You are on page 1of 23

Definisi ‘kempen’ menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah segala

usaha(kegiatan dan tindakan) yang dirancangkan dan dilaksanakan dengan menggunakan

penerangan (rayuan dan lain-lain) untuk mempengaruhi pendapat umum atau

mendapatkan sokongan umum terhadap sesuatu(matlamat dan lain-lain). ‘Budi bahasa’

pula bermaksud tingkah laku dan perbuatan. Jika digabungkan perkataan ‘nilai’ menurut

W.G.Ricky & Pustay, 1999 dan perkataan ‘murni’ menurut Dewan Bahasa dan Pustaka

perkataan ‘nilai murni’ boleh ditafsirkan sebagai prinsip, standard dan tatacara tindakan

seseorang dalam sesuatu organisasi tanpa mengandungi unsur-unsur asing(biasanya

unsur-unsur yang mencemarkan) bersih benar,suci, dan tulen. Dari definisi-definisi diatas

dapatlah disimpulkan bahawa Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni bermaksud

usaha yang terancang untuk menghasilkan masyarakat Malaysia yang mengamalkan

tingkahlaku dan perbuatan berdasarkan prinsip dan standard yang elok dan baik. Melalui

usaha yang terancang dan ditambah dengan matlamat yang jelas, sesuatu kempen itu akan

dapat membuahkan hasil.

Persoalan yang perlu dijawab adalah, mengapakah Kempen Budi Bahasa dan

Nilai-Nilai Murni dalam sebuah masyarakat yang berteraskan keluhuran budaya dan

keampuhan budi yang tersohor perlu diadakan. Masyarakat Malaysia yang berteraskan

budaya Melayu sebagai pendokong, merupakan satu budaya yang terkenal di seluruh

dunia. Orang Melayu sebagai bangsa yang lemah-lembut dan berbudi bahasa sudah

menjadi perbualan diseluruh dunia. Apakah kempen sebegini masih diperlukan? Sukar

untuk menjawabnya. Kesedaran kerajaan akan kewujudan kelemahan dikalangan


masyarakat dan khususnya kakitangan kerajaan dalam aspek ini menjadi justifikasi

kepada kempen. Ini bukanlah menunjukkan kita sudah tidak berbudi bahasa, tetapi kita

perlu memperbetulkan apa yang ada dan menambah apa yang kurang.

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilancarkan oleh Perdana

Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi bertempat di Istana Budaya bertarikh

11 Januari 2005 merupakan satu kempen yang dirasakan sesuai dengan persekitaran hari

ini demi kesejahteraan masa depan. Malahan, ini merupakan susulan kepada usaha

Institut Sosial Malaysia (ISM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan

Masyarakat di bawah kepimpinan Datin Profesor Roziah Omar yang telah menganjurkan

satu Seminar Nilai dan Pembangunan Sosial ke arah pemantapan Dasar Sosial Negara

(DSN) dan masyarakat cemerlang pada 16 September 2004. Seminar ini

membincangkan mengenai penyematan nilai-nilai murni dalam usaha melahirkan warga

cemerlang sebagai `masyarakat kelas satu’ di sebuah negara ‘kelas pertama.’

Kempen ini adalah merupakan sambungan kepada pelbagai bentuk program

penerapan nilai yang telah dilaksanakan secara berterusan sebelum ini yang telah berjaya

menanam asas keutuhan yang kuat. Walaubagaimana pun permasalahan nilai dan

kelemahan integriti masyarakat masih berlaku dengan ketara. Budi bahasa dan amalan

murni tidak boleh bercambah dengan hanya membiarkan keadaan yang sedia ada. Rakyat

dan kerajaan mesti berjuang bersama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah dan

berbudi agar tamadun kita tidak hilang mutu dan keindahan sosialnya. Untuk itu kita

perlu ingat-mengingatkan akan amalan murni yang sudah hilang itu. Gerakan dan
Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni ini adalah puncak daripada tindakan kerajaan

untuk menerapkan serta menanam nilai-nilai murni ke dalam alam fikiran, hati budi serta

perilaku warganegara Malaysia di semua peringkat. Kempen ini diharap akan dapat

meneguhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri masyarakat.

