You are on page 1of 17

Penangkapan Ikan Air Tawar Cara Tradisional

Pengenalan

Penangkapan ikan air tawar atau ikan darat secara tradisional merupakan satu warisan yang telah
dipraktikkan oleh masyarakat Melayu sejak zaman dahulu hingga ke hari ini. Selain daripada sumber
rezeki bagi memenuhi keperluan harian, ia juga berperanan sebagai aktiviti mengisi masa terluang
dengan membuat peralatan tangkapan dan keluar menangkap ikan.

Peralatan seperti bubu, tangkul, jala, tuar, rawai, sempila, belat, bok mengelau, pelompat, serampang
dan sebagainya merupakan alat penangkapan ikan yang mempunyai ciri-ciri tangkapan tersendiri.
Bentuk dan saiz alat ini bergantung kepada jenis ikan yang hendak ditangkap dan tempat
penangkapan ikan.

Kawasan-kawasan yang menjadi perhatian penangkapan ikan ialah di mana terdapat banyak ikan-ikan
berkumpul seperti di lubuk-lubuk atau di laluan ikan bermain arus ke hulu atau ke hilir sungai.
Tempat-tempat strategik seperti di saluran-saluran air yang dialir keluar atau masuk dari sungai ke
sawah atau sebaliknya yang juga dipanggil alor, gelung air, parit tali air dan sebagainya. Di dalam
kawasan sesebuah bendang atau sawah itu sendiri juga menjadi tumpuan penangkap ikan darat
terutama di kawasan dalam yang dipanggil telaga.

Tangkapan dilakukan ketika bendang atau sawah sedang dibajak dan selepas menuai padi dengan
cara mengagau dan menyerkap. Masa yang menyeronokkan menangkap ikan ialah ketika angin
bertukar ke musim timur. Ikan dikatakan jenuh atau banyak dan sangat galak ketika ini.

Bagi penggemar-penggemar ikan darat, nama-nama ikan ini tidak asing lagi bagi mereka seperti keli,
haruan, toman, puyu, sepat, belida, kelah, lampam, seberau dan sebagainya. Ikan-ikan ini bukan
sahaja sedap dimakan dan berprotein malah ada digunakan untuk tujuan perubatan. Spesis-spesis
ikan ini masih lagi kedapatan hingga kini.

Peralatan tangkapan ini dibuat mengikut kemahiran atau kepakaran sendiri tanpa melibatkan kos
dengan menggunakan bahan-bahan tempatan yang sedia ada terdapat di kampung-kampung seperti
buluh, rotan dan akar kayu. Lazimnya ia dibuat untuk kegunaan individu dan tidak dikomersilkan. Dari
semasa ke semasa peralatan menangkap ikan tradisional ini diubahsuaikan dengan keadaan setempat
beserta bahan-bahan yang mudah diperolehi.

Kebaikan alatan ini selamat digunakan bagi mengawal spesis ikan daripada pupus iaitu ikan tertentu
sahaja yang ditangkap dengan jumlah yang kecil sekadar keperluan. Tangkapan ikan tradisional ini
merupakan satu kaedah yang baik untuk memelihara serta pengurusan sumber perikanan.
Serkap

Ianya merupakan sejenis alat penangkapan ikan Melayu tradisional yang terdapat dalam berbagai-
bagai jenis. Antaranya ialah "Serkap Perlis", "Serkap Banjar" dan "Serkap Kedah".

"Serkap" lazimnya diperbuat daripada buluh, rotan dan akar. Buluh yang biasa digunakan ialah buluh
duri dan buluh tela manakala akar yang biasa digunakan ialah akar pukang dan rotan biasa. Serkap
biasanya digunakan pada musim membajak sawah. Mereka akan menurut di belakang tenggala yang
ditarik oleh seekor kerbau semasa membajak. Kini diturut di belakang traktor atau kubota.

"Serkap" digunakan dengan cara direjam ke dalam air dengan cara berulang kali, apabila terasa
kocakan ikan membelah dinding serkap di dalam air, ini menunjukkan ikan telah mengena. "Serkap"
akan ditekan dengan lebih kuat ke dalam supaya ikan yang berada di dalam "serkap" tidak akan
keluar, kemudian ikan akan digagau dengan tangan melalui "mulut serkap" dengan berhati-hati agar
tidak disengat ikan yang berduri seperti ikan keli.

