You are on page 1of 25

SUARA SERUNAI KELANTAN: SENI BUNYI DI ALAM MELAYU.

KAJIAN ASPEK AKUSTIK MUZIK DAN SIFAT-SIFAT BUNYI.


Oleh: Azhar Bin Abdul Latiff1

1.0 Pengenalan

Serunai Kelantan2 merupakan alat muzik tradisional yang digunakan untuk membawa melodi
seni persembahan masyarakat Melayu Kelantan seperti muzik wayang kulit Kelantan, muzik
makyung, muzik main puteri, muzik tari asyik, muzik gendang silat dan muzik rebana ubi.
Alat muzik ini merupakan artifak teknologi seni muzik yang dibangunkan oleh masyarakat
Melayu di Kelantan. Kewujudannya dipercayai berasal daripada timur tengah (Curtis Sach,
1940) dan telah wujud di negeri Kelantan hasil daripada difusi budaya seawal kewujudan
kesenian wayang kulit Kelantan iaitu pada kurun ke 14 (Ghulam - Sarwar Yousof, 2004).

Walau bagaimanapun kini warisan budaya ini semakin dilupakan oleh masyarakat dan
dikhuatiri akan pupus sekiranya tiada langkah proaktif yang diambil untuk membangunkan
alat muzik ini. Antara penyelesaian kepada masalah ini ialah kajian aspek teknikal Serunai
Kelantan. Usaha ini dapat memastikan alat muzik dan seni muziknya akan terus survival dan
relevan dalam konteks sosiobudaya masyarakat di Malaysia khususnya masyarakat Melayu
dalam mengharungi cabaran pemodenan dan globalisasi dunia.

Penulisan ini berfokus kepada analisis aspek teknikal suara yang dihasilkan Serunai
Kelantan di dalam permainan wayang kulit Kelantan, gendang silat, muzik rebana ubi, dan
lain-lain seni persembahan yang berkaitan menggunakan pendekatan kejuruteraan akustik
muzik dan sains fizik. Dapatan yang diperoleh daripada penyelidikan ini dijangka dapat
dijadikan panduan bagi membantu ahli-ahli industri pembuatan alat muzik tradisional, para
penggiat seni muzik tradisional, ahli-ahli akademik, agensi-agensi kerajaan dan lain-lain
pihak yang berkaitan dalam usaha pembangunan alat muzik tradisional di Malaysia
khususnya Serunai Kelantan.

1
Penulis telah menyempurnakan tesis M.A. yang bertajuk ‘Serunai Kelantan: Teknologi dan Aplikasi’ pada 2007
di Universiti Malaya. Sekarang sedang menyempurnakan Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Persembahan Seni
di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan subjek kajian Rebab, alat muzik Makyung di Kelantan.
2
Fisiologi Serunai Kelantan terdiri komponen-komponen seperti pipit, menali, batang serunai dan kecopong
seperti yang ditunjukkan pada Rajah 1.

1
2.0 Serunai Kelantan dan Seni Muzik Melayu

Kewujudan serunai di Kelantan di dorong oleh keperluan masyarakat untuk menjalankan


kegiatan kesenian mereka. Sebagai sebuah artifak teknologi seni muzik Melayu, Serunai
Kelantan memiliki perkaitan yang rapat dengan kehidupan masyarakat Melayu Kelantan di
dalam bidang seni persembahan. Peranannya sebagai pembawa melodi menjadikan Serunai
Kelantan sebagai sebuah alat muzik yang penting dalam ensambel muziknya. Antara seni
persembahan tradisional yang menggunakan Serunai Kelantan ialah wayang kulit Kelantan,
makyung, menora, tari Asyik, rebana ubi, gendang silat dan main puteri.

Wayang Kulit Kelantan merupakan seni persembahan tradisional negeri Kelantan


yang tidak asing lagi. Kesenian ini juga dikenali dengan nama Wayang Siam, kesenian ini
dipercayai telah wujud di negeri Kelantan di akhir kurun ke-14, penghujung Zaman Hindu
Majapahit (Ghulam Sawar Yusouf, 2003: 25). Di dalam kesenian ini patung wayang kulit
digerakkan di antara kelir dan lampu oleh Tok Dalang bagi menghasilkan pemahaman visual
melalui kombinasi cahaya dan bayang. Secara tradisinya cerita-cerita yang dimainkan
berdasarkan kisah raja-raja seperti Hikayat Seri Rama, cerita yang diadaptasi daripada epik
Hindu Ramayana. Antara elemen yang mencorak dramatik persembahan wayang kulit
Kelantan ialah ensambel muziknya.

Muzik wayang kulit Kelantan yang dimainkan oleh ensambel muzik wayang kulit
yang terdiri daripada Serunai Kelantan sebagai pembawa melodi diiringi dengan alat-alat
muzik lain seperti Geduk, Gedombak, Canang, Kesi dan Tetawak yang memberi elemen
rentak dan kalatomik3 (Patricia Martusky: 1993). Ensambel muzik ini memainkan lagu-lagu4
sama ada secara instrumental ataupun mengiringi nyanyian Tok Dalang sepanjang
berlangsungnya permainan wayang kulit.

