You are on page 1of 13

Kaedah Kontekstual Menggunakan Gambar dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Christy Jr Tan
Norlatifah Binti Omar
Syazwan Bin Abd. Jalani

ABSTRAK

Guru pelatih telah didedahkan dengan pelbagai teori semasa mengikuti kursus-kursus sebelum
menjalani latihan mengajar di sekolah. Tujuan kajian tindakan ini dijalankan adalah untuk
menarik minat pelajar dan meningkatkan kefahaman pelajar dalam keempat-empat mata
pelajaran tersebut menggunakan kaedah kontekstual dan gambar sebagai media dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Perserta kajian terdiri daripada tiga guru pelatih; 18 orang
pelajar khas bermasalah pendengaran iaitu 2 pelajar dari kelas Sains 4 pelajar dari kelas Sivik,
6 pelajar dari kelas Ekonomi Asas dan 6 pelajar dari kelas Literasi Komputer di sebuah sekolah
di Kuala Lumpur. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan gambar kontekstual sepanjang
proses pengajaran dan pembelajaran. Model kajian tindakan yang digunakan adalah Model
Kemmis dan McTaggart. Pelaksanaan kajian dijalankan sebanyak satu kitaran yang terdiri
daripada fasa perancangan, bertindak, menilai dan refleksi. Data dikumpul dan dianalisis
melalui refleksi para pengkaji, pemerhatian dan temubual tidak berstruktur. Dapatan utama
kajian mendapati bahawa kaedah kontekstual dengan penggunaan gambar memberi kesan
yang memberangsangkan dari segi penglibatan pelajar di dalam kelas dan pemahaman pelajar
dalam keempat-empat mata pelajaran tersebut. Kaedah kontekstual bertindak sebagai asas
pengajaran di mana pelajar membina pengetahuan sedia ada mereka dengan penggunaan
gambar sebagai media untuk meningkatkan kefahaman mereka. Kaedah ini boleh diperbaiki
beberapa kelemahan kitaran pertama dari segi pemilihan gambar.
PENGENALAN

Pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran seringkali memerlukan perubahan dalam
kaedah penyampaian agar isi kandungan yang hendak disampaikan dapat diterima dan
diproses dalam ingatan penerimanya iaitu pelajar. Justeru itu, pelbagai kajian telah dijalankan
untuk menambahbaik proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku sama ada di dalam
atau di luar kelas. Kajian tindakan merupakan cabang kajian penyelidikan yang dilakukan oleh
penyelidik yang terdiri daripada guru itu sendiri sebagai pengkaji. Tujuannya adalah untuk
mengenalpasti inovasi bahan bantu mengajar yang digunakan dalam suatu pengajaran dan
pembelajaran. Guru yang profesional mestilah mampu memilih kaedah pengajaran dan bahan
inovasi yang sesuai khusus untuk mengatasi masalah yang wujud dalam proses pengajaran
dan pembelajaran.

Kajian tindakan ini dijalankan secara kolaboratif oleh tiga orang guru praktikum Universiti
Kebangsaan Malaysia yang melibatkan empat mata pelajaran yang berbeza iaitu Sains, Sivik,
Ekonomi Asas dan Literasi Komputer. Kajian dijalankan apabila didapati terdapat masalah
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dan kajian tindakan diambil sebagai
langkah untuk melakukan penambahbaikan. Ia seterusnya memperbaiki amalan pengajaran
dan pembelajaran yang dijalankan serta menyelesaikan permasalahan yang dikenalpasti.

