You are on page 1of 2

KEBAHAGIAAN KELUARGA

Millenium ketiga telah tiba dengan limpahan-limpahan pemikiran futuristik dan idea-idea keramat yang
menggemparkan. Dalam menelusuri era transisi modenisma ini, negara kita begitu gah mendominasi
kemansangan dalam pelbagai bidang, khususnya politik dan ekonomi. Kini, setelah lebih setengan abad
Malaysia bebas berdaulat dari cengkaman penjajah, negara kita dilihat hampir mampu berdiri sama tinggi,
duduk sama rendah dengan gergasi-gergasi Barat di seantero dunia. Malah, Syeikh Muzaphar yang merupakan
angkasawan pertama Malaysia yang menjejak langkah ke stesen angkasa lepas telah berjaya mengharumkan
nama Malaysia di persada antarabangsa dan menobatkan imej bumi bertuah ini di mata dunia. Namun, sayang
seribu kali sayang negara kita kini dikejutkan dengan berita-berita keruntuhan rumah tangga, penderaan kanak-
kanak oleh ibu bapa sendiri dan sebagainya. Hal ini telah jelas memaparkan negara kita sedang mengalami
kegawatan social yang membimbangkan. Sememangnya, institusi keluarga merupakan nucleus masyarakat
yang menyokong keutuhan iktisad sesebuah negara. Keluargalah yang berperanan membentuk dan
menentukan ketinggian akal budi masyarakat yang dizahirkan pada zaman globalisasi ini. Sebagaimana yang
kita tahu, sesebuah keluarga yang bahagia mempunyai hubungan antara ahli keluarga yang kukuh. Pokok
persoalannya, apakah ciri-ciri asas yang perlu disediakan untuk menjamin kebahagiaan sesebuah negara?
Tepuk dada, tanyalah selera.

Dalam menghalusi isu yang diutarakan, kebahagiaan sesebuah institusi keluarga datang daripada
hubungan baik antara anggota keluarga. Rumah bagaikan pohon rendang tempat anak berteduh. Ibu bapa
umpama payung besar yang melindungi anak daripada segala kejahilan. Jika sesebuah keluarga didirikan atas
platform kasih sayang yang utuh, sudah tentulah ahli keluarga tersebut dapat hidup dengan sejahtera dan
harmoni bersama-sama. Ibu bapa haruslah selalu meluangkan masa dengan anak-anak dan mengambil berat
tentang akademik dan kokurikulum anak-anak. Dengan ini, anak-anak sendiri akan berasa dirinya penting dan
pengaruh-pengaruh negatif akan dapat dielakkan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh memberi sokongan dalam
bentuk pujian atau hadiah kepada anak-anak jika mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Hal ini sudah tentulah akan menunjukkan kasih sayang seseorang ibu bapa terhadap anaknya. Selain itu, anak-
anak juga harus menjalankan tanggungjawab mereka sebagai anggota keluarga dengan sentiasa mengambil
berat tetang kesihatan ibu bapa. Pada masa lapang, anak sayugia menolong ibu bapa membuat kerja rumah
untuk meringankan beban mereka. Dengan ini, ibu bapa tidak akan berasa tertekan apabila pulang ke rumah
selepas penat lelah bekerja seharian. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan suasana harmoni dalam rumah.
Pendek kata, hubungan baik berbentuk kerjasama antara ahli keluarga dapat mengelakkan keruntuhan rumah
tangga berlaku.

