You are on page 1of 3

BAHASA JIWA BANGSA

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Bahasa Jiwa Bangsa! Maksudnya, daripada bahasa orang dapat mengenal kita.

Sesungguhnya makna bahasa sangat luas pengertiannya, iainya tidak hanya merujuk sebagai satu sistem linguistik
semata-mata, tetapi bahasa juga melambangkan budaya dan fungsi bahasa itu sendiri sebagai alat perhubungan
sosial dalam masyarakat. Justeru itu, izinkan saya untuk membawa tiga usul pada petang ini iaitu yang pertama,
bahasa jiwa menyatukan bangsa, kedua bahasa jiwa memajukan bangsa, dan yang terakhir, bahasa jiwa
memartabatkan bangsa.

Menurut Asmah Haji Omar, seorang tokoh linguistik Melayu ,perkataan bahasa merujuk kepada firasat atau
petunjuk kepada sesuatu kebudayaan. Dalam konteks ini, bahasa mencerminkan kebudayaan penuturnya, iaitu
cara hidup dan persekitaran fizikal serta sosial masyarakat tersebut.

Bahasa Jiwa pula ditakrif sebagai bahasa yang paling dekat dengan hati nurani seorang, iaitu bahasa sendiri atau
bahasa ibunda, bahasa komunikasi dengan ibu bapa dan keluarga terdekat dan seluruh bangsa. Sebagai warga
Malaysia, kita seharusnya menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan sebagai jiwa bangsa kita dan cerminan
jatidiri kita. Sesungguhnya jiwa sesuatu bangsa itu dapat dilihat pada bahasanya. Pada bahasa itulah tergambar
etos atau semangat kita sebagai satu bangsa dalam satu lingkungan tanah air yang dipunyai secara bersama.

Usul saya yang pertama, bahasa jiwa merupakan wasilah terpenting dalam menyatukan bangsa Malaysia.
Sesungguhnya, apa yang termaktub dalam Perkara 152 yang menyediakan peruntukkan-peruntukkan yang
berkaitan dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipersoalkan, hal ini kerana
penguatkuasaan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Negara adalah bertujuan untuk
menyatupadukan kaum-kaum, yang terdiri dari kaum Melayu, Cina, India, dan lain-lain di bawah satu bahasa.

Cuba kita bayangkan, bagaimana selepas hampir 53 tahun merdeka, jika kaum Melayu hanya dengan bahasa
melayunya, dan kaum Cina dengan bahasa Mandarin,Tionghua, ataupun Hokkien nya, dan kaum India pula dengan
bahasa tamil nya sahaja, maka bagaimanakah kewujudan bangsa Malaysia dapat direalisasikan?

Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa kebangsaan, maka
akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia. Sebaliknya, jika kita
mendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati
diri kita sebagai bangsa Malaysia

Usul saya yang kedua, bahasa jiwa menjadi pemancu kearah kemajuan bangsa. Sesungguhnya untuk mewujudkan
satu bangsa itu bukanlah mudah. Suka saya tegaskan disini, bahawa dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia
dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan,
bukannya bahasa-bahasa asing. Saya ulang, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan, bukannya bahasa-
bahasa asing! Kendatipun kita mempelajari bahasa asing sebagai bahasa global, namun kita tidak seharusnya
membiarkan jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing.

Cuba kita lihat, negara-negara berjaya seperti Jepun, China, Perancis, Jerman dan Rusia, yang mengagungkan
bahasa ibunda mereka sendiri ,namun mereka masih unggul di mata dunia. Inilah prinsip umbi yang seharusnya
kita junjung, jika kita benar-benar serius untuk mewujudkan bangsa Malaysia, bak kata pepatah di mana bumi
dipijak, di situ langit dijunjung.

Seterusnya, izinkan saya meneruskan usul saya yang ketiga iaitu, bahasa jiwa bisa memartabatkan bangsa. Bahasa
adalah penanda identiti atau jati diri sesuatu bangsa.

Tetapi malangnya,dewasa kini kita dapat lihat bangsa kita sendiri telah memusnahkan kesantunan bahasa Melayu
itu dengan pelbagai aspek yang tidak bermoral. Kesannya, bagaimana untuk kita memartabatkan bangsa kita?
Bagaimana untuk dunia memandang tinggi bangsa kita? jika kita sendiri tidak tahu menghargai keunikan dan
keindahannya.

Sebagai contoh, kita lihat remaja kita pada hari ini gemar melafazkan perkataan yang tidak baik, kasar atau
mencarut bagi menggambarkan situasi jiwanya yang resah, kusut dan memberontak. Penggunaan bahasa kasar di
dalam sistem pesanan ringkas dan blog juga tidak terlepas daripada menjadi punca permasalahan ini. Wabak
bahasa rojak yang melanda masyarakat kita pada hari ini juga sedikit sebanyak turut menjejaskan kesantunan
bahasa kita. Oleh itu, kita perlulah menitikberatkan kesopanan dan kesantunan bahasa ibunda, agar tidak
dipandang enteng oleh bangsa lain.

Kesimpulannya, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan membentuk jiwa kita sebagai satu bangsa.
Sekiranya bahasa yang kita martabatkan adalah bahasa kebangsaan, maka yang akan terpancar daripada bangsa
kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita sentiasa memandang tinggi kepada bahasa kebangsaan kita, bersinarlah
jiwa kebangsaan kita, dan berjayalah  pembentukan jati diri kita sebagai bangsa yang bermaruah. Akhir kata;

 Yang kurik itu kendi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

You might also like