You are on page 1of 14

POSTER DAN REKA BENTUK GRAFIK

1. Pengenalan

Poster merupakan suatu penampilan seni komunikasi tampak, berfungsi


menyampaikan mesej dalam bentuk imej, teks yang mudah, ringkas dan jelas.
Gabungan antara teks, ilustrasi yang mudah, jelas dan mudah difahami adalah
pengenalan pada ciri-ciri poster. Selain itu poster juga dimaksudkan sebagai pelekat
dengan fungsi yang sama untuk menyebarkan maklumat, pengumuman dalam bentuk
pengiklanan, kempen dan fungsi-fungsi tertentu untuk berkomunikasi.

Penghasilan poster merupakan sebahagian karya seni tampak yang penuh dengan
nilai estetik apabila gayaannya ditampilkan dengan fungsi yang menonjolkan elemen
tipografi, imej dan warna. Dengan gabungan elemen tadi telah mengangkat poster
menjadi karya seni tampak sekaligus sebagai saluran melontarkan mesej.
Penampilannya mudah difahami, dibaca dan dihayati menjadi suatu disiplin seni yang
sesuai hingga kini. Di samping menjadi karya seni, seseorang artis dapat
mengeksploralisasikan poster melalui bahan dan teknik melalui pengubahsuaian
kepada satu dimensi baru.

Apabila poster dikaitkan dengan komunikasi, ianya dikategorikan sebagai saluran


pengantara antara pengantar (pereka grafik) kepada penerima. Manakala kedudukan
poster itu adalah sebagai media. Bagi menjelaskan poster sebagai media komunikasi,
diagram di bawah dapat menggambarkannya seperti berikut:

Pengantar
(Pereka Grafik) Media (Poster) Penerima
Menurut Sharifah Alwiah AlSagoff (1984:28);
“…..menjelaskan media boleh diterima sebagai alat atau perkakas untuk
menyampaikan maklumat di antara manusia. Media itu memproses atau menyusun
kembali maklumat pandang dan dengar yang diwujudkan melalui cara grafik,
fotografik, eletronik ataupun cara mekanik.”

Makna poster boleh diakui sebagai media dan boleh merupakan apa sahaja bentuk
grafik, fotografi, eletronik ataupun mekanikal seperti gambar dan sebagainya.

2. Sejarah dan Latar Belakang Poster

Sempena Pameran Poster: Seni dan Grafik di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur
pada Jun 1997, menurut rencana Utusan Malaysia, perkembangan poster sebagai
iklan, hiburan bernilai kreatif dan artistik di Malaysia mulai muncul sejak awal Perang
Dunia Kedua terutama sesudah kemasukan Jepun. Poster menjadi alat propaganda
oleh Jepun untuk menyelamatkan Asia daripada penjajahan Barat. Apabila negara
mencapai kemerdekaan, muncul era baru dalam dunia poster dengan bantuan imej-
imej berkesan daripada bantuan fotografi, tipografi bersama imej dan warna yang diolah
secara estetik melalui seni reka bentuk grafik.

Jika ditinjau dalam sejarah yang lebih awal, sekitar tahun 1940-an bermula dengan
keperluan cetakan yang menjadi proses komersial. Poster dikaitkan dengan keperluan
pengeluaran barangan atau kehendak pengguna terutama sewaktu Perang Dunia
Pertama. Dunia poster berganding dalam dunia pengiklanan yang membuka peluang
kepada yang berbakat untuk mencipta muka taip atau ‘setting style’, reka letak dan
bahan-bahan bercetak yang lain.

Sekolah seni grafik didirikan pada masa perang. Seniman Hans Hartung, Frank
Klein dan Jackson Pollock membawa masuk pengaruh seni figuratif ke dalam poster.
Manakala Bernard Buffelt bersama aliran Pop Art telah membawa reka bentuk grafik
dengan unsur imageri, warna bersama sudut pandangan yang berpengaruh dalam
kehidupan. Mario Amaya pula mengeksploitasikan unsur psikologi, sosiologi,
methologikal sebagai pengaruh dari bahan baru seperti air-brush, photo-montage telah
membawa suasana baru dalam reka bentuk poster.

