You are on page 1of 8

PENGENALAN

Oh, panasnya! Bahang! Tidak selesa! Ini adalah antara kata-kata yang sering terpacul

daripada mulut kita bagi menggambarkan keadaan cuasa sekarang. Dulu sekiranya pulang

bercuti di kampung, kita dapat menikmati udara yang nyaman dan segar di sepanjang

perjalanan. Kini, suasana seperti itu ternyata sukar sekali untuk dirasai. Sesekali hujan turun

ke bumi, namun ianya tidak dapat menghilangkan bahang sinaran terik cahaya matahari.

Pemanasan global? Perubahan iklim? Jika kita membaca suratkhabar, majalah atau melihat

berita di televisyen, kedua-dua perkataan ini sudah lama menjadi buah mulut masyarakat

dunia. Isu pemanasan global bukan sekadar cuaca dan iklim semata-mata, tetapi seluruh

bumi telah menanggung banyak masalah akibat pemanasan global. Situasi inilah yang

membimbangkan para saintis, masyarakat mahupun benda hidup yang lain di muka bumi ini.

Apakah pemanasan global?

Menurut Karam Singh Walia (2008), pemanasan global merujuk kepada fenomena

peningkatan suhu purata bumi akibat kesan perubahan kepadatan gas rumah hijau

(Greenhouse Gases –GHG) untuk tempoh panjang atau ‘sustained increased’ yang

terkumpul dengan banyak di atmosfera bumi. Pemanasan global memberi kesan perubahan

cuaca yang mendadak atau drastik hingga menyebabkan cuaca ekstrim seperti terlalu sejuk

atau terlalu panas. Manakala menurut Siti Suriani (2009) pula, pemanasan global adalah

ditakrifkan sebagai situasi fenomena cuaca yang tidak menentu dimana berlakunya

peningkatan suhu bumi secara mendadak di muka buni termasuk lautan. Selain itu, fenomena

pemanasan global ini juga berlaku akibat daripada bumi yang dikatakan menerima lebihan

bahangan cahaya matahari yang sekaligus menyebabkan suhu dunia meningkat. Situasi

1
seperti ini telah mengakibatkan masalah pencairan ais di kawasan kutub utara dan di kutub

selatan. Fenomena ini semakin serius serta menjadi kebimbangan kepada penduduk dunia.

Terdapat pelbagai kesilapan yang dilakukan oleh manusia sendiri yang menyebabkan

masalah ini terjadi. Oleh itu, penyelesaian melalui kaedah komunikasi amatlah perlu

diterapkan dalam menyelesaikan masalah ini. Hal ini demikian kerana, masyarakat kini lebih

terdedah kepada teknologi moden seperti televisyen serta media baru iaitu internet.

Apakah silap kita yang mendorong berlakunya pemanasan gobal yang menyebabkan

pencairan ais di kawasan kutub utara dan kutub selatan?

=Peningkatan kenderaan bermotor

Menurut Brune (1997), manusia sering alpa mengenai pemuliharaan alam sekitar.

Terdapat pelbagai kesilapan yang telah dilakukan oleh manusia dan menyebabkan timbulnya

isu pemanasan global. Antaranya ialah peningkatan kenderaan bermotor. Jumlah kenderaan

bermotor bertambah pada setiap tahun. Penggunaan petroleum berplumbum dan diesel

secara besar-besaran telah mengakibatkan pelbagai gas terbebas ke atmosfera melalui ekzos

kenderaan seperti kereta, motor, bas dan lori. Gas seperti karbon monoksida, karbon dioksida

dan sulfur dioksida telah menyebabkan suhu dunia meningkat. Hal ini demikian kerana

pelepasan gas-gas ini telah menyebabkan pembentukan selimut di atmosfera yang

menghalang bahangan bumi terbebas ke angkasa. Oleh itu, bahangan matahari tidak dapat

dipantulkan semula dan hal ini menyebabkan pencairan ais berlaku.

=Kegiatan penyahutanan

2
Manakala pandangan daripada Huzail Hussin (2006), kesilapan manusia yang lain

pula adalah seperti kegiatan penyahutanan. Kegiatan penyahutanan merupakan aktiviti

penebangan pokok di kawasan hutan. Pokok-pokok dimusnahkan bagi memenuhi permintaan

kepada pelbagai sektor ekonomi di sesebuah negara seperti sektor perumahan dan pembuatan

perabot. Aktiviti seperti ini telah menyebabkan pembebasan gas karbon dioksida ke

atmosfera kerana gas ini tidak dapat diserap oleh pokok. Oleh itu, permukaan atmosfera akan

menjadi panas dan hal ini secara tidak langsung dapat mencairkan ais di kawasan kutub.

