You are on page 1of 6

SMKBBS

Pak Kadok

Sebermula, maka adalah sebuah negeri bernama Cempaka Seri, rajanya bernama Indera
Sari. Maka baginda itu cukup lengkap seperti adap istiadat kerajaan yang lain-lain juga,
akan tetapi ada pun tabiat baginda itu terlalulah suka menyombong dan berjudi, sehingga
menjadi suatu amalan pada baginda itu. Dengan hal yang demikian, habislah sekalian
rakyat seisi negeri itu menjadi asyik leka dengan berjudi juga pada setiap masa tiada
sekali-kali mengambil bena kepada mendirikan syariat Nabi Sallallahu alaihi wasalam
kerana raja-raja dan orang besar-besarnya terlalu amat suka mengerjakan pekerjaan
maksiat itu.

Maka adalah pula seorang tua sedang pertengahan umur namanya Pak Kadok, tinggal
ditepi sungai ujung negeri itu juga. Ada pun akan Pak Kadok ini terlalu dungu serta
dengan tololnya. Maka adalah kepada suatu hari Pak Kadok berkata kepada isterinya, aku
ini mak Siti ingin pula rasanya hendak pergi menyambung kegelanggang baginda itu
kerana terlalulah suka pula aku melihatkan orang menyambung beramai-ramai di situ.

Mari kita sambung ayam biring Si Kunani kita itu, kerana ayam itu pada petuanya terlalu
bertuah. Boleh kita taruhkan kampung kita kepada baginda. Kalau menang kita tentulah
kita mendapat duit baginda itu.

Maka ujar isteri Pak Kadok, jikalau begitu baiklah, pergilah awak menyambung, bawa
ayam kita itu.

Maka sahut Pak Kadok, jahitkanlah baju dan seluar aku dahulu dari kertas yang baru
kubeli ini. Lekaslah menjahitnya.

Maka kata isterinya, bagaimana awak hendak membuatkan baju dan seluar ini. Jikalau
dipakai kelak tentulah carik bertelanjang tengah gelanggang sambungan itu. Bukankah
awak malu besar?

Ujar Pak Kadok, tiada mengapa. Buatkan juga lekas-lekas aku hendak pergi.

Setelah itu isteri Pak Kadok pun segeralah mengambil gunting lalu mengguntingkan
seluar dan baju itu dengan tiada berdaya lagi.

Maka kata Pak Kadok, usahlah di jahit, pelekat sahajalah supaya cepat.

Serta lepas digunting oleh isterinya itu dengan sesungguhnya dilekatlah olehnya. Apabila
sudah, lalu diberikan kepada Pak Kadok, maka ia pun segeralah memakai pakaiannya

______________________________________________________________________syahrul 1
syarfizy
SMKBBS

sedondon iaitu berbunga tanjung, merah, kuning, hitam dan putih, terlalu hebat rupanya,
tambahan pula berkena tengkolok helang menyongsong angin. Apatah lagi tampaknya

Pak Kadok seperti juara yang maha faham pada sambung menyambung. Setelah sudah
bersedia sekaliannya, Pak Kadok pun lalu turun menangkap ayamnya biring Si Kunani
itu, serta dengan tabung tajinya, lalu berjalan menuju kegelanggang baginda itu. Selang
tiada berapa lamanya, ia pun sampailah ketengah medan menyambung itu.

Sehingga setelah dilihat oleh baginda akan Pak Kadok datang itu, maka dikenallah oleh
baginda seraya bertitah, Hai Pak Kadok, apa khabar? Menyambungkah kita?

Maka sembah Pak Kadok pun segeralah menyembahkan ayamnya itu lalu disambutkan
oleh baginda serta diamat-amati.

Diketahuilah oleh baginda tersangat bertuah ayam Pak Kadok itu. Maka titah baginda,
Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat
romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok biring Si Kunani sahaja tiada berapa
tuahnya.

Setelah didengar oleh Pak Kadok akan titah baginda menggula dirinya itu, percayalah ia.
Maka sembahnya Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, jikalau sudah dengan titah duli
yang maha mulia, relalah patik, seperti titah itu sedia terjunjung di atas jemala ubun-ubun
patik.

Pada akhirnya lalu bertukarlah keduanya akan ayam masing-masing. Maka sangatlah
sukacita baginda beroleh ayam Pak Padok itu.

Maka baginda pun bertitah kepada juara-juaranya menyuruh bulang ayam itu. Maka Tok
Juara tua pun lalulah membulang balung ayam biring Si Kunani yang bertukar dengan
pak Kadok itu mengenakan taji bentok alang serta dengan berbagai-bagai isyarat dan
petuanya. Maka Pak Kadok pun segeralah membulang ayamnya bertukar dengan baginda
itu, iaitu tuntung tajinya dihalakan kehadapan dan putingnya kebelakang.

Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyambung ayam ini?
Soronglah dahulu supaya beta lihat.

Maka sembah Pak Kadok, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patek ini tiada harta apa
harta yang ada, hanya kampong sebuah itu sahaja. Jikalau ada ampun dan kurnia
kebawah dulu Tuanku, kampong itulah patik gadaikan kebawah duli Tuanku menjadi
tanggungan memohonkan berhutang kadar lima puluh rial.

Maka titah baginda, baiklah.

Lalu dikurniakan oleh baginda wang yang sebanyak permintaan Pak Kadok itu kepada
dengan memegang gadaian kampung itu. Telah sudah, baginda pun menyorongkan
taruhnya lima puluh rial juga, jumlahnya seratus rial. Maka serta sudah, baginda pun

______________________________________________________________________syahrul 2
syarfizy
SMKBBS

mengajak Pak Kadok melepaskan ayam masing-masing. Sembah Pak Kadok, silakanlah
Tuanku.

Maka baginda pun lalulah menguja-uja ayam keduanya itu. Maka naiklah bengis
keduanya, serta meremang bulu suak ditengkuknya, lalulah bersama-sama melepaskan
ayam masing-masing. Maka ayam biring Si Kunani pun datanglah menggelepur ayam
jalak. Dan Si Jalak pun segeralah membalas pula, tetapi kasihan,sungguh pun Si Jalak
membalas, percuma saja kerana tajinya dibulang oleh Pak Kadok, juara tuntungnya
kehadapan dan putingnya kebelakang. Jadinya bila Si Jalak membalas itu tertikamlah
pada dadanya sendiri lalu tersungkur menggelupur ditengah gelanggang itu, kerana dua
liang sudah lukanya sekali terkena tikam oleh taji Si Biring dan sekali ditikam oleh
tajinya sendiri.

Setelah Pak Kadok melihatkan ayam jalak sudah mati dan Si Biring itu menang maka ia
pun lupalah akan hal ia telah bertukar dengan baginda tadi. Wah apatah lagi ia pun
tiadalah sedarkan dirinya seraya bertepuk tangan dan bersorak serta melompat-lompat
lalu menyerukan tuah ayamya itu. Maka oleh tersangat bertepuk dan melompat itu,
habislah pecah bercarik-carik seluar dan baju kertasnya itu, bercabiran berterbangan oleh
angin berkeping-keping kesana kemari bercampang-camping. Maka Pak Kadok pun
tinggallah berdiri ditengah khalayak yang banyak itu dengan bertelanjang bogel sahaja.

Hatta demi dilihat oleh baginda dengan sekalian orang besar-besar dan rakyat, tentera
hina dina sekalian akan hal Pak Kadok ini, semuanya tertawa serta bertepuk tangan
dengan tempek soraknya kesukaan melihat temasya Pak Kadok itu. Demikian juga
baginda pun tertawa bersama-sama.

Maka ada pun akan Pak Kadok, demi ia melihat sekalian mereka itu habis tertawa, ia pun
tercengang pula kerana pada sangkanya mereka itu menumpang kesukaan dirinya itu.

Kemudian apabila ia menoleh kepada tubuhnya, barulah diketahuinya akan dirinya


bertelanjang bulat itu. Aduhai! Malunya yang amat sangat lalu ia berkerja lari dengan
bersungguh-sungguh hati, lansung pulang ke rumahnya. Maka baginda pun berseru
dengan nyaring suaranya. Inilah malang Pak Kadok, ayamnya menang, kampung
tergadai.

Maka baginda dengan sekalian yang ada di dalam medan sabung itu pun kembalilah
masing-masing kerumahnya.

Ada pun akan Pak Kadok lari itu tiadalah ia memandang lagi kekiri kekanan. Serta ia
sampai kerumahnya seraya terpandang oleh Mak Siti, maka terpanjatlah orang tua itu
seraya berkata, Apa kena awak, Pak Kadok seperti orang gila ini?

Maka oleh Pak Kadok di kabarkannya ialah daripada awal hingga keakhirnya. Serta
didengar sahaja oleh isterinya akan hal suaminya itu, ia pun menagislah kerana
mengenangkan untungnya yang malang itu dengan berbagai-bagai sungut leternya akan
Pak Kadok oleh kebodohannya itu. Maka Pak Kadok pun diamlah terkosel-kosel, tiada
berani menjawab akan isterinya lalu ia pergi membuat kerjanya sehari-hari itu juga.
______________________________________________________________________syahrul 3
syarfizy
SMKBBS

Sekali peristiwa Pak Kadok dijemput oleh orang makan kenduri. Mula-mula datang orang
yang dihilir sungai tempatnya tinggal itu mempersilakan Pak Kadok kerumahnya pada
esok hari, waktu zohor iaitu makanannya seekor kerbau. Maka katanya Baiklah.

