You are on page 1of 11

Topik X Pengenalan

kepada
Keusahawanan

HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1.

Menjelaskan evolusi dan konsep keusahawanan;

2.

Membincangkan tiga sebab keusahawanan adalah penting;

3.

Mengenal pasti 10 mitos keusahawanan; dan

4.

Membincangkan pembangunan keusahawanan di Malaysia.

X PENGENALAN
Selamat datang ke alam keusahawanan!
Segala yang anda dengar mengenai keusahawanan adalah salah. Ia bukan
silap mata, ia bukan misteri dan ia tidak ada apa-apa kaitan dengan gen. Ia
adalah satu bidang dan ia boleh dipelajari.
 Peter Drucker

Innovation and Entrepreneurship


Sumber: Kuratko, D.F. & Hodgetts, R.M. (2001). Entrepreneurship: A contemporary
approach (5th ed.) California: Harcourt College Publishers.

Keusahawanan mula dibincangkan dan dianalisis oleh pakar ekonomi abad ke18 dan terus menarik perhatian pakar ekonomi sehingga ke abad yang
berikutnya. Di abad ke-20 pula, perkataan keusahawanan menjadi sinonim

X TOPIK 1

PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

dengan perusahaan bebas. Usahawan diiktiraf sebagai agen perubahan yang


membawa idea yang kreatif dan inovatif untuk perniagaan dan membantu
perniagaan berkembang dan membawa keuntungan. Keusahawanan merupakan
simbol kegigihan dan pencapaian dalam perniagaan. Ia adalah penting kepada
individu, masyarakat dan negara serta diakui di serata dunia sebagai pemangkin
pembangunan ekonomi. Topik ini akan membincangkan evolusi, konsep,
kepentingan, mitos serta pembangunan keusahawanan di Malaysia.

1.1

EVOLUSI KEUSAHAWANAN
SEMAK KENDIRI 1.1
Apakah itu keusahawanan?

Perkataan usahawan dalam bahasa Inggeris adalah entrepreneur. Ia pula berasal


daripada perkataan Perancis entreprendre yang bermaksud menjalankan.
Evolusi dan perkembangan teori keusahawanan boleh dirumuskan seperti di
dalam Jadual 1.1. Konsep usahawan dan keusahawanan dihuraikan dengan lebih
terperinci di dalam bahagian selanjutnya.
Jadual 1.1: Evolusi dan Perkembangan Teori Keusahawanan
Zaman

Teori dan Konsep

Zaman Paling
Awal

Contoh seorang usahawan adalah Marco Polo, yang cuba


mewujudkan jalan perdagangan ke Timur Jauh. Beliau
menandatangani kontrak dengan seorang ahli kewangan
(kapitalis) untuk menjual barangannya. Kapitalis tersebut
menanggung risiko secara pasif manakala Marco Polo, yang
merupakan seorang penjelajah dan pedagang, memainkan peranan
aktif dalam menjalankan perniagaan dan menanggung segala
risiko fizikal dan emosi. Bila beliau sudah selesai menjual
barangannya, beliau berkongsi keuntungan yang diperoleh dengan
kapitalis tersebut.

Zaman
Pertengahan

Perkataan usahawan digunakan untuk seorang yang


bertanggungjawab menguruskan projek pengeluaran yang besar.
Beliau menguruskan projek dengan menggunakan sumber-sumber
yang disediakan oleh kerajaan dan tidak menanggung sebarang
risiko. Contoh usahawan di zaman ini adalah mereka yang
bertanggungjawab menjaga bahan seni bina yang besar seperti
bangunan awam dan gereja.

