You are on page 1of 4

MALAYSIA SEBUAH NEGARA YANG KAYA DENGAN PELBAGAI BUDAYA DAN

ADAT RESAM

Kepelbagaian budaya di Malaysia telahpun terbentuk semenjak dari Zaman Kesultanan Melayu
Melaka.  Peranan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangasa telah membuka ruang
kepada kemasukan para peniaga dan pedagang asing ke Tanah Melayu.  Kebanjiran masyarakat
asing di Tanah Melayu terus bertambah hasil daripada tindakan penjajah yang membawa masuk
imigran-imigran asing sebagai buruh, petani dan askar upahan.

Kini selepas 51 tahun merdeka, kesemua etnik utama seperti China dan India masih mampu
mengekalkan jati diri masing.  Mereka masih lagi mengekalkan agama dan anutan nenek moyang
mereka.  Malahan pusat-pusat keagamaan bagi agama Hindu, Buddha dan Sikh bersilih ganti
membawa masuk pengamal-pengamal agama atau sami-sami dari negara asal mereka ke negara
ini bagi memastikan kesinambungan ajaran nenek moyang mereka.

Walaubagaimanapun, evolusi terhadap ‘budaya kebendaan’ tetap berlaku.  Kehidupan


bermasyarakat yang aman dan harmoni di antara orang Melayu dan bukan Melayu di negara ini
telah menjadi penggalak kepada berlakunya perkongsian budaya di mana budaya masyarakat
Melayu dan bukan Melayu ini telah diterima pakai dan diserapkan ke dalam cara hidup satu
sama lain.

Pengaruh Budaya Melayu di Kalangan Masyarakat Bukan Melayu

Pengaruh budaya Melayu di kalangan masyarakat bukan Melayu paling jelas dapat dilihat di
kalangan masyarakat Cina Peranakan dan Chetty.

Cina Peranakan

‘Cina Selat’ atau lebih dikenali sebagai Baba dan Nyonya adalah golongan Cina yang telah
menyerap dan menjalani kebudayaan Melayu dalam kebudayaan mereka.  Penyesuaian dan
resapan budaya mereka terhadap suasana sosio-budaya di persekitaran mereka di zaman silam,
iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku di antara kaum-kaum Cina dan Melayu, adalah
punca utama mengapa generasi-generasi seterusnya memanggil mereka sebagai "Baba".

Berbeza dengan Baba dan Nyonya di Melaka, Cina Peranakan Kelantan diberi banyak gelaran.
Orang Melayu memanggil mereka Cina kampung, Cina Kelantan atau Orang Cina kita.  Bagi
Cina di bandar, mereka dipanggil Cina benua atau Cina Bandar manakala masyarakat Thai di
Kelantan menggelar mereka sebagai Cina Darat, Cina Kampung atau Cina Kelantan.  Nama-
nama yang digunakan seperti Gan Awang, Tan Awang Besar, Lau Cheng San atau Che Hassan,
Che Midah, Mek Su dan nama-nama lain mencerminkan bagaimana proses asimilasi telah
merubah dan membentuk budaya tersendiri di kalangan masyarakat tempatan. 

            Antara persamaan Cina Peranakan Kelantan dan Melaka dengan masyarakat Melayu
adalah dari segi masakan, bahasa harian, pakaian dan aktiviti-altiviti kerakyatan.  Dari segi
bahasa, masyarakat Baba Nyonya di Melaka bertutur dalam bahasa Baba iaitu sejenis dialek
Melayu yang dapat difahami oleh kebanyakan orang Melayu, manakala Cina Peranakan
Kelantan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dialek Kelantan dengan bahasa Hokkien yang
berbeza hasil campuran Melayu dan Thai.  Tetapi umumnya mereka ini tidak tahu berbahasa
Mandarin.

Seperti orang Melayu, mereka juga gemar memakan sirih dan mengunyah sentil tembakau.  Cara
masakan mereka pula kebanyakannya dipengaruhi oleh cara masakan Melayu dan adalah
menjadi satu kebiasaan bagi mereka makan dengan menggunakan tangan sebagaimana juga
orang-orang Melayu.  Antara menu utama masyarakat Baba Nyonya di Melaka termasuklah lauk
pauk seperti masak asam pedas, masak lemak dan sambal belacan manakala Cina Peranakan
Kelantan tidak janggal makan ulam bercicahkan budu.

