You are on page 1of 24

OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

PENGENALAN
Peranan utama sekolah adalah memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Pengajaran pula membantu pelajar mencapai hasil pembelajaran yang telah ditetapkan.
Hasil yang ingin dicapai itu termasuklah dari aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani.
Bagi memastikan hasil pembelajaran tercapai, seseorang guru haruslah melaksanakan
penilaian seperti yang dijelaskan dalam Tajuk 1. Penilaian adalah amat penting untuk
membantu pengajaran dan pembelajaran, malah ia dapat memberi manfaat dari segi
penyediaan objektif pengajaran.

Perubahan tingkah laku pelajar yang ingin dicapai, disebut sebagai “objektif pengajaran”.
Perubahan ini boleh dicapai melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
dijalankan secara tersusun dan rapi. Seterusnya, kemajuan/perubahan pelajar perlu
dinilai dari masa ke masa. Penilaian berterusan ini akan menentukan tahap
keberkesanan pengajaran guru dan juga pembelajaran pelajar. Ini jelas menunjukkan
wujudnya hubungan antara objektif pengajaran, pengajaran, pengukuran dan penilaian.

OBJEKTIF
Pada akhir tajuk ini, anda seharusnya dapat:

1. Menjelaskan maksud objektif pengajaran;


2. Membezakan empat domain-domain kognitif, afektif, psikomotor dan sosial;
3. Membicarakan objektif-objektif domain kognitif, afektif, psikomotor dan sosial; dan;
4. Merumuskan objektif pengajaran dengan pengukuran dan penilaian.

PETA MINDA

OBJEKTIF PENGAJARAN

Objektif Kognitif Objektif Afektif Objektif Psikomotor

20 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

2.1 OBJEKTIF PENGAJARAN

Setiap jurulatih pasukan badminton negara mempunyai rangka latihan


dan carta perkembangan pelatih di bawah kendalian masing-masing.
Setiap latihan mempunyai objektif pengajaran yang ingin dicapai dan
sasaran yang telah ditetapkan oleh persatuan terbabit. Pada pandangan
anda, adakah objektif pengajaran ini merupakan suatu kemestian
dikalangan pendidik?

Tugas para pendidik ialah menggubal kurikulum supaya matlamat sesuatu program
pendidikan itu sesuai dengan keperluan sesebuah negara, masyarakat dan ahlinya. Guru
pula, sebagai pelaksana, perlu menentukan objektif pengajaran dan berusaha supaya
objektif ini mampu dicapai oleh pelajar-pelajarnya. Contoh objektif pengajaran ialah
seperti berikut:

• Pelajar dapat menyatakan sebab-sebab berlakunya Perang Dunia Pertama.


• Pelajar dapat menjelaskan cara merumuskan karangan.
• Pelajar dapat menyebut bunyi vokal dan konsonan.
• Pelajar dapat melukis peta Malaysia.
• Pelajar dapat menyenaraikan lima haiwan berdarah panas.

Rajah 2.1 menunjukkan hubungan antara sukatan pelajaran dengan objektif pengajaran,
pengalaman pendidikan dan prosedur penilaian. Hubungan ini jelas menunjukkan
sukatan pelajaran mengawal semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang meliputi
penentuan objektif pengajaran, pengalaman pendidikan di dalam dan di luar bilik darjah
serta penilaian hasil pengajaran dan pembelajaran. Guru, yang berhadapan dengan
dan memahami pelajar-pelajarnya, berupaya menentukan objektif pengajaran yang
sesuai untuk mereka berasaskan sukatan pelajaran yang ditetapkan.

Seterusnya, selepas objektif pengajaran ditentukan, guru perlu menentukan pendekatan,


kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai untuk pelajar-pelajarnya mencapai objektif
tersebut. Akhirnya, berasaskan objektif pengajaran dan pengalaman pendidikan, guru
perlu merancang dan melaksanakan prosedur penilaian terhadap hasil pengajaran dan
pembelajaran. Hasil daripada penilaian yang dijalankan akan memberi maklum balas
kepada guru tentang keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (pengalaman
pendidikan), tahap kebolehcapaian objektif pengajaran bagi setiap pelajar dan juga
kewajaran sukatan pelajaran. Ini dapat dilihat dalam Rajah 2.1 di bawah:

