You are on page 1of 9

Tajuk: 1Malaysia Membina Negara Bangsa

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat yang


berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya dengan masyarakatnya yang
hidup berdampingan dan bercampur gaul antara satu sama lain yang
dahulunya terbatas sebelum merdeka. Pada 31 Ogos 2009 ini, rakyat
Malaysia akan menyambut kemerdekaan yang ke-52 tahun yang
bertemakan “1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.
Tema ini membawa erti yang besar kerana melalui tema ini kerajaan cuba
mengukuhkan lagi perpaduan dikalangan rakyat Malaysia ke arah negara
bangsa dan memperbaiki sistem penyampaian negara dengan
mendahulukan rakyat dan pencapaian diutamakan.

Justeru, apabila membicarakan 1Malaysia ke arah membina negara


bangsa, perkara yang perlu dijelaskan dahulu ialah konsep 1Malaysia. 1
Malaysia diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd  Najib Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. 1Malaysia adalah

“satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang


berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya
menjadi amalan setiap rakyat Malaysia”.

Matlamatnya adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan


perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan
Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai
bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Namun yang
lebih penting 1 Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang
mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang
terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat
didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

Untuk memperjelaskan lagi Gagasan 1Malaysia Y.A.B. Dato’ Sri


Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan;

“Kita berdiri, kita  berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One
People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak
semua kumpulan etnik dalam negara kita”

Daripada kata-kata beliau itu, ia bukan bererti kita mengetepikan dasar


afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu
dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada
golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan
daripada kerajaan. Gagasan 1Malaysia ini menuntut rakyat daripada
pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-
masing.  Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok
kepentingan etnik dan kaum.

Justeru, bangsa Melayu, Cina atau India sebagai contoh, diminta


tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja.  Mereka juga
diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-
perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja.  Demikianlah juga
dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang
sama.

Gagasan 1Malaysia ini juga memfokus kepada tanggungjawab


kepimpinan negara yang akan melayani dan memenuhi segala keperluan
dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia. Tanggungjawab tersebut telah
dilaksanakan oleh kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi.  Namun,
perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan
negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum
masing-masing.Tetapi melalui Gagasan 1Malaysia, YAB Perdana Menteri
mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-
masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain. Inilah
yang dikatakan perbezaan dari segi cara penyampaian dan tindakan.
Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib
Tun Abdul Razak dalam Gagasan 1Malaysia. Nilai-nilai murni ini diharap
dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang
menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara.  Lapan nilai-nilai
tersebut adalah:

1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

Nilai-nilai tersebut seharusnya menjadi amalan rakyat Malaysia bagi


menjayakan gagasan 1Malaysia ini. Gagasan ini hanya akan berjaya
mencapai matlamatnya sekiranya mendapat kerjasama semua pihak
dalam menerima dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Setelah panjang lebar menerangkan tentang konsep atau Gagasan


1Malaysia, seterusnya dijelaskan pula konsep negara bangsa yang ingin
diwujudkan di Malaysia. Antara tokoh yang selalu membicarakan dan
membahaskan tentang negara bangsa ialah Abdul Rahman Embong.
Beliau mentakrifkan negara bangsa dalam konteks Malaysia sebagai;

“bangsa yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia yang terbentuk


dalam sejarah mempunyai perasaan sebangsa dengan nama kolektif
(bangsa Malaysia) yang sama serta berkongsi wilayah, ekonomi, budaya,
psikologi dan nasib masa depan bersama dengan rupa bangsa (identiti)
yang sepunya”.

Sebenarnya, persoalan tentang pembinaan negara bangsa ini telah


menarik perhatian pelbagai pihak untuk membicarakannya selama
beberapa tahun ini khususnya selepas 1990-an. Walaupun sebelum itu,
ada perbincangan mengenainya, namun perdebatan yang lebih luas
tercetus selepas mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir
Mohamad mengemukakan isu pembinaan bangsa Malaysia dalam ucapan
beliau pada Majlis Perniagaan Malaysia pada 28 Februari 1991. Ucapan
beliau itu kemudian dikenali sebagai Wawasan 2020 dengan menegaskan
cabaran pertama paling asas dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah
negara maju mengikut acuan sendiri pada tahun 2020 ialah;

“membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung


masa hadapan yang diperkongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera,
terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati
kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan
keadilan, dan membentuk sebuah ‘Bangsa Malaysia’ dengan rasa taat
setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut”.

