You are on page 1of 9

KESUSASTERAAN

A. Sepintas Lalu
• KESUSASTERAAN merupakan wadah fikiran dan perasaan yang dijalin oleh
bahasa yang indah. Keindahan kesusasteraan memukau deria rasa dan deria
intelek peminatnya. Setiap bangsa mempunyai kesusasteraan yang
dibanggakan. Bermula dengan tradisi lisan, kemudian beralih kepada tulisan
dan kini kesusasteraan memasuki ruang siber. Kesusasteraan bermula di teratak
rakyat pada zaman primitif, berkembang di istana raja, merendang semula di
ruang masyarakat perindustrian, dan kini memasuki dunia siber.
• Dr. Sohaimi Abdul Aziz, pensyarah dari USM menyatakan bahawa ruang
perjalanan yang dilalui oleh kesusasteraan sama dengan ruang perjalanan
tamadun manusia itu sendiri.Sejarah kesusasteraan memperlihatkan
perkembangan yang berliku-liku. Setiap zaman itu membawa persoalan
yang tersendiri kepada kesusasteraan. Setiap zaman memberi fungsi yang
tertentu kepada kesusasteraan. Bermula dengan fungsi untuk manusia sebagai
wahana hiburan dan pengajaran, kesusasteraan kemudian berfungsi
untuk dirinya sahaja. Pada peringkat awal, fungsi ekonomi yang dimiliki oleh
kesusasteraan tidak begitu menyerlah.
• Namun semenjak kesusasteraan diangkat sebagai satu bidang ilmu maka fungsi
ekonominya semakin jelas.Hakikat ini jelas apabila kedudukan pengajian
kesusasteraan di universiti menampilkan dirinya bukan sahaja sebagai
satu bidang ilmu tetapi juga sebagai satu tiket untuk melamar kerja.
• Graduan yang lahir dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan membuat
pengkhususan dalam bidang kesusasteraan berpeluang melamar pekerjaan di
beberapa sektor seperti pendidikan, penerbitan dan kewartawanan. Sektor
pendidikan menawarkan peluang pekerjaan yang paling banyak khususnya pada
peringkat sekolah. Kebanyakan pelajar yang membuat pengkhususan dalam
bidang kesusasteraan merupakan bakal guru. Manakala sektor penerbitan dan
kewartawanan agak terhad.

B. Hakikat Subjek Kesusasteraan Masa Kini


• Sektor pendidikan merupakan sektor yang menawarkan peluang pekerjaan yang
paling banyak kepada mereka yang membuat pengkhususan dalam bidang
kesusasteraan di universiti . Namun, pada masa ini tidak ramai guru sastera
yang diperlukan di sekolah-sekolah kerana mereka sudah terlalu ramai. Maka
terdapat guru-guru sastera yang mengajar mata pelajaran lain. Tambahan pula
kelas-kelas sastera semakin mengecil kerana minat pelajar-pelajar terus
menurun. Ada juga sekolah yang menutup kelas sastera kerana tidak ada lagi
sambutan daripada para pelajarnya.
• Terdapat satu stigma yang dilemparkan kepada pelajar-pelajar yang
mengambil mata pelajaran sastera, iaitu pelajar sastera ialah pelajar yang
lemah dan tidak ada potensi untuk maju dalam bidang lain seperti perakaunan
dan teknikal. Hanya sebilangan kecil graduan kesusasteraan yang memulakan
perniagaan sendiri kerana kemahiran yang diterima tidak mengizinkan mereka
mencipta pekerjaan untuk diri mereka sendiri.