Sekitar tahun 1940-50, aliran Romantisme muncul bersama ilustrasi dari Perancis.
Tokoh yang mendokong aliran ini antaranya Jean Picart-Le-Doux bersama Eric
Ravilious telah menghasilkan ilustrasi dalam gayaan Romantisme. Artis dari Itali, Piero
Fornasetti mencipta poster beraliran Surealisme dengan dekorasi grafik dalam pelbagai
media. Rowland Emmett seorang kartunis Amerika membawa bersamanya karikatur
Saul Steinberg.

Lewat tahun 1960-an, bentuk-bentuk grafik dalam poster dipermudahkan.


Bersamanya lahir ramai pereka grafik profesional yang menguasai dunia pengiklanan.
Ashley Harinden dengan gaya mudah dan sederhana, menampilkan poster yang
ringkas dan berterus-terang yang disuntik bersama ideologi moden. Pada tahun 1993,
Alan Fletcher, Colin Forbers dan Bob Gill telah menubuhkan Consortium Graphic
Design: Visual Comparisons yang mendedahkan idea kepada pereka bentuk grafik
untuk diketengahkan kepada klien, satu pilihan terbaik dalam poster pengiklanan dan
permasalahan komunikasi. Mereka mencipta idea baru melalui karektor tipografi
kepada syarikat-syarikat seperti Pivelli dan gergasi-gergasi pengiklanan yang tumbuh
bagaikan cendawan.

3. Poster tidak Berkesan Tanpa Bantuan Reka Bentuk Grafik

Poster yang berkesan seharusnya memperlihatkan ciri-ciri antaranya ada daya penarik
yang dinamik, warna yang berkesan, mesej yang jelas, kesesuaian ilustrasi bersama
tema, cogan kata bersama penggunaan prinsip rekaan dan unsur-unsur seni yang
sesuai.

Segala ciri yang diutamakan di atas dapat disediakan oleh pereka bentuk grafik.
Itulah sebahagian yang boleh disumbangkan oleh seorang pereka grafik.
Poster yang berada di tangan seorang pereka bentuk grafik akan berubah wajah
menjadi satu bentuk seni komunikasi yang berfungsi menyampaikan mesej. Melalui
perkataan, ilustrasi dan warna yang mempengaruhi psikologi kelompok sasaran. Di
tangan pereka bentuk grafik yang kreatif, poster akan mengalami perubahan daripada
statik kepada bergerak, bisu kepada bersuara, hitam-putih kepada berwarna, panjang
meleret kepada ringkas dan menjadi padat serta mudah. Sasaran hala tuju poster
boleh berkesan melalui kepelbagaian saluran untuk sampai ke telinga, mata, tangan,
rasa dan minda orang ramai.

Impak dari poster membawa kesan psikologi seperti tarikan ada rasa terpikat, teruji,
teruja, terpujuk, ingin mencuba, rasa berpunya dan sebagainya. Jika mesej yang
disampaikan itu suatu amaran, kesan psikologinya ada rasa bahaya, kurang selamat
dan paling dasyat merasai maut sudah hampir mendekati kita. Jika kesan sedih,
elemen yang digunakan berjaya meninggal rasa sedih, terharu, runsing, muram dan
seumpamanya. Manakala rasa lucu dan ketawa boleh meninggalkan kesan humor yang
membuka minda berfikir.

Cara pengolahan muka taip dan bahan ilustrasi dapat digabungkan dalam media
yang berbagai. Olahan yang berkesan menjadikan poster itu segar, subur, hidup dan
menampakkan keharmonian muka taip yang serasi dengan temanya. Muka taip
bersama mesej dan muka taip beriringan dengan ilustrasi adalah keserasian yang
harmorni dalam penampilan poster.

Pada peringkat ini peranan muka taip dalam reka bentuk grafik memungkinkan
sesuatu mesej dalam bahasa literal yang mengingatkan audien apabila membacanya.
Susunan muka taip yang menjadikan teks itu sebagai eksploitasi yang cuba menawan
idea dari apa yang dibaca dan terfikir oleh minda serta diulangi kerap mungkin akan
menjadi mesej yang berkesan. Oleh itu pengolahan muka taip penting dalam
mengangkat kualiti mesej dalam sesebuah poster.

