P. 1
SENI MUZIK DALAM INSTITUSI RAJA MELAYU:

SENI MUZIK DALAM INSTITUSI RAJA MELAYU:

|Views: 3,761|Likes:
Published by aalazhar
Esei ini berfokus terhadap seni muzik istana dari aspek jenis, perkembangan, dan peralatan yang digunakan dalam institusi Raja Melayu di Malaysia. Maklumat diperoleh melalui kajian perpustakaan dan pemerhatian persembahan seni muzik istana Raja-raja Melayu. Antara seni muzik istana yang dikaji ialah muzik nobat, dramatari Makyung, Joget Gamelan, Tarian Asyik, Tarian Terinai, dan Wayang Kulit Melayu. Jenis seni muzik istana ini akan dilihat dalam konteks budaya dan masyarakat di Malaysia. Perkembangan seni muzik ini pula akan dilihat dari aspek sejarah dan perkembangan seni persembahan yang diiringinya. Turut dilihat ialah kepelbagaian alat muzik tradisional yang digunakan serta peranannya di dalam institusi Raja Melayu melalui tradisi istana. Daripada kajian yang dijalankan, didapati bahawa seni muzik istana Raja Melayu wujud dalam dua bentuk iaitu sebagai muzik istiadat dan muzik hiburan. Kedua-dua bentuk muzik ini berkembang di dalam tradisi istana dan diiringi ensambel muzik yang terdiri daripada pelbagai jenis peralatan muzik seperti serunai, rebab, gendang, gong dan sebagainya yang memiliki potensi untuk dikaji dan dimajukan.
Esei ini berfokus terhadap seni muzik istana dari aspek jenis, perkembangan, dan peralatan yang digunakan dalam institusi Raja Melayu di Malaysia. Maklumat diperoleh melalui kajian perpustakaan dan pemerhatian persembahan seni muzik istana Raja-raja Melayu. Antara seni muzik istana yang dikaji ialah muzik nobat, dramatari Makyung, Joget Gamelan, Tarian Asyik, Tarian Terinai, dan Wayang Kulit Melayu. Jenis seni muzik istana ini akan dilihat dalam konteks budaya dan masyarakat di Malaysia. Perkembangan seni muzik ini pula akan dilihat dari aspek sejarah dan perkembangan seni persembahan yang diiringinya. Turut dilihat ialah kepelbagaian alat muzik tradisional yang digunakan serta peranannya di dalam institusi Raja Melayu melalui tradisi istana. Daripada kajian yang dijalankan, didapati bahawa seni muzik istana Raja Melayu wujud dalam dua bentuk iaitu sebagai muzik istiadat dan muzik hiburan. Kedua-dua bentuk muzik ini berkembang di dalam tradisi istana dan diiringi ensambel muzik yang terdiri daripada pelbagai jenis peralatan muzik seperti serunai, rebab, gendang, gong dan sebagainya yang memiliki potensi untuk dikaji dan dimajukan.

More info:

Published by: aalazhar on Apr 04, 2010
Copyright:Attribution Non-commercial

Availability:

Read on Scribd mobile: iPhone, iPad and Android.
download as PDF, TXT or read online from Scribd
See more
See less

11/05/2013

pdf

text

original

SENI MUZIK DALAM INSTITUSI RAJA MELAYU: KAJIAN JENIS, PERKEMBANGAN DAN PERALATAN MUZIK DALAM KONTEKS TRADISI

ISTANA Oleh: Azhar Bin Abdul Latiff

1. Pengenalan

Institusi Raja Melayu melalui tradisi istana telah melahirkan pelbagai genre seni persembahan yang menjadi warisan dan kebanggaan bangsa Melayu pada masa kini. Seni persembahan yang lahir daripada tradisi istana ini kaya dengan pelbagai elemen persembahan seperti seni muzik, teater , tarian, dan peralatan persembahan yang memiliki nilai estetika yang unik dan amat tinggi nilainya. Antara seni muzik yang lahir daripada tradisi istana ialah Nobat, muzik Makyung, dan Muzik Gamelan. Ciri-ciri unik kesenian ini dan nilai estetikanya boleh dilihat melalui jenis, perkembangan, dan peralatan yang digunakan.

Esei ini berfokus kepada perbincangan mengenai jenis, perkembangan dan peralatan muzik di dalam institusi Raja Melayu. Perkembangan – dahulu – dapat dilihat melalui catatan mengenai tradisi istana Raja-raja Melayu. Jenis muzik istana dalam konteks budaya dan masyarakat di Malaysia. Selain itu, peralatan yang digunakan untuk menghasilkan alat muzik di istana – sebagai artifak budaya dalam institusi Raja Melayu yang mendukung seni muzik di istana . Antara muzik tradisional yang akan dilihat ialah seni muzik yang berasal daripada tradisi istana Raja Melayu iaitu nobat, muzik makyung, muzik Gamelan, dan lain-lain seni persembahan.

