You are on page 1of 9

Bahasa Komunikasi

Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia adalah bahasa komunikasi rasmi utama di Malaysia. Tetapi nampaknya
sekarang ini, bahasa Melayu semakin ditelan oleh Bahasa Inggeris. Mungkin ini adalah kerana struktur
pembelajaran mengenai Bahasa Melayu tidak begitu menyerlah dan tidak kuat berbanding Bahasa Inggeris.

Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan cara Kementerian Pendidikan Malaysia membuat garis panduan
terhadap skop subjek Bahasa Melayu di setiap sekolah mahupun di peringkat IPT. Anda semua tentu
mengambil subjek Bahasa Melayu semasa anda menduduki peperiksaan SPM. Dan hampir setiap tahun,
terdapat ramai desas-desus mengatakan bahawa kertas Bahasa Melayu adalah yang paling susah untuk
dijawab.

Melalui apa yg kita belajar semasa di sekolah, saya dapati cara pengajaran untuk subjek Bahasa Melayu terlalu
banyak menitik beratkan pembacaan daripada komunikasi atau pertuturan. Terlalu banyak teori daripada
pertuturan. Ini berlainan dengan dengan Bahasa Inggeris yang selalu menekankan komunikasi dan
"pronunciation". Akibatnya, ramai yang mendapati bahawa Bahasa Inggeris mudah dipelajari dan difahami.
Saya juga berpendapat begitu. 

Bagi saya, komunikasi atau secara praktikal adalah lebih penting daripada belajar teori. Melalui komunikasi,
barulah ada minat terhadap budaya & bangsa di samping dapat menghayati keindahan bahasa Melayu. Dan
seterusnya memartabatkan bahasa ibunda sendiri di negara sendiri. Seperti di Amerika Syarikat, mereka lebih
mementingkan komunikasi dan praktikal daripada teori. Sebagai contoh, ramai rakyat Amerika mendapat
keputusan yang buruk apabila mereka mengambil subjek "ENGLISH LANGUAGE". Itu bahasa mereka sendiri
tetapi mereka tidak pandai dari segi teori. Tetapi kita sudah ada teori, hanya komunikasi & praktikal sahaja
diperlukan untuk melengkapkannya.

Dalam subjek Bahasa Melayu juga, terdapat beberapa perkara yang saya rasakan tidak begitu penting dan
hanya akan menyusahkan para pelajar dan seterusnya akan melenyapkan Bahasa Melayu itu sendiri. Saya
rasa, adalah lebih baik jika "perkara-perkara" yg tidak penting itu dijadikan sebagai salah satu subjek utk
mempraktikkan Bahasa Melayu secara praktikal supaya ianya lebih mudah difahami dan dihayati.

Bagi saya juga, Kementerian Pendidikan harus mengolah semula subjek Bahasa Melayu supaya semua kaum di
Malaysia akan menghargainya dan berkomunikasi sepenuhnya dengan menggunakan Bahasa Melayu.
Kementerian Pendidikan seharusnya mewujudkan satu lagi subjek atau sub-subjek untuk Bahasa Melayu iaitu
Bahasa Melayu-komunikasi di sekolah-sekolah terutamanya untuk golongan yang bukan Melayu. Mungkin tak
perlu bertutur dalam bahasa baku. Mungkin hanya bertutur seperti masyarakat Melayu biasa. Takkan nak jadi
skema pulak kan? 

Hmmm...kalau kementerian tak buat jugak, aku taktau ape akan jadi terhadap Bahasa Melayu akan datang.

HURSDAY, OCTOBER 16, 2008

PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) DALAM


MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU MASALAH YANG TIMBUL
DALAM MASYARAKAT KINI TENTANG PENGGUNAAN BAHASA
MELAYU
Bahasa merupakan suatu wadah pertuturan yang digunakan sebagai medium komunikasi antara satu
sama lain. Bahasa Melayu adalah salah satu bahasa pertuturan yang digunakan oleh masyarakat
tanpa mengira warna kulit. Bahasa ini telah mula dipertuturkan oleh masyarakat di kepulauan
nusantara terutamanya Tanah Melayu. Bahasa Melayu pernah dikenali sebagai ‘lingua franca’ atau
dalam erti kata lain sebagai bahasa yang digunakan oleh para pedagang pada masa dahulu untuk
menjalankan aktiviti perniagaan mereka di Tanah Melayu. Ini menyebabkan bahasa ini menjadi
bahasa yang tersohor pada ketika dahulu. Seiring dengan perkembangan sains dan teknologi,
pertuturan dalam Bahasa Melayu semakin berkurangan. Hal ini disebabkan Bahasa Inggeris telah
menjadi bahasa yang utama dalam pertuturan kerana bahasa ini mudah difahami oleh semua pihak.
Apakah usaha yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memelihara Bahasa Melayu?.
Siapa yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara Bahasa Melayu? 

