You are on page 1of 10

PENGENALAN TUMBUHAN PAKU – PAKIS

 
          Tumbuhan paku – pakis ( pteridoftit ) merupakan vegetasi dan tumbuhan dedaun .
Ia merupakan golongan tumbuhan yang mempunyai ciri – ciri khas iaitu pada pucuk
daun muda terdapat satu gelungan tali yang dikenali sebagai krozier . Ciri lain yang
nyata ialah kesemua paku – pakis menghasilkan spora yang terbentuk di dalam
sporangium . Sporangium ini berkumpul membentuk tompok – tompok di bahagian
hujung , permukaan ataupun tepi daun . Kumpulan sporangium ini dikenali sebagai
sorus . Susunan dan bentuk sorus berbeza – beza bergantung kepada spesies paku –
pakis tersebut .
 
          Secara amnya , tumbuhan paku – pakis dibahagikan kepada dua kelompok utama
iaitu paku – pakis primitif yang berstuktur ringkas ( fern – allies ) dan paku - -pakis
sejati ( true – fern ) . Pada paku – pakis primitif akarnya hanya berupa riziod ( cth.
Psilotum ) , berbatang kecil dan umumnya berwarna hijau kerana memiliki klorofil
sehingga dapat membantu proses fotosintesis dan daunnya hanya berupa sisik dengan
satu vena daun sahaja . Manakala pada paku – pakis sejati , pembahagian antara akar ,
batang dan daun tampak jelas . Ketiga – tiga organ tersebut telah memcapai
kesempurnaan yang tinggi .
 
          Sebilangan besar paku – pakis tumbuh liar terdapat disekitar kita . Di 
Semenanjung Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 500 spesies paku – pakis liar yang
telah dikenal pasti . Paku – pakis ini ada juga yang dimakan dan ia lebih dikenali sebagai
Athyrium esculentum . Di samping itu , terdapat juga paku – pakis liar yang dipercayai
mempunyai khasiat perubatan . Nenek moyang  kita dahulu sudah menggunakan
pelbagai spesies paku – pakis sebagai ubat – ubatan tradisional untuk mengubati
penyakit kulit , luka  dan sakit perut . Ada juga yang boleh digunakan sebagai penahan
darah dan penyubur rambut . Kini paku – pakis telah dijadikan sebagai tumbuhan
perhiasan , antaranya ialah Lycopodium , Asplenium , Playcerium dan sebagainya .
 
          Tumbuhan pteridoftit tersebar luas ke seluruh dunia , kecuali di bahagian kutub
yang sentiasa dilitupi ais . Kira – kira 75% spesies ini terdapat di kawasan tropika ,
hampir tropika dan juga kawasan pergunungan yang berhampiran dengan kawasan
tropika . Spesies yang hanya terdiri daripada bahagian batang yang berwarna hijau iaitu
tanpa akar dan daun sejati ditemukan pada genus Psilotum , hingga kepada genus
Cyathea yang mempunyai akar sejati dan berdaun tebal , batang sempurna dan
memyerupai batang pohon palma . Untuk menentukan variasi panjang atau tinggi paku –
pakis dimulai dengan spesies yang berukuran kurang daripada 2.5 cm seperti pada paku
– pakis air dari genus Azolla hingga kepada spesies yang memcapai ketinggian 30m
seperti paku – pakis Cyathea dan Dicksonia .
SISTEM PENGELASAN ALAM PAKU – PAKIS
          Dalam sistem pengelasan botani lama oleh Eichler tahun 1883 dan Bold et al. ,
1980 semua tumbuhan dibahagikan kepada 4 divisi yang besar iaitu Thallophyta ,
Bryophta , Pteridophyta dan Spermatophyta . Divisi Thallophyta meliputi semua jenis
rumpai air sama ada di air tawar mahupun di laut . Divisi Bryophyta dianggotai  oleh 3
kelompok lumut iaitu lumut hati , lumut kerak dan lumut jati . Semua tumbuhan berbiji
pula digolongkan ke dalam divisi  Spermatophyta . Sementara tumbuhan yang kita
kenali dengan nama umum  paku – pakis , serta beberapa jenis tumbuhan yang berkaitan
dengannya telah dikelaskan oleh  ahli – ahli botani  dalam divisi Pteridophtya .
 