• Pada peringkat akademik iaitu peringkat yang lebih tinggi, penglibatan mereka
yang terlibat dengan dunia sastera melalui bengkel, kolokium, seminar, dan
persidangan semakin lesu. Majlis-majlis ilmu ini dihadiri oleh sebilangan kecil
muka baru yang menunjukkan minat. Walaupun begitu, kegiatan kesusasteraan
nampaknya masih bernafas dengan adanya Dewan Bahasa
dan Pustaka iaitu sebuah institusi kerajaan yang mengurus perkembangan
bahasa dan sastera di Malaysia. Jika tidak ada Dewan Bahasa dan Pustaka sudah
pasti majlis-majlis ilmu kesusasteraan akan berkubur. Masyarakat teknologi
tidak melihat adanya kerelevanan kesusasteraan pada masa kini.
• Menurut Majlis Peperiksaan Malaysia, jumlah pelajar tingkatan enam (STPM)
yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan terus merosot dari tahun ke
tahun. Pada tahun 1998 terdapat 13 023 pelajar STPM yang menduduki
kertas Kesusasteraan Melayu. Bilangannya merosot kepada 11 957 orang pada
tahun 1999 dan hanya 7928 orang pada tahun 2000.
• Tidak dinafikan memang ada yang benar-benar minat dengan kesusasteraan
tetapi bilangan mereka amat kecil. Seperkara yang berkaitan ialah
minat pelajar yang membuat pengkhususan sastera telah menurun kerana
kerjaya sebagai guru tidak lagi dipandang tinggi oleh masyarakat. Dengan kata
lain, pengajian kesusasteraan tidak lagi berada dalam keadaan yang selesa.
• Lambakan graduan yang membuat pengajian kesusasteraan akan terus
berlaku. Di Malaysia, terdapat beberapa universiti yang menghasilkan graduan
kesusasteraan seperti di Universiti Malaya (UM) , Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Maka setiap tahun ratusan
graduan pengajian kesusasteraan keluar mencari pekerjaan yang
sesuai dengan kelulusan mereka. Namun sehingga kini belum ada statistik
sebenar jumlah pelajar pengajian kesusasteraan yang menganggur. Kita perlu
berasa bimbang akan masa hadapan pengajian kesusasteraan. Mengikut satu
laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia (New
Sunday Times, 9 Julai 2000, hlm. 27), terdapat 39 000 graduan yang sedang
mencari pekerjaan. Menurut agensi-agensi mencari pekerjaan,
bilangan itu lebih besar daripada yang dikeluarkan oleh kementerian
berkenaan. Saingan untuk merebut peluang pekerjaan semakin sengit. Peluang
pekerjaan dalam bidang kesusasteraan tidak begitu cepat berkembang
berbanding dengan jumlah graduan yang terus bertambah dari tahun ke tahun.
Sedangkan jumlah universiti bertambah sama ada awam ataupun swasta dan
jumlah kemasukan juga terus meningkat. Maka lambakan graduan sukar untuk
dibendung jika tidak ada langkah-langkah bijak dilakukan.
• Dalam sektor pendidikan swasta, tidak ada kolej swasta ataupun universiti
swasta yang menawarkan pengajian kesusasteraan kerana pengajian ini tidak
mempunyai nilai ekonomi di dalam konteks peluang pekerjaan yang baik,
berprestij dan bergaji lumayan. Kursus-kursus yang dianjurkan semua
berorientasikan nilai ekonomi iaitu dapat memberi keuntungan kepada yang
menganjurkan. Maka kolej swasta akan menawarkan kursus yang berkaitan
dengan IT, kejuruteraan, perakaunan, pengurusan dan perniagaan. Kolej-kolej
swasta ini beroperasi dengan menawarkan kursus-kursus yang dapat memenuhi
keperluan peluang pekerjaan yang sedia ada dan yang akan diwujudkan. Ibu
bapa tidak akan bergolok bergadai mencari wang yang begitu banyak, hanya
untuk pengajian kesusasteraan yang sedia ada dan yang akan diwujudkan.