Justeru, pada tanggal 22 Jun 1956 Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka
dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
bertujuan untuk mengembangkan Bahasa Melayu yang bakal dijadikan bahasa kebangsaan pada
ketika itu. Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf sebagai sebuah badan berkanun menerusi
Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi
bagi menggubal dasarnya yang khusus, menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa
dan sastera, serta menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut
prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.

Kepentingan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah begitu penting sehingga ia diiktiraf oleh
jabatan kerajaan sebagai Badan Berkanun melalui Akta Parlimen pada tahun 1959 dalam
memantapkan lagi pengembangan bahasa sastera. Begitu juga dengan pengaturan rancangan
memupuk bahasa sastera dengan baik. Walaupun DBP menggalakkan penggunaan bahasa
kebangsaan namun setelah masa beredar melangkaui peredaran zaman kini banyak pecampuran
bahasa seperti bahasa rojak yang sedang menular dalam masyarakat masa kini. Oleh itu, dengan
adanya DBP masalah penyalahgunaan bahasa ini dapat dibendung. Disamping itu, keaslian bahasa
kebangsaan ini tidak dicemar. Begitu juga dengan penggunaan bahasa singkatan. Contohnya,
singkatan bagi sungai, bukit, jalan, dan sebagainya. Penggunaan singkatan ini memudahkan penulis
surat bagi alamat dan kawasan. 

Perkembangan menakjubkan berkenaan dengan Bahasa Melayu dan DBP ialah dapat mengeratkan
hubungan diplomatik dua negara. Peranan bagi membina dan memperkayakan bahasa kebangsaan
dalam segala bidang termasuk teknologi dan sains secara tidak langsung dapat menjalinkan
hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan China yang terjalin sejak lebih tiga dekad yang
lalu. Berdasarkan suatu rencana Berita Harian, 22 Ogos 2007 lawatan Universiti Pengajian Bahasa-
bahasa Asing Beijing (BFSU) untuk membincangkan tentang projek sekolah bahasa antarabangsa
yang dibina di Pulau Pinang. Di samping itu, DBP juga tidak ketinggalan dalam menyampaikan satu
penerangan seperti kuliah yang bertajuk “Kesantunan Bahasa: Gelaran dan Rujukan” yang
disampaikan oleh Munsyi Dewan kepada para pelajar BFSU. Hubungan diplomatik yang erat ini
dapat mengembangkan bakat kesusasteraan sama ada dalam negara mahupun luar negara. Detik
demi detik matlamat DBP makin hampir. Kejayaan 52 tahun dahulu mungkin mampu diulangi
dengan gemilang.

Selain itu, DBP juga menjalankan pelbagai program dalam mengusahakan memperkembangkan bakat
kesusasteraan. Menurut Berita Harian, DBP mengiatkan program dari semasa ke semasa iaitu
Minggu Penulis Remaja dengan motif melahirkan dan memupuk penulis muda. Program ini juga
bertujuan melahirkan pewaris ilmu kesusasteraan pada masa depan. Dalam usaha memperkasakan
ilmu kesusasteraan ini, DBP sekali lagi menggunakan kaedah penganugerahan bagi menggalakkan
sasterawan-sasterawan menceburi bidang ini.

Setiap suatu organisasi itu mesti mempunyai peranan-perananya yang tersendiri. Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) mempunyai peranan yang amat penting bagi memartabatkan maruah dan kepentingan
Bahasa Melayu yang semakin hari semakin lesu daripada perhatian daripada pelbagai pihak akibat
perkembangan era globalisasi yang hanya mementingkan penggunaan dan penguasaan Bahasa
Inggeris khususnya dalam rutin harian setiap masyarakat. Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka ini
sentiasa selaras dengan misinya iaitu, "Memperkasakan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu, Bahasa
Intelektual dan Bahasa Perpaduan dalam Mendukung Rangkaian Dasar Nasional untuk Membina
Bangsa". Dewan Bahasa dan Pustaka berperanan untuk membina dan memperkaya bahasa
kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. Sepertimana yang diketahui umum
bahawa dalam bidang sains dan teknologi, hanya perkataan-perkataan daripada Bahasa Inggeris yang
digunakan untuk membina atau menghasilkan sesuatu penemuan atau penciptaan yang baru
khususnya dalam bidang perubatan. Oleh hal yang demikian, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah
berusaha dan memainkan peranan yang sangat penting bagi memperkaya bahasa kebangsaan kita
iaitu Bahasa Melayu supaya lebih banyak perkataan daripada Bahasa Melayu dihasilkan di dalam
bidang-bidang yang pesat berkembang sperti bidang sains dan teknologi.

