You are on page 1of 4

PSIKOLINGUISTIK

(BML2163)
SEMESTER 2 SESI 2009 / 2010

MINGGU PERTAMA

PERBINCANGAN MELIPUTI SUBTOPIK:

SEJARAH PERKEMBANGAN PSIKOLINGUISTIK

PENGERTIAN PSIKOLINGUISTIK

SUBBIDANG PSIKOLINGUISTIK

KONSEP DAN PRINSIP PSIKOLINGUISTIK

- Pada abad yang silam terdapat dua aliran falsafah yang terus bertentangan dan sangat
mempengaruhi perkembangan psikologi dan linguistik.

- Pertama adalah aliran empirisme yang berhubung erat dengan psikologi asosiasi. Aliran
empirisme melakukan kajian terhadap data empiris atau objek yang dapat dicerap dengan cara
menganalisis unsur-unsur pembentukannya sehinggalah yang sekecil-kecilnya.

- Aliran kedua ialah rasionalisme. Aliran ini mengkaji akal sebagai satu keseluruhan dan
menyatakan bahawa faktor-faktor yang ada dalam akal patut diteliti untuk memahami perilaku
manusia.

- Von Humboldt (1767-1835) berbangsa Jerman, telah mengkaji hubungan antara bahasa
dengan pemikiran manusia.

- Ferdinand de Saussurre (1858-1913) pakar linguistik berbangsa Swiss memperkenalkan tiga


istilah bahasa, iaitu langage (bahasa yang pada umumnya bersifat abstrak) langue (bahasa
tertentu yang bersifat abstrak) dan parole (bahasa sebagai pertuturan yang bersifat konkrit).

- Edward Sapir (1884-1939) yang berasal dari Amerika adalah pakar dalam bidang antropologi dan
linguistik. Menurut Sapir, psikologi menerbitkan dasar ilmiah yang padu dalam pengkajian
bahasa. Beliau merumuskan bahawa struktur bahasa menentukan struktur pemikiran
manusia.

- Leonard Bloomfield (1887-1949) pakar linguistik yang berasal dari Amerika berpendapat bahawa
peringkat berbahasa bermula daripada pengalaman yang luar biasa, terutamanya penjelmaan
daripada tekanan emosi yang sangat kuat. Beliau menerapkan teori psikologi behaviorisme yang
dikenali sebagai linguistik struktural atau linguistik taksonomi.

- Otto Jespersen, pakar linguistik berbangsa Denmark telah menganalisis bahasa menurut
psikologi mentalis yang juga sedikit berbau behaviorisme. Menurutnya bahasa tidak wujud
dalam pengertian satu benda seperti sebuah kereta atau seekor arnab, tetapi merupakan
lambang-lambang dalam otak yang menjelmakan pemikiran.

- Karl Buchler pakar psikologi Jerman dalam bukunya Sprach Theorie (1934) mengupas bahawa
bahasa manusia mempunyai tiga fungsi yang disebut Kungabe (kemudian disebut Ausdruck)
Appel (yang disebut Auslosung) dan Dartstellung. Kungabe adalah tidakan komunikatif yang
diwujudkan dalam bentuk verbal. Appel adalah permintaan yang ditujukan kepada orang lain.
Dartstellung pula adalah gambaran pokok bagi masalah yang dikomunikasikan.

- Wundt (1832-1920) ahli psikologi Jerman merupakan orang pertama yang mengembangkan
teori mentalis bahasa secara sistematik . Beliau menyatakan bahawa bahasa adalah alat untuk
melahirkan fikiran. Di samping itu, Wundt turut dikenali sebagai pengembang teori performasi
bahasa.

- Watson (1878-1958) ahli psikologi behaviorisme berbangsa Amerika. Beliau menempatkan


perilaku atau kegiatan berbahasa sama dengan perilaku atau kegiatan lain, seperti makan,
berjalan dan bekerja. Namun, kemudiannya beliau telah menyamakan perilaku bahasa dengan
teori Stimulus - Respons (S-R) yang dikembangkan oleh Pavlov. Oleh itu, persamaan tersebut
mengesahkan kata-kata adalah sama dengan benda lain sebagai respon daripada sesuatu
stimulus.

PENGERTIAN PSIKOLINGUISTIK

• Psikolinguistik terbentuk daripada perkataan psikologi dan linguistik, iaitu dua bidang ilmu yang
berbeza, masing-masing boleh berdiri dengan sendiri berdasarkan prosedur dan kaedah yang
berlainan. Namun, kedua-duanya berperanan melatakkan bahasa sebagai objek yang formal.

• Pada awalnya hubungan antara kedua-dua disiplin disebut linguistic psychology. Ada juga yang
menyebut psychology of languange.