2. Latar Belakang Seni Muzik dan Institusi Raja-raja Melayu

Institusi Raja Melayu yang ada pada masa kini di Malaysia adalah hasil peninggalan warisan kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan pada kurun ke -15 yang

berpusat di negeri Melaka. Daripada kewujudan empayar berkenaan, lahirlah institusi Raja Melayu di sembilan buah negeri di Malaysia iaitu Selangor, Kedah, Perak, Perlis,

Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, dan Negeri Sembilan. Kesemua institusi-institusi ini menerima pengaruh sistem beraja dan tradisi istana yang diwarisi daripada Empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Institusi Raja Melayu telah melahirkan pelbagai jenis seni persembahan yang wujud hasil daripada tradisi istana seperti muzik Nobat, Joget Gamelan, Tarian Asyik, persembahan Makyung dan sebagainya. Seni muzik yang wujud hasil daripada tradisi istana ini bukan sahaja berfungsi memberi hiburan kepada masyarakat istana, malah turut menjadi alat kerajaan dan menjadi simbol kepada sistem sosial dan politik institusi beraja melalui aplikasinya di dalam upacara adat serta adat istiadat diraja. Fungsi simbolik perajaan institusi Raja Melayu berkait rapat dengan konsep ‘daulat’,

Di dalam institusi Raja Melayu, konsep ‘daulat’ sangat penting dalam konteks sosiopolitik berkerajaan dan melambangkan kedaulatan seorang raja yang memerintah. Ia harus dilihat dari segi tradisi penerusan institusi berkerajaan Melayu pra-Melaka dan praIslam dalam periode Sriwijaya. Seorang tokoh yang memerintah dan digelar raja akan dikaitkan kepadanya unsur kudus, luhur dan suci, dan mungkin juga seperti kedudukan raiaraja Jawa dahulu kala, unsur yang luar biasa menjadi sesuatu yang penting dalam kepercayaan rakyat atau orang kebanyakan dalam tradisi politik berkerajaan. Oleh yang demikian wujudlah konsep dewa-raja. Konsep dewa-raja ialah kepercayaan dan salasilah raja-raja yang diwujudkan secara ciptaan tadi (secara lisan ataupun tradisi tulisan) dikaitkan dengan dewa-dewa dari kayangan; penjelmaan daripada Shiva, Vishnu atau Brahma, lelembut, mambang atau makhluk-makhluk halus yang tidak dapat dipandang mata dari sudut asal usul dan tradisi keturunan nenek moyang mereka. Ini sebenarnya warisan dari tradisi Hindu-Melayu. (Mohamad Yusof, 1987)

Semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka, daulat di dalam institusi Raja Melayu dibina dan dihubungkan dengan konsep dan peranan simbol dalam tradisi perajaan. Simbol ini wujud untuk memberikan beberapa taraf dan hak istimewa kepada raja yang memerintah

berbanding dengan taraf dan hak rakyat. Antara simbol tersebut ialah i) peralatan budaya, ii) bahasa, iii) undang-undang, iv) warna, dan v) protokol dan adat istiadat. Peralatan budaya merupakan alat-alat yang boleh dilihat, dan diadakan untuk menjadi ‘penyokong’ kepada karisma raja yang sedang memerintah. Dengan adanya alat-alat ini di samping kehadiran raja bagi semua upacara rasmi ialah untuk menunjukkan ia mempunyai nilai dan unsur kebesaran secara simbolik. Oleh itu alat-alat ini dinamakan sebagai alat kebesaran raja.

Peralatan kerajaan juga termasuklah alat muzik tradisional yang dibunyikan untuk acara-acara dan adat rasmi yang berkaitan dengan istana dan yang berhubungan dengan adat istiadat kerajaan. Peralatan ini digunakan sebagai ‘alat kerajaan’. Alat bunyi-bunyian ini ialah seperti gendang, gong, serunai, nafiri, negara dan madeli. Alat-alat inilah yang membentuk kumpulan nobat. Raja sahaja yang berhak untuk memiliki dan menggunakan alat-alat tersebut untuk upacara yang bercorak peribadi dan yang berhubungan dengan istiadat istana dan kerajaan.

Kepentingan alat muzik dalam istana Melayu lama memang tidak asing. Semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, satu set gendang nobat dimainkan sepanjang acara pertabalan. Malah beberapa jenis alat muzik – misalnya, dalam nobat yang meliputi gendang, nafiri, nagara, gong, serunai medali – telah menjadi sebahagian daripada perkakas raja atau alat kerajaan. Alat muzik nobat ini jugalah yang menyambut surat atau tetamu agung negara yang sama taraf. Misalnya, kerajaan Melayu Melaka akan menjemput wakil kerajaan Haru, Pasai dan Perlak dengan alat muzik tersebut. Selain itu, paluan peralatan muzik seperti tabuh, gong, dan canang juga digunakan sebagai cara perhubungan untuk memberitahu atau menyampaikan berita secara langsung dari istana kepada rakyat jelata.

