You are on page 1of 17

SEJARAH ISLAM - Daulah Osmaniyah - Sultan Muhammad Al-Fatih

   
Sebelum kita meneruskan dengan artikel berkaitan dengan Sejarah Islam ini, saya juga
ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'Salam Maulidul Rasul' kepada
semua yang sudi melayari blog bahtera wawasan ini, semoga dengan memperingati akan
kelahiran Rasulullah s.a.w. ini akan bertambah kuat pegangan kita akan sunnah yang
ditinggalkan baginda dan kita akan terus berusaha memperkukuhkan lagi Sunnah baginda
yang menjadi teladan kita sehingga ke akhir hayat di dunia ini.

Barangkali yang masih kurang diketahui ialah bahawa Salahuddin Al-Ayyubi juga
merupakan orang pertama yang mengusulkan agar peringatan maulid Nabi Muhammad
SAW diadakan semula setelah sekian lama telah dihentikan pada tahun 488 atas perintah
Perdana Menteri al-Afdal Shahindah pada ketika itu yang berpegang kuat pada sunnah
seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.

Sejarah perayaan maulidur Rasul bermula pada zaman kekhalifahan Fatimid (keturunan
dari Fatimah az-Zahrah, putri Nabi Muhammad SAW). Ketika itu, Salahuddin
merupakan panglima perang, dan Masjid Al-Aqsa di Palestin berada dalam genggaman
musuh. Umat Islam yang berada di Jerusalem telah dianiaya dan ditindas.
Untuk membebaskan Masjid Al-Aqsha dengan cara yang terhormat, Salahuddin
berpendapat bahawa tenteranya dan umat Islam keseluruhannya perlulah meneladani
sifat-sifat juang dan kemuliaan peribadi Nabi Muhammad SAW. Untuk itu, sejarah
kehidupan Rasulullah hendaklah dihayati. Beliau lalu mengusulkan kepada khalifah agar
mengadakan peringatan maulid Nabi Muhammad SAW.
Hasilnya, semangat jihad kaum muslimin berkobar. Tentera muslimin di bawah pimpinan
Salahuddin merupakan pasukan yang berdisiplin, bermoral tinggi dan penuh etika.

Adapun perarakan yang dibuat Sultan lebih kepada perarakan tenteranya yang beramai-
ramai ke medan perang sehingga sebahagiannya menemui syahid, sedang yang
sebahagian lagi yang masih hidup berjaya menakluki Baitulmaqdis pada 1187 (583 H).
Akhirnya sambutan ini telah menjadi tradisi dibeberapa negara termasuk di Malaysia.
Walau bagaimana pun sambutannya bukanlah perkara yang diwajibkan dalam Islam,
begitu juga jika mahu mengadakan perarakan kerana Islam lebih menuntut umatnya
mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. dan menjunjung Islam sebagai panduan hidup.

Tidaklah ada maknanya seandainya kita berkobar-kobar menyambut Hari Kelahiran


Baginda s.a.w sedangkan dari segi pengamalan telah jauh dari apa yang telah ditunjuki
oleh baginda. Jadi untuk itu marilah kita bersama muhasabah diri dan memperingati
agama yang sebenar-benar agama yang telah di bawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. ini.

Baginda Rasulullah s.a.w. tidaklah terus dilahirkan di dalam keadaan agama Islam
sepertimana kita hari ini. Bahkan baginda juga berdepan dengan umat yang sudah jauh
terpesong di dalam agama yang menyembah selain Allah. Tetapi baginda yang telah
dikurniakan satu bentuk keperibadian hidup yang baik di mana sedari awalnya baginda di
gelar dengan Al-Amin iaitu seorang yang boleh dipercayai atau juga seorang yang jujur.
Di atas fikir dan risaunya terhadap umat pada ketika itu lalu pergilah beliau
mengasingkan diri dengan berseorangan, menangis beliau kerana permasaalahan manusia
pada ketika itu serta mengharapkan agar dikurniai suatu cara untuk menyelesaikan
permasaalahan yang berlaku ketika itu. Sehinggalah lamanya 7 tahun di mana baginda
dikurniai oleh Allah wahyu yang pertama yang membuktikan wujudnya Tuhan yang
Maha Esa lagi amat Mengasihani.

Begitulah seterusnya beliau menerima wahyu dalam mengajak para sahabat dan
menunjukkan cara sebagaimana yang diredhoi oleh Tuhan yang Maha Esa. Baginda
membentuk Para sahabat bukanlah satu perkara yang mudah, para sahabat yang terdiri
daripada berbagai ragam jenis manusia dan yang ternyata sekali akan ke'brutal'an mereka,
tetapi dengan wahyu Allah s.w.t. ternyata ianya dapat menyelesaikan segala
permasaalahan manusia. Wajiblah bagi kita mengetahui akan cara untuk melaksanakan
Firman-firman Allah s.w.t. ini adalah melalui cara yang ditunjuki oleh baginda
Rasulullah s.a.w.

Wajiblah bagi kita umat yang akhir zaman ini saling ingat memperingati sesama kita
dalam menuju keredhoan Allah s.w.t. bahawasanya Nabi juga pernah bersabda yang
bermaksud. "Sesungguhnya agama itu nasehat-menasehati". Ingatlah sesama kita,
barangsiapa yang inginkan kebaikan sudah tentu kehidupannya akan mendorong ke arah
kebaikan dan begitu juga sesiapa yang ingin hidup bertuhankan Allah sudah tentu
kehidupan akan terdorong mengerjakan apa yang diperintahkan Allah s.w.t.dengan cara
yang sudah semestinya yang di bawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. Begitulah Allah
s.w.t. menjadikan Rasulnya yang dikasihi dari kalangan manusia agar kita juga akan
mendapat keyakinan sebagaimana yang telah diperolehi Baginda Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada kita agar hidup bertuhankan Allah s.w.t.,meyakini
akan Allah s.w.t, meyakini akan perantaraan para Malaikat, meyakini akan cara yang
telah baginda bawakan kepada kita, meyakini akan panduan kitab-kitab, menyakini akan
berlakunya hari kebangkitan dan meyakini segalanya di atas Qada dan Qadar Allah s.w.t.
InsyaAllah, bersama kita saling memperingati sesama kita dalam mengamalkan
sepertimana yang telah ditunjuki oleh Baginda Rasulullah s.a.w. sejak dari mula
bagaimana baginda mengenal Allah seterusnya melaksanakan apa yang telah
diperintahkan oleh Allah s.w.t.