• Pengajian kesusasteraan kini dianggap pengajian kelas dua. Pengajian
kesusasteraan tidak menyediakan ruang untuk para graduannya bersaing di
sektor swasta untuk mendapatkan pekerjaan. Kolej-kolej swasta tidak berminat
untuk menawarkan pengajian seperti ini kerana pasti tidak ramai pelajar yang
akan memohonnya. Pengajian kesusasteraan hanya terdapat di universiti awam
seperti di Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan
Universiti Malaya. Namun universiti-universiti awam ini tidak boleh berterusan
menghasilkan graduan pengajian kesusasteraan yang tidak lagi relevan dengan
perkembangan ekonomi negara yang mengarah kepada negara maju pada tahun
2020.
• Bagi mengatasi masalah ini, adakah jumlah pengambilan pelajar untuk
pengkhususan kesusasteraan dikurangkan? Misalnya ada yang menyarankan
supaya dikurangkan jumlah pengambilan pelajar sastera daripada 53 peratus
pada tahun 2000 kepada 25 peratus sahaja. Pengurangan ini juga akan
mengurangkan jumlah yang mengambil pengkhususan kesusasteraan.
• Selain itu, ada juga pandangan yang lebih radikal iaitu menutup sama sekali
pengajian kesusasteraan. Kedua-dua pendekatan ini tidak akan
menyelesaikan masalah yang timbul. Namun untuk memasukkan
karya-karya sastera dalam pengajaran bahasa tidak juga membawa maruah
kepada kerjaya guru sastera atau bakal guru sastera. Memansuhkan pengajian
kesusasteraan adalah tidak bijak kerana kesusasteraan mempunyai nilai
didaktik dan budaya yang diperlukan. Manusia bukan robot tetapi makhluk yang
bernafas dengan tenaga intelek dan emosi serta intuisi. Pengajian
kesusasteraan sekarang perlu dilihat kembali kerelevanannya di dalam
konteks nilai ekonominya.
• Perkara penting yang perlu dilakukan adalah dengan melihat kurikulum
pengajian kesusasteraan yang ada semula. Adakah kandungan kurikulum
pengajian kesusasteraan di universiti dapat menghasilkan tenaga kerja yang
diperlukan oleh negara pada hari ini dan masa hadapan? Kurikulum yang
digunakan merupakan kurikulum yang lama yang bersifat
tulen dan pasti telah melalui beberapa pindaan kecil tetapi masih
mengetengahkan pengajian kesusasteraan sebagai satu pengajian tulen.
Misalnya, di USM kurikulum pengajian kesusasteraan nyata bersifat tulen
seperti kajian terhadap teks klasik, novel, cerpen, sajak, sejarah sastera, teori
sastera, kritikan sastera, kesusasteraan Amerika Latin, kesusasteraan Afrika,
kesusasteraan Nusantara dan kesusasteraan bandingan. Kursus ini tidak
membawa nilai ekonomi dalam konteks mendapatkan pekerjaan yang di luar
bidang pendidikan. Sudah tiba masanya kursus itu dikaji kerelevanannya
kepada para pelajar.
• Mengikut agensi pencari pekerjaan, graduan yang mudah mendapat pekerjaan
yang baik ialah mereka yang mempunyai kemahiran teknologi khususnya yang
berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi. (New Sunday Times 9
Julai 2000, hlm. 27). Sehubungan itu, mereka menggesa para graduan sains
supaya melengkapkan diri mereka dengan teknologi maklumat dan komunikasi,
yang berkesan. Mereka juga berpendapat bahawa agak mudah memberi kursus-
kursus teknologi kepada graduan-graduan sains berbanding dengan sastera
kerana latar belakang sains mereka. Bagaimana dengan graduan atau bakal
graduan pengajian kesusasteraan? Adakah mereka juga perlu dilengkapi
dengan teknologi maklumat? Jawabnya ya. Melihat kepada kursus-kursus yang
ada mereka langsung tidak didedahkan dengan teknologi komputer. Membawa
teknologi komputer tidak bermaksud merombak semua kursus yang ada. Masih
ada kursus-kursus yang ada sekarang yang perlu dikekal sebagai kursus asas
pengajian kesusasteraan.