3
Kalatomik ialah penanda masa dan pembahagian frasa lagu dalam bentuk dan tekstur muzik Gamelan Melayu
dan Gamelan Jawa. Sistem ini digunakan oleh Patricia Martusky (1993) untuk menganalisis muzik wayang kulit
Kelantan.
4
Senarai lagu-lagu umum wayang kulit Kelantan ialah Lagu Bertabuh, Lagu Tuk Maha Siku, Lagu Perang, Lagu
Dewa Panah, Lagu Dalang Berkhabar, Lagu Seri Rama Berkhabar, Lagu Seri Rama Berkhabar Belas, Lagu
Hulubalang, Lagu Seri Rama Berangkat Masuk Anjung,Lagu Blai-blai Berjalan, Lagu Tukar Dalang, Lagu Pak
Dogol, Lagu Mengulit, Lagu Dewa Berjalan, Lagu Binatang, Lagu Maharaja Rawana, dan Lagu Mati Geduk
(Mohamed Ghouse Nasaruddin, 2003:15-22).

2
Secara keseluruhan lagu-lagu wayang kulit Kelantan boleh dibahagikan kepada 4
kategori mengikut fungsi masing-masing (Mohamed Ghouse Nasaruddin, 2003:23). Fungsi-
fungsi ini bukan sahaja mencorakkan dramatik persembahan malah mengiringi upacara-
upacara ritual seperti upacara ‘Buka Panggung’ dan upacara ‘Tukar Dalang’. Empat
kumpulan tersebut ialah:

i) Kumpulan Pertama - Kumpulan lagu yang dimainkan untuk mengiringi upacara-


upacara ritual dan watak-watak mistik seperti Tuk Maha Siku, Dewa Panah dan Tukar
Dalang.
ii) Kumpulan Kedua – Lagu-lagu yang nenandakan watak-watak tertentu seperti lagu
Seri Rama, Pak Dogol, Tok Maha Siku dan Maharaja Rawana.
iii) Kumpulan Ketiga – Lagu-lagu yang menandakan aksi dan melambangkan situasi
seperti Perang, Hulubalang, Blai-blai Berjalan dan Seri Rama Berkhabar.
iv) Kumpulan Keempat– Lagu-lagu yang menandakan emosi seperti lagu Seri Rama
Berkhabar Belas dan lagu Mengulit

Selain daripada lagu-lagu di atas terdapat juga kumpulan-kumpulan Wayang Kulit


Kelantan yang memainkan lagu-lagu persembahan Makyung dan lagu-lagu moden. Pakyung
Muda, Sedayung Pakyung dan lagu Barat merupakan di antara lagu-lagu Makyung yang
mengisi turut repertoir lagu-lagu Wayang Kulit Kelantan. Lagu-lagu moden ada kalanya
disadur daripada lagu-lagu Hindustan yang terkenal seperti ‘Sanggam’ dan lagu-lagu popular
rakyat seperti Joget Kelantan.

Melodi merupakan antara elemen yang penting di dalam muzik wayang kulit
Kelantan. Melodi muzik wayang kulit Kelantan datang daripada Serunai Kelantan atau
dinyanyikan oleh Tok Dalang (Patricia Martusky dan Tan Sooi Beng, 1997:21). Dalam
ensambel muzik wayang kulit, dua buah serunai akan digunakan untuk membawa melodi
iaitu Serunai Ibu dan Serunai Anak. Kedua-duanya memiliki kesamaan dari segi konstruksi
fizikalnya serupa, cara menghasilkan bunyi ialah dengan menggunakan dua lelidah,
dimainkan dengan cara meniup dengan berterusan (circular breathing) serta manipulasi
lubang–lubang pada batang dan diiringi dengan alat-alat pukulan (tabuh) dari jenis perkusi.
Perbezaan yang wujud pula adalah dari segi saiz, suara bunyi dan peranannya dalam gubahan
muzik wayang kulit kerana Serunai Anak digunakan untuk mengiringi secara berselang-seli
dengan vokal Dalang Wayang Kulit manakala Serunai Ibu memainkan melodi secara

3
bersendirian. Dari segi persembahan, Serunai Ibu biasanya lebih mendominasi persembahan
berbanding Serunai Anak, malah terdapat juga sesetengah kumpulan wayang kulit Kelantan
yang tidak lagi menggunakan Serunai Anak di dalam persembahan mereka (Patricia
Martusky, 1993:29-30).

Permainan Serunai Kelantan dan muzik wayang kulit sering digunakan untuk
mengiringi seni-seni persembahan di Kelantan. Menurut Mohamed Ghouse Nasaruddin
(2003:62), kumpulan Makyung Seri Temenggung telah menggunakan Serunai Kelantan
sebagai pembawa melodi apabila lagu-lagu wayang kulit dimainkan dalam persembahan
Makyung. Antara lagu yang dimainkan ialah lagu Berjalan, Tuk Maha Siku dan Hulubalang.
Lagu Silat juga dimainkan untuk babak temasya perkahwinan, pertabalan dan sebagainya.
Selain itu lagu-lagu moden yang dimainkan melodinya menggunakan Serunai Kelantan di
dalam persembahan Makyung seperti Ayam Didik, Joget dan Mak Inang. Serunai diiringi
dengan alat-alat muzik wayang kulit Kelantan yang lain bagi menghasilkan kesan
transformasi magis bagi menandakan aksi super natural seperti Watak Bentara Guru naik dan
turun daripada kayangan. Selain itu Serunai Kelantan turut digunakan untuk menghasilkan
melodi di dalam ensembel muzik yang mengiringi tarian asyik yang dipersembahkan di istana
sebagai hiburan diraja di negeri Kelantan.