wallahualam.
Sultan Muhammad Al-Fatih

Sultan Muhammad lebih terkenal dengan gelaran "Al-Fatih" (penakluk) dan beliau adalah
umpama mahkota di atas kening sejarah Bani Osman khususnya dan sejarah Islam
umumnya. Bahkan menjadi pembuka pintu bagi perubahan perpindahan Sejarah Dunia
dari zaman Tengah kepada zaman baru. Kerana beliaulah yang menaklukkan kota
Konstantinopel tempat kedudukan Kerajaan Rom Timur atau Byzantium beratus tahun
lamanya.

Tersebut di dalam sejarah bahawasanya tatkala kota Madinah Al-Munawwarah di kepung


oleh Sekutu Musyrikin dengan Yahudi dalam perang yang terkenal iaitu :Perang
Khandak", seketika Rasulullah s.a.w. menghentakkan tembilangnya hendak memecahkan
batu untuk dijadikan parit sebagai pertahanan (khandak) maka memancarlah cahaya api
kerana pertembungan besi keras dengan batu keras dan dengan secra sepontan baginda
mengucapkan takbir sampai tiga kali berturut-turut kejadian itu dan tiga kali pula beliau
mengucapkan takbir itu. Seketika ditanyailah oleh sahabat-sahabat beliau, mengapa
beliau bertakbir ketika memancarnya cetusan api itu tiga kali, seraya baginda pun
menjawab :bahawa pada cetusan api yang pertama beliau ternampak bayangan di udara
istana putih di negeri Yaman, pada cetusan api yang kedua pula beliau melihat bayangan
Iwan Kisra di tanah Parsi dan pada cetusan api yang ketiga pula beliau melihat Mahligai
raja-raja Konstantinopel! Akhirnya, meskipunketika itu Rasulullah s.a.w. dan para
sahabat tengah di dalam kesulitan dan bahaya yang mengancam sangat hebatnya, namun
suatu waktu kekuasaan Islam akan meluas juga sampai ke hujung Arab Selatan sampai ke
Utara dan akan menyeberang sampai ke Konstantinopel yang ketika itu masih menjadi
pusat yang kuat dari Kerajaan Rom Timur (Byzantium).

Dan pernah pula beliau mengatakan di dalam salah satu sabdanya : "Pastilah kamukelak
akan menaklukkan kota Konstantinopel. Maka yang sebaik-baiknya Amir, Amir yang
memimpin penaklukkan itu dan sebaik-baik tentera pula adalah tenteranya." Dan telah
berulang kali pahlawan-pahlawan Islam sejak dari zaman sahabat-sahabat Nabi ketika di
zaman Bani Umayyah telah cuba untuk mengepung Kota itu samapi kepada zaman Bani
Abbas di zaman pemerintahan Harun Al-Rashid tetapi belum juga dapat ditaklukkannya.
Bahkan seorang sahabat Nabi yang utama, Abu Ayob Al-Ansary yang menyediakan
rumahtangganya untuk menyambut Nabi Muhammad s.a.w. seketika berpindah ke
Madinah sebelum Beliau mendirikan rumahnya sendiri telah meninggal ketika tentera
Islam mengepung Kota Konstantinopel pada tahun 52 Hijrah dibawah pimpinan Yazid
ibn Mu'awiyah di zaman pemerintahan Mu'awiyah sendiri. Maka banyaklah kitab-kitab
sejarah Islam mengisahkan percubaan mengepung yang berkali-kali terhadap kota itu
oleh tentera Islam.

Dan semuanya masih gagal. Bahkan Bayazid datuk kepada Sultan Muhammad dan
ayahnya sendiri, Murad, berusaha pula hendak mencapai gelar "Penakluk" itupun gagal
juga.

Ada tiga hal yang menimbulkan keinginan besar bagi pahlawan-pahlawan Islam zaman
itu untuk menaklukkan Konstantinopel. Pertama kerana dorongan Iman kepada Tuhan
yang disemangati oleh apa yang telah disabdakan oleh Baginda yang menjanjikan kota itu
akan dapat ditakluk dan amirnya adalah yang sebaik-baik amir serta tenteranya pula
adalah sebaik-baik tentera. Sebagai orang Muslimin mereka ingin semoga merekalah
orang yang dipuji Nabi itu. Yang kedua ialah kerana beratus tahun lamanya Kota
Konstantinopel menjadi pusat kemegahan bangsa Romawi. Pusat peradaban dan
kebudayaan. Orang Islam telah dapat menakluk Madain iaitu pusat kekuasaan bagi orang
Parsi.

Maka belumlah cukup kekuasaan itu sebelum kota lawan Parsi iaitu ibukotanya dapat
ditaklukkan pula. Yang ketiga adalah keindahan negeri itu dan letaknya yang sangat
strategis, perhubungan antara dua benua besar Eropah dan Asia. Lama kemudian,
Napoleon Bonarparte pernah mengatakan bahwa dia tidak akan merasa berat menjadi
kaisar memerintah seluruh alam bilamana pusat kekuasaannya diletakkan di
Konstantinopel.

Letaknya indah dari segi keindahan alam. Tiga kota di tepi laut yang sangat
mengkagumkan di dunia, pertama Napoli di Italy, Kedua Lisbon ibu negeri Portugal dan
ketiga Konstantinopel dan yang ketiga inilah yang terindah diantara yang indah.

