You are on page 1of 7

Lampiran

Tajuk Rencana Kepimpinan Berkualiti - Satu Proses Pengaruh Dua Hala


Penulis Md. Hasidin bin Zaini
Jurnal Tanjung Puteri - Diterbitkan sempena Persidangan
Jurnal
PPD/PPB Malaysia Kali Ke-XIV, 1996, hlm. 55 - 63
Penerbit Jabatan Pendidikan Johor
Pengulas Azman Hj. Adnan

Sinopsis :

Rencana ini cuba memberi gambaran bagaimana konsep kepimpinan mempunyai


hubungkait yang erat di antara pemimpin dan subordinatnya serta elemen-elemen
kepimpinan untuk mewujudkan keberkesanan pengurusan organisasi.

Cabaran utama yang sedang dihadapi oleh sistem pendidikan ialah menyediakan suatu
perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti untuk melahirkan ‘output’ insan yang
berketerampilan dan kemahiran sesuai dengan kehendak negara. Ini memerlukan
penilaian semula terhadap pengurusan organisasi melalui anjakan-anjakan ekonomi dan
sosial dan melalui peningkatan profesionalisme pengurus-pengurus pendidikan.

Dua paradigma yang sering menjadi penghalang dan perlu diubah untuk kecemerlangan
pengurusan ini ialah konsep ‘kita adalah manusia biasa’ yang tidak dapat lari dari
sebarang kelemahan/kecacatan dan ‘sentiasa ada peluang kedua’ jika melakukan
kesilapan.

Oleh itu sebenarnya kualiti dalam pengurusan organisasi bergantung kepada kepimpinan
yang utuh dan mapan dan bagaimana kepimpinan dua dimensi ini dapat dibangunkan. Ini
akan memudahkan pengwujudan pengurusan pendidikan yang lebih berkesan. Pemimpin
dan pengikut seharusnya saling pengaruh mempengaruhi. Pemimpin perlu memahami
dan menghayati dua elemen yang saling berkuasa iaitu kuasa atau pengaruh pemimpin
dan pengaruh atau kuasa subordinat.

Penulis juga telah menyarankan beberapa ciri dan peranan pemimpin yang berkesan
dalam pengurusan organisasi pendidikan. Antaranya ialah konsep perwakilan kuasa
(delegation) dan keupayaan pemimpin untuk mengambil dan melaksanakan keputusan-
keputusan dalam organisasi.

Keberkesanan pengurusan organisasi pendidikan juga melibatkan elemen manusia dan


produk atau perkhidmatan yang dilihat secara sepadu dalam pengurusan. Pemimpin juga
perlu berfikir secara ‘lateral’, berfikir ke hadapan untuk menjelmakan pengurusan ‘zero
defect’, mewujudkan ‘Advance Alert System’ (AAS) sebagai satu cara menangani
masalah dalam pengurusan pendidikan, melaksanakan TQM untuk peningkatan kualiti
perkhidmatan dan kepuasan pelanggan serta mengimplimentasikan amalan kaizen dalam
pengurusan untuk mewujudkan penambahbaikan yang berterusan dalam perkhidmatan
yang diberi.
Ulasan dan Komentar:

Pada bahagian awal penulisan rencana ini, penulis cuba memperkatakan tentang cabaran
sistem pendidikan kini iaitu untuk menyediakan perkhidmatan yang cemerlang dan
berkualiti sesuai dengan kehendak pembangunan negara. Beliau mengaitkan kejayaan
dalam kualiti perkhidmatan yang disediakan dengan pengurusan organisasi dengan
memetik pendapat pelopor TQM, Dr. Edward Deming iaitu perkhidmatan yang berkualiti
datangnya 80% daripada pengurusan dan 20% daripada pekerja. Kualiti yang baik
datangnya daripada pengurusan dan bukannya pekerja.

Saya akur dengan pendapat ini kerana pada dasarnya personel dan pemimpin dalam
instituti pendidikan khususnya di sekolah yang rata-ratanya memiliki kelayakan
akademik dan ikhtisas profesional bukanlah kakitangan yang semulajadinya buruk. Apa
yang paling penting ialah kepimpinan dan polisi dalam instituti pendidikan itu sendiri.
Sekiranya pemimpin organisasi sentiasa prihatin terhadap komponen dalam mewujudkan
kualiti iaitu budaya kerja, persekitaran, dasar dan matlamat yang jelas, alat (tools), latihan
dan sokongan sudah pastilah personel pelaksana tidak akan melakukan sebarang
kesilapan (mistakes). Untuk mewujudkan kualiti ini perlu pula anjakan paradigma yang
perlu dimulakan di peringkat pengurus pendidikan paling atas. Di sekolah misalnya,
pengetua adalah pengurus yang mesti memulakan anjakan paradigma diikuti oleh staf di
bawahnya.

