You are on page 1of 4

Soalan: Bincangkan ciri-ciri antara zaman Paleolitik dengan zaman Neolitik.

Jawapan cadangan:

Perkembangan peradapan manusia dapat dibahagikan kepada dua tahap


iaitu zaman Batu dan zaman logam. Zaman Batu dapat dibahagikan kepada tiga
peringkat iaitu zaman batu lama (Paleolitik) yang bermula pada 500 000SM
hingga 10 000SM, zaman batu pertengahan yang bermula pada 10 000SM
hingga 7000SM dan zaman batu baru (Neolitik) yang bermula 7000SM hingga
3500SM. Manusia yang muncul pada zaman Paleolitik dikenali sebagai homo
sapiens yang ditemui di Pulau Jawa (Orang Jawa) dan di China utara (Orang
Peking). Manakala manusia muncul pada zaman Neolitik pula berlaku selepas
revolusi pertanian yang seterusnya membawa kepada perkembangan tamadun
awal di dunia seperti tamadun Mesir di lembah Nil.

Kegiatan ekonomi masyarakat Paleolitik awal ialah memburu binatang,


menangkap ikan dan mengumpul hasil hutan. Masyarakat pada zaman ini tidak
mempunyai pengetahuan menternak binatang dan bercucuk tanam. Kegiatan
ekonomi pada zaman Paleolitik akhir pula ialah masyarakat memburu binatang
dalam kumpulan dan hasil buruan akan dikongsi bersama. Hasil kegiatan
ekonomi pada zaman Paleolitik hanya dapat menampung keperluan semasa
sahaja. Berbanding dengan kegiatan ekonomi masyarakat pada zaman Neolitik,
mereka amat mementingkan perkembangan aktiviti pertanian dan
penternakan binatang. Contohnya aktiviti pertanian bermula di Asia Barat
sekitar 7000SM di Tepe Yahya, Jarmo, Jerico dan Hacilar. Antara tanaman yang
ditanam pada zaman ini seperti gandum, kacang dan barli ditanam di Asia
Barat, penanaman padi sawah dan menternak binatang dijalankan di timur laut
China dan sebagainya. Kegiatan pertanian dijalankan secara sistematik dan
lahir masyarakat yang bergantung kepada pertanian sebagai sumber makanan.
Masyarakat Neolitik juga menternak binatang seperti kambing dan biri-biri.

Selain itu, kehidupan sosial masyarakat pada zaman Paleolitik awal ialah
hidup secara nomad atau berpindah-randah. Mereka berlindung di dalam gua
dan di bawah ranting kayu yang ditutup dengan rumput. Tambahan lagi,
terdapat juga kumpulan manusia yang berlindung dalam lubang di bawah
tanah yang digali oleh mereka. Masyarakat pada zaman Paleolitik akhir pula
tinggal dalam kelompok kecil dan mempunyai struktur sosial yang teratur.
Masyarakat zaman ini tinggal di dalam gua. Contohnya petempatan pada
zaman Paleolitik ialah Bukit Jawa, Kota Tampan, Bukit Bunuh, Gua Niah dan
Tingkayu. Berbanding dengan kehidupan sosial masyarakat zaman Neolitik,
masyarakat Neolitik tinggal menetap di kampung-kampung dan membina
rumah kediaman. Perkampungan Neolitik didirikan berhampiran sumber air
yang diperlukan untuk pertanian dan penternakan. Rumah mereka didirikan
daripada kayu, batu dan tanah liat. Petempatan Neolitik terawal ditemui di
Jarmo dan Catal Huyuk. Contoh petempatan kekal dapat dilihat dalam
tamadun Mesopotamia di sungai Tigris dan Euphrates dan tamadun Mesir di
sungai Nil.

Manusia Paleolitik awal mempunyai kemahiran membuat pelbagai


peralatan daripada alat batu. Alat batu yang dibuat adalah kasar dari segi
pembuatannya dan digunakan sebagai senjata dan alat perhiasan. Alat batu
seperti alat repihan digunakan untuk meraut dan memotong. Contoh alat batu
yang digunakan dalam zaman ini ialah kapak genggam. Manusia pada zaman
Paleolitik akhir mempunyai kemahiran yang lebih tinggi dalam pembuatan alat-
alat batu. Terdapat juga alat-alat yang dibuat daripada tulang, tanduk dan
gading gajah. Jarum yang dibuat daripada tulang, mata kain,tempuling,
lembing, dan anak panah juga digunakan. Berbanding dengan peralatan pada
zaman Neolitik, perkembangan aktiviti pertanian menyebabkan berlaku
kemajuan dalam teknologi peralatan. Misalnya peralatan tenggala dicipta
sekitar 3000SM untuk membajak tanah pertanian. Penciptaan roda pula pada
zaman ini menyebabkan kereta kuda dan lembu digunakan untuk mengangkut
hasil pertanian.