Setelah mereka itu sudah kembali, ada seketika datang pula orang dari hulu sungai itu
menjemput Pak Kadok kerumahnya pada esok hari juga tatkala tengah hari muda, iaitu
jamuannya memotong lembu dua ekor pula. Itu pun disanggupnya juga.

Telah hari malam, Pak Kadok pun tidurlah kedua laki isteri. Ada pun adapt pak Kadok
telah lazim padanya setiap pagi memakan nasi dingin yang telah direndam oleh isterinya
pada malam itu. Apabila sudah makan nasi yang tersebut itu, barulah ia pergi barang
kemana-mana membuat kerjanya.

Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi pak Kadok pun bangunlah bersiap memakai,
lalu turun memikul pengayuh berjalan menuju kepangkalan. Serta dilihat oleh isterinya ia
pun menyeru akan suaminya katanya, Hai Pak Siti, tidakkah hendak makan nasi rendam
ini lagi? Sementangkan nak makan lembu dan kerbau nasi ini ditinggalkan sahaja.

Maka sahut Pak Kadok, Tak usahlah, curahkan ketanah biar dimakan oleh ayam kita.

Maka oleh isterinya dengan sebenar nasi itu dibuangnya ketanah, dan Pak Kadok pun
turun keperahu lalu berkayuh.

Ada pun pada masa itu air sungai sedang surut terlalu amat derasnya. Maka Pak Kadok
berfikir di dalam hatinya, kemana baik aku pergi. Jika ke hilir tiada penat dan teruk aku
berkayuh, hanya menurutkan ayir dihilir sahaja, tetapi kerbau seekor kemanakah
padanya. Kalau begitu baiklah aku mudek juga.

Ia pun lalu berkayuh mudek menongkah air surut itu dengan terbengkil. Apabila penat dia
berhenti sambil berfikir pula, dan perahunya hanyut balik kehilir setanjung dua tanjung
jauhnya berkayuh pula. Demikianlah hal Pak Kadok, kayuh-kayuh berhenti dengan
berfikir juga.

Beberapa lamanya air pun tenang surut. Hampir akan pasang baharulah Pak Kadok
sampai kerumah jemputan itu, tetapi apalah gunanya. Sia-sia sahajalah penat jerehnya itu
kerana matahari pun telah zuhur, jamuan itu pulang ke kampung masing-masing.

Maka apabila terlihat oleh tuan rumah akan Pak Kadok datang itu, ia pun berkata, Amboi
kasihannya di hati saya oleh melihatkan penat sahaja Pak Kadok datang, suatu pun tidak
ada lagi, yang ada semuanya telah habis. Malang sungguhlah Pak Kadok ini.

Telah didengar oleh Pak Kadok, maka ujarnya, sudahlah apa boleh buat. Sahajakan nasib
saya.

Maka ia pun berkayuhlah hilir pula, hasratnya hendak mendapatkan rumah yang
memotongkan kerbau itu pula, tetapi air sudah pasang deras. Maka Pak Kadok pun
berkayuhlah bersungguh-sungguh hatinya menongkah air pasang itu, terbengkil-bengkil
______________________________________________________________________syahrul 4
syarfizy
SMKBBS

di tengah panas terik dengan lapar dahaganya. Tetapi kerana bebalnya itu tiadalah ia
mahu singgah kerumahnya langsung sahaja ia kehilir, hendak segera menerpa kerbau
yang lagi tinggal itu. Sehingga air pasang hampir akan surut, barulah Pak Kadok sampai
kesana pada waktu asar rendah dan sekalian orang jemputan pun sedang hendak turun
berkayuh pulang kerana sudah selesai jamuan itu. Maka apabila dilihat oleh Pak Kadok
akan hal itu ia pun tiadalah hendak singgah lagi kerumah orang kenduri itu, lalu ia
memaling haluan perahunya, langsung berkayuh mudek dengan rungutnya seperti baung
dipukul bunyinya, kerana terlalu amat penatnya terpaja-paja ke hulu kehilir di tengah
panas terik itu, perut pun sudah kebuluran dan mata Pak Kadok naik berbinar-binar,
tambahan pula mudek itu pun menongkah juga. Maka pada waktu senja baharulah ia
sampai kepangkalannya seraya menambat perahu dan naik ke rumah.

Shahadan, apabila dilihat oleh isterinya akan muka suaminya masam dan diam tiada
berkata-kata, maka ia pun menyeru akan Pak Kadok, katanya apakah agak sebabnya
orang pergi memakan lembu dan kerbau ini masam sahaja? Apa lagi yang kekurangan?
Perut sudah kenyang makan daging.