Pemilihan kaedah pengajaran sangat penting sebagai asas dalam proses pengajaran
dan pembelajaran itu sendiri. Dalam kajian tindakan ini kami memperkenalkan penerapan
kaedah kontekstual sebagai asas dalam kajian kami. Kaedah ini amat sesuai jika dipraktikkan
dalam kajian kami kerana proses ini memudahkan pembinaan pengetahuan pelajar di mana
pelajar pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan yang dipelajari di bilik darjah. Kaedah ini
juga diperkasakan lagi dengan kepelbagaian cara penggunaan gambar dalam pengajaran dan
pembelajaran kerana gambar merupakan bahan bantu mengajar yang mampu memberi kesan
yang memberangsangkan. Justeru, kajian yang dilakukan mengutamakan penggunaan gambar
sebagai media yang dengan penerapan kaedah kontesktual dalam proses pengajaran dan
pembelajaran pelajar.
Pengajaran dalam kaedah tradisional melibatkan hanya hubungan sehala, iaitu semasa
pengajaran hanya guru yang memainkan peranan utama berbanding pelajar. Guru bertindak
secara solo, pelajar hanya mendengar dan bersifat pasif. Maksudnya, pengajaran dan
pembelajaran berpusatkan guru. Maka tidak ada kepelbagaian teknik pengajaran guru yang
dapat merangsang proses pengajaran dan pembelajaran (Siraj dan Shuib, 2004). Keadaan ini
berbeza dengan kaedah kontekstual kerana kaedah ini menitikberatkan pemahaman makna
dan pemilihan isi pengajaran adalah berdasarkan kepada keperluan pelajar serta dikaitkan
dengan kehidupan atau pengalaman pelajar itu sendiri. Secara tidak langsung, para pelajar
dilibatkan secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru sebagai pengkaji
haruslah memberi penekanan dalam pemilihan kaedah semasa menjalankan proses
pengajaran dan pembelajaran. Hasil pemilihan kaedah mengajar perlulah berkait rapat dengan
topik pengajaran yang diajar. Oleh itu, guru haruslah bijak mengaplikasikan kaedah sedia ada
yang bersesuaian dan melaksanakannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas.

Tujuan Kajian

Kajian tindakan yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk menarik minat pelajar dan
meningkatkan kefahaman pelajar dengan kaedah kontekstual melalui penggunaan gambar
dalam empat jenis mata pelajaran iaitu Sains, Sivik, Ekonomi Asas dan Literasi Komputer.

Pernyataan Masalah Kajian

Kajian tindakan dijalankan setelah didapati terdapatnya masalah dalam pengajaran dan
pembelajaran. Hal ini membawa kepada kemerosotan pencapaian murid dalam subjek tersebut
dan seterusnya memperlihatkan kelemahan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang
telah diamalkan. Berdasarkan pemerhatian dan refleksi para pengkaji semasa menjalani
latihan mengajar di sekolah pada bulan pertama, beberapa masalah telah dikenal pasti: -

1. Pelajar didapati kurang berminat terhadap mata pelajaran Sains, Sivik, Ekonomi
Asas dan Literasi Komputernkerana guru lebih banyak mengamalkan pengajaran
tradisional berbentuk syarahan dan hanya berpandukan kepada buku teks.

2. Pelajar kurang memahami pengajaran dalam mata pelajaran Sains, Sivik,


Ekonomi Asas dan Literasi Komputer. Kebanyakan pelajar gagal memberikan
jawapan yang betul ketika disoal disebabkan oleh pengajaran guru yang kurang
efektif dalam menyampaikan isi pengajaran.

Objektif Kajian

Kajian tindakan dijalankan dengan menetapkan beberapa objektif seperti di bawah. Objektif
yang ditetapkan merupakan perkara yang ingin dicapai oleh pengkaji setelah kajian ini
dilaksanakan.

1. Memperbaiki amalan pengajaran guru dalam matapelajaran Sains, Sivik, Ekonomi Asas
dan Literasi Komputer.

2. Meneroka penggunaan gambar yang berasaskan kaedah kontekstual untuk diterapkan


dalam proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru dan pelajar.

Persoalan Kajian

Pernyataan masalah di atas telah memandu kepada persoalan kajian yang hendak
dilaksanakan.

1. Bagaimana penggunaan gambar yang berasaskan kaedah kontekstual dalam mata


pelajaran Sains, Sivik, Ekonomi Asas dan Literasi Komputer dapat menarik minat
pelajar?

2. Bagaimama penggunaan gambar yang berasaskan kaedah kontekstual dapat


meningkatkan kefahaman pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran?

KAJIAN KEPUSTAKAAN

Secara umumnya pengajaran di sekolah dari dahulu lagi sememangnya banyak memfokuskan
kepada pengajaran yang berpusatkan guru. Pendekatan ini lebih menjurus dan tertumpu
kepada buku teks dan syarahan daripada guru semata-mata. Pelajar pula hanya bergantung
sepenuhnya kepada pengajaran guru dan tidak berpeluang untuk mengembangkan potensi dan
bakat yang ada pada diri mereka. Senario ini juga berlaku dalam pengajaran mata pelajaran
Sains, Sivik, Ekonomi Asas dan Literasi Komputer.