Sejajar dengan perkara yang diketengahkan, ibu bapa sayugia memainkan peranan dominan dalam
mengekalkan hubungan baik antara mereka untukk dijadikan teladan anak-anak. Ibu bapa harus menjadi role
model yang berakhlak mulia kerana segala perlakuan mereka akan menjadi ikutan anak-anak seperti pepatah
kata malayu yang berbunyi ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Dalam era modenisasi yang penuh dengan
pancaroba ini ibu bapa kadang kala terlupa akan tanggungjawab mereka sebagai cerucuk keluarga dan sibuk
mengejar kemewahan. Akibatnya, anak-anak terabai tidak dijaga. Lama kelamaan, hubungan antara ahli
keluarga akan menjadi semakin renggang dan jurang juga akan bertambah dalam. Rentetan itu, ibu bapa wajar
meletakkan kepentingan anak-anak pada tempat pertama dalam sanubari mereka. Ibu bapa boleh menjadikan
contoh yang baik dengan tidak bergaduh sesama diri sebaliknnya berbincang apa-apa masalah dengan tenang.
Pada masa cuti, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak bercuti ke tempat pelancongan yang menarik. Ibu
bapa tidak patut bertengkar di hadapan anak-anak kerana hal ini akan meninggalkan tompok hitam dalam
ingatan anak-anak yang masih kurang matang dan berkemungkinan besar menyebabkan anak berasa kecewa
dan terlibat dalam jenayah. Tegasnya, ibu bapa harus menjalin hubungan baik antara mereka untuk dijadikan
teladan anak dan personaliti anak akan menentukan kualiti dan kualiti akan menjanjikan kebahagiaan sesebuah
keluarga.

Jika ditinjau dari perspektif yang lain, komunikasi antara anggota keluarga juga merupakan resipi utama
dalam ramuan kebahagiaan keluarga. Apabila anak gagal dalam peperiksaan, ibu bapa tidak harus
mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan untuk memarahi anak. Sebaliknya, pendekatan secara lemah
lembut tanpa api patut dipraktikkan. Kegagalan sekali bukanlah kegagalan selama-lamanya. Ibu bapa harus
mendorong anak supaya tidak berputus asa dan terus berusaha bersungguh-sungguh menaiki tangga kejayaan.
Dengan ini, anak-anak akan berasa terharu dan akan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk tidak
mengecewakan hasrat dan harapan ibu bapa. Anak-anak juga akan rela berkongsi masalah yang dihadapi
dengan ibu bapa dan mendapatkan nasihat tentang cara penyelesaian masalah yang terbaik. Di samping itu,
kakak atau abang patutlah selalu membantu adik mereka yang berhadapan dengan masalah dalam pelajaran.
Jelaslah bahawa komunikasi antara anggota keluarga dapat menjamn sesebuah keluarga berdiri kukuh pada
zaman ini yang penuh dengan onak duri.

Seiring dengan perkara yang diutarakan, didikan agama dan nilai-nilai murni juga memainkan peranan
penting dalam menjana keharmonian sesebuah keluarga selain hubungan baik. Sejarah telah membuktikan
keruntuhan berlaku sama ada pada diri sendiri ataupun negara apabila akhlak dan moral tidak menjadi kayu
pengukurnya. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya akal budi dalam menerajui kesejahteraan. Ibu bapa patut
menyalurkan didikan agama dan nilai-nilai murni kepada anak sejak kecil lagi seperti pepatah Melayu yang
berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak yang mempunyai asas agama yang utuh dan
personality menjulang umpama dilengkapi dengan senjata ampuh untuk membentangi segala anasir negatif
yang kian meningkat. Dengan ini, anak-anak tidak akan jatuh ke kancah kejahilan dan kedurjanaan yang
akhirnya akan meruntuhkan sesebuah keluarga, bangsa dan negara. Tegasnya, didikan agama dan nilai-nilai
murni merupakan wahana yang afdal dalam mengekalkan kebahagiaan keluarga.

Sebagai intiha, hubungan dan komunikasi yang baik antara ahli keluarga, teladan ibu bapa dan didikan
agama serta nilai-nilai murni merupakan asas kebahagiaan dan keharmoniaan sesebuah keluarga. Walaupun
ucapan lantang mantan Perdana Menteri kita, Tun Abdullah Ahmad Badawi ‘’kita tidak mahu negara kita
memiliki infrastruktur berkelas pertama tetapi mentality rakyat berkelas ketiga’’ dianggap klise, namun hasrat
di sebalik saranan beliau wajar kita sahuti. Kerjasama bersinergi semua pihak tidak kiralah golongan marhain
ataupun golongan elit amat diperlukan untuk menzahirkan keluarga bahagia dengan generasi muda yang
berminda kelas pertama. Dengan ini, negara kita dapat menghayun langkah sederap, setempo dengan slogan
Malaysia Boleh menuju ke era wawasan 2020 yang dirintis oleh mantan Perdana Menteri kita.

You might also like