          Dalam tinjauan sejarah evolusi alam tumbuhan , divisi Pteridophyta ditempatkan di
antara divisi Bryohyta dan Spermatophyta  kerana beberapa sifat perantaraan pada
golongan tumbuhan ini sehingga dianggap sebagai jambatan  yang menghubungkan
bentuk tumbuhan yang primitif dengan bentuk tumbuhan moden . Walaupun terdapat
divisi yang masih belum sempurna strukturnya seperti pembahagian akar , batang dan
daun , namun kebanyakan spesies paku – pakis telah memcapai pertumbuhan yang tidak
terbatas sehingga dinamakan paku pohon . Ini kerana pembentukan batang dan daunnya
begitu sempurna menyerupai Spermatophyta . Sistem pengangkutan ( sistem vaskular )
terbentuk dengan sempurna pada peringkat tinggi dengan elemem – elemen seperti
xilem dan floem yang membentuk tisu – tisu pengangkutan yang cekap dari akar ke
daun .
 
Menurut Engler ( Lawrence , H.M. 1968 ) alam tumbuh – tumbuhan dapat dipisahkan ke
dalam tiga belas divisi . Sebelas divisi pertama termasuk dalam golongan tumbuh –
tumbuhan Thallophyta , divisi kedua belas ( Embryophyta Asiphonogama ) dipisahkan 
ke dalam  dua subdivisi iaitu Bryophyta dan Pteridophyta , sementara divisi ketiga belas
( Embryophyta Siphonogama ) merupakan tumbuh – tunbuhan Spermatophyta .
BINAAN DAUN PAKU – PAKIS
          Terdapat dua jenis daun paku – pakis , yang pertama dinamakan sebagai daun
mikrofil yakni daun yang berbentuk sisik dengan ukuran yang sangat kecil umunnya
kurang daripada 1 cm panjangnya . Jenis daun mikrofil ditemukan pada paku – pakis
seperti pada genus Psilotum , Lycopodium , Selaginella dan Equisetum . Khusus pada
Psilotum dan Equisetum daunnya  mengalami pengurangan dari segi bentuk dan fungsi
sehingga bentuknya menjadi sangat kecil dan tidak menjalankan fungsi fotosintesis .
 
          Jenis kedua dikenali sebagai daun makrofil , iaitu daun yang  mempunyai ukuran 
lebih besar daripada daun mikrofil dan mempunyai susunan yang lebih kompleks
dengan pelbagai variasi dan aktif bagi berbagai – bagai  fungsi fisiologi seperti pada
daun tumbuhan peringkat tinggi . Ia terdapat dalam bentuk tunggal atau majmuk iaitu
permukaan daunnya ( lamina ) tidak terbahagi kepada segmen – segmen yang terpisah
malahan  dihubungi kepada batang atau rizom melalui suatu tangkai sama ada panjang
atau pendek . Contoh Vittaria , Ophioglossum , Antrophyumi , Salvinia dan lain – lain .
Daunnya terdapat dalam sifat pinat , bipinat , tripinat , kuadripinat dan seterusnya .
PEMBIAKAN PAKU – PAKIS
Spora , Sporangium dan Sorus
          Spora adalah struktur pembiakan halus yang dihasilkan oleh paku – pakis .
Terdapat pelbagai  bentuk spora  ,  antaranya bulat  ,  pipih ( monolete ) , segitiga 
( trilete ) dan sebagainya . Untuk melihat struktur spora tersebut , mikroskop elektron
pengiaman ( Scanning Electron Microscope ) digunakan .
 