Menurut Bekas Menteri Kehakiman Malaysia, Dato’ Dr. Sulaiman Hj. Daud (1990: 1) bahawa Dewan
Bahasa dan Pustakan (DBP) sejak 20 tahun lalu berjaya menerbitkan tidak kurang daripada 50 judul
buku undang-undang Bahasa Melayu. Ini menunjukkan DBP juga bertindak sebagai medium
penterjemahaan karya-karya asing. Maka ilmu dari luar dapat diadaptasikan dalam Bahasa Melayu
bagi memperkayakan perbendaharaannya.
Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka juga berperanan untuk mencetak dan menerbitkan atau
membantu dalam percetakan dan penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan
pelbagai bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain. Pihak DBP
merupakan sebuah organisasi yang begitu penting dalam industri percetakan dan penerbitan buku-
buku, risalah-risalah, kamus-kamus, serta pelbagai bentuk bahan ilmiah kerana ia merupakan salah
sebuah organisasi penerbitan yang terbesar di Malaysia. Pihak DBP telah banyak mencetak dan
menerbitkan buku-buku untuk sekolah-sekolah seperti buku teks dan buku rujukan yang merupakan
bahan ilmiah yang sangat penting bagi pelajar-pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah.
DBP juga bergiat aktif dalam menerbitkan buku-buku kesusasteraan Bahasa Melayu mahupun dalam
Bahasa Inggeris. Ini bermakna peranan yang dimainkan oleh DBP adalah sangat penting dan ia juga
memberi impak yang baik dalam bidang kesusasteraan, pendidikan, dan juga industri percetakan
Negara.

Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka juga berperaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa
kebangsaan yang betul. Sepertimana yang sedia maklum, tidak ramai atau hanya segelintir sahaja
daripada rakyat Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. Majoriti daripada mereka
menggunakan Bahasa Melayu yang tidak betul. Sebagai contoh yang paling ketara ialah rakyat
Malaysia menggunakan bahasa pasar sebagai bahasa percakapan harian mereka. Bukan sahaja
sebagai bahasa percakapan harian, malah notis-notis ataupun risalah-risalah awam yang diedarkan
kebanyakannya tidak menggunakan Bahasa Melayu yang betul seperti risalah-risalah ataupun poster-
poster untuk konsert dan promosi kompleks-kompleks beli-belah. Oleh hal yang demikian, pihak DBP
perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk mengatasi masalah yang telah berleluasa
hingga ke hari ini seperti mewujudkan buku-buku dan risalah-risalah dan akhbar-akhbar yang
menggunakan dan memperbetulkan penggunaan Bahasa Melayu yang tidak betul di kalangan rakyat
Malaysia.

Masalah yg timbul dalam kalangan masyarakat tentang penggunaan Bahasa Melayu juga wujud hasil
daripada perkembangan sains dan teknologi. Sebagai contoh, maklumat-maklumat kajian yang
diperoleh dari negara asing tidak boleh dimelayukan kerana ia akan menimbulkan masalah dalam
kalangan masyarakat. Perkembangan dalam kajian perubatan sehingga hari ini telah melahirkan
pelbagai jenis ubat-ubatan yang begitu banyak. Tambahan pula, istilah yang digunakan adalah sama
di seluruh dunia. Jika istilah-istilah ini dimelayukan, kekeliruan akan timbul bukan sahaja terhadap
pengguna, malahan juga pedagang dan peniaga ubat-ubatan dari negara luar dan ini amat merbahaya.

Selain itu, masalah yang timbul dalam kalangan masyarakat kini berkenaan dengan penggunaaan
Bahasa Melayu adalah kesan daripada bahan bacaan ilmiah yang kebanyakannya dalam bahasa asing,
contohnya BahasaIinggeris. Buku-buku yang dikarang dalam Bahasa Melayu adalah amat terhad dan
ini memberi kesan kepada pelajar-pelajar yang bergantung kepada sumber-sumber rujukan
berbahasa Melayu. Kesannya, masalah ini akan menjadi antara faktor penghalang dalam usaha
kerajaan mewujudkan masyarakat berilmu dan berpengetahuan luas.