Rencana Penaklukan

Bani Osman telah merasa bahawasanya kekuasaannya yang telah sekian lama luas di
Asia-Kecil dan Eropah Timur belumlah akan kukuh, kalau Konstantinopel tidak
ditakluki. Penaklukan Konstantinopel adalah urusan hidup-hidup bagi Kerajaan Osmani.
Oleh sebab itu dari nenek turun ke cucu, turun-temurun niat itu dihidupkan dan diapikan
terus. Suara Nabi Muhammad s.a.w., bahawa suatu waktu negeri itu pasti ditakluk dan
cetusan cahaya ketika penggalian sewaktu perang Khandak melekat menjadi sebahagian
Iman dan keyakinan bagi Bani Osman. Dan pada waktu itu mereka yakin benar, bahawa
mereka berjuang ialah berjihad membangun agama Allah dan hidup danmati mereka
adalah kerana membangunkan Agama Allah. Maka penakluk yang terlebih dahulu,
berturut-turut dilancarkan ke negeri-negeri Eropah Timur; Yunani Bulgaria, Serbia,
Montenegro dan juga yang lelainnya di mana terdapat pertalian dengan maksud
pengepungan kota besar yang menjadi idaman itu. Bila seluruh negeri itu telah ditakluki
maka terkepunglah Konstantinopel di tengah-tengah kekuasaan bangsa Turki sehingga
akhirnya dengan mudah dapat dikuasai.

Kerajaan Byzantium bertambah yakin bahawa kerajaan besar itu tidak akan dapat lagi
dilawan dengan mata pedang di medan pertempuran. Bahkan hidup matinya kerajaan
Byzantium pada waktu itu semata-mata bergantung kepada belas kesihan kerajaan Turki.
Maka tidak ada jalan lain yang dapat dipilihnya hanyalah dengan memakai tipu daya,
menimbulkan provokasi dan intimidasi ke Asia Kecil atau ke Eropah. Bukan sedikit
usaha Kerajaan Byzantium mempengaruhi Timurlane sehingga terjadi peperangan
dengan Bayazid dahulu. Dan kalau ada amir-amir atau anak-anak raja Bani Osman yang
memberontak terhadap kekuasaan yang sah jika mereka lari melindungkan diri ke
Konstantinopel selalu mendapat perlindungan dari Kaisar. Mereka dijadikan 'tawanan
politik' yang berkedudukan sebagai anak catur yang mana bila perlu mereka ini dapat
diketengahkan untuk melakukan kacau-bilau. Diberi belanja dan perbantuan bagi
melawan kaumnya sendiri. Sehinggakan Kerajaan Osmani selalu menghadapi masaalah
dalam urusan yang seperti ini saja. Lagi pula ketika itu Kerajaan Osmani belum
mempunyai armada yang kuat sedangkan Kerajaan Genoa, Republik Venesia dan Paus
sendiri mempunyai armada. Sebab itu bukan sekali dua kali pemindahan tentera dari Asia
Kecil terhalang di laut Marmora dan Selat Dardanella dihalangi oelh armada-armada itu.
Ingat saja tentera Murad II yang hampir saja musnah kalau beliau tidak segera memberi
suapan kepada armada Genoa. Oleh sebab itu belumlah ada ertinya kekuasaan besar itu
sebelum Dardanella dalam rangkaiannya dengan Konstantinopel dikuasai.

Sultan Murad di hari tuanya mencuba mengepung Konstantinopel tetapi gagal.

Mulanya Sultan Muhammad masih mempelajari dengan sedalam-dalamnya dan


menyediakan perlengkapan meskipun bertahun-tahun agar waktu mengadakan
penyerangan tidak menghadapi kegagalan sepertimana kegagalan raja-raja Islam yang
terdahulu. Dan diadakan perdamaian untuk beberapa tahun dengan Kaisar. Dan seketika
Kaisar di dalam mengadakan perjanjian damai itu menuntut perbelanjaan bagi Amir
Ourkhan salah seorang paman Sultan Muhammad yang melindungkan diri kepada Kaisar,
Sultan Muhammad menerimanya. Maka dengan adanya perdamaian itu Sultan dapat
melangsungkan perancangannya, menyempurnakan penaklukan Balkan sekali lagi bagi
melanjutkan rencana bapanya.

Tetapi baru saja selesai peperangan di Balkan itu tiba-tiba memberontak pula amir-amir
Asia Kecil yang dikepalai oleh Ibrahim, Amir Qarmiyan, dibantu oleh amir-amir yang
lain dengan alasan bahawa mereka adalah keturunan dari amir-amir di Kirmian, Aiden
Muntasha. Mereka menuntut hak dengan mengangkat senjata. Maka terkejutlah Sultan
lantaran pemberontakan yang tiba-tiba itu sehingga dikirimnya tentera di bawah
pimpinan Ishak Pasha "Amiril Umara" di Anatolia bagi menundukkan mereka dan
kemudian diikuti oleh Sultan sendiri. Jika tadinya Sultan terkejut melihat pemberontakan
yang tiba-tiba itu, Amir Ibrahim lebih terkejut pula melihat cepatnya Sultan bertindak
sehingga patahlah semangat lawan melihat kekuatan yang dilawan. Maka datanglah Amir
Ibrahim menyerah diri kepada Sultan dan memohon ampun seraya membawa anak
perempuannya dan menyerahkannya kepada Sultan sebagai alamat tunduk dan tidak akan
melawan lagi.

Maka Sulatn pun merasa kasihan melihat keadaan amir itu dan memberinya ampun.
Tetapi di saat itu juga datanglah utusan membawa surat dari Kaisar Byzantium mendesak
supaya perbelanjaan Amir Ourkhan yang telah dipersetujui dahulu itu segera dikirim dan
ditambah dua kali ganda sebab setelah dihitung tidaklah mencukupi. Kalau tidak segera
dikirm maka Kaisar tidak merasa bertanggungjawab lagi kalau Amir Ourkhan
meninggalkan Konstantinopel dan menyusun tentera bagi merampas kekuasaan dari
tangan Sultan Muhammad.

