You are on page 1of 10

KETERANCAMAN KESIHATAN EKOSISTEM BUKIT FRASER:

IMPAK PENJANAAN SISA BUANGAN


Zaini Sakawi, Asmah Ahmad & Mohd Hairimi Mohd Ali

ABSTRAK

Penjanaan sisa buangan merupakan sebahagian daripada komponen pencemar alam sekitar. Masalah
penjanaan sisa buangan yang terdiri daripada sisa pepejal, cecair dan gas bukan sahaja menjadi isu kronik
dalam ekosistem bandar, tetapi juga dalam pelbagai ekosistem terestrial lain dan juga ekosistem akuatik.
Kewujudan ekosistem tanah tinggi sebagai sumber pelancongan juga merupakan sebahagian daripada
ekosistem yang tidak terkecuali menerima impak penjanaan sisa buangan sebagai manifestasi sikap
masyarakat, tahap kesedaran alam sekitar yang rendah, kelemahan pengurusan dan pentadbiran sesuatu
kawasan. Bagi merungkai masalah ini, kajian ini cuba melihat bagaimana penjanaan sisa buangan sama ada
secara semulajadi atau/dan akibat aktiviti manusia menjadi salah satu punca perubahan dan
ketidakseimbangan kesihatan ekosistem tanah tinggi, khususnya di Bukit Fraser. Dapatan kajian
menunjukkan punca penjanaan sisa di kawasan ini tidak sahaja terhad kepada faktor manusia sebagai
penjana utama, tetapi punca semulajadi juga dilihat penyumbang besar penjanaan sisa apabila aspek
pengurusan diabaikan. Kehadiran sisa buangan ini dilihat sebagai ancaman utama kepada keseimbangan
kesihatan ekosistem Bukit Fraser kerana penjanaan yang berterusan bukan sahaja memberi impak ke atas
persekitaran fizikal, tetapi impak negatif ke atas persekitaran manusia.

Kata Kunci: Sisa buangan semulajadi, sisa buangan buatan, penjanaan sisa buangan, keterancaman
ekosistem, pengurusan alam sekitar

ABSTRACT

Waste generation is a component of environmental pollutant. The problem of waste generation albeit
solid wastes, liquid and gaseous, has not only become a chronic issue in the urban ecosystem, but also in
other terrestrial ecosystems as well as aquatic. The conversion of highland ecosystem for tourism has not
spared it from the impacts of waste generation, a manifestation of societal attitude, low environmental
awareness, and weakness in the management and administration of an area. To understand the problem, this
study attempts to find out how does waste generation, either via natural or/and man-made activities, acts as
one of the sources of change and disequilibrium in highland ecosystem health, particularly at Bukit Fraser.
Findings from the study showed that waste generation in the latter area was not only limited to the human
factor as the main polluter or waste generator, but was also mainly contributed by nature especially when
waste management was ignored. The presence of the wastes was seen to be a major threat to the health
equilibrium of Bukit Fraser’s ecosystem. This is because continuous generation of wastes does not only
impact the physical environment negatively, but the human environment as well.

Key words: natural wastes, man-made wastes, waste generation, ecosystem vulnerability, environmental
management

PENGENALAN

Keseimbangan ekosistem merupakan satu keadaan yang stabil antara sistem yang terdapat di permukaan
bumi. Salingkaitan antara manusia dan alam sekitar sendiri boleh memberi impak ke atas kepelbagaian
ekosistem sama ada ekosistem terrestrial dan ekosistem akuatik. Impak salingkaitan ini bukan sahaja
terjana dalam impak positif, tetapi juga memberi impak negative kepada persekitaran. Antara impak
negative yang mungkin wujud dari salingkaitan ini ialah perubahan persekitaran fizikal, khususnya
berkaitan dengan pencemaran udara, kualiti air, gangguan bunyi bising, hakisan, tanah runtuh, banjir kilat,

Seminar Bio-kejuruteraan, Penilaian Ekosistem & Spesies 2009. Shahzan Inn, Bukit
Fraser, Pahang13-15 April 2009 1
dan masalah sisa buangan. Gangguan keseimbangan ekosistem ini tidak sahaja terhad dalam ekosistem
urban yang memang secara luwesnya amat terdedah kepada perubahan dan gangguan yang berlaku.
Perubahan keseimbangan ekosistem ini boleh berlaku dalam ekosistem hutan, akuatik, dan ekosistem tanah
tinggi.