          Sporangium pula merupakan kapsul yang berbentuk kanta dwicembung . Dinding
sporangium terdiri daripada satu atau beberapa lapisan sel , kecuali pada bahagian
tepinya terdapat suatu lapisan sel berdinding tebal yang mengelilingi sebahagian kapsul
yang dinamakan anulus . Pada bahagian hujung lingkaran terdapat satu kumpulan sel
yang pipih yang dikenali sebagai stomium . Apabila sporangium masak sel stomium
akan pecah dan membebaskan spora yang terdapat didalamnya .
 
          Sorus merupakan satu untaian ( nama khasnya spika ) seperti yang ditemui pada
Ophioglossum , atau berbentuk garis panjang seperti pada genus Pteris atau yang bulat
seperti genus Phymatodes . Kedudukan dan susunan sorus amat penting kerana ia bakal
menentukan genus dan spesis paku – pakis .
Indusium
          Indusium adalah suatu lapisan pelindung untuk melindungi sporangium terutama
yang masih muda . Ada sorus yang tidak dilindungi oleh indusium yang dikenali sebagai
sorus yang telanjang . Sementara yang dilengkapi dengan indusium terdapat dua jenis .
Jenis yang pertama dinamakan indusium sejati yang mana lapisan tisunya berupa
penutup melengkok terdiri daripada dua ruangan dengan bahagian tengah  berhubungan
dan mengikatkannya kepada permukaan daun . Manakala lapisan pelindung yang hanya
berupa pelebaran dari bahagian tepi daun yang bengkok dinamakan indusium palsu .
Ekologi Paku – pakis
          Ekologi paku – pakis dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya ialah cahaya ,
hujan , angin ,perubahan suhu dan tumbuhan lain yang berada disekitarnya . Secara
amnya terdapat enam golongan paku – pakis dikenal pasti berdasarkan faktor – faktor di
atas :
¨ Paku – pakis terestrial di kawasan terdedah
          Golongan ini mudah dijumpai sama ada tumbuh secara bersendirian atau berbentuk
gerombolan atau semak besar . Contoh yang hidup bersendirian ialah Blechnum
orientale dan Pityrogramma , sementara yang tumbuh bergerombolan pula ialah resam
Dicranopteris linearis , tumbuh di kawasan tanah gersang dan kering ialah Cyclosorus
gongylodes  . .Manakala yang memanjat ialah Lygodium  , namun akarnya masih
menjalar di bawah tanah .
¨Paku – pakis terestrial di kawasan terlindung
          Secara keseluruhannya , tumbuh – tumbuhan ini memiliki daun yang lebih nipis
jika dibandingkan dengan tumbuhan paku – pakis dikawasan yang terdedah . Sebahagian
besar paku – pakis ini dijumpai berhampiran dengan tepi – tepi sungai di dalam hutan
primer . Walaupun sesetengah daripadanya menghasilkan rizom yang menjalar tetapi ia
tidak membentuk kelompok besar ( gerombolan  ) seperti Gleichenia Dicranopteris atau
Nephrolepis .
¨Paku – pakis memanjat
          Golongan ini mempunyai rizom yang menjalar di atas tanah dan apabila menemui
pohon – pohon yang besar maka ia akan terus memanjatnya . Kadang – kadang akar
bermula pada dasar atau pangkal pohon – pohon dan kemudian akan  memanjatnya .
Contoh paku – pakis jenis ini ialah Bolbitis heteroclita yang biasanya menjalar di tebing
– tebing sungai dan apabila menjumpai pohon – pohon kecil ia akan terus memanjatnya .

¨Epifit
          Ia hidup di atas pohon – pohon lain tetapi bukannya tumbuhan parasit kerana ia
hanya berpaut pada kulit kayu untuk mengumpul makanan dan air yang diperlukan .
Akar paku – pakis epifit ini jarang menjejaki tanah kerana ia biasanya diselimuti oleh
tumbuhan lumut . Lumut ini sedikit sebanyak membantunya mengumpul air dan humus
sebagai sumber nutrien . Spesies jenis ini juga mempunyai cara – cara tertentu untuk
mengumpul humus misalnya pembentukan bakul yang besar seperti yang ditunjukkan
oleh Asplenium nidus dan Aglamorpha sp .
 
