You are on page 1of 8

Gejala Buli

Abstrak Kajian
Masalah Buli Di Sekolah
Mohd. Aris bin Anis Mohd. Noor bin Abd. Rashid

Kejadian buli di sekolah dewasa ini kian menjadi-jadi . Pelbagai kes dilaporkan di dada-dada akhbar
dan keadaan ini amat membimbangkan bukan sahaja pihak individu, malah ibu bapa, sekolah, Pejabat
Pelajaran Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan seterusnya Kementerian Pelajaran. Oleh yang
demikian, masalah ini perlu dibanteras segera agar tidak menjadi barah yang mengancam keselamatan
dan keharmonian sesebuah sekolah. Kertas kerja ini ditulis untuk menjelaskan beberapaaspek berkaitan
dengan masalah buli di sekolah. Aspek-aspek yang akan diberi penekanan ialah definisi buli, jenis-jenis
buli, mengenali ciri-ciri pembuli, mengenali ciri-ciri mangsa buli, statistik kes buli, faktor-faktor yang
mendorong berlakunya kes buli, beberapa peringkat menangani masalah buli dan tatacara membuat
aduan berkaitan kes buli disekolah

Abstrak Kajian Tentang Buli


Gejala Buli
Azneezal Ar-Rashid Bin Mohd RamliNora Binti MislanSiti Mislia Binti Selamat

Gejala perlakuan ganas di kalangan pelajar yang semakin hangat dibicarakan di dada-dada akhbar sejak
akhir-akhir ini menunjukkan betapa ianya perlu tindakan segera oleh pihak-pihak tertentu agar ianya
tidak terus menular. Perlakuan buli merupakan sejenis perlakuan salah laku yang boleh meninggalkan
kesan negatif terhadap kesejahteraan emosi dan kemajuan akademik pelajar yang dibuli. Kertas kerja
ini selain membincangkan tentang jenis-jenis perlakuan buli, juga akan mengutarakan aspek-aspek
penting yang mempengaruhi dan yang berkaitan dengan tingkah laku buli ini. Buli dikatakan sering
berlaku di dalam bilik darjah, di padang, di koridor, di dalam dewan, di kantin dan juga di dalam
tandas. Terdapat banyak punca yang menyumbang kepada perlakuan yang tidak sihat ini umpamanya
pengaruh persekitaran dan rakan-rakan. Langkah-langkah pencegahan turut diketengahkan yang
dirasakan sesuai dilakukan oleh pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat dalam membendung keadaan
ini. Persekitaran sekolah yang selesa dan selamat amat diperlukan dapat menjana proses pengajaran dan
pembelajaran yang sempurna bagi pelajar.
Kajian - Prof.Madya Dr. Zuria Mahmud
Bunuh diri : pelajar terpinggir dan terasing13/07/2004 12:50 p.m.
Oleh Rohana Man
DR. ZURIA MAHMUD
KES bunuh diri dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini memanglah tidak serius kerana
jumlah yang melakukannya amat sedikit.
Sungguhpun begitu, pelbagai pihak perlu mengambil usaha untuk menyelamatkan pelajar bermasalah
daripada membunuh diri.
Kajian yang dilakukan oleh pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Profesor Madya Dr. Zuria Mahmud mendapati hanya beberapa kes pelajar bunuh diri dilaporkan
berlaku di tiga tempat yang dikajinya iaitu Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor.
Terdapat pelajar yang membunuh diri dilihat tidak mempunyai masalah dan apabila ia berlaku, semua
pihak termasuk ibu bapa dan pihak sekolah tidak menyangka perkara itu boleh berlaku.
``Ada kaunselor sekolah berkata kepada saya bahawa dia tidak menyangka seorang pelajarnya
membunuh diri.
``Ayat terakhir yang ditinggalkan oleh pelajar ini ialah `semua orang tidak memahami saya','' katanya
ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kajian Strategi Dalam Menangani Tingkah Laku
Bermasalah Pelajar di Sekolah Menengah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, baru-baru
ini.
Pensyarah lain yang turut menjalankan kajian yang sama ialah Profesor Datin Dr. Amla Mohd Salleh
dan Dr. Noriah Mohd Ishak. Kajian yang dibentangkan itu dibiayai oleh skim Penumpuan Penyelidikan
Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) dan melibatkan temu bual dengan 33 kaunselor dari Seremban,
Kuala Lumpur dan Selangor.