Kewujudan ekosistem tanah tinggi yang berkaitan dengan keindahan semulajadi dan nilai estetika
yang tinggi boleh mengundang manusia datang menikmati keindahan tersebut. Dalam konteks ini,
kewujudan salingkaitan atau interaksi ini akan menjana kepelbagaian impak. Antara impak yang akan
dibincangkan dalam perbincangan ini, khususnya di tanah tinggi peranginan seperti Bukit Fraser ini ialah
penjanaan sisa buangan. Isu sisa buangan di kawasan tanah tinggi bukan merupakan isu semasa yang
kurang penting berbanding dengan peranannya dalam ekosistem Bandar, tetapi ia juga boleh memberi
impak negatif ke atas pembangunan pelancongan di kawasan Tanah tinggi sepert kawasan peranginan tanah
tinggi Bukit Fraser.

Penjanaan sisa buangan berlaku tidak sahaja terhad disebabkan pengaruh manusia khususnya
berkaitan dengan penjanaan dan pelupusannya, tetapi ia juga boleh berlaku secara semulajadi (Zaini 2006a:
Zaini et al. 2009)). Faktor penguatkuasaan dan kelemahan pentadbiran boleh menjadi sebagai satu perisai
yang boleh mengurangkan masalah penjanaan sisa buangan ini. Penjanaan sisa buangan di kawasan
peranginan tanah tinggi seperti Fraser Hill bukan sahaja wujud dalam bentuk pepejal, tetapi turut menjana
sisa dalam bentuk cecair dan gas. Kepelbagaian isu berkaitan dengan pengurusan sisa buangan ini memberi
harapan bukan sahaja terhadap kesejahteraan dan keamanan persekitaran, tetapi turut mengundang kepada
kelestarian ekosistem khususnya pembangunan di sekitar pusat peranginan Bukit Fraser

METOD KAJIAN

Umumnya, kajian ini lebih fokus kepada pemerhatian dan data primer di lapangan. Kaedah pengamatan di
lapangan adalah proses untuk penerangan terperinci berhubung dengan sesuatu fenomena yang berlaku
bagi membuktikan situasi dan kejadian yang wujud. Pemerhatian dan pengamatan di lapangan ini bertujuan
mendapatkan maklumat berkaitan persekitaran semasa kawasan kajian khususnya berkaitan dengan
penjanaan sisa buangan dalam ekosistem daratan dan akuatik di Bukit Fraser. Kaedah ini juga
membolehkan pengkaji mendapat maklumat secara terus tentang perubahan yang berlaku dan disokong
dengan gambar semasa sebagai bukti. Data dan maklumat yang diperolehi dapat membantu melengkapkan
kajian ini khususnya perbincangan berkaitan dengan keterancaman kesihatan ekosistem Bukit Fraser impak
penjanaan sisa buangan.

PERSEKITARAN BUKIT FRASER

Keindahan ekosistem tanah tinggi Bukit Fraser yang terserlah melalui persekitaran tanah tinggi yang masih
belum ketara perubahan ekosistem terestial dan akuatik di sekitarnya serta keselesaan cuaca tempatannya
mampu mengamit pelancong untuk berkunjung. Nilai estetika semulajadi ekosistem tanah tinggi ini harus
dikekalkan sebagai daya tarikan kepada orang ramai yang inginkan ketenangan, kedamaian dan pelarian
dari ekosistem (Rajah 1). Bandar yang terdedah dengan pelbagai pencemaran dan ketidak selesaan seperti
pencamaran bunyi, udara dan kawasan hijau. Pembangunan sedia ada yang terhad dan selari dengan
keperluan dan rupa bumi tanah tinggi harus dikekalkan bagi menjamin kesejahteraan Bukit Fraser terus
terpeliharaan. Gunatanah semasa yang lebih tertumpu kepada penginapan dan perhotelan bagi pengunjung
merupakan persekitaran sedia ada yang memberi ruang dan kesempatan bagi pengunjung berehat sambil
menikmati khazanah semulajadi ekosistem tanah tinggi ini.