Berdasarkan pernyataan di atas, Gagasan 1Malaysia ke arah


membina negara bangsa ini bukan satu konsep yang baru tetapi
merupakan kesinambungan dan pelengkap terhadap dasar-dasar yang
wujud sebelum itu dan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang
sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan,
ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih baik bagi rakyat
dan negara Malaysia.

Pelbagai agenda dan dasar telah digubal untuk memperkukuhkan


perpaduan di Malaysia, walaupun negara kita sering dijadikan contoh
sebagai sebuah negara sedang maju yang berjaya menguruskan
hubungan etnik dan agama kerana kestabilan politik dan keamanan sosial,
yang membolehkan pembangunan ekonomi berjalan dengan pesat.
Namun, di sebalik kejayaan dalam pembangunan ekonomi dan hubungan
antara kaum dan agama, terdapat tanda-tanda yang kita masih
menghadapi masalah dalam membina persefahaman dan permuafakatan
antara kaum dan agama tersebut. Bahkan dalam beberapa segi jurang
pemisah antara kaum dan agama mula menjarak dalam beberapa tahun
kebelakangan ini. Justeru ada yang berpendapat bahawa perpaduan yang
wujud masih bersifat lahiriah atau kulit-kulitan berasaskan toleransi,
bukannya perpaduan yang mendalam dan hakiki berasaskan prinsip saling
menghormati dan menghargai kepelbagaian. Sentimen perkauman yang
menebal dan fahaman agama yang sempit sering menjejaskan hubungan
penganut pelbagai agama masih wujud dan berterusan walaupun ia sering
terpendam contohnya peristiwa Kampung Medan pada Mac 2001 dan
peristiwa Moorthy@Muhammad Abdullah (bekas pendaki Gunung Everest)
pada Disember 2005. Peristiwa seperti ini mencetuskan ketegangan di
peringkat arus bawah serta di kalangan kaum minoriti yang merasa hak
mereka tidak terbela malah diketepikan. Perkembangan peristiwa-peristiwa
sebegini mengingatkan para pemimpin dan rakyat Malaysia bahawa
perpaduan antara kaum dan agama tidak boleh diambil mudah.

Walau bagaimanapun, di sebalik peristiwa-peristiwa tersebut,


terdapat perkembangan yang positif. Sekalipun muncul ketegangan ekoran
peristiwa tertentu, secara umumnya wujud pandangan dan hasrat untuk
berbincang dan mencari penyelesaian secara objektif dan rasional di
kalangan para pemimpin dan pelbagai lapisan masyarakat. Akhirnya
ketegangan yang muncul dapat dikendurkan. Begitu juga dengan
1Malaysia, satu gagasan yang cuba diterapkan ke dalam sanubari rakyat
dan diamalkan oleh lapisan masyarakat agar wujudnya perpaduan dalam
kepelbagaian, menghargai dan meraikan kepelbagaian.

Gagasan 1Malaysia ke arah membina negara bangsa adalah satu


idea yang menarik namun untuk dilaksanakan adalah tidak mustahil tetapi
begitu idealistik. Mengapa dikatakan idealistik kerana dari segi teori
pelaksanaannya kelihatan mudah namun dari segi praktikalnya ia
memerlukan komitmen yang begitu tinggi dari semua peringkat kepimpinan
dan semua lapisan masyarakat. Bukan berfikiran negatif, tetapi kita harus
mengambilnya sebagai cabaran kepada matlamat gagasan 1Malaysia
berdasarkan pengalaman Malaysia membangunkan negara dan bangsa
dengan mengukur komitmen segelintir pihak terutamanya agensi
pelaksana atau individu pelaksana yang tidak faham dan endah tidak
endah terhadap sebarang dasar atau gagasan negara kearah bangsa
Malaysia yang lebih bersatu padu dan maju.