Maka berbagai-bagai bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun naiklah metanya, serta
mengambil kayu api dan berkata, kenyang memakan kepala bapa engkau. Lalu ia memalu
kepala isterinya. Dengan takdir Allah, sungguh pun sekali pukul sahaja, isteri Pak Kadok
pun rebah lalu mati. Setelah dilihat oleh Pak Kadok isterinya sudah mati, ia pun
merebahkan dirinya disisi isterinya itu lalu menangis mengolek-golekkan dirinya seraya
berkata, aduhai malang nasibku ini, sudahlah penat berkayuh kehulu kehilir, mana
kebuluran, sampai kerumah isteriku pula mati oleh perbuatanku juga.

Maka berbagai-bagailah bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun menjemput segala
pegawai akan menanamkan isterinya itu.

Setelah selesai daripada pekerjaan itu, maka Pak Kadok pun berniat hendak pindah dari
rumahnya, bertandang duduk barang kemana-mana rumah yang lain, asalkan boleh ia
meninggalkan kampung halamannya itu sudahlah, kerana fikirannya dari sebab ia tinggal
di rumah dan kampungnya itulah, maka ia beroleh kemalangan yang begitu sialnya.
Setelah tetaplah fikirannya yang demikian, maka Pak Kadok pun mengemaskan sekalian
harta bendanya lalu diangkatnya turun keperahu. Serta bersedia ia pun melangkah dengan
tauhid hatinya meninggalkan kampung halaman dengan rumah tangganya, akan
berpindah ke kuala sungai itu menumpang duduk di rumah seorang handainya disana.

Arakian, Pak Kadok pun membabarkan layarnya seraya menujukan haluan perahunya ke
kuala. Tetapi kasihan. Percumalah penat jereh Pak Kadok membentang layar dan
mengemudikan perahunya itu, dari kerana sungguh pun pada masa ia menarik layar tadi
angin paksa sedang kencang bagus, tetapi serta layarnya sudah sedia, angin pun mati
seperti direnti-rentikan oleh yang hasad akan Pak Kadok lakunya. Maka perahu Pak
Kadok pun hanyutlah terkatong-katong kehulu kehilir, ketengah dan ketepi menantikan
______________________________________________________________________syahrul 5
syarfizy
SMKBBS

angin. Beberapa lamanya dengan hal yang demikian, hari pun hampirlah akan petang,
tubuh Pak Kadok terlalu amat letih dan lesunya. Lama kelamaan datang bebal hatinya
serta merampas lalu ia menurunkan layer dan melabuh sauhnya seraya membentangkan
kajang berbaring-baring melepaskan jerehnya.

Maka dengan kudrat Allah yang maha kaya menunjukkan kemalangan nasib Pak Kadok,
angin paksa pun turunlah berpuput dengan ugahari kencangnya seolah-olah khianatkan
Pak Kadok lakunya. Tetapi sia-sialah sahaja puputan bayu yang sedemikian itu moleknya
hingga menjadi paksa yang maha baik dengan sebab kemalasan menjadi kemalangan bagi
diri Pak Kadok, hingga ditaharkan perahunya ulang-aling di palu oleh ombak dengan
gelombang ditengah sungai itu, seraya berkata Cheh! Angin bedebah ini sahajakan ia
hendak menunjukkan makarnya kepada aku. Sedanglah sudah sehari suntuk aku hanyut,
tak mahu turun, agaknya oleh tegar hatiku. Biarlah tak usah aku belayar, asalkan puas
rasa hati ku. Jangan aku menurutkan kehendak engkau.

Kemudian ia pun tidurlah dengan terlalu amat lenanya kerana lelah dan kelaparan. Hatta
setelah keesokan harinya, pagi-pagi Pak Kadok pun bangunlah membongkar sauhnya
seraya berkayuh perlahan-lahan seharian itu, hingga petang barulah ia sampai kerumah
sahabatnya itu, seraya mengangkat sekalian barang-barangnya naik kesitu. Maka
tinggallah Pak Kadok menumpang di rumah handainya itu selama-lamanya dengan tiada
sekali-kali ingatannya hendak kembali kekampung halamannya dari sebab bodohnya.

Maka dari kerana kemalangan diri Pak Kadok itu sentiasa di perbuat orang akan bidalan
oleh sekalian mereka pada zaman sekarang dengan seloka, demikianlah bunyinya:

Aduhai malang Pak Kadok!


Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi di curahkan
Awak pulang kebuluran
Mudek menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri di bunuh

Nyaris mati oleh tak makan


Masa belayar kematian angin
Sudah di labuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.

______________________________________________________________________syahrul 6
syarfizy

You might also like