Kewujudan kawasan kediaman khususnya pekerja di kawasan tanah tinggi yang berpusat di sekitar
Taman Hijau mencerminkan perancangan yang teratur kerana fenomena ini harus diwujudkan bagi
memastikan tidak berlaku kecelaruan kawasan kediaman yang merupakan punca penting yang
menyumbang kepada keterancaman kesihatan ekosistem tanah tinggi, khususnya yang berkaitan dengan
penjanaan sisa buangan. Begitu juga dengan kawasan gerai makan serta jualan cenderamata berpusat
memberi satu persekitaran yang sihat khususnya memudahkan aspek pengurusan dan pentadbirannya

Seminar Bio-kejuruteraan, Penilaian Ekosistem & Spesies 2009. Shahzan Inn, Bukit
Fraser, Pahang13-15 April 2009 2
Rajah 1: Pemandangan Pintu Masuk Utama ke Bukit Fraser
Sumber: Kerjalapangan, November 2008

KONSEP EKOSISTEM KESIHATAN DAN SISA BUANGAN

Ekosistem kesihatan merujuk kepada kesejahteraan, keseimbangan dan kestabilan sesuatu ekosistem sama
ada merujuk kepada ekosistem terrestrial dan ekosistem akuatik. Perubahan yang berlaku ke atas sebarang
ekosistem ini bukan sahaja memberi impak kepada gangguan kesihatan ekosistem yang boleh menjejaskan
kualiti alam sekitar Bukit Fraser tetapi juga memberi impak persekitaran manusia khususnya sebagai daya
tarikan kepada pelancong yang mencintai keaslian alam sekitar. Perubahan yang berlaku yang boleh
memberi impak langsung dan tidak langsung ke atas kesihatan ekosistem boleh berlaku dalam bentuk
gangguan kualiti udara, air, bunyi, landskap dan sisa buangan. Gangguan yang tidak terkawal dan
berterusan ini bukan sahaja menjadi penyumbang kepada kecacatan imej Bukit Fraser sebagai destinasi
pelancong tetapi keseimbangan dan keaslian ekosistem semulajadi harus dikekalkan demi kesihatan
ekosistem yang seimbang dan berterusan akan terus kekal dan terpelihara.

Sementara sisa buangan merupakan kumbahan atau buangan yang tidak diperlukan oleh sebarang
aktiviti manusia ke dalam sebarang bentuk ekosistem sama ada secara langsung dan tidak langsung. Walau
bagaimanapun penjanaan sisa buangan dalam ekosistem ini juga boleh berlaku secara semulajadi. Peranan
sisa buangan dalam kesejahteraan dan kestabilan kesihatan ekosistem amat penting dan tidak harus dilihat
sebagai gangguan yang biasa. Ini kerana perubahan kesihatan ekosistem yang wujud impak penjanaan sisa
buangan ini bukan sahaja terjana dalam bentuk nilai estetika sesuatu ekosistem, tetapi impak jangka
panjang terhadap kesihatan ekosistem wujud dalam bentuk perubahan kualiti udara, air, bunyi, landskap
dan hakisan. Menurut Zaini (2009)gangguan kesihatan ekosistem impak penjanaan sisa buangan berterusan
ini memberi kesan penting ke atas kesejahteraan dan kesimbangan persekitaran fizikal dan manusia.

SALINGKAITAN ANTARA MANUSIA DAN ALAM SEKITAR

Interaksi antara manusia dan alam sekitar melibatkan pelbagai aktiviti (Zaini 2006b; Abdul Samad Hadi
1993). Antara aktiviti yang sinonim dengan persekitaran indah Bukit Fraser ialah Jungle tracking melalui
trail, perkhemahan, nature walks, bird watching, boat padding, mountain ride, waterfall picnics dan
pelbagai aktiviti out door. Interaksi ini akan menjadi punca utama atau sumber penting yang akan
menyumbang kepada penjanaan sisa buangan dalam ekosistem daratan dan akuatik di Bukit Fraser. Penjana
ini bukan sahaja dalam bentuk sisa pepejal, tetapi wujud dalam bentuk cecair (Zaini 2007, Zaini et al. 2009)
khususnya melalui effluen kumbahan yang dilepaskan dari aktiviti perhotelan, perniagaan, dan perumahan
di sekitarannya. Sumbangan penjanaan sisa buangan sebagai satu bentuk ‘input’ ke atas terancaman
kesihatan ekosistem Bukit Fraser tidak harus dipandang mudah memandangkan keaslian dan unsur
semulajadi yang sedia ada di Bukit Fraser harus dikekalkan kerana ia merupakan tarikan utama pelancong
untuk mengunjungi Bukit Fraser selain sebagai destinasi berehat yang paling santai jauh dari gangguan
kota dan suasana tercemar.