=Kegiatan perindustrian

Selain itu, Rosnah Haji Salleh., Shukri Sulaiman., dan Che Zainon Shafie (2007)

berpandangan bahawa kesilapan manusia yang terlalu obses dalam mengejar pembangunan

negara juga turut menyebabkan berlakunya pemanasan global ini. Revolusi Perindustrian

yang bermula pada tahun 1700 masihi telah meningkatkan suhu dunia. Tapak industri

memerlukan pelbagai sumber tenaga seperti elektrik, arang batu, gas asli, petroleum dan

diesel. Penggunaan bahan fosil seperti ini telah meningkatkan pengeluaran asap oleh kilang-

kilang dan membebaskan gas seperti karbon dioksida, metana, nitrogen oksida,

hidroflourokarbon dan karbon monoksida di ruang atmosfera. Fenomena ini akan

membentuk satu lapisan di ruang atmosfera yang boleh menghalang bahangan bumi terlepas

ke angkasa lepas. Hal ini telah menyebabkan permukaan bumi menjadi panas lalu dapat

mencairkan bongkah-bongkah ais di kawasan kutub.

=Penggunaan bahan kloroflourokarbon (CFC)

Kesilapan berikutnya yang dilakukan oleh manusia menurut Mohamad Zhahir bin

Shaari (2008) ialah peningkatan penggunaan bahan kloroflourokarbon (CFC), yang merupakan

3
antara faktor penyebab pemanasan global terjadi. Penggunaan bahan ini telah menyebabkan

suhu dunia meningkat kira-kira 15%. Molekul-molekul yang terdapat dalam CFC ini mampu

menyerap 20 000 kali ganda lebih banyak haba daripada molekul karbon dioksida. Antara

jenis barangan yang mengandungi bahan CFC ini adalah pendingin hawa, peti sejuk, dan

aerosol. Peningkatan dalam penggunaan barangan-barangan ini dalam kehidupan manusia

boleh menaikkan paras gas CFC di atmosfera dan seterusnya menyebabkan suhu dunia

meningkat.

=Kegiatan pembakaran secara terbuka

Aktiviti pembakaran secara terbuka yang dilakukan oleh manusia juga antara

penyebab yang mendorong terjadinya pemanasan global. Pembakaran terbuka ini merujuk

kepada pembakaran di kawasan pelupusan sampah, pembakaran hutan selepas pembangunan

untuk tujuan pertanian dan juga pembakaran sisa pertanian seperti jerami padi. Menurut Wan

Ruslan Ismail (1994), pembakaran secara terbuka ini telah menyebabkan pembebasan asap

yang mengandungi gas seperti karbon dioksida, karbon monoksida dan juga sulfur dioksida.

Gas terampai yang terdapat di dalam asap ini boleh memerangkap gelombang panjang infra

merah bumi. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan peningkatan suhu bumi yang

seterusnya boleh mempengaruhi pencairan ais di kawasan kutub.

Langkah mengatasi pemanasan global melalui kaedah komunikasi

*Melalui kaedah pendidikan

Menurut Mohd. Subhi Marsan (2007), umpama peribahasa, ‘sediakan payung

sebelum hujan’ dan ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’, langkah-langkah awal

pencegahan atau meminimumkan kesannya adalah perlu supaya kejadian seperti itu tidak

4
memburukkan imej pengurusan alam sekitar dan pembangunan negara. Penyelesaian dengan

menggunakan kaedah komunikasi melalui pendidikan alam sekitar kepada generasi muda

perlu dimulakan sejak di rumah atau di bangku sekolah lagi. Pendidikan kepada generasi tua

juga penting dilakukan kerana ada golongan yang kaya, mewah dan berpelajaran tetapi tidak

mengambil berat soal alam sekitar. Pusat pengajian tinggi atau jabatan-jabatan tertentu mesti

melakukan kajian agar kejadian yang disebabkan oleh fenomena alam termasuk pemanasan

dunia dapat boleh diminimumkan kesannya.

*Melalui kaedah kempen

Kaedah penyelesaian secara komunikasi yang berikutnya adalah melalui kempen.

Menurut Berita Harian Online (15 Disember 2009), pada 28 Mac 2009 lepas pukul 8.30

malam hampir seluruh dunia termasuklah monumen-monumen seperti Menara Eiffel di

Perancis, jambatan Sydney Harbour dan Opera House di Sydney, jambatan Golden Gate di

San Francisco, bangunan tertinggi Amerika Syarikat, Menara Sears di Chicago hinggalah

Menara Kuala Lumpur dan bangunan Angkasapuri bergelap selama sejam bersempena

dengan kempen Earth Hour yang masuk tahun ketiga tahun ini. Tujuan utama kempen Earth

Hour ialah bagi menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai perlunya satu

tindakan proaktif bagi menangani isu pemanasan global. Kempen ini mengajak penduduk

seluruh dunia untuk bergelap dengan memadamkan semua lampu yang menggunakan tenaga

elektrik tepat pukul 8.30 malam waktu tempatan. Kempen yang mula digerakkan oleh

Tabung Hidupan Liar (WWF) Australia itu telah dilaksanakan pertama kali melibatkan hanya

bandar raya Sydney pada Mac 2007. Sasaran kempen ini ialah mengurangkan pelepasan gas

karbon dioksida tahunan sebanyak lima peratus (5%), sekali gus mengawal fenomena

pemanasan global. Menurut kata Carter Roberts, Ketua Pegawai Eksekutif WWF, Earth
5
Hour akan menjadi penanda aras bahawa dunia akan membantu menyelesaikan masalah ini.