Tambahan pula, penterjemahan buku-buku berbahasa Inggeris adalah kurang kerana langkah ini
memerlukan tenaga professional dalam melakukan penterjemahan. Perkembangan sains dan
teknologi pada hari ini menimbulkan masalah dalam masyarakat tentang penggunaan Bahasa Melayu
melalui teknologi internet dan dunia komunikasi. Contohnya, penggunaan Bahasa Melayu yang salah
sangat meluas. Contohnya, wujudnya bahasa ‘sms’ dan bahasa internet yang merosakkan Bahasa
Melayu. Isu ini telah membelenggu bukan sahaja Malaysia, malahan juga negara-negara asing seperti
Australia dan Eropah sehingga sampai ke suatu tahap dimana penggunaan bahasa sms dibenarkan
dan dijadikan bahasa yang sah. Perkembangan dalam bidang sains dan teknologi turut menimbulkan
sedikit salah faham tentang maksud sesuatu perkataan. Sebagai contoh dalam bidang penerokaan
angkasa lepas, istilah angkasawan merujuk kepada maksud yang sama dengan ‘astronaut’ dan istilah
yang digunakan oleh masyarakat di negara China iaitu ‘taikonaut’
Selain itu, perkembangan teknologi juga telah meletakkan Bahasa Melayu pada satu tahap dimana ia
dianggap kurang penting kerana peralatan dan perisian komputer pada masa kini menggunakan
bahasa-bahasa asing seperti Jepun, Inggeris, dan juga Rusia yg merupakan negara pengeluar
teknologi-teknologi tersebut. Kesannya, semangat cintakan bahasa semakin pudar kerana rakyat tidak
melihat Bahasa Melayu sebagai satu aset yang penting untuk maju sedangkan kita sepatutnya lebih
gigih berusaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu melaui penerokaan dalam bidang teknologi dan
sains sepertimana yang dilakukan oleh masyarakat negara Jepun sehinggakan mereka mampu
menggunakan seratus peratus Bahasa Jepun dalam semua bidang termasuk sukatan pelajaran di
negara mereka. 

Dewasa ini, penggunaan bahasa Melayu kian merosot penggunaannya dalam masyarakat terutamanya
para belia. Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa asing kepada belia dalam negara kita. Mengapa
semua ini berlaku? Tepuk dada tanyalah selera. Mungkin kita perlu melihat permasalahan ini dengan
lebih mendalam hingga ke akar umbi. Ini disebabkan isu penggunaan bahasa Melayu bukanlah isu
remeh yang boleh dipermainkan oleh sesiapa saja. Tambahan pula, dalam perlembagaan persekutuan
ada memperutukkan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menerusi
Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Walaubagaimanpun, masih wujud sesetengah pihak yang ego
dan sombong dengan mencampuri Bahasa Melayu dengan bahasa Asing. Siapakah mereka?

Isu bahasa rojak bukanlah isu yang baru namun isu ini sudah lapuk. Tetapi masyarakat tidak boleh
memandang enteng kerana ini berkaitan maruah negara. Maka tidak wajarlah Bahasa Melayu
dijadikan bahasa kedua ataupun bahasa sampingan sahaja dimana sahaja termasuklah institusi
undang-undang seperti mahkamah. Menurut Bekas Ketua Hakim Negara, Yang Amat Berbahagia Tun
Salleh Abbas (1989: 18) bahawa beliau menyesali peguan-peguam yang tidak menggunakan Bahasa
Malaysia yakni Bahasa Melayu ketika membentangkan hujah sebaliknya mengutamakan bahasa
penjajah iaitu Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi mereka dalam lapangan pengadilan.
Justeru, pada tahun 1985 beliau telah menggesa supaya Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di
mahkamah rendah, mahkamah majisterit, dan mahkamah tengah.

Kelangsungan daripada cadangan beliau itu, Majlis Peguam Negara (1989: 18) pada tahun 1986 telah
membuat keputusan supaya Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di mahkamah dalam masa 20
tahun akan datang. 20 tahun telah berlalu, sistem perundangan masih belum mencapai matlamatnya
dalam penggunaan Bahasa Melayu. Ini disebabkan kurangnya nasionalisme dalam seseorang
pengamal perundangan kini. Bahasa Melayu telah ‘dirojakkan’ oleh peguam-peguam ini untuk
membuat lontaran hujah. 