OUM 21
OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

Rajah 2.1: Perkaitan antara sukatan pelajaran dengan pengajaran

Para pendidik kini lebih berminat menggunakan “objektif pembelajaran” daripada “objektif
pengajaran”. Objektif pengajaran dan objektif pembelajaran pada asasnya adalah sama.
Sekiranya kita ingin membezakan antara dua objektif ini, kita boleh terima objektif
pengajaran sebagai hasil pembelajaran maksimum bagi sesuatu kelas, sementara
objektif pembelajaran adalah hasil pembelajaran bagi seseorang pelajar atau kumpulan
pelajar dalam kelas yang sama keupayaan. Justeru, sekiranya semua pelajar dalam
kelas mempunyai keupayaan yang sama, maka objektif pengajaran adalah sama dengan
objektif pembelajaran.

Selain itu, terdapat dua pemikiran berkait dengan persoalan sama ada objektif
pengajaran perlu dinyatakan dalam bentuk tujuan pengajaran atau dalam bentuk tingkah
laku pelajar. Sebahagian pendidik mendapati objektif pengajaran dalam bentuk tujuan
pengajaran adalah kurang jelas, terutama semasa mengukur hasil pembelajaran.
Misalnya, tujuan pengajaran “Pelajar dapat membaca peta” didapati tidak jelas, adakah
membaca peta bermaksud pelajar dapat menyenarai dan menjelaskan semua simbol
atau dapat menjelaskan maksud yang terkandung dalam peta. Sebahagian pendidik
pula berpendapat objektif pengajaran tidak seharusnya dinyatakan dalam bentuk tingkah
laku pelajar. Mereka percaya objektif pengajaran hanya perlu dinyatakan dalam betuk
tujuan pengajaran. Dari tujuan tersebut, guru dan pelajar dapat mendalami
pengetahuan, menguasai kemahiran dan mengubah sikap berkaitan dengan perkara
yang dipelajari.

Mengikut Krathwohl (1971), pengalaman pendidikan bermaksud mengadakan satu siri


persekitaran yang membolehkan pelajar mempelajari tingkah laku baru, memperbaiki
atau menghapuskan tingkah laku semasa dan melatih tingkah laku ini sehingga ke
peringkat pelajar itu dapat mempamerkan tingkah laku yang diingini pada satu tahap
yang memuaskan dalam keadaan tertentu. Penyataan objektif pengajaran merupakan
pemerihalan tentang tingkah laku pelajar yang diingini. Dengan itu, penyataan objektif
pengajaran amatlah penting kepada guru dan pelajar agar pengajaran dan pembelajaran
sentiasa mengarah kepada pencapaian objektif ini.

Sekiranya terdapat kelemahan dalam sesebuah objektif pengajaran


tersebut, apakah langkah-langkah yang mampu anda jangkakan boleh
berlaku dan bagaimanakah anda mengatasinya?

22 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

Antara manfaat objektif pengajaran ialah menyedarkan semua pihak yang terlibat dalam
pendidikan bahawa segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan itu tidak
dilakukan secara sambil lewa atau sewenang-wenangnya. Sebaliknya, segala aktiviti
ini mempunyai tujuan yang jelas untuk mencapai objektif, tujuan dan matlamat tertentu.
Objektif pengajaran menggariskan dengan jelas arah pengajaran dan memberi panduan
kepada penggubal soalan peperiksaan dari segi bentuk dan kandungannya.

Lazimnya, pembentukan objektif pengajaran bergantung kepada tiga (3) domain domain
objektif pengajaran, iaitu Domain Kognitif, Domain Afektif dan Domain Psikomotor.
Bagaimanapun, sebagai pelengkap, modul ini menambahkan lagi satu domain, iaitu
Domain Sosial seperti dalam Rajah 2.2 berikut.

Rajah 2.2: Domain objektif pengajaran

Secara ringkas, domain-domain ini melibatkan perkara-perkara berikut:

• Domain Kognitif melibatkan perkembangan pemikiran pelajar.


• Domain Afektif melibatkan perkembangan sikap dan nilai pelajar.
• Domain Psikomotor melibatkan perkembangan kemahiran fizikal pelajar.
• Domain Sosial melibatkan perkembangan perhubungan sosial pelajar.