Data yang diperoleh kemudian diproses secara kualitatif dan kajian yang bermula pada bulan
September 2003 itu masih diteruskan sehingga hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian yang dilakukannya mendapati pelajar bermasalah yang
cenderung membunuh diri terdiri daripada mereka yang mempunyai tingkah laku terpinggir.
Menurutnya, tingkah laku itu menyebabkan pelajar berasa terasing kerana tidak mempunyai kumpulan
sendiri di sekolah.
Katanya, pelajar terlibat akan berasa dirinya tidak diterima di sekolah sekali gus menyebabkannya tidak
mempunyai rakan.
Tambahnya, tingkah laku pelajar terpinggir akan menjadi lebih buruk apabila berasa diri mereka juga
tidak dipedulikan oleh keluarga.
Pelajar yang berasa terpinggir di sekolah pula biasanya akan menjadi mangsa buli di sekolah atau
asrama.
Ini berlaku kerana pelajar berkenaan dilihat bersendirian tanpa mempunyai kumpulan sendiri.
``Pelajar berkenaan sebenarnya tidak mampu `membina' kumpulannya sendiri dan akhirnya akan
menjadi mangsa buli.
``Ini antara punca pelajar berasa terpinggir dan kesan buruknya ialah ia boleh mengakibatkan pelajar
membunuh diri,'' katanya.
Selain itu, katanya, kajian beliau juga mendapati pergaulan dan seks bebas pelajar bukan sahaja berlaku
di antara pelajar perempuan dan lelaki, sebaliknya melibatkan pelajar lelaki dan lelaki (homoseksual)
serta perempuan dan perempuan (lesbian).
Hasil kajian beliau mendapati ibu bapa gagal mengesan perubahan tingkah laku anak-anak di peringkat
awal.
``Hanya apabila anak gadis hamil atau anak perempuan memilih untuk menjadi berlagak seperti lelaki
atau sebaliknya, barulah ibu bapa sedar masalah yang dihadapi oleh anak masing-masing,'' katanya.
Beliau menjelaskan, masalah kecelaruan gender dalam kalangan pelajar sukar dikesan pada peringkat
awal kerana ibu bapa tidak mengesyaki apa-apa jika melihat anak lelaki atau perempuan mereka tidur
sebilik dengan rakan sama jantina.
Kajian beliau turut menyentuh perkara berkaitan masalah dadah, rokok, laku musnah, menonton video
dan melihat gambar lucah serta kurang motivasi dalam kalangan pelajar.
Mengulas pelajar kurang motivasi, beliau berkata, pelajar menjadi begitu kerana tidak meminati bidang
ilmu atau akademik.
Pelajar itu katanya perlu dibantu dengan menggalakkannya mengambil bidang yang diminati seperti
dalam bidang teknikal, sukan atau muzik.
Mengenai faktor penyumbang masalah itu, Dr. Zuria berkata, antara yang paling jelas ialah masalah
keluarga yang tidak stabil dan pengaruh rakan sebaya terutama jika rakan sebaya itu sudah berhenti
sekolah.
Justeru apakah penyelesaian masalah itu? Menurutnya, antara strategi yang boleh dilakukan ialah
mendekati pelajar tanpa mengira waktu sama ada ketika di kelas, waktu rehat atau pelajar berada di
rumah.
Menerusi pendekatan itu, katanya, pelajar bermasalah akan berasa diri mereka dihargai, disayangi dan
diperlukan sekali gus mengurangkan kecenderungan mereka untuk terus terlibat dalam masalah sosial.
``Sebenarnya, pelajar bermasalah memerlukan sokongan semua pihak dan berilah peluang kepada
mereka untuk bercerita dan meluahkan apa yang terbuku di hati,'' katanya.
Kajian beliau mendapati pelajar lebih suka bercerita mengenai masalah masing-masing kepada
kaunselor berbanding ibu bapa.
Ini kerana katanya, ibu bapa kerap memotong cakap anak-anak yang baru mahu berkongsi cerita
(masalah) dengan ibu bapa.
``Baru nak cerita, dah kena marah. Ini yang pelajar tidak suka. Sepatutnya ibu bapa sedia menjadi
pendengar yang baik kepada anak-anak,'' ujarnya.