Permainan Main Puteri turut menggunakan Serunai Kelantan sebagai pembawa


melodi ensambel muziknya. Main Puteri merupakan sejenis seni persembahan yang memiliki
elemen ritual untuk tujuan pengubatan. Permainan ini diadakan untuk mengetahui punca
penyakit serta berusaha menyembuhkan penyakit dengan cara memujuk kuasa-kuasa luar
biasa yang dikatakan menyebabkan seseorang itu mendapat penyakit (Mohd Rakbi Mat
Daud; 1989:63). Penyakit-penyakit yang diubati dengan upacara main puteri ini adalah
penyakit yang lazimnya tidak dapat dipulihkan oleh doktor perubatan moden misalnya
penyakit gila, terkena buatan orang dan penyakit ‘angin’. Antara upacara yang penting di
dalam permainan ini ialah upacara bertabuh di mana melodi lagu Bertabuh ini akan dibawa
oleh Serunai Kelantan bagi mengubati pesakit yang memiliki angin jenis wayang kulit.

Satu lagi seni persembahan tradisional Kelantan yang menggunakan Serunai Kelantan
ialah permainan rebana ubi. Di Kelantan, permainan rebana ubi di persembahkan bagi
meraikan musim menuai padi di kawasan-kawasan kampung dan meraikan festival-festival di
bandar (Gulam Sarwar Yousof, 2004:72). Pada dasarnya, ensambel muzik rebana ubi

4
melibatkan penggunaan beberapa buah rebana ubi. Namun hasil daripada daya kreativiti
masyarakat Kelantan telah menyebabkan alat muzik seperti Serunai Kelantan digunakan bagi
memberi sentuhan improvisasi kepada permainan rebana ubi. Dengan menggunakan Serunai
Kelantan, melodi lagu-lagu daripada persembahan wayang kulit Kelantan seperti Berjalan
dan Hulubalang dimainkan dengan diiringi 6 sehingga 8 buat buah rebana ubi bersama-sama
dengan alat muzik pengawal masa seperti canang, kesi dan tetawak.

Melodi Serunai Kelantan yang berbeza digunakan pada muzik gendang silat. Muzik
jenis ini digunakan oleh masyarakat Melayu di Kelantan dan Terengganu untuk mengiringi
persembahan seni silat yang dipersembahkan di majlis keramaian di kampung-kampung dan
acara-acara negeri. Dalam ensambel muzik gendang silat, Serunai Kelantan akan diiringi
dengan sepasang gendang dan sepasang tetawak (Ghulam Sarwar Yousof, 2004:73). Muzik
gendang silat mampu meningkatkan semangat pesilat secara tidak langsung meningkatkan
dinamik persembahan dan pertarungan silat yang diiringinya.

Keistimewaan melodi lagu wayang kulit menjadikan alat muzik ini istimewa dan unik
berbanding alat-alat muzik lain yang ada di dunia terletak pada suara yang dihasilkan
daripada Serunai Kelantan. Dalam konteks kejuruteraan dan sains fizik, aspek suara Serunai
Kelantan ini boleh dilihat secara teknikal melalui pendekatan akustik muzik dan sifat-sifat
gelombang bunyi.

3.0 Kajian Akustik Muzik Serunai Kelantan

Cabang akustik yang mengkaji dan menerangkan muzik dalam konteks Sains Fizik dikenali
sebagai Akustik Muzik. Donald E. Hall (2003) mendefinisikan Akustik Muzik sebagai
mekanisme di dalam pemprosesan bunyi atau reka bentuk bilik untuk bunyi dan juga persepsi
bunyi sebagai muzik. Asas bagi mengkaji akustik muzik ialah studi bunyi. Wilmer T.
Bartholomiew (1942) menyatakan bahawa tiga perkara diperlukan untuk menghasilkan bunyi
iaitu 1) peralatan untuk menghasilkan getaran 2) medium yang berupaya memindahkan
getaran tadi daripada sumber kepada penerima dan 3) alat penerima iaitu telinga manusia.
Donald E. Hall (2003) telah mengembangkan lagi kajian yang dilakukan oleh Bartholomiew
dengan meringkaskan ketiga–tiga perkara tadi kepada 1) penghasilan bunyi iaitu bagaimana

5
bunyi dihasilkan 2) perambatan bunyi iaitu bagaimana bunyi bergerak daripada satu tempat
ke satu tempat yang lain dan 3) persepsi bunyi iaitu bagaimana bunyi mempengaruhi deria
dan emosi pendengar (Donald E. Hall, 2003:3-4).

Penulisan ini berdasarkan dapatan yang diperolehi daripada kaedah pemerhatian,


turut serta permainan, dan hasil kajian daripada ujikaji makmal akustik ke atas sampel
Serunai Kelantan yang dihasilkan oleh Che Isa Samad5 dari bengkel pembuatan alat muzik
Kampung Kebakat, Jajahan Tumpat, Kelantan. Sampel alat muzik ini telah ditala oleh
pemain serunai wayang kulit Kelantan yang berpengalaman iaitu Hamzah Yusof dari
Kampung Gelam Emas, Jajahan Pasir Mas, Kelantan.

4.0 Analisis Penghasilan Bunyi

Bunyi boleh didefinisikan sebagai sensasi yang dihasilkan oleh getaran. Terhasil apabila
berlaku perubahan tekanan, halaju zarah di mana perambatan berlaku di dalam medium yang
elastik atau super posisi dalam perambatan yang berubah. Di interpretasi oleh manusia
melalui pengalaman sensasi yang wujud apabila zarah–zarah udara bergetar menyentuh
gegendang telinga sehingga melahirkan emosi pada manusia (Harry F. Olson, 1952:3).

Berdasarkan teori akustik muzik oleh Donald E. Hall, penghasilan bunyi Serunai
Kelantan bermula di penjana bunyinya iaitu bahagian pipit. Pemain serunai akan
memasukkan pipit ke dalam mulutnya sebelum meniupnya. Tiupan yang menggunakan
teknik pernafasan berterusan menghasilkan hembusan aliran udara yang stabil dan berterusan
tanpa henti. Aliran udara laju yang melalui salur udara pipit menghasilkan tekanan udara
yang mengayunkan kedua–dua lelidah pipit seperti yang ditunjukkan pada Rajah 2.