Menurut Johnson, kaedah kontekstual adalah satu proses yang membantu pelajar
membina pengetahuan dalam sesuatu pengajaran dengan pengetahuan sedia ada dan
diaplikasikan dalam kehidupan mereka sehari-hari (Johnson, 2002). Beliau percaya kaedah
ini membantu pelajar dalam proses pemikiran mereka dan ini menggalakkan mereka
mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam dunia sebenar. Dalam keadaan ini, pelajar dapat
melihat hubungan yang jelas antara pengetahuan abstrak dengan pengetahuan dunia sebenar.
Kenyataan itu disokong oleh Komalasari yang berpendapat kaedah kontekstual juga berkesan
kerana proses pembelajaran ini akan berlaku jika pelajar sendiri membina hubungan antara
pemikiran yang abstrak dan aplikasinya dalam kehidupan di dunia nyata (Komalasari, 2009).

Lindsay dalam artikel beliau ada menyatakan bahawa pelajar dipercayai dapat
mengimbas kembali apa yang telah dipelajari melalui kaedah pengajaran tradisional iaitu
pengajaran lisan dan mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam kehidupan seharian.
(Lindsay, 2000). Smith mempertikaikan kenyataan Lindsay yang mengatakan masalah akan
berlaku jika pelajar gagal mengenalpasti pengetahuan yang diperlukan untuk mengaitkannya
dengan sesuatu masalah di luar daripada konteks pengajaran (Smith, 2006).

Lazimnya kaedah kontekstual digunakan bersama bahan bantu mengajar sebagai


bahan sokongan yang dapat membantu melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran
selain cara penyampaian isi pengajaran secara konvensional. Menurut Mohd Feham Md. Ghalib
di dalam kajiannya menyatakan bahawa pemilihan media yang sesuai juga amat penting agar
selari dengan keperluan objektif dan kehendak pelajar tersebut dalam pembelajaran. Media
tersebut merangkumi bahan-bahan seperti gambar, filem, suara, dan sebagainya (Ghalib,
2008). Gambar merupakan media yang sesuai untuk membantu pelajar memahami sesuatu
pengajaran. Penggunaan gambar dalam proses pengajaran dan pembelajaran itu perlulah
terang dan jelas dalam membantu menerangkan maksud atau konsep. Contoh gambar yang
digunakan juga mestilah tidak kabur atau lari daripada konsep asal.

Mok Soon Sang menyatakan penggunaan gambar yang menarik dapat mengekalkan
perhatian pelajar dan membantu menerangkan isi pengajaran (Mok, 2002). Dengan itu,
pengkaji menggunakan gambar sebagai media bagi membantu mengukuhkan lagi kaedah
kontekstual yang digunakan dalam kajian ini. Penggunaan gambar dalam proses pengajaran
dan pembelajaran dilihat sesuai sebagai media di dalam kelas. Penggunaan media ini amat
mudah dan ia memberi kefahaman kepada pelajar dalam topik yang susah mahupun senang.

Kajian yang dilakukan oleh Alejandro menyatakan gambar sangat terkenal dalam
pengajaran guru kerana ia menggambarkan idea dan pemikiran kepada pelajar semasa proses
pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. (Alejandro, 1994). Yusuf pula menyatakan
penggunaan gambar dalam proses pengajaran dan pembelajaran sebagai media di kelas
memberi gambaran jelas tentang konsep dan idea semasa isi pengajaran disampaikan
(Hashim, 1998).

METODOLOGI KAJIAN

Reka bentuk kajian merupakan peringkat bagaimana kajian ini dilaksanakan dengan
menggunakan pendekatan-pendekatan yang sedia ada. Berdasarkan kepada Mcniff (1988),
beliau menyatakan kajian tindakan sebagai suatu pendekatan di mana berlakunya
penambahbaikan oleh guru sehingga penambahbaikan ini membuat perubahan yang besar dan
guru sendiri menjadi lebih kritis dalam perubahan tersebut. Dalam kajian ini pengkaji hanya
menggunakan model Kemmis dan Mc Taggart (1988). Model ini menggariskan empat fasa
perkembangan iaitu:-