Cara bagaimana muka taip itu diolah, disusun dan diringkaskan mengambil kira dari
segi jarak susunan, saiz muka taip dan susun letak. Jelasnya di sini pengolahan muka
taip memerlukan strategi supaya tidak mencacatkan keseluruhan poster. Perkataan
yang dipilih membawa dua fungsi iaitu; membentuk ayat menjadi unsur ilustrasi dan
fungsi kedua membawa makna literal pada imaginasi. Kadangkala perkataan yang
ditampilkan dalam poster menjadi bahan reka bentuk yang membawa kekuatan
tersendiri dalam membantu ilustrasi dari aspek fizikalnya.

Imej turut membantu dalam poster dari sudut gambaran representasi sama ada
secara fotografi, montaj, cetakan, lukisan yang mengenengahkan imej sebagai mesej.
Adakalanya imej dalam poster berbentuk simbol dan kadangkala kombinasi simbol dan
gambar foto. Poster yang hanya dijadikan ruang untuk mengisi muka taip, kurang
memberi kesan kepada audien. Berbeza jika muka taip itu disekalikan dengan imej
yang lebih bertautan untuk saling membantu menajamkan kesan penerimaan audien.

Imej juga membantu mentafsir mesej jika poster itu hadir tanpa sebarang muka taip.
Dalam keadaan sedemikian imej ini akan dilihat dan direnung. Memandangkan ia
adalah poster, maka di tangan pereka grafik yang kreatif dan berinovatif akan
menggunakan peluang untuk mengisi gambar foto sebagai gabungan dalam satu
kekuatan. Terserlahnya kekuatan sesebuah poster yang unik, lazimnya diperkuatkan
dengan imej yang membawa 1,001 makna. Poster boleh membisu tanpa kata-kata
tetapi punya makna untuk audien membuat interpretasi.

Bentuk imej dalam poster diolah oleh pereka grafik dengan kebijaksanaan bermain
melalui kesan pandang. Imej yang difokuskan secara ‘close up’ atau ‘mid-close up’
membawa kesan perbezaan dalam prinsip penegasan. Di tangan pereka grafik, hal-hal
seperti ini diambil kira supaya audien dapat dipengaruhi segera dalam masa yang
singkat tetapi tidak memendekkan jangka hayat sesuatu poster tersebut. Jangka hayat
poster dapat dipertahankan tanpa menjemukan audien dan inilah kebijaksanaan pereka
grafik yang tergolong sebagai insan kreatif.

Sebuah poster yang ringkas namun padat dengan makna dalaman memerlukan
sokongan kuat dari segi reka bentuk grafik. Antara makna dalaman yang cuba
ditonjolkan ialah elemen penting seperti warna, ruang, susun letak, jenis muka taip,
simbol serta saiz. Jika poster yang lahir dalam sejarah perkembangannya sekadar
suatu ideologi berbentuk propaganda berbantukan teks, maka keadaan ini telah
berubah. Perubahan ini disesuaikan melalui citarasa audien dan latar berlakang budaya
yang berbeza. Semuanya ini diambil kira dalam olahan bentuk poster yang bukan
sekadar ideologi tetapi suatu perkongsian maklumat dalam berkomunikasi. Maka
kesimpulannya, poster dalam arus kontempori adalah komponen kecil yang berada
dalam seni grafik. Poster menjadi ‘hidup’, menarik dan berkesan melalui sentuhan reka
bentuk grafik. Sejarah seni reka grafik yang meliputi seni dalam cetakan, tipografi,
fotografi dan pengiklanan sebagai komponen saling bantu membantu dalam
menjelmakan sesebuah poster yang menarik.

Satu resolusi yang menunjukkan semangat seni tiada penghujungnya untuk menuju
ke hadapan apabila reka bentuk grafik menggabungkan banyak hal di sekeliling
kehidupan kita. Berbantukan teknologi digital dan manipulasi yang ditawarkan melalui
komputer telah membuktikan suatu revolusi penampilan poster melalui kekuatan seni
grafik. Revolusi ini dikatakan telah mencetuskan banyak idea baharu. Kenyatan ini
telah dibentangkan dalam “The First Symposium on The History of Graphic Design”
bertempat di Rochester Institute of Technology pada 20 hingga 21 April 1983 (halaman:
5).