Muzik umum yang membawa erti, ‘lagu, irama, bunyi-bunyian, pancaragam, tanji (Zainal Abidin, peny. 1980:1194) memang tidak terlepas juga dalam budaya Melayu Nusantara. Berdasarkan aspek persembahan kesenian tradisional Melayu, perkataan muzik tidak pernah tercatat dalam sebarang sumber tradisi, terutama dari sudut sastera lisan. Pemahaman paling asas dapat dikutip dalam teks Sastera Tradisi Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh, Tuhfat Ul-Nafis, dan

Salasilah Melayu Bugis yang mencatat sejarah dan kisah raja-raja Melayu. Dapat difahami beberapa alat yang dibunyikan ialah gendang, nagara (dipalu), nafiri (ditiup). Gabungan alat yang dibunyikan menimbulkan irama yang dapat dikategorikan sebagai bunyi-bunyian sesuai dengan makna muzik yang kita fahami kini (Siti Zainon: 2000). Selain itu, teks-teks tradisi juga turut menyebut tentang pelbagai permainan dan peralatan yang diperbuat daripada berbagai bahan, dari alam semula jadi, batang padi, buluh, kayu hinggalah alat dari logam, dimainkan atau dibunyikan dengan cara pukulan, titir, tiupan dan gesekan seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1. Peralatan muzik Melayu juga tidak dapat dipisahkan daripada upacara adat dan adat istiadat. Malah alat muzik Melayu boleh di kategori mengikut cara alat itu dimainkan iaitu 1) alat paluan, 2) alat tiupan, dan 3) alat gesekan.

Jadual 1: Jenis alat bunyi-bunyian Melayu berdasarkan sumber teks Judul Teks Lagu/Irama Alat paluan/canang/titir 1.Sejarah Melayu “bunyi-bunyian Melayu” Gendang, gong, nagara, Nafiri, serunai, Rebab kopak, mendeli Alat Tiupan Alat Gesekan

ceracap, calempong, dandi 2. Hikayat Hang Tuah 3. Misa Melayu “gendang arakan/ nobat” Gendang Perang 4. Hikayat Merong Mahawangsa 5. Hikayat Acheh “genderang perang, kesukaan, keberangkatan, nobat” 6. Tufat UlNafis “main-main Joget Jambi” Gendang, gong, alat gamelan Gendang, nahara, dandi Gendang nekara, tambuh, tifa, dap besar, geduk, lengkara, gong, Nafiri, serunai, Hebab, kecapi kopok, muri, seruling, serdam, bangsi Gendang, gong “Gendang, gong nagara, Nafiri

7. Salasilah Melayu Bugis

“gendang perang Malayu” “gendang kanjar” Bugis

Tawak-tawak, tambur

trompet

Seni muzik istana memainkan peranan yang penting dalam upacara adat dan adat istiadat di istana raja-raja Melayu. Secara umum adat sering dihubungkan dengan hukum hidup. Sebagai sistem sosial segala perlakuan dan tingkah laku manusia memang tidak dapat dipisahkan daripada kelompok masyarakatnya. Ia merangkumi nilai, norma dan sistem kepercayaan yang telah diwarisi sejak lampau. Sesuai dengan perkembangan sejarah dan budaya, aneka peralatan budaya yang dicipta, diubah suai berdasarkan keperluan sehingga berkembang digunakan dalam upacara adat istiadat raja-raja Melayu seperti: 1. Adat istiadat pertabalan, kemangkatan 2. Adat istiadat perkahwinan 3. Adat istiadat menerima tamu/surat dan memberi anugerah.

Teks-teks tradisi Melayu juga ada mencatat cara persembahan muzik dan penggunaan alat di dalam upacara adat dan adat istiadat Melayu. Cara permainan muzik di institusi Raja Melayu turut dipengaruhi oleh struktur organisasi dan sosial. Kedudukan dan martabat sama ada individu mahupun negara mempengaruhi cara muzik itu dipersembahkan. Seperti yang dicatat di dalam Sejarah Melayu, sekiranya adat istiadat itu melibatkan raja, maka sambutan akan diiringi dengan alat kerajaan seperti gendang, serunai, nafiri dan nagara. Peralatan yang sama akan digunakan untuk mengiringi negeri-negeri yang sedarjat dengan Melaka seperti Pasai dan Haru. Upacara-upacara lain yang dicatat teks-teks berkaitan adalah seperti ditunjukkan pada Jadual 2. Melalui catatan tersebut dapat dipastikan bahawa seni muzik telah diaplikasikan di dalam institusi Raja Melayu sejak dari dahulu lagi.