Bermain gasing dan menonton wayang kulit merupakan antara aktiviti tradisional yang digemari
oleh Cina Peranakan Kelantan.  Kebolehan menulis dan membaca dalam Jawi pula adalah satu
perkara biasa bagi generasi tua Cina Peranakan Kelantan yang mendapat pendidikan di sekolah
aliran Melayu selain pergaulan yang rapat sejak kecil dengan rakan mereka yang berbangsa
Melayu.  Bagi masyarakat Baba di Melaka, berpantun dan berjoget lambak sudah dianggap
sebagai daripada warisan budaya mereka.

Penyerapan budaya Melayu di kalangan Cina Peranakan ini lebih terserlah apabila di Kelantan
kita dapat melihat warga tuanya gemar memakai semutar ketika bekerja di bawah terik matahari
dan memakai kain batik atau kain pelekat sebagai pakaian harian mereka.  Begitu juga di Melaka
kita boleh melihat generasi tua Baba perempuan (Nyonya) gemar memakai kebaya dan sarong
seperti mana wanita Melayu.

India Peranakan

            Masyarakat Hindu Peranakan yang juga dikenali sebagai masyarakat Chetti Melaka
adalah satu kelompok masyarakat minoriti India yang unik di Melaka. Masyarakat ini tidak boleh
disamakan dengan masyarakat chetty yang terkenal dalam bidang peminjaman wang tetapi ia
adalah masyarakat yang terbentuk hasil daripada perkahwinan campur antara orang-orang Hindu
dengan orang-orang tempatan seperti Melayu, Cina dan lain-lain.

            Perkahwinan campur dan pergaulan harian yang rapat dengan masyarakat tempatan turut
mempengaruhi budaya masyarakat India Pernanakan ini.  Sebagai contoh, pakaian tradisional
mereka lebih mirip kepada masyarakat Melayu iaitu kebaya labuh dan bersanggul tiga bagi
wanita manakala yang lelakinya pula berkain pelekat, baju Melayu labuh dan talapa iaitu kain
seperti serban bagi menutup kepala.

Oleh kerana kehidupan mereka dipengaruhi oleh alam sekeliling dan pergaulan dengan
masyarakat tempatan, maka makanan harian mereka juga adalah seperti orang Melayu iaitu nasi. 
Selain itu, mereka juga menjadikan kuih-kuih tradisional Melayu seperti dodol, wajik dan kuih
bahulu sebagai antara hidangan utama untuk menyambut tetamu ketika hari perayaan.

Masyarakat India dan Cina Moden, dan Masyarakat Bukan Melayu Lain
            Selain daripada masyarakat Baba Nyonya, Peranakan Cina Kelantan dan masyarakat
Chetty, pengaruh budaya Melayu juga terdapat di kalangan masyarakat bukan Melayu lain
seperti bumiputra Sabah dan Sarawak, dan juga masyarakat India dan Cina moden.  Bezanya
pengaruh budaya Melayu di kalangan mereka sekadar melibatkan proses akulturasi dan
bukannya asimilasi. 

Antaranya kita dapat melihat Bahasa Melayu digunakan sebagai medium komunikasi utama di
antara dua individu yang berlainan etnik.  Bagi kaum wanita, sepasang dua baju kurung sudah
pasti ada di dalam senarai pakaian harian mereka ke pejabat.  Begitu juga dengan kaum lelaki
yang tidak kekok mengenakan baju batik ketika menghadiri majlis-majlis rasmi. 

Di sekolah-sekolah pula, sudah menjadi satu kebiasaan bagi pelajar-pelajar Cina dan India
bahkan juga masyarakat bumiputra di Sabah dan Sarawak memilih baju kurung sebagai pakaian
sekolah sekolah.  Senario ini dapat dilihat bukat sahaja di sekolah-sekolah kebangsaan ataupun di
sekolah-sekolah integrasi, tetapi juga di sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

1.      http://ms.wikipedia.org/wiki/baba_dan_nyonya

2.      http://ms.wikipedia.org/wiki/chetty

3.      http://mforum.cari.com.my

4.      http://www.heritage.gov.my/kekkwa

Pengaruh Budaya Bukan Melayu di Kalangan Masyarakat Melayu

            Sebagai penduduk asal Tanah Melayu yang telah menerima kehadiran pelbagai budaya
asing semenjak beratus tahun lamanya, budaya masyarakat Melayu dengan sendirinya
terevolusi.  Terdapat banyak pengaruh asing yang telah diterima dan diamalkan dalam kehidupan
masyarakat Melayu sekarang dan ianya dapat dilihat dari segi cara berpakaian, makanan,
hiburan, majlis perkahwinan, majlis hari lahir dan sebagainya.