Pada tahun pertama, sebanyak 2.2 juta warga Australia menyokong kempen tersebut. Malah

mercu-mercu tanda utama Australia termasuk Sydney Harbour dan Opera House juga telah

digelapkan. Hasilnya amat membanggakan, bukan setakat mencapai sasaran pengurangan

penggunaan tenaga sebanyak lima peratus, malahan dua kali ganda berbanding sasaran asal

iaitu sebanyak 10 peratus (%). Justeru selepas dilancarkan semasa Persidangan Perubahan

Iklim Bangsa-bangsa Bersatu di Bali pada 14 Disember 2009, WWF dari seluruh dunia telah

berganding bahu berkempen bagi mencapai matlamat tersebut. Lebih unik lagi projek ini

telah menyatukan pelbagai negara, pemilik perniagaan dan kediaman dalam satu misi demi

kesejahteraan sejagat.

*Melalui kaedah persidangan

Berdasarkan Parlimen (2007), kaedah penyelesaian secara komunikasi yang

berikutnya adalah melalui persidangan. Dengan langkah seperti ini, pemimpin negara dapat

berbincang untuk menangani isu pemanasan global. Contohnya seperti kerjasama yang

dilakukan di Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ialah dengan

menganjurkan satu persidangan serantau yang membincangkan mengenai isu-isu perubahan

iklim pada 29 dan 30 Oktober 2007. Selain itu, kerjasama antarabangsa yang berusaha

menangani isu pemanasan global adalah seperti Protokol Kyoto yang telah dilangsungkan di

Jepun pada tahun 1997. Berdasarkan Ensiklopedia Wikipedia (2009), persidangan ini disertai

kira-kira 174 negara sehingga 3 Disember 2007. Protokol ini adalah sebuah persetujuan

antarabangsa terhadap Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

mengenai perubahan iklim dan pemanasan global yang mana negara-negara yang

6
menandatangani protokol ini berusaha untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida

dan gas-gas rumah hijau yang lain.

*Melalui kaedah pengiklanan

Selain itu, penyelesaian melalui kaedah komunikasi mengenai isu pemanasan global

juga boleh dibuat dengan menggunakan media konvensional iaitu pengiklanan di televisyen,

akhbar mahupun majalah. Media-media ini perlu memaparkan dengan lebih jelas lagi kepada

masyarakat dunia mengenai masalah pemanasan global. Contohnya seperti pemaparan di

televisyen berkaitan bahaya yang akan dihadapi oleh penduduk dunia akibat daripada

pencairan ais. Contohnya seperti rancangan National Geographic yang telah membuat liputan

secara eksklusif mengenai kawasan-kawasan yang telah mengalami pencairan ais seperti di

Antartika. Selain itu, akhbar-akhbar dan majalah tempatan juga perlu lebih banyak

menyiarkan laporan berkenaan kesan-kesan pemanasan global yang boleh memusnahkan

alam sekitar seperti kejadian pencairan ais di kawasan kutub yang seterusnya boleh

mengganggu habitat asal haiwan disana seperti beruang kutub dan penguin. Melalui media-

media ini, penyampaian maklumat secara komunikasi massa kepada masyarakat akan lebih

difahami kerana masyarakat dapat melihat dan mentafsir sendiri kesan-kesan akibat

pemanasan global.

Kesimpulan.

Konklusinya, pemanasan global merupakan suatu krisis dunia yang perlu ditangani

dengan segera. Hal ini demikian kerana keadaan ais di kawasan kutub utara dan kutub selatan

semakin menipis lalu menyebabkan peningkatan paras air laut. Sikap manusia yang terlalu

7
rakus dalam mengejar kekayaan dan pembangunan negara telah mengabaikan pemeliharaan

dan pemuliharaan alam sekitar. Jika situasi ini dibiarkan tanpa sebarang langkah-langkah

pencegahan, sudah tentu masyarakat dunia berada dalam keadaan bahaya. Oleh itu, seluruh

penduduk di dunia ini tanpa mengira bangsa, agama, budaya, fahaman politik mahupun

warna kulit , harus saling bekerjasama untuk menyelesaikan isu pemanasan global ini supaya

kejadian pencairan ais dapat dikurangkan.

Disediakan oleh:

NOOR HIDAYAH BINTI HASHIM

You might also like