Seminar Bio-kejuruteraan, Penilaian Ekosistem & Spesies 2009. Shahzan Inn, Bukit
Fraser, Pahang13-15 April 2009 3
PENJANAAN SISA BUANGAN KE ATAS EKOSISTEM DARATAN /TRIAL

Sisa buangan yang terjana dalam ekosistem terestial dan juga persekitaran trial di sekitar bukit Fraser
umumnya berselerak di sekitar jalan dan longkang (Rajah 2) kerana punca semulajadi dikesan sebagai
punca utama yang menyumbang sisa dalam ekosistem tanah tinggi ini. Di samping itu, punca dari kawasan
perumahan, perhotelan, institusi dan kedai juga merupakan punca penjanaan sisa buangan melalui aktiviti
manusia (Rajah 3). Kurangnya kesedaran, kelemahan pengurusan serta kemudahan tempat bagi penstoran
sisa domestik ini menjadi punca kepada penjanaan yang meningkat.

Rajah 2: Sisa semulajadi dalam ekosistem terrestrial


Sumber: Kerjalapangan November 2008

Rajah 3: Sisa dari aktiviti manusia dalam ekosistem


terrestrial Sekitar Taman Hijau
Sumber: Kerjalapangan November 2008

PENJANAAN SISA BUANGAN KE ATAS EKOSISTEM AKUATIK

Sisa buangan dalam ekosistem di bukit Fraser dikesan di badan air disekitar ekosistem Bukit Fraser. Antara
sisa buangan yang berkaitan dengan ekosistem ini ialah sisa buangan cecair dan juga pepejal khususnya
sediment. Penjanaan sisa sediment khususnya sebagai sisa buangan semulajadi semakin kronik di sungai
utama (Rajah 4), kerana mendakan sediment secara semulajadi ini dikesan semakin bertambah kuantitinya.
Fenomena ini dikesan mendatangkan masalah kepada kedalaman air sungai dan nilai estetika sungai
sebagai tempat kunjungan pelancong juga tergugat. Begitu juga dengan sisa ranting dan daun pokok (Rajah
5) yang banyak dikesan di badan air sungai juga tidak diurus dengan sempurna. Longgokan sisa ini
menganggu keselesaan pengunjung dan juga secara langsung memberi pemandangan yang tidak esotik ke
atas keseimbangan alam sekitar Bukit Fraser khususnya ekosistem akuatik.

Seminar Bio-kejuruteraan, Penilaian Ekosistem & Spesies 2009. Shahzan Inn, Bukit
Fraser, Pahang13-15 April 2009 4
Rajah 4: Sisa semulajadi daripada sedimen
Sumber: Kerjalapangan November 2008

Rajah 5: Sisa semulajadi – ranting dan daun


Sumber: Kerjalapangan November 2008

Begitu juga dengan sisa buangan cecair, khususnya kumbahan domestik dari aktiviti perniagaan dan
perhotelan. Kebanyakkan system perparitan dari kawasan ini mengalir terus kedalam badan air khususnya
sungai utama dalam ekosistem Bukit Fraser. Pencemaran air yang ketara ini bukan sahaja menjadi punca
kepada perubahan kualiti air dalam bentuk kimia, tetapi juga aspek kualiti berkaitan dengan kekeruhan.
Disamping itu, terdapat juga sisa makanan seperti bekas minuan dan kertas yang berselerak di sekitar
tebingan sungai dan juga terapung dalam ekosistem sungai (Rajah 6-7).

Rajah 6: Sisa dari aktiviti manusia


Sumber: Kerjalapangan, November 2008

Seminar Bio-kejuruteraan, Penilaian Ekosistem & Spesies 2009. Shahzan Inn, Bukit
Fraser, Pahang13-15 April 2009 5
Rajah 7: Sisa dari aktiviti manusia
Sumber: Kerjalapangan, November 2008

Punca utama yang berkaitan dengan penjanaan sisa buangan dalam ekosistem akutik Bukit Fraser ini jelas
datang dari dua sumber utama iaitu sumber semulajadi dan aktiviti manusia. Punca secara semulajadi
dikesan sebagai punca yang paling dominan memandangkan punca dari sedimen, daun dan ranting (Rajah
4-5) pokok dikesan banyak didapati disepanjang sungai berhampiran dan menjadi kunjungan pelancong.
Sementara punca sisa buangan dalam ekosistem akuatik ini yang dijana melalui aktiviti manusia ialah sisa
buangan plastik, kertas, bekas makanan polisterin, pembungkus makanan, tin minuman, dan sebagainya
(Rajah 6-7).