Dalam keadaan dunia tanpa sempadan, dan maklumat yang tiada batasnya,

masyarakat yang dahulunya tidak banyak terdedah dengan persekitaran sejagat sekarang

segalanya berada dihujung jari seperti penggunaan internet di mana teknologi ini

membolehkan rakyat Malaysia menggunakannya untuk mendapatkan maklumat. Ini

menyebabkan mereka lebih terdedah kepada budaya yang bertentangan dengan budaya

bangsa Malaysia. Tanpa disedari budaya negatif boleh meresap dalam diri mereka dan

mereka mungkin mengikut dan mengamalkan cara hidup tersebut. Penjajahan budaya

hangat diperkatakan di mana remaja kini lebih cenderung memilih idola dari barat seperti

penyanyi dan pelakon filem. Ramai yang begitu taksub dengan idola mereka sehingga

sanggup meniru cara berpakaian yang menjolok mata, penggunaan perkataan yang kasar

serta kesat, cara bergaul tanpa batasan, dan gaya hidup yang jelas melanggar tatasusila

masyarakat dan agama. Penerapan nilai dan budaya yang tidak sesuai dengan norma

masyarakat mudah diterima jika masyarakat tidak diberi peringatan. Tapisan maklumat

dari sumber-sumber yang sukar di kawal menjadi kemahiran yang perlu ada pada diri

kita. Jika tidak penerapan nilai yang tidak sejajar dengan budaya kita akan diserap tanpa

disedari.
Kerajaan merasakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni perlu diadakan

kerana sesetengah rakyat Malaysia kini mengamalkan cara hidup yang kasar, melanggar

peraturan bahasa, membelakangkan adap sopan dan tidak mengendahkan tatasusila. Dan

sekiranya dilihat kepada jabatan kerajaan secara khususnya cara memberi

khidmat, cara melayani pelanggan atau orang ramai terutamanya oleh kakitangan

kaunter hadapan di jabatan-jabatan kerajaan kurang cekap, ini seterusnya telah

menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan orang ramai yang berurusan dengan

pelbagai agensi kerajaan.. Ada yang menjawab telefon dengan bahasa yang kasar, acuh

tak acuh atau panggilan langsung tidak berjawab, surat-menyurat rakyat lambat dijawab,

kesungguhan bekerja, menepati masa, hilangnya amalan hormat-menghormati dan

lupa akan betapa pentingnya tatasusila berhemah diamalkan secara menyeluruh.

Apabila berhadapan dengan pihak yang datang berurusan terdapat kakitangan yang tidak

memberikan senyuman dan mengucapkan selamat datang atau assalamualaikum.

Sebaliknya yang sering kita dengar adalah rungutan orang ramai tentang sikap

kakitangan kerajaan yang menggunakan bahasa kasar serta menengking pelanggan yang

datang berurusan. Sikap yang ditunjukkan menjadikan Pejabat-Pejabat Kerajaan dilabel

sebagai tempat yang kurang mesra. Walaupun tindakan ini dilakukan oleh segelintir

kakitangan, namun kesannya terpaksa dipikul oleh semua kakitangan. Bagaimana

segelintir pekerja ini dapat disemai dengan nilai-nilai murni yang luhur ketika

berhadapan dengan pelanggan? Apakan peranan ketua jabatan dalam menyemai nilai-

nilai sebegini? Kemahiran ketua jabatan dalam bidang komunikasi berkesan akan

banyak membantu kakitangan.


Selain daripada isu sikap kakitangan kerajaan apabila berurusan dengan orang

ramai, perkara yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini dan perlu di beri

perhatian serius adalah masaalah rasuah di kalangan kakitangan kerajaan. Walaupun

rasuah di Malaysia belum sampai ke tahap kritikal tetapi kerajaan mahu membenteras

rasuah sebelum ianya menjadi satu gejala yang berleluasa. Kurangnya pemahaman nilai

murni serta menjalankan kerja secara jujur dan amanah menyebabkan amalan yang buruk

itu terus berleluasa. Stigma yang menyatakan kakitangan kerajaan menerima rasuah telah

menyebabkan ramai kakitangan kerajaan malu untuk mengaku bahawa mereka bekerja

dengan kerajaan Ada juga desas-desus yang menyatakan jika orang bawahan ambil

rasuah, bagaimana pula dengan pegawai atasan. Seringkali dipaparkan di akhbar hanya

kakitangan bawahan sahaja yang sering didakwa menerima rasuah. Bagaimana dengan

pegawai atasan? Adakah mereka boleh terlepas begitu sahaja atau adakah mungkin tidak

berlaku gejala rasuah ? Jika jawapan nya ialah ia tidak berlaku, ini merupakan petunujuk

yang baik dan ia merupakan contoh yang baik kepada pegawai bawahan. Sebagai ketua

kepada sesuatu jabatan atau unit atau kumpulan, contoh dan teladan yang baik akan

dicontohi oleh orang bawahan.

Dalam ucapan perasmian Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni, Y.A.B.