4. Impak Poster dalam Kehidupan

Poster adalah penghasilan seni tampak yang melibatkan kerja-kerja grafik. Peluang ini
digunakan oleh insan kreatif secara terbuka yang melakukan banyak percubaan dan
kekerapan menguji citarasa orang ramai. Perkaitan poster dalam kehidupan seharian
boleh dilihat melalui fungsinya dalam pengiklanan. Apabila berlakunya perubahan
masa, citarasa dan budaya juga turut berubah. Contoh perubahan masa telah
membawa perubahan dan perkembangan baru dalam poster melalui cetakan lithografi.
Pada tahun 1864, Honore’ Daumier memulakan cetakan media yang pertrama melalui
penghasilan poster dan dikatakan disinilah bermulanya sejarah poster. Pada tahun
1963, Raymond Sarignac seorang pereka bentuk poster yang terkenal di Perancis telah
menyatakan; (1993:3)
“…any and every means to its objective are legitimate: emotion, wit, deception,
blackmail, cynicism. The poster bears the same relation to the fine arts as freestyle
wrestling does to good manners.”

Merujuk sebahagian daripada poster-poster Jepun, kita turut bersetuju bahawa


minat pada poster datang melalui penonjolan bentuk karektoristik dalam poster itu
sendiri. Di dalamnya ada unsur nasihat, kesedaran yang mengingatkan pada sesuatu di
samping perubahan gaya membawa perbezaan budaya.

Satu reka bentuk poster diukur hubungannya melalui keperluan dan dapat dilihat
oleh orang ramai. Jika orang ramai melintasi di hadapan sesuatu poster dengan mudah
dan jelas idiom formalnya disebarkan. Ia membesar menjadi suatu mesej. Contoh
sebuah poster yang dihasilkan pada tahun 1986 oleh Kiel Regatta, memperlihatkan
kesan kertas putih, potongan dan sudut reka bentuk itu dilihat sebagai suatu ciri
naturalis. Tujuan poster tersebut untuk menyampaikan pengetahuan dengan
menggunakan perkataan (teks) sahaja. Gambaran visualnya tentang rokok, satu batang
dinyalakan dengan simbol kematian. Ia mengajak kita membaca simbol yang tertera
kematian sebagai mesej.

Poster dikatakan bermakna dari kesan awal melalui kualiti visual. Teks yang
diminimakan dalam fungsinya diadun bersama kualiti visual. Reka bentuk tipografi,
kedudukan huruf-huruf dan hubungan rapatnya dengan imej membawa hubungan
bermakna. Contoh poster ini dipamerkan dalam pameran poster Malerich. Pada
pemikiran kita nilai ketinggian estetik ditonjolkan dalam poster bagi menghidupkannya
dalam waktu yang sama mesej yang direka bentukkan dapat mencapai makna.

Setiap tahun beratus ribu poster dihasilkan. Poster yang dihasilkan bertujuan
membuat duit sebagai bahan iklan dan ada yang berfungsi sosial dengan tujuan
tertentu. Apa yang dapat dilihat banyaknya poster ini dihasilkan dengan kesalahan asas
yang berulang kali. Memandangkan fungsi sebenar poster itu tidak difahami maka
kesalahannya berulang dan dilakukan oleh pereka poster yang amatur maupun pereka
bebas.

Poster sebagai media komunikasi bermaklumat, sepatutnya mengandungi perkara-


perkara berikut:
a) Dapat menarik perhatian
b) Menegaskan pemusatan perkara yang penting
c) Dapat dibaca dengan mudah
d) Menyenangkan mata memandang
Keempat-empat perkara di atas dinyatakan oleh Howard Boughner (1969:1) iaitu;
poster yang mudah dibaca maklumatnya, belum tentu mudah untuk meninggal
kesannya kepada audien. Kemampuan meninggalkan sesuatu yang diperlukan di
dalam poster iaitu kesannya di mana kebanyakan kita akan bertindak melakukan
sesuatu dan berfikir dari kesan reka cipta yang diolah adalah sesuatu yang sukar
dilakukan.

Dalam sebuah poster yang konvensional, ada dipaparkan teks seperti simbol huruf,
perkataan atau ayat yang cuba menjelaskan sesuatu. Selain itu ada unsur reka letak
yang diiktiraf sebagai konvensi bersama teks yang dipersetujui sebagai dekoratif.
Secara mudahnya konvensi ini diterima tetapi dalam era inovatif, setiap konvensi itu
tidak lagi dipegang kukuh kerana amalan pembuat poster akan mencari kebebasan
tersendiri. Poster yang tidak terikat dengan sebarang konvensi dianggap mampu pergi
lebih jauh untuk bertindak merangsang audien berfikir perkara yang tersembunyi di
sebalik teks, simbol dan warna.

