You are on page 1of 14

NAMA SEKOLAH :

SMK SULTAN ABDUL JALIL SHAH,


SEBERANG PERAK, 36000 TELUK INTAN,
PERAK.

TAJUK KERJA KURSUS GEOGRAFI 2 :


KESAN KEGIATAN MANUSIA TERHADAP PERSEKITARAN PANTAI

NAMA PELAJAR :
SITI NABILA AISHAH BINTI IBRAHIM
(911031-08-6634)

NAMA GURU :
EN. MOHD KHAIRI BIN MD. AKHIR

TARIKH HANTAR :
16 FEBRUARI 2010
KESAN KEGIATAN MANUSIA TERHADAP PERSEKITARAN PANTAI
 
Pengenalan
Sejak dahulu lagi, kawasan pantai telah dimanfaatkan oleh manusia untuk pelbagai kegunaan.
Manusia memperoleh pelbagai jenis hidupan laut sebagai makanan. Laut yang terbentang luas
yang bersambung secara langsung dengan sungai pula mempermudahkan manusia untuk
bergerak dari satu tempat dengan tempat lain. Disamping itu, pantai juga menyediakan tempat
yang sesuai untuk dijadikan kawasan penempatan manusia.
 
Pada masa ini, kebergantungan manusia terhadap kawasan pantai semakin meningkat.
Disebabkan kedudukannya yang strategik, kawasan pantai telah digunakan untuk mendirikan
pelabuhan, limbungan, pangkalan tentera laut, pusat pelancongan dan kawasan-kawasan
rekreasi. Corak penggunaan yang semakin meningkat ini boleh dilihat di banyak kawasan
pantai di seluruh dunia. Penggunaan kawasan pantai secara berterusan akan memberi kesan
besar terhadap ekosistem ini. Sesetengah kesan ini boleh dielakkan atau dikurangkan melalui
pendidikan manakala yang lain memerlukan pelaksanaan undang-undang. Dalam bab ini,
beberapa kesan akibat daripada kegiatan manusia akan dibincangkan.
 
Pencemaran
Kawasan laut selalu dianggap sebagai satu kawasan pembuangan yang paling sesuai untuk
bahan-bahan buangan manusia. Untuk sekian lama, manusia beranggapan bahawa lautan yang
luas mampu untuk menyerap segala bahan-bahan yang dilambakkan ini. Sekarang manusia mula
menyedari bahawa biarpun seluas mana laut, laut tidak akan mampu untuk menyerap kesemua
buangan. Ada sesetengah bahan biarpun wujud dalam jumlah yang sedikit mampu memberi
kesan yang besar terhadap komuniti lain.
 
Pencemaran Logam Berat
Logam berat seperti raksa, kadmium dan plumbum merupakan komponen semulajadi
persekitaran. Namun, apabila kepekatan logam-logam ini tinggi daripada biasa, logam-logam ini
akan menjadi satu ancaman kesihatan kepada manusia. Kawasan pantai kerap dicemari oleh
logam-logam berat yang terdapat dalam air buangan dari kawasan industri dan kegiatan
perlombongan. Air buangan ini selalunya tidak dirawat terlebih dahulu tetapi disalurkan terus ke
longkang-longkang yang kemudiannya akan memasuki kawasan pantai melalui sistem sungai.
 
Biarpun kandungannya mungkin rendah di air, namun disebabkan logam berat ini boleh
memasuki rantai makanan, kesannya boleh dilihat pada hidupan lain yang hidup jauh dari
sumber pencemaran. Kesannya mungkin tidak dirasai serta-merta tetapi mungkin akan disedari
selepas beberapa tahun.
 
Sesetengah organisma marin berkemampuan mempertingkatkan kesan bahan toksik dengan
mengumpul logam berat di dalam jasad pada kepekatan yang jauh lebih tinggi daripada
kepekatan di air. Kepekatan bahan kimia ini dipertingkatkan oleh hidupan air melalui proses
yang dikenali sebagai magnifikasi biologi atau biotumpukan. Melalui proses ini, kandungan
logam berat dalam jasad organisma di aras trofik yang lebih tinggi adalah lebih pekat daripada
yang ditemui dalam jasad haiwan aras trofik sebelumnya. Peningkatan kepekatan ini berlaku
kerana logam berat tidak digunakan oleh organisma sebaliknya terkumpul dalam tisu. Apabila
beberapa individu dimakan oleh haiwan karnivor aras trofik yang lebih tinggi, karnivor ini
menerima kesemua logam daripada setiap individu yang dimakan. Maka kepekatan logam berat
di dalam karnivor dipertingkatkan. Sekiranya rantai makanan panjang, maka kepekatan logam
berat yang cukup tinggi boleh dikesan di dalam jasad karnivor yang teratas di rantai makanan
tersebut. Memandangkan manusia pada kebiasaannya memakan organisma yang menduduki
aras trofik yang tinggi (seperti ikan tuna), maka manusia terdedah kepada bahaya keracunan
logam berat. Satu kes klasik tentang keracunan logam berat adalah kes keracunan di Teluk
Minimata.
 
Pada tahun 1930, sebuah kilang kimia telah dibina di Teluk Minimata, Jepun. Hasil sampingan
daripada kilang ini mengandungi bahan raksa yang disalurkan terus ke teluk. Melalui proses
magnifikasi biologi, kepekatan raksa yang tinggi telah terkumpul dalam ikan marin dan kerang-
kerangan. Ikan dan kerang-kerangan ini seterusnya telah dimakan oleh penduduk tempatan.
Selepas 15 tahun, satu penyakit neurologi mula dikesan di kalangan penduduk terutama kanak-
kanak. Penyakit aneh ini dikenali sebagai penyakit Minimata. Pada tahun 1959, keracunan
raksa telah dicamkan sebagai punca penyakit. Hanya pada tahun 1960 keracunan raksa ini dapat
dibuktikan berpunca daripada air buangan daripada kilang kimia yang telah beroperasi semenjak
tahun 1930 itu.
 