"Serkap" juga dijadikan model oleh orang-orang tua dahulu untuk menyalur atau melahirkan
pemikiran. "Serkap" pada lahirnya merupakan "penangkap rezeki" menjadi luas maknanya dalam
masyarakat tradisional. Terdapat rangkap pantun berkait yang dipusakakan oleh nenek moyang
tentang "serkap".

Antaranya:

Sungguh rendang pohon kuini


Langsai buahnya dilahap orang
Menuduh orang tiada bukti
Bagai mengguna "serkap jarang"

Langsai buahnya dilahap orang


Biji ditabur merata tempat
Bagai mengguna "serkap jarang"
Peluh mengucur laba tak dapat.

Ada juga dipantunkan oleh orang tua kita zaman dahulu:

"Serkap" ikan di tengah bendang


Dapat keli bisa sengatnya
Cakap tuan biarlah terang
Tidak kami terpinga-pinga

"Serkap" kini telah dimajukan dan dijadikan sebagai bahan hiasan kraftangan dalam saiz yang kecil.
Serkap Perlis Serkap Banjar

Serkap Kedah

Jala

Sejenis alat menangkap ikan yang masih lagi digunakan sehingga sekarang di kampung-kampung
untuk sara diri, hobi dan jarang bercorak komersial.

Selalunya saiz "jala" mengikut kesesuaian kegunaan individu. Saiz "jala" mengikut panjangnya iaitu
panjang 7, panjang 9 dan ada yang panjang 12 mengikut kiraan kaki. "Jala" ikan bermata besar
manakala "jala" udang bermata halus.
"Jala" diperbuat daripada benang yang kasar dan disirat dengan alat yang dinamakan "cuban" dan
peregang yang diperbuat daripada buluh. Sesebuah "jala" mengambil masa sebulan atau dua bulan
untuk menyiapkannya iaitu mengikut saiz dan yang panjang memerlukan masa yang lebih lagi.

"Jala" dapat dibahagikan kepada lima bahagian iaitu tali, pucuk, badan, bahagian batu (samada batu
timah atau batu besi) dan "kandit jala". Bahagian kandit inilah tempat ikan akan terperangkap semasa
menjala.

Cara menggunakan "jala" ialah hujung tali yang bersambung di pucuk "jala" disarung di pergelangan
tangan kemudian badan "jala" akan dibahagi tiga. Satu bahagian disangkut di siku tangan kanan, satu
bahagian dipegang tangan kanan dan satu bahagian lagi dipegang oleh tangan kiri.

"Jala" ditebarkan mengikut teknik yang betul sekiranya tidak, "jala" tidak akan kembang. Ikan yang
terperangkap di dalam "jala" dapat dirasai apabila ia membelah "jala". Kemudian "jala" akan dibiarkan
terendam beberapa minit barulah diumbut perlahan-lahan naik ke atas. Setelah dinaikkan ke darat,
"jala" akan dikirai untuk memudahkan mengeluarkan ikan.

Menjala boleh dilakukan di atas darat mahupun di atas perahu dan sesuai di tempat-tempat yang
lapang, samada si persisiran pantai, sungai, kolam atau telaga, tali air dan sebagainya.

Cuba teka apakah bendanya, lagi dijahit semakin berlubang, lagi dijahit semakin berlubang?

Jala
Tangkul

Terdapat dua jenis "tangkul" yang sering digunakan iaitu "tangkul tarik" dan "tangkul angkat".
"Tangkul" biasanya digunakan di kalangan penduduk yang tinggal di pinggir-pinggir sungai dan parit
tali air terutama pada musim hujan di waktu air melimpah.

1. Tangkul Tarik

Diperbuat daripada buluh beting. Dua batang buluh panjang digunakan untuk dipacak di kiri
dan kanan parit tali air. Dua buah takal diikat di hujung buluh yang dipacak untuk dimasukkan
ke dalam batang buluh dan hujung "tangkul" diikat di relang tersebut supaya senang untuk
mengelilingi "tangkul" dan tali panjang untuk menaikkan tangkul. "Tangkul" biasanya ditahan
dan diangkat pada satu jangka masa yang tidak ditetapkan. Lama dan cepat masa bergantung
pada jenuhnya ikan yang terperangkap masuk.

2. Tangkul Angkat

Diperbuat daripada buluh beting. Empat ranting diperlukan dimasukkan ke dalam dua biji
gelenggang (buluh yang dikerat pendek) untuk dijadikan empat penjuru. Di keempat-empat
penjuru ini "tangkul" diikat. "Tangkul" yang besar menggunakan tuas untuk mengangkat naik
ke atas. Untuk menahan "tangkul" ianya direndamkan ke dalam air sungai. Apabila sampai
waktu yang ditetapkan barulah ianya diangkat. Adakalanya ditahan dari waktu malam dan
diangkat pada waktu pagi. Sekiranya ikan banyak, "tangkul" akan diangkat dengan begitu
kerap. "Tangkul" yang bersaiz kecil digunakan di alor.