• Anjakan paradigma dalam pengajian kesusasteraan di universiti ada
hubungannya dengan satu pandangan yang mahu pengajian kesusasteraan
digantikan dengan pengajian budaya. Melalui pengajian budaya, parameter
pengajian kesusasteraan diperluas. Kesusasteraan tidak dilihat secara tulen lagi
tetapi dalam konteks budaya yang lebih luas (dispersed and decentred)
• Daripada pengajian kesusasteraan kepada pengajian budaya memerlukan satu
anjakan paradigma yang bijak. Pengajian kesusasteraan yang berbentuk tulen
itu perlu diubah dan disesuaikan dengan perkembangan yang berlaku. Pengajian
kesusasteraan yang berbentuk tulen ini perlu dirombak untuk memberi laluan
kepada pengajian kesusasteraan yang berbentuk interdisiplin dan salah satu
aspek penting yang perlu dibawa masuk dalam
pengajian kesusasteraan ialah teknologi. Melalui teknologi komputer
kesusasteraan boleh dikaji bersama-sama dengan media yang lain seperti filem.
• Sudah tiba waktunya dimasukkan kursus yang berkaitan dengan teknologi
komputer seperti adaptasi menggunakan komputer dan penggunaan teknologi
multimedia. Kursus-kursus seperti kesusasteraan dan multimedia dan
kesusasteraan dan filem perlu difikirkan untuk komponen kursus pengajian
kesusasteraan. Graduan daripada pengajian kesusasteraan dengan kursus yang
berkaitan dengan teknologi komputer dan multimedia lebih bersedia
melamar pekerjaan yang berteknologi itu. Mereka dapat bersaing dengan
pelajar sains pada masa hadapan dalam melamar pekerjaan yang semakin
bertumpu kepada IT ataupun yang berkaitan dengannya. Apabila mereka keluar

sebagai graduan maka mereka boleh melibatkan diri dalam bidang pengiklanan,
kewartawanan, perfileman dan pendidikan IT. Mereka juga boleh melibatkan
diri dalam industri membangunkan pelbagai perisian komputer yang
bersifat tempatan dan juga multinasional yang kini sedang pesat berkembang.
Sehubungan itu, mereka tidak lagi hanya mengharapkan untuk menjadi guru
sekolah. Bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia
sebagai pusat IT maka graduan kesusasteraan tidak akan ketinggalan
membangunkan dunia IT Malaysia pada masa hadapan.
• Bagi merealisasikan satu perubahan dalam penawaran kursus pengajian
kesusasteraan yang berorientasikan teknologi komputer maka prasarana yang
berkaitan perlu difikirkan. Makmal komputer yang sesuai perlu disediakan.
• Pengkhususan kesusasteraan sebagai satu bidang ilmu masih diperlukan tetapi
dalam pakej yang berbeza. Teknologi multimedia perlu diperkenalkan dalam
pengajian kesusasteraan. Gandingan kedua-duanya ini akan menghasilkan
graduan kesusasteraan yang boleh bersaing dengan graduan lain khususnya
dalam bidang IT.

C. Remaja Dan Penulisan Kreatif


• Apabila kita ingin mengasuh remaja menjadi penulis, kita tidak hanya mengajar
mereka cara-cara menulis sahaja. Kita harus mengasuh mereka memahami
dan mengerti falsafah kesusasteraan itu sendiri.
• Falsafah kesusasteraan ialah landasan dan penulisan itu pula ialah gerabaknya.