Empat lelidah daun lontar diikat bersama-sama menggunakan benang menghasilkan


lelidah berkembar7. Dua keping daun berfungsi sebagai lelidah yang bergetar manakala dua
keping daun (garisan putus–putus) berfungsi melindungi lelidah yang bergetar dan
meningkatkan kadar getaran lelidah. Ayunan lelidah pipit berlaku apabila aliran udara

5
Che Isa Samad merupakan Adiguru Kraf Serunai (1997) yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia melalui
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

6
melaluinya disebabkan oleh interaksi di antara halaju V dan tekanan bendalir P berdasarkan
Teorem Bernoulli yang diasaskan oleh D. Bernoulli (1738). Bernoulli mengatakan bahawa
bagi bendalir yang mengalir secara mendatar, kadar aliran bendalir meningkat tekanan akan
berkurang manakala sekiranya kadar aliran bendalir mengurang tekanan bendalir pula yang
akan meningkat (Crowe CT, 2005:99). Teori tersebut boleh digambarkan seperti persamaan
matematik di bawah:

Persamaan 1: Teorem Bernoulli.


Hubungan di antara tekanan dengan halaju bendalir yang mengalir.

V2/2 + gh + P/p = K

V = halaju bendalir.

g = pecutan graviti.

h = ketinggian.

P = tekanan bendalir.

Persamaan 2: Aplikasi Teorem Bernoulli pada Pipit Serunai Kelantan.


V12/2 + gh + P1/p = V22/2 + gh + P2/p
V1 = Halaju aliran udara di dalam salur udara pipit.
P1 = Tekanan udara di dalam salur udara pipit.
V2 = Halaju aliran udara di permukaan pipit.
P2 = Tekanan udara di permukaan pipit.

Prinsip penghasilan bunyi Serunai Kelantan ini boleh diteliti pada ayunan pipit.
Daripada prinsip berkenaan kitaran ayunan lelidah pipit boleh dibahagikan kepada 4 darjah
kitaran yang berbeza iaitu 0º, 90º, 180º, dan 270º seperti yang ditunjukkan pada Rajah 3.
i) Kitaran 1, 00

7
Apabila pemain mula meniup serunai, hembusan permulaan yang kuat pada permulaan tiupan
akan menghasilkan aliran udara yang laju mengalir melalui salur udara pipit. Halaju aliran
udara V1 di dalam salur udara yang meningkat berbanding V2 di permukaan pipit
mengurangkan tekanan P1 di dalam salur udara pipit dan meningkatkan tekanan P2 ke atas
permukaan pipit sehingga kedua–dua lelidah cenderung menutup di antara satu sama lain.
Perubahan yang berlaku sehingga kedua-dua lelidah menutup antara satu sama lain.

ii) Kitaran 2, 900


Pada kitaran ini salur udara tertutup sepenuhnya sehingga hampir tiada aliran udara yang
mengalir melaluinya. Halaju udara V2 pada permukaan atas dan bawah pipit yang tinggi
mula mengurangkan tekanan P2 di permukaan pipit serta meningkatkan tekanan P1 di dalam
salur udara pipit sehingga membuka semula salur udara pipit dengan mengayun kembali
lelidah ke kedudukan asal.

iii) Kitaran 3, 1800


Salur udara akan terbuka sepenuhnya sehingga kembali ke keadaan asal. Aliran udara V1 di
dalam salur udara pipit mula mengalir kembali. Tekanan P1 di dalam salur udara pipit yang
mengayunkan lelidah serunai ke kedudukan kitaran 3.

iv) Kitaran 4, 2700


Menurut Donald E. Hall (2003:1-2), dua prinsip getaran asas untuk menghasilkan bunyi,
muzik dan sebagainya ialah 1) elastik iaitu kecenderungan badan untuk kembali ke
kedudukan asal apabila gangguan berlaku dan 2) momentum iaitu kecenderungan untuk
bergerak melebihi posisi rehat (overshoot), menjadi kedudukan berubah pada kedudukan
yang lain. Daripada kitaran 3, salur udara pipit terus membuka sehingga melebihi kedudukan
asal (overshoot) disebabkan oleh momentum. Kemudian sifat elastik lelidah pipit cenderung
mengembalikan lelidah kepada kedudukan asal sehingga kembali semula ke kitaran 1.

Keempat–empat kitaran ini akan berulang semasa proses tiupan pernafasan berterusan
berlaku. Ayunan lelidah yang berterusan mengganggu aliran udara V1 yang mengalir masuk
ke dalam salur udara pipit menggetarkan partikel udara sehingga menghasilkan gelombang
bunyi. Gelombang bunyi yang dijanakan oleh pipit serunai ialah dalam bentuk yang
kompleks hasil campuran pelbagai frekuensi pada darjah yang sama menyamai hingar putih.

8
5.0 Analisis Perambatan Bunyi

Bunyi yang dihasilkan daripada pipit ialah hingar putih iaitu gelombang yang bercampur
dengan pelbagai frekuensi yang dinamai berdasarkan konsep cahaya putih yang dihasilkan
daripada semua frekuensi warna (Martin S. Roden, 1996:128). Bunyi janaan daripada ayunan
pipit serunai akan merambat melalui batang menali, batang serunai dan kecopong sebelum
bebas ke ruang udara.