Dengan yang amat sangat menahan kesabarannya serta menundukkan kesabaran yang
kadang-kadang membosankan orang besar-besarnya dan setengahnya hairan melihat
Sultan sebesar itu pada hal dia masih muda maka Sultan menyambut utusan Kaisar itu
dengan penuh hormat. Didengarnya pesan Kaisar dan dibacanya surat dengan tenang lalu
dijanjikannya bahawa wang ganti kerugian Amir Ourkhan akan segera diselesaikannya
bila dia tiba kembali di ibu kota (Adrianopel). Lalu dilepasnya utusan Kaisar itu dengan
baik. Setelah utusan itu pergi diselesaikannya pula sebaik-baiknya urusan Amir Ibrahim
sampai memuaskan. Setelah itu barulah dia kembali segera ke Adrianopel. Di sana
nampak bahawa kesabarannya yang luar biasa sekali di Asia Kecil itu adalah suatu siasat.
Kerana seandainya dia menunjukkan kemarahannya dan utusan Kaisar pulang terlebih
dahulu sebelum baginda ada kembali di kerajaannya mungkin armada Sekutu Eropah
mengepung dan menduduki Dardanella dan terputus jalannya pulang.

Sampai di Adrianopel barulah dinyatakannya sikap tegas bahaw bantuan buat Amir
Ourkhan mulai saat itu ditarik balik. Setelah itu dengan segera baginda Sultan mengikat
perjanjian damai dengan tidak serang menyerang dan memberi beberapa hak-hak kepada
Prince dan Raja Maghyar dan Bosnia den juga Republik Venesia.

Dengan Hyunade dibuat perjanjian tidak serang-menyerang selama tiga tahun. Setelah itu
beliau perintahkanlah mendirikan sebuah benteng yang kuat dan teguh di pinggir
Bosporus iaitu di pantai bahagian Eropah berhadap-hadapan dengan benteng di seberang
menyeberangnya iaitu di pantai bahagian Asia yang didirikan oleh neneknya Bayazid
dahulu. Dengan selesainya benteng ini tidak mungkin lagi Konstantinopel mendapat
bantuan alat senjata atau kepentingan lain dari Laut Hitam. Ketika membuat benteng itu
Sultan yang masih muda itu menunjukkan benar-benar semangat keperwiraannya. Dia
sendiri turut bekerja membuka baju dan serbannya mengangkat batu dan pasir sehingga
ulama-ulama dan Pasha-pasha terpaksa ikut bekerja pula. Dengan demikian
bersemangatlah seluruh tentera dan pekerja yang di datangkan dari seluruh bahagian
negeri Osmani.

Sangatlah cemas Kaisar melihat pekerjaan besar itu dikerjakan orang di hadapan matanya
sendiri sehingga satu waktu dikirimnya utusan kepada Sultan agar tidak lagi menuntut 
gaji Ourkhan melainkan memohon sungguh-sungguh supaya pekerjaan membuat benteng
itu dihentikan saja. Sebab Kaisar tidaklah bermaksud hendak berperang dengan Sultan
yang sejak dari bapanya dahulu telah membayar upeti kepada Kerajaan Osmani. Maka
dijawab Sultan bahawa maksudnya mendirikan benteng itu bukanlah buat menyerang
Konstantinopel melainkan menjaga Kerajaannya sendiri dan memelihara kekuasaannya
yang meliputi Asia Kecil dan EropahTimur. Kalau tidak dia mendirikan benteng di sana
dia takut akan datang lagi serangan-serangan seperti yang telah berkali-kali dilakukan
orang di masa hidup bapanya. Dan kalau dia di Asia Kecil, nescaya sukar dia
menyeberangi bahagian Eropah. Tidaklah maksud memungkiri janji sebab Kaisar hidup
bebas danmerdeka di dalam kotanya yang dipertahankan dengan benteng-benteng dan
pagar kota dengan teguhnya. "Kami perlu mempunyai dua benteng. Yang di bahagian
Asia bagi menjaga kaum Muslimin sebab itulah penduduknya dan bahagian Eropah perlu
sangat sebab bangsa Rom tidak sanggup mempertahankannya lagi." Demikian jawab
Sultan.

Sebagai penutup bicaranya Sultan pun berkata :"Sampaikanlah kepada Kaisarmu bahawa
Sultan Muhammad jauh berbeza dengan nenek moyangnya. Bila pekerjaannya telah
dimulainya, seorang pun tidak ada yang dapat membantah. Dan tidak perlu Kaisar
mengirim utusan lagi. Kalau datang lagi utusan kepada ku, maka kepalanya saja nanti
yang akan ku kirim kembali, mengerti!."

Utusan Kaisar pulang dengan serba ketakutan dan Sultan meneruskan pekerjaannya.
Dalam tiga bulan saja selesailah pembikinan benteng besar yang dahsyat dan menakutkan
itu (akhir ogos 1452M). Terkenal namanya dengan Rumli Hisar, benteng Rum,
bertentangan dengan benteng yang didirikan neneknya Bayazid Kuzal Hisar, ertinya
benteng yang indah. Dari sana dijaga keras kapal yang lalu lintas melalui Selat yang
sempit itu. Di sanalah mulai dikumpulkan segala persediaan perang bagi menerjah
Konstantinopel.

Pada 21,bulan Syaaban 856H bersamaan 28 Ogos 1452M bersama-sama dengan


pengiring-pengiringnya Sultan mengelilingi parit pertahanan Konstantinopel buat melihat
kekuatan dan segi-segi kelemahannya dan setelah tiga hari kemudiannya dia pun pulang
sementara ke Adrianopel dan disambut rakyat dengan penuh kegembiraan.

Baginda maklum bahawa pengepungan ini akan meminta tenaga yang besar dan
rancangan yang sempurna dan tidak boleh gelabah. Pada bulan Oktober disuruhnya
seorang kepala perangnya, Tarkhan Pasha menemui penguasa negeri Mora, Thomas dan
Demitrius, keduanya saudara kandung Kaisar, memberitahukan niatnya hendak
menaklukkan Konstantinopel itu dan memberi nasihat kepada mereka berdua supaya
berdiam diri jangan membantu Kaisar supaya mereka selamat.