Mengenai usaha kolaborasi dalam menangani masalah sosial pelajar, Dr. Zuria berkata, kaunselor perlu
mempunyai hubungan baik dan kerjasama dengan guru, pentadbir sekolah, persatuan ibu bapa dan
guru, polis, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak hospital.
Pemantauan berterusan boleh dilakukan oleh semua pihak berkenaan termasuk melaporkan segera kes-
kes pelajar bermasalah kepada pihak berkaitan.
``Ketua-ketua agama juga perlu memainkan peranan untuk membawa kembali pelajar bermasalah ke
pangkal jalan menerusi pendekatan agama masing-masing,'' katanya.
Isu - Isu Semasa
Empat jawatankuasa tangani gejala disiplin sekolah
EMPAT jawatankuasa bertindak di bawah Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid
(JIMGDM) terus menggiatkan usaha menangani disiplin pelajar - walau kadar kesalahan jenayah dan
salah laku semakin menurun tahun ini.
Keempat-empat jawatankuasa bertindak tersebut telah menerima dan mengkaji lebih 250 cadangan
awam dan seterusnya merencanakan program jangka pendek sederhana dan panjang.
Melalui empat jawatankuasa ini, sejumlah RM6.1 juta telah dipohon untuk melaksanakan program dan
aktiviti berkaitan hal itu.
Hal ini termasuklah perancangan Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan sejumlah 132 program
kokurikulum serta pembangunan sahsiah murid peringkat kebangsaan pada sepanjang tahun.
Program tersebut melibatkan aktiviti kokurikulum, disiplin murid, pendidikan pencegahan dadah,
kebajikan dan kesihatan, bahasa, kebudayaan dan kesenian, kelab dan persatuan, penggalakkan sains
dan teknologi, lawatan dan pertukaran murid, pendidikan luar dan badan beruniform.
Menurut Memorandum Kabinet Menangani Gejala Disiplin Di Sekolah yang dibentangkan kepada
Jemaah Menteri pada 26 April lalu, usaha mempergiatkan aktiviti Rakan Cop di sekolah juga
dilaksanakan dengan kerjasama polis.
``Pihak polis bersetuju membantu dan pegawai aduan di Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran
telah dihantar meninjau operasi Rakan Cop ini,'' katanya.
Menurut memorandum itu, kerjasama antara polis dan kementerian juga diperhebatkan melalui
mekanisme Pegawai Perhubungan Sekolah, Kadet Polis dan Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah
(KPJS).
Untuk memerangi gejala ponteng sekolah, kementerian dan polis bersetuju supaya masalah ponteng
sekolah diangkat kepada jemaah menteri kerana aspek undang juga perlu dilihat, dan ada kaitan dengan
Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada peringkat yang lebih luas, JIMGDM bersetuju supaya diwujudkan majlis permuafakatan antara
Kementerian Pelajaran dan pihak polis di semua peringkat kementerian, negeri, daerah dan sekolah.
Ketua Pengarah pelajaran dan Ketua Polis Negara akan mempengerusikan majlis ini di peringkat
kementerian.
___________________________________
Empat jawatankuasa bertindak:
1. Jawatankuasa Bertindak menangani isu-Isu Sekolah (ada gambar Datuk Noh Omar).
Tindakan:
a. Melihat kepada aspek - kurikulum, kokurikulum, personel dan pengurusan sekolah.
b. Memantau secara dekat isu berkaitan disiplin murid di bawah program Flying Squad.
c. Mengendalikan perbincangan dengan pengetua, guru besar serta pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan
Guru (PIBG) seluruh negeri.
.
2. Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan Masyarakat
(ada gambar Noh Omar)
a. Melibatkan tiga aspek yang berkaitan dengan ibu bapa dan PIBG, pertubuhan bukan kerajaan
(NGO), agensi, wakil rakyat dan pengurusan sekolah.
b. Kempen melalui media cetak dan elektronik.
c. Program kemahiran keibubapaan.
d. Membincangkan sumbangan tenaga serta kepakaran daripada agensi kerajaan lain.
.
3. Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan Perundangan dan Penguatkuasaan (ada gambar Datuk Hon
Choon Kim).
a. Pemantapan peruntukan dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang dalam kawasan sekolah.