Gelombang bunyi ialah gelombang mekanikal yang merambat secara membujur


(longitud) di sepanjang salur udara batang serunai dan kecopong yang berbentuk kon.
Gerakan perambatan gelombang ini berlaku secara proses mampatan dan regangan. Pantulan
berlaku apabila berlaku perubahan galangan akustik di hujung salur udara di bahagian hujung
serunai. Proses pantulan dan perambatan yang berlaku membentuk gelombang pegun yang
bergetar pada frekuensi asli salur udara batang serunai yang dikenali sebagai resonans6.
Gelombang pegun ini berlaku apabila dua gelombang yang sama frekuensi dan panjang
gelombangnya bergerak melalui medium iaitu udara pada arah yang berlawanan dan saling
bertindak di antara satu sama lain sama ada membatalkan atau menjumlahkan amplitud
gelombang. Fenomena ini dikenali sebagai paduan membina super posisi (David Lapp,
2003:20-26).

Proses perambatan gelombang bunyi serunai pada salur udara serunai akan
menghasilkan kawasan–kawasan regangan dan mampatan molekul–molekul udara dan
seterusnya mengakibatkan terjadinya perubahan ketumpatan dan tekanan di kawasan yang
terlibat. Oleh itu rambatan gelombang bunyi ini boleh digambarkan sebagai rambatan
gelombang tekanan. Donald E. Hall (2003) telah menggambarkan perkaitan antara sesaran
dan tekanan gelombang bunyi terhadap panjang pada salur udara untuk alat muzik tiupan

6
Resonans ialah satu fenomena yang terjadi akibat daripada satu jasad yang dipaksa bergetar pada frekuensi
aslinya (Rahim Sahar, 1996:60). Udara yang ada di dalam salur udara merupakan jasad yang kenyal mempunyai
frekuensi yang tersendiri dinamai frekuensi asli apabila bergetar. Jika satu daya berkala dan mempunyai
frekuensi yang berbeza dikenakan pada salur udara serunai, gangguannya akan menyebabkan terjadinya
getaran yang kecil pada jasad dan kemudiannya terhenti akibat ayunan terlembap. Jika frekuensi daya berkala
yang dikenakan adalah sama dengan frekuensi asli salur udara tersebut, maka amplitud getaran akan menjadi
maksimum dan fenomena ini dinamakan resonans.

9
kayu berlidah (reed woodwind) jenis kon seperti Serunai Kelantan pada Rajah 4, Rajah 5
dan Rajah 6.

Apabila tiupan mula dikenakan pada pipit serunai oleh pemain serunai, sesaran dan
mampatan udara pada salur udara serunai ialah seperti Rajah 4. Pada separuh masa pertama
kitaran, udara mula termampat (A) pada pangkal serunai X1 menghasilkan harmonik pertama
gelombang bunyi. Zarah–zarah udara akan tersesar sedikit sebanyak y dan tekanan P yang
tinggi wujud. Di hujung serunai X2 berlaku regangan udara (B) akibat daripada tekanan yang
berkurangan. Udara yang teregang memudah pergerakan zarah–zarah udara bergerak
menyebabkan sesaran menjadi tinggi.

Pada harmonik kedua iaitu Rajah 5, mampatan A1 berlaku di pangkal X1 dan


mampatan A2 di hujung X2 serunai dengan regangan B berlaku apabila tekanan P sifar.
Mampatan A1 lebih tinggi berbanding dengan mampatan A2 kerana tekanan P yang lebih
tinggi di bahagian pangkal X1 berbanding dengan tekanan di bahagian hujung X2. Zarah–
zarah udara tersesar secara perlahan di bahagian pangkal X1 dan amplitud sesaran yang
tertinggi berlaku di kawasan regangan B semasa tekanan P sifar. Kemudian Sesaran sifar
berlaku apabila tekanan P yang tinggi berlaku menghampiri hujung X2. Zarah-zarah udara
bergerak pada arah yang berbeza dengan sesaran negatif berlaku di hujung X2.

Mampatan A dan regangan B berlaku secara berselang seli semasa harmonik ketiga
seperti Rajah 6. Tekanan P juga berubah–ubah dengan sesaran y. Apabila nilai tekanan P
maksimum sesaran y akan menjadi sifar begitu juga apabila amplitud sesaran y maksimum,
tekanan P akan menjadi sifar.

Pada separuh masa kedua kitaran (garisan putus–putus) kesemua nilai–nilai tekanan P dan
sesaran y akan berulang dan merupakan nilai songsangan kepada kitaran separuh masa
pertama. Setiap harmonik memiliki kadar kitarannya tersendiri. Harmonik pertama dikenali
sebagai harmonik asas dengan frekuensi resonans fR. Nilai frekuensi untuk harmonik kedua
pula ialah 2 kali nilai fR dan nilai frekuensi untuk harmonik ketiga pula ialah 3 kali nilai fR.
Bilangan harmonik bergantung kepada ciri–ciri salur udara yang bergetar. Bagi alat muzik
yang memiliki sudut bukaan kon yang sempit seperti Serunai Kelantan, memiliki komponen
harmonik yang berfrekuensi tinggi berbanding dengan alat muzik seperti Soprano Saksofon
yang memiliki sudut bukaan kon yang lebih luas (seperti pada Rajah 7). Sudut yang besar

10
memperlahankan halaju bunyi V yang melalui sesebuah kon. Menurut Donald E. Hall
(2003), hubungan panjang kon serta halaju bunyi dengan frekuensi resonannya apabila
gelombang bunyi bergetar melaluinya seperti Persamaan 3.