Maka tibalah musim dingin, Bukan main dinginnya pada semusim itu. Kaisar mengharap
mungkin kerana sangat dingin maka tentera Turki tidak akan tahan lalu mengundurkan
diri. Sekali lagi dicubanya memujuk Sultan mengurungkan niatnya dan dengan pendek
Sultan menjawab: "Kalau Kaisar tidak suka berperang, serahkanlah saja kota
Konstantinopel dengan baik. Sultan berjanji akan menyelamatkan Kaisar dan
menyelamatkan setiap penduduk. Tidak ada orang yang akan diganggu dan tidak ada
harta benda yang akan diambil dan mana yang ingin hendak keluar dari dalam kota,
Sultan  tidak akan menghalangi mereka. Itu pun suatu langkah yang sebaik-baiknya untuk
menghindarkan perang". Tetapi ternyatalah bahawa Kaisar tidak pula sanggup menerima
tawaran itu bahkan bertambah lama semakin kecutlah hati beliau memikirkan keadaan
itu. Rupanya penyerangan Turki ke atas Konstantinopel tidaklah dapat diundurkan lagi.

Dengan segenap sisa kecerdikan yang ada padanya, Kaisar selalu berusaha bagaimana
kesulitan in dapat di atasinya. Bahkan menteri-menteri Sultan sendiri dipujuknya dengan
harta benda yang banyak seandainya dapat membelokkan perhatian Sultan daripada
menyerang Konstantinopel. Tetapi tidaklah ada yang dapat membelikkan kemahuan
Sultan yang masih muda itu. Sultan sendiri tahu bagaimana kuatnya pertahanan kota
Konstantinopel tetapi segenap kekuatan dikumpulkannya pula ke sana.

Kaisar sangat mengharap pertolongan kerajaan-kerajaan Eropah, baik dari Eropah Timur
mahupun dari Barat. Tetapi Sultan terlebih dahulu telah mengikat beberapa perjanjian
tiada serang-menyerang dengan negeri-negeri dari Eropah Timur. Negeri-negeri Eropah
Barat tidaklah ada kesanggupan rupanya mengirim tenteranya di saat yang penting itu.
Hanyalah Genoa saja yang sanggup mengirimkan bantuan iaitu suatu armada laut yang
tidak berapa besar di bawah pimpinan seorang pahlawan yang gagah berani bernama
Justinianus yang telah sanggup masuk ke dalam pelabuhan setelah bertempur beberapa
lamanya terlebih dahulu dengan angkatan perang Turki.

Salah satu sebab utama dari kegagalan pertahanan Konstantinopel ialah perselisihan
faham agama yang telah sangat mendalam di antara Rom-Katholik di bawah pimpinan
Paus yang berpusat di Rom dengan faham Orthodox yang berpusat di Konstantinopel
sendiri. Pertengkaran dan perselisihan faham itu adalah sangat mendalam. Yang
dibicarakan ialah darihal kepercayaan kepada ketuhanan Nabi Isal Al-Masih bagaimana
hubungan kesatuan tiga uknum itu dalam diri yang satu dan tentang bagaimana sifat-sifat
Nabi Isa dalam ketuhanannya dan dalam kemanusiaannya.
Perselisihan ini diliputi oleh suasana fanatik yang sangat mendalam sehingga tidaklah
dapat diikhtiarkan lagi mempersatukan kedua gereja itu. Kaisar Konstantinopel yang
telah mengerti bahaya yang mengancam negerinya dari serangan bangsa Turki yang pasti
akan datang itu telah berusaha bagaimana persatuan itu dapat dicapai. Pernah beliau
sendiri menghadap Paus di Rom menyatakan bersedia bersatu. Dia menyembah
menjongkok sambil mencium hujung jubah Paus untuk bersatu kembali. Tetapi sambutan
Paus sendiri tidaklah memuaskan sebab beliau menyangka bahawa ini adalah politik
semata-mata kerana Kaisar telah tahu bahaya yang mengancam Kerajaannya. Dan
seketika Kaisar pulang tidaklah pula mendapat sambutan yang baik dari orang-orang
besarnya. Beliau dituduh telah berkhidmat kepada pendirian yang sekian lama
dipertahankan. Dengan tunduknya Kaisar kepada Paus bererti ia mengorbankan
kemerdekaan negeri dan keyakinan agamanya.

Maka tatkala sudah sangat hebat kepungan atas kota yang besar dan telah beratus tahun
menjadi pusat peradaban dan kebudayaan Kristian itu dan tentera Turki telah ada
dikelilingnya, namun di dalam kota masih sangatlah hebatnya pertengkaran di antara ahli-
ahli agama yang setuju persatuan kembali dengan Rom dan yang tidak menyetujuinya,
sampai ada yang berkata di kalangan orang besar:"Saya lebih suka melihat serban bangsa
Turki di dalam kota ini daripada melihat topi orang Rom!".

Setelah 9 bulan kota yang megah itu dikepung, akhirnya datanglah masa yang dinanti-
nantikan oleh tentera Islam dengan hampir hilang kesabaran itu dan dinanti pula oleh
penduduk kota dengan dada yang berdebar. Dimulai penyerangan sesudah pengepungan
yang berjalan lama. Selat Bosporus yang sempit itu dipagari dengan rantai-rantai besar
sehingga sukar bagi kapal-kapal perang Turki memasukinya. Tetapi Sultan mendapat
akal yang luar biasa.

Selama satu bulan penyerangan belum ada hasil yang dicapai. Namun menjelang
berakhirnya Bulan Purnama, Sultan mendapat idea untuk menarik kapal-kapal perangnya
ke daratan.

Diperintahkannya sewaktu malam buta memindahkan 70 buah kapal dengan melalui


daratan yang tiga batu panjangnya, dilakukan di atas upang-upang kayu yang dilicinkan
dengan minyak hingga mudah ditolak bersama-sama supaya terlepas dari tempat yang
berpagar rantai yang besar-besar itu. Setelah itu dimulainyalah penyerangan besar-
besaran.Penyerangan lebih dipermudahkan lagi kerana datang seorang bangsa Yunani
ahli pembuat meriam, Urban namanya. Orang itu menunjukkan dan memimpin membuat
meriam-meriam sebagai alat penyerangan yang dahsyat yang memuntahkan peluru-
pelurunya ke kota pertahanan itu. Ketika telah terjadi pertempuran yang dahsyat itu
diakuilah bahawa penduduk Konstantinopel telah bertahan dengan gigih dan gagah berani
pula. Terutama Justinianus pahlawan bangsa Genoa yang telah turut bersama berjuang
itu.