          Paku – pakis epifit dibahagikan kepada dua jenis iaitu

= Epifit di kawasan terlindung


          Jenis ini didapati pada bahagian bawah pohon – pohon hutan misalnya dari
golongan filmy fern iaitu spesis dalam famili Hymenophyllaceae . Tumbuhan ini
mempunyai cabang dan daun yang nipis . Contoh lain ialah Antrophyum .
= Epifit di kawasan terbuka
          Jenis paku – pakis ini mendapat cahaya yang penuh mahupun separa .Udara
disekelilingnya kering dengan tiupan angin yang kuat . Justeru itu tumbuhan jenis ini
memerlukan rizom yang kuat dan akar yang banyak untuk menyerap air seperti pada
Asplenium nidus. Begitu juga dengan paku – pakis Platycerium dan Drynaria yang
mempunyai daun steril  untuk membentuk bakul besar bagi menangkap humus untuk
sumber nutriennya .
 
¨Paku – pakis batu – batan dan pinggiran sungai
          Golongan ini hidup di kawasan berbatu dan tebingan sungai yang berbatu sahaja .
Ia mendapatkan air dari udara yang berkelembapan tinggi di tepi –tepi sungai itu .
Rizomnya menjalar kuat di permukaan batu dengan akar yang banyak . Contohnya ialah
Dipteris lobbiana , Lindsaya lucida , Pyrrisia perangium dan lain – lain .
¨Paku – pakis akuatik
          Terdapat dua famili paku – pakis akuatik iaitu Salviniaceae dan Marsileaceae yang
sukar untuk dikenali sebagai tumbuhan paku – pakis dalam pandangan yang sekilas
sahaja .Terdapat juga beberapa paku- pakis yang menghuni paya atau lopak air misalnya
Acrostichum aureum dan Ceratopteris thalictroides .
Kitar hidup paku – pakis dan penyimpangannya .
          Paku – pakis  pada umunnya menpunyai kitar hidup dengan perselangan dua jenis
generasi :
 iGenerasi tanpa seks
          Ia dikenali sebagai sporafit yang berupa tumbuhan paku – pakis yang dapat
dibezakan antara akar , batang  dan daun . Generasi tanpa seks ini disebut generasi yang
diploid .
iGenerasi seks
          Generasi seks adalah gametofit yang berasal dari sporafit sehingga gametofit ini
bersifat haploid . Gametofit ini akhirnya akan membentuk gamet jantan ( anterozoid )
dan gamet betina ( sel telur ) .
 Farlow ( 1874 ) berpendapat bahawa gametofit dapat membentuk sporofit tanpa
persenyawaan gamet dan dikenali sebagai Apogami oleh De Bary ( 1878 ) contohnya
pada Tectaria foliata .
Manakala  Druery ( 1885 ) menyatakan sporafit dapat menbentuk gametofit tanpa
spora  terlebih dahulu dan ini dikenali oleh Bower ( 1885 ) sebagai Apospori .
Contohnya Athyrium filix – foemina yang ditemui oleh Druery . Gametofit akan
menghasilkan anteridium dan arkegonium yang dikenali sebagai  gametangium . Ada
dua jenis apospori iaitu jenis i dan jenis ii .
Jenis paku – pakis
 

Divisi Pteridophyta

Famili Schizaeceae

Lygodium microphyllum R . Br . ( Ribu – ribu )


          Paku – pakis jenis ini amat mudah dijumpai . Ia  tumbuh dengan merambat
pepohon lain di tempat yang terdedah dengan cahaya matahari . Ia menyerupai paku –
pakis Lygodium flexuosum tetapi ukuran daunnya lebih kecil dan berwarna hijau pucat .
 