Jadual 2: Istiadat Kerajaan Melayu Melaka, Melayu-Acheh, Melayu Johor-Riau: Selangor, Perak, Kedah, Pahang, Terengganu Adat Istiadat Bunyian Acara/Peristiwa “Mengadap nobat” (Melaka) Bulan Syawal/Ramadan Cara Persembahan/Alat 1) Hulubalang gendang, di jika kiri Raja kanan Muda

mengadap nobat dipersilakan oleh bentara. Diikuti tiupan nafiri tiga kali (A. Samad Ahmad, SM:75) 2) Orang besar-besar dari kiri gendang, rang kecil dari kanan gendang. “genderang tabal” (Acheh) nobat Sultan Acheh menabal Syah Alam duduk di tahta kerajaan/ diri setelah mengalahkan ...maka genderang nobat pun dititir Johor Perarakan (Melaka) diraja 1) Hari kecil/besar (Teuku Iskandar: HA:179) raya Sultan di usung ke dalam / diarak Penghulu Bendahara, rakyat di balai

menjelang arakan berdiri ‘gendang dimula’ dipalu tujuh ke masjid ragam, setiap ragam disambut nafiri. Setelah tujuh ragam beraraklah sultan ke masjid (ibid: 74)

2) Perkahwinan Sultan dengan Mas Ayu

Raja

Melaka

naik iram 40

gajah warna

Mansur kenaikan/payung

Raden terkembang/cogan alamat diiringi alat bunyian madali, gendang, merangu, serunai, sekati, nafiri, kopok,

ceracap 40 bagai ragam (Kassim, HHT:139) (Aceh) 3) Sultan berarak Acheh Pelbagai bunyian dengan mengucap selawat seperti guruh/iringan gong, genderang, HA:106) dap (Tenku Iskandar

(Melayu Johor-Riau)

4) Mengarak mempelai

Mempelai raja berusungan, diiringi penganjur perempuan/orang berebana berdikir (A.Samad 1985:59-60)

(Negeri Perak)

5) Perkahwinan

Paluan gong, gendang, serunai,nafiri, bangsi, biola/biduan memukul rebana (Raja Chulan, MM:40)/...rebab

Genderang (Melaka)

arakan Menyambut surat/bingkisan

1) Menyambut

bingkisan

ke

perahu diarak dengan gajah, jika raja besar diarak dengan nobat, nafiri, nagara (Ibid:91) 2) Surat dari Pasai dan Haru disambut serunai, (SM:71) dengan nafiri dan gendang, nagara

“Genderang

perang”

1) Perang

Acheh

Genderang perang dengan alat gendang besar, tambur, rebana (HA:176)

(Melayu Siak-Bugis)

dengan Johor

2) Perang Bugis – Siak Lama di Johor

Genderang perang Melayu Siak, gong, gendang, kanjar tawakBugis

tawak/gendang (SMdB:174)

HA= Hikayat Acheh (De Hikayat Atjeh; HTT = Hikayat Hang Tuah; MM=Misa Melayu; SMdB (Salasilah Melayu dan Bugis; SM=Sulatus Salatin/Sejarah Melayu

3. Muzik Istana dalam Konteks Budaya dan Masyarakat di Malaysia

Sejak daripada dahulu lagi, Kepulauan Melayu dan wilayah Nusantara meliputi negara Malaysia, Indonesia, sebahagian negara Thai, Kampuchea dan Filipina telah menerima pengaruh unsur-unsur muzik dari India, China, Timur Tengah dan Eropah. Pengaruhpengaruh ini datang hasil daripada pelbagai proses pertembungan dan penyebaran budaya melalui penjajahan, penaklukan, perdagangan, dan sebagainya Selain itu, pertembungan dan perkembangan kebudayaan juga berlaku di antara wilayah serantau melahirkan ciri-ciri asli tempatan yang unik dan tersendiri. Proses yang berlaku selama beratus-ratus tahun ini telah membawa kepada kewujudan pelbagai bentuk kebudayaan dan kesenian di rantau ini dan tidak terkecuali juga seni muzik tempatan (Mohammad Ghouse Nasuruddin). Bentuk muzik di Malaysia yang terhasil pada masa kini adalah cerminan ciri-ciri asli serta juga pengaruh luar yang telah menyerap ke dalam masyarakat dan boleh diklasifikasikan kepada jenis-jenis tertentu bergantung kepada keadaan sosial, ekonomi, politik dan jenis budaya di mana seni muzik diperkembangkan. (Patricia Martusky & Tan Sooi Beng, 1997:1-4)

Pengistilahan ‘budaya rakyat’ dan ‘budaya istana’ yang juga merujuk kepada ‘tradisi rakyat’ dan ‘tradisi istana’ telah digunakan oleh ahli antropologi untuk menonjolkan ciri-ciri sesuatu peradaban termasuklah seni muzik. Kedua-dua tradisi ini saling bergantung dan sentiasa mempengaruhi di antara satu sama lain. Tradisi kecil diperturunkan secara lisan di kampung-kampung dan kawasan desa secara bersahaja. Tradisi kecil yang dihubungkaitkan dengan budaya rakyat didukung oleh masyarakat yang biasanya tinggal di kawasan desa. Komunikasi secara lisan di antara anggota-anggota dalam masyarakat lebih diutamakan ataupun sistem bertulis boleh diwujudkan. Oleh sebab itu, kesedaran sejarah kurang jelas asal usul tradisinya diperturunkan secara lisan sahaja. Perhubungan dan perlakuan anggotaanggota budaya rakyat dikawal oleh undang-undang yang dipersetujui bersama sesama mereka. Tambahan pula, masyarakat dalam tradisi kecil mengalami perubahan yang perlahan-lahan sahaja dalam masa yang panjang. Bekerjasama, berusaha dan bertindak secara komunal merupakan satu lagi ciri yang khas dalam tradisi kecil dan budaya rakyat.