Fasa 1 : Perancangan
Fasa 2 : Bertindak
Fasa 3 : Pemerhatian
Fasa 4 : Refleksi

Peserta kajian terdiri daripada pengkaji-pengkaji sendiri sebagai guru dalam kelas-kelas mata
pelajaran yang diajar semasa menjalani latihan mengajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur;
18 pelajar pendidikan khas bermasalah pendengaran iaitu 2 pelajar dari kelas Sains, 4 pelajar
dari kelas Sivik, 6 pelajar dari kelas Ekonomi dan 6 pelajar dari kelas Literasi Komputer. Para
pengkaji menggunakan tiga teknik pengumpulan data iaitu refleksi para pengkaji, temubual
tidak berstruktur dan pemerhatian. Temubual tidak berstruktur soalan yang diajukan berbentuk
tidak formal bagi membolehkan pelajar menyatakan pendapatnya dengan selesa dan bebas.
Pemerhatian sebelum, semasa dan selepas proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan di
dalam kelas. Antara beberapa perkara yang menjadi perhatian pengkaji adalah penglibatan dan
keaktifan pelajar kepada setiap aktiviti dan kaedah pengajaran yang digunakan. Maklum balas
dan respon ini dilihat melalui perubahan perubahan tingkah laku yang ditunjukkan seperti
penglibatan aktif pelajar menyatakan pendapat, menumpukan perhatian terhadap pengajaran
serta mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang telah dirancang. Pemerhatian ini
melibatkan semua pelajar di dalam kelas dan seterusnya dicatatkan.

Penerangan Prosedur

Seperti yang dinyatakan, bagi kajian ini pengkaji menggunakan model Kemmis dan McTaggart
(1988). Walau bagaimanapun, pengkaji hanya melakukan satu kitaran sahaja disebabkan
kekangan masa semasa menjalani latihan mengajar di sekolah. Namun, kajian ini
membabitkan tiga pengkaji di kelas-kelas yang berbeza.

Peringkat Perancangan

Kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah menggunakan gambar sebagai media proses
pengajaran dan pembelajaran. Dalam kitaran ini, pengkaji merancang menggunakan gambar
berikutan daripada pemerhatian awal pengkaji mengenai masalah yang timbul iaitu pelajar
kurang melibatkan diri serta kurang memberi penumpuan semasa pengajaran dan
pembelajaran. Oleh yang demikian, pengkaji merancang untuk mempelbagaikan cara
penggunaan gambar dalam pengajaran berasaskan kepada kaedah kontekstual supaya dapat
menarik minat pelajar sekaligus dapat meningkatkan kefahaman pelajar dalam pengajaran dan
pembelajaran.

Peringkat Tindakan

Peringkat kedua kajian ialah bertindak, untuk menarik minat dan meningkatkan kefahaman
pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran, ketiga-tiga pengkaji telah bersetuju untuk
menggunakan gambar yang berasaskan kaedah kontekstual untuk melihat tindak balas pelajar.

Pengkaji pertama telah menggunakan gambar sebagai media pengajaran berasaskan kaedah
kontekstual untuk subjek Sains tingkatan 2 dan Sivik tingkatan 1. Pengkaji kedua pula mengajar
dalam subjek Ekonomi Asas tingkatan 4 dan 5 manakala pengkaji ketiga dalam subjek Literasi
Komputer tingkatan 3 menggunakan kaedah yang sama

Para pengkaji mempelbagaikan penggunaan gambar secara berbeza-beza untuk setiap sesi
pengajaran yang turut sama menerapkan kaedah kontekstual sebagai media pengajaran.
Pengkaji pertama dan kedua menggunakan kaedah pengajaran menggunakan gambar melalui
medium seperti surat khabar dan majalah untuk pelajar mencari gambar yang berkaitan untuk
proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu juga guru menyediakan gambar untuk pelajar
menginteprestasi isi tersurat dan tersirat pada gambar. Pengkaji ketiga pula meminta pelajar
mencari gambar melalui capaian internet mengikut arahan, seliaan dan bantuan pengkaji bagi
menyelesaikan tugasan berbentuk masalah yang diberikan.

Peringkat Pemerhatian

Pemerhatian yang dilakukan adalah melalui cara pemerhatian tidak berstruktur yang tidak
berpandu pada set aktiviti tertentu tetapi hanya dengan menentukan fokus pemerhatian seperti
tingkah laku pelajar untuk melihat minat mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran
menggunakan gambar berasaskan kaedah kontekstual. Kajian ini menggunakan pemerhatian
secara terus semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Cara kaedah
pemerhatian tidak berstruktur yang dilakukan difokuskan terhadap permerhatian tingkahlaku
pelajar untuk melihat minat, keaktifan pelajar menjawab soalan, memberi pendapat dan idea
yang bernas, serta bertanya soalan sebagai asas pengajaran di mana pelajar membina
pengetahuan sedia ada mereka dengan penggunaan gambar sebagai media untuk
meningkatkan kefahaman mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran

Peringkat Refleksi

Berdasarkan hasil dapatan kajian, pengkaji membuat penilaian ke atas dapatan kajian yang
telah dilakukan melalui kaedah pemerhatian dan temubual. Pengkaji melihat adakah persoalan
kajian yang dikemukakan selari dengan matlmat kajian. Pengkaji juga melihat kelemahan yang
wujud dalam kajian yang dilakukan serta memberi cadangan untuk penambahbaikan kajian
tersebut.