 Rakyat Byzantium yang menyaksikan kapal-kapal yang berayar di daratan itu begitu
terkejut, mereka mengira itu karena bantuan jin atau setan, sebagian dari mereka
menggosok-gosok mata, mencubit pipi, untuk memastikan bahwa ini bukan mimpi.

Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu kaedah luar biasa untuk membawa
kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas. Kaedah yang tidak pernah terfikir oleh mana-
mana tentera sebelumnya untuk melakukannya. Beliau telah memanggil tenteranya dan
menyarankan kepada mereka supaya membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan
Tanjung Emas melalui jalan darat! Malam itu juga, tentera Osmaniyyah dengan semangat
dan kekuatan luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata
melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu! Sesungguhnya kejadian
ini sangat luar biasa dan di luar bayangan manusia hingga ke hari ini.
Pagi 22 April itu, penduduk Konstantinopel dikejutkan dengan laungan takbir dan nasyid
para mujahidin di Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana
semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Bahkan ada yang menyangka bahawa
tentera Al-Fatih mendapat bantuan jin dan syaitan! Yilmaz Oztuna di dalam bukunya
Osmanli Tarihi menceritakan bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata,
"Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih
telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan
bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini
telah mengatasi Alexander The Great!"

Tetapi seketika dia dengan gagah perkasa bertahan di satu pihak, tentera Turki akhirnya
dapat juga masuk di pihak yang lain kerana pengepungan sangat teratur. Justinianus
sendiri di dalam keadaan luka parah mengundurkan diri ke dalam kapalnya dan lari. Oleh
sebab itu maka harapan penduduk Konstantinopel bahawa malaikat akan turun dari langit
membebaskan negeri mereka daripada bahaya orang Islam itu rupanya tidaklah berhasil.
Adapun Kaisar sendiri setelah melihat bahawa segala pertahanan telah roboh dan tentera
Turki telah masuk ke dalam kota bagaikan anai-anai, dilemparkannyalah segala pakaian
kebesarannya dan dengan sebilah pedang dia menyerbu ke tengah-tengah musuh yang
masuk ke dalam kota kebesarannya turun-temurun itu. Maka tewaslah beliau dalam
gelombang orang yang banyak itu. Setelah seluruh kota diduduki dan perlawanan tidak
ada lagi barulah orang dapat melihat bahawa di antara bangkai-bangkai yang
bergelimpangan itu terdapatlah mayat Kaisar Byzantium yang paling akhir. (29 Mei
1453M) Waktu subuh.
Dan setelah datang waktu zohor, Sultan pun masuklah ke dalam kota itu dengan serba
kebesaran diiringkan oleh orang besar dan ulama. Laungan "Allahu Akhbar" terdengar di
kiri dan kanan jalan itu di mana tempat balatenteranya yang gagah perkasa itu berdiri
menyambut kedatangan pahlawannya dan baginda sendiri mengenderai kudanya yang
bernama "Jambulat", memasuki kota dengan langkah yang tenang tenteram dan penuh
rasa kebahagiaan. Tidak kelihatan kesombongan pada airmuka baginda. Bahkan sesampai
di hadapan gereja besar 'Aya-Sophia', baginda turun dari kudanya dan sujud ke bumi
mengucapkan syukur kepada Tuhan dan diambilnya segenggam tanah lalu disiramkan ke
kepalanya sendiri sebagai alamat merendahkan diri kepada Ilahi.

Seketika baginda masuk ke dalam gereja yang bersejarah itu didapatinya beberapa orang
yang taat berugama sedang menegadah ke langit di bawah pimpinan penditanya,
bersembahyang  dengan sangat khusyuk memohonkan perlindungan dan biarlah mati
dalam sembahyang. Kebetulan hari itu adalah hari sembahyang memperingati Orang Suci
mereka iaitu St Theodosie. Baginda tertegun melihat orang yang sembahyang dengan
khusyuk dan penuh ketakutan itu apatah lagi mereka melihat orang yang sangat
ditakutiitu telah berdiri di hadapan mereka dalam gereja tempat mereka bersembunyi.
Sedang baginda tertegun sebentar itu kedengaranlah oleh baginda suara orang menokok-
nokok dan disuruhnya memeriksa kerana perbuatan itu menganggu orang yang
bersembahyang itu. Rupanya tentera Turki yang datang dari Anatoli sedang memukul
sebuah tonggak marmar gereja.

Lalu baginda pun bertanya, "Apakah maksudmu berbuat begitu?" Maka seldadu itu pun
menjawab: "Bukankah saya ini seorang Muslim? Bukankah semuanya ini berhala tempat
kafir menyembah selain Allah?"

Masa itulah kelihatan wajah Sultan begitu murka sekali. Diambilnya penggada itu dari
tangan seldadu yang bodoh itu dan dihayunkannya ke kepalanya sambil berkata dengan
marah: "Tidak boleh merosakkan tempat ibadat".

Kalau sekiranya tepatlah palu itu mengenai kepalanya nescaya matilah seldadu itu. Sikap
Sultan yang demikian itu menghairankan bagi orang-orang Kristian yang sedang
sembahyang itu. Kian lama mereka dengan tidak ragu-ragu mendekati Sultan dan yang
bersembunyi pula kelurlah dari tempat persembunyiannya. Demikian terharunya kerana
amat berbeza dengan yang mereka sangkakan, maka adalah di antara mereka yang terus
memasuki Islam pula. Di antaranya seorang pendita yang kemudian lebih terkenal dengan
nama Baba Muhammad.

Pada waktu itu dinyatalah dengan terus -terang bahawasanya gereja-gereja yang ada di
Konstantinopel tetaplah menjadi gereja kecuali beberapa buah yang akan dijadikan
masjid. Yang terutama adalah 'Aya Sophia' sendiri. Pada waktu asar di hari itu juga
disembahyangilah gereja itu secara Islam dan ditukar namanya menjadi Masjid "Aya
Sophia", sesudah dihindarkan segala tanda-tanda yang ada di dalamnya.