Selain mempunyai kesan buruk terhadap manusia, keracunan logam berat boleh juga membunuh
hidupan liar. Pada tahun 1979, lebih kurang 2000 ekor burung kebanyakannya Calidris alpina
telah mati di kawasan muara Mersey, di United Kingdom. Kandungan plumbum dalam hati
burung-burung yang mati ini adalah sekitar 10 ppm berat kering. Punca plumbum ini ialah
daripada efluen kilang yang sampai pada burung ini melalui makanannya iaitu Macoma balthica
(1 ppm) dan Nereis diversicolor (0.2 ppm).
 
Pencemaran Pestisid
Pestisid adalah bahan kimia organik dan bukan organik yang diwujudkan oleh manusia untuk
mengawal bakteria, haiwan dan serangga perosak. Namun begitu, penggunaannya secara
berterusan dan tanpa kawalan boleh memberi kesan buruk kepada persekitaran terutama sekali
sekiranya pestisid ini bersifat kekal. Pestisid kekal yang lengai ini, tidak boleh diurai melalui
proses kimia mahupun melalui kegiatan biologi. Lagi pun, pestisid jenis ini juga
memperlihatkan sifat biotumpukan. Diklorodifeniltrikloroetana atau singkatannya DDT
adalah satu contoh baik untuk melihat kesan biotumpukan pestisid.
 
DDT adalah pestisid sintetik dalam kumpulan hidrokarbon berklorin yang pertama
diwujudkan. Pestisid ini telah digunakan pada tahun 1945 dan telah dianggap sebagai rahmat
kerana telah berjaya memusnahkan pelbagai jenis serangga perosak. Pada masa yang sama,
pestisid ini tidak berbahaya pada manusia. Namun, pestisid ini mempunyai beberapa sifat yang
boleh memberi kesan buruk kepada persekitaran.
 
DDT adalah sebatian yang sangat stabil dan boleh kekal di persekitaran untuk jangka waktu yang
sangat lama. Pestisid ini juga tidak larut dalam air tetapi larut dalam lemak atau lipid.
 
Walaupun DDT tidak digunakan di persekitaran marin secara langsung, namun bahan kimia ini
telah memasuki jaringan makanan marin melalui air larian dari daratan, hujan dan kegiatan
membuang sisa-sisa ke sistem air. Akibatnya, DDT telah dikesan dalam organisma marin
termasuklah dalam haiwan yang tinggal jauh di Antartika. Karnivor yang menduduki aras tinggi
dalam rantai makanan memperlihatkan aras DDT yang tinggi. DDT memasuki rantai makanan
di persekitaran marin melalui plankton. DDT diserap oleh permukaan plankton atau pun
dilarutkan oleh lipid. Disebabkan bahan kimia ini tidak digunakan dalam metabolisme, proses
biomagnifikasi berupaya memekatnya pada setiap aras trofik yang dilalui sehinggalah ke
karnivor teratas.
 
DDT mempunyai kesan yang buruk terhadap burung-burung marin. Paras DDT yang tinggi
dalam jasad burung akan mengganggu pembentukan kulit telur. Ini menyebabkan telur yang
dihasilkan mempunyai kulit yang nipis dan mudah pecah.
 
Pencemaran Haba
Disebabkan kedudukannya yang strategik, kawasan pantai telah digunakan untuk menempatkan
stesen penjana kuasa. Untuk tujuan penyejukan, air laut digunakan dan air yang telah
dipanaskan ini dikembalikan semula ke laut. Keadaan ini menimbulkan apa yang dikenali
sebagai pencemaran haba. Suhu air buangan stesen penjana kuasa ini selalunya beberapa
darjah lebih panas daripada suhu air sekeliling.
 
Di kawasan temperat, kesan pada biasanya terbatas di kawasan sekitar saluran keluar
pencemaran itu. Misalnya di Maine, United Kingdom, kajian mendapati bahawa alga perang
seperti Ascophyllum dan Fucus tidak hidup di air yang dipanaskan ke 27 0C - 30 0C akibat
pencemaran haba dari stesen penjana kuasa. Namun begitu, kajian yang sama mendapati alga
hijau Enteromorpha intestinalis meningkat dengan banyaknya di kawasan saluran keluar
pencemaran.
 
Di kawasan tropika, kesan pencemaran haba adalah lebih teruk daripada apa yang dilihat di
kawasan temperat. Ini disebabkan hidupan marin di kawasan tropika hidup di suhu air yang
sudah hampir kepada suhu maksimum. Sebarang peningkatan suhu akan mendedahkan
organisma ini kepada bahaya kematian. Di Florida misalnya, kawasan rumput laut dan batu
karang telah musnah oleh discaj stesen penjana nuklear. Pencemaran haba ini turut menjejaskan
kawasan hutan bakau. Suhu air yang tinggi mengganggu proses pembiakan pokok bakau
sehinggakan anak benih bakau tidak dapat dihasilkan.
 
Kumbahan Dan Eutrofikasi
Kegiatan perbandaran yang pantas dan penambahan bilangan penduduk yang cepat telah
memburukkan lagi masalah pembetungan disebabkan kemudahan rawatan kumbahan tidak
dapat memenuhi segala permintaan. Di banyak negara, kumbahan mentah dilepaskan terus ke
perairan pantai. Air kumbahan ini menyumbangkan nutrien, bahan pepejal terampai, bahan
terlarut, minyak, logam seperti arsenik, raksa, kromium, plumbum dan mangan dalam kuantiti
yang tinggi ke sistem pantai. Bahan-bahan cemar ini akan menimbulkan banyak masalah
pencemaran.
 