KETERANCAMAN EKOSISTEM KESIHATAN BUKIT FRASER IMPAK PENJANAAN SISA


BUANGAN

Keterancaman kesihatan ekosistem Bukit Fraser impak penjanaan sisa buangan jelas dikesan melalui
taburan lokasi buangan sisa manusia di laluan pejalan kaki, kawasan kediaman, tebing sungai, parit dan
longkang di sekitar kawasan kunjungan utama pelancong. Fenomena ini mendatangkan masalah estetika,
khususnya pemandangan di pusat bandar, sepanjang jalan, longkang dan pejalan kaki (paving).
Keterancaman ini jelas berpunca daripada penjanaan manusia sendiri terutama tabiat dan sikap pengguna
(pelancong), penghuni Bukit Fraser (penduduk dari taman setia, kuarter kerajaan), pekerja perhotelan, dll
sumber. Di samping itu, punca secara semulajadi turut mengancam kesihatan ekosistem Bukit Fraser impak
kelemahan pengurusan pihak berkaitan khusus dari aspek kutipan dan pelupusan.

Keterancaman kesihatan ekosistem Bukit Fraser impak dari penjanaan sisa domestik dan
kelemahan pengurusan serta penguatkuasaan turut digambarkan melalui masalah Illegal dumping (Rajah 8)
yang dikesan berhampiran dengan taman perumahan, iaitu taman setia. Pada prinsipnya, persekitaran
kawasan illegal dumping ini merupakan kawasan bagi bird watching (Rajah 9). Persekitaran semulajadi di
kawasan ini sepatutnya lebih terpelihara kerana ia menjadi kawasan pengunjung yang cintakan
pemandangan semulajadi dan aktiviti bird watching. Semasa kajian dilakukan, didapati sekumpulan
pelancongan dari Negara Jepun sedang melakukan aktiviti bird watching dan dalam masa yang sama
hamper keseluruhan kawasan sekitarnya ditutupi oleh pemandangan sisa yang mengaibkan. Selain dari
ancaman bau yang tidak menyenangkan, longgokan sisa ini juga sebagai satu ancaman kepada kemerosotan
nilai estetika sekitar kawasan tersebut.

Seminar Bio-kejuruteraan, Penilaian Ekosistem & Spesies 2009. Shahzan Inn, Bukit
Fraser, Pahang13-15 April 2009 6
Rajah 8: Illegal Dumping berhampiran Taman
Hijau
Sumber: Kerjalapangan November 2008

Rajah 9: Bird Watching di persekitaran longgokan


sisa domestik
Sumber: Kerjalapangan, November 2008

Impak penjanaan sisa buangan dari aktiviti manusia dan secara semulajadi ini bukan sahaja
mendatangkan persekitaran yang kurang selesa dan menganggu estetika semulajadi persekitaran tanah
tinggi, tetapi ia juga turut mengancam kesihatan ekosistem lain di Bukit Fraser ini. Misalnya, sisa daun dan
ranting serta dahan yang tidak dikutip dengan sempurna atau tidak diurus langsung boleh menganggu
sistem peparitan. Masalah banjir kilat dan parit tersumbat mungkin akan berlaku. Keadaan seperti ini secara
langsung juga mengundang kepada masalah kualiti air, bau dan pemendapan sedimen.

Oleh yang demikian, masalah penjanaan sisa buangan ini bukan sahaja menjadi punca utama
kepada ketidak selesaan pemandangan dan gangguan nilai estetika semulajadi kawasan tanah tinggi, tetapi
ia mungkin penyebab utama gangguan kesihatan ekosistem Bukit Fraser kerana punca asas yang
diwujudkan oleh sisa buangan atau semulajadi ini boleh berperanan kepada masalah kualiti air di badan air
berhampiran, masalah hakisan, bau dan pencemaran udara. Disamping itu, masalah sisa buangan yang tidak
diurus dengan sempurna juga boleh mendatangkan impak ke atas kehidupan lain. Misalnya mungkin
berlaku pengurangan spesis serangga dan tumbuhan kerana kesihatan ekosistem mereka turut tercemar dan
berubah. Bagi menangani masalah ini dari berterusan, aspek pengurusan dan pentadbiran yang bersepadu
harus dilaksanakan bagi memastikan kelestarian tanah tinggi Bukit Fraser sebagai destinasi pelancong
terpelihara.