Tangkul Tarik (Parit Tali air)


Tangkul Angkat (Sungai)

Tangkul Angkat (Parit Tali air)

Bubu Tempang

Ditahan di sungai-sungai, alur dan gelung air yang agak dalam. Sebelum ditahan, belat dipasang
terlebih dahulu merentangi tempat yang hendak pintu ditahan. "Bubu tempang" diletakkan di antara
kiri dan kanan belat sehingga menenggelamkan masuk.

Terdapat dua bahagian iaitu bahagian hadapan untuk ikan masuk dan bahagian belakang untuk
memerangkap ikan. Pintu masuk ini dipanggil unjap hadapan dan pintu belakang dipanggil unjap
belakang. Unjap terdiri daripada unjap-unjap yang diraup lembut dan tajam di hujungnya. Ianya
berfungsi sebagai saluran ikan dan menyekat daripada keluar. Manakala pintu untuk mengeluarkan
ikan terletak di bawah di bahagian belakang.

Ia diperbuat daripada buluh beting atau buluh duri, akar dan rotan. Ikan-ikan yang biasanya dapat
ditangkap ialah haruan, puyu, keli, lampam dan lain-lain lagi. Bubu ini tahan lasak di mana ia boleh
memerangkap ikan-ikan yang besar.
Bubu Tempang

Bubu

Sejenis alat penangkapan yang bersaiz sederhana dan mudah dibawa. Kegunaannya dilabuh di dasar-
dasar sungai selalunya di kawasan yg mempunyai reba di mana ikan atau udang galah suka
berkumpul. Tempat diletak "bubu" akan ditanda untuk mengecam kedudukannya. Biasanya "bubu"
akan dibawa dengan perahu. Umpan seperti isi kelapa dibubuh untuk menarik perhatian ikan masuk.

Sebuah "bubu" dibentuk daripada satu tapak berbentuk bulat yang diperbuat daripada rotan dan
buluh. Dibentuk besar di bahagian hadapan dan mengecil ke belakang. Di bahagian hadapan "bubu"
dibuat satu pintu masuk yang dipangil injap. Injap ini berbentuk seperti kon. Ia membenarkan ikan
masuk tetapi menghalang mereka daripada keluar. Satu lagi pintu yang boleh dibuka dan ditutup
disediakan di bahagian belakang bagi mengeluarkan ikan yang terperangkap.

"Bubu" biasanya ditahan begitu saja semalaman atau dua hingga tiga hari di dalam air sebelum ia
ditarik naik untuk melihat hasil tangkapannya.
Bubu jenis ini ditahan di gelung air

Ran Candik

Kombinasi sebuah pondok dan belat dipanggil "Ran Candik". Didirikan di tepi-tepi sungai antara muara
dan hulu sungai yang berarus deras. Ran dibina daripada buluh yang beratapkan nipah. Belat pula
diperbuat daripada batang bemban atau buluh ditanam di dalam sungai mengikut arus air sebagai
pintu masuk ikan.

Digunakan semasa air naik di mana "candik" akan diturunkan ke dalam air, sementara tali perasa
yang diikat di hujung "candik" dipegang. Apabila terasa ikan masuk ke dalam "candik" ia akan
dilepaskan dan "candik" akan ditarik naik ke atas "ran". Untuk mengendalikan "candik" ia memerlukan
sekurang-kurangnya dua orang. Ikan yang ditangkap biasanya baung, sebarau, lampam, ikan pipi
merah, temoleh tapah dan patin.

Candik / Ran
Menimba

"Menimba" ikan merupakan salah satu aktiviti penangkapan ikan secara tradisional. Selalunya
dijalankan/dilakukan di tali air, telaga, gelung air dan lain-lain lagi. Ianya masih lagi popular hingga
sekarang. Kegiatan ini sudah menjadi tradisi penduduk di kampung-kampung setiap kali musim kering
terutama selepas musim menuai padi. Ianya biasa dilakukan secara berkumpulan tiga atau empat
orang bagi mengeringkan telaga sebelum menimba air keluar. "Menimba" selalunya menggunakan
timba khas diperbuat daripada tin minyak tanah yang diikat empat tali di sebelah kiri dan kanan
timba. Kerjasama antara dua orang diperlukan untuk memegang tali timba dan menghayunnya
serentak ke dalam tali air, kolam atau telaga bagi mengeluarkan airnya. Sekiranya banyak timba
digunakan, ia dapat dikeringkan dalam tempoh yang singkat.