Oleh itu, penggunaan Bahasa Melayu secara tidak langsung kurang meluas dan kurang efektif. Selain
itu, masyarakat dapat melihat bagaimana bahasa mendominasi lapangan perniagaan dan
perdagangan sama ada antarabangsa mahupun domestik. Lihat sahaja bagaimana Bahasa Inggeris
menghiasi katalog, iklan, dan pembentangan bagi sektor perniagaan kini. Kegagalan Bahasa Melayu
menjadi agen utama merupakan suatu yang mengecewakan kerana Bahasa Melayu pernah digelar
sebagai ‘lingua franca’ pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Dimanakah kedaulatan Bahasa
Melayu?. Meskipun wujud usaha-usaha untuk menjadikan Bahasa Melayu kembali bernafas dalam
sektor perniagaan dan perdagangan namun masyarakat kini masih gentar tentang kewibawaan
Bahasa Melayu sehinggakan ada pihak yang sanggup mempertikaikannya. Lantas Bahasa Melayu
ketinggalan ke belakang daripada bahasa-bahasa asing yang lain seperti Bahasa Jepun dan Bahasa
Perancis.

Menurut Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) (1988: 38) bahawa usul penggunaan Bahasa
Malaysia ataupun Bahasa Melayu dalam bidang perdagangan dan perniagaan dalam setiap seminar
sama ada peringkat negeri mahupun peringkat antarabangsa namun telah ditolak. Ini disebabkan
wujud pemikiran sempit daripada beberapa golongan memikirkan bahawa Bahasa Inggeris sebagai
bahasa antarabangsa, maka Bahasa Melayu tidak wajar menggantikan peranan dalam perniagaan dan
perdagangan kini. Apabila menyingkap sejarah dunia, Bahasa Melayu dilihat mampu dijadikan
sebagai ‘lingua franca’ abad ke-21. Ini dapat dilihat Bahasa Inggeris digantikan dengan Bahasa
Perancis di Quebec, Kanada (1988: 38). Penggantian itu dilakukan menerusi Undang-Undang 101
Negeri Quebec.

Tambahan pula, menurut Perdana Menteri Quebec, Encik Levesque (1988: 38) bahawa kita harus
menjamin bahawa orang Quebec akan dapat mengalami perkembangan ilmu dan teknologi pada
masa akan datang dalam Bahasa Perancis. Maka hari ini Bahasa Perancis dipertuturkan oleh 130 juta
penutur diseluruh dunia (2004). Ini yang perlu dilihat oleh setiap lapisan masyarakat.

Sementara itu, kekangan yang wujud dalam perkembangan penggunaan Bahasa Melayu disebabkan
perlumbaan sektor swasta dalam mendominasi Bahasa Inggeris dalam setiap urusan. Menjelang acara
Sukan Komanwel 1998, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah menegur penganjur sukan
berprestij itu iaitu Ninety Eight Berhad kerana tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam kempen
dan promosi temasya ke-2 terbesar di dunia itu (1998: 38). Sementara itu, objektif penubuhan
Gerakan Bahsa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) gagal kerana kebanyakan syarikat baru di Bursa
Saham Kuala Lumpur (BSKL) masih menggunakan Bahasa Inggeris. Akibat kelonggaran dari segi
pelaksanaan maka tidak mustahil Bahasa Melayu bakal dianak tirikan oleh negara sendiri. Presiden
BSKL, Yang Berbahagia Dato’ Muhd. Salleh Majid (1998: 38) bahawa tiada peruntukan khas dalam
undang-undang mahupun peraturan-peraturan yang khusus dalam pelaksanaan bahasa kebangsaan
bagi institusi kewangan dan bank menyebabkan bahasa itu tidak diberi keutamaan dalam komunikasi
harian.

Oleh sebab itu, masyarakat hari ini lebih tertumpu dalam penguasaan Bahasa Inggeris daripada
memperkasakan Bahasa Melayu. Ini dapa dibuktikan menerusi suatu kajian oleh sebuah syarikat
akhbar tempatan mendapati akhbar harian yang paling laris jualannya di Malaysia ialah akhbar Cina
yang mencecah 350,000 naskah sehari manakala akhbar Inggeris akhbar kedua tertinggi dan
malangnya akhbar Melayu mencatat jualan yang terendah daripada ketiga-tiga jenis akhbar.
Natijahnya, masyarkat kini kurang berkomunikasi menggunakan Bahasa Melayu secara tidak
langsung orang Melayu dianggap kurang membaca.