Satu draf dinamakan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2006 telah digubal dan telah
diangkat ke Pejabat Peguam Negara untuk tujuan pewartaan.
b. Pemantapan peruntukan dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang diluar kawasan sekolah.
Cadangan pindaan undang-undang kepada Peguam Negara terhadap undang-undang kecil di bawah
Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berhubung dengan pengeluaran lesen dan pengenaan syarat-
syarat ke atas kafe siber, Akta Polis 1967 Akta 334) dan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
4. Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan psikologi dan Kesihatan (Ada gambar Komala Devi).
a. Melibatkan tiga aspek iaitu psikologi, kesihatan dan pengurusan sekolah.
b. Mendapat kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris
(UPSI) yang telah memulakan kajian berkaitan disiplin dan ponteng sekolah.
c. Menggerakkan kempen anti buli di sekolah serta pelaksanaan program bersama-sama Kementerian
Kesihatan dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi pemantapan sahsiah diri murid
termasuk psikologi dan kesihatan.

Langkah Menangani Buli


Empat langkah halang perbuatan buli
Oleh Noran Fauziah Yaakub
Dari semasa ke semasa, terdapat kes buli fizikal ekstrem yang berlaku di kalangan pelajar sekolah yang
mendapat perhatian media.Kes ekstrem ini menyebabkan percubaan membunuh diri, kecederaan parah
dan juga kematian.
Contoh-contoh buli fizikal ialah menolak, menampar, memukul atau memeras ugut. Dalam beberapa
kes yang pernah dilaporkan, ia bukan sahaja melibatkan pelajar lelaki tetapi juga pelajar perempuan.
Dalam kajian yang pernah penulis lakukan ke atas 2,600 orang pelajar dari 26 sekolah menengah dari
dua buah negeri, didapati mereka yang melaporkan terlibat dengan kegiatan membuli (fizikal dan
psikologi) adalah tinggi.
Menurut Profesor Olweus dari Bergen University, Norway iaitu pelopor dalam kajian buli di dunia,
sekiranya kes buli berlaku dalam lingkungan 10-15 peratus ia dianggap serius.
Terdapat pelbagai sebab kenapa pelajar membuli. Sebahagian besar daripada pembuli mengatakan
mereka membuli pelajar lain kerana seronok-seronok.
Malah ada pembuli yang bangga menyatakan dia ketua buli di sekolahnya!
Ada pembuli menyatakan mangsa memang patut dibuli dan yang lain pula menyatakan mereka bosan
dengan sekolah dan membuli pelajar lain merupakan satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan.
Sebab mereka membuli ialah kerana marah atau benci kepada mangsa.
Pelajar baru di sekolah adalah individu yang selalu menjadi mangsa buli. Pelajar yang disayangi guru
tidak akan digemari rakan.
Bagi kes buli fizikal, mereka yang berbadan kecil menjadi mangsa. Tidak mahu berkongsi alat tulis
atau memberi idea untuk membuat kerja rumah turut menjadi sebab membuli.
Bagi pelajar asrama pula, bentuk buli juga berlaku dengan meminta mangsa membasuh baju mereka,
mencuci tandas atau mengambil makanan dari kantin. Mereka yang lebih gemar bercakap dalam bahasa
Inggeris turut tidak disenangi.
Berlainan
Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah mereka yang menjadi mangsa ialah pelajar yang tidak disukai
kerana mereka berlainan daripada pelajar majoriti.
Apabila ditanya kepada pihak sekolah seperti guru kaunseling, guru disiplin atau pengetua, pelajar
yang menjadi pembuli tidak berminat dengan pelajaran, nakal, dan mempunyai masalah disiplin.
Dari segi latar belakang keluarga, pembuli dikatakan datang dari keluarga yang bermasalah, tidak
mendapat perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa atau terlalu dimanja. Pihak sekolah juga menyedari
pelajar baru turut menjadi sasaran.
Untuk menangani masalah buli, sekolah perlu mengakui bahawa masalah ini wujud dan ia menyakitkan
pelajar. Mangsa tidak akan mengadu kepada pihak pengurusan sekolah sekiranya mereka tahu cerita
mereka tidak akan dipercayai dan mereka tidak dijamin perlindungan.
