You are on page 1of 3

BERKHURAFATKAH KITA ?

Oleh : Us. Abd Rashid b. Abdul Halim, UniKL-MSI, Kulim, Kedah.


(abdrashid@msi.unikl.edu.my)

Khurafat adalah salah satu bentuk penyelewengan dalam aqidah Islam.


Amalan khurafat mengalih pergantungan manusia daripada Khalik
(pencipta/Allah) kepada makhluk (yang dicipta). Di dalam Al-Quran
terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan kepada
Allah dan menolak kepercayaan terhadap yang selainnya bagi
mendapat kebaikan daan menolak keburukan. Yang memberi segala
kenikmatan dan keyakinan hanya Allah. Kepada-Nya seluruh makhluk
bergantung. Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu


memohon kepadanya selain daripada Allah bahawa jika
sekiranya Allah mengkehendaki ke atasku sesuatu kemudaratan
adakah mereka itu boleh menghindari dari kemudaratan itu. Atau
jika Allah mengkehendaki sesuatu rahmat itu dianugerahkan
kepadaku apakah mereka itu boleh menahan rahmat itu.
Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-
galanya. Kepada-Nya bertawakkal semua orang yang
bertawakkal”. ( Surah Al-Zumar, Ayat 38 )

Ayat di atas memperlihatkan konsep tawakkal kepada Allah dalam


semua keadaan. Kebaikan dan kejahatan adalah dari Allah. Dia yang
menyebabkan segala-galanya. Dia yang berkuasa atas segala sesuatu
bukannya lintasan burung atau sebagainya yang terdapat di dalam
amalan khurafat.
Dari Abu Hurairah R.A Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud: “Tidak
ada jangkitan ( yang berlaku tanpa izin Allah ), tidak ada buruk
sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu
dan tidak ada bala pada bulan Safar ( seperti yang dipercayai ).”

Perkataan khurafat membawa maksud sesuatu yang dipetik, atau


cerita bohong, dongeng dan tahayul, atau sesuatu hal yang tidak
masuk akal, atau sesuatu yang dusta tetapi menarik

Lebih jelas lagi, amalan khurafat melibatkan perbuatan, ungkapan


kata, cerita atau kisah, benda seperti batu, kayu atau tanah, bilangan
tertentu sesuatu perkara, konsep, prinsip atau aliran fahaman yang
dipercayai dan diiktikadkan dengan yakin sebagai boleh
mendatangkan kebahagiaan/manfaat ataupun penderitaan/mudarat
kepada seseorang, sedangkan semuanya itu merupakan sesuatu yang
tidak sekali-kali terdapat dalam sumber dan suruhan agama Islam
yang maha suci, serta pada waktu yang sama bertentangan pula
dengan logik akal yang sihat dan tidak juga bersandarkan realiti,
kerana itu ia merupakan sesuatu yang batil, yang langsung tidak
mengandungi sebarang unsur kebenaran.

Amalan khurafat yang telah berlaku sejak zaman jahiliyyah


sehinggalah kini. Pada zaman Jahiliyah, mereka yang hendak
bermusafir akan melepaskan seekor burung. Apabila burung itu
terbang ke atas atau ke kanan, maka ia akan membawa alamat baik,
tetapi jika ia terbang ke kiri atau ke bawah, maka mereka akan
menangguhkan pemergian, kerana di takuti bala akan turun. Pada
zaman kita ini, ada juga bermacam khurafat antara amalan memuja
dan meminta sesuatu dari kuburan atau keramat (amalan ini berlaku
dengan hebatnya di sebuah pulau di Melaka), percaya kepada batu,
kayu, tangkal dan sebagainya jika digunakan akan mendatangkan
sesuatu yang baik dan menghindarkan yang buruk dan banyak lagi
contoh yang telah dinyatakan sebelum ini dalam banyak penulisan,
ceramah dan sebagainya.

Kita, sebagai seorang Muslim yang sentiasa mengharapkan kebaikan


dan berada dalam keredhaan Allah mestilah menjauhi perkara-perkara
khurafat, kerana amalan khurafat adalah syirik dan merosakkan iman
serta dosanya tidak diampunkan. . Firman Allah yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik


mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan
mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang
mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka
sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. Al-Nisa
48.

Marilah kita bersama-sama menilai, meneliti dengan bimbingan


sumber/rujukan Islam yang sah dalam perkara-perkara baru yang tidak
jelas kebenarannya, atau banyak keraguan mengenainya, bagi
menyelamatkan dari bahaya dan kerosakan khurafat.

You might also like