Famili Matoniaceae
Matonia pectinata R . Br .
          Paku – pakis jenis ini ditemui di kawasan pergunungan misalnya di Gunung
Ledang , Tanah Tinggi Genting dan Gunung Tahan . Sistem percabangan pada daun
Matonia menyerupai Gleichhenia . Namun yang membezakannya ialah percabangan
menggarpu Matonia lebih sempurna dan tidak terdapat pucuk dorman pada celah –
celahnya yang dilindungi oleh indusium . Rizomnya tumbuh menjalar dan ditutupi oleh
rambut berwarna coklat yang berkilat .
 

Famili Marattiaceae
Angiopteris angustifolia Presl . ( Paku gajah  )
Paku –pakis ini berukuran lebih besar dan mencapai ketinggian 6m . Tumbuhan ini
hanya dijumpai di kawasan tanah tinggi sahaja misalnya di Bukit Fraser . Ia menghuni
tempat yang lembap seperti tebing sungai atau anak air didalam hutan tebal .
 

Famili Osmundaceae
Osmunda javanica Bl .
          Paku – pakis jenis ini mempunyai taburan yang luas di seluruh dunia . Ia biasanya
berada di aras lebih 1000m dari laut . Habitatnya merupakan kawasan lembap atau
pingiran sungai yang mempunyai ketinggian kira – kira 1200 m ke atas aras laut dan
terlindung . Batangnya pendek , kuat dan tumbuh tegak .
 
Famili Cyatheaceae
Cyathea contaminans ( Hook ) Copel . ( Paku pohon )
          Paku pohon ini merupakan spesies yang paling mudah didapati di kawasan tanah
tinggi kira – kira 1000m dari aras laut . Ia juga mudah dikenali kerana pelepahnya yang
mudah tanggal meninggalkan bekas pada batangnya .Batang paku pohon diselimuti oleh
akar yang mati berselirat seperti dawai dan biasanya kulit batang ini diperdagangkan
untuk pemindahan anak benih tanaman orkid . Tangkai fronnya yang panjang ,
memjunjung lamina . Paku – pakis ini lebih berjaya membiak secara vegetatif iaitu
melalui pertumbuhan panjang rizomnya yang kemudian akan terputus secara mekanisme
misalnya akibat  arus kencang , terpotong dan lain – lain , maka terbentuklah individu
tumbuhan yang baru .
 

Famili Adiantaceae
Ceratopteris thalictroides ( L . ) Bri\ongn
          Keseluruhan tumbuhan ini berwarna hijau . Rizomnya pendek , tegak
mengeluarkan segerombolan akar yang lembut berwarna putih . Bahagian pangkal stip
besar , kira – kira 1 cm tebalnya dan semakin mengecil ke bahagian hujung .
Sporangium terdapat dalam sorus yang memanjang iaitu di atas vena .
 

Famili salviniaceae
Salvinia cucullata Roxb .
          Ia merupakan paku – pakis akuatik yang aneh kerana tidak memiliki akar . Ia
biasanya menempati bendang padi ,kolam , longkang atau tali air . Rizomnya berbulu ,
tidak berakar , panjang dan  terapung di atas permukaan air . Dari rizomnya itu keluar
tiga kelompok daun , dua kelompok menyerupai daun yang berwarna hijau sementara
kelompok yang ketiga terbenam di dalam  air membentuk segmen – segmen yang terdiri
daripada organ yang seperti akar .
 

Famili Dennstaedtiaceae
Oleandra pistillaris  (Sw. ) C. Chr .
          Paku – pakis ini amat mudah dikenali kerana daun – daunnya yang tumbuh
berjambang mengelilingi batang . Batangnya tumbuh tegak dan diselimuti oleh sisik
yang berwarna coklat dan bercabang – cabang . Setiap daun tidak bertangkai dengan tepi
daun berombak . Sporangiumnya terdapat di dalam sorus yang berbentuk barisan di kiri
kanan vena utama di permukaan bawah daun . Sorus tidak dilindungi oleh indusium .
 