Dua paradigma yang dikatakan menjadi penghalang kepada kecemerlangan dan kualiti
kerja ialah konsep`Kita Manusia Biasa’ iaitu kecacatan (defect) yang berlaku adalah
kerana kelemahan manusia dan yang kedua iaitu ‘There is always a next time’ yang
disifatkan oleh T. Domingo sebagai `anti kualiti dalam pengurusan’. Kedua-dua halangan
ini sebenarnya perlu dielakkan, apabila mahukan kualiti. Rasionalnya sebagai pelanggan
di sekolah, pelajar, ibu bapa dan masyarakat sudah pasti tidak dapat menerima konsep
yang pertama kerana mereka mahukan perkhidmatan yang berkualiti (zero defect)
manakala konsep yang kedua hanya akan melemahkan organisasi dan membazirkan
masa, tenaga alat serta kewangan. Dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan,
pengurusan seharusnya telah membuat keputusan-keputusan yang muktamad dengan
mengambilkira kemungkinan-kemungkinan melalui audit atau jangkaan luaran dan
dalaman terhadap proses masalah dan penyelesaiannya.

Penulis seterusnya melihat kepimpinan ini dalam konteks proses hubungan dua hala.
Kepimpinan yang utuh dan mapan merupakan asas kepada kualiti dan kecemerlangan
dalam organisasi, pendekatan yang dinamis dan berdaya maju. Oleh itu pemimpin bukan
sahaja mempengaruhi pengikutnya seperti pengertian yang sudah diterima umum tetapi
pengikut juga turut mempengaruhi pemimpin. Dengan erti kata yang lain pemimpin dan
pengikut saling mempengaruhi dan hakikat ini wajar difahami oleh semua pemimpin dan
pengurus pendidikan.

Kuasa pemimpin terhadap pengikut boleh dilihat melalui keupayaan pemimpin


memberikan ganjaran dan pengiktirafan, kuasa menghukum seperti mengkritik dan
mengambil tindakan tatatertib, kuasa sah atas kedudukannya atau jawatannya dalam
organisasi yang perlu dipatuhi, kepakaran dan kemahiran pemimpin berkenaan serta
perwatakan peribadi yang boleh mempengaruhi subodinat. Pengaruh pengikut
(subodinat) yang boleh mempengaruhi pemimpin pula boleh dilihat melalui sifat,
perwatakan subodinat dan faktor kekuatan kelompok subodinat. Sikap pemimpin
mungkin berbeza terhadap kelainan jantina, latar belakang pendidikan, umur dan lain-
lain. dan kekuatan kelompok sudah pasti mempengaruhi gaya seseorang pengurus dalam
memimpin.

Ini menunjukkan bahawa pemimpin dan pengurus tidak mungkin dapat melaksanakan
pengurusan organisasinya tanpa mengambilkira faktor-faktor dalaman organisasinya
termasuk subodinat. Dalam konteks pengurusan di sekolah kedua-dua elemen iaitu
pemimpin dan subodinat akan saling mempengaruhi dalam bentuk proses dua hala untuk
melahirkan pengurusan sekolah yang telus dan berkesan.

Selain itu faktor yang menentukan keberkesanan sekolah dalam konteks proses dua hala
ini ialah sejauhmana pemimpin mampu menggunakan kaedah perwakilan kuasa
(delegation) dalam pengurusannya. Pengurus yang ‘action-oriented’ gemar melakukan
sendiri semua tugas daripada menyelia dan mengawal yang menyebabkan mereka terlibat
dengan terlalu banyak aktiviti, lebih banyak tekanan, mengejar masa, malah terlibat
dengan tugas remeh temeh. Oleh itu sekiranya mereka ini mewakilkan kuasanya sudah
pasti akan mempunyai lebih banyak masa untuk memenuhi tanggungjawab,
membangunkan kemahiran diri, merancang, mengatur, mengarah, mengawal dan
membuat inovasi serta berpeluang mendekatkan diri dengan subodinat dalam konteks
hubungan interpersonel. Selain itu menerusi perwakilan kuasa ini bukan sahaja memberi
peluang kepada subodinat untuk mengembangkan potensinya tetapi juga
membolehkannya menerima tanggungjawab dalam semua persekitaran, membangunkan
diri dan menggalakkan kreativiti dalam menyelesaikan masalah.