Apabila air kering, ikan akan terperangkap di dalam lumpur dan mudah ditangkap dan diisi ke dalam
raga. Ikan-ikan ini ditangkap dengan menggunakan tangan dan penyauk. Dahulunya penduduk
kampung akan bergotong-royong "menimba" telaga (kawasan dalam) di dalam sawah, menangkap
dan menyiang ikan bersama sehingga boleh dibuat kenduri bersama beras baru.

Menimba
Jut

"Jut" biasanya digunakan di parit tali air, sawah, gelung air dan di tempat yang menjadi laluan air.
Ikan yang ditangkap ialah ikan puyu dan ikan sepat.

"Jut" dibuat dengan menggunakan sebatang buluh yang panjang, dawai dan pukat. Dawai dibentuk
menjadi bulat dan diikat di hujung buluh dan pukat pula dijalin di sekeliling dawai tersebut.

"Jut" yang ditahan di arus air akan disentak sekiranya terasa ikan membelah "jut" tersebut. Semasa
menyentak pukat yang mengelilingi dawai akan mengingcup dan tertutup. Ikan yang masuk ke dalam
"jut" akan terperangkap.

Jut

Belat

"Belat" ditahan di parit, anak sungai dan alor. Buluh-buluh yang dibelah halus dan dijalin dipacak
merentangi tempat tersebut bagi menyekat arus aliran air. Secara tidak langsung, ia menyekat
pergerakan ikan yang lalu bagi memerangkap mereka di dalam bubu yang dipasang di mulut "belat".
Memancing

"Memancing" cara tradisional biasanya menggunakan buluh sebagai bok kail atau joran. Buluh telor
dipilih kerana ia panjang dan ringan. Buluh tua diambil dan dikeringkan terlebih dahulu sebelum ianya
digunakan.

Biasanya penduduk kampung akan "memancing" pada musim selepas menanam padi di sawah-sawah,
alor, sungai-sungai kecil dan sebagainya.

"Memancing" cara tradisional ini agak unik sedikit, semasa memancing ikan dipanggil memakan
umpan dengan cara mengetuk hujung joran di air atau membunyikan dengan mulut. Adakalanya
sebelum memancing pokok padi diselak dan ditaruh "kujam" atau umpan dengan cara mengempal
tanah yang digumpal dengan dedak.

Mata kail diuncat ke dalam air. Tali kail akan tegang apabila ikan memakan umpan. Bok kail perlu
disentak dengan cepat ke atas. Hasilnya kepuasan dan ikan yang dapat.

Umpan yang digunakan semasa "memancing" ialah anak belalang, anak kerengga, anak tebuan,
anak-anak ikan haruan dan lain-lain. Sebelum dijadikan umpan, anak kerengga atau anak tebuan
diperap dengan asam gelugor berserta garam untuk jadikan ia liat dan tidak busuk lantas menjadikan
ia mudah untuk dicucuk ke mata kail. Umpan ini adalah kegemaran ikan puyu dan keli.

Mengail

Sempila

Digunakan untuk menahan ikan-ikan bersaiz kecil seperti ikan puyu, sepat dan selat. Selalunya
ditahan di alor, dilaluan air atau kedalam air sehingga paras atas. Mulutnya dihalakan ke arah laluan
air keluar dan diletakkan daun-daun kering di atasnya supaya ianya teduh. Ikan-ikan akan bermain-
main di kawasan yang teduh dan masuk ke dalam "sempila". "Sempila" ditahan dan dibiarkan sehari
atau semalaman barulah diangkat. "Sempila" diperbuat daripada buluh duri dan akar "penyarom".
Kadangkala umpan digunakan ialah buah kelapa sawit yang direndam hingga masam dan isi biji
getah.
Sempila Buluh

Taut

Merupakan alat yang mudah untuk menangkap ikan dan mahsyur di kalangan kaum petani.
Bentuknya seperti bok kail atau joran tetapi bersaiz kecil. "Taut" biasanya dibuat dalam kuantiti yang
banyak lebih kurang 30 batang sehingga 100 batang bertujuan untuk ditahan/dipasang dengan cara
mencacak di tepi-tepi batas di sekitar kawasan bendang. Ia digunakan ketika air bendang ditakung
atau semasa padi bunting. Fokus tangkapannya hanya pada ikan haruan atau keli sahaja.