Berlainan dengan tradisi kecil, tradisi besar merujuk kepada tradisi yang berkembang melalui penulisan yang diajar secara sedar dan sistematis di sekolah-sekolah, masjid atau rumah berhala, dan istana. Tradisi besar biasanya terdapat di kalangan masyarakat yang tinggal di kawasan bandar. Komunikasi secara bertulis dan juga kegunaan teknologi semasa di antara anggota-anggota dalam masyarakat lebih diutamakan. Oleh itu kesedaran teori dan sejarah diketahui dengan jelas. Tradisi ini menonjolkan ciri-ciri kehalusan dan profesional dalam masyarakat bandar atau istana yang mengutamakan kepentingan institusi sosial dan kerajaan. Masyarakat bandar ini boleh mengalami perubahan secara pantas yang mementingkan daya cipta individu. Budaya rakyat juga telah lama berhubung dengan budaya istana yang menjadi pusat-pusat pemikiran dan perkembangan institusi sosial, ekonomi dan masyarakat sejak beratus-ratus tahun. Dalam konteks budaya rakyat dan budaya istana ini, seni muzik di Malaysia boleh dibahagiakan kepada beberapa jenis iaitu i) muzik klasik, ii) muzik rakyat, iii) muzik sinkretik, iv) muzik seni kontemporari, dan v) muzik popular.

Muzik klasik di Malaysia biasanya melibatkan muzik yang berkait dengan kawasan bandar atau istana institusi Raja Melayu. Dalam muzik klasik, asas sejarah dan teori muzik agak kukuh dan biasanya dipelajari. Sekumpulan lagu-lagu tertentu dikenali sebagai repertior dalam bentuk (genre) muzik yang tertentu. Pemain-pemain dilatih mengikut cara yang tersusun, dan proses latihan yang teratur dinaungi oleh golongan istana atau agensi-agensi kerajaan. Idea terhadap profesionalisme diketahui antara pemain-pemain itu. Tradisi muzik klasik itu biasanya diketahui oleh sebahagian sahaja daripada komuniti tertentu. Satu fenomena yang menarik juga ialah muzik rakyat merupakan kategori muzik yang memberi inspirasi dan kerap kali menjadi dasar kepada muzik klasik itu yang diperkembangkan dalam keadaan bandar mahupun dalam istana.

Di dalam institusi Raja Melayu, terdapat beberapa bentuk seni muzik yang telah dikembangkan oleh institusi berkenaan melalui tradisi persembahan istana. Muzik istana juga dapat dianggap muzik klasik Melayu yang menampilkan ciri-ciri khas alat muzik tempatan ataupun pertembungan dan adaptasi daripada unsur luar yang telah disesuaikan hingga menampilkan nada Melayu. Berdasarkan peranan dan penggunaan di dalam tradisi istana, seni muzik istana boleh dibahagikan kepada dua ciri utama (Siti Zainon, 2007:212) iaitu:

1. Muzik adat istiadat, iaitu nobat dan 2. Muzik hiburan istana, termasuk makyung, dan gamelan

4. Muzik Nobat

Muzik nobat dimainkan di dalam upacara nobat yang menjadi elemen yang penting dalam adat istiadat pelantikan raja atau sultan sesebuah kerajaan (Siti Zainon, 2007:213). Adat ini dapat dikesan sejak munculnya kerajaan Melayu di Bukit Seguntang lagi. Bukti tentang pertama kali muzik nobat dimainkan telah diterangkan melalui teks klasik yang menggambarkan peristiwa pelantikan Sang Sapurba yang telah dibaca ‘ciri purbakala’ dan diberi gelaran Sang Sapurba Tribuana Tradisi ini telah dibawa ke Melaka dan seluruh jajahan takluk Melaka. Tetapi pada masa itu masih belum terbukti kewujudannya alat muzik nobat. Setelah Sultan Muhammad yang mengatur adat istiadat istana Melaka, baharu nobat mula diperikan. Ini dibuktikan dengan peristiwa pertabalan Raja Muzaffar, putera Sultan Mahmud yang dilantik menjadi Raja Perak yang pertama. Baginda juga telah dinobatkan dengan nobat Melaka walaupun ketika itu Sultan Melaka iaitu Sultan Mahmud Syah sudah berada di Riau. Manakala Sultan Alauddin putera Sultan Mahmud mangkat di Kampar telah dinobatkan di Pahang, sebagai waris takhta nobat Melaka, dan Sultan Alauddin anakanda baginda di Kampar, dinobatkan dahulu di Melaka (nobat Melaka). Pada hari ini terdapat beberapa negeri yang mewarisi nobat Melaka, iaitu Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Kedah.