Kemerosotan penggunaan Bahasa Melayu tidak harus dilihat secara umum sebaliknya secara khusus.
Ini memboleh penumpuan diberika secara lebih proaktif. Justeru, dasar pendidikan negara perlu
dipertikai kerana dasar ini yang menjadi akar kepada perkembangan Bahasa Melayu kini. Apabila kita
menoleh sejenak ke belakang awal 80-an dimana kerajaan giat mempromosikan penggunaan Bahasa
Melayu dalam masyarakat Malaysia. Namun usaha tersebut terbantut dipertengahan jalan kerana
wujud anasir-anasir tertentu yang menjadi kekangan.

Menurut Mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad
dalam Majlis Kongres Tamadun Melayu (1989: 43) bahawa pengajian Bahasa Melayu tidak
seharusnya hanya mampu menggali, mencari, dan mengilap-gilap terma budaya Melayu yang lama
dahulu tetapi seharusnya mampu menganggap perngertian dinamisnya dalam konteks perubahan
masyarakat Melayu moden yang sedang memasuki abad ke-21. Kelangsungan daripada menjayakan
suatu wawasan yang cenderung ke arah sains dan teknologi, maka Bahasa Melayu telah dikorbankan
dalam sistem pendidikan kebangsaan. Pada tahun 1970, para cendikawan Melayu yang
memperjuangkan Bahasa Melayu melahirkan kebimbingan tentang polarisasi di negara ini. Pada
dekad itu, Bahasa Melayu ditekankan sebagai Bahasa Perpaduan yang menyatukan masyarakat
berbilang kaum pada zaman kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak.

Namun dengan langkah kerajaan memberi penekanan yang serius pada penggunaan Bahasa Inggeris
pada tahun 1990-an sehingga mengatasi Bahasa Melayu dalam aspek-aspek kehidupan yang
menimbulkan kerisauan kepada para cendiakawan . Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar untuk subjek Sains dan Matematik telah merencatkan perkembangan Bahasa Melayu yang
telah diusahakan sejak zaman Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan lagi. Secara tidak langsung
ramai pelajar berlumba-lumba menguasai Bahasa Inggeris sehingga sanggup menghabiskan wang
beratus-ratus ringgit. Inilah fenomena masyarakat kini yang mampu melenyapkan khazanah bangsa
dan negara.

Tambahan pula, mengikut statistik pungutan pendapat yang dijalankan oleh Bernama
(www.bernama.com) (2001: 1) tentang ‘adakah Bahasa Melayu relevan dalam pengajian tinggi
swasta? dan adakah ianya harus ditingkatkan?’ mendapati 94 peratus daripada 110,000 undian
dicatatkan oleh laman web tersebut tidak mahu penggunaan Bahasa Melayu digunakan di universiti-
universiti dan kolej swasta. Ini mengambarkan suatu perspektif baru sudah wujud dalam mentaliti
generasi kini bahawa Bahasa Melayu tidak penting lagi sebagai medium pendidikan kini.

Yang memeritkan lagi, kumpulan pakar Bahasa Melayu masih lagi kurang. Meskipun ada beberapa
orang namun tidak semua yang menjalankan kajian bahasa (linguistik) seperti Clifford Geertz (1989:
43). Justeru, usaha demi usaha perlu diikhtiarkan supaya Bahasa Melayu tidak terpinggir daripada
arus perdana.
Konklusinya, pendekatan secara tuntas perlu diambil setiap pihak berwajib sama ada pihak kerajaan
mahupun masyarakat dalam memulihkan dan meneguhkan semula Bahasa Melayu dalam diri setiap
masyarakat terutamanya bangsa Melayu. Malahan setiap perancangan tidak harus sekadar melepas
batuk ditangga semata-mata sebaliknya perlu dilaksanakan secara konsisten dan efektif. Ini dapat
dilihat bagaimana langkah kerajaan membentuk Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya
yang diumumkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Pendidikan Malaysia dalam
Majlis Perasmian Seminar Pengajian Melayu (1989: 43). Oleh itu, inisiatif sebegini perlu diteruskan.
Maka martabat Bahasa Melayu dapat diangkat semula selari dengan Wawasan 2020.

You might also like