2.2 OBJEKTIF DOMAIN KOGNITIF

Sebagai seorang pelajar, anda sudah pasti melalui tahap-tahap tertentu


untuk menguasai sesuatu ilmu baru yang sedang dipelajari. Proses
penguasaan ini melibatkan perkembangan pengusaaan dan kemahiran.
Pada pandangan anda, adakah proses ini berlaku kepada semua
pelajar?

OUM 23
OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

Perkembangan pemikiran adalah suatu proses yang mengambil masa yang lama.
Perkembangan pemikiran pelajar berlaku dengan pesat sewaktu mereka bersekolah
sejajar dengan pertumbuhan dan perkembangan fizikal mereka. Aspek kognitif menjadi
fokus utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Taksonomi
Objektif Domain Kognitif Bloom membahagikan domain kognitif ini kepada enam (6)
peringkat, yang bermula dengan tahap yang mudah dicapai kepada tahap yang sukar
dicapai seperti Rajah 2.3 berikut.

Rajah 2.3: Taksonomi objektif Domain kognitif Bloom

Idea pengelasan mengikut kategori tersebut dicadangkan dalam mesyuarat


jawatankuasa pemeriksa kolej semasa menghadiri Konvensyen Persatuan Psikologi
Amerika di Boston pada tahun 1948 (Bloom et al., 1989). Berdasarkan tingkah laku yang
ditunjukkan pelajar, iaitu cara berfikir, merasa dan bertindak, maka penyusunan objektif
mengikut keupayaan dari mudah kepada yang lebih susah, membolehkan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran dapat dirancang dan dijalankan dengan lebih sistematik
dan berkesan. Peringkat yang lebih rendah akan dicapai terlebih dahulu, diikuti peringkat
selanjutnya yang lebih susah.

1. Pengetahuan

Cuba anda fikirkan bagaimanakah manusia memperoleh pengetahuan.


Adakah sesuatu pengetahuan tersebut secara semulajadi diketahui
oleh manusia atau ia merupakan sesuatu yang perlu dipelajari?

Objektif pertama Domain Kognitif ialah Pengetahuan (Knowledge), yang


bermaksud keupayaan mengingat fakta, idea, pendapat, prinsip, prosedur dan
peristiwa yang berlaku (Abu Bakar Nordin, 1986). Aspek tingkah laku yang
diutamakan pada peringkat ini ialah dari segi daya ingatan. Keupayaan pada
semua aras yang lebih tinggi memerlukan keupayaan mengingat, iaitu mengingat
adalah pra syarat untuk menguasai pemikiran yang lebih tinggi. Pemeringkatan
pengetahuan ini pula boleh dibahagikan kepada beberapa tahap seperti berikut:

24 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

(a) Pengetahuan tentang sesuatu perkara yang khusus, misalnya, berkait


dengan istilah yang berbentuk perkataan atau simbol. Contohnya, simbol
tertentu dalam matematik, seperti “>”; atau istilah tertentu dalam mata
pelajaran sains, seperti “fotosistesis”. Selain istilah, pengetahuan tentang
perkaitan antara fakta tertentu seperti tokoh, peristiwa atau punca maklumat,
adalah pada peringkat ini. Misalnya, peristiwa penting pada tahun 1511 dalam
sejarah Melaka dan tahun 1957 di Negara kita.

(b) Pengetahuan tentang cara mengendalikan sesuatu, yang meliputi


pengetahuan tentang proses, aliran, pemeringkatan, penjenisan, teknik atau
prosedur tertentu dalam menyelesaikan masalah.

(c) Pengetahuan tentang perkara yang bersifat sejagat dan abstrak dalam
sesuatu bidang, seperti mengetahui prinsip dan generalisasi dan mengetahui
teori dan struktur.

Dalam konteks pembinaan soalan ujian, lazimnya, guru seringkali membina soalan
pada peringkat pengetahuan sahaja. Keadaan ini sebenarnya tidak menggalakkan
pelajar berfikir dengan mendalam. Amalan ini memberi gambaran kepada pelajar
bahawa fungsi pendidikan ialah semata-mata tertumpu kepada aspek pengingatan
fakta sahaja. Walaupun begitu, soalan jenis ini