Tugas menyuntik falsafah atau idealogi kesusasteraan dan penulisan
memerlukan kepakaran. Para sasterawan terdahulu seperti Keris Mas, A. Samad
Said, A. Samad Ahmad, Ahmad Boestamam, Pak Sako dan lain-lain tidak pernah
pun melalui bengkel-bengkel penulisan tetapi yang ada dalam diri mereka ialah
falsafah hidup, dan semangat bersastera dan bagaimana penulisan dan
kesusasteraan itu dapat menjadi satu wadah untuk perjuangan kemerdekan
dan membangkitkan semangat kebangsaan.
• Bengkel-bengkel dan program seperti Minggu Penulis Remaja (MPR) harus
memberi keutamaan dalam pembinaan semangat untuk remaja terus
berkarya tidak kira mereka kemudian memilih kerjaya apa pun. Sebagai contoh
Sekiranya mereka memilih bidang kedoktoran kemudiannya, peluang mereka
mengikuti bengkel seperti MPR mungkin tiada lagi. MPR cukup penting untuk
meletakkan batu asas dalam diri remaja kerana inilah satu-satunya ruang yang
dapat memberi asas atau tapak yang kukuh dalam binaan seseorang pengarang
bukan hanya memberi bimbangan bagaimana cara mengarang.
• Selain itu peluang remaja untuk membentuk dan mengasah bakat mereka
dalam bidang penulisan kini terbuku luas walaupun media untuk mereka
berkarya terhad tetapi dengan adanya pelbagai majalah yang juga ada
menyediakan ruangan puisi dan cerpen, dan pemintaan syarikat penerbitan
novel yang semakin menggalakkan, mereka boleh mencuba. Selain itu terdapat
juga ruang web di internet yang membuka ruangan kepada mereka untuk
berkarya. Ini boleh juga dimanfaatkan untuk para remaja mengasah bakat
mereka.
• Remaja tidak seharusnya menanamkan cita-cita untuk menjadi penulis kerana
apabila cita-cita menjadi menjadi penulis tercapai, mereka akan berhenti.
Beliau menyatakan remaja harus melihat dunia penulisan sebagai saluran
mereka berkongsi sesuatu pendapat yang kritis dan membina untuk
masyarakat.
• Tetapi semangat remaja boleh diibaratkan seperti mee segera. Jika dipandang
dalam konteks penulisan terutamanya penulis di kalangan wanita yang telah
berumah tangga, kesibukan mereka sebagai isteri, ibu dan pekerja menghalang
mereka untuk terus menulis kecuali mereka yang mempunyai masalah dalam
keluarga atau tertekan dalamannya atau mereka yang yang tidak terikat
dengan tali perkahwinan, mungkin mereka akan terus berkarya. Tidak
terkecuali dengan penulis remaja lelaki yang berpotensi iaitu setelah mereka
melanjutkan pelajaran di universiti dan mengambil bidang yang asing sama
sekali dengan dunia kesusasteraan. Sekadar contoh Ahmad Patria Abdullah yang
mengambil bidang farmasi, kemungkinan terlalu sibuk dengan tugasan dan
kemudian kerjaya menyebabkan mereka terkeluar daripada carta penulis
massa.Selain itu jauh dengan pusat kegiatan sastera dan budaya juga mungkin
mempengaruhi perkembangan mereka. Namun itu hanyalah alasan kerana Dr.
Rahmat Haron dan Prof Dr. Hashim Yaakob (sekadar contoh) terus menghasilkan
karya walaupun dibebani tugas lain tetapi mereka tetap memberikan
sumbangan untuk memperkayakan kesusasteraan Melayu.
• Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR) pula menyumbangkan galakan
kepada remaja untuk bersaing. Persaingan yang sihat ini telah menjurus ke
arah penerbitan karya mereka dapat diterbitkan pada waktu itu yang dalam
keadaan media yang terhad dan tidak mempunyai motivasi untuk
mengembangkan bakat penulis remaja selain daripada DBP melalui MPR dan
pendorongnya HSSBR.