Kewujudan pepejal terampai dalam jumlah yang banyak akan mempertingkatkan pemendakan
dan kekeruhan air. Kekeruhan yang tinggi akan mengganggu proses penukaran karbon dioksida
ke oksigen melalui proses fotosintesis. Permintaan oksigen biologi juga turut bertambah
disebabkan oleh kehadiran pepejal terampai ini. Pada kes-kes yang ekstrem, kehadiran bahan
organik yang tinggi menyebabkan kandungan oksigen menjadi begitu rendah sehingga boleh
membunuh ikan-ikan.
 
Walaupun nutrien sangat perlu untuk habitat akuatik, namun kehadiran nutrien yang terlalu
banyak akan mewujudkan suatu keadaan yang dikenali sebagai proses eutrofikasi. Proses
pengayaan ini akan merangsang pertumbuhan alga bentik terutama alga hijau seperti
Enteromorpha, Cladophora dan Ulva. Sekiranya pertumbuhan sederhana, alga-alga ini boleh
menstabilkan sedimen dan menjadi sumber makanan kepada hidupan lain. Namun begitu,
sekiranya pertumbuhan terlalu pesat, kehadiran alga tebal yang berserabut memberi kesan
buruk kepada hidupan invertebrat yang bersembunyi di sedimen memandangkan bekalan oksigen
di sedimen menurun. Kehadiran alga bentik secara keterlaluan juga akan menyebabkan
pengurangan bilangan burung dan ikan disebabkan haiwan-haiwan ini tidak dapat menggunakan
dataran selut dan pasir.
 
Selain daripada merangsang pertumbuhan alga bentik, proses eutrofikasi juga boleh merangsang
blum alga dan merubah komuniti hidupan iaitu daripada komuniti yang berpenghasilan rendah
tapi memperlihatkan kepelbagaian yang tinggi ke komuniti berpenghasilan tinggi tetapi
memperlihatkan kepelbagaian hidupan yang rendah.
 
Untuk pantai berbatu yang mempunyai pergerakan air yang mencukupi, kesan pencemaran
terbatas di sekitar kawasan aliran keluar kumbahan. Kesan pencemaran yang lebih ketara boleh
dilihat di kawasan teluk yang tertutup, pelabuhan atau muara. Di sini, masa penukaran air adalah
panjang. Penyelerakan bahan cemar bergantung terutamanya pada kitar pasang-surut yang akan
membantu membawa efluen ke tengah laut.
 
Walaupun kesan ekologi air kumbahan kemungkinan besar terbatas untuk kebanyakan pantai,
namun wujud beberapa masalah kesihatan umum. Haiwan pemakan turas seperti kupang dan
kima mampu mengumpul dan memekatkan patogen kumbahan. Ini menjadikan kerangan-
kerangan ini tidak boleh dimakan oleh manusia.
 
Selama ini, mandi-manda di air yang dicemari dengan kumbahan dianggap tidak meninggalkan
kesan besar kecualilah kalau pencemaran itu sungguh ketara. Kemasinan air laut dan sinaran
ultralembayung yang tinggi dianggap boleh membunuh serta-merta organisma pembawa
penyakit. Tetapi, di banyak kawasan pantai, airnya begitu keruh sekali. Kekeruhan yang
tinggi akan menghalang kemasukan sinaran ultralembayung ke dalam air. Kajian-kajian
epidemiologi yang terbaru memperlihatkan bahawa insiden jangkitan penyakit yang
merengsakan seperti jangkitan telinga, kerongkong dan perut semakin meningkat di kalangan
orang ramai yang mandi-manda di kawasan yang dicemari oleh kumbahan. Persoalan sama ada
penyakit berbahaya boleh dijangkiti melalui air laut yang tercemar dengan bahan kumbahan
masih hangat diperbincangkan. Kesan kehadiran patogen virus di persekitaran masih belum
diketahui dan ini menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat.
 
Satu strategi untuk membersihkan kawasan pantai adalah dengan memanjangkan paip-paip yang
menyalurkan air kumbahan jauh ke tengah laut. Melalui rawatan primer, pepejal kasar
biasanya disaring terlebih dahulu sebelum dibebaskan ke persekitaran. Sekiranya penyerakan
baik dan sekiranya bahan-bahan ini tidak dibawa balik ke kawasan pantai oleh angin dan arus,
maka ini adalah pilihan yang baik. Masalah akan timbul apabila paip-paip ini tidak cukup
panjang ataupun diletakkan di tempat yang tidak sesuai yang menyebabkan bahan kumbahan ini
dibawa balik ke pantai oleh arus. Satu lagi pilihan ialah dengan melakukan rawatan sekunder.
Melalui rawatan ini, pepejal terampai dan BOD air kumbahan dapat dikurangkan. Rawatan
tertier pula akan mengurangkan lagi nutrient dan BOD. Namun begitu, kos rawatan tertier ini
adalah mahal.
 
Cat Anticemar
Sejak dahulu lagi ahli sains telah sedar bahawa bahan larut lesap seperti kuprum daripada cat
anticemar boleh menyebabkan pencemaran kawasan pelabuhan tetapi kerisauan masyarakat
umum semakin bertambah dengan adanya bukti baru tentang kesan buruk cat yang
mengandungi tributiltin (TBT) iaitu satu bahan organotin. TBT adalah toksik kepada banyak
hidupan laut dan bahan ini boleh membunuh hidupan marin biarpun pada kepekatan yang sangat
rendah, iaitu satu nanogram per liter. Malangnya, kepekatan bahan ini di perairan pantai
mungkin mencecah 40 ng per liter manakala di kawasan pelabuhan dan marina kepekatan
mungkin mencapai 900 ng per liter. Kebanyakan TBT di perairan pantai berasal daripada cat
yang digunakan untuk mengecat kapal layar dan kapal-kapal rekreasi. Cat ini melepaskan bahan
biosid ke air untuk membunuh organisma pencemar.
 