Perdana Menteri mengulangi sekali lagi mesej yang telah disampaikan beliau kepada

Persatuan Oxbridge Malaysia iaitu dalam era globalisasi ini kejayaan negara bergantung

kepada pembangunan minda rakyat. Menurut beliau jika kita mempunyai infrastuktur

kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga, kita akan pantas dikalahkan oleh negara-

negara lain. Malah cita-cita Malaysia untuk mencapai taraf negara maju sangat
bergantung kepada pembangunan nilai-nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai seperti

ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, beramanah dan akauntabiliti budaya serta sistem

nilai di tekankan oleh Y.A.B Perdana Menteri. Beliau menyatakan bahawa perkara di atas

adalah kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju. Beliau turut mengingatkan kita

supaya tidak berpuas hati dengan aspek pembangunan luaran sahaja. Aspek dalaman

yakni aspek peribadi perlu diperbaiki dan dipertingkatkan untuk mempastikan

masyarakat Malaysia dapat menjadi masyarakat yang benar-benar bertamadun. First

class infrastructure, third class mentality tepat mengambarkan kerisauan ramai tentang

situasi negara pada masa ini di mana sifat-sifat luhur serta kesantunan budi bahasa yang

dahulunya menjadi kebanggaan Malaysia makin terhakis. Memiliki mentaliti kelas

pertama amat penting dalam memastikan usaha kerajaan membawa Malaysia sebagai

sebuah negara maju menjelang tahun 2020 tercapai. Begitu juga jika dilihat kepada

infrastuktur kerajaan dengan terdirinya Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan

Persekutuan. Ianya berdiri megah dan memukau mata sesiapa yang memandang, dengan

segala kemudahan kelas pertama. Bagaimana pula dengan pengisiannya? Menyediakan

tenaga kerja dan pegawai kerajaan kelas pertama perlu diperhebat agar ia seiring dengan

kemudahan yang ada. Mentaliti kelas pertama dikalangan kakitangan kerajaan ditagih

dan nilai-nilai murni perlu menjadi teras kepada mentaliti yang hendak dipupuk. Peranan

dan tangungjawab dalam memupuk mentaliti kelas pertama dikalangan kakitangan

kerajaan adalah dipikul oleh setipa ketua sesebuah organisasi. Ianya dapat dijayakan

dengan dengan memupuk budaya kerja yang terbaik.


Walaupun ekonomi negara terus berkembang pesat dengan penggunaan teknologi

terkini, jalanraya dan projek perumahan serta perindustrian moden yang boleh

dibanggakan, namun cara pemikiran dan peradaban kita tidak mengalami kemajuan yang

sama, malah seolah-olah semakin mundur. Walaupun kita telah meletakkan budi pekerti

sebagai asas dan tunjang dalam pelbagai dasar dan falsafah pembangunan negara, dari

Rukunegara sehinggalah kepada Wawasan 2020 namun jelas aspirasi kita dalam bidang

pembangunan minda dan rohaniah tidak sejajar dengan realiti kehidupan kita masakini.

Ketidakseimbangan pembangunan fizikal dan pembangunan rohaniah perlu

diperbetulkan dengan segera sebelum budaya masyarakat kita terus merosot terutamanya

dalam dunia komunikasi dan materialisme dimana pengaruh negatif senang menular ke

dalam diri seseorang yamg tidak memperlengkapkan diri dengan kekuatan dalaman. Oleh

kerana itu Y.A.B. Perdana Menteri berharap kempen ini akan megingatkan kita semua

kepentingan pembangunan peribadi dalam meningkatkan mutu hidup kita semua supaya

kita dapat mencapai kejayaan dalam kehidupan tanpa mengorbankan peradaban dan nilai-

nilai murni masyarakat Malaysia.

Selepas perasmian rasmi kempen ini oleh Y.A.B. Perdana Menteri, pelancaran di

peringkat negeri, daerah dan organisasi telah diadakan. Bagi warga perkhidmatan awam

kempen ini dilaksanakan dengan berpaksikan kepada nilai dan etika kerja penjawat awam

serta Tonggak 12. Penghayatan nilai dan etika kerja amat penting kerana pelaksanaan

dasar-dasar kerajaan memerlukan kakitangan yang cekap, jujur, amanah dan

bertanggungjawab untuk memastikan semua dasar dapat direalisasikan pada tahap yang

tinggi dan mempunyai imej yang bersih supaya dapat mendukung pembangunan Negara
kearah peningkatan kualiti penghidupan rakyat. Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM)

adalah salah sebuah organisasi kerajaan yang bernaung dibawah payung Kementerian

Pelajaran Malaysia dan turut terlibat secara langsung dalam menjayakan kempen ini

supaya semua warga LPM menghayati nilai nilai murni dan membudayakan amalan

berbudi bahasa dalam urusan seharian sebagai kakitangan kerajaan.

