit kelemahan dalam
menguasai kemahiran dan keibubapaan tetapi dengan adanya didikan agama yang kukuh,
maka anak itu mampu menepis naluri kehaiwanan yang cuba mempengaruhinya atau
sekurang-kurangnya boleh menjauhi anak dari menjadi jahat tabiatnya. Oleh itu ibu bapa
perlu kembali kepada tradisi asal dalam membentuk peribadi anak seperti yang diamalkan
oleh Rasul-rasul, Nabi-nabi dan para Wali di mana mementingkan pendidikan agama
sebagai penerus kesinambungan fitrah kejadian manusia. Ibu bapa tidak boleh menyalahkan
kerajaan, masyarakat dan sekolah semata-mata sebagai helah membela diri apabila anak
menjadi jahat tabiatnya. Ibu bapa perlu menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah langkah
positif untuk menilai semula peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang.

KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM


Oleh:Ghafani bin Awang Teh

You might also like