PENGURUSAN EKOSISTEM BUKIT FRASER

Seminar Bio-kejuruteraan, Penilaian Ekosistem & Spesies 2009. Shahzan Inn, Bukit
Fraser, Pahang13-15 April 2009 7
Pengurusan sisa buangan dalam sesuatu ekosistem merupakan aspek yang amat penting bagi memastikan
kesihatan ekosistem terjamin dan kesejahteraan serta kelestarian ekosistem dapat dinikmati oleh pelbagai
kehidupan. Bagi ekosistem tanah tinggi Bukit Fraser yang belum terungkai sepenuhnya oleh elemen
pembangunan dan masih kekal sebahagian keaslian semulajadi alamnya harus diurus dan ditadbir secara
bersepadu supaya keindahan dan keselesaan persekitarannya dapat dinikmati oleh pencinta alam dan
sebagai pelarian bagi warga kota yang inginkan suasana semulajadi yang terdiri dari pelbagai spesis flora
dan fauna. Bagi memastikan kelestarian ekosistem terrestrial dan akuatik di Bukit Fraser bebas dari impak
penjanaan sisa buangan sama ada secara semulajadi atau melalui kelemahan dan kealpaan manusia yang
lemah kesedaran tentang alam sekitar, aspek pengurusan sisa buangan bersepadu harus diterapkan.
Penglibatan ini bukan sahaja pada peringkat pentadbir, tetapi semua golongan yang terdiri dari penduduk
sekitar, pengusaha hotel dan resort, serta pelancong.

Kerjasama yang berterusan dan ketetapan bidang kuasa yang telus harus dilaksanakan di antara
dua pentadbir utama kawasan Bukit Fraser, iaitu pihak Majlis Daerah Raub dan Perbadanan Kemajuan
Pelancongan Bukit Fraser. Pertindihan bidangkuasa harus dielakkan supaya urusan pengurusan dapat
berjalan dengan lancar. Tanggungjawab urusan kutipan antara sisa buangan semulajadi dan penjanaan sisa
buangan melalui aktiviti manusia menjadikan banyak sisa buangan semulajadi khususnya dalam ekosistem
akuatik tidak diurus dengan sempurna. Tugas utama antara PBT, pihak perbadanan dan agensi kerajaan lain
seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) masih tidak jelas. Pihak ini
harus mengadakan kesepakatan yang telus dan jelas antara pihak masing-masing supaya jalan pengurusan
dan pentadbiran boleh dibuat secara sistematik. Kejelasan urusan pengutipan, pengangkutan dan pelupusan
sisa buangan dalam ekosistem Bukit Fraser ini akan memberi manafaat yang baik kepada kesihatan
ekosistem tanah tinggi disamping keselesaan kepada pelancongan, kelestarian ekosistem dan nilai estetika
yang terjaga.

Aktiviti berkaitan dengan kutipan sisa buangan tidak sahaja terhad kepada sisa buangan yang
dijana oleh aktiviti manusia. Ia haruslah menyeluruh merangkumi aspek sisa buangan secara semulajadi,
khususnya sisa dari pokok seperti ranting/dahan serta daun dan mendapan sedimen. Pengurusan sisa
buangan secara semulajadi ini masih belum jelas perlaksanaannya dan tidak ada ketetapan bidang kuasa
antara pihak Majlis Daerah Raub dan pihak Perbadanan. Kelemahan ini jelas menganggu kesihatan
ekosistem Bukit Fraser, khususnya di beberapa sungai utama dan anak-anak sungai yang menjadi tempat
riadah pengunjung. Rajah 6-7 jelas menunjukkan persekitaran sungai yang dipenuhi sedimen dan daun
yang merupakan sisa semulajadi yang tidak diurus dan dikutip oleh mana-mana pihak di Bukit Fraser.

Disamping itu, kerja kutipan sisa semulajadi seperti ranting dan daun di sepanjang jalan utama,
sistem peparitan dan longkang juga tidak diurus dengan baik. Konflik bidangkuasa antara pentadbir utama
juga merupakan masalah utama yang menggangu kesihatan ekosistem kawasan ini. Terdapat banyak
longgokan daun dan ranting yang jatuh di jalan utama tidak dikutip dan dijaga dengan baik (Rajah 2).
Persekitran sedemikian telah mencacatkan keindahan ekosistem tanah tinggi ini. Dalam konteks
pengurusan sisa ini, perlu ada kepastian antara pihak pentadbir menentukan skop pengurusan ini supaya
tidak berlaku kejadian sisa yang tidak dikutip.