Biosid yang digunakan ini meninggalkan kesan ekologi. Sebelum ini, kesan racun ini terbatas di
kawasan muara dan pelabuhan yang berhampiran dengan kawasan industri. Dalam tahun-tahun
kebelakangan ini, disebabkan terdapat peningkatan bilangan marina dan kegiatan menggunakan
kapal untuk tujuan rekreasi, kesan ekologi telah diperluaskan dengan melibatkan kawasan muara
dan teluk yang bersih. Di sesetengah tempat yang mempunyai pantai yang lurus, kesannya boleh
dirasai di seluruh pantai. Untuk kawasan tertutup, kehadiran kapal yang banyak boleh
mengakibatkan aras TBT meningkat begitu tinggi sehingga boleh membunuh spesies hidupan
komersial dan bukan komersial ataupun mempengaruhi pertumbuhan dan pembiakan hidupan-
hidupan ini. Kehadiran TBT juga boleh memusnahkan industri akuakultur kerana bahan ini
boleh membunuh dan mencacatkan organisma yang diternak.
 
Blum Alga Toksik
Kejadian ombak merah yang terhasil akibat kehadiran dinoflagelat toksik dan alga-alga lain
adalah kejadian semula jadi. Kejadian ini boleh menyebabkan kematian banyak haiwan-haiwan
di pantai-pantai berdasaran lembut ataupun keras. Ombak merah ini mampu mengurangkan
bilangan haiwan peragut dan haiwan yang memerlukan ruang yang luas untuk hidup seperti
teritip dan kupang. Ruang-ruang yang kosong ini akan diambil alih oleh populasi alga.
Ada bukti-bukti yang menunjukkan bahawa eutrofikasi akibat kegiatan manusia
bertanggungjawab terhadap kejadian pasang merah. Blum yang teruk seperti yang disebabkan
oleh Gyrodinium aureolum, Ceratium spp. dan Chrysochromulina polylepis di Laut Utara telah
membunuh ikan dan invertebrat pantai. Kejadian ini juga telah membinasakan kegiatan
akuakultur di kawasan ini.
 
Tumpahan Minyak
Di laut, tumpahan minyak boleh berlaku disebabkan kemalangan yang melibatkan kapal
pembawa minyak atau kemalangan di pelantar minyak. Di daratan, tumpahan minyak juga boleh
berlaku akibat kemalangan yang melibatkan telaga minyak, stesen penapis minyak, saluran paip
yang membawa minyak atau pun lori pembawa minyak. Setiap tahun, begitu banyak sekali
tumpahan minyak telah dilaporkan. Kebanyakan tumpahan minyak ini melibatkan jumlah
minyak yang kecil. Namun begitu, malapetaka tumpahan minyak yang melibatkan beribu-ribu
liter minyak kerap berlaku (Jadual 11.1). Jumlah keseluruhan minyak yang tumpah tidaklah
dapat dipastikan tetapi dianggarkan bahawa setiap juta metrik tan minyak yang diangkut setiap
tahun, sekitar 1 metrik tan hilang disebabkan tumpahan. Kebanyakannya kehilangan minyak ini
disebabkan kemalangan kapal pembawa minyak.
 
Jumlah minyak yang tumpah tidaklah begitu penting dari segi kesannya terhadap persekitaran.
Tumpahan yang paling besar pernah dicatatkan adalah daripada telaga minyak Ixtoc 1 yang
meletup pada tahun 1979 di Teluk Mexico.
 
 
Jadual 11.1 Kejadian Tumpahan Minyak Yang Utama
Nama kapal atau Tahun Minyak yang tumpah (tan)
instalasi
Persian Gulf 1991 > 1 juta
Ixtoc 1 1979 500,000
Amoco Cadiz 1978 233,000
Torrey Canyon 1967 100,000
Khark 5 1989 70,000
Metula 1974 51,000
Exxon Valdez 1989 38,000
Urquiola 1976 30,000
Aragon 1989 25,000
 
Adalah dianggarkan sebanyak 500,000 tan minyak dibebaskan ke laut. Namun disebabkan
tindakan angin dan arus, minyak ini tidak sampai ke pantai. Minyak tersebut tersebar dan hancur
berkecai di laut lepas. Sebaliknya, tumpahan yang lebih kecil iaitu dari kapal Amoco Cadiz
yang tenggelam di Selat Inggeris pada tahun 1978, telah merosakkan beratus-ratus kilometer
pantai Brittany. Dalam malapetaka ini, sebanyak 233,000 tan minyak telah tumpah dan satu
pertiga daripadanya sampai ke pantai untuk mencemari 320 km pantai. Tumpahan ini telah
mencemari atau memusnahkan hidupan marin yang bernilai komersial seperti kupang, tiram dan
udang karang.
 
Tumpahan minyak boleh menimbulkan banyak masalah. Pantai-pantai yang cantik menjadi kotor
dan tidak boleh digunakan lagi sebagai tempat rekreasi. Malapetaka ini turut menjejaskan
ekonomi masyarakat tempatan kerana memusnahkan kegiatan menangkap ikan, pelancongan dan
kegiatan lain yang bergantung kepada persekitaran yang bersih. Moluska yang boleh dimakan
seperti kima, kerang dan tiram akan mempunyai rasa berminyak. Kawasan kerang-kerangan
terpaksa ditutup untuk jangka masa yang panjang kerana tumpahan minyak ini. Kawasan-
kawasan perikanan musnah apabila tumpahan minyak berlaku di kawasan ikan bertelur. Minyak
mentah yang tumpah di laut lepas boleh membunuh burung marin dan memerang. Lapisan
minyak di badan haiwan ini akan menjadikan badan haiwan menjadi telap air. Haiwan ini akan
mati sama ada disebabkan lemas, kepenatan atau kesejukan.
 