• Hakikat ini nyata benarnya kerana di Malaysia kini, seseorang yang ingin
menjadi penulis harus menjadi manusia kebal dan terus gigih berkarya tanpa
mengenal jemu kerana berapa ramai di kalangan editor ,pengelola ruangan
sastera atau pihak tertentu yang boleh memberi perhatian kepada penulis
remaja. Dalam akhbar tidak banyak ruang yang dikhususkan untuk remaja
mengembangkan bakat mereka.Pengiktirafan oleh pihak media terhadap
pengarang di kalangan remaja belum masih boleh dibanggakan.
• Pengiktirafan ini boleh diwujudkan dalam pelbagai bentuk. Bakat yang
dianugerahkan Allah swt. ini boleh diserap atau dimasukan dalam Hadiah
Sastera Perdana Malaysia (HSPM), dengan mewujudkan kategori pengarang
muda berbakat atau harapan atau remaja. Hadiah seperti itu bertindak
sebagai pengiktirfan dan rangsangan awal kepada penulis remaja yang berbakat
besar.
• Kini telah terbit majalah Tunas Cipta (TC) yang telah berusia setahun kini,
yang berfungsi menonjolkan penulis di kalangan remaja dan generasi baru.
Rentak sastera kreatif hari ini lebih bersifat popular sehingga mempengaruhi
remaja. Ini dikaitkan dengan persekitaran sekarang yang berkembang terlalu
pantas dengan kemasukan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Lebih
buruk lagi remaja kini seperti berada dalam satu persekitaran yang tidak
menentu, keliru dan kelam kabut. Namun dari satu perspektif yang laian, ada
perimbangan antara wawasan kerajaan dalam ICT dengan pelaksanan
Komponen Kesusasteraan Dalam Bahasa Melayu (Komsas) di peringkat sekolah
menengah sejak tahun 2000.
• Tanpa Komsas, sastera Melayu akan sepi di peringkat sekolah dan mungkin
sastera Melayu akan tidak dikenali oleh bangsa dan rakyatnya sendiri. Kini
semua para pelajar dalam semua aliran kembali mengenali sastera walaupun
mereka kemudiannya menjadi doktor, jurutera, dan sebagainya
• Beberapa aktivis sastera seperti Abdul Ahmad dari Dewan Bahasa dan Pustaka
memainkan peranan mewujudkan Makmal Penulisan Karya Remaja untuk
membantu penulis muda dan remaja menghasilkan pelbagai genre sastera
kreatif untuk khalayak remaja yang lebih tepat dalam konteks konsep remaja
hari ini.
D. Penulisan dan Minat Membaca

• Menulis bukan suatu kerjaya di Malaysia. Ini tidak pula bermakna kita boleh
menulis ala kadar. Penulisan lebih berupa tanggungjawab sosial. Dan bagi
penulis profesional – sebagai kontra kepada penulis amatur – pula, penulisan
adalah salah satu cara memperoleh pendapatan sampingan secara yang halal.
Semakin banyak karya dihasilkan serta tersiar, semakin banyak honorarium
diterima.
• Dalam hal ini, tidak dapat tidak, kita terpaksa mengakui hakikat kelembaban
minat membaca di Malaysia. Tetapi saya tidak mahu menuding pada masyarakat
umum semata-mata. Dalam ruangan “Surat Kepada Editor” di Dewan Sastera
April 1997, dua pembaca mengemukakan masalah mendapatkan majalah
berkenaan di pasaran.
• Sewaktu saya berceramah di beberapa tempat, ramai yang merungut tentang
kelemahan pihak penerbit dalam memasarkan buku. Hakikat ini terpaksa
diterima oleh pihak penerbit. Usahlah mencari “alasan” untuk menutup
kelemahan pengurusan. Sebaliknya, jadikannya teguran membina demi
kebaikan.
