You are on page 1of 4

Definisi Morfologi

Morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur kata, binaan kata, bentuk kata dan golongan kata.

Apabila kita menggunakan istilah perkataan,yang kita maksudkan ialah bentuk perkataan yang
diujarkan dalam sesuatu bahasa. Bentuk ujaran itu kemudiaannya dituliskan dengan menggunakan
lambang – lambang yang lazim dalam bahasa tersebut.

Secara umumnya, setiap struktur terbina dari unsur – unsur yang lebih kecil. Struktur bahasa juga
mempunyai unsurnya yang dicantum agar menjadi satu perkataan.

Ada 2 unsur yang terlibat dalam membina perkataan iaitu morfem dan kata.

Struktur kata bermaksud susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit
bahasa yang bermakna.

Binaan kata ialah unsur – unsur yang membina sesuatu kata. Unsur – unsur yang membina kata ini
dikenal sebagai morfem.

Bentuk kata merujuk kepada empat bentuk kata yang terdapat dalam bahasa Melayu iaitu bentuk kata
tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda.

Golongan kata ialah proses menjeniskan kata dengan berpandukan kemiripan bentuk/fungsinya, sama
ada tergolong sebagai kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas.

Morfem ialah unsur yang membentuk kata. Istilah morfem dapat diertikan sebagai unit terkecil dalam
bahasa yang mempunyai fungsi gramatis atau menjalankan tugas nahu.

Morfem bebas ialah morfem yang dapat berdiri sendiri sebagai suatu kata atau ayat minimum.
Contoh : kawan, sekolah, ambil, sentuh, cerlang, dan lapang.

Morfem terikat ialah morfem yang memerlukan morfem lain untuk membentuk kata.
Contoh : (i). awalan ber- pada kata berkawan
(ii).akhiran -an pada kata sentuhan
(iii).sisipan -em- pada kata cemerlang
(iv).apitan ke-...-an pada kata kelapangan.

Dalam bahasa Melayu, morfem bebas terdiri daripada kata akar yang belum menerima sebarang
imbuhan manakala morfem terikat terdiri daripada imbuhan – imbuhan yang membentuk kata terbitan.

Kata atau perkataan ialah unit bahasa terkecil yang mengandung makna lengkap dan dapat berdiri
sendiri dalam ayat.

Sesuatu kata dibentuk daripada kata akar atau kata dasar tertentu.

Kata akar ialah kata dasar yang terdiri daripada satu morfem bebas, iaitu bentuk dasar belum diberi
imbuhan. Oleh itu, kata akar dapat dianggap sebagai inti sebarang imbuhan. Contoh kata akar ialah
morfem bebas jujur pada kata kejujuran.
Kata dasar ialah kata yang menjadi dasar untuk membentuk kata. Kata dasar ini boleh terdiri daripada
akar kata, kata akar, kata terbitan, kata majmuk, kata ganda, dan frasa tertentu.

Dalam perkataan berpeluh, berbunga dan bertelur, terdapat unsur yang digunakan berulang – ulang
dan bahagian yang hanya digunakan sekali. Kita dapat mensegmen bentuk – bentuk berikut iaitu
/ber-/, /peluh/, /telur/ dan /bunga/. Bentuk – bentuk inilah yang dipanggil morf.

Bahagian yang digunakan berulang – ulang kali ialah /ber-/. Morf /ber-/ ini mempunyai fungsi
tatabahasa, sebab apabila /ber-/ digunakan dengan perkataan peluh, telur dan bunga, maka semua kata
nama ini menjadi kata kerja yang menunjukkan perbuatan menghasilkan.

Apabila morf – morf tersebut dibanding – bandingkan, maka fungsi atau makna setiap morf dapat
dikenal pasti. Dengan demikian, dapatlah kita membuktikan bahawa setiap satunya adalah morfem atau
sebaliknya.

Bentuk Kata

Berdasarkan proses pembentukan kata bahasa Melayu, kata terbahagi kepada empat bentuk.

Bentuk – bentuk yang dimaksudkan ialah kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda.

Kata Tunggal

Kata tunggal ialah kata yang tidak mengalami proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan.
Dalam bahasa Melayu, kata tunggal boleh mengandung hanya satu suku kata atau lebih daripada satu
suku kata.