DAPATAN KAJIAN

Kajian ini mengutamakan penggunaan gambar sebagai media yang dengan penerapan kaedah
kontesktual dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar dilaksanakan dan juga
mengemukakan kekuatan kaedah ini. Di dalam kelas, pengkaji hanya memaparkan gambar
secara manual, tayangan melalui projektor LCD dan capaian internet menggunakan komputer.
Seterusnya pelajar akan mentafsir gambar tersebut mengikut pendapat dan idea masing-
masing bagi membantu memahami sesuatu pengajaran. Dalam kaedah pengajaran
menggunakan gambar, ia membantu pelajar menterjemahkan konsep yang abstrak menjadi
lebih realistik dan dapat meransang proses kognitif pelajar iaitu kemahiran berfikir,
mengeluarkan idea dan pendapat, mengeksploitasi pemikiran, dan berimaginasi di luar kotak
pemikiran mereka. Pengajaran menggunakan gambar membantu pelajar memahami isi
kandungan pengajaran yang ingin disampaikan oleh pengkaji dengan lebih baik selain
membantu mengukuhkan lagi kaedah kontekstual yang digunakan dalam kajian ini.

Berdasarkan kepada pemerhatian sebelum kajian ini dijalankan, pelajar tidak menunjukkan
semangat untuk belajar. Pelajar kelihatan tidak aktif sebelum pembelajaran dimulakan.
Terdapat beberapa pelajar yang masih leka dan tidak menghiraukan kehadiran pengkaji di
dalam kelas. Pengkaji dapat melihat pelajar tidak memberi perhatian apabila pengkaji bertanya
tentang pengajaran pada minggu lepas. Kebanyakan pelajar hanya menjawab secara ringkas
dan tidak berupaya menjelaskan isi pengajaran pada kelas minggu lepas. Ini membuktikan
pelajar tidak berminat untuk belajar dan ini sekaligus menyebabkan mereka tidak memahami isi
pengajaran yang disampaikan pengkaji sebelum ini.

Berdasarkan kepada pemerhatian semasa kajian ini dijalankan, pelajar mula menunjukkan
reaksi yang positif dalam kaedah yang digunakan. Perlakuan mereka menunjukkan mereka
cuba memahami isi pengajaran pada hari tersebut. Ini adalah kerana penggunaan gambar
memudahkan pelajar memahami isi pengajaran pengkaji. Sebaik sahaja pelajar berupaya
memahami isi pengajaran tersebut, mereka kerap bertanya soalan dalam isi pengajaran yang
sukar. Ini menimbulkan minat kepada pelajar dan telah menarik perhatian mereka.

Berdasarkan kepada pemerhatian selepas kajian ini dijalankan, pelajar telah menunjukkan
kesan yang memberangsangkan kerana pelajar seronok mengikuti pengajaran tersebut. Ini
adalah kerana pelajar lebih kerap bertanya sehingga tamatnya proses pengajaran dan
pembelajaran. Secara keseluruhannya, berdasarkan kepada pemerhatian yang dilakukan
sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran, didapati bahawa penggunaan gambar berjaya
menarik minat dan perhatian para pelajar dalam subjek Sains Sivik, Ekonomi Asas dan Literasi
Komputer yang diajar seterusnya memahami isi pengajaran yang disampaikan. Minat yang
timbul telah memberikan motivasi kepada pelajar untuk lebih fokus terhadap subjek yang diajar
dan sekaligus bergiat aktif ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

Pelajar memberikan reaksi yang positif kerana kaedah kontekstual memberi kesan
kepada pembelajaran pelajar. Ini dibuktikan apabila pelajar sendiri menunjukkan minat untuk
memahami tajuk pengajaran sebelum pelajar diarahkan untuk menyelesaikan masalah yang
diberikan oleh pengkaji. Pelajar juga didapati lebih kerap bertanya untuk memastikan mereka
faham sebelum menyelesaikan masalah tersebut.