Aya Sophia atau Masjid Biru


Dari sana Sultan meneruskan perjalanannya ke dalam istana Kaisar. Sampai di dalam
terharulah Sultan melihat istana yang dahulunya penuh kebesaran itu tetapi ketika itu
amat muram kerana kepungan 9 bulan dan lama sebelum itu Konstantinopel telah miskin
sehinggakan banyak alat istana yang terjual.

Maka terloncatlah dari mulut baginda seketika melihat istana itu, serangkum syair bahasa
Parsi : "Lawa-lawa telah menjalin sarangnya dalam istana Maharaja dan burung hantu
telah bernyanyi lagu dukacita".

Lalu baginda tanyakan di mana Kaisar, bagaimana nasibnya dan di mana pahlawan
Justinianus yang gagah perkasa, di mana Naib Kaisar Notaras. Hanya Notaras yang dapat
datang. Dialah yang menjadi Wali-Kota Konstantinopel ketika kota itu dikepung.

Seketika didengarnya berita bahawa Justinianus lantaran luka pergi bersembunyi di


dalam kapal, diutusnya utusan bersama tabibnya sendiri mencari pahlawan itu
danmembawa ubat serta diperintahkan memeliharanya sampai sembuh. Sebab Sultan
sangat kagum melihat keberaniannya.

Kemudian datanglah seorang seldadu Sultan bangsa Serbia. datang tergesa-gesa dengan
wajah yang sangat gembira membawa bersama kepala orang. Terus disembahkannya ke
hadapan Sultan, sangat terkejut Sultan melihat kepala yang tercerai dri badn itu, sebab
Sultan kenal, itulah Kaisar! Dan dengan terpekik Notaras melihat kepala Kaisrnya!
Seldadu itu menyangka bahawa kan mendapat pujianlah dari Sultan lantaran
perbuatannya itu. Dengan muka yang penuh azam Sultan bertanya: "Bertempurkah
engkau dengan Kaisar?" Maka dijawabnya: "Tidak, Tuanku! Ketika hamba berkeliling
melihat-lihat bangkai bergelimpangan, terlihat aku bangkai orang ini. Di kelilingnya ada
beberapa orang meratap, menyebut 'Kaisar! Kaisar! Melihat keadaan itu yakinlah hamba,
bahawa inilah bangkai musuh kita. Lalu hamba potong kepalanya dan hamba bawa
kemari."

"Pengecut!" Kata Sultan dalam keadaan yang sangat murka, lalu disuruhnya tangkap
seldadu itu dan hukum mati waktu itu juga dan dipotong kepalanya.

Maka baginda jatuhkanlah perintah kepada orang-orang besar Byzantium dalam majlis
itu agar Kaisar dikebumikan dengan upacara yang layak yang diadatkan terhadap Kaisar-
kaisar turun-temurun. Kemudian baginda keluarkanlah perintah bahawasanya tentera
Islam sekali-kali tidak boleh menggangu orang Kristian. Beberapa orang tawanan yang
terdiri dari orang besar-besar Kerajaan lama, baginda tebus sendiri dengan hartanya yang
khusus dan baginda merdekakan. Kedai-kedai disuruh buka kembali dan syiar agama
Kristian boleh dijalankan sebagaimana biasa.

Beberapa hari kemudian diundangnyalah beberapa orang Uskup dalam kerajaan Rom itu.
Lalu baginda sampaikanlah kehendak baginda, bahawa baginda ingin sekali orang
Nasrani mengerjakan agamanya dengan sungguh-sungguh dan menghilangkan
perselisihan sesama mereka. Maka supaya masyarakat Kristian berjalan dengan baik dan
tidak terhalang baginda anjurkan supaya Uskup-uskup itu memilih sendiri dari kalangan
mereka siapa yang layak menjadi Petrick. Sultan menyatakan bahawa baginda tidaklah
mempunyai anjuran apa-apa atau memaksakan dengan halus siapa yang akan dipilih.
Siapa yang patut terserahlah kepada mereka. Tetapi hendaklah dengan segera supaya
segala perbelanjaan perlantikan Petrick dapat ditanggung oleh Sultan.

Mulanya tercengganglah mereka menerima titah itu, seakan-akan tidak percaya. Sebab
pernahlah negeri mereka itu diserang dan diduduki pula oelh kawan seagamanya sendiri
seketika terjadi Perang Salib, dalam perjalanan tentera Salib itu menuju Palestin. Turun-
temurun manjadi buah mulut bagaimana kejam sikap tentera pendudukan orang Katholik
itu di tanahair mereka. Itu pun slah satu sebab mereka tidak mahu bersatu di bawah
pimpinan Paus. Mereka sangka akan begitu jugalah nasib mereka dan sudah lamalah
negeri mereka tidak mempunyai Petrick. Maka setelah nyata titah itu, mereka pun
memilih Agnadius menjadi Petrick,  pendita yang terkenal menentang keras persatuan
dengan Rom dahulu. Selesai perlantikannya itu, maka bersama-sama dengan Uskup yang
lain-lain pergilah dia menghadap Sultan ke istana. Dan disambut dengan serba
kehormatan dan makanlah dia bersama-sama Sultan dalam satu hidangan. Setelah selesai
makan dan minum sambil berckap-cakap, Sultan memberikan isyarat. Maka keluarlah
dari dalam seorang pengawal membawa tongkat kebesaran Petrick yang termasuk
menjadi slah satu barang rampasan upacara dan khidmat serta Sultan bertitah: "Tuan
adalahg Petrick kaum Nasrani dalam negeri ini! Semoga Tuhan Allah memberikan
perlindungannya bagi tuan, Pandanglah selalu bahawa saya adalah sahabat tuan dan
sahabat jemaah tuan. Segala hak-hak tuan yang dipusakai sejak dari nenek-moyang tuan
pakailah kembali".