Menghasilkan poster memerlukan perancangan supaya kombinasi antara teks,


susun letak, warna terarah pada konsep yang bermesej dan perlu dikomposisikan
dalam keadaan serba harmoni. Pada peringkat perancangan, pelbagai idea dilakarkan
dalam bentuk lakaran kenit sebelum keputusan akhir diambil untuk peringkat susun
letak. Walaupun perkara kecil ini dilihat seolah tidak penting, selalunya langkah-langkah
dan perancangan awal dapat membantu menyelesaikan masalah dalam menyudahkan
sesebuah penghasilan poster.
Dalam kehidupan seharian poster yang berfungsi dianggap berperanan seperti ‘juru
jual yang pendiam’ kepada penjual. Jika fungsi poster dihasilkan dengan betul, ia akan
membantu juru jual menerang dan menjelaskan kepada pelanggan. Sehingga poster-
poster ini dapat ‘menjual’ sendiri produk di kedai tanpa menggunakan juru jual.

5. Poster dan Keperluan Manusia

Muka taip dan reka bentuk yang menarik dalam poster telah memberi kesan positif
dalam pengiklanan sesuatu jenama atau kempen. Sama ada kita sedar atau tidak,
jenama air minuman dalam tin Coca-Cola atau Pepsi telah mengaut untung berjuta
ringgit. Bukan kerana minumannya tetapi publisiti poster telah berjaya mempengaruhi
pengguna tentang reka bentuk botol dan rupa tulisan (Dewan Kosmik, Ogos 1996).

Peranan poster memberi kesan dalam sesuatu kempen jika strategi dan gabungan
idea seni grafik di atur secara efisyen. Bukti keberkesanannya telah dilakukan oleh
‘Raja Kondom’ dari Thailand, Mechai Viravaidya yang menjadikan restoran beliau
sebagai pusat tarikan. Idea yang disuntik dalam poster tersebut telah menarik setiap
pengunjung dengan berunsurkan hiburan dan jenaka yang matlamat mesejnya ialah
merancang keluarga dan mengawal penyakit AIDS.

Beliau menggunakan idea rekaan muka taip dan simbol sebagai kempen dalam
posternya. Digabungkan hasil kraftangan tempatan seperti bunga keronsang diperbuat
dari kondom, baju T bersama mesej mengawal dan memelihara seks untuk kesihatan.
Mechai menjelaskan sesuatu perubahan tingkahlaku itu mengambil masa dan perlu
diteruskan sepanjang waktu. Beliau menyatakan ideanya sama seperti dilakukan oleh
Coca-Cola yang beliau kenali sejak masih kanak-kanak. Antara mesej yang diletakkan
pada restoran beliau ialah “No glove, no love”, “A cover for your lover” dan “Get your
last licks” (Sunday Star, 3 Dec. 1995).

Apabila poster dikaitkan dengan keperluan manusia dan kepentingannya


berkonsepkan iklan maka proses visualisasi merupakan proses penekanan minda bagi
menyelesaikan masalah pengiklanan. Tiga pendekatan asas yang digunakan ialah:
a) Menggambarkan barangan atau perkhidmatan
b) Menampakkan barangan dalam susun letak (setting) sebagai umpan
c) Menggambarkan imej keperluan kepada pengguna
Melalui tiga pendekatan ini, pengguna mendapat maklumat barangan, timbul cita rasa
ingin mencuba dan mempengaruhi orang lain untuk turut mencuba. Kaedah
mempengaruhi orang lain adalah mesej berguna untuk penghasilan poster yang berada
dalam kehidupan kita. Secara disedari atau tidak ia berperanan menentukan kehidupan
seseorang sehingga setiap minda dipengaruhi untuk percaya bahawa barangan
pengguna itu adalah keperluan yang penting.