• Sekadar contoh, buku-buku sastera terbaru sering diiklankan dalam majalah
Dewan Sastera. Soalnya, siapakah pembaca majalah berkenaan? Kebanyakan
daripada pembacanya adalah kelompok masyarakat yang sudah sedia meminati
bidang sastera. Lalu, iklan tadi hanya sampai kepada kelompok yang itu-itu
sahaja. Bukankah lebih berkesan – dan lebih bijak – jika buku-buku sastera
diiklankan dalam akhbar dan majalah yang mempunyai pembaca dari kelompok
yang pelbagai?
• Sewaktu diwawancara untuk ruangan sastera majalah Dakwah (Julai 1996), Pak
Abdullah Hussain menimbulkan persoalan tentang siapakah yang
bertanggungjawab mempromosi karya. Saya ingin mengemukakan pertanyaan
yang sama kepada anda: Siapakah yang bertanggungjawab mempromosi buku
yang diterbitkan?
• Ini mungkin persoalan yang klise. Tetapi memandangkan bahawa persoalan ini
masih belum terjawab, rasanya tidak salah jika persoalan yang sama
ditimbulkan berulang kali – dengan harapan akan mendapat reaksi pihak
terbabit.
• Mungkin karya yang tersiar secara eceran tidak memerlukan promosi individual.
Tetapi bagaimana dengan karya berbentuk buku (antologi dan kumpulan cerpen
misalnya)? Siapa yang bertanggungjawab mempromosikannya: penerbit,
pekedai buku atau penulis sendiri?
• Dengan royalti tidak seberapa yang diterima, mampukah penulis menjelajah
serata tanah air untuk mempromosi karyanya – seperti yang dipersoalkan oleh
Pak Abdullah Hussain. Atau wajarkah kita mengharapkan pekedai buku
mempromosi karya sastera sedangkan tujuan utama mereka adalah mencari
untung hasil daripada perniagaan buku yang dijalankan.
• Dalam soal ini, saya bersetuju dengan pendapat Pak Abdullah Hussein bahawa
penerbitlah yang sepatutnya memainkan peranan serta tanggungjawab utama
dalam mempromosi karya. Soalnya, setakat manakah tanggungjawab berkenaan
dilaksanakan?
• DBP sebagai badan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera
kebangsaan sewajarnya memainkan peranan dalam menangani isu ini –
sekurang-kurangnya bagi buku-buku yang diterbitkannya. Usaha promosi harus
diperhebatkan dan dilakukan secara yang terancang. Mungkin penerbit dan
penulis dapat bekerjasama dalam usaha promosi. Misalnya apabila penerbit
mengadakan pameran buku, selitkan sekali sesi pertemuan dengan penulis.
Pada sesi seumpama itu, di samping masyarakat dapat bersemuka dengan
penulis, promosi buku juga dapat dilakukan secara tidak langsung. Memanglah
promosi seumpama ini ada dilaksanakan sebelum ini. Tetapi ia lebih tertumpu
kepada penulis besar yang sudah sedia dikenali umum. Bagaimana dengan
penulis baru; misalnya penulis daripada kalangan peserta MPR sendiri?
• Ada saya sebutkan bagaimana saya gunakan sesi ceramah dan bengkel
penulisan untuk mempromosi karya. Tetapi itu hanyalah usaha pada skala kecil-
kecilan. Saya tidak dapat menjelajah seluruh negara untuk mempromosi buku-
buku saya. Kosnya siapa yang akan tanggung? Betapa baiknya jika penerbit
yang menganjurkan pesta buku mengambil inisiatif mengundang penulis-penulis
muda bagi mempromosi karya. Tambahan, usaha promosi memang menjadi
sebahagian daripada tugas pemasaran pihak penerbit.
• Media elektronik juga wajar dieksploitasi secara positif bagi mempromosi karya
sastera ke seluruh negara. Tidak usahlah kita bercakap tentang slot khas bagi
sastera di televisyen. Usah terus menanti bulan gugur ke riba. Sebaliknya,
gunakan slot sastera yang sedia ada di radio. Radio Satu dan Radio KL
mempunyai target audience yang cukup ramai. Daripada pengalaman saya
sendiri menyertai ruangan sastera di kedua-dua stesen radio berkenaan, saya
dapati ramai pendengar menelefon untuk mengetahui tentang dunia sastera.