TOPIK 1

PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN W

Abad ke-17

Keusahawanan dikaitkan dengan risiko. Usahawan adalah seorang


yang membuat perjanjian kontrak
dengan kerajaan untuk
menyediakan suatu perkhidmatan atau produk. Harga kontrak
ditentukan dan sebarang keuntungan diambil oleh usahawan
tersebut. Seorang pakar ekonomi, Richard Cantillon, yang dianggap
sebagai pengasas perkataan usahawan, telah mengembangkan salah
satu teori mengenai usahawan. Beliau melihat usahawan sebagai
pengambil risiko. Pada Cantillon, para usahawan di abad ini adalah
pedagang, petani, tukang mahir dan pemilik tunggal. Mereka
membeli pada harga yang ditentukan dan menjual pada harga yang
tidak ditentukan, yang bererti mereka beroperasi dengan
menanggung risiko.

Abad ke-18

Usahawan dibezakan dengan penyedia modal. Ini terjadi akibat


industrialisasi yang sedang berlaku di serata dunia. Kebanyakan
ciptaan di zaman ini merupakan reaksi kepada sebuah dunia yang
sedang mengalami perubahan. Contohnya, Eli Whitney dan Thomas
Edison mencipta teknologi baharu tetapi tidak mampu membiayai
ciptaan mereka. Mereka merupakan pengguna modal (usahawan)
dan bukan penyedia modal (kapitalis perniagaan baharu).

Abad ke-19
dan ke-20

Di akhir abad ke-19 dan abad ke-20, usahawan kerap disamakan


dengan pengurus. Di pertengahan abad ke-20 pula, usahawan
dianggap sebagai seorang yang membawa pembaharuan. Fungsi
usahawan adalah untuk membuat reformasi atau revolusi dalam
corak pengeluaran dengan menggunakan ciptaan atau teknologi
yang belum pernah dicuba untuk mengeluarkan sebuah komoditi
baharu atau mengeluarkan komoditi lama dengan cara baharu.

Abad ke-21

Usahawan dianggap sebagai tokoh perusahaan bebas. Kebanyakan


mereka menggunakan inovasi dan kreativiti untuk membina
perusahaan yang bernilai jutaan ringgit. Mereka mencipta produk
dan perkhidmatan baharu dan menanggung risiko yang dikaitkan
dengan usaha baharu ini. Pada hari ini, ramai menganggap
keusahawanan sebagai penerokaan dalam bidang perniagaan
(Kurato & Hodgetts, 2004).

1.2

KONSEP-KONSEP KEUSAHAWANAN
AKTIVITI 1.1

Mengikut Peter Drucker, keusahawanan adalah disiplin yang boleh


dipelajari. Apakah pendapat anda mengenai kenyataan ini?

X TOPIK 1

1.2.1

PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

Keusahawanan

Mengikut Histrich dan Peters (1998), keusahawanan adalah suatu proses


dinamik mewujudkan kekayaan yang meningkat. Kekayaan itu dihasilkan oleh
individu yang mengambil risiko tinggi dari segi ekuiti, masa dan komitmen kerja
atau memberikan nilai untuk sesuatu produk atau perkhidmatan. Ia adalah
proses menghasilkan sesuatu yang baharu dan bernilai dengan memberikan
masa dan ikhtiar yang diperlukan, menanggung risiko kewangan, psikologi dan
sosial dan menerima keuntungan dalam erti kewangan, kepuasan hati dan
kebebasan. Definisi ini tertumpu kepada empat aspek asas, seperti yang
ditunjukkan di dalam Rajah 1.1.

Rajah 1.1: Empat aspek asas keusahawanan mengikut Histrich dan


Peters (1998)

Keusahawanan ditakrifkan oleh Kuratko dan Hodgetts (2004) sebagai proses


inovasi dan memulakan perniagaan baharu menerusi empat dimensi utama iaitu
individu, organisasi, persekitaran dan proses dengan bantuan jalinan kerjasama
kerajaan, pendidikan dan institusi.
Dalam mengiktiraf kepentingan keusahawanan di abad ke-21, Kuratko dan
Hodgetts (2004) telah membangunkan definisi yang berintegrasi mengenai
keusahawanan seperti berikut:

TOPIK 1

PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN W

Keusahawanan adalah proses dinamik visi, perubahan dan penciptaan. Ia


menuntut penggunaan tenaga dan semangat untuk mencipta dan
melaksanakan idea baharu serta cadangan yang kreatif. Ramuan paling
penting termasuk kerelaan untuk mengambil risiko masa, modal atau
kerjaya; kebolehan mewujudkan kumpulan perusahaan yang berkesan;
kemahiran mendapatkan sumber yang diperlukan; kemahiran asas membina
perancangan perniagaan yang kukuh; dan akhir sekali, visi untuk mengenali
peluang di mana orang lain melihat kelam kabut, percanggahan dan
kekeliruan.
Sumber: Kuratko, D.F. & Hodgetts, R.M. (2001). Entrepreneurship: A contemporary
approach (5th ed.). California: Harcourt College Publishers.

SEMAK KENDIRI 1.2


Apakah empat aspek asas keusahawanan?

1.2.2

Siapakah Usahawan?

Usahawan adalah peneroka kejayaan perniagaan hari ini. Kepekaan mereka


kepada peluang, ketekunan mereka untuk melakukan inovasi dan keupayaan
mereka untuk mencapai sesuatu menjadi alat mengukur perusahaan bebas.
Scarborough dan Zimmerer (1998), menakrifkan usahawan sebagai seseorang
yang mencipta perniagaan baharu di sebalik ketidakpastian untuk mencapai
keuntungan dan perkembangan dengan mengenal pasti peluang dan
mengumpul sumber yang perlu digunakan. Mereka biasanya bermula dengan
hanya idea yang ringkas dan mengumpul sumber yang perlu untuk mengubah
idea tersebut kepada suatu perniagaan yang boleh berterusan.
Kuratko dan Hodgetts (2004) menakrifkan usahawan sebagai seseorang yang
mengurus, mentadbir dan menanggung risiko sebuah perniagaan. Usahawan
juga adalah pemangkin perubahan ekonomi yang melakukan pencarian yang
bermakna, perancangan yang teliti dan pertimbangan yang baik dalam urusan
keusahawanan. Mereka bersikap optimistik dan komited. Mereka bekerja
dengan kreatif untuk mencipta sumber baharu atau menambahbaik sumber lama
dengan keupayaan baharu untuk mencipta kekayaan.
Pada hari ini, usahawan ialah seorang yang membawa pembaharuan atau
pembangunan. Dia mengenal pasti dan merebut peluang; mengubah peluang

X TOPIK 1

PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

kepada idea yang boleh dilakukan atau dipasarkan, menambah nilai melalui
masa, usaha, wang atau kemahiran; mengambil risiko dalam pasaran yang
kompetitif untuk melaksanakan idea; dan merealisasikan pulangan daripada
usaha yang dibuat.
Makna dan definisi usahawan berbeza dari satu bidang ke bidang yang lain.
Contohnya, ahli ekonomi melihat usahawan sebagai seorang yang
menggabungkan sumber, tenaga kerja, bahan dan aset lain untuk membuat
kombinasi luar biasa yang menjadikan nilainya lebih besar daripada
sebelumnya. Mereka juga memperkenalkan perubahan, inovasi dan peraturan
baharu untuk menjana keuntungan. Kepada seorang pakar psikologi pula,
usahawan adalah individu yang tergerak untuk mencari cabaran dan membuat
pencapaian.
Walaupun setiap definisi ini melihat usahawan dari sudut berbeza, kesemuanya
mengandungi beberapa tanggapan yang sama seperti:
x

Pembaharuan;

Kekayaan;

Pengurusan;

Penciptaan; dan

Pengambilan risiko.

Usahawan adalah pemangkin perubahan ekonomi yang melakukan pencarian


yang bermakna, perancangan yang teliti dan pertimbangan yang baik dalam
melaksanakan proses keusahawanan.