Persamaan 3: Frekuensi Resonans salur udara berbentuk kon.


fR = nV/(2L)
V = halaju bunyi.
L = panjang akustik / panjang kon.
n = harmonik

Gelombang yang terhasil daripada tiupan serunai dan keluar daripada kecopong ialah
gelombang hasil yang mengandungi gelombang asas dan harmonik–harmoniknya yang
berbeza–beza amplitud dan frekuensinya, dikenali sebagai warna ton7. Warna ton ini
memberikan sifat–sifat timbrik8 Serunai Kelantan yang membezakan antara bunyi tiupannya
dengan alat–alat muzik yang lain.

Tujuh lubang petik dan satu lubang jerit digunakan untuk mengawal panjang akustik
L yang efektif bagi mengubah nilai frekuensi resonans fR. Kesemua lubang–lubang ini sama
saiznya dan nisbah bandingan diameternya amat kecil jika dibandingkan dengan saiz
diameter salur udara serunai. Apabila serunai ditiup, frekuensi resonans fR yang berbeza
dihasilkan daripada penutupan dan pembukaan lubang–lubang tersebut. Seperti Rajah 8(a),
apabila keseluruhan lubang–lubang ini ditutup perambatan gelombang bunyi pada salur udara
serunai berada pada keadaan asas iaitu naik turun tekanan P selesai sehingga di hujung
serunai. Apabila lubang petik pertama dibuka seperti Rajah 8(b), naik turun pecutan
gelombang teranjak ke belakang menyebabkan panjang akustik L teranjak sebanyak Y
daripada hujung serunai (garisan putus–putus). Ini kerana dinding yang menampung angin
sudah bocor dan tekanan tidak boleh lagi berada pada nilai yang asal kerana kehadiran lubang
tersebut. Walau bagaimanapun panjang akustik L masih berada di hadapan lubang yang
dibuka kerana saiz lubang tersebut kecil dan tidak mampu melarasi panjang akustik L supaya
berada betul–betul berada pada lubang tersebut.

7
Warna ton bunyi Serunai Kelantan terdiri daripada frekuensi asas dan komponen-komponen harmonik.
Daripada ujikaji makmal akustik yang dilakukan, frekuensi asas dan komponen-komponen harmonik Serunai
Kelantan adalah seperti Jadual 1.
8
Timbrik bermaksud sifat bunyi sesuatu alat muzik (Glosari Seni Muzik, 1996).

11
Apabila lubang kedua pula dibuka seperti Rajah 8(c), panjang akustik L akan terlaras
lagi dan berada di antara lubang pertama dan lubang kedua (garisan putus–putus). Kedudukan
panjang akustik L akan berubah–ubah mengikut bukaan lubang petik. Semakin banyak
lubang petik yang dibuka semakin pendek panjang akustik L. Setelah semua lubang petik
dibuka, panjang akustik L boleh dipendekkan lagi dengan membuka jerit. Perubahan nilai L
turut mengubah nilai frekuensi resonans salur udara serunai melalui hubungan frekuensi
resonans fR dan panjang serunai L di dalam Persamaan 3.

Jadual 1: Nilai Frekuensi Asas dan Bilangan Komponen Harmonik Tangga Nada Serunai
Kelantan
No Nada Bil Freq Asas, Nada Peratus Nada Peratus
Kompone Hz terhampir Perbezaan Skala D Perbezaan
4
n (A =440H , Major ,
Frekuensi z) % %
1. Rendah 40 226 A3 +46.58 A3 +46.58

2. Pertama 33 301 D4 +42.71 D4 +42.71

3. Kedua 30 323 E4 -35.17 E4 -35.17

4. Ketiga 27 345 F4 -21.09 F#4 -121.09

5. Keempat 26 366 F#4 -18.79 G4 -118.79

6. Kelima 24 388 G4 -17.73 A4 -217.74

7. Keenam 22 441 A4 +3.93 B4 -196.07

8. Ketujuh 20 484 B4 -34.9 C#4 -234.99

9. Kelapan 19 506 C5 -58.04 D5 -258.04

Laras frekuensi fR juga boleh dibuat dengan melaraskan halaju udara yang melalui
salur udara serunai dengan mengawal kekuatan tiupan. Sekiranya hembusan kuat dikenakan
halaju udara V akan meningkat maka frekuensi resonans fR juga akan meningkat. Teknik ini

12
juga digunakan untuk menghasilkan not–not tambahan dengan cara meningkatkan frekuensi
resonans fR apabila panjang akustik L tidak boleh dilaraskan lagi.

6.0 Analisis Persepsi Bunyi

Bunyi hasil daripada tiupan Serunai Kelantan akan keluar daripada kecopong sebelum bebas
ke ruangan. Dengan menggunakan udara di ruangan sebagai medium, gelombang bunyi akan
merambat dan diterima telinga manusia. Gelombang bunyi yang tersebar akan diterima
telinga manusia yang berada di dalam lingkungan zon perambatan. Di dalam telinga manusia
gelombang bunyi akan terus merambat menuju ke gegendang telinga. Tenaga yang dibawa
oleh gelombang bunyi serunai akan menggetarkan gegendang telinga manusia seperti Rajah
9. Gegendang telinga akan memindahkan getaran melalui tulang–tulang telinga tengah iaitu
malleus, incus dan stapes sebelum tiba di cochlea iaitu organ dalaman telinga yang sensitif
kepada frekuensi. Isyarat bunyi akan diasingkan mengikut frekuensi di cochlea dan dibawa
ke otak manusia melalui 4000 talian saraf. Melalui proses–proses ini, otak manusia dapat
menginterpretasikan parameter fizikal gelombang bunyi9 seperti seperti keamatan dan
frekuensi dan kesan sampul10 kepada persepsi bunyi secara psikologi seperti kekuatan bunyi,
kenyaringan bunyi dan timbrik (Harry F. Olson, 1952:243-255