Selain daripada pengurusan berasaskan perundangan yang berdasarkan Akta Kualiti Alam
Sekeliling 1974, pihak pentadbir harus mempunyai peraturan dan perundangan khas bagi tanah tinggi
supaya pengurusan sisa buangan ini dapat menjamin kesihatan ekosistem Bukit Fraser terus terjamin dan
persekitarannya terus lestari. Peraturan khusus ini mestilah meliputi semua aspek pengurusan sisa buangan.
Bermula dari peringkat penjanaan, kutipan, rawatan dan akhirnya pelupusan. Pengurusan bersepadu ini
juga hendaklah diuruskan oleh satu pihak sahaja supaya masalah bidang kuasa tidak berlaku dan
pengurusan dapat berjalan dengan lancar dan sistematik.

Beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan dengan segera bagi memastikan kesihatan
ekosistem tanah tinggi ini terus terpelihara. Antara kawalan yang perlu dilakukan adalah kawalan terhadap
semua air buangan kediaman, pusat makanan, penginapan dan perhotelan bagi menentukan bahawa senua
affluen disalurkan kepada system pembentungan yang betul dan tidak ke dalam sungai atau system
perparitan. Pihak bertanggungjawab juga perlu melaksanakan kaedah pelupusan sanitary landfill

Seminar Bio-kejuruteraan, Penilaian Ekosistem & Spesies 2009. Shahzan Inn, Bukit
Fraser, Pahang13-15 April 2009 8
sepenuhnya bagi menjamin keberkesanan rawatan sisa pepejal untuk jangka panjang atau mengwujudkan
kerjasama dan perkongsian tapak pelupusan di antara PBT dan pengusaha perhotelan dengan mengunakan
incinerator yang lebih mesra alam. Bagi sisa semulajadi yang banyak terjana di sungai dan system
perparitan, penggunaan perangkap sampah di parit sebelum ke sungai perlu dilakukan. perangkap sampah
dan perangkap mendap disyorkan dipasang di bahagian hilir semua system perparitan utama sebelum
dilepaskan ke alur air utama atau sungai. Operasi dan pengendalian system kawalan ini boleh diswastakan
atau ditanggung opel PBT sendiri.

Seterusnya, aspek pengurusan cara bukan perundangan seperti kempen kebersihan, gotong-royong
antara penduduk dan pengunjung perlu dilaksanakan bagi memastikan penjanaan sisa buangan khususnya
secara semulajadi dapat diatasi. Pendidikan alam sekitar sebagai satu aktiviti bulanan atau tahunan juga
boleh dilaksanakan bagi menimbulkan kesedaran kepada penduduk, pelancong, pengusaha hotel serta
resort, dan pentadbir sendiri. Pusat kitar semula harus diperbanyakkan. Kemudahan ini akan memberi
keselesaan kepada pengunjung untuk terlibat secara langsung dengan program ini. Di samping itu,
penglibatan pihak pengusaha hotel dan resort bagi aktiviti kitar semula amat penting.

Akhirnya pihak Majlis Daerah Raub dan Perbadanan Kemajuan Pelancongan Bukit Fraser harus
bekerjasama merangka dan membuat rancangan struktur khusus bagi pengurusan sisa buangan yang terdiri
dari pengurusan sisa peringkat sumber hinga ke destinasi terakhir di tapak pelupusan. Bidangkuasa
pengurusan sisa buangan di antara kedua-dua pihak juga perlu diselaraskan supaya tidak timbul masalah
pihak yang bertanggungjawab atau sebaliknya. Lokasi tapak pelupusan sisa juga harus berada disekitar
kawasan ekosistem tanah tinggi ini kerana memudahkan urusan pengangkutan dan pelupusan. Scenario
semasa yang membawa kutipan sisa ke Raub adalah tidak praktkal dan ekonomi. Ini boleh membebankan
pihak pengurusan terutama berkaitan dengan kewangan, baikpulih kenderaan dan keselamatan pekerja.
Sebuah struktur yang kemas dan sistematik perlu dibentuk untuk mentadbir semua perkara berkaitan
dengan pengurusan sisa buangan dan kesihatan awam. Seterusnya, undang-undang kecil yang sesuai perlu
disediakan untuk pelaksanaan yang lebih spesifik dan terfokus. Usaha penguatkuasaan bersama pihak lain
seperti Jabatan Alam Sekitar dan jabatan teknikal berkaitan diperlukan bagi memastikan pematuhan ke atas
undang-undang sedia ada dilaksanakan secara efektif