Terdapat 2 cara "taut" dikendalikan iaitu dijaga pada setiap masa, ditahan dan dijenguk pada masa-
masa yang tertentu sahaja. Adakalanya "taut" dipasang sepanjang malam dan dijenguk pada
keesokan harinya. Apabila ikan mengena ia akan dikutip dan diletak umpan semula.

Ada teknik tersendiri untuk "mentaut" ikan. Sekiranya untuk mendapatkan ikan keli umpan "taut"
biasanya cacing dibiarkan tenggelam ke dalam air. Untuk mendapatkan ikan haruan, mata kail
berumpankan anak ikan sepat akan digantung sehingga tenggelam ridipnya sahaja. Sekiranya
berumpankan katak, dibiarkan berlompatan di atas permukaan air. Ikan haruan yang makan umpan
bersifat menyambar akan mengena.

"Taut" dipasang dengan tali hujungnya sepanjang sekaki dan diperambut dengan mata kail yang agak
besar saiznya. Batangnya diperbuat daripada buluh beting atau buluh duri. Batang "taut" biasanya
lebih besar daripada hujungnya yang diraut nipis sehingga boleh dilenturkan bagaikan "spring".
Pangkalnya ditajamkan untuk senang dipacakkan ke dalam tanah.
Penyauk

Berbagai-bagai cara digunakan oleh penduduk kampung untuk menangkap ikan darat. Salah satu
caranya ialah dengan menggunakan "penyauk". Alat ini diperbuat daripada rotan yang panjang dan
besar. Ianya dibentuk seperti huruf "U" dikuatkan dengan sebatang rotan yang pendek. Kemudian
pukat dijalin di sekeliling rotan tersebut.

"Penyauk" ini digunakan di muka-muka tandop tali air ketika air dilepaskan sekadar paras pinggang.

Penyauk

Tiruk Dan Serampang

"Tiruk" dan "serampang" digunakan dengan cara yang sama iaitu dibenam atau direjam-rejamkan ke
dalam air di tempat-tempat ikan bersembunyi. Beza di antara "tiruk" dan "serampang" ialah "tiruk"
mempunyai mata satu manakala "serampang" mempunyai tiga hingga lima atau lapan mata. "Tiruk"
biasanya digunakan di sungai-sungai yang cetek, paya dan alur yang bergambut.

"Serampang" mempunyai dua bentuk mata iaitu panjang dan pendek. "Serampang" yang bermata
panjang biasanya digunakan di kawasan air yang dalam manakala yang bermata pendek digunakan di
sawah padi yang airnya cetek.
"Menyerampang" ikan dilakukan semasa air sungai jernih atau semasa bulan cerah. Perbuatan ini juga
dikatakan "menyuluh ikan". Mereka akan menyusuri sungai dengan perahu sambil menyuluh ikan
yang timbul lalu dibaling/ditikam "serampang" ke arah ikan untuk mendapatkannya. Perbuatan ini
memerlukan sedikit kepakaran atau kemahiran.

"Serampang" juga digunakan ketika ikan "mabuk" iaitu semasa air hulu turun ke hilir selepas musim
hujan lebat. Pertukaran PH air menyebabkan ikan pening dan timbul untuk mengambil pernafasan.
Ketika ini "menyerampang" ikan adalah menyeronokkan.

Mengelau

"Mengelau" merupakan satu cara mengail ikan haruan dengan mengoncat atau menggedik umpan di
atas permukaan air di tebing-tebing sungai sambil berjalan perlahan-lahan. Ikan haruan yang marah
pada mangsanya akan menyambar umpan tersebut. Ikan haruan yang menjadi kegemaran pengail
ialah yang membawa anak. Ibu haruan biasanya besar seberat satu kilo yang membawa anak.

Bok "mengelau" selalunya dibuat daripada buluh beting yang agak panjang. Hujungnya disalai dengan
api dan dilentur seakan-akan huruf separa "U". Ia menggunakan tali yang dipintal atau perambut di
hujungnya dengan mata kail yang agak besar yang boleh dibeli atau dibentuk sendiri.

Umpan yang digunakan ialah seekor katak minyak atau anak ayam. Anak ayam digunakan bagi
mengacah anak-anak haruan supaya bertempiaran. Ibu haruan yang marah anaknya diusik akan
menyambar anak ayam tersebut lalu membawa padahnya di mata kail.