Harus diambil perhatian juga ialah globalisasi. Situasi yang


merupakan cabaran hebat pada masa kini untuk merealisasikan 1Malaysia
ke arah pembinaan negara bangsa. Beberapa tokoh yang menganggap
bahawa negara bangsa itu sudah tidak relevan ialah Kenichi Ohmae dan
Francis Fukuyama. Bagi mereka sempadan negara bangsa tidak lagi
bererti kerana dengan pengaliran maklumat, jarak yang jauh tidak menjadi
halangan bagi merebut pasaran, permintaan boleh tercipta di tempat yang
paling jauh asalkan tempat itu terdedah dengan pengaliran maklumat. Dari
satu sudut globalisasi dalam batas tertentu telah melemahkan negara
bangsa tetapi tidak mungkin dapat menggantikannya. Bagi Paul Kennedy
dan Naisbitt pula negara bangsa masih lagi relevan kerana Kesatuan
Soviet yang telah runtuh telah menjadi negara-negara kecil mengikut
sempadan bangsa yang mendiami wilayah berkenaan, maka tidak bererti
bahawa negara bangsa sebagai suatu yang lapuk. Malah sebaliknya
proses itu diimbangi oleh pembentukan semula negara bangsa yang
menunjukkan bahawa sentimen bangsa mempunyai gerak kuasa politik
dan budaya yang cukup kuat dalam menentukan arah dan perkembangan
sejarah zaman ini di wilayah bekas blok Soviet. Kenyataan di atas
menunjukkan pentingnya pembinaan negara bangsa dan cabaran
globalisasi terhadap Gagasan 1Malaysia ke arah membina negara bangsa
yang menampakkan kita sebagai peserta yang sama-sama bersaing atau
kita sebagai mangsanya.

Cabaran seterusnya ialah struktur politik Malaysia itu sendiri, parti-


parti politik di Malaysia berlandaskan kaum, manakala parti-parti yang
berlandaskan ideologi pun masih tidak dapat melepaskan diri daripada
dipengaruhi oleh sifat dan tuntutan kaum. Struktur politik sedemikian dalam
batas tertentu boleh menjadi wadah bagi menangani isu kaum tetapi pada
masa yang sama menjadi halangan bagi memupuk perpaduan kaum dan
pembinaan negara bangsa. Hal ini kerana struktur politik tersebut
menjadikan kepentingan kaum menjadi landasan perjuangan parti dengan
demikian ia mendorong ahli parti, pengikut dan anggota masyarakat dan
negara berfikir dan bertindak mengikut perspektif kaum bukannya
perspektif nasional sebagai bangsa Malaysia.

Selain itu, hubungan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri juga harus
diambil perhatian kerana kadang-kadang hubungan menjadi tegang
apabila berlaku perubahan politik disesetangah Negeri, di mana parti
pemerintahnya mungkin tidak sama dengan Kerajaan Pusat. Apabila
hubungan ii tidak diuruskan dengan baik, rasa terpinggir dan semangat
kedaerahan akan menular denga lebih luas dan ini mempengaruhi usaha
memupuk integrasi nasional dan pembinaan negara bangsa. Justeru
hubungan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri haruslah berlandaskan
kepentingan nasional dan rakyat dan bukan dipengaruhi oleh kepentingan
politik sepihak.

Sesuatu perkara yang baru walaupun ke arah kebaikan memang


sukar hendak dilaksanakan dan diterima, namun cara yang tepat untuk
menjelaskan dan menanganinya diperlukan bagi membolehkan semua
peringkat kepimpinan dan semua lapisan masyarakat memahami apa yang
handak disampaikan dan dilaksanakan. Cabaran-cabaran yang
dibincangkan di atas harus ditangani dahulu dengan bijak oleh para
pemimpin agar tiada lompang dalam pelaksanaan Gagasan 1Malaysia ke
arah pembinaan negara bangsa.

Dapat dirumuskan Gagasan 1Malaysia akan membawa aspirasi


untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia
dapat menjalin perpaduan yang lebih erat  sebagaimana kehendak  prinsip
Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat
perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling
mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan
bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.

Gagasan ini juga mahukan semua kaum perlu menganggap bahawa


mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara
bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau
kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati  pembangunan dan
pembelaan daripada kerajaan.

Nilai-nilai murni yang cuba diterapkan ini diharap dapat menyatu padukan
rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu
matlamat iaitu untuk negara. Melalui Gagasan 1Malaysia ini tidak akan
wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana
semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang
mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti


Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang
membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja
maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan
kepercayaan dari pelbagai negara.  Keupayaan membina negara bangsa
bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan
kesetiaan.

Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip


utama 1Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of
belonging) bagi menghadapi cabaran dan menjayakan gagasan ini.
 
Rujukan

Abdul Rahman Embong. 2006. Negara-Bangsa: proses dan perbahasan.


Bangi: UKM

Atas Talian

Populasi Penduduk Malaysia


http://www.statistics.gov.my/eng/. Tarikh Akses: 30 Ogos 2009.

You might also like