Famili Polypodiaceae
Drymoglossum piloselloides ( Linn . ) Presl ( Duit – duit , sakat ribu – ribu , sisik naga )
          Paku – pakis epifit ini mudah dijumpai di atas pohon – pohon yang besar dan tua .
Batangnya mempunyai rizom yang halus menjalar dan dilitupi oleh sisik – sisik kecil
Sporangiumnya terkumpul dalam sorus yang mengelilingi hampir keseluruhan tepi daun
fertil . Sesetengah petani terutamanya di Melaka mempercayai air tumbukan daripada
paku- pakis ini apabila dicampurkan dengan buah kundur dapat membunuh dan
mengusir pianggang iaitu sejenis serangga yang merosakkan padi yang baru mula
berbuah .
 

Famili Azollaceae
Azolla pinnata R. Br.
Spesies paku – pakis ini amat aneh kerana bentuk dan ukurannya yang sangat kecil
berbanding dengan paku – pakis yang lain . Tumbuhan ini  mudah dijumpai di kolam air
dan bendang padi . Rizomnya halus , panjang 2 cm dan darinya keluar dua barisan
daun , dan akar yang mengarah ke dalam air . Ia biasanya dijumpai dengan banyaknya
dalam takungan air yang akan memyebabkan air berwarna kuning kehijauan . Kehadiran
spesies ini di sawah padi menguntungkan kerana ia hidup bersimbiosis dengan sejenis
rumpai air Anabaena yang dapat mengikat gas  nitrogen  .
 
Divisi Microphyllophyta

Famili Lycopodiaceae
Lycopodium phlegmaria L.
          Paku – pakis ini dijumpai di kawasan tanah rendah di dalam hutan tebal . Ia akan
bergantungan di celah – celah dahan yang besar , lembap dan kaya  dengan humus
Rizomnya menjalar di kulit kayu pohon – pohon lain yang berhumus terutamanya di
celah cabang . Daun – daunnya yang kecil berbentuk segitiga dengan bahagian yang rata
dan lebar melekat pada cabang pokok kayu .Ia hanya mempunyai satu vena sahaja yang
terletak di bahagian tengah . Sporangiumnya terkumpul di dalam strobilus di bahagian
hujung cabang dan terletak di celah daun fertil yang lebih kecil . Ia sering ditanam
sebagai tumbuhan perhiasan yang sangat menarik .
 
Famili Selaninellaceae
Selaninella wallichii ( Hk . & Gr . ) Spring
Paku – pakis ini tumbuh melata tetapi tegak . Ia banyak didapati di pinggir hutan
dan lantai hutan yang tidak terlalu redup . Paku – pakis herba ini kerap tumbuh
berkelompok membentuk koloni yang homogen .Percabangan yang terbentuk dikenali
sebagai jenis psedopinat . Sporangiumnya terkumpul pada bahagian hujung anak cabang
membentuk sorus yang dinamakan strobilus . Strobilus ini berbentuk tetragon .
 
Divisi Arthrophyta

Famili Equisetaceae
Equisetum debile Roxb .  ( Paku ekor kuda  )
          Paku – pakis herba ini hidup di dalam bermacam – macam habitat , khasnya di
kawasan berpasir di pinggir sungai , tasik atau lombong . Biasanya ia tumbuh tegak
dengan ketinggian kira – kira 1.5 m . Daunnya hanya merupakan sisik yang tidak
berwarna dan tumbuh berkarang di bahagian buku batang dan melekat di antara satu
dengan yang lain bagi membentuk saluran yang memanjang . Sejak dahulu lagi
tumbuhan ini telah digunakan untuk memcuci pinggan mangkuk atau barang – barang
porselin kerana terdapatnya silika di dalamnya .
 