Selain daripada kesan jangka pendek, tumpahan minyak juga akan memberi kesan jangka
panjang. Minyak yang sampai ke pantai akan melitupi kawasan cetek subtidal dan intertidal.
Ketoksikan minyak ini kepada hidupan bergantung kepada jenis minyak dan tahap penguraian
yang berlaku di laut. Kerapkali, kegiatan memadam api dan kerja-kerja pembersihan
membunuh lebih banyak hidupan laut jika dibandingkan dengan kematian disebabkan oleh
minyak yang tumpah itu sendiri. Ini memandangkan pelbagai bahan kimia seperti detergen
digunakan untuk memecah atau menyelerakkan minyak. Detergen ini adalah toksik kepada
hidupan marin.
 
Kajian mendapati bahawa organisma batu karang terjejas teruk dan kawasan bakau bersama-
sama hidupannya musnah sama sekali akibat tumpahan minyak. Kajian ini juga mendapati
bahawa kadar kematian hidupan yang tinggal di dasaran adalah tinggi. Sesetengah spesies
hapus sama sekali dan bilangan haiwan secara keseluruhannya berkurangan. Sebagai contoh,
selepas tumpahan minyak dari Torrey Canyon dan Amoco Cadiz, haiwan dwiinjap terutamanya
siput razor (Solen, Ensis, Pharus), kerang (Cerastoderma edule) dan landak laut hati
(Echinocardium) terjejas teruk. Sebaliknya, dwiinjap seperti Telinna spp. dan Mya renia
terselamat. Lelompat pasir (Talitrus saltator) dan ampipod eulitoral (Ampelisca brevicornis)
mengalami kadar kematian yang sangat tinggi sementara ampipod dan isopod lain tidak terjejas.
Kajian ini juga mendapati sesetengah haiwan seperti poliket memperlihatkan daya mudah pulih
yang tinggi terhadap tumpahan minyak.
 
Pengumpulan Tumbuhan Dan Haiwan Marin
Kemungkinan besar, penggunaan awal laut oleh manusia adalah untuk mencari makanan.
Populasi manusia yang awal ini menangkap pelbagai jenis ikan yang hidup di muara dan lagun.
Pada masa itu, ikan ditangkap menggunakan perkakas menangkap ikan yang mudah seperti
tempuling, panah, pancing, perangkap dan jaring. Selain daripada itu, ada juga penduduk pantai
yang menangkap ikan menggunakan pelbagai ekstrak tumbuhan seperti tuba untuk melemahkan
atau membunuh ikan. Di Japan, burung dendang air telah digunakan semenjak turun temurun
untuk menangkap ikan di kawasan pantai. Leher burung ini diikat agar menghalang burung ini
memakan ikan yang ditangkap.
 
Di negara-negara miskin, desakan untuk sumber makan oleh masyarakat telah meningkatkan lagi
eksploitasi kawasan pantai. Untuk negara-negara ini, pengumpulan kerang-kerangan dan
hidupan laut yang lain merupakan unsur penting kegiatan manusia yang tinggal di pinggir pantai.
Hidupan laut seperti landak laut, teritip, pelbagai jenis siput dwicangkerang, teripang, sotong
kurita dan pelbagai jenis ketam dikumpul untuk makanan. Pada peringkat awal, pengumpulan
kerang-kerangan dan hidupan marin merupakan aktiviti sara hidup semata-mata. Lama
kelamaan, kegiatan ini bertukar wajah menjadi satu perniagaan yang menguntungkan. Sekadar
contoh, pada suatu masa dahulu, tiram merupakan makanan untuk orang miskin. Sekarang ini
tiram tidak dikutip untuk kegunaan sendiri semata-mata tetapi untuk dijual kepada pengusaha
restoran mewah untuk dinikmati oleh masyarakat yang berada.
 
Di banyak negara, rumpai laut turut dikumpulkan daripada perairan pantai untuk dijadikan
makanan. Di Eropah dan di beberapa negara di Timur Jauh, rumpai laut seperti Palmaria,
Chondrus dan Porphyra telah dikumpulkan dan digunakan sebagai makanan sejak turun
temurun. Selain dijadikan makanan, rumpai laut boleh digunakan untuk mendapatkan sumber
fikokoloid. Alga merah seperti Gelidium, Gracilaria dan Pterocladia telah digunakan untuk
mendapatkan agar manakala Chondrus dan Eucheuma digunakan untuk mendapatkan
karagenan. Alga perang pula dituai untuk mendapatkan asid alginat yang digunakan dalam
pelbagai jenis barangan seperti kosmetik, produk farmaseutikal, bir, aiskrim, krim muka dan
syampu. Memandangkan pentingnya rumpai laut kepada industri dan sebagai makanan, usaha
untuk menanam secara komersial telah dimulakan di negara-negara Timur Jauh terutama di
China, Jepun dan Korea.
Di kebanyakan negara, rumpai laut di kawasan semulajadi atau yang terapung dikutip dengan
menggunakan tangan. Namun begitu, ada juga negara yang telah beralih kepada kaedah
penuaian secara berjentera. Dengan kaedah ini, lebih banyak rumpai laut boleh dikumpulkan
untuk tujuan industri. Kaedah penuaian berjentera telah digunakan untuk menuai Laminaria dan
Ascophyllum di Norway, Ascophyllum di Maine dan Macrocystis di California.
 
Selain daripada pengumpulan untuk tujuan makanan, invertebrat marin juga dikumpulkan dalam
kuantiti yang banyak untuk digunakan sebagai umpan dalam kegiatan menangkap ikan secara
komersial mahupun untuk tujuan rekreasi. Kupang-kupang disingkirkan dari habitatnya untuk
mendapatkan cacing yang hidup di kawasan ini. Batu-batu tongkol di kawasan pantai
diterbalikkan dalam usaha untuk mendapatkan ketam lembut manakala kawasan berpasir dan
berselut digali untuk mendapatkan cacing.
 