Beberapa peralatan nobat itu sendiri memang mempunyai unsur-unsur Parsi. Perkataan nobat (naubat) itu sendiri berasal daripada perkataan-perkataan Parsi dan sudah tersebar ke negara-negara Islam seperti Iraq, Iran Turki, Mesir dan Selatan Sepanyol (Andalusia). Tradisi nobat inilah dikembangkan ke Bentan dan seterusnya ke Melaka. Mengikut Mubin Sheppard (1983:18-19), Permaisuri Bentan menabalkan dirinya dengan naubat yang dibawa oleh Sheikh Ismail yang datang ke Pasai pada tahun 1295. Pada tahun 1414, kerajaan Pasai telah membawa peralatan nobat ke Melaka sempena perkahwinan puteri baginda dengan Parameswara yang kemudian diislamkan dan diberi nama gelaran Megat Iskandar Syah. Nobat pertama kali dimainkan sempena kemangkatan baginda dan sekali gus diadakan pada masa pertabalan Sultan Muhammad Syah – yang menggantikan Megat

Iskandar Syah itu. Pada masa pemerintahan Sultan Mahmud, nobat telah dikembangkan pula ke Kedah, iaitu setelah peristiwa rombongan istana Kedah dihadiahkan peralatan nobat.

Riau Lingga juga mewarisi nobat daripada kerajaan negeri Melaka. Sehingga mangkatnya Sultan Mahmud IV di Lingga, nobat berada di bawah jagaan Tengku Hamidah di Penyengat.Selangor juga mewarisi nobat dari Perak apabila ditabalkan pada tahun 1765. Terenggnu juga menerima nobat melalui hubungan dengan kerajaan Johor-Riau-Lingga terutamanya dalam pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1914). Gendang Negara dari Riau telah dibawa ke Terengganu dan orang Terengganu telah belajar memalu nobat dengan nada asal Melayu-Lingga- yang memang berasal daripada Melaka dan Johor Lama – tetapi akhirnya Terengganu mula menghasilkan Negara oleh pandai logam mereka sendiri.

Beberapa kerajaan Melayu lain yang mempunyai set nobat ialah Pattani dan Brunei. Alat muzik nobat ini telah melangsungkan tradisi yang panjang dan masih wujud sebagai simbol pertabalan diraja khususnya di Selangor, Kedah dan Perak. Di Kelantan walaupun mewarisi seni budaya kerajaan Melayu-Pattani tetapi tidak pula mewarisi nobatnya. Sebaliknya muzik pertabalan disebut Pasukan Gong Gendang Besar Diraja (Sheppard, 1972: 20).

Antara peralatan gendang nobat yang penting ialah Negara (iaitu gendang yang diperbuat daripada logam) dan nafiri (berasal dari Parsi-India). Manakala gendang dapat dianggap sebagai ciri asal tempatan. Pentingnya alat nobat istana dibuktikan dengan penjagaannya yang rapi, dipimpin oleh Orang Kalur dan pemain-pemain pula memang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi. Beberapa peralatannya pula mendapat nama yang berbeza berdasarkan wilayah yang mengembangkan muzik tersebut. Misalnya, negara dikenali dalam nobat Kedah dan Pattani; di Perak alat itu disebut mengkara; manakala nafiri, trompet daripada gangsa dikenali di Melaka, Selangor dan Perak tetapi disebut aboe (serunai) di Kedah. Beberapa lagu nobat yang popular di seluruh istana Melayu ialah Raja Berangkat dan Raja Bertabal.

5.

Muzik Makyung

Makyung ialah persembahan istana, dan perkembangannya telah mencapai kemuncak di istana Pattani pada abad ke -17. Makyung juga wujud di istana Kelantan, dan sehingga menjelang Perang Dunia Kedua, khususnya semasa kependudukan Jepun pada tahun 1942, makyung berada di bawah kelolaan Tengku Temenggung – salah seorang kerabat diraja Kelantan.

Makyung yang pada asalnya popular di kalangan rakyat (tradisi rakyat) telah diangkat menjadi tradisi istana apabila di bawa masuk ke istana dan mendapat naungan institusi diraja. Di Kelantan istilah tradisi istana merujuk kepada kumpulan makyung yang dipelihara oleh Tengku Temenggung. Tengku Temenggung sendiri ialah ahli lagu, muzik dan tarian makyung. Sebagai karya seni tradisional, tidak ada catatan tentang lagu dan muzik yang telah dibukukan di istana. Pengetahuan dan pengalaman hanya ulang tutur setiap kali dipersembahkan sehingga pelakonnya hafal dengan sekali setiap patah lagu atau lirik yang dinyanyikan.

Persembahan makyung memang tidak dapat dipisahkan daripada seni suara. Seni suara itu disampaikan melalui dialog dan nyanyian para pelakonnya, terutama pakyung Raja yang dilakonkan oleh wanita dan dayang-dayang pengiring puteri atau permaisuri.