Dalam konteks sekolah, pengetua selalunya tidak mampu untuk melaksanakan semua
tugas. Oleh itu kebiasaannya pengetua akan memberikan pengupayaan (empowerment)
kepada personel-personel di bawah seliaannya seperti Penolong Kanan 1, Penolong
Kanan HEM, Penyelia Petang dan guru-guru lain. Walaupun begitu saya berpendapat,
proses pengupayaan ini tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia mungkin
boleh menyebabkan dua implikasi iaitu mereka yang diberikan pengupayaan akan
bertindak berlebihan dengan cara menyalahgunakan kuasa dan pengaruh baru yang
diberikan atau mereka yang tidak mampu berbuat apa-apa kerana sudah terbiasa dikawal
dan diarahkan oleh pemimpin paling atas.

Oleh kerana pengurusan pendidikan adalah antara bidang yang memberi tekanan yang
tinggi di kalangan pengurus-pengurusnya maka pelaksanaan perwakilan kuasa ini juga
perlu ada landasan yang kukuh. Justeru dalam melaksanakan urusan harian mereka, para
pengurus harus tahu dan memahami cara-cara mewakilkan kuasa (to delegate) bagi
mengurangkan stress dan melaksanakan pengurusan yang lebih efektif dan cekap. Berikut
dicadangkan beberapa perkara sebagai panduan mewakilkan kuasa dalam pengurusan
pendidikan. Pertama ialah wakilkan kuasa mana-mana tugas yang dirasakan sesuai.
Kedua, wakilkan kuasa kepada staf yang paling muda tetapi berkemahiran dan
berkedudukan dalam organisasi. Ketiga, pemimpin perlu menurunkan otoriti selainkan
daripada tanggungjawab untuk memudahkan mereka membuat keputusan. Keempat,
mencari calon yang paling sesuai dengan melatihnya jika tiada calon yang layak. Kelima,
mewakilkan kuasa mengikut fasa-fasa untuk membolehkan kita membuat semakan dan
pembetulan dari masa ke semasa. Keenam, memfokuskan kepada hasil dan berikan
mereka yang diwakilkan kuasa kebebasan. Elakkan daripada menggunakan arahan `awak
mesti’ atau `awak patut’. Ketujuh, selalu memberikan penghargaan dan pengiktirafan
terhadap tugas yang telah berjaya dilaksanakan oleh mereka. Kelapan, pemimpin mesti
tahu dan jelas tentang perkara-perkara yang tidak boleh diwakilkuasakan.

Aspek mengambil dan melaksanakan keputusan turut disentuh oleh penulis dalam
konteks kepimpinan dua hala ini. Alasannya ialah, untuk mengambil dan melaksanakan
keputusan memerlukan disiplin diri, kemahiran persepsi, kreativiti, dinamisme dan
kemahiran yang wajar dalam menangani individu dan kumpulan. Pengambilan keputusan
yang berkesan bergantung kepada proses logik yang menentukan bahawa fakta atau
pendapat yang releven dapat dikumpulkan sebanyak mungkin dan mengambilkira
alternatif-alternatif serta kriteria yang diperlukan. Oleh itu apa yang dipersoalkan oleh
penulis ialah bila dan sejauhmanakah pemimpin harus melibatkan para subodinat dalam
menyelesaikan masalah tertentu?

Dalam hal ini saya bersetuju dengan beberapa saranan yang pernah dikemukakan oleh
Victor dan Yetton yang dipetik oleh Stoner A.F. dan Wankel C. (1991) dalam bukunya
Pengurusan (terjemahan) yang boleh digunakan oleh pemimpin-pemimpin pendidikan
dalam menentukan gaya membuat keputusan yang paling sesuai bagi masalah yang
mereka hadapi. Pertama ialah dari segi maklumat dan kemahiran untuk menyelesaikan
masalah itu sendiri. Sekiranya kita tidak mempunyai cukup maklumat, maka
penglibatakan subodinat diperlukan. Kedua, sejauhmana kita mampu memperolehi
maklumat dan apa maklumat yang kita perlukan. Jika sukar, kita perlu libatkan subodinat.
Keempat, adakah terdapat penolakan di kalangan sebilangan kumpulan? Jika ada, maka
penglibataan subodinat juga perlu kerana perbezaan pandangan dapat dibincangkan
secara terbuka untuk mendapatkan penyelesaian yang konkrit. Sehubungan dengan itu,
pemimpin yang berkesan akan melibatkan penyertaan atau penglibatan sobodinatnya
dalam membuat keputusan mengikut kewajaran keadaan seperti yang disebutkan.