Pengumpulan siput-siput hiasan dan haiwan pantai lain sebagai cenderamata telah menjadi
satu sumber pendapatan penting di banyak negara di dunia ini (Rajah 11.1). Selain daripada
menjualnya pada para pelancong, perniagaan yang pada mulanya dijalankan secara kecil-kecilan
ini telah berkembang menjadi kegiatan eksport yang penting untuk sesetengah negara seperti
Afrika, Filipina, Indonesia, Thailand dan India.
 
Pengumpulan tumbuhan dan haiwan
pantai sama ada untuk makanan,
umpan, cenderamata atau untuk
tujuan industri, bukan setakat
menjejaskan haiwan-haiwan yang
dikutip tetapi mempunyai kesan
kepada komuniti lain. Sekiranya
kadar eksploitasi sederhana, tanda-
tanda perikanan lampau
pertumbuhan (growth over fishing)
akan kelihatan. Haiwan-haiwan yang
dikumpulkan mempunyai saiz badan
yang kecil memandangkan haiwan-
haiwan ini diambil terlalu cepat
sehinggakan haiwan ini tidak sempat
untuk membesar. Sekiranya kadar
eksploitasi tinggi, populasi boleh
Rajah 11.1 Kerang-kerangan yang biasa dikutip untuk dikurangkan ke satu tahap yang tidak
dijadikan cenderamata. (a) Cassis cornuta ( b) membenarkan spesies ini membiak
Cypraea tigris (c) Strombus sinuatus (d) Cassis cepat untuk mengekalkan
tuberosa (e) Cypraea pantherina (f) Lambis scorpius populasinya. Keadaan ini dikenali
(g) Lambis digitata sebagai perikanan lampau
pengrekrutan (recruitment over
fishing). Pengutipan secara selektif turut menjejaskan imbangan jantina dalam sesuatu populasi
Untuk limpet, pengambilan haiwan betina semata-mata akan mengubah nisbah jantina dan
mengurangkan pengeluaran telur untuk populasi tersebut.
 
Manusia berkemampuan untuk mengeksploitasi secara berlebihan sehingga setengah-setengah
haiwan menjadi “pupus” dari kawasan tersebut. Sekadar contoh, landak laut Paracentrotus
lividus sebelum ini banyak ditemui di pantai Peranchis Utara, tetapi kajian yang dilakukan pada
tahun 1980-an mendapati haiwan ini semakin sukar ditemui. Selain daripada faktor cuaca,
dipercayai kesukaran menemui haiwan ini adalah disebabkan eksploitasi yang tinggi untuk
mendapatkan gonad. Gonad ini menjadi makanan istimewa di Peranchis. Di Afrika Timur,
kowari yang dikutip untuk hiasan sekarang ini sukar ditemui lagi di kawasan yang kadar
eksploitasi tinggi. Namun begitu, siput ini masih banyak di kawasan yang terpencil dan tidak
mempunyai ramai penduduk.
 
Pengutipan haiwan tertentu boleh memberi kesan pada keseluruhan komuniti di kawasan
tersebut. Pengutipan haiwan yang memerlukan ruang luas seperti teritip, kupang atau tunikat
bersaiz besar akan membuka ruang kosong dan memulakan satu proses sesaran. Sekiranya kadar
eksploitasi rendah, pengutipan peragut sedentari seperti limpet akan memulakan proses sesaran
secara kecil-kecilan. Tetapi sekiranya eksploitasi tinggi, kawasan itu akan dikuasai sepenuhnya
oleh populasi alga.
 
Pengutipan secara selektif turut mengganggu interaksi antara populasi. Pengutipan gastropod
pemangsa atau tapak sulaiman misalnya akan meningkatkan bilangan haiwan mangsa seperti
teritip atau kupang. Spesies yang tidak digemari oleh manusia seperti gastropod Siphonaria akan
berkembang baik disebabkan pengurangan pesaing seperti Fissularia yang merupakan makanan
manusia dan dikutip dengan banyak.
 
Pengutipan rumpai laut yang rimbun dari kawasan pantai akan memberi kesan kepada komuniti
lain. Kehilangan kanopi akan menyebabkan proses sesaran dimulakan dan diikuti pula oleh
proses pemulihan. Sekiranya tumbuhan dituai dan masih mempunyai keupayaan untuk
berkembang secara vegetatif, tumbuhan mungkin memerlukan satu atau dua tahun untuk
mencapai kepadatan populasi yang asal. Namun sekiranya bahagian basal terganggu, proses
pemulihan populasi akan mengambil masa. Macrocystis, kelpa gergasi yang dituai secara
berjentera di California mempunyai beberapa meristem di batangnya. Ini membenarkan kelpa
ini tumbuh semula selepas dituai. Dengan hilangnya kanopi akibat kegiatan menuai, tumbesaran
tumbuhan juvenil dapat berjalan dengan lebih cepat. Sebelum ini, tumbuh-tumbuhan ini
terbantut disebabkan kesan naungan oleh tumbuh-tumbuhan lain. Pada masa ini, penuaian
Macrocystis meninggalkan kesan ekologi yang minimum.
 
Pengutipan haiwan untuk umpan, sama ada dengan menggondolkan kawasan kerang-kerangan
seperti kupang di pantai berbatu atau dengan menggali lubang di kawasan pantai, akan
menyebabkan gangguan fizikal yang teruk. Di dataran berselut dan berpasir, kegiatan membuat
lubang oleh haiwan menyumbangkan oksigen kepada sedimen. Penggalian untuk mencari
umpan dan mengorek sedut akan memusnahkan lubang-lubang yang sedia ada. Tindakan ini
juga akan membunuh haiwan yang mengorek lubang di kawasan tersebut. Selain daripada itu,
kegiatan itu akan mengurangkan bilangan haiwan umpan itu sendiri. Disebabkan haiwan-haiwan
umpan ini bersaiz besar dan berhayat panjang, pertambahan bilangannya mungkin mengambil
masa.
 