Terdapat kata tunggal yang langsung tidak menerima imbuhan seperti itu, ini, sini, mereka, dan sana,
tetapi kebanyakan kata tunggal berpotensi menerima imbuhan untuk menjadi kata terbitan.

Kata tunggal ada yang terdiri daripada satu suku kata, dua suku kata, dan seterusnya hingga enam suku
kata.

Contoh :

• satu suku kata – am, bom, cat, dam, fon, gas, hak, jam, kad, long, mi, nat, pam, ru, skru,
spring, teks, ya dan zat.
• dua suku kata – aib, bintang, carik, dengki, elak, faham, ganjil, hirau, iblis, jauh, korek,
lembah, mercu, tua, dan zalim.
• tiga suku kata – armada, budaya, cerakin, derhaka, empular, falsafah, gelombang, hikayat,
isteri, jentera, kembara, laksana, menantu, organik, peluang, qasidah, rezeki, sempurna,
tenggara, utara, wanita, dan yayasan.
• empat suku kata – anugerah, belantara, cendekia, definisi, ekonomi, fenomena, hulubalang,
istiadat, kelemumur, masyarakat, organisma, pancaroba, revolusi, sederhana, dan televisyen.
• lima suku kata – artikulasi, bumiputera, cenderamata, cakerawala, imaginasi, kosmopolitan,
malapetaka, universiti, dan vokasional.
• enam suku kata – maharajalela, paramasastera, dan personifikasi.

Selain itu terdapat satu lagi bentuk kata yang juga tergolong sebagai kata tunggal iaitu kata akronim.

Kata akronim ialah kata yang terbentuk sebagai hasil pencantuman bahagian – bahagian daripada
serangkai kata. Bahagian – bahagian yang dicantumkan itu boleh terdiri daripada huruf – huruf, suku –
suku kata, atau bahagian – bahagian daripada sesuatu kata.
Dalam bahasa Melayu, pencantuman itu berlaku melalui :

 pencantuman huruf – huruf awal kata, misalnya :

Institut Kefahaman Islam Malaysia = IKIM


Ahli Dewan Undangan Negeri = ADUN
Universiti Pendidikan Sultan Idris = UPSI

 pencantuman huruf dan suku kata sesedap sebutan, misalnya :

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia = Jakim


Majlis Kanser Nasional = Makna
Sukan Malaysia = Sukma

 pencantuman suku kata awal kata, seperti :

cerita pendek = cerpen


kumpulan gitar rancak = kugiran
panggung wayang gambar = pawagam

 pencantuman bahagian awal kata pertama dengan bahagian lain kata yang menyusulinya,
misalnya :

rumpai air = rumpair


jantan betina = jantina
jentera tolak = jentolak

Kata Terbitan

Kata terbitan ialah kata yang terhasil daripada proses pengimbuhan, iaitu proses menggandingkan
imbuhan pada kata dasar.

Imbuhan itu pula terdiri daripada imbuhan kata nama, kata kerja dan lain – lain.

Contoh kata terbitan ialah kajian, pemandangan, gemilang, bersatu, menangis, mempersoalkan,
kemenangan dan pemenang.

Kata Majmuk

Kata majmuk ialah kata yang terbentuk dengan merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan membawa
makna tertentu.

Dieja terpisah bentuk satu unit dan tidak boleh menerima sebarang penyisipan.

Contoh : gambar rajah, kaki bangku, lemah lembut, pita suara, dan tunjuk ajar.

Kata Ganda

Kata ganda ialah kata yang terhasil melalui proses mengulang kata dasar. Pengulangan kata dasar itu
boleh melibatkan seluruh kata dasar, sebahagian kata dasar atau digandakan secara berima.

Pengulangan seluruh kata dasar disebut penggandaan penuh, pengulangan sebahagian kata dasar
disebut penggandaan separa dan pengulangan kata dasar yang berima disebut penggandaan berentak.

Contoh :

• penggandaan penuh – elok – elok, orang – orang, sama – sama, dan tiba – tiba.
• penggandaan separa – jejari, sesungut, lelayang, bergilir – gilir, dan termangu – mangu.
• penggandaan berentak – dolak – dalik, hiruk – pikuk, kayu – kayan, dan tunggang –
langgang.

You might also like