Pada masa yang sama, mereka mengakui betapa mereka tidak tahu tentang
buku-buku karya sastera terbaru di pasaran.
• Sebaliknya mereka lebih terdedah kepada iklan dan promosi kaset lagu terbaru
di pasaran. Ini adalah hasil promosi yang terancang di radio. Syarikat rakaman
turut mengusahakan agar artis dibawa ke studio untuk memberi peluang
kepada para pendengar radio berinteraksi melalui telefon.
• Di sini, usahlah kita salahkan masyarakat kalau mereka lebih mengenali kaset
daripada buku. Sebaliknya penerbit buku perlu bertindak bijak menggunakan
air time di radio untuk mempromosi karya sastera. Ruangan sastera yang sedia
ada wajar digunakan sepenuhnya secara bijak dan terancang. Promosikan buku-
buku terbaru secara profesional. Bawalah penulis ke studio untuk memberi
peluang masyarakat berbual dengan mereka melalui telefon. Usaha saudara
Ismail Karmun dan saudara Jaafar Abdul Rahim dalam melakukan promosi
seperti ini wajar dipuji dan dicontohi.
• Namun begitu, perlu juga dipastikan bahawa promosi seumpama ini dilakukan
secara profesional. Pastikan bahawa penulis yang dibawa ke studio
berkebolehan untuk bercakap. Saya perhatikan beberapa penulis – termasuk
penulis mapan – yang dibawa ke studio terlalu gementar untuk menjawab
pertanyaan pendengar. Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Ramai penulis
nampaknya hanya mampu “bercakap” melalui karya. Apabila dibawa ke studio
untuk berinterkasi secara live dengan pendengar, mereka mula menampakkan
sifat tidak profesional.
• Apa yang nyata, strategi pemasaran buku perlu ditingkatkan secara profesional.
Promosi tidak lagi harus tertumpu kepada produk (buku) semata-mata.
Sebaliknya, gunakan strategi pemasaran melalui promosi “jenama” (penulis)
untuk membantu melariskan “produk”. Pengurusan dan organisasi penerbitan
juga amat perlu diberi perhatian serius. Usahlah tunggu sehingga ditegur tokoh
politik, baru penerbit mula sibuk meningkatkan mutu kerja – dan dua-tiga
minggu kemudian kembali lembap seperti sediakala!
• 6. Saya percaya segala perkara yang saya sentuh sebentar tadi akan mendapat
perhatian daripada anda. Dunia sastera memerlukan kerjasama penulis,
khalayak dan penerbit. Saya tidak begitu menyentuh tentang peranan khalayak.
Memandangkan bahawa kita yang berkumpul di sini pada hari ini lebih tepat
mewakili pihak penulis dan penerbit, wajarlah saya tumpukan perhatian kepada
peranan kita bersama – sebagai sebuah keluarga – dalam memasyarakatkan
sastera.
• Untuk itu, segala masalah yang timbul di pihak penulis, di pihak penerbit serta
dalam hubungan penulis-penerbit perlu terlebih dahulu diselesaikan dan diatasi
secara profesional. Jika tidak, makin sukarlah usaha memasyarakatkan sastera.

• Memanglah pada hakikatnya penulis juga sebahagian daripada masyarakat


pembaca. Namun saya percaya penulis tidak tergolong dalam kumpulan
pembaca yang belum dimasyarakatkan dengan sastera. Jadi, penerbit (selaku
pengeluar buku secara massa) dan penulis (selaku pengkarya sastera) perlu
bekerjasama dalam usaha menarik minat khalayak umum terhadap karya
sastera.

You might also like