Eksploitasi predator peringkat atas mungkin mempunyai kesan yang berpanjangan.
Penyingkiran memerang laut, udang karang dan ikan predator misalnya mungkin meninggalkan
kesan yang besar terhadap komuniti rumpai laut di kawasan sublitoral. Dengan berkurangnya
haiwan-haiwan predator ini, populasi landak laut akan meningkat dengan mendadak dan ini akan
menyebabkan ragutan berlebihan ke atas komuniti rumpai laut.
 
Kegiatan pelancongan dan riadah telah menarik ramai orang datang ke kawasan pantai.
Kehadiran manusia yang ramai sudah tentu meninggalkan kesan kepada persekitaran ini. Banyak
hidupan mati atau habitat musnah akibat terpijak oleh tapak-tapak kaki manusia. Kerosakan
yang besar boleh dikesan terutamanya di kawasan pantai yang mempunyai komuniti batu karang.
Batu karang jenis bercabang akan musnah apabila dipijak memandangkan strukturnya yang
rapuh. Kehadiran perahu atau bot pelancongan akan memburukkan lagi keadaan. Banyak
kawasan batu karang musnah akibat kegiatan menaik atau menurunkan sauh ke dasaran. Batu
karang mengambil masa yang panjang untuk membesar tetapi manusia mampu
memusnahkannya dalam sekelip mata sahaja.
 
Pencemaran Spesies Baru
Satu lagi bentuk pencemaran yang patut diberikan perhatian ialah pencemaran disebabkan
kemasukan spesies asing ke sesuatu kawasan. Kemasukan haiwan atau tumbuhan baru akan
menimbulkan ancaman baru terhadap fauna dan flora tempatan. Ini memandangkan organisma-
organisma yang dibawa masuk mungkin berjaya membanjiri kawasan baru dan berkembang
dengan cepat. Spesies-spesies pendatang ini kemudiannya akan menggantikan spesies asli dan
mengganggu dinamik komuniti .
 
Kegiatan membawa masuk spesies baru boleh berlaku secara sengaja (Jadual 11.2). Dalam
usaha untuk mempertingkatkan kegiatan perikanan atau untuk mendapatkan spesies akuakultur,
spesies daripada kawasan lain dibawa masuk. Tiram timur (Crassostrea virginica) dan tiram
Jepun (Crassostrea gigas) telah dibawa masuk ke muara dan teluk pantai timur Amerika
Syarikat untuk tujuan akuakultur. Ikan bass berjalur (Morone saxatilis) juga telah dibawa
masuk ke pantai Pasifik dari pantai Atlantik untuk tujuan perikanan.

Semasa membawa masuk spesies baru untuk tujuan perikanan dan akuakultur, tanpa
disedari spesies asing yang lain turut dibawa bersama. Satu contoh terbaik adalah rumpai laut
perang Sargassum muticum (Rajah 11.2). Rumpai laut ini berasal dari Jepun dan dibawa masuk
melalui pemindahan tiram Jepun Crassostrea gigas untuk tujuan akuakultur di Eropah. Di negara
asalnya iaitu di Jepun, Sargassum muticum adalah rumpai laut yang bersaiz sederhana dan
dianggap tidak penting dari segi ekologi. Tetapi di tempat baru, rumpai laut ini membentuk
biojisim yang tinggi dengan jasadnya yang besar lagi rimbun. Di setengah-setengah tempat,
rumpai laut ini membentuk spesies yang paling dominan. Sekarang ini, rumpai laut ini boleh
ditemui sepanjang pantai selatan kepulauan Britain sehinggalah ke Denmark, Sweden Barat,
Belanda, Belanda dan Peranchis. Rumpai laut ini telah menggantikan beberapa spesies rumpai
laut tempatan seperti Chorda filum dan mengurangkan kelimpahan Cystoseira dan Halidrys.

 
Walaupun Sargassum muticum telah merebak ke Amerika Syarikat, tetapi kewujudannya
tidaklah sesubur di Eropah. Ini mungkin disebabkan oleh kehadiran haiwan pesaing dan peragut
(sama seperti yang terdapat di laut Indo-Pasifik) telah berjaya mengawal pertumbuhan spesies
ini. Persekitaran fizikal di Eropah mungkin juga lebih sesuai untuk kehidupan rumpai laut ini.
Satu lagi cara bagaimana organisma asing terutama teritip dibawa masuk ke sesuatu kawasan
secara tidak sengaja ialah melalui kapal. Satu contoh baik ialah spesies teritip Australia
Elminius modestus yang telah dibawa masuk ke Britain (Rajah 11.2). Spesies yang telah
dikesan pertama kali di pantai Britain di akhir perang dunia kedua, telah dibawa masuk ke
Britain oleh kapal-kapal perang. Elminius merebak cepat di sekitar kepulauan Britain dan tanah
besar Eropah sama ada melalui sebaran larva atau pergerakan kapal. Spesies in hidup dengan
baiknya di kawasan muara dan teluk dan telah menggantikan teritip tempatan seperti
Semibalanus balanoides dan Chthamalus montagui. Pada masa in Elminius membentuk
sebahagian daripada fauna pantai Eropah Utara dan boleh ditemui dari Scandinavia ke Portugal.
Kesan keseluruhannya terhadap dinamik komuniti pantai berbatu adalah kecil memandangkan
teritip ini hanya menggantikan beberapa individual spesies tempatan.
 
Di Amerika Syarikat Timur, siput periwinkle Littorina littorea telah dibawa masuk ke
Newfoundland pada pertengahan abad ke-19 (Rajah 11.2). Semenjak itu, siput ini telah
berkembang baik dan kehadirannya telah mengurangkan dan menggantikan siput asli seperti
Ilyanassa obsoleta dan Littorina saxatilis.
 