            Golongan lelaki memilih baju kemeja dan seluar ‘slack’ dan tali leher sebagai pakaian
rasmi ke pejabat berbanding baju Melayu, sampin dan songkok.  Senario ini adalah senario
akulturasi yang berlaku pada masyarakat Melayu di Malaysia.  Hanya golongan wanita yang
kekal anggun mengenakan baju tradisi seperti baju kurung dan kebaya untuk ke pejabat dan
urusan-urusan rasmi lainnya.  Pun begitu, fesyen pakaian golongan wanita ini juga tidak lepas
dari pengaruh asing.  Jubah dan kepelbagaian tudung dari Timur Tengah menjadi  fesyen terkini
wanita Melayu. 

            Pemberian angpau ketika Hari Raya Aidilfitri merupakan budaya yang asalnya dipinjam
dari budaya masyarakat Cina.  Dalam budaya masyarakat Cina, pemberian angpau adalah dari
golongan yang sudah berkahwin kepada mereka yang masih bujang, tetapi dalam masyarakat
Melayu, pemberian angpau pula adalah dari orang dewasa (tanpa mengira yang sudah berkahwin
ataupun yang masih bujang) kepada kanak-kanak kecil dan remaja yang masih bersekolah dan
juga dari seorang anak kepada kedua ibu bapa mereka.  Malahan ada juga yang memberi angpau
kepada nenek serta datuk.

            Permainan bunga api dan mercun ketika Hari Raya Aidilfitri juga merupakan pengaruh
budaya masyarakat Cina.

            Sekiranya kita lihat daripada segi makanan, masyarakat Melayu turut mempunyai menu
yang sama dengan masyarakat Cina dan India seperti roti canai, capati, maruku, kari, mee hailam
dan nasi ayam.  Semua ini adalah contoh masakan masyarakat lain yang diserap ke dalam budaya
Melayu hasil daripada perkahwinan campur ataupun pergaulan seharian.  Selain itu, pengaruh
makanan barat juga semakin meluas di kalangan masyarakat Melayu.  ‘Roti John’ dan ‘Burger
Ramlee’ adalah antara pengaruh makanan masyarakat barat di kalangan masyarakat Melayu
yang mana orang Melayu telah menerima makanan tersebut sebagai makanan Melayu. 
Masyarakat Melayu juga pada hari ini lebih gemar makan menggunakan sudu dan garfu ketika
tangan berbanding tangan.

            Pengaruh barat juga dapat dilihat ketika adanya majlis-majlis sambutan hari lahir.  Lilin
akan dibakar mengikut bilangan umur di atas sebiji kek dan kemudiannya ditiup oleh individu
yang diraikan.  Masyarakat Melayu tidak sepatutnya mendedahkan anak-anak mereka dengan
budaya berparti seperti ini sebaliknya sambutan hari lahir perlulah diraikan dengan majlis doa
selamat ataupun kenduri kesyukuran.

            Sebenarnya, pengaruh budaya asing dalam masyarakat Melayu masih begitu banyak
untuk dihuraikan.  Sikap keterbukaan masyarakat, pengaruh arus kemodenan dan agenda
pembangunan negara adalah antara medium belakunya akulturasi budaya ini.  Pengaruh yang
baik wajar kita terima dalam budaya kita.  Walaubagaimanapun, perlu ada pemantauan dilakukan
terhadap kemasukan budaya asing ini supaya tidak terus meresap ke dalam budaya tempatan
dengan sewenang-wenangnya.  Sebagai contoh, hiburan dan fesyen yang dibenarkan masuk dari
luar tanpa sebarang had telah menyebabkan tersebarnya budaya Black Metal, Punk, Gothic dan
Skinhead di kalangan remaja Melayu.  Budaya negatif seperti ini sekiranya tidak dibendung,
mampu menjadi punca kepada kehancuran negara.

You might also like