Pengkhususan pekerjaan tidak berlaku pada zaman Paleolitik. Hal ini


disebabkan corak kehidupan manusia Paleolitik yang berpindah randah.
Keadaan ini menyebabkan kelompok manusia hanya terdiri daripada bilangan
yang kecil sahaja. Bertambah pula manusia zaman Paleolitik hanya
melaksanakan ekonomi bercorak sara diri sahaja. Hal ini menyebabkan
ekonomi tidak berkembang maju dan pengkhususan pekerjaan tidak wujud
pada zaman Paleolitik. Berbanding dengan pengkhususan pekerjaan
masyarakat zaman Neolitik, pengeluaran hasil pertanian yang berlebihan
menyebabkan berlaku pengkhususan dalam pekerjaan. Perkembangan ini
meyebabkan lahir golongan petani, artisan dan tukang-tukang mahir. Keadaan
ini melahirkan masyarakat yang mempunyai struktur sosial yang kompleks.

Ciri kesenian dapat dilihat pada zaman Paleolitik akhir. Pada zaman ini,
berlaku kemajuan dalam bidang kesenian seni ukiran, lukisan dan mural.
Lukisan dan mural yang dihasilkan terdiri daripada gambar-gambar binatang
seperti rusa, bison, dan gajah. Mereka pandai dan mahir melukis pergerakkan.
Pergerakkan anggota badan binatang ditonjolkan dengan melukis garis-garis
tambahan. Kesenian merupakan ilmu magis yang bertujuan menambahkan
hasil perburuan. Contohnya lukisan dua ekor lembu liar dilukis pada dinding
gua Niah. Berbanding dengan kesenian pada zaman Neolitik, lukisan pada
zaman Neolitik bercorak simbolisme. Kesenian yang bercorak simbolisme lebih
kepada tulisan yang bertujuan merekod hal-hal seperti hal pentadbiran,
keagamaan, ekonomi dan sebagainya. Contoh tulisan yang terdapat pada
zaman ini ialah tulisan cuneiform di Mesopotamia, Heiroglif di Mesir Purba,
Piktogram di India, Ideogram di China dan sebagainya. Kewujudan sistem
tulisan telah membantu dan mamudahkan kegiatan ekonomi yang
memerlukan rekod untuk urusan perniagaan.

Pada zaman Paleolitik awal, kemajuan dalam aspek kerohanian jelas


ketara daripada amalan ritual yang dijalankan semasa upacara pengebumian.
Penemuan barang pengebumian jelas menunjukkan wujud upacara
pengebumian dan kepercayaan tentang kehidupan selepas mati. Pada zaman
Paleolitik akhir, masyarakat percaya kepada kuasa-kuasa ghaib. Mereka
menjalankan pelbagai upacara ritual semasa mengebumikan mayat.
Berdanding dengan kerohanian masyarakat Neolitik, mereka percaya kepada
kuasa-kuasa luar biasa yang dianggap suci. Mereka turut mempercayai
semangat atau tuhan yang mengawal alam semesta. Oleh itu, mereka
melakukan pemujaan untuk mententeramkan semangat unsur-unsur alam
untuk mengelakkan sebarang bencana alam yang memusnahkan hasil
pertanian. Contohnya upacara ritual dan amalan korban dijalankan bagi
meningkatkan kesuburan tanaman dan tenakan.

Pada zaman Paleolitik, terdapat institusi organisasi atau politik yang


ringkas. Tiada institusi politik yang kukuh dalam zaman ini kerana budaya
hidup masyarakat yang berpindah-randah. Berbanding dengan institusi-
institusi politik zaman Neolitik, perkembangan pesat dalam bidang pertanian
menyebabkan kerajaan yang berdaulat dan mempunyai autoriti untuk
memerintah perlu ditubuhkan untuk melakukan kawalan sosial selaras dengan
perkembangan baru yang berlaku dalam masyarakat. Kewujudan kerajaan dan
sistem pemerintahan yang teratur dapat menyelesaikan hak-hak masyarakat
yang semakin kompleks, menjamin pengagihan kekayaan yang seimbang,
mewujudkan kawalan sosial dan mempertahankan wilayah daripada ancaman
musuh.
Kesimpulannya, jelaslah bahawa zaman Neolitik memperlihatkan
perkembangan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, dan
keagamaan. Kemajuan dalam bidang pertanian meletakkan asas kepada
peningkatan dalam petempatan atau tamadun manusia. Perkembangan ini
melahirkan masyarakat yang stabil, tinggal menetap dan menikmati kehidupan
yang makmur berbanding dengan zaman Paleolitik. Keadaan ini meletakkan
asas bagi kemunculan tamadun-tamadun awal di lembah sungai seperti
tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir, tamadun Hwang Ho, dan tamadun
Indus.

You might also like