Habitat bersedimen telah terjejas dengan kemasukan tumbuhan paya air masin Spartina
alterniflora dari Amerika Syarikat ke Britain (Rajah 11.2). Spesies ini telah dibawa masuk untuk
tujuan menstabilkan dan menebus guna kawasan selut. Malangnya, S. alterniflora membiak
dengan tumbuhan asli S. maritima untuk menghasilkan hibrid tidak subur S. townsendii. Hibrid
ini kemudiannya menghasilkan S. anglica yang subur melalui diploidi. S. anglica adalah
tumbuhan agresif yang membesar dengan cepat. Tumbuhan ini sekarang menduduki secara
meluas kawasan intertidal selut di Britain. Akibatnya, proses sesaran paya air masin ke vegetasi
daratan telah dipercepatkan dan ini menghilangkan kawasan mencari makan burung-burung
pantai.
 
Terusan Suez telah siap dibina pada tahun 1869. Terusan ini menyediakan satu laluan artifisial
antara Laut Merah yang kaya dengan hidupan dengan Laut Mediterranean yang kekurangan
hidupan. Banyak spesies hidupan Laut Merah telah menggunakan laluan ini untuk berhijrah ke
Laut Mediterranean dan sekarang ini beberapa populasi spesies Laut Merah telah bertapak di
Laut Mediterranean (Jadual 11.2)
 
Kebanjiran spesies baru masih berlaku. Satu kajian mendapati bahawa antara 150 hingga 200
invertebrat marin dari pelbagai tempat di seluruh dunia telah bertapak di pantai timur Amerika
Syarikat. Untuk Teluk San Francisco sahaja, kebanyakan fauna invertebrat adalah invertebrat
yang dibawa masuk.
 
Perubahan Zon Pantai
Zon pantai berdepan dengan pelbagai desakan. Di banyak tempat di dunia ini, kawasan pantai
semakin mengecil disebabkan kegiatan pembangunan pantai yang sedang rancak dijalankan.
Selain itu, zon ini juga menghadapi ancaman kenaikan aras laut. Ancaman ini merupakan
ancaman paling besar yang terpaksa manusia hadapi. Aras laut semakin meningkat di banyak
tempat di dunia dan pemanasan dunia akibat kesan rumah hijau akan mempercepatkan proses ini.
 
Pembangunan kawasan pantai meningkat sejajar dengan peningkatan populasi dunia. Manusia
semakin terdesak untuk menggunakan kawasan muara untuk mendapatkan sumber tenaga
memandangkan bahan api fosil semakin mahal. Kawasan lagun dan paya ditebus guna untuk
memenuhi kehendak manusia yang bertambah ini. Kawasan pantai juga diluruskan untuk
kegunaan manusia.
 
Pembangunan kawasan pantai sudah tentu meninggalkan kesan kepada persekitaran. Sebarang
pembangunan kawasan pantai akan memendekkan kawasan pantai dan mengurangkan kawasan
selut, suak dan paya air masin. Kegiatan pembangunan ini juga akan menghalang saling tukar
bahan antara laut dan gumuk pasir. Pengeksportan rumpai laut ke gumuk pasir merupakan
punca utama nutrien dan penstabil pasir yang mudah diterbang angin. Pembangunan juga akan
meningkatkan kadar hakisan. Sedimen akan menjadi lebih tidak stabil manakala bahan organik
akan berkurangan. Kekurangan bahan organik ini akan merendahkan produktiviti invertebrat
yang memakan endapan. Produktiviti pantai pasti akan terjejas kerana kawasan pantai tidak lagi
menjadi kawasan pembiakan ikan dan kawasan mencari makanan untuk burung. Keadaan
menjadi lebih buruk dengan hilangnya kawasan berselut.
 
Kegiatan membina pelindung pantai selalunya turut melibatkan kegiatan meluruskan tepi laut.
Salah satu kesan buruk daripada kegiatan ini ialah pengurangan kepelbagaian habitat. Lagipun,
kegiatan ini akan merubah komposisi fauna dan flora di kawasan terbabit. Kesan ini akan
diburukkan lagi sekiranya aras laut meningkat.
 
Peningkatan Aras Laut
Ancaman paling buruk yang dihadapi oleh kawasan tepi laut di seluruh dunia ialah peningkatan
mendadak aras laut disebabkan oleh pemanasan dunia. Pemanasan iklim dunia boleh berlaku
melalui pengumpulan terus menerus gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau di atmosfera.
Gas-gas ini akan bertindak sebagai satu lapisan kaca di rumah hijau yang menghalang haba dari
permukaan bumi kembali ke atmosfera. Gas yang paling utama ialah karbon dioksida.
Kepekatan karbon dioksida telah meningkat secara konsisten semenjak zaman revolusi industri
pada pertengahan abad ke-18. Semenjak 1720, aras karbon dioksida telah meningkat sebanyak
25%.
 
Gas-gas lain seperti metana, klorofluorokarbon (CFC), nitrous oksida dan ozon turut
menyumbangkan kepada pemanasan dunia. Aras metana di atmosfera hanya 1.7 ppm, namun
gas ini menyumbangkan 30% kesan rumah hijau (karbon dioksida pula menyumbangkan 50%).
 
Suhu dunia dijangka meningkat sebanyak 1-2% selewat-lewatnya pada tahun 2030. Peningkatan
suhu ini akan meningkatkan aras laut beberapa centimeter ke beberapa meter sebelum akhir abad
ke 21. Aras laut akan meningkat dengan empat cara iaitu melalui pengembangan haba,
pencairan glasier, pemecahan lapisan ais di Greenland dan pemecahan kepingan ais di Antartika.
 
Peningkatan aras laut adalah berbeza dari satu kawasan dengan kawasan lain. Kawasan yang
tenggelam seperti laut Mediterranean akan mengalami kesan yang lebih teruk jika dibandingkan
dengan kawasan terangkat seperti Scandinavia.

You might also like