• Secara etimologi, kata psikologi berasal daripada bahasa Yunani Kuno psyche dan logos. Kata
psyche bererti jiwa, roh atau sukma, manakala kata logos bermaksud ilmu. Justeru, psikologi
secara harfiahnya bererti ilmu jiwa atau ilmu yang objek kajiannya adalah jiwa.

• Dalam gambaran luas, psikologi lebih membahas atau mengkaji tingkah laku manusia dari segi
yang boleh diamati. Alasannya, jiwa bersifat abstrak sehingga tidak dapat diamati secara
empirikal. Walau bagaimanapun, objek kajian setiap ilmu harus dapat dicerap secara
mendalam. Walaupun besar kemungkinan gerak-geri seseorang belum tentu menggambarkan
keadaan jiwa sebenarnya, namun secara tradisinya psikologi lazimnya dimaksudkan sebagai satu
bidang ilmu yang cuba mempelajari tingkah laku manusia.

• Secara umumnya, linguistik bermaksud ilmu bahasa atau ilmu yang meletakkan bahasa sebagai
objek kajian. Bahasa merupakan fenomena yang hadir dalam segala aktiviti kehidupan manusia.
Oleh sebab itu, kita boleh meneliti kewujudan berbagai-bagai cabang linguistik dengan
berdasarkan pelbagai kriteria atau pandangan. Bidang linguistik dikelaskan dalam tiga fasa
kajian, iaitu:

• Pertama, objek kajiannya dibahagikan kepada dua jenis, iaitu linguistik mikro dan makro. Kajian
linguistik mikro adalah struktur dalaman bahasa yang mencakupi struktur fonologi, morfologi
sintaksis dan leksikon. Kajian lingustik makro pula adalah bahasa dan hubungannya dengan
faktor-faktor di luar bahasa seperti sosiologi, psikologi, antropologi dan neurologi.

• Kedua, menurut tujuan kajiannya, linguistik dapat dibezakan dalam dua bidang utama, iaitu
linguistik teoritis dan linguistik terapan. Kajian teoritis hanya ditujukan untuk mencari atau
menemukan semua teori linguistik. Kajian terapan pula difokuskan ke arah penerapan kaedah-
kaedah linguistik dalam aktiviti yang praktis, seperti pengajaran bahasa, terjemahan dan
penyusunan kamus.

• Ketiga, kewujudannya disebut linguistik sejarah atau sejarah linguistik. Linguistik sejarah
mengkaji perkembangan dan perubahan sesuatu bahasa atau sejumlah bahasa, sama ada
untuk dibandingkan ataupun sebaliknya. Sejarah linguistik pula mengkaji perkembangan ilmu
linguistik, sama ada tentang tokoh- tokoh, aliran-aliran teori ataupun hasil-hasil kerja
(Chaer, 1994).

• Weiss yang berasal dari Amerika merupakan salah seorang tokoh psikologi behaviorisme yang
terkemuka. Beliau telah merintis jalan ke arah kelahiran disiplin psikolinguistik. Teori yang
dikemukakan oleh Wiess:

• Bahasa merupakan satu kumpulan respons yang jumlahnya tidak terbatas terhadap
sesuatu stimulus. Bahasa merupakan stimulus terhadap sesuatu respons atau sesuatu
respons terhadap stimulus.

• Perilaku bahasa adalah alat untuk mengubah dan menampilkan kegiatan seseorang
sebagai hasil warisan dan perolehan.
Psikolinguistik bersifat antara disiplin dan dikaji oleh orang daripada berbagai-bagai bidang, seperti
psikologi, sains kognitif dan linguistik. Terdapat beberapa subbidang dalam psikolinguistik yang
mendasari komponen-komponen bahasa manusia.

i. Fonetik dan fonologi adalah kajian tentang bunyi pertuturan. Dalam bidang
psikolinguistik, penyelidikan menumpukan perhatian pada cara-cara otak memproses
dan memahami bunyi.
ii. Morfologi adalah kajian tentang struktur-struktur perkataan, khususnya hubungan
antara perkataan-perkataan yang berkait (misalnya jalan dan berjalan) dan
pembentukan perkataan dengan berdasarkan peraturan-peraturan (contohnya
pembentukan kata berimbuhan).
iii. Sintaksis adalah kajian pola-pola yang menetapkan tatacara perkataan- perkataan
digabungkan untuk membentuk ayat.
iv. Semantik adalah kajian yang berkenaan dengan makna perkataan dan ayat. Jika
sintaksis adalah berkenaan dengan struktur formal ayat, semantik pula mengolahkan
maksud ayat yang sebenar.
v. Pragmatik adalah kajian tentang peranan konteks dalam pentafsiran makna.

You might also like