You are on page 1of 5

Bencana Alam di Malaysia

Bencana alam datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ada sesetengah bencana ini boleh
dijangkakan manakala sebahagian lainnya tidak. Bencana alam telah berlaku di muka bumi ini
sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Namun, kejadian ini akan hanya dikenali sebagai bencana
hanya apabila ia melibatkan kehilangan nyawa manusia. Walaupun bencana yang datang
meninggalkan kesan yang menggerunkan namun amat penting dan menarik bagi kita
mengetahui dan mempelajarinya.

Bencana alam sebahagian besarnya berlaku akibat dari proses semulajadi alam. Namun, dalam
keadaan tertentu, bencana alam juga boleh berlaku akibat dari campur tangan manusia. Dalam
kes-kes yang lainnya, kesan-kesan dari bencana alam meningkat intensitinya akibat tingkah-laku
manusia di dalam alam ini.

Di Malaysia bencana alam jarang berlaku. Walaupun begitu, antara bentuk-bentuk bencana yang
kerap direkodkan di negara ini adalah banjir, banjir kilat dan tanah runtuh. Sepanjang sepuluh
tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa peristiwa bencana alam yang mendapat liputan
meluas seperti Tragedi Highland Tower (1993), Tragedi Pos Dipang (1996), Tragedi Ribut Greg di
Sabah (1996), kejadian tanah runtuh di Gombak (2004) dan banyak lagi. Manakala, tragedi
hempasan ombak besar Tsunami pada 26 Disember 2004 yang lalu merupakan yang pertama
kali berlaku dan tidak mungkin kita semua lupakan.
Pengurusan Bencana Alam dan Kesannya
Kepada Pembangunan Sosial
Masyarakat tidak sepatutnya terlalu alpa dengan keamanan dan kestabilan negara. Bencana
tsunami yang melanda kawasan Lautan Hindi pada 26 Disember 2004 telah memberi pelbagai
pengajaran dan pengalaman pahit kepada negara-negara yang terlibat. Seluruh dunia amat
terkejut dengan kesan ombak maut ini yang bukan sahaja telah mengakibatkan banyak kematian
tetapi juga memusnahkan bandar, pekan dan kampung serta mempunyai implikasi sosial yang
begitu dahsyat terhadap mangsa, keluarga, masyarakat dan negara. Dilaporkan lebih 250,000
orang telah terkorban, ribuan lagi masih hilang dan ramai yang cedera serta tersentak dengan
kepiluan dan kesedihan. Dianggarkan lebih lima juta orang telah kehilangan tempat tinggal dan
rumah kediaman di Indodonesia, Sri Lanka, India, Thailand, Malaysia, Filipina dan negara-negara
kecil di Lautan Hindi. Kesan daripadanya ialah kelaparan dan penyakit berjangkit telah mula
menular di kawasan-kawasan yang dilanda malapetaka tersebut.

Satu pengajaran yang kita semua boleh pelajari adalah persiapan serta cara terbaik untuk
menyediakan diri sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana. Apa yang kita dapat lihat ialah
semasa ombak tsunami mengganas, banyak negara tidak menjangka dan jelas tidak bersedia
menghadapi bencana tersebut. Hal ini telah mengakibatkan banyak nyawa terkorban dan
berbilion harta benda musnah sama sekali. Kehilangan nyawa yang begitu ramai dan
kemusnahan harta benda yang begitu banyak dalam sejarah akibat bencana sebenarnya boleh
dielakkan sekiranya kita lebih bersedia menghadapi kejadian ini dengan efisyen dan efektif
bukan secara piece-meal dan ad-hoc semata-mata.
Malaysia adalah antara 11 buah negara yang turut terlibat dengan bencana tsunami pada kadar
kematian lebih kurang 68 orang dan 40 orang lagi masih dilaporkan hilang. Kita kini sedang
menghadapi cabaran baru untuk menangani kesan terhadap mangsa, keluarga dan komuniti
yang terlibat dari segi mental, fizikal, psikologikal, sosial dan ekonomi.
Kejadian banjir besar yang berlaku di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Kelantan,
Terengganu, Sabah dan Sarawak sejak Disember 2006 hingga Januari 2007 yang lalu telah juga
melibatkan kemusnahan yang teruk. Infrastruktur, harta benda, ternakan dan tanaman
pertanian mengalami pelbagai jenis kerosakan yang kekal. Tidak dapat disangkal lagi, bencana
yang dialami memberi kesan yang buruk terhadap masyarakat dan menjejaskan pembangunan
sosial negara.