Divisi Psilotophyta

Famili Psilotaceae
Psilotum complanatum Sw .
          Spesis ini mempunyai taburan pantaropika tetapi amat sukar untuk ditemui .Di
Semenanjung Malaysia ia hanya ditemui di Selangor , Perak dan Pahang sahaja mulai
dari kawasan tanah rendah hingga pada paras ketinggian 1000 m dari aras laut .
Psilotum complanatum khasnya adalah paku – pakis jenis epifit dan biasanya dijumpai
dalam kebun kelapa sawit yang tumbuh menjuntai pada pelepah daun .
 Kesimpulan
          Tumbuhan paku – pakis atau nama lainnya pteridofit merupakan tumbuhan yang
amt mudah dijumpai dan didapati tumbuh meliar di sekeliling kita . Namun demikian
habitat dan ekologi  tumbuhan ini amat bergantung kepada faktor alam sekitarnya seperti
cahaya , hujan , perubahan suhu dan tanaman yang turut hidup di sekitarnya .
 
          Hal ini sedemikian kerana  ada paku – pakis yang hidup di tempat tinggi , tanah
rendah , di dalam air mahupun menumpang pada pokok yang lain . Keadaan ini dapat
dilihat melalui contoh paku – pakis yang hidup pada habitatnya sendiri . Sebagai contoh
Cyathea contaminans yang hidup di kawasan tanah tinggi . Manakala Marsilea crenata
yang biasanya hidup di kawasan sawah padi . Ceratopteris thalictroides pula dijumpai di
kawasan tanah rendah yang mendiamai kawasan tali air . Paku – pakis epifit seperti
Drymoglossum piloselloides dijumpai di atas pokok besar . Paku – pakis akuatik seperti
Azollz pinnata merupakan paku – pakis yang sangat kecil .
 
          Didapati juga ada paku – pakis yang membiak melalui spora dan pembiakan
vegetatif  bagi mengekalkan spesiesnya . Penghasilan gametofit ada yang bersifat
apogamous dan aposporous . Keadaan ini bergantung kepada jenis paku – pakis tersebut
dan ini dapat dilihat melalui kitar hidup dan penyimpangannya .
 
          Paku – pakis yang hidup di sekitar kita ada yang boleh dimakan  . Malahan sejak
dahulu lagi nenek moyang kita telah menggunakannya sebagai bahan perubatan  ekoran
daripada pertumbuhannya yang seiring dengan kehidupan manusia seharian . Kini
manusia telah mengambil langkah intensif dengan menjadikannya sebagai tumbuhan
perhiasan misalnya Lycopodium , Asplenium dan Platycerium sebagai tanaman hiasan
eksotik .  Keadan ini bukan sahaja membantu mengekalkan tumbuhan paku – pakis ini
malahan dapat mengindahkan lagi suasana . Di Sarawak , pihak MARDI  ( Pontian )
telah membuka kawasan kebun sayu pucuk paku Athyrium esculentum . Keadaan ini
menunjukkan bahawa ia semakin dimajukan dan dapat  dijual kepada golongan
penduduk tempatan .
 
          Justeru itu dapat disimpulkan bahawa paku – pakis yang dianggap tumbuh meliar
mempunyai pelbagai kegunaan seperti tumbuhan yang lain . Melalui kajian ini juga kita
dapat memgenal pasti bagaimana cara pembiakan serta kitar hidup tumbuhan paku –
pakis ini mengikut habitat dan pengelasannya .
Bibliografi
Dr. C. G. G. J  Van Steenis . 1975 . Flora untuk sekolah di Indonesia . Pradnya
Paramiat. Jakarta .
Roger  Ground . 1974 . Ferns . Relham Books.Wallop . Hampshire .
Chua Hun Pin  ( Mardi . Sarawak ) . 1999 . Hobi : Koleksi tanaman unik . Agromedia .
Abdul Aziz Bidin . 1986 . Paku – pakis di sekeliling kita . Dewan Bahasa dan Pustaka .
Kementerian Pelajaran Malaysia .  Kuala Lumpur.
Audrey Piggott.  1972  . Heinemann Guide to Common Epiphytic Ferns of Malaysia and
Singapore

You might also like