Alat muzik yang paling dominan ialah rebab yang diperbuat daripada kayu nangka. Rebab mengeluarkan bunyi irama dengan gesekan tali ke atas tiga tali halus yang memanjang daripada kepala sehingga ke perut rebab. Pada masa lalu, talinya diperbuat daripada serat sabut kelapa. Pada masa moden rebab menggunakan tali nilon.Alat muzik lain adalah dua gendang (ibu dan anak), sebuah gong dibawa dari Jawa atau Sumatera, dan serunai yang meniru persembahan menora (Malm 1974: 338). Rebab merupakan alat muzik utama sejak awal persembahannya diadakan dengan diiringi lagu mengadap rebab. Semua penari dan pelakon makyung menghadap bomoh rebab. Upacara ini diketuai oleh pakyung (raja) atau pakyung Muda (anak Raja). Irama solo rebab digesek oleh bomoh tersebut dianggap kepala

lagu, iaitu lagu mohon restu agar persembahan yang akan diadakan dapat berjalan dengan baik . Beberapa buah lagu makyung merujuk kepada cerita yang bakal dipersembahkan. Antara lagu yang terkenal ialah Kijang Emas dan Sedayung Makyung. Penyampaian lagulagu ini diiringi oleh korus “dan don dang” (Malm, 1974: 339). Beberapa lagu lain ialah lagu Mengulit Raja Nak Tidur dengan irama campak bunga, pandan wangi, timang-timang Welu, Buluh Serus, Cagak Manis dan Lagu Mengambor (Sheppard, 1972:39).

6. Muzik Gamelan Terengganu

Muzik gamelan Melayu baru berkembang di Terengganu pada awal abad ke-19. Hubungan baik antara raja Pahang, Terengganu dengan pusat Kerajaan Melayu Johor-Riau telah mengembangkan kesenian alat logam gangsa ke Pahang dan Terengganu hingga menjadi warisan budaya Melayu. Sejarah perkembangan muzik gamelan berlaku serentak dengan perkembangan seni tari atau joget gamelan itu sendiri. Keistimewaan alat muzik gamelan ialah penggunaan alat gangsa yang dipukul=ketuk (percussion) yang terdiri daripada gong, saron penerus, saron demung, bonang, kenong, gong, gambang kayu dan gendang. Muzik gamelan Terengganu tidak diiringi rebab seperti gamelan Jawa. Malah, walaupun alat muzik intu dibawa dari Jawa ke Jambi dan Riau, sebelum tiba ke Pahang dan Terengganu gamelan telah dicipta semula atau diselaraskan berdasarkan nada Melayu.

7. Lain-lain Muzik Istana

Tradisi seni persembahan selain daripada muzik Nobat, muzik Makyung, dan muzik Gamelan turut berlangsung dalam aneka persembahan kesenian khususnya yang membawa citra kebesaran raja. Antaranya ialah Wayang Kulit Melayu yang membawa cerita Mahabrata dan Panji Jawa, Tarian Asyik, dan Tarian Terinai yang menceritakan tentang puteri-puteri di taman istana/kayangan. Kesenian-kesenian ini diiringi dengan alunan muzik tersendiri dan menjadi warisan kesenian istana yang memenuhi ruang persembahan seni budaya Melayu lebih 500 tahun lalu.

Tarian asyik dan muziknya dipersembahkan untuk hiburan istana Kelantan dan dipercayai berasal dari istana Patani pada kurun ke 17. Dipersembahkan bagi sempena menyambut hari keputeraan Sultan, majlis perkahwinan diraja, dan lain-lain perayaan diserikan dengan persembahan tarian Asyik. Penari dan pemuzik tarian Asyik mendapat naungan dan dilatih oleh pihak istana. Pada asalnya dipersembahkan oleh sekumpulan penari perempuan dan seorang penari solo lelaki, diiringi lagu Asyik yang dinyanyikan oleh penyanyi perempuan sambil duduk di rebana besar . Tradisi ini kehilangan sokongan istana pada suku ketiga abad ke 20. Tarian Asyik pada masa kini tidak lagi ditampilkan dalam bentuk yang asal dan telah menjadi tradisi rakyat.

Orkestra tradisional asyik terdiri daripada hanya tiga alat muzik, dua daripadanya tidak digunakan untuk tujuan lain. Satu daripadanya ialah sebuah gendang silinder kecil satu muka yang dipanggil Gedombak Asyik: diletakkan secara menegak dan bahagian berkulit (kulit kambing) dititir/dipalu menggunakan jari kedu-dua belah tangan. Sebelas buah gendang jenis ini digunakan. Alat muzik kedua ialah xylophone kayu yang dinamakan Gembang, kemungkinan berasal daripada Cambodia walaupun namanya berasal daripada Indonesia. Alat muzik ketiga ialah alat muzik bergesek iaitu Rebab, alat yang memainkan peranan yang penting di dalam Makyung. Kesemua alat muzik ini kecuali Rebab dimainkan oleh wanita yang juga menyanyikan Pantun dengan gaya persembahan Makyung. Satusatunya pemuzik lelaki ialah pemain Rebab dan kebiasaannya orang yang pertengahan umurnya.