Setelah selesai upacara, Petrick memohon diri hendak pulang. Sultan pun berdiri dari
duduknya dan bersama orang besar-besar mengiringkan Petrick sampai ke pintu. Di
halaman istana telah menunggu kuda kenderaan beliau yang telah disediakan. Sampai
terloncat dari mulutnya perkataan yang sebenarnya mesti dirahsiakannya, kerana sangat
terharunya: "Kaisr-kaisar kami sendiri tidaklah pernah melakukan begini kepada kami!".

Kemudian itu keluarlah titah yang rasmi dari baginda bahawasanya Petrick aman dalam
perlindungan Sultan dankedudukan beliau disamakan dengan wazir-wazir (menteri) yang
lain dalam Kerajaan Osmani yang bertugas mengurus rakyat Sultan yang beragama
Nasrani, baik dalam urusan sivil mahupun urusan agamanya.

Dari sebab itu maka Petrick Konstantinopel mempunyai dua tugas, iaitu memimpin
golongannya sendiri dan menjadi satu di antara Menteri-menteri Kerajaan Osmani yang
sama haknya dengan menteri-menteri yang lainnya.

Konstantinopel menjadi ibukota

Sejak waktu itu dirasmikanlah bahawa kota Konstantinopel menjadi Ibu Kota Kerajaan
Osmani dan dipiindahkanlah kerusi kerajaan dan alat-alatnya dari Adrianopel ke sana.
Dan sejak pemindahan ibu kota itu Sultan pun lebih lancarlah menjalankan maksudnya
memperluaskan kekuasaan dan kerajaannya. Sejak tahun 1458 sampai tahun 1460
baginda berjuang menundukkan negeri Serbia sampai akhrnya negeri itu ditaklukan terus
sebagai suatu daerah yang selama ini senantiasa menyusahkan Kedudukan Kerajaan
Osmani. Dan pada tahun 1456 baginda taklukkan pula wilayah Athen sehabis
pertempuran yang dahsyat. Di tahun 1460 ditaklukkan pula Mora, sehabis itu
dipalingkanyalah mukanya kembali ke Asia Kecil bagi menundukkan sisa-sisa kerajaan
yang masih belum tunduk dan di antaranya Trabzun. Di tahun 1464, Bosnia baginda
tundukkan pula lalu dijadikan satu wilayah di antara wilayah-wilayah Kerajaan Osmani.
Maka seluruh pantai Krimia pun jatuhlah ke bawah kuasa baginda. Setelah itu
ditundukkan pula Aga Karman dan dalam tahun 1477 baginda serang pulau-pulau
Venesia dan ditaklukkannyapula Kroatia dan Sekudra.

Di tahun 1480 pulau-pulau di hadapan pantai Yunani dan Italia, kemaslah ke dalam kuasa
baginda dan akhir pertempuran ialah menaklukkan Toronto di negeri Italia.

Semua peperangan itu menjadi lancar perjalanannya sebab kunci hubungan Asia dengan
Eropah telah menjadi pust kekuasaannya; Konstantinopel.

sumber : Sejarah Umat Islam - hamka

Empayar Turki Osmaniyyah

    * 1243M- Bangsa Turki yang hidup secara nomad menetap secara tetap di Asia Kecil.
    * 1299M- Sebuah wilayah pemerintahan kecil Turki di bawah Turki Seljuk ditubuhkan
di barat Anatolia.
    * 1301M- Osman I mengisytiharkan dirinya sebagai sultan. Tertubuhnya Empayar
Turki Osmaniyyah.
    * 1345M- Turki Seljuk menyeberangi Selat Bosporus.
    * 1389M- Tentera Osmaniyyah menewaskan tentera Serb di Kosovo.
    * 1402M- Timurlane, Raja Tartar (Mongol) menumpaskan tentera Uthmaniyyah di
Ankara.
    * 1451M- Sultan Muhammad al-Fatih menjadi pemerintah.
    * 1453M- Konstantinopel ditawan oleh tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad al-
Fatih. Berakhirnya Empayar Byzantine.
    * 1520M- Sultan Sulaiman al-Qanuni dilantik menjadi sultan.
    * 1526M- Perang Mohacs
    * 1529M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna.
    * 1571M- Perang Lepanto berlaku.
    * 1641M- Pemerintahan Sultan Muhammad IV
    * 1683M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna buat kali kedua.
    * 1687M- Sultan Muhammad IV meninggal dunia.
    * 1703M- Pembaharuan kebudayaan di bawah Sultan Ahmed III.
    * 1774M- Perjanjian Kucuk Kaynarca.
    * 1792M- Perjanjian Jassy.
    * 1793M- Sultan Selim III mengumumkan "Pentadbiran Baru".
    * 1798M- Napoleon cuba untuk menawan Mesir.
    * 1804M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia pertama.
    * 1815M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia kedua.
    * 1822M- Bermulanya perang kemerdekaan Greece.
    * 1826M- Pembunuhan beramai-ramai tentera elit Janissari. Kekalahan tentera laut
Uthmaniyyah di Navarino.
    * 1829M- Perjanjian Adrianople.
    * 1830M- Berakhirnya perang kemerdekaan Greece.
    * 1841M- Konvensyen Selat.
    * 1853M- Bermulanya Perang Crimea.
    * 1856M- Berakhirnya Perang Crimea.
    * 1876M- Perlembagaan Uthmaniyyah diluluskan.
    * 1878M- Kongres Berlin. Serbia dan Montenegro diberi kemerdekaan. Bulgaria diberi
kuasa autonomi.
    * 1908M- Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan atau lebih dikenali sebagai Turki
Muda ditubuhkan. Perlembagaan Osmaniyyah dikembalikan. Austria menyerang Bosnia
dan Herzegovina.
    * 1912M- Perang Balkan pertama.
    * 1913M- Perang Balkan kedua.
    * 1914M- Empayar Uthmaniyyah memasuki Perang Dunia I sebagai sekutu kuasa
tengah.
    * 1919M- Mustafa Kemal Atatürk mendarat di Samsun.
    * 1923M- Sistem kesultanan dihapuskan. Turki diisytiharkan sebagai sebuah Republik.
    * 1924M- Pejabat khalifah dihapuskan. Tamatnya pemerintahan Empayar Turki
Uthmaniyyah.

You might also like