Sebagai sebuah poster, ia tidak dapat mengelak dari sifat kehidupan manusia. Cara
poster itu mengajak audien berfikir melalui satu bahasa tampak iaitu melalui kesan
tampak dan simbol yang boleh dimengerti oleh semua manusia. Proses rekaan
berperingkat-peringkat dalam satu bentuk model bermula dengan lakaran, gambarajah
yang memperlihatkan tahap idea dari abstrak kepada mudah difahami. Menurut Paul
Lauseau (1993:55), jika cara berfikirnya begitu maka ia diterima sejagat.

Tahap bentuk dalam bahasa grafik melibatkan penggunaan simbol dan cara simbol
itu dapat dihubungkan bagi memastikan maklumat berbentuk mesej dapat berintraksi
dengan orang lain. Maka katanya lagi dalam proses mereka bentuk, bahasa grafik
yang sangat formal adalah dalam bentuk geometri merangkumi imej, isyarat, nombor
dan perkataan akan diguna dan diubahsuai.

Keistimewaan dan kekuatan bahasa grafik dalam menghasilkan reka bentuk visual
memerlukan kekuatan yang seimbang. Bentuk kekuatan yang seimbang antara simbol
mewakili bahasa lisan dan perkataan untuk dibaca sehingga difahami adalah bentuk
kekuatan bahasa grafik yang membantu penghasilan poster.

Salah satu kualiti komunikasi grafik yang efektif ialah maklumat yang boleh dihantar
dan diterima serentak. Apabila kualiti ini hendak dicapai dengan sempurna seorang
pereka bentuk grafik cuba mengabungkan lukisannya dengan gubahan keseluruhan,
perincian ruang dan teknik penggunaan media.

Bertitik tolak dari susun letak muka taip di dalam sesebuah poster telah dinyatakan
oleh pakar seni tipografi iaitu Herb Lubalin membawa kekuatannya melalui pilihan muka
taip yang unik. Dengan gayaan dan arus semasa hari ini, pengiklanan menggunakan
poster sebagai penyampai mesej mulai disedari begitu berat dan memerlukan idea
kreatif. Tugas menyusun dan menyampaikan idea, susun letak dan jenis muka taip itu
dieksploitasikan sebagai mekanisme untuk menwujudkan ruang idea dalam seni
komunikasi (1985:12).

Melalui poster, segala keperluan hidup manusia dapat dipenuhi dengan pantas. Ia
dijadikan bahan komunikasi yang penting ketika manusia berehat, berhibur,
bermenung, dahaga, cemas, buntu dan tingkahlaku manusia berlegar di sekeliling
kehidupan. Poster sentiasa membawa fungsinya yang tersendiri dan tanpa poster
manusia tidak ada arah tujuan. Sama ada untuk pengguna maupun penjual, untuk
kerajaan kepada rakyat dan untuk majikan kepada pekerjanya memerlukan poster
sebagai media komunikasi.

6. Gayaan Teks dan Visual dalam Poster Berciri Inovatif

Fungsi poster untuk menyampaikan mesej yang jelas, sederhana dan mudah difahami
telah diterima sebagai suatu perjanjian bersama. Namun dalam era pasca-
modeniasasi, suatu yang di luar kebiasaan dianggap suatu gayaan unik. Unsur
memeranjatkan dihungkait dengan nilai estetika. Susunan aturan keterbacaan teks
tidak lagi menjadi sesuatu yang wajib dipatuhi.

Satu contoh pelanggaran konvensi yang terjadi disebabkan keinginan mencari


penemuan baru yang dikatakan berinovatif telah dilakukan oleh Herb Lubalin. Beliau
menghasilkan poster dengan tidak menepati kehendak U & lc (Upper and Lower Case).
Paparan visual grafik bersama variasi muka taip tidak mematuhi aturan yang lazim.
Tatacara konvensional dalam poster telah diubah-belit sehingga peraturan seni reka
grafik diketepikan.

Kekuatan muka taip yang diperkenalkan oleh Herb Lubalin telah dinyatakan oleh
Paul Zelanski dan Mary Pat Fisher (1994:281), bahawa poster menjadi ceria melalui
gayaan muka taip yang berbeza antara gelap-kelabu. Beliau mengintergrasikan 59 unit
perbezaan, 7 ilustrasi dan 16 peraturan garisan dalam sesebuah poster yang telah
dianggap oleh sesetengah pihak sebagai suatu pembaharuan bukannya pelanggaran
konvensi. Dengan pembaharuan ini pereka bentuk grafik tidak lagi terkongkong,
manakala poster yang terhasil tentunya tidak lagi streotaip.