Tarian dan muzik Terinai merupakan genre kesenian istana di Perlis, Kedah dan Kelantan. Kesenian ini dipersembahkan di majlis perkahwinan diraja dan persembahannya diadaptasi daripada cerita kehidupan di istana. Tarian ini ditarikan menggunakan lilin dan melibatkan penari-penari wanita. Terdapat juga beberapa variasi tarian Terinai termasuk Terinai Mengadap dan Layang Emas yang dipersembahkan oleh wanita, dan Ketam Bawa Anak dan Dewa Raja yang dipersembahkan oleh lelaki. Semua pergerakan tarian mempunyai hubungan dengan alam semula jadi dan imaginasi alam. Layang Emas pergerakan diambil daripada pergerakan burung layang-layang. Di Perlis dan Kedah, ensambel yang mengiringi

persembahan ini terdiri daripada serunai, sepasang gendang keling dan dua tetawak. Di Kelantan pula, tarian terinai dipersembahkan di majlis perkahwinan dan cenderung menampilkan aksi akrobatik. Ensembel muziknya terdiri daripada serunai, gendang, tetawak, canang (6 biji) dan kesi.

Wayang kulit Melayu dipersembahkan di istana Kelantan dan menggunakan cerita Panji Jawa sebagai cerita asas. Kesenian in merupakan contoh seni persembahan tradisional Malaysia yang wujud di bawah naungan istana pada tahun 1920-an apabila dalangnya telah dihantar ke Jawa oleh pihak istana untuk mempelajari Wayang Kulit di tanah Jawa. Bagaimanapun, kesenian ini telah disesuaikan dengan pengaruh tempatan. Terdapat sebelas lagu di dalam repertoire muziknya, iaitu Katokan, Kelayong, Asyik, Jubang, Kemucap, Kijang Mas, Gandang-gandang, Dandang Semawa, Sasang, Bujuk Ina, dan Kadok Manis.

Ensambel muzik wayang kulit Melayu terdiri daripada sebuah rebab bertali dua, sepasang gendang ibu dan anak, sebiji mong, canang atau kelenang (6 biji), kesi dan sepasang gong. Rebab pada asasnya merupakan alat melodi tetapi tidak berperanan seperti dalam makyung. Ia hanya menyediakan iringan ritma dengan mengulangi frasa utama berkali-kali dan pada ketika yang lain ia bertidak sebagai alat drone. Gendang pula menyediakan rentak paluan bertingkah, kesi dan mong mengetuk rentak dan kelenang membentuk ritma tersendiri dengan mengubah nada utama sesuatu lagu sementara sepasang gong berperanan sebagai penanda masa.

Penutup

Seni muzik istana memainkan peranan yang penting di dalam institusi Raja Melayu sejak dari dahulu sehinggalah pada masa kini sebagai 1) mengiringi upacara dan adat istiadat diraja, dan 2) hiburan istana. Dalam konteks budaya dan masyarakat Malaysia, seni muzik istana merupakan muzik klasik yang wujud melalui tradisi istana Raja-raja Melayu. Tradisi ini mendapat naungan institusi Raja Melayu dan dikembangkan di istana. Terdapat juga muzik rakyat (tradisi rakyat) yang diangkat menjadi muzik istana (tradisi istana) oleh institusi Raja Melayu seperti muzik Makyung, dan muzik Wayang Kulit

Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi muzik istana bukan sahaja menjadi artifak budaya yang menghasilkan bunyi semata-mata, malah berperanan sebagai alat kerajaan yang membawa simbol ‘daulat’ melalui tradisi nobat. Sehingga kini institusi Raja Melayu seperti di Kedah, Perak, Terengganu, dan Selangor masih mengiktiraf peralatan nobat sebagai alat kebesaran diraja.

Pelestarian seni muzik istana dan peralatannya sangat penting bagi memastikan keutuhan institusi Raja-raja Melayu khususnya di Malaysia. Tradisi ini perlu dipastikan tidak pupus dan dikembangkan dalam konteks dunia masa kini supaya tidak dilupakan oleh masyarakat. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah usaha pemeliharaan melalui dokumentasi digital dan kajian teknikal terhadap seni muzik istana dan peralatan yang digunakan. Usaha sebegini diharap dapat direalisasikan oleh pihak yang berkaitan demi memastikan tradisi yang penting ini dapat dipertahankan.

Rujukan

Matusky, Patricia & Tan Sooi Beng. 1997. Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan Sinkretik. The Asian Centre, Pulau Pinang.

Muhammad Yusof Hashim.1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kajian Beberapa Aspek tentang Melaka pada Abad ke-15 dan Abad ke-16 dalam Sejarah Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Siti Zainon. 2000. Peranan dan Penggunaan Alat Muzik Tradisional Dalam Adat Istiadat Melayu. Dalam Alat Muzik Tradisional: Daya dan Bunyi. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Kuala Lumpur.

Siti Zainon. 2007. Seni Suara dan Muzik dalam Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu. Penyunting Anwar Din. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi.

Sheppard, Mubin. 1972. Taman Indera (A Royal Pleasure Ground): Malay Decorative Arts And Pastimes. Oxford University Press.

You're Reading a Free Preview

Download
scribd
/*********** DO NOT ALTER ANYTHING BELOW THIS LINE ! ************/ var s_code=s.t();if(s_code)document.write(s_code)//-->