Di antara cabaran hebat yang perlu dihadapi untuk menangani bencana alam adalah amaran
awal, persediaan, usaha menyelamat, pemulihan dan pembinaan semula. Usaha mengurangkan
(mitigating efforts) perlu diberi tumpuan agar kesan langsung, jangka sederhana dan jangka
panjang bencana dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum. Pengurusan bencana secara
sistematik dapat membantu agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan
merencanakan persediaan mereka secara profesional. Di negara-negara Barat, terdapat pelbagai
jenis agensi yang aktif menawarkan program pencegahan dan panduan bagi menghadapi
bencana alam yang tidak sahaja berkisar tentang banjir malah tanah runtuh, gempa bumi,
kebakaran dan alam sekitar.

Di Malaysia, kita harus melihat pengurusan bencana sebagai satu bentuk disiplin yang wajar
diberi perhatian. Pada peringkat awal, maklumat dan panduan boleh disebarkan seluas-luasnya
kepada orang ramai tentang cara terbaik untuk bertindak apabila menghadapi bencana alam.
Kempen ini boleh dilaksanakan melalui sekolah dan media massa secara berterusan dari semasa
ke semasa. Seminar, bengkel dan forum dapat dirancang bagi membincangkan pengurusan krisis
bencana alam dari segi usaha bantuan, menyelamat, pemulihan dan pembinaan semula (relief
efforts, rescue, recovery, reconstruction and rehabilitation). Di samping itu, diketengahkan juga
kesan-kesan sosial seperti mengurangkan kemusnahan dan kadar kematian (mortality) serta
penyakit (morbidity) akibat bencana alam yang berlaku ini.

Sistem pengurusan bencana yang teratur merupakan teras kepada pemulihan emosi dan jiwa
mangsa-mangsanya. Usaha mengumpul dana bantuan yang sering dilakukan sekarang perlu
dipusatkan dan tidak perlu terlalu banyak karenah birokrasi apabila mangsa-mangsa yang
terlibat memohon untuk mendapatkannya. Kesan terlalu banyak sekatan dan kesukaran
mendapatkan bantuan daripada tabung seperti ini telah menggerakkan pihak swasta khususnya
badan penyiaran swasta dan media cetak untuk mengadakan tabung bantuan mereka sendiri
yang sentiasa mendapat sambutan berbanding yang dianjurkan oleh pihak kerajaan kerana
maklumat yang cepat dan kemudahcapaian kepada tabung berkenaan.

Bagi menggerakkan peranan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan swasta bersama-
sama berganding bahu memperkasa sistem pengurusan bencana alam di Malaysia, persidangan
peringkat kebangsaan untuk menguruskan bencana alam ini dapat membantu mewujudkan
jaringan pelbagai hala supaya setiap pihak akan lebih bersedia menghadapi cabaran pada masa
hadapan. Maklumat daripada persidangan ini boleh dibukukan dalam bentuk prosiding yang
lengkap dan diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
Yayasan Kebajikan Negara dan Majlis Bencana Alam Negara bagi tindakan susulan.
Haluan Malaysia sedia bersama-sama dengan pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan
kerajaan dan orang ramai membantu meringankan beban mangsa-mangsa bencana supaya
pembangunan masyarakat tidak terjejas di samping menyumbang kepada pengurusan bencana
alam yang profesional di Malaysia.

Bencana
Alam

You might also like