AKTIVITI 1.2
Anda merupakan seorang usahawan yang akan membuka sebuah
restoran francais. Apakah yang perlu anda buat sebelum memulakan
perniagaan anda? Persembahkan idea anda di dalam kelas.

1.3

KEPENTINGAN KEUSAHAWANAN
SEMAK KENDIRI 1.3
Apakah kepentingan keusahawanan kepada individu, masyarakat
dan negara?

TOPIK 1

PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN W

Keusahawanan adalah penting dalam dunia hari ini. Ia adalah pemangkin


perubahan dan pertumbuhan ekonomi. Peranan keusahawanan dalam
pembangunan ekonomi melibatkan lebih daripada hanya pertambahan
pengeluaran dan pendapatan per kapita. Ia melibatkan permulaan dan
pelaksanaan perubahan dalam struktur perniagaan dan masyarakat. Perubahan
ini diiringi pertumbuhan dan pertambahan pengeluaran.
Satu teori pertumbuhan ekonomi menggambarkan inovasi sebagai kunci
pertumbuhan ekonomi dalam membangunkan produk atau perkhidmatan
baharu untuk pasaran. Aktiviti inovasi juga merangsang minat melabur dalam
perniagaan baharu. Oleh itu, melalui proses inovasi, keusahawanan
menghasilkan pelaburan baharu dalam perniagaan baharu yang seterusnya
membawa kepada pembangunan ekonomi. Lebih banyak perniagaan dicipta,
lebih banyak pekerjaan baharu yang akan diwujudkan, yang seterusnya akan
mengurangkan kadar pengangguran.
Keusahawanan, melalui kreativiti dan proses inovasi, mengeluarkan produk dan
perkhidmatan baharu untuk memenuhi keperluan manusia. Ia menyediakan
produk atau perkhidmatan spesifik yang diperlukan oleh pelanggan. Dalam
mengeluarkan produk dan perkhidmatan ini, usahawan akan mencari jalan yang
lebih baik untuk menggunakan sumber dan mengurangkan pembaziran.
Hasilnya, masyarakat akan mendapat produk dan perkhidmatan yang lebih
murah.
Keusahawanan membantu memperbaiki kehidupan jutaan manusia melalui
produk dan perkhidmatan baharu yang dibawa ke pasaran. Lebih daripada itu,
usahawan juga amat bermurah hati dalam mengagihkan sebahagian besar
kekayaan mereka kepada yang wajar menerimanya. Oleh itu, usahawan adalah
individu yang mencipta kekayaan dan mempromosi pengagihan kekayaan.

1.4

MITOS KEUSAHAWANAN

Terdapat pelbagai mitos mengenai keusahawanan. Mitos ini lahir akibat


kekurangan kajian mengenai keusahawanan. Kuratko dan Hodgetts (2004), telah
membincangkan 10 mitos keusahawanan seperti yang tertera di dalam Jadual 1.2
berikut.

X TOPIK 1

PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

Jadual 1.2: 10 Mitos Keusahawanan


Mitos
Mitos 1
Usahawan adalah
pelaksana bukan
pemikir
Mitos 2
Usahawan
dilahirkan, bukan
dibentuk

Mitos 3
Usahawan
adalah pencipta

Mitos 4
Usahawan
adalah golongan
yang tercicir
dalam bidang
akademik dan
sosial
Mitos 5
Usahawan mesti
menepati profil
tertentu