Biasanya aktiviti "mengelau" dilakukan pada waktu malam ataupun hampir pagi. Waktu ini dikatakan
"masa ikan tengah galak" atau lapar. Setelah bakul atau raga penuh diisi, pengail akan pulang dengan
penuh kepuasan.
Bok Mengelau

Raga Telur Buaya

Merupakan salah satu alat tempat menyimpan ikan yang dibawa bersama-sama dengan cara
menggalas dibahu ketika menangkap ikan terutama ketika memancing, menjala, menyerkap dan
menangkul. Badannya dibuat daripada buluh duri atau buluh beting yang dijalin kerap. Pintunya
diperbuat daripada papan nipis siap dengan penyelaknya sebagai kunci. Ukuran "raga telur buaya"
biasanya dibuat dalam satu saiz sahaja (saiz yang standard).

Raga Kok

Bekas untuk menyimpan ikan-ikan yang ditangkap dan sesuai untuk mengisi ikan bersaiz kecil seperti
ikan puyu. Dibawa bersama ketika memancing.

Diperbuat daripada buluh duri atau buluh beting, rotan dan juga akar jalin belat. Buluh yang diraut
akan dijalin dan dibentuk seperti yang tertera di gambar. Mulut "raga kok" tidak ada penudung khas
cukup hanya ditutup dengan tempurung kelapa atau sebagainya.
Raga Kok

Raga Batang

Ia merupakan salah satu bekas mengisi ikan dibawa semasa pergi menangkap ikan. Ia terdapat dalam
berbagai-bagai saiz sama ada kecil mahupun besar. Selalunya dibawa bersama-sama semasa
menjala, manangkul, menyerkap, menimba dan lain-lain lagi. Bekas ini boleh digalas dan mengisi ikan
dengan banyak.

"Raga batang" diperbuat daripada buluh beting atau buluh duri. Ia juga menggunakan rotan dan akar
jalin belat sebagai pengikat. Penutup mulut "raga batang" biasanya diperbuat daripada papan.

Ikan yang dibubuh ke dalam "raga batang" tidak mudah mati kerana bilah buluh yang dijalin jarang
boleh direndam di dalam air.

Raga Batang

Masakan Ikan Darat

Ikan darat seperti Haruan, Keli, Puyu dan Sepat begitu enak dan sedap dimakan sekiranya dimasak
gulai likat rempah giling campur dengan ubi kayu. Begitu juga sekiranya digoreng garing-garing.
Ikan darat juga boleh dibuat kering, digoreng dan dimakan bersama pulut dicampur nyior kukur
(kelapa parut) dan juga sesuai dimakan semasa menyeruk (sarapan) pagi atau setelah pulang
mengerjakan sawah.

Pekasam merupakan sejenis resepi ikan darat. Setelah selesai disiang dan dibasuh, ianya akan
diperap bersama garam dicampur dengan beras goreng yang ditumbuk halus. Ia enak sekali dimakan
selepas digoreng bersama nasi panas dan ulam-ulaman.

Orang-orang tua dahulu gemar membuat serunding daripada isi ikan haruan. Ia direbus terlebih
dahulu dan isinya diambil. Kemudian digoreng sehingga kering bersama rempah ratus. Ia sedap
dihidangkan bersama pulut kukus atau dibuat cicah ketupat mahupun lemang.

Ikan haruan dipanggang dengan dibalut daun pisang. Ia terlebih dahulu dibelah belakang dan
disumbat dengan inti kelapa atau cili beserta ramuan serai lengkuasnya. Masakan ini dipanggil
"bantut".

Pais pula dibuat daripada anak-anak ikan haruan atau ikan sepat Kedah yang dicampur dengan
bawang dan cili dibungkus dengan daun pisang. Kemudian dipanggang sehingga masak.

Lain-lain masakan ikan darat ialah asam pedas ubi kemili, masak jeruk, masak lemak cili api, bakar
tawar cicah air asam dan lain-lain lagi.

Kajian mendapati bahawa ikan haruan berkhasiat dibuat ubat luka dalaman dengan cara dimasak sup.
Ia baik dimakan oleh wanita selepas bersalin atau bagi mereka selepas menjalani pembedahan.

Juga dipercayai lendir ikan haruan dapat menghindarkan dari jangkitan demam campak dengan cara
melepas ikan haruan ke dalam kolah mandi dan airnya dimandi oleh seisi keluarga.

Ikan darat yang dikeringkan Ikan darat yang dimasak

You might also like