Temubual tidak berstruktur telah dijalankan ke atas pelajar-pelajar kajian bagi mengetahui
maklum balas mereka tentang kajian ini. Soalan yang dikemukakan kepada pelajar adalah
berdasarkan kepada penerimaan pelajar dalam kajian ini. Hasil temubual bersama pelajar,
pengkaji melihat kebanyakan pelajar tertarik dengan kaedah pengajaran kontekstual
menggunakan gambar. Ini adalah kerana hampir keseluruhan pelajar yang ditemubual
menjelaskan bahawa mereka memahami isi pengajaran dan dapat mengaplikasikan dalam
sesuatu masalah yang diberikan. Kaedah ini jelas berlainan daripada kaedah pengajaran yang
lazim digunakan oleh guru iaitu pengajaran yang berbentuk syarahan. Penggunaan gambar
telah memberikan kelebihan di mana pelajar berupaya mengaitkan isi pengajaran dengan isi
pengajaran yang lain sehingga membina pengetahuan dalam pemikiran pelajar. Menerusi
kaedah kontekstual juga, ia memberi pendedahan kepada pelajar untuk menggunakan
pengetahuan mereka menyelesaikan masalah yang timbul.

Oleh itu, melalui kaedah ini pelajar dapat menyerap pengetahuan baru dalam setiap isi
pengajaran yang disampaikan. Bagi pelajar daripada kelas Literasi Komputer, mereka
menyatakan kaedah pengajaran guru yang menggunakan pengetahuan sedia ada untuk
memperkenalkan pengetahuan baru merupakan satu tarikan yang menarik perhatian pelajar.
Pelajar lebih menyukai pendekatan guru mengaitkan pengalaman dengan isi pengajaran dan
melibatkan diri secara aktif. Keadaan seperti ini memudahkan pemahaman pelajar dan
meningkatkan minat pelajar dalam isi pengajaran guru.
PERBINCANGAN

Gambar merupakan satu media yang banyak digunakan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Gambar mampu memberi kesan yang memberangsangkan dan kajian ini
mengutamakan penggunaan gambar sebagai media yang dengan penerapan kaedah
kontesktual dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar itu sendiri. Media seperti
gambar dalam konteks pembelajaran sangat efektif sebagai media visual untuk meransang
kreativiti dan imaginasi pelajar dalam kelas. Mereka dilihat lebih berminat dan memberi
tumpuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini ternyata memberi kesan
positif dimana pengkaji dapat melihat perubahan tingkah laku pelajar daripada pasif kepada
aktif. Pembinaan pemahaman makna dan pemilihan isi pengajaran juga dapat dikaitkan dengan
kehidupan atau pengalaman pelajar itu sendiri, malah penglibatan pelajar secara aktif dalam
proses pengajaran dan pembelajaran menunjukkan mereka lebih bersemangat apabila berada
di dalam kelas.

Hasil daripada temubual dan pemerhatian yang dijalankan, pada keseluruhannya, kajian
ini mendapati majoriti pelajar menyukai kaedah yang digunakan. Gambar menjadi media yang
sesuai untuk membantu pelajar memahami sesuatu pengajaran selain membantu
mengukuhkan lagi pengetahuan sedia ada pelajar menerusi penerapan kaedah kontekstual
yang digunakan dalam kajian ini. Pelajar berpendapat bahawa kaedah gambar ini tidak
membosankan dan membantu mereka untuk memahami isi pengajaran yang ingin disampaikan
oleh guru dengan lebih jelas. Penggunaan media ini amat mudah dan ia memberi kefahaman
kepada pelajar dalam topik yang susah mahupun senang.