Terdapat empat peringkat untuk menangani masalah buli.
Peringkat pertama ialah tahap sekolah, kedua tahap kelas dan ketiga tahap individu.
Bagi peringkat sekolah, langkah pertama ialah sekolah perlu mendapatkan maklumat tentang kes buli
yang berlaku di sekolah masing-masing, sama ada bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh dilakukan
dengan meminta pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan buli.
Pelajar boleh juga menulis kes-kes buli yang telah mereka alami. Untuk mendapat respons yang lebih
tinggi tentang perkara ini, identiti pelajar hendaklah rahsia.
Kedua, sekolah perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan buli.
Ini bukan sahaja dilakukan dengan menampal poster antibuli di sekolah, tetapi juga mengedarkan
risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa.
Maklumat yang terkandung dalam risalah ini merangkumi konsep buli, beberapa petua mudah untuk
menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli dan talian telefon atau
alamat e-mel untuk melaporkan insiden buli.
Mereka yang boleh membuat laporan bukan sahaja mangsa tetapi juga saksi.
Ketiga, satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah perlu dibentuk.
Antara ahli dalam jawatankuasa ini terdiri daripada pengetua, guru kaunseling, guru disiplin, wakil ibu
bapa dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya.
Keempat, perbincangan tentang buli hendaklah dimasukkan dalam agenda mesyuarat PIBG.
Bagi peringkat kelas pula, satu peraturan kelas berkaitan dengan toleransi sifar tentang buli perlu
dibentuk. Peraturan tersebut hendaklah menyenaraikan semua tingkah laku yang disifatkan sebagai
tingkah laku buli (psikologi dan fizikal), dan apa pula hukuman yang akan diterima jika ditangkap atau
dilapor melakukannya.
Setiap pelajar diberikan senarai peraturan tersebut dan mereka hendaklah menandatangani dokumen
tersebut dan satu salinan disimpan dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut
menandatangani peraturan berkenaan. Ini merupakan satu perjanjian tingkah laku antara pelajar dan ibu
bapa atau penjaga dengan sekolah.
Dari semasa ke semasa, guru hendaklah membincang tentang isu buli dengan pelajar.
Bagi peringkat individu, ia melibatkan pembuli dan mangsa. Jawatankuasa penyelaras antibuli
hendaklah mengadakan perbincangan menyelesaikan masalah tersebut bukan sahaja dengan pembuli
dan mangsa, tetapi juga ibu bapa atau penjaga mereka.
Seterusnya, guru kaunseling boleh mengadakan sesi main peranan tingkah laku empatik atau tidak
agresif dengan pembuli. Latihan asertif pula perlu diadakan dengan mangsa.
Sudah sampai masanya pihak yang bertanggungjawab perlu memikirkan dengan serius tentang masalah
buli dan cuba melaksanakan bagaimana hendak mengatasinya atau menghalangnya daripada berlaku.
Kita tidak perlu menunggu kes ekstrem yang lain untuk berlaku sebelum kita berbuat sesuatu untuk
memastikan kawasan sekolah selamat (psikologi dan fizikal) untuk anak-anak kita.
- Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub ialah Presiden Persatuan Psikologi Malaysia.
Berita Buli 3
Kena buli : Mangsa tidak tahu mengapa 17/02/2004 12:35 p.m.
Oleh Marzita Abdullah
NORAN FAUZIAH YAAKUB

KAJIAN buli di sekolah rendah oleh Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub mendapati ada mangsa buli
sebenarnya tidak tahu mengapa mereka dibuli.
Seorang mangsa buli iaitu murid perempuan pernah ditolak murid lain sehingga jatuh bukit dan
berubah perangai menjadi seorang yang penakut dan murung kerana sering dibuli dan tidak tahu
mengapa dibuli.
Namun daripada pemerhatian yang dibuat semasa kajian tersebut Noran mendapati, mangsa berkenaan
dilakukan sedemikian kerana keadaan fizikalnya yang gemuk dan kulitnya yang gelap.
``Disebabkan dia gemuk dan sering berjalan lambatlah maka murid lain menolak dan mengejeknya,''
katanya.
Tegas Noran walaupun kejadian buli dianggap oleh pihak sekolah suatu perkara biasa atau sekadar
`gurauan' di kalangan murid namun perkara tersebut sebenarnya mampu mendorong kepada perbuatan
yang serius jika tidak dibendung.