Mitos 6
Semua usahawan
memerlukan
wang

Fakta
Walaupun usahawan biasanya terdorong untuk bertindak,
mereka juga adalah pemikir. Mereka sebenarnya sangat teratur
dan merancang langkah mereka dengan teliti. Mereka juga
mempunyai langkah alternatif jika rancangan mereka gagal. Ini
menunjukkan mereka adalah pemikir dan pelaksana.
Sesetengah usahawan dan bukan usahawan mengatakan
bahawa sifat usahawan tidak boleh diajar atau dipelajari. Kata
mereka, sifat keusahawanan adalah semula jadi dan seseorang
itu perlu lahir dengan sifat tersebut untuk menjadi seorang
usahawan. Walaupun begitu kajian telah membuktikan yang
sebaliknya iaitu keusahawanan boleh diajar dan dipelajari. Ia
mempunyai model, proses dan kajian kes yang
membolehkannya dipelajari.
Walaupun ramai usahawan adalah pencipta, ramai usahawan
berjaya yang bukan pencipta. Contohnya, Ray Kroc. Beliau
tidak mencipta francais makanan segera tetapi idea inovatif
beliau telah menjadikan McDonalds perniagaan makanan
segera yang terbesar di dunia. Usahawan yang berjaya adalah
mereka yang menggunakan idea yang kreatif dan inovatif
dalam usaha mereka dan sifat ini boleh dipelajari.
Kepercayaan ini muncul kerana sesetengah pemilik perniagaan
yang berjaya telah memulakan perniagaan mereka setelah
tercicir dari sekolah atau meninggalkan sesuatu pekerjaan.
Sejarah menunjukkan ada usahawan yang tidak diiktiraf oleh
institusi pendidikan dan sosial. Namun pada hari ini,
usahawan tidak lagi dianggap golongan yang tercicir, malah
dianggap sebagai golongan profesional.
Banyak buku dan artikel menyenaraikan sifat seorang
usahawan yang berjaya. Senarai ini tidak pernah disahkan
ataupun sempurna dan cuma berasaskan kajian kes dan kajian
tentang individu yang berorientasikan pencapaian. Pada hari
ini, kita sedar bahawa adalah sukar untuk membuat satu profil
usahawan yang khusus. Ramai usahawan di zaman ini tidak
menepati profil seorang usahawan apabila mereka memulakan
usaha mereka.
Adalah benar bahawa perniagaan memerlukan modal untuk
beroperasi. Adalah benar juga bahawa banyak perniagaan
gagal akibat kekurangan kewangan. Namun bagi usahawan,
wang adalah sumber dan bukan tujuan mereka semata-mata.

TOPIK 1

Mitos 7
Semua usahawan
memerlukan
tuah
Mitos 8
Usahawan tidak
perlu tahu
banyak perkara

Mitos 9
Usahawan
mencari kejayaan
tetapi mengalami
kadar kegagalan
yang tinggi
Mitos 10
Usahawan adalah
pengambil risiko
yang tinggi
(penjudi)

PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN W

Seorang itu tentunya bernasib baik sekiranya berada di tempat


yang betul pada masa yang betul. Namun tuah berlaku apabila
cukup persediaan dibuat apabila berhadapan dengan peluang.
Apa yang penting untuk usahawan merebut peluang adalah
perancangan, persediaan, tekad, keinginan, ilmu dan inovasi.
Terlalu banyak perancangan dan penilaian membawa kepada
masalah yang kerap. Kenyataan ini tidak benar bagi pasaran
persaingan zaman sekarang. Faktor utama untuk menjadi
usahawan berjaya adalah perancangan dan persediaan yang
teliti. Usahawan mengenal pasti kelebihan dan kekurangan
sebuah perniagaan, membuat satu jadual yang jelas dengan
rancangan untuk menangani masalah dan meminimumkan
masalah ini melalui pembuatan strategi yang berhati-hati.
Adalah benar bahawa ramai usahawan mengalami banyak
kegagalan sebelum mencapai kejayaan. Kegagalan boleh
memberi banyak pengajaran kepada usahawan dan kerap
membawa kepada kejayaan di masa hadapan. Usahawan
selalu belajar daripada kegagalan diri sendiri dan orang lain.
Di sini, kegagalan berfungsi sebagai pembimbing dan
penunjuk arah untuk masa depan mereka.
Konsep risiko adalah salah satu unsur utama dalam proses
keusahawanan. Bagaimanapun, ramai orang beranggapan
bahawa kebanyakan usahawan adalah pengambil risiko tinggi.
Hakikatnya, usahawan selalu mencari maklumat dan
merancang sebelum mengambil sebarang tindakan. Ini
bermakna usahawan beroperasi dengan risiko yang sederhana
dan dihitung.