Kekuatan bunyi serunai bergantung kepada aras keamatan gelombang bunyi serunai.
Perubahan tekanan udara yang besar menyebabkan perubahan amplitud yang besar pada
getaran gegendang telinga, tulang telinga tengah, tetingkap oval, perilymph dan membran
basilar. Lebih banyak pergerakan di dalam membran basilar bermakna lebih terangsang sel
rerambut dan menyebabkan lebih banyak denyutan dihantar ke otak manusia melalui saraf.
Kelangsingan bunyi serunai dipengaruhi oleh frekuensi gelombang bunyi. Kebolehan cochlea
pada Rajah 9, mengasingkan isyarat bunyi mengikut frekuensi membolehkan manusia
menilai spektrum akustik gelombang bunyi serunai seperti pada Rajah 11. Ini memberikan
gambaran bagaimana otak manusia dibezakan ton warna bunyi serunai dan sifat–sifat ini
dipanggil timbrik.

9
Bentuk gelombang bunyi serunai Kelantan boleh digambarkan melalui graf keamatan bunyi (dB) melawan
frekuensi seperti bentuk gelombang bunyi nada pertama Serunai Kelantan pada Rajah 11.
10
Kesan sampul bunyi ADSR Serunai Kelantan terdiri daripada masa serentak (attack), lengah (delay), masa
bertahan (sustain), dan masa lepas (release) seperti yang ditunjukkan pada Jadual 2.

13
Jadual 2: Jadual Sampul Bunyi ADSR Tangga Nada Serunai Kelantan.

Bil Nada Atack, Decay, Sustain Release


s s s s
1. Pertama 0.253 0.026 6.915 0.102

2. Kedua 0.016 0.015 10.346 0.107

3. Ketiga 0.222 0.026 9.708 0.085

4. Keempat 0.164 0.034 9.7 0.060

5. Kelima 0.151 0.021 7.141 0.080

6. Keenam 0.070 0.027 8.097 0.058

7. Ketujuh 0.158 0.015 9.901 0.081

8. Kelapan 0.038 0.013 9.997 0.098

9. Rendah 0.267 0.054 12.559 0.056

Nilai Purata 0.149 0.026 9.374 0.081


Purata Perbezaan 0.072 0.009 1.326 0.015

7.0 Hubungan Proses Penghasilan, Perambatan dan Persepsi Bunyi Serunai


Kelantan

Seorang pemain serunai memulakan permainan serunai dengan menghembuskan udara ke


dalam pipit. Pipit akan berayun dan menggetarkan aliran udara yang mengalir masuk dengan
laju sehingga menghasilkan bunyi dan proses ini merupakan produksi. Gelombang bunyi
yang terhasil akan merambat melalui salur udara serunai yang berbentuk kon dan bergetar
pada frekuensi resonans atau frekuensi asli salur udara tersebut. Perubahan gelombang yang
merambat boleh berlaku dengan i) Peningkatan halaju hembusan udara yang meningkatkan
tekanan udara yang merambat ii) Perubahan panjang akustik gelombang yang merambat
melalui kombinasi penutupan lubang–lubang petik dan jerit.

14
Gelombang udara akan bebas keluar ke ruangan melalui lubang di hujung serunai
iaitu bahagian kecopong. Pemain yang turut berada di dalam zon perambatan akan menerima
bunyi serunai melalui telinga seterusnya isyarat bunyi di interpretasi oleh otak. Otak manusia
akan bertindak balas dengan memberi arahan seterusnya kepada pengawal iaitu jari–jari bagi
melaksanakan mana–mana kombinasi penjarian dan mulut bagi mengawal peniupan supaya
mendapat bunyi yang diinginkan telinga. Proses ini berulang–ulang sepanjang proses
memainkan serunai berlaku.

8.0 Kesimpulan

Berdasarkan penerangan di atas jelaslah bahawa tiga perkara diperlukan oleh seorang pemain
Serunai untuk menghasilkan bunyi iaitu i)Serunai Kelantan: peralatan untuk menghasilkan
getaran ii)Udara: medium yang berupaya memindahkan getaran tadi daripada sumber kepada
penerima dan iii)Telinga manusia: alat penerima. Berdasarkan pendekatan Akustik Muzik
terdapat tiga proses yang berinteraksi apabila Serunai Kelantan dimainkan dan proses-proses
tersebut ialah penghasilan bunyi oleh Serunai Kelantan, perambatan bunyi melalui udara dan
persepsi bunyi oleh telinga manusia. Kombinasi bunyi secara kesatuan dan
berkesinambungan daripada Serunai Kelantan telah menghasilkan suara Serunai Kelantan
yang menjadi warisan yang amat berharga di alam Melayu.

Daripada penulisan ini dapat disimpulkan bahawa pendekatan akustik muzik mampu
menerangkan aspek teknikal seni bunyi alat muzik tradisional Melayu seperti Serunai
Kelantan. Aspek teknikal ini mempunyai potensi yang amat luas untuk diterokai dengan lebih
lanjut dan boleh digunakan untuk memajukan alat-alat muzik tradisional yang ada di
Malaysia. Pengetahuan ini seharusnya dimanfaatkan oleh khalayak industri kreatif seni
budaya dan warisan (IKSBW) - alat muzik tradisional di Malaysia seperti Akademi Seni
Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Istana Budaya melalui penubuhan Orkestra
Tradisional Malaysia (2010), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, dan lain-lain pihak
yang berkaitan.