``Ibu bapa dan guru seringkali tidak menjangka teruknya kesan buli dan memandang remeh perbuatan
tersebut,'' katanya.
Katanya, kesan-kesan buli membawa kepada sikap negatif dari segi jangka panjang malah di luar
negara kesan buli boleh menyebabkan kejadian bunuh diri.
Di luar negara seorang murid membunuh diri kerana diejek gemuk dan berambut kerinting malah ada
yang membunuh rakannya kerana tidak tahan dibuli setelah guru dan pihak sekolah gagal mengambil
tindakan intervensi.
Mangsa buli akan menjadi seorang dewasa terlalu emosional sehingga menjejaskan hubungannya
dengan orang lain dan keluarga.
Malah kajian menunjukkan ada murid yang menjadi pembuli akan bertindak agresif apabila dewasa
menjadi seorang pendera terhadap isteri, perogol dan perompak.
Terdapat dua kategori buli iaitu buli fizikal antara lain melibatkan perbuatan memukul, menendang,
menarik rambut, menolak mencubit manakala buli psikologi melibatkan kata-kata (verbal) seperti
mengejek, menggelar murid dengan nama yang tidak baik dan sebagainya.
Di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Norway, England, Australia dan Jepun kajian tentang buli di
peringkat sekolah rendah mendapati ia banyak melibatkan buli verbal manakala tingkah laku buli di
Itali banyak melibatkan buli fizikal dan peras ugut.
``Bagaimanapun di Jepun buli verbal banyak melibatkan kejadian bunuh diri dikenali sebagai `ijime'
iaitu murid dibuli kerana tidak mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang sehingga
menyebabkan mereka membunuh diri,'' katanya.
Di luar negara seperti Norway dan Australia kejadian buli berlaku semasa waktu rehat atau di padang
permainan iaitu semasa ketiadaan guru.
``Tetapi di negara kita kejadian buli berlaku di dalam kelas semasa guru mengajar dan sebelum guru
masuk mengajar,'' katanya.
Kejadian buli di kantin dan padang sekolah di negara ini hanya mencatatkan masing-masing 18.0
peratus dan 17.4 peratus.
Kejadian buli juga banyak berlaku semasa murid pulang dari sekolah (23.9 peratus), koridor kelas (16.6
peratus), perjalanan ke sekolah (13.1 peratus), perhimpunan (10.70 peratus) dan tandas (11.7 peratus).
Dalam pada itu beliau berkata, dapatan kajiannya juga mendapati hanya 8.6 peratus sahaja murid tidak
pernah menjadi mangsa buli dan sebanyak 14.5 peratus murid tidak pernah membuli.
Malah katanya, majoriti kejadian buli melibatkan murid lelaki Tahun 6 membuli rakan sekelasnya yang
juga murid lelaki Tahun 6 manakala jumlah murid perempuan yang menjadi pembuli dan mangsa buli
adalah terlalu sedikit.
``Murid-murid ini terlibat membuli secara fizikal seperti menendang, menolak dan memeras ugut
manakala buli psikologi melibatkan perbuatan mengejek, menyindir atau memanggil rakan dengan
panggilan tidak baik,'' katanya.
Sementara itu, kajiannya juga mendapati murid yang dibuli lazimnya akan bertindak semula menjadi
seorang pembuli kerana ingin membalas dendam sama ada kepada pembuli atau murid lain.
Daripada jumlah tersebut 53.6 peratus murid yang dibuli secara fizikal akan membuli rakan yang lain
secara fizikal manakala 49.4 peratus yang dibuli secara psikologi akan melakukan perkara yang sama
kepada rakannya.
Kajian Noran itu yang dijalankan pada tahun lalu meliputi 2,528 murid di 29 sekolah di Perak iaitu di
Ipoh, Kuala Kangsar, Sungai Siput, Teluk Intan dan beberapa sekolah di hulu Perak.
Daripada jumlah tersebut sebanyak 818 murid sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina
(SJKC) dan SJKT dengan masing-masing sebanyak 750 dan 950 responden manakala pembahagian
jantina pula ialah 51.2 peratus murid lelaki dan 48.8 peratus murid perempuan.

You might also like