KESIMPULAN

Pengaruh penjanaan sisa buangan umumnya tidak sahaja terhad dalam ekosistem bandar yang senantiasa
diwar-warkan sebagai penyebab kepada kehilangan nilai estetika dan keselasaan penghuninya. Tetapi,
impaknya turut mempengaruhi ekosistem semulajadi, sama ada penjanaan sisa secara semulajadi ataupun
melalui aktiviti manusia yang menjadikan ekosistem tersebut sebagai destinasi pelancong untuk rekreasi
dan riadah. Gangguan kesihatan ekosistem tanah tinggi pelancongan impak penjanaan sisa buangan turut
dirasai oleh ekosistem tanah tinggi Bukit Fraser. Impaknya ketara bukan sahaja dari aktiviti manusia
khususnya pengunjung yang dating untuk beriadah, malah aspek sisa semulajadi turut menyumbang kepada
penjanaan sisa ke atas ekosistem ini. Kelemahan pengurusan dan pentadbiran, kesedaran masyarakat
setempat dan pengunjung, pihak pengusaha perniagaan dan perhotelan turut memberi impak ke atas
persekitaran yang tidak sihat dalam ekosistem Bukit Fraser ini. Suatu bentuk pentadbiran dan pengurusan
bersepadu bagi pengurusan sisa buangan yang melibatkan semua pihak berkaitan perlu dilaksanakan bagi
memastikan aspek kesihatan ekosistem tanah tinggi sebagai destinasi pelancong utama ini akan terus
terpelihara dan menjadi tempat rujukan bagi model ekositem yang lestari bukan sahaja dalam aspek
persekitaran fizikalnya, tetapi meliputi aspek persekitaran manusia.

PENGHARGAAN

Kertas ini merupakan sebahagian daripada hasil kajian Kumpulan Penyelidikan Kesihatan Persekitaran di
bawah Geran UKM-OUP-PLW-13-56/2008 dan Pusat Penyelidikan Bukit Fraser, Universiti Kebangsaan
Malaysia. Penulis merakamkan jutaan terima kasih ke atas pihak UKM dan CRIM yang menyediakan dana
bagi penyelidikan ini berjalan dengan lancarkannya.

Seminar Bio-kejuruteraan, Penilaian Ekosistem & Spesies 2009. Shahzan Inn, Bukit
Fraser, Pahang13-15 April 2009 9
RUJUKAN
Abdul Samad Hadi. 1993. Pembangunan dan alam sekitar di Malaysia. Dalam Sham Sani, Abdul Samad
Hadi dan Jamaluddin Md. Jadi. Pnyt. Alam Sekitar dan Pengurusannya di Malaysia. Kuala Lumpur:
Workong Group on Urban Ecosystems Malaysian National MAB Committee and MAB UNESCO

Zaini Sakawi 2006a. Konflik antara pembangunan dan kesejahteraan alam sekitar. Kajian kes bagi
pembinaan insinerator di Broga. Prosiding Seminar kebangsaan UKM-UNHAS. Makassar, Sulawesi,
Indonesia. 21-25 November 2006

Zaini Sakawi. 2006b. Konflik antara pembangunan dan alam sekitar. Kajian kes bagi cadangan pembinaan
insinerator di Malaysia. Silatraus et al. (Pnyt.). Kemelayuan Indonesia dan Malaysia: Bahasa, Sastera,
Media, Globalisasi dan Agama. Jakarta: Departemen Kebudayaan dan Pariwisata RI. (633-646)

Zaini Sakawi. 2007. Tapak pelupusan di Malaysia: Masalah dan alternatif bagi pengurusan sisa buangan
pepejal di Malaysia. Dalam Mohd Hairy Ibrahim, et al. (Pnyt). Isu-isu dan Pengurusan Alam Sekitar
Fizikal. Tanjong Malim, Perak: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. (147-164)

Zaini Sakawi, Katiman Rostam & Rafidah Bullah. 2009. Pengurusan tapak pelupusan lestari: Kajian di
tapak pelupusan Pajam (Nilai) dan Taman Beringin (Kuala Lumpur). Dlm. Jumaat Hj Adam, Muhammad
Barzani Gasim & Zaini Sakawi (Pnyt). 2009. Bio-Kejuruteraan dan kelestarian ekosistem. Pahang.
Book Pro Publishing Services.

Zaini Sakawi. 2009. Impak penjanaan sisa buangan ke atas kesihatan ekosistem pulau peranginan. Kajian
di Pulau Langkawi dan sekitarnya. Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia (SKIM-IX). Kampus
IWA Koesoemasoemantri, Universitas Padjadjaran, Bandung, Indonesia. 10-12 November 2009.

Seminar Bio-kejuruteraan, Penilaian Ekosistem & Spesies 2009. Shahzan Inn, Bukit
Fraser, Pahang13-15 April 2009 10

You might also like