Gambar dapat membantu memberikan gambaran yang tepat tentang sesuatu perkara
yang mereka tidak boleh gambarkan melalui imaginasi mereka. Gambar membantu pengajaran
guru kerana ia menggambarkan idea dan pemikiran kepada pelajar semasa proses pengajaran
dan pembelajaran dilaksanakan Pelajar juga dapat menguasai topik dan lebih memahami apa
yang disampaikan oleh guru apabila kaedah ini memberi gambaran jelas tentang konsep dan
idea semasa isi pengajaran yang disampaikan. Ini dapat dilihat daripada jawapan yang
diberikan oleh pelajar melalui pertanyaan dan soalan yang dikemukakan oleh guru di dalam
kelas. Kaedah ini juga memudahkan guru untuk mengajar dan mencapai objektif pengajaran
yang diinginkan kerana penggunaan gambar yang menarik dapat mengekalkan perhatian
pelajar dan membantu menerangkan isi pengajaran.
Implikasi kajian

Daripada kajian yang dijalankan, terdapat beberapa implikasi kajian yang diperolehi. Melalui
kaedah penggunaan gambar berasaskan kaedah kontekstual dalam proses pengajaran dan
pembelajaran yang dijalankan, pengkaji mendapati kaedah ini dapat membantu meningkatkan
penguasaan pelajar dalam mata pelajaran hasil daripada penglibatan aktif mereka serta
peningkatan kecenderungan dan minat semasa sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah
dijalankan. Melalui kaedah gambar juga pelajar akan lebih mudah memahami topik yang diajar
kerana mereka mendapat gambaran awal daripada gambar yang ditonjolkan. Pembelajaran
lebih tertumpu kepada pengajaran yang berpusatkan pelajar dimana pelajar terlibat secara aktif
dalam proses pembelajaran dan memberikan fokus serta tumpuan kepada topik pengajaran
yang ingin disampaikan oleh guru. Sebelum ini, kebiasaannya guru menggunakan kaedah
“chalk and talk” untuk mengajar mata pelajaran tersebut di mana kaedah ini hanya tertumpu
kepada guru semata-mata sebagai sumber utama untuk bantuan dan maklumat. Kaedah
kontekstual yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar turut memberi
kesan yang positif dari segi proses pemahaman dan minat pelajar. Pelajar berpeluang
menggunakan pengetahuan yang diperolehi dan mengaplikasikannya dalam sesuatu masalah.
Ini menimbulkan minat pelajar untuk belajar lebih dalam dan seterusnya kaedah ini telah
mendorong kognitif pelajar untuk berfikir secara kritis.

Cadangan kajian

Daripada kajian yang dijalankan, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki
bagi menambahbaik kajian ini. Antaranya ialah:

1. Guru perlu membuat pemilihan gambar yang bersesuaian dengan topik pengajaran
supaya isi pengajaran dapat diajar dengan jelas.
2. Gambar yang dipaparkan perlulah menarik, kreatif agar pelajar tertarik dan seronok
untuk belajar.
3. Gambar perlu ditunjukkan dalam pelbagai sudut supaya pelajar dapat melihat gambaran
keseluruhan objek walaupun ianya adalah gambar statik.
4. Perancangan pengurusan masa perlu dilakukan bagi mengatasi masalah kekangan
masa pengajaran dimana guru perlu membuat pengagihan masa yang efektif.
RUJUKAN

Alejandro A . (1994) “Like happy dreams-Integrating visual arts, writing, and reading.”
Language Arts, 71,12-21.

Ghalib. (2008) “Pemanfaatan Teknologi Dalam Pengajaran Bahasa Arab”. Tesis Sarjana Muda,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Griffin, M. & Griffin, B. (1996) Situated cognition and cognitive style: Effects on
students’ learning as measured by conventional test and performance
test. Journal of Experimental Education, 64(4), 293-309.

Hashim (1998) ”Teknologi Pengajaran.” Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Johnson (2002) ”Contextual Teaching and Learning: What It Is and Why It’s Here to Stay”
(Thousand Oaks: Corwin Press, Inc, 2002) p.25

Komalasari (2009) ”The Effect of Contextual Learning in Civic Education on Students' Civic
Competence” Journal of Social Sciences 5(4): 261-270, 2009

Lindsay L. (2000) ”Transformation of learners in a community of practice occupational therapy


fieldwork environment”. Unpublished doctoral dissertation, University of Georgia.

Mok ( 2002) “Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3”. Edisi ketiga. Subang
Jaya : Kumpulan Budiman.

Parnell, D. (1999) Making it fly. Techniques, 74(2), 18-21.

Siraj dan Shuib. (2004) ”Preferen Pelajar Terhadap Teknik Pengajaran Guru”. Jurnal
Pendidikan, 93 – 112.

Smith B. (2006) ” CONTEXTUAL TEACHING AND LEARNING PRACTICES IN THE FAMILY


AND CONSUMER SCIENCES CURRICULUM”, Journal of Family and Consumer
Sciences Education, Vol. 24, No. 1, Spring/Summer, 2006

You might also like