15
Rujukan

1. Azhar Abdul Latiff. 2007. Serunai Kelantan: Teknologi dan Aplikasi. Tesis M.A.
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
2. Curtis Sach. 1940. The History of Music Instrument. W.W. Norton, New York.
3. David B. Sharp. How You Ever Found An Oboe and Wondered Where It Came
From? Open University. D.E.M.E. , Faculty of Technology, Open University,
Walton Hall, Milton Keyness, MK7 6AA, UK.
4. David D. Boyden. 1956. An Introduction of Music. Alfred A. Knopf Inc. , New York.
5. David Lapp. 2003. Fundamental of Acoustic Music Wright Centre for Sceince
Education.Tufts University, Medford, M.A.
6. Donald E.Hall. 2003. Musical Acoustic. California State University, Sacramento.
7. Dournon, Genevieve. 1992.”Organology.” In Ethnomusicology: An Introduction, ed
Helen Myers.W.W. Norton & Co.
8. Ghulam - Sarwar Yousof (pngr.). 2004. The Encyclopedia of Malaysia: Performing
Arts. Archipelago Press, Kuala Lumpur.
9. Glosari Seni Muzik. 1996. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
10. Harry F. Olson, 1952. Music , Physics and Engineering. Dover Publications, New
York
11. John Backus. 1969. The Acoustical Foundation of Music. W.W. Norton &
Company.Inc. New York.
12. Kamus Dewan. Edisi Ketiga, 1994. Dewan Bahasa Dan Pustaka , Kuala Lumpur.
13. Martin S. Roden, 1996. Analog and Digital Communication System. Prentice Hall,
Upper Saddle River, New Jersey.
14. Md. Rahim Sahar. 1996. Gelombang Bunyi dan Optik. Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.
15. Mohamed Ghouse Nasuruddin.1989. Malay Tradisional Music. Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur.
16. Mohamed Ghouse Nasuruddin. 2003. Muzik Tradisional Malaysia. Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kuala Lumpur.
17. Mohd. Rakib Mat Daud. 1989. Main Puteri. Dlm. Omar Farouk Bajunid (pnyt.) Esei-
esei Budaya dan Sejarah Kelantan. Asrama Za’aba. Universiti Malaya, Kuala
Lumpur.

16
18. Mohd. Yusof Setafa. 1989. Makyong. Esei-esei Budaya dan Sejarah Kelantan.
Asrama Za’aba, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
19. Nik Mustapha Nik Mohd Salleh. 1998. Alat Muzik Tradisional di dalam Masyarakat
Melayu di Malaysia. Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Malaysia,
Kuala Lumpur.
20. Panagiotis Tzevelekos dan Georgious Kouroupetroglou. 2004. Acoustical analysis of
woodwind musical instrument for virtual instrument implementation by physical
modeling. Proc. Conference ACOUSTICS 2004, Thessalonica, Greece.
21. Patricia Martusky. 1993. Malaysian Shadow Play and Music; Continuity of an oral
tradition. Oxford University Press, Kuala Lumpur.
22. Patricia Matusky dan Tan Sooi Beng (pnyt.). 1997. Muzik Malaysia : Tradisi Klasik,
Rakyat
dan Sinkretik. The Asian Centre, Pulau Pinang.
23. Rahmah Bujang & Nor Azlin Hamidon. 2002. Kesenian Melayu. Akademi Pengajian
Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
24. Wan Abdul Kadir. 2003. Pengkaedahan Penyelidikan Pengajian Melayu. Akademi
Pengajian Melayu Universiti Malaya Kuala Lumpur.
25. Wilmer T. Bartholomew. 1942. Acoustic of Music. Prentice Hall. Inc. Englewood
Cliffs, New Jersey.

17
Lampiran & Rajah

Rajah 1: Serunai Kelantan dan Komponen-komponennya.

P2
V2
V1 P1

V2 P2

Rajah 2: Keratan Rentas Pipit Serunai Kelantan dan Hubungannya dengan Teorem
Bernoulli.

18
Rajah 3: Kitaran Ayunan Lelidah pada Pipit

Harmonik kedua, 2fR.

x
P

A1 B A2

X1 L X2
Rajah
4: Sesaran Gelombang Bunyi (y) dan Tekanan Udara (P) Terhadap Kedudukan (x) di
dalam Salur Udara serunai pada Harmonik Kedua

19
Harmonik pertama, fR

A B

L X2
X1

Rajah 5: Sesaran Gelombang Bunyi (y) dan Tekanan Udara (P) Terhadap Kedudukan (x)
di dalam Salur Udara Serunai Kelantan pada Harmonik Pertama.

20
Harmonik ketiga, 3fR.

x x
L

A1 B1 A2 B2 A3 B3

X1 L X2

Rajah 6: Sesaran Gelombang Bunyi (y) dan Tekanan Udara (P) Terhadap Kedudukan (x) di
dalam Salur Udara Serunai Kelantan pada Harmonik Ketiga.

21
=40

x
L = 69cm

a) Soprano Saksofon

 = 1.4 o

b) Serunai Kelantan.

Rajah 7: Perbandingan antara Sudut Bukaan Kon bagi Saksofon dengan Serunai Kelantan.

22
a)
P

b) P

c) P

XY

Rajah 8: Pengaruh Lubang Petik pada Serunai Kelantan.

23
Rajah 9: Gambaran Skematik Telinga Manusia

Rajah 10: Gelombang Bunyi Serunai Nada Pertama: Peratus Keamatan Bunyi (% dB)
Melawan Masa (t) pada t = 0.8 saat

24
Rajah 11: Spektrum Akustik Nada Pertama Serunai Kelantan: Nisbah Keamatan Bunyi
Melawan Frekuensi (f)

25

You might also like