Dalam konteks kepemimpinan ini, penulis turut mengemukakan model kepimpinan `Pola
Pengurusan’ oleh Blake & Mouton yang melihat elemen manusia dan produk sebagai
mempunyai pertalian yang cukup rapat. Ini kerana jika seseorang pemimpin memberikan
perhatian yang tinggi terhadap produk mahupun manusia, ia dianggap sebagai memimpin
dengan pengurusan pasukan dan ini adalah gaya kepimpinan yang terbaik.

Sehubungan dengan itu, dalam konteks pengurusan sekolah, hubungan interpersonel dan
kemanusiaan sebenarnya menjadi penentu kepada pembentukan iklim sekolah yang
berkesan dan kondusif yang akhirnya akan mewujudkan pengurusan yang efektif. Justeru
pemimpin yang berkesan seharusnya melihat elemen manusia dan produk ini sebagai
pengurusan yang bersepadu.
Malah kalau dilihat dari perspektif Islam, pengurusan mestilah bertitiktolak dari
pembinaan aspek-aspek manusia yang bukan hanya bertumpu kepada kemahiran (skills)
semata-mata tetapi mesti dapat merealisasikan fitrah manusia, kejadiannya, fungsi dan
tugasnya sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Teras pengurusannya mestilah
berpaksikan kepada tauhid. Sementara itu hubungan interpersonel dalam pengurusan ini
mestilah berdasarkan kepada pembinaan ukhuwwah yang mendalam untuk mencapai
alfalah dan keredaan Allah. Untuk tujuan itu segala perancangan, penyelesaian masalah
dan keputusan mestilah dibuat berdasarkan syura, keadilan, mengatasi alfasad dan
menegakkan alfalah. Pengurusan sebenar bukan sahaja menjadikan individu dan
organisasi berkualiti tetapi pada masa yang sama memberi faedah kepada masyarakat,
manusia dan tamaduan ummah. Inilah sebenarnya pola pengurusan yang perlu diterapkan
dalam organisasi termasuk di sekolah untuk mencapai misi, visi, aspirasi Falsafah
Pendidikan Negara dan dasar-dasar negara.

Saya juga sependapat dengan penulis yang turut mencadangkan beberapa aspek yang
perlu diberi penekanan untuk mewujudkan keberkesanan kepimpinan dan pengurusan
iaitu dengan pengurus-pengurus pendidikan sentiasa berfikir secara lateral, berfikir ke
hadapan, mewujudkan ‘Advance Alert System’ (AAS) dan mengamalkan kaizen.

Pengurus-pengurus pendidikan di sekolah pada masa sekarang memikul tanggungjawab


yang amat besar dalam arus pendidikan yang bersifat global dan tiada sempadan ini.
Justeru, pemimpin mesti berfikiran lateral iaitu dengan sentiasa berfikir untuk mencari
alternatif baru, sentiasa berfikir dari konsep lama kepada konsep baru, menerbitkan idea-
idea baru, sudut pandangan baru dan lari dari cengkaman lapuk. Cara berfikir seperti ini
selari dengan tuntutan pendidikan yang sentiasa dinamik. Malah ianya juga selari dengan
‘berfikir ke hadapan’ seperti yang dicadangkan kerana ianya akan turut menjelmakan
pengurusan ‘zero defect’ . Dengan pemimpin-pemimpin yang sentiasa proaktif dan
mampu membuat jangkaan-jangkaan terhadap sebarang kemungkinan akan berkeupayaan
menyediakan pengurusan yang lebih berstrategi dengan segala masalah atau kecacatan
dapat dibendung lebih awal. Ini sekaligus akan dapat membantu mengimplimentasikan
TQM di sekolah-sekolah.

Dalam melaksanakan TQM, kepuasan pelanggan (pelajar, ibu bapa dan masyarakat)
diutamakan. Kualiti diukur melalui ketiadaan komplen daripada pelanggan. Oleh itu
cadangan Advance Allert System (AAS) adalah amat sesuai. Dengan adanya AAS
masalah-masalah berhubung pengurusan pendidikan dapat diatasi dan jangkaan serta
alternatif penyelesaian masalah dapat diatur lebih awal tanpa menunggu sehingga
berlakunya masalah. Mengikut pengalaman saya sendiri dalam membantu menguruskan
sekolah, kaedah seperti ini memang sudah dipraktikkan dan ia sesungguhnya dapat
membantu dalam keberkesanan dan kualiti pengurusan sekolah.