Unsur ‘kegilaan’ dalam reka bentuk poster oleh Lubalin telah mencabar konsep
keterbacaan audien. Mainan teks memenuhi ruang dengan gayaan bebas telah
membawa kesan kelainan dalam visualisasi poster. Kesan terkejut, tersentak dan tidak
tahu yang mana hendak didahulukan dalam bacaan teks telah mengambil sedikit masa
untuk diterima oleh audien.

Dalam tempoh masa yang terdekat hasil poster grafik kontemporari telah mulai
dikenali walaupun peringkat awalnya kadangkala membingungkan. Apakah ianya
merupakan hasil kerja grafik atau karya seni ekspresif diri? Audien juga dihadapkan
dengan bermacam-macam ‘isme’ serta istilah seperti super-grafik, graphic-sculpture
dan viriografik. Adakah segalanya ini sebahagian dari fenomena seni grafik mutakhir?

Dengan munculnya, komputer sebagai alat canggih kepada seni grafik maka
berbagai kejutan dan di luar kebiasaan berlaku. Sama ada akur atau tidak, masyarakat
serta pengguna terpaksa menerima perubahan ini. Begitu juga pereka bentuk grafik
yang terpaksa membuka pintu kepada kehendak situasi untuk disampaikan kepada
masyarakat. Jika dahulu pereka bentuk grafik tidak dapat mengekspresifkan rekaan
inovatif maka tugas sebagai pereka bentuk grafik dianggap gagal. Kini pereka bentuk
grafik dianggap gagal jika tidak tahu mengeksploitasikan komputer ke dalam hasil
rekaan grafik mereka.

7. Penutup

Apabila hasil reka bentuk grafik dimanipulasikan ke dalam poster, hasilan poster itu
telah mendekatkan idea pereka grafik dengan orang ramai. Poster yang dihasilkan
menjadi sebahagian daripada jalan penyelesaian masalah antara pengguna dengan
produk, pelanggan dengan permasalahannya dan mesej sebagai maklumat dapat
disampaikan kepada orang ramai.

Mesej yang divisualisasikan dalam poster mengumpul beberapa idea yang dihadkan
oleh pakar komunikasi. Idea yang dihadkan itu tidak mengurangkan mesej yang hendak
disampaikan. Batasan-batasan inilah akan menonjolkan sama ada kepakaran dan
keunikan poster itu dapat dinilai sebagai berkualiti. Ruang poster yang terhad tidak
menjadi alasan untuk menghilangkan seni tipografi, susun letak muka taip, warna dan
visual dalam komposisi.

Segalanya yang dipaparkan dalam sesebuah poster hanyalah suatu imej dan mesej
yang boleh menipu, memalsukan fakta atau sebaliknya. Yang penting segala idea
dalam poster itu menidakkan yang negatif dan menyakinkan sesuatu yang positif.
Semuanya bergantung pada kehendak pengantar mesej untuk diterima oleh penerima
mesej. Golongan penerima mesej yang menatap sesuatu poster perlu bijak berfikir dan
membuat keputusan menilainya sama ada membawa manfaat atau memudaratkan diri.

Rujukan:

Barbara Hodik Roger Reminton. The First Symposium on The History of Graphic
Design. Publisher Rochester Institute of Technology, 1983

Gertrude Snyder & Alan Pecholick. Herb Lubalin: Art Director. Graphic Designer,
Typographer. New York: American Show Case, Inc. 1985
Henry Wolf. Visual Thingking. New York: American Show case, Inc. 1988

Howard Boughner. Poster. New York: Grosset & Dunlop, 1969

Paul Zelanski & Mary Pat Fisher. The Art of Seeing Third Edition. New Jersey:
Prentice Hall Inc; Englewood cliffe, 1994

Paul Laseau. Pemikiran Grafik untuk Arkitek dan Pereka Bentuk (Terjemahan).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993

Sharifah Alwiah Al Sagoff. Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1984

----- Best of Graphies Poster. Singapore: Page One Publishing Pte. Ltd, 1993

----- Istilah Seni Reka Grafik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992

Dewan Budaya, Januari 1981

Dewan Kosmik, Ogos 1996

Sunday Star, 3 Disember 1995

Utusan Malaysia, khamis 5 Jun 1997

You might also like