You are on page 1of 2

AMALAN YANG BAIK

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang
memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah
menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau
menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku
bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada
aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya
sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam
hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam
untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan
kakinya (ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan
merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.” Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya

Kredit foto: M Syafii

Huraian
i) Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan
yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan
akhirat.
ii) Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan
keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan
kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di
sekelilingnya.
iii) Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan
juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar
nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan
melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.
iv) Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan
menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya
kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan
banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu “ Buat
baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.
v) Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan
merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


http://rahsiarezeki.wordpress.com

You might also like