Keberkesanan dalam kepimpinan pengurusan akan lebih terbukti apabila pengurus


menerapkan amalan kaizen dalam organisasinya. Pengurus seharusnya dapat
mengekalkan keiltizamannya kepada kualiti dan penambahbaikan yang berterusan.
Prinsip dalam kaizen juga mudah kerana penambahbaikan yang dibuat melibatkan
teknologi yang rendah, secara kecil-kecilan, dan dilakukan secara perlahan-perlahan.
Malah amalan kaizen dalam pengurusan di sekolah dapat mewujudkan potensi yang
positif iaitu melalui amalan kerja berpasukan, menghargai semua individu dalam sekolah,
dan mewujudkan hubungan kerja yang harmoni serta cross-functional antara pemimpin
dan staff.

Secara keseluruhannya berdasarkan rencana penulis, saya melihat kepemimpinan


berkualiti bukan sahaja dapat dilihat berdasarakan proses hubungan dua hala seperti yang
dinyatakan dan dikupas sebelum ini tetapi juga melibatkan ciri-ciri, faktor-faktor lain
yang perlu ada dan diamalkan oleh pengurus-pengurus pendidikan. Di peringkat sekolah
umpamanya, peranan pengetua sebagai pemimpin berkualiti mestilah menyerap dalam 5
aspek iaitu sebagai ahli falsafah pendidikan, sebagai model pendidikan, menyokong
pendidikan, rakan sependidikan (educational patner) dan sentiasa memulakan perubahan
pendidikan (educational innovator). Jika kelima-lima aspek ini mampu dilaksanakan
sudah barang tentu akan mewujudkan proses dua hala antara pemimpin dan pengikut
dalam pengurusan di sekolah. Keberkesanan ini juga akan turut dipengaruhi oleh
pengetahuan, sikap, komitmen, gaya kepimpinan dan orientasi (reaktif atau proaktif)
seseorang pengurus pendidikan tersebut.

Sergioranni T.J. (1984) dalam bukunya Leadership and Excellent Schoolingpula pernah
mengkonsepsikan kepimpinan berkualiti berdasarkan kuasa (forces) dan kemudahan-
kemudahan yang ada padanya bagi melaksanakan sesuatu perubahan. Pemimpin
berkualiti tegasnya mesti berkemampuan menjadi pemimpin teknikal yang berfungsi
sebagai jurutera dalam teknik pengurusan dan strategi manipulasi, pemimpin manusia
khsusnya dalam aspek hubungan manusia, individu dan menggerakkan (motivate)
staffnya, pemimpin pendidikan yang berperanan sebagai `clinical practioner’ dengan
menyumbang kepakaran dalam bidang pendidikan, pemimpin simbolik yang berperanan
sebagai pemberi isyarat tentang nilai dan matlamat yang hendak dicapai, dan yang
terakhir iaitu pemimpin budaya yang berfungsi mencari, mentafsir dan memperkukuhkan
nilai dalam organisasi yang dipimpinnya.

Kepimpinan yang berkualiti ini juga sebenarnya perlu ditambahsegarkan lagi melalui
program peningkatan profesionalisme yang perlu bagi setiap pengurus pendidikan
termasuk pengetua. Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia seperti yang dinyatakan
oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dato Dr. Shukur Abdullah bahawa guru-guru muda
yang berpotensi dan berpeluang untuk dilantik sebagai Pengetua akan dilatih atau wajib
mengikuti dan lulus kursus khas berkaitan ilmu dan asas-asas kepengetuaan amatlah
wajar. Bagi saya sudah tiba masanya pengurus-pengurus pendidikan termasuk pengetua
di sekolah diwajibkan memiliki diploma berkaitan kepimpinan dan kepengetuaan
sebelum dilantik ke jawatan berkenaan bagi memastikan mereka ini benar-benar mampu
mengurus, memimpin dan menjadi penerus agenda pendidikan yang semakin kompleks.
Perlantikan pengurus pendidikan termasuk pengetua seharusnya bukan sahaja
berdasarkan faktor kekananan sahaja tetapi juga meliputi prestasi kerja, tahap keilmuan
dan kepimpinan yang benar-benar cemerlang.

Dengan adanya ciri-ciri tersebut bukan sahaja dapat membuktikan kepemimpinan


seseorang pengurus pendidikan tetapi juga dapat membangunkan potensi subordinat
melalui proses yang lebih menyeluruh di samping mencerminkan kreativiti dalam
pengurusan organisasi berkenaan . Kepimpinan dan proses-prosesnya ini seharusnya
dilihat selaras dengan sifat organisasi pendidikan masa kini yang lebih terbuka dan
bersifat global sesuai dengan hasrat kerajaan Malaysia memartabatkan kualiti pendidikan
negara kita ke tahap dunia.

Sumber : http://semekanet99.tripod.com/ulasanbuku2.htm

You might also like