Mitos ini memberikan pandangan zaman sekarang mengenai keusahawanan. Ia


juga memberikan kerangka dan asas untuk mengkaji teori kontemporari dan
proses keusahawanan.

1.5

PERKEMBANGAN KEUSAHAWANAN DI
MALAYSIA
SEMAK KENDIRI 1.4

Namakan beberapa polisi kerajaan Malaysia untuk menggalakkan


keusahawanan tempatan.

10

X TOPIK 1

PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

Keusahawanan telah wujud di Malaysia (Malaya) sejak Melaka memulakan


perhubungan dengan pedagang asing lagi. Bagaimanapun, bila orang Inggeris
menjajah Semenanjung Melayu, mereka menukar struktur masyarakat dan
mengamalkan sistem pecah dan perintah. Akibatnya, orang Melayu bergiat
dalam bidang pentadbiran serta pertanian, manakala orang Cina menceburi
bidang perlombongan serta perniagaan dan orang India bekerja di estet getah.
Ini telah menyebabkan masyarakat Cina jauh ke depan dari masyarakat Melayu
dan India dalam bidang perniagaan.
Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, kerajaan telah menyedari kepentingan
keusahawanan kepada individu, masyarakat dan negara dan sumbangannya
kepada kemakmuran negara. Sejak itu, kerajaan Malaysia mula memberikan
perhatian kepada keusahawanan sehinggalah hari ini. Dasar Ekonomi Baru
(1971-1990), Polisi Pembangunan Negara (1990-2000) dan Wawasan 2020
menggalakkan dan menyokong pembangunan keusahawanan di Malaysia.
Kerajaan menggalakkan pembangunan keusahawanan dan mengiktiraf
usahawan kerana mereka menyumbang kepada pembangunan negara. Pada
tahun 1995, kerajaan telah menubuhkan Kementerian Pembangunan
Keusahawanan sebagai badan khusus untuk mengurus dan menggalakkan
perkembangan keusahawanan di Malaysia. Pada hari ini, ia dinamakan
Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.

AKTIVITI 1.3
Sejauh manakah kerajaan Malaysia mengiktiraf dan menstruktur
kembali pembangunan keusahawanan di dalam negara? Kaji topik
ini dan kongsi dapatan anda. Anda boleh menggunakan Internet,
surat khabar dan buku sebagai sumber kajian anda.

LATIHAN 1.1
1.

Apakah 10 mitos keusahawanan?

2.

Bincangkan kepentingan keusahawanan.

3.

Gambarkan senario pembangunan keusahawanan di Malaysia.

TOPIK 1

PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN W

11

Kajian mengenai keusahawanan adalah relevan pada hari ini bukan sahaja
kerana ia membantu para usahawan menunaikan keperluan diri mereka
tetapi juga menyumbang kepada individu, masyarakat, negara dan dunia.

Topik ini menyiasat evolusi dan konsep keusahawanan dan membincangkan


kepentingan keusahawanan.

Sepuluh mitos keusahawanan dipersembahkan untuk memberikan


kefahaman yang lebih baik tentang kepercayaan mengenai bidang kajian
yang baru berkembang ini.

Mitos keusahawanan menyediakan kerangka dan asas untuk menyelidik


teori kontemporari dan proses keusahawanan.

Pembangunan keusahawanan di Malaysia dibincangkan untuk memberikan


sejarah ringkas dan menjelaskan senario keusahawanan di Malaysia.
Kerajaan negara ini harus terus menggalakkan perkembangan bidang ini di
masa hadapan.

Untuk merangsang pembangunan keusahawanan, masyarakat perlu dididik


dalam bidang keusahawanan.

Keusahawanan
Mitos
Pecah dan perintah

Perniagaan baharu
Risiko
Usahawan

You might also like