Dalam organisasi yang mempunyai lebih daripada 500 orang kakitangan dan

mempunyai tugas yang mempunyai pelbagai pemeringkatan termasuk mengurus kerja di

peringat sulit dan terhad serta berurusan dengan pelbagai peringkat termasuk badan

peperiksaan luar negara, institusi pendidikan dan pentaksiran di dalam dan luar negara,

media masa, badan-badan bukan kerajaan, pihak sekolah, ibubapa, pelajar dan orang

awam, pelbagai kaedah dan aktiviti dapat dilaksanakan untuk menjayakan kempen

tersebut.

Kempen tersebut dapat dijayakan dengan effektif dan effisien melalui

kepimpinan melalui tauladan. Pemimpin menjadikan tingkahlakunya sebagai tauladan

kepada kakitangan bawahan sama ada secara disedari atau tidak. Bak kata pepatah”bapa

kencing berdiri, anak kencing berlari”. Jelas daripada pepatah itu sekiranya pemimpin

sesuatu organisasi tidak menujukkan sifat dan sikap yang murni dan berbudi pekerti

semasa menguruskan organisasi yang diketuainya pekerjanhya akan menunjukkan sikap

yang lebih teruk apabila mereka berurusan dengan rakan sekerja atau orang awam yang

berurusan dengan mereka. Budi bahasa dan nilai murni adalah ilmu yang tidak dapat di

pelajari secara berkesan hanya dengan membaca atau mendengar sahaja seperti ilmu-
ilmu lain kerana ianya perlu dihayati. Penghayatan terjadi apabila sesuatu itu dilihat

berulang kali dan dicontohi amalan yang dilihat serta dilaksanakan seperti apa yang

dilihat Jika pemimpin sesuatu organisasi melayan kakitangannya dengan luhur dan

berbudi bahasa, perkara tersebut akan dicontohi dan kakitangan bawahannya akan

menjadi segan dan malu untuk melakukan sesuatu yang melanggar peraturan. Dan

menjadi lumrah manusia suka mengikut tindak tanduk dan perlakuan orang yang

dikaguminya. Pemimpin adalah salah seorang idola yang selalunya diikuti jejak

langkahnya oleh masyarakat bawahan. Bagaimana pun sebagai orang yang sering

diperhatikan, pemimpin perlulah menjaga tutur kata, gerak laku dan sikap. Setiap tindak

tanduk dan perlakuan pemimpin akan diperhatikan dan secara tidak sedar akan menjadi

ikutan pengikutnya. Maka dengan itu setiap pemimpin di LPM daripada Pengarah

Peperiksaan hingga kepada ketua unit bukan hanya bertanggungjawab memastikan kerja

dapat dijalankan dengan baik, tepat dan berjaya tetapi juga wajib menjalankan peranan

proaftif bagi menjayakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni dengan menjadi

role model yang menunjukkan penghayatan nilai murni dan budi bahasa yang diharapkan

daripada semua pegawai di bawah kepimpinannya.

Antara contoh pemimpin yang menunjukkan tauladan yang baik ialah Rasulullah

SAW, Mahatma Ghandi dan Mother Teresa. Perkara utama yang perlu ditekankan dalam

memikul jawatan pemimpin ialah melaksanakan tindakan dan keputusan supaya proses

pembentukan sahsiah berakidah di kalangan warga organisasi yang dipimpin. Oleh itu

setiap pemimpin yang ada di LPM mesti menjadi pemimpin yang berilmu , peka dengan

isu-isu semasa dan mempunyai akhlak terpuji.. Dengan itu seorang pemimpin dapat
mencari dan menjana aktiviti yang dapat membantu institusinya menjadi institusi yang

disegani dan dihormati. Pemimpin yang sedemikian dapat memimpin warga

organisasinya mencapai misi dan visi yang hasratkan. Sebagai seorang pemimpin, kata

mesti di kota, janji mesti ditepati dan peraturan mesti dipatuhi. Kita tidak mahu

pemimpin yang boleh diibaratkan seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul atau

’cakap tak serupa bikin’ Bijak bercakap tidak semestinya boleh melakukannya secara

praktikal. Oleh itu, di samping bijak 'berbahasa' dan pandai 'mentazkirah' orang lain,

pemimpin harus mengamalkan apa yang dikata. Arahan dan peraturan yang diwujudkan

mestilah dipatuhi kerana sesuatu peraturan dibuat bukan untuk kakitangan bawahan

sahaja tetapi ia juga sepatutnya dipatuhi oleh pemimpin itu sendiri. Apa akan terjadi jika

pemimpin organisasi itu sendiri datang lambat ke pejabat? Sudah pasti ia akan di pandang

serong dan jika perlakuan yang sama dilakukan oleh pekerja bawahan, sukar baginya

untuk menegur dan memberi nasihat. Jika ia merupakan pemimpin yang baik

tingkahlakunya, ia tidak perlu bercakap apa-apa. Pekerja bawahannya akan segan dan

malu dan akan berubah dengan sendirinya.

Kepimpinan melalui tauladan lebih merujuk kepada keperibadian seorang

pemimpin dalam membentuk masyarakat pimpinannya. Jika elok acuan maka eloklah

kuihnya, jika rosak acuan kuih maka tidak terbentuklah kuih seperti yang diingini. Oleh

yang demikian setiap lapisan peringkat kepimpinan di LPM mesti memastikan sentiasa

menjadi contoh yang baik kepada mereka yang dipimpin supaya semua warga LPM akan

mengikut corak keperibadian yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan dalam menjalankan

tugas baik semasa berurusan rasmi atau tidak rasmi. Dengan itu keberkesanan Kempen
Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni dapat dilihat dihayati dan dipraktikkan oleh semua

warga LPM dalam semua urusan harian sama ada semasa berurusan dengan orang awam

atau dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan .

Selain daripada itu, ceramah, seminar dan bengkel perlu di adakan dari semasa ke

semasa mengikut kesesuaian.Ceramah adalah cara yang berkesan untuk memberi input

dan ilmu tentang kenapa kempen ini dilaksanakan, matlamat dan tujuan kempen ini dan

bagaimana kita sebagai rakyat amnya dan kakitangan kerajaan khasnya dapat

merealisasikan objektif kempen ini. Ceramah berkaitan kempen ini dapat di adakan

secara langsung dengan menjemput penceramah daripada badan-badan kerajaan atau

bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan kempen ini. Apabila

penerangan tentang kempen ini diterima secara terus daripada mereka yang terlibat

dengan perlaksanaan kempen ini, warga LPM akan dapat memperoleh maklumat yang

jelas dan lengkap tentang peri pentingnya semua pihak memastikan kejayaan kempen ini

demi kecemerlangan negara. Warga LPM juga akan berpeluang bertanya kepada

penceramah untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang pelaksanaan kempen ini

dan bagaimana warga LPM dapat memberi sumbangan dalam menjayakan kempen ini.

Walaubagaimanapun ianya boleh juga dijalankan secara tidak langsung dengan

menyelitkan unsur-unsur nilai dan budi pekerti dalam ceramah –ceramah peningkatan

professionalisme, pengurusan, agama dan ceramah ilmuan yang sering di kelolakan oleh

LPM untuk kakitangannya dan pertugas-petugas peperiksaan seperti pengawas

peperiksaan, pemeriksa dan pegawai meja di negeri. Unsur-unsur nilai murni

sememangnya amat dituntut di LPM memandangkan ia melaksanakan tugas-tugas sulit


yang mementingkan keluhuran budi agar peperiksaan yang dijalankan dengan adil, sahih

dan amanah.

Sebagai pengukuhan kepada maklumat dan informasi yang diperoleh melalui

ceramah-ceramah yang diadakan, slot untuk pembentangan kertas kerja berkaitan

pelaksanaan kempen ini dapat diperuntukkan dalam seminar pentaksiran yang akan

diadakan oleh LPM pada tahun hadapan. Dengan ini warga LPM khasnya dan peserta

seminar secara umumnya dapat melihat bagaimana budi perkerti dan nilai murni dapat

membantu pentaksir dan yang ditaksir. Dengan itu warga LPM akan sedar bahawa

dengan menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni dan budi perkerti mulia ianya

bukan sahaja menjadikan kita insan yang lebih baik malah membantu meningkatkan

kualiti kerja . Di samping itu pengurusan LPM boleh mengadakan bengkel formal dan

tidak formal untuk memberi ruang kepada warga LPM berbincang tentang pandangan dan

cadangan mereka bagaimana kempen ini dapat dilaksanakan dengan berkesan mengikut

keperluan bahagian, sektor dan unit masing-masing. Memandangkan personel, tugas dan

tanggungjawab satu unit dengan satu unit yang lain agak berbeza mungkin penekanan

nilai juga turut berbeza. Dengan adanya bengkel-bengkel tersebut kakitangan LPM akan

dapat mencadangkan aktiviti-aktiviti khusus yang dapat menjurus kepada keperluan unit

masing-masing. Contohnya, unit yang menguruskan bahan bahan sulit dan terhad tetapi

kurang berinteraksi dengan pihak luar penekanan yang lebih kepada nilai amanah

berbanding dengan unit yang memberi khidmat kepada pelanggan dimana kesopanan dan

perkhidmatan yang ramah mesra lebih dititikberatkan walaupun secara umumnya semua

warga LPM ingin menghayati dan mengamalkan kesemua nilai murni. Oleh yang
demikian setiap warga LPM akan dapat menghayati dan mengamalkan budi pekerti dan

nilai-nilai murni secara umumnya dan di masa yang sama dapat memberi penekanan

khusus kepada nilai-nilai yang dapat membantu meningkatkan kualiti kerja. Dengan

secara tidak langsung ini akan dapat menaikkan imej LPM di peringkat nasional dan

antarabangsa. Pemahaman secara jelas dan lengkap nilai-nilai murni yang perlu

dipelihara akan memastikan imej dan pandangan masyarakat terhadap LPM kekal

dihormati dalam menjamin perlaksaan peperiksaan yang adil, sahih dan amanah.

Kempen ini dapat juga diterapkan dalam perhimpunan bulanan LPM.

Setiap kali perhimpunan bulanan diadakan semua warga LPM akan membaca Ikrar

Kakitangan Lembaga Peperiksaan.(Lampiran A). Di dalam ikrar tersebut jelas

menekankan pentingnya amalan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas yang telah

diamanahkan kepada kakitangan LPM. Antaranya menepati masa dan waktu,

memurnikan akhlak dan meninggikan mutu kerja. Apabila setiap kali perhimpunan, setiap

warga LPM melafazkan ikrar tersebut dengan ikhlas, ianya akan dihayati dan diamalkan.

Disamping itu penekanan tentang isi kandungan ikrar tersebut dapat di berikan oleh

pucuk pimpinan dalam ucapan bulanan yang disampaikan. Semasa perhimpunan bulanan

juga warga LPM boleh diingatkan tentang Piagam Pelanggan LPM (Lampiran B), Misi

LPM (Lampiran C), dan Wawasan LPM ( Lampiran D). Didalam piagam pelanggan, misi

serta wawasan LPM tertera banyak nilai-nilai yang ingin diterapkan melalui kempen ini

sama ada secara tersurat atau tersirat. Dengan ini warga LPM akan dapat mengaitkan

hasrat serta tujuan kempen ini dengan tugas dan tanggunjawab masing-masing sebagai

pelaksana misi dan wawasan LPM. Akan jelas kepada semua bahawa kempen ini tidak
berdiri hanya sebagai satu kempen sahaja tetapi semua akan sedar bahawa misi kempen

ini tertera di dalam misi LPM.. Logo LPM (Lampiran E) juga boleh digunakan untuk

mengingatkan semua tentang moto LPM untuk menjalankan tugas dengan adil, sahih dan

amanah yang juga merupakan nilai-nilai murni.

Aktiviti ringan dan menyeronokkan juga dapat diadakan untuk dijadikan selingan

kepada aktiviti-aktiviti yang dinyatakan diatas. Salah satu aktiviti menarik yang boleh

diadakan untuk mencuri perhatian warga LPM adalah dengan mengadakan pelbagai

bentuk pertandingan yang bertemakan Budi Pekerti dan Nilai-nilai Murni Dalam

Pengurusan Pentaksiran. Pertandingan menulis cerpen ,mendeklamasikan sajak, berbalas

pantun dan melukis poster adalah antara aktiviti yang boleh menarik perhatian warga

LPM daripada peringkat pengurusan hinggalah kepada kakitangan sokongan. Informasi

yang telah diperoleh daripada ceramah-ceramah, seminar dan bengkel yang telah

diadakan dapat digunakan dalam menyediakan hasilan untuk dipertandingkan. Hasil

nukilan yang telah terhasil dikongsi bersama dengan semua warga LPM sama ada melalui

pameran atau edaran. Selain daripada itu pertunjukkan pentas oleh warga LPM sempena

hari keluarga atau semasa Hari Q dengan bertemakan Nilai Murni Meningkatkan

Kesahan dan Kebolehpercayaan Pentaksiran dapat menghiburkan sambil menyampaikan

mesej dengan berkesan. Pertandingan nyanyian berunsurkan nilai-nilai murni boleh turut

diadakan. Disamping itu tayangan video, filem atau dokumentari yang bertemakan budi

perkerti dan nilai murni dapat dipertontonkan kepada warga LPM semasa waktu rehat

atau semasa aktiviti sosial yang dirancang. LPM juga boleh memberi ganjaran kepada

pekerja yang menjalankan tugasnya dengan berbudi pekerti dan sentiasa mengamalkan
nilai-nilai murni. Ganjaran yang diberikan tidak semestinya berbentuk kewangan tetapi

boleh diberi dalam bentuk penghargaan atau pujian. Ini akan menggalakkna mereka

meneruskan sikap terpuji ini dan menjadi galakkan tidak langsung kepada warga LPM

yang lain. Satu lagi cara yang berkesan ialah kaeadh yang berlawanan dengan ganjaran

iaitu hukuman. Walaupun ianya bukanlah sesuatu yang sesuai diparktikkan dalam

suasana biasa tetapi bagi kes hard core hukuman yang berbentuk surat amaran dan

tidakan disiplin perlu dilaksankan untuk memastikan sikap negative tidak diteruskan dan

lebih buruk lagi akan menjadi ikutan sekiranya tindakan tidak di ambil. Organisasi juga

boleh menggunakan kaedah extension di mana organisasi membuang ( remove) perkara

yang menyebabkan para pekerja menunjukkan tindak tanduk yang tidak selaras dengan

hasrat kempen ini. Dengan itu punca kepada ketidakaturan sikap dan perlakuan perlu

dikenalpasti dan seterusnya mengusahakan sesuatu untuk menghapuskan punca tersebut.

Contohnya sekiranya didapati punca seorang kakitangan bersikap kasar dengan

pelanggan adalah kerana kakitangan tersebut tidak suka dengan tugas yang diberikan

kepadanya, pihak pengurusan perlu berusaha berbincang dengan kakitangan tersebut dan

menempatkannya di bahagaian yang lebih sesuai dengan kakitangan tersebut.

Pemahaman dan perlaksaan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni di

Lembaga Peperiksaan Malaysia diharap dapat memupuk semangat kerjasama, hormat-

menghormati dan mewujudkan iklim pekerjaan yang selesa. Iklim pekerjaan yang selesa

akan memastikan keselesaan setiap individu melaksanakan tugas tanpa tekanan

seterusnya meningkatkan kualiti kerja. Kejujuran serta amanah dalam melaksanakan


tugas akan meninngkatkan martabat LPM. Kemampuan LPM menerapkan nilai murni

dikalangan kakitangan banyak bergantung kepada kemampuan pemimpin merancang

serta menerapkan nilai murni. Pemimpin yang baik seharusnya dihormati dan disegani

bukan seorang pemimpin yang ditakuti. Contoh dan tauladan dari seorang pemimpin akan

memastikan ia disegani dan dihormati. Kepimpinan melalui tauladan ini dapat

diperkukuhkan dengan aktiviti-aktiviti yang telah dicadangkan. Dengan itu teori dan

praktikal dapat digabungkan dan akan terhasillah warga LPM yang akan dapat

menjayakan hasrat kempen yang selari dengan keperluan sebagai warga pentaksiran

Negara yang tercinta ini.


Lampiran A

IKRAR KAKITANGAN LEMBAGA PEPERIKSAAN

Bahawasanya kami

Kakitangan Lembaga Peperiksaan

Berikrar

Melaksanakan tugas dan fungsi

Institusi kami

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara

Kami sentiasa

Menepati masa dan waktu

Menambah ilmu

Mempertingkatkan amalan

Dan memurnikan akhlak

Kami bertekad

Meninggikan mutu

Mengekalkan kesahihan

Hasil kerja kami

Demi mencapai kecemerlangan

Kami sentiasa

Menjunjung Perlembagaan Negara

Dan mengamalkan Prinsip Rukun Negara


Lampiran B

PIAGAM PELANGGAN

Lembaga Peperiksaan bertanggungjawab untuk mengendalikan peperiksaan dengan

cekap, licin dan selamat.

Untuk mencapai hasrat ini, kami berjanji:

Menilai prestasi calon dengan adil, sahih melalui alat pengujian dan pengukuran yang sah

dan boleh dipercayai berdasarkan kurikulum dan Falsafah Pendidikan Negara

• Membekalkan kertas soalan dengan cukup dan selamat mengikut jadual

peperiksaan

• Menyediakan kemudahan peperiksaan yang sempurna dan saksama untuk

semua calon

• Mengeluarkan keputusan peperiksaan yang sah dalam tempoh empat bulan

dan sijil dalam tempoh enam bulan selepas keputusan peperiksaan

• Memberi peluang kepada calon membuat rayuan menyemak semula

keputusan peperiksaan dan memberi keputusan dalam tempoh tiga bulan

• Memberi perkhidmatan yang mesra dan bersedia untuk memberi bantuan

yang berkaitan dengan peperiksaan

Meningkatkan pengurusan peperiksaan yang selamat, cekap, berkesan, canggih, dinamik

berteraskan pembaharuan yang berterusan


Lampiran C

MISI

Mengadakan sistem peperiksaan dan penilaian kebangsaan yang terjamin kualitinya

dari segi kesahan dan kebolehpercayaan semua program peperiksaan dan pentaksiran

ke arah pembelajaran yang berkesan (assessment for learning).

Selaras dengan keperluan untuk mengekal dan meningkatkan kredibiliti sistem

peperiksaan negara ini, maka Lembaga Peperiksaan hendaklah:

• merancang, membina dan menghasilkan alat-alat pengujian dan pengukuran yang

sah dan boleh dipercayai berlandaskan kurikulum dan Falsafah Pendidikan

Negara yang telah ditetapkan;

• mengendali dan mengurus semua peperiksaan di peringkat pusat dengan cekap,

selamat dan sempurna;

• memproses serta mengeluarkan keputusan peperiksaan tersebut dengan cepat,

tepat dan adil.


Selaras dengan keperluan untuk meningkatkan mutu dalam bidang penilaian maka

Lembaga Peperiksaan:

• mengkaji dan menyelidik supaya dapat menghasilkan alat-alat kaedah penilaian

yang lebih sah, boleh dipercayai, selamat dan canggih;

• memberi khidmat bantuan, khidmat nasihat dan khidmat perundingan tentang

pengujian dan pengukuran pendidikan, mempertingkat dan memperluas

penggunaan teknologi maklumat untuk pengendalian sistem peperiksaan yang

lebih efisien dan jitu.

Selaras dengan keperluan dasar-dasar dalam sistem pendidikan negara, maka

Lembaga Peperiksaan hendaklah:

• mengesan dan mengawal semua peperiksaan dalam institusi pendidikan supaya

tidak bercanggah dengan sebarang dasar negara demi mengawal kepentingan

awam;

• mengendalikan peperiksaan luar negeri yang tidak bercanggah dengan dasar dan

aspirasi negara.
Lampiran D

WAWASAN

Membangunkan sistem peperiksaan dan penilaian pusat yang canggih serta

pentaksiran bestari dan menggunakan teknologi mutakhir serta berkebolehan

menghasilkan keputusan yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang

tinggi bagi mendapat pengiktirafan global.

• Sistem Peperiksaan dan Penilaian Pusat Yang Canggih bermaksud

menggunakan segala peralatan dan teknologi yang sesuai dengan

kemajuan dalam bidang penilaian.

• Pentaksiran Bestari bermaksud metodologi pengukuran yang sesuai

dengan objektif kurikulum dalam Falsafah Pendidikan Negara.

• Teknologi Mutakhir bermaksud mewujudkan satu sistem bank soalan

berkomputer yang mempunyai satu rangkaian "on-line" untuk

membolehkan sekolah mudah memperoleh (accessible) item pada bila-bila

masa.

• Kesahan dan Kebolehpercayaan bermaksud alat ujian yang digunakan

itu dapat benar-benar mengukur apa yang sepatutnya diukur dan sekaligus

menunjukkan ketekalan ujian itu.


Lampiran E

Logo ini adalah hasil daripada gabungan bentuk ogif dan lengkung normal. Bentuk ogif

menunjukkan teknologi moden pengujian sementara lengkung normal melambangkan

teori klasik pengukuran.

Ogif itu dibentuk menyerupai dua ekor burung menghadap satu sama lain dengan sayap

mereka berbentuk buku yang melambangkan semangat berlumba-lumba dalam usaha

mencari ilmu pengetahuan.

Warna hijau melambangkan Agama Islam - agama rasmi negara ini. Warna Emas

membayangkan kecemerlangan dan dedikasi dalam bidang pendidikan.

Perkataan yang terukir pada bahagian bawah adalah moto Lembaga Peperiksaan iaitu

Adil, Sahih dan Amanah.


Rujukan:

1. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Dewan Bahasa Dan Pustaka,

Kuala Lumpur

2. Nota Kursus Penilaian Tahap Kecekapan(PTK) Gred DG 48/DG44/DG34

Tahun 2005, Institut Aminuddin Baki

3. Buku Panduan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita,

Kemementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan

4. Teks Ucapan Y.A.B Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi

5. Utusan Malaysia 19 Januari 2005

6. Understanding and Managing Organizational Behavior,Jennifer M. George &

Gareth R. Jones,Fourth Edition

You might also like