You are on page 1of 14

11.0.

Hubungan Masalah Tingkah laku Dengan Sikap Pelajar Remaja

11.1 Pengenalan
Alam remaja merupakan satu tahap kritikal dalam kehidupan manusia, iaitu
tempoh peralihan daripada alam kanak-kanak kepada alam dewasa. Pada peringkat ini
seseorang itu akan mula bertindakbalas kepada tuntutan emosi untuk mencari identiti dan
penampilan tersendiri. Ahli psikologi mengistilahkan alam remaja sebagai ‘umur emosi’
(emotional age) kerana di peringkat mencari identiti , mereka sering berhadapan dengan
konflik diri di mana wujud dua pertembungan iaitu antara sifat kanak-kanak dan
keinginan serta kebimbangan untuk menempuhi alam dewasa. Tetapi kini, remaja telah
terlalu jauh meninggalkan batas keperibadiannya serta melupakan nilai-nilai etika dan
moral yang sepatutnya tersemai di dalam diri mereka. Remaja memperoleh kesedaran
pada diri mereka sebagai individu, rakan seksual, pekerja, dan ibu bapa yang
berkebolehan serta sebagai individu yang baru. Tarikan pada jantina berlawanan akan
muncul, pencarian idea dan orang yang boleh dipercayai juga bermula. Pengharapan baru
pada diri mula diadaptasikan. Imej-imej kendiri ini mulanya cenderung menjadi fleksibel
dan selalunya akan berubah mengikut masa, tempat, dan situasi. Perkembangan Ego pada
peringkat ini menyediakan remaja bagi menanggung beban identity kendiri. Remaja akan
berusaha menyelesaikan krisis identiti yang berlaku dengan menguji pelbagai peranan,
nilai dan perhubungan.
Tingkah laku pelajar remaja berkait rapat dengan sikap pelajar remaja tersebut
dan mempunyai norma dalam kehidupan manusia. Pada zaman inilah para remaja mula
terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah menjadi rumah
kedua bagi mereka. Remaja perlu belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang
daripada ibu bapa tetapi kebanyakan daripada persekitaran sosial mereka ketika mereka
membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap,
dan nilai, malahan seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada kepada alam
yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim, 1950). Norma tingkah laku ini dijelaskan
sama ada seseorang itu baik atau buruk. Tingkah laku baik yang mengikut norma ialah
seperti tidak bercakap semasa makan, menghormati orang tua, dan sebagainya. Contoh
tingkah laku buruk pula ialah seperti menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri,

1
berkelakuan tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, lari dari rumah, dan
perhubungan seks bebas turut juga dilakukan. Anak-anak, khasnya remaja pada abad ke-
21 ini lebih terdedah dengan pelbagai bentuk pengaruh. Dalam dunia yang disebut
“borderless world” ini banyak menerima pengaruh positif mahu pun negatif. Anak-anak
lebih mudah tertawan dengan program yang membunuh sahsiah berbanding program
yang menghidupkan peribadinya (Hassan Mohd Ali, 1997). Pelajar yang sering
melanggar disiplin atau salah laku ini dikenali pelajar devian.

11.2 Definisi
Deviant – deviant behaviour, especialy sexual behavior, is considered tobe strange and
morolly unaccaptable.
Delinquent – someone especially a young person who breaks the law or behaves in ways
their society does not approve.
Longman
Dictionary of Comtemporary English

“ Kelakuan yang melanggar jangkaan yang diinstitusikan, iaitu jangkaan yang dikongsi
dan diiktiraf sebagai sah dalam sesuatu sistem sosial.”
Albert Cohen, Deviance and Control

“ Kelakuan yang menyimpang secara significant daripada norma-norma yang ditentukan


untuk individu dalam status sosial….,ia tidak dapat dipelihara secara abstrak tetapi perlu
dikaitkan dengan norma-norma yang dianggap oleh masyarakat sebagai munasabah dan
moral binding bagi orang yang menduduki status yang berlainan.”
Robert Merton, Anomie and Sosial Structure

“ Kelakuan mengikut arah yang tidak dipersetujui, yang bertentangan dengan norma dan
darjatnya melebihi had toleransi sesuatu masyarakat.”
M.B Clinard Sociolgy of Deviant Behaviour

2
Jelas bahawa devian dan delinkuen rata rata membawa maksud tingkah laku yang
melanggar norma-norma masyarakat tertentu. Devian lebih merujuk kepada tingkah laku
ini secara umum, manakala delinkuen pula menumpukan sesuatu had umur iaitu pelajar
sekolah dan belia.
Norma membawa pengertian peraturan dan garis panduan yang dikongsi bersama, sesuai
dengan situasi. Norma memberi garus panduan tentang bagaimana individu bertingkah
laku dalam masyarakat.

Devian
Apabila seseorang itu melanggar peraturan atau norma yang ditetapkan oleh sesuatu
masyarakat tertentu dan dalam kes ini masyrakat dikatakan sebagai institusi sekolah,
maka individu ini dikatakan bersikap devian. Devian lebih merujuk kepada tingkah laku
atau pun “behaviour” seseorang tanpa mengira umur dan tidak bersifat konvensional.

Delinkuen
Delinkuen pula merupakan sekumpulan manusia yang mempunyai ciri-ciri khas iaitu
mereka yang masih bersekolah dan belia. Kumpulan ini merupakan devian dalam
masyakrakat tertentu, iaitu dalam institusi pendidikan seperti sekolah.

11.3 Teori Punca Tingkah Laku dan Masalah Sosial Pelajar


Achenbach dan Edelbrock (1987) menyatakan bahawa kebanyakan ahli psikologi klinikal
dan juga ahli-ahli psikologi yang lain membahagikan dua jenis masalah yang dialami
oleh remaja iaitu kecelaruan dalaman dan kecelaruan luaran. Kecelaruan dalaman ialah
masalah-masalah remaja yang bersifat dalaman dan dimanifestasikan dalam bentuk gejala
emosi dan kognitif seperti kemurungan atau dalam bentuk gangguan-gangguan
psikosomatil. Kecelaruan luaran pula ialah masalah-masalah remaja yang bersifat luaran
dan dimanifestasikan dalam bentuk masalah-masalah tingkah laku. Ianya seperti
penyalahgunaan dadah dan alkohol serta ponteng sekolah.Terdapat beberapa penjelasan
mengenai punca devian. Teori fungsionalisme menganggap devian sebagai disfungsi
pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan devian merupakan tindakan golongan
tertindas terhadap pihak minoriti yang menindas. Teori subbudaya dan diprivasi status

3
pula berpendapat devian berpunca daripada budaya kumpulan kecil yang berbeza dengan
budaya masyarakat yang besar.
Deprivasi selalu selalunya berpunca daripada kekurangan ekonomi dan
kelemahan emosi. Remaja terutamanya daripada latar belakang kelas sosial yang rendah
dan tidak berjaya dalam akademik akan mengalami kekecewaan dan tekanan status lalu
akan bertindak melakukan devian. Teori interaksionisme pula melihat devian sebagai
sesuatu yang subjektif dan merupakan suatu proses sosial. Pelajar sengaja memilih
tingkah laku tertentu mengikut kemahuan mereka yang sesuai dengan cara mereka
menginterpretasi sesuatu. Kajian Tattum (1986) mendapati bahawa pelajar sengaja
melakukan devian sebagai neutralisasi dalam interaksi mereka. Menurut Merton (1938)
terdapat empat jenis devian iaitu inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan cara
yang salah), ritual (tindakan mengulang perbuatan), undur (seseorang yang tidak lagi
berminat dengan matlamatnya lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan) dan
menentang (menolak matlamat persekolahan dan menggantikan dengan matlamat lain).

11.4.O Faktor-faktor Masalah di Kalangan Pelajar Remaja Berlaku


Alaf baru memperlihatkan keruntuhan moral dalam kalangan pelajar remaja. Keruntuhan
ini pula merupakan salah satu faktor yang akan memberi kesan kepada generasi yang
akan datang. Teori interaksionalisme berpendapat bahawa devian dan delinkuen sebagai
satu proses sosial yang biasa. Ia merupakan salah satu proses harus dilalui oleh
segolongan remaja dalam mengharungi alam menjelang kedewasaan. Ia juga dilihat
sebagai satu proses neutralisasi dalam interaksi mereka.

11.4.1 Institusi Keluarga


Seorang ahli antrapologi, George Peter Murdock menakrifkan bahawa keluarga adalah
satu kelompok sosial yang tinggal di bawah satu bumbung, mempunyai kerjasama dalam
kegiatan ekonomi dan menambah zuriat (Goode, hal. 362). Faktor kepincangan keluarga
dan taraf sosioekonomi sesebuah keluarga akan mencorak kehidupan seseorang kanak-
kanak. Kegagalan ibu bapa sendiri untuk membetulkan kepincangan anak-anak mereka
akan menyebabkan anak-anak ini tidak lagi menghormati mereka. James Becker
mengatakan ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-anak

4
tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna. Ini akan menjejaskan
ketahanan diri pelajar. Maka, jelaslah bahawa institusi keluarga memainkan peranan
penting sebagai pembentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa haruslah membimbing,
memahami, dan menyelami kehendak jiwa remaja serta berfikiran lebih terbuka. Ini akan
mewujudkan suasana yang harmonis. Sikap ibu bapa juga merupakan salah satu
penyebab timbulnya masalah sosial di kalangan pelajar remaja. Ibu bapa kini amat
sensitif dan terlalu memanjakan anak mereka sehingga mengabaikan tanggungjawab dan
sanggup menggadai kepentingan anak mereka secara tidak disedari. Menurut profesor
Awang Had Saleh, ibu bapa kini terlalu berbeza dengan ibu bapa zaman dahulu. Pada
zaman dahulu sekiranya guru merotan murid di sekolah kerana melakukan kesalahan dan
apabila pulang ke rumah mereka mengadu kepada ibu bapa, ibu bapa akan merotan
mereka lagi. Fenomena ini amat bertentangan dengan situasi sekarang kerana ibu bapa
akan mengambil tindakan terhadap guru melalui saluran yang dianggap keterlaluan
seperti laporan akhbar, membawa kes ke mahkamah dan kadangkala menyerang guru di
sekolah.

11.4.2 Pihak Sekolah


Sekolah merupakan sebuah komuniti yang menjadi sebahagian daripada masyarakat yang
lebih luas. Sebagai sebuah institusi sosial, sekolah mempunyai ciri-ciri tersendiri yang
sesuai dengan ciri-ciri organisasi moden seperti yang dinyatakan oleh Weber. Sebagai
organisasi formal, sekolah mempunyai struktur kepimpinannya yang tersendiri. Pengetua
atau Guru Besar bertanggungjawab memimpin guru-guru,kakitangan am dan pelajar.
Guru-guru juga berperanan sebagai pemimpin dalam konteks masing-masing. Peringkat
paling asas ialah kepimpinan guru dalam bilik darjah. Selain itu, guru juga berperanan
sebagai pemimpin aktiviti-aktivitiak ademik serta kokurikulum seperti persatuan, sukan,
kelab dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa peranan guru semakin hari semakin
mencabar. Kini, guru tersepit dalam menghadapi kerenah pelajar bermasalah yang datang
daripada pelbagai latar belakang dan corak pendidikan ibu bapa.
Sering kedengaran rintihan ibu bapa yang tidak lagi boleh membentuk dan
mendidik anak-anak mereka, lalu merayu dan meminta guru untuk membetulkannya.
Pelajar inilah yang sukar ditangani kerana mereka juga turut tidak mendengar nasihat dan

5
teguran guru. Dalam pada itu, kes-kes guru diserang oleh ibu bapa atau ahli keluarga
pelajar sudah cukup mengajar guru untuk tidak bertindak menyelesaikan pelajar yang
bermasalah. Namun, kemuliaan jiwa guru jelas terbayang apabila mereka tetap
meneruskan usaha melalui pelbagai cara dan pendekatan guru berdasarkan pengalaman
dan pengatahuan mereka untuk membentuk sahsiah pelajar supaya menjadi insan yang
bermoral tinggi walaupun menyedari kesan negatif yang mungkin menimpa diri.
Menurut Amir Hassan Dawi dalam bukunya Penteorian Sosiologi dan
pendidikan,terdapat beberapa sebab mengapa seseorang itu berkelakuan devian dan
delinkuen. Seseorang guru seharusnya menjadi contoh kepada pelajarnya, contoh disini
lebih memberatkan tentang perwatakan dan nilai-nilai murni. Pelajar menganggap guru
sebagai idola mereka. Apabila guru memberikan contoh yang kurang baik maka pelajar
tidak boleh dipersalahkan apabila mereka mewarisi ciri-ciri seseorang yang devian atau
delinkuen. Sebagai seorang guru yang tidak mempunyai nilai murni adalah tidak
munasabah apabila pelajar disabitkan dengan kesalahan yang guru itu sendiri tidak
mengamalkannya. Contoh yang paling ketara dalam dunia hari ini ialah merokok. Adalah
tidak wajar bagi seseorang guru disiplin mengenakan sekatan kepada pelajar yang
merokok, sedangkan guru itu sendiri dilihat merokok di kantin sekolah dan sebagainya.
Faktor lain yang tidak kurang pentingnya yang telah digariskan oleh Amir adalah sikap
guru yang tidak menghormati pelajar. Terdapat pepatah inggeris yang mengatakan ”give
respect and take respect”. Hormat menghormati merupakan salah satu nilai murni yang
perlu diamalkan oleh setiap individu tanpa mengira had umur, darjat,keturunan dan
agama. Apabila kita menghormati seseorang, maka sudah tentu kita akan dihormati. Ini
merupakan proses interaksi sosial yang biasa dalam sesebuah masyarakat. Andainya
terdapat guru yang tidak menghormati pelajarnya sebagai seorang pelajar yang
mempunyai hak tersendiri, maka pelajar tersebut akan bertindak balas untuk memenuhi
kehendak nalurinya membalas dendam dan ini akan ditafsirkan sebagai tingkah laku
devien dan delinkuen. Sebagai contoh, apabila pelajar A lewat tiba ke sekolah kerana
mempunyai masalah dalam perjalanan ke sekolah, tidak diberi peluang langsung untuk
membela diri dan memberi penjelasan, sebaliknya terus didenda oleh guru. Ini akan
meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa pelajar A, ketika dia memerlukan
seseorang guru untuk mendengar penjelasan, sebaliknya terus didenda oleh guru. Ia akan

6
meninggalkan bibit-bibit hitam dan menyimpan rasa dendam terhadap guru tersebut. Hal
ini akan berlarutan dan apabila dalam situasi lain pelajar A tidak menghormati guru
berkenaan ianya akan dikategorikan sebagai tingkah laku devian dan delinkuen.

11.4.3 Media Massa


Dewasa ini, media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi
masyarakat khususnya golongan remaja. Melalui teknologi yang semakin canggih ini,
golongan remaja mudah terdedah kepada banyak maklumat termasuk bahan yang tidak
sesuai yang boleh mendatangkan bahaya jika digunakan tanpa panduan daripada
golongan orang dewasa. Golongan pelajar lazimnya mudah meniru dan mengikut hal
yang dilihat di sekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif daripada filem Barat
yang banyak memaparkan adegan ganas akan menimbulkan perasaan ingin tahu dan
perasaan ingin mencuba sendiri apa yang mereka tonton dari video cakera padat dan
sesetengah program televisyen. Remaja merupakan golongan yang mudah dipengaruhi,
contohnya melalui filem-filem yang ditayangkan di televisyen akan memberikan
pengaruh yang amat besar kepada mereka. Filem dan drama yang dihasilkan mengikut
filem Barat menggambarkan seolah-olah kehidupan rakyat negara ini dengan masyarakat
Barat mempunyai persamaan. Ini menyebabkan remaja mudah terpengaruh kerana
beranggapan bahawa gaya hidup remaja Barat yang lebih menjerumus kepada perlakuan
liar dan tidak menghormati orang tua adalah tidak salah dari segi agama dan budaya
Malaysia.

11.4.4 Perkembangan Teknologi Moden


Perkembangan teknologi moden seperti komputer, internet, e.mail dan video juga
memudahkan remaja mendapatkan bahan hiburan yang tidak bersesuaian dengan jiwa
mereka. Mereka boleh memperolehi maklumat berhubung bahan-bahan pornografi
secara mudah melalui internet, cakera padat dan video juga yang tidak ditapis oleh pihak
yang berwajib di pasaran gelap atau melalui rakan-rakan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya
membimbing dan memberi tunjuk ajarsupaya remaja ini mendapat panduan yang betul.

7
11.4.5 Rakan Sebaya
Dalam kawasan sekolah, pelajar-pelajar juga dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka.
Sebagaimana yang telah dibuktikan oleh kajian, pengaruh rakan sebaya merupakan
sumber yang paling kuat dalam mengubah nilai dan sikap seseorang apabila pengaruh
keluarga berkurangan pada peringkat lewat kanak-kanak. Kanak-kanak atau remaja yang
berasal dari keluarga yang bermasalah mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang
mungkin senasib dengannya dan membentuk kumpulan tersendiri. Kumpulan ini mudah
terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Mereka akan membuat sesuatu yang di luar
jangkaan untuk menarik perhatian orang lain. Kemunculan golongan rendah moral dan
tidak bertanggungjawab yang menaja budaya hedonisme di kalangan remaja seperti
Black Metal dan Trash Metal sudah cukup memberi cabaran serta saingan kepada usaha
guru untuk membimbing dan mendidik remaja sekolah ke arah pengalaman budaya sihat.
Pengaruh rakan sebaya akan mencorak sikap dan nilai tingkah laku pelajar terutamanya
pelajar yang berasal daripada keluarga yang bermasalah dan keciciran dalam pelajaran.

11.4.6 Kurangnya Didikan Agama Oleh Keluarga


Ibu bapa adalah model kepada anak-anak dalam apa jua aspek kehidupan tetapi dalam
soal keagamaan ianya seolah-olah diabaikan. Justeru itu, akan lahirlah generasi baru yang
bertindak liar dan bersikap materialistik dan ala kebaratan.

11.4.7 Pengaruh Suasana


Kebanyakan remaja yang tinggal di bandar mengamalkan kehidupan individualistik dan
meterialistik. Oleh itu, dalam mengejar kemewahan mereka sanggup berbuat apa sahaja
tanpa menghiraukan baik buruknya sesuatu perkara itu. Akibatnya, terjadilah kejadian
mencuri, melacur, samun dan peras ugut untuk mendapatkan wang yang tidak mereka
perolehi daripada ibu bapa mereka.

11.4.8 Tekanan Perasaan Yang Dialami Remaja


Sesetengah remaja mengalami tekanan perasaan ketika berada di rumah akibat penceraian
atau pergaduhan ibu bapa mereka. Hal ini akan menyebabkan mereka tidak selesa untuk

8
berada di rumah dan membuatkan mereka lebih suka untuk berada di luar rumah serta
bergaul dengan kawan-kawan tanpa menimbang baik dan buruknya.

11.4.9 Gagal Dalam Pelajaran


Remaja yang terkandas dalam pelajaran mempunyai masa lapang yang banyak. Oleh itu,
mereka akan mula bergaul dengan rakan-rakan yang juga tidak bersekolah, dan dari
situlah mereka akan mula berkenalan dengan dadah, pil ecstasy, pusat-pusat hiburan,
lumba haram serta judi. Kegiatan tersebut memerlukan wang yang banyak dan akan
mendorong mereka melakukan kegiatan haram seperti mencuri, menyamun, merompak
dan menculik.

11.5.0 Masalah-masalah Yang Timbul Dalam Kalangan Pelajar Remaja


11.5.1 Seks Bebas dan Jenayah Seksual
Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan
membimbangkan terutamanya di kawasan bandar dan kota. Apa yang menyedihkan ialah
penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun iaitu ketika mereka berada di
tingkatan satu dan dua. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah mendedahkan
bahawa beliau menemui kondom yang disimpan dalam beg oleh seorang pelajar wanita
di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur dan kondom itu ditemui ketika
pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut. Peningkatan pembabitan remaja
perempuan dalam aktiviti maksiat adalah satu lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak
remaja di Malaysia bertambah serius. Seorang lagi guru di sebuah sekolah di Kuala
Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat tinjauan di Kuala Lumpur City
Center (KLCC) pada waktu malam dan merasa sungguh terkejut kerana mendapati
pelajarnya, lelaki dan perempuan meneguk minuman keras tanpa segan silu di khalayak
ramai. Beliau juga mendedahkan bahawa terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya
terlibat dalam pengedaran pil ecstasy. Pelajar terbabit kerap ponteng sekolah dan apabila
disiasat, pihak sekolah mendapati pelajar iru adalah ketua pengedar pil ecstasy di sekolah
itu. Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim,
jenayah seksual di kalangan pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin
meningkat. Di antara jenayah seksual yang mereka lakukan adalah seperti mencabul

9
kehormatan, merogol dan juga pelacuran. Mangsa yang dicabul oleh mereka bukan
sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita dewasa. Selain jenayah seksual, beliau
juga mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar nikah dan pelacuran
dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Remaja dan pelajar
merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara.
Kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan kepada
pembangunan sosial dan insaniah pelajar remaja. Minda mereka menjadi lebih terbuka
dan bebas. Salah satu daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah
penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan remaja. Aktiviti
seperti melayari halaman lucah, hiburan keterlaluan, penyebaran fitnah dan sebagainya
merupakan gejala negatif yang semakin menular dalam kalangan remaja. Oleh itu, satu
bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat dan
citarasa mereka perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan potensi diri
mereka dan memanfaatkannya ke arah yang lebih positiif.

11.5.2 Samseng dan Gengsterisme


Gejala samseng atau gengsterisme di sekolah menengah di seluruh negara juga semakin
membimbangkan. Mereka ternyata semakin berani mencabar undang-undang dan tidak
takut melakukan kesalahan jenayah termasuklah menggunakan senjata merbahaya. Berita
Harian, 12 Julai 2001 lalu melaporkan dalam tempoh 10 tahun antara 1989 hingga 1998
kadar jenayah membabitkan remaja lelaki dan pelajar meningkat sebanyak 35 peratus dan
25 peratus bagi remaja perempuan. Kementerian Pendidikan dengan kerjasama polis
telah mengenal pasti pelajar di 456 sekolah menengah di seluruh negara terdedah kepada
kegiatan samseng. Seawal belasan tahun pelajar sudah mula terjebak dengan jenayah
ekstrem seperti membunuh, merogol dan menyamun. Mereka sudah menjinakkan diri
dengan kes seperti mencuri motosikal, pecah rumah dan memukul orang. Oleh itu tidak
mustahil mereka akan terjebek dengan jenayah berat seperti membunuh, sindeket senjata
api, pengedaran dadah dan rompakan senjata api. Mengikut laporan Menteri Pendidikan
Tinggi semasa persidangan di Parlimen, statistik kesalahan membunuh, merompak,
merogol dan dadah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh
mengikut negeri-negeri dari tahun 1999 hingga tahun 2000 dan pertengahan tahun 2001

10
ialah 21 kes bunuh, 123 kes kes rogol dan 51 kes samun dan rompakan. Terdapat
beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya gejala-gejala tersebut, seperti faktor
rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan pelajar itu sendiri. Pelajar atau
remaja akan mengambil jalan singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat sebagai
jalan keluar kepada permasalahan mereka.

11.5.3 Ponteng Sekolah


Senario ponteng sekolah bukanlah masalah sosial yang baru di kalangan pelajar sekolah
kita. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan bilangan
pelajar yang terbabit dengan gejala itu adalah agak membimbangkan iaitu 32092 orang
pada 1993, 154305 pada tahun 1995 dan 80937 pada tahun 1997. Pelajar sekolah
menengah, terutamanya di peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti sebagai
kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng sekolah. Daripada keseluruhan
pelajar yang terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah pelajar lelaki
dan baki 3 peratus adalah pelajar perempuan. Di antara faktor-faktor yang menyumbang
ke arah berlakunya gejala ponteng di kalangan pelajar ialah tiadanya minat atau motivasi
untuk ke sekolah, tiada kesedaran betapa pentingnya ilmu pengatahuan, pengaruh
persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat membeli-belah, melayari internet di
kefe siber dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya.

11.5.4 Black Metal


Saban hari bilangan remja yang terjebak gejala social kian meningkat. Masalah Black
Metal adalah umpama wabak yang menjangkiti pelajar remaja secara peringkat demi
peringkat, masih terasa bahangnya ialah masalah Black Metal dan kini Pink Metal
Kegiatan Black Metal adalah suatu kegiatan yang mempunyai unsur pemujaan dan
penyembahan syaitan malah ada pengikut yang sudah meminum darah kambing sebagai
tanda taat setia kepada kumpulan mereka. Hasil daripada siasatan, polis mendapati 10
pelajar dari Parit Buntar mula terbabit dengan kumpulan sejak 1999. Ada diantara mereka
membakar ayat Al-Quran dan mengikuti upacara yang diketuai ‘tok guru’ yang
berselubung hitam. Akibat dari ketandusan aqidah, pelajar Islam mula terpengaruh
dengan menafikan tauhid Uluhiyyah.

11
11.5.5 Dadah, Merokok, dan Lari Dari Rumah
Penglibatan pelajar sekolah di negara kita dalam kes merokok, dadah, lari dari rumah dan
judi bukanlah sesuatu yang baru. Bagi kesalahan menyalahgunakan dadah yang
dilakukan oleh pelajar sekolah bagi tahun 1999 ialah sebanyak 328 kes manakala bagi
tahun 2000 ialah 448 kes. Di antara jenis-jenis dadah yang dikesan dalam kalangan
pelajar ialah ganja, heroin, pil ecstasy, menghidu gam, meminum ubat batuk dan lain-lain
bahan yang mengandungi kesan-kesan dadah. Akhbar Utusan Malaysia 25.08.2000
melaporkan bahawa 10 orang pelajar ditahan dalam serbuan polis yang disyaki ponteng
dan menghidu gam. Masalah merokok dalam kalangan pula semakin bertambah
bilangannya, Akhbar Berita Harian bertarikh 30.03.1998 melaporkan terdapat lebih 7000
murid tahun 4 telah merokok di seluruh negeri. Manakala satu lagi masalah yang selalu
melibatkan remaja ialah masalah lari dari rumah. Statistik untuk tahun-tahun
kebelakangan ini menunjukkan remaja yang lari semakin membimbangkan. Masalah ini
mungkin akan menyebabkan timbulnya masalah yang lebih besar apabila mereka
menghadapi kesulitan hidup setelah lari dari rumah seperti terlibat dengan aktiviti
pelacuran, pelayan kelab malam dan sebagainya

Hall (1916) menjelaskan bahawa remaja adalah suatu jangka masa atau waktu yang
penuh dengan konflik dan masalah. Ini diperolehi daripada kajian terhadap bidang baru
yang agak saintifik, iaitu psikologi remaja. Bagi menerangkan pendapat Hall ini, Mindess
dan Munford (1980) menerangkan bahawa disebabkan remaja merupakan tempoh
transisi daripada masa kanak-kanak kepada dewasa, disebabkan perubahan psikologikal
yang pesat berlaku semasa akil baligh, dan disebabkan oleh oleh dorongan seksual
menimbulkan suatu ketegangan dan rasa rendah diri dalam masyarakat kita, tahun-tahun
ke-12 dan ke-13 digambarkan sebagai tempoh yang penuh konflik.

12
Rumusan

Remaja merupakan aset negara yang amat penting dan merupakan generasi pengganti
pemimpin pada masa akan datang. Oleh itu, perubahan tingkah laku remaja ke arah
positif adalah amat baik. Sebelum mengubah tingkah laku pelajar remaja ke arah
kebaikan, terlebih dahulu kita sebagai guru perlulah mengetahui sikap pelajar tersebut
dan dari situ kita akan mula memahami kenapa seseorang pelajar itu berkelakuan buruk
dan seterusnya langkah modefikasi haruslah dijalankan. Proses modifikasi yang
dilakukan melalui kaedah peneguhan merupakan satu proses yang amat penting dalam
usaha mengubah tingkah laku remaja. Oleh kerana terdapat peneguhan untuk mengubah
tingkah laku maka usaha itu dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Penyediaan program
yang terancang akan lebih berkesan dalam mengubah tingkah laku remaja.
Para guru boleh mengaplikasikan kaedah modifikasi, peneguhan dan teori
beheviorisme dalam bilik darjah. Hal ini dapat membantu guru dalam mengawal susunan
dan keadaan dalam kelas agar pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
Kebaikan dari mengubah tingkah laku ini melalui pelbagai aspek iaitu individu,
masyarakat, dan sebagainya. Oleh sebab proses pengubahan tingkah laku remaja
memerlukan perhatian yang serius, maka penglibatan semua lapisan masyarakat seperti
ahli politik, ahli agama, penduduk dan semua kumpulan selain daripada guru amat
diperlukan.

13
Rujukan

Abd. Rahim Abd Rashid. 2000. Wawasan Dan Agenda Pendidikan. Kuala Lumpur
.Utusan Publications.

Abd. Rahim Abd. Rashid. 2001 .Nilai-Nilai Murni Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur.
Utusan Publications.

Amir Hasan Dawi. 2001. Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan. Tanjung Malim :
Quantum Books.

Atan Long . 1976. Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur . Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Alex Inkeles, 1982. What Is Sosiology? : An Introduction To The Discipline And


Profession. Kuala Lumpur : Dewab Bahasa Dan Pustaka.

Azimi Hamza. Turiman Suandi Dan Azmi Awang. 1993. Youth As Partner In
Development : The Experience Of Kampung Endah Organisation. Serdang. Universiti
Putra Malaysia.

Berita Harian, 1 Julai 2000. Punca Masalah Disiplin Pelajar.

Berita Harian, 31 Mei 2000. Tangani Masalah Remaja Lebih Serius.

Http://Www.Hanan.Com.My/Article.Php?Sid=1873

Http://Www.Tutor.Com/My

Lester D. Crow, Alice Crow. 1980. Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan. Kuala
Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Steven Box (Terjemahan Cheu Hock Tong). 1997. Devians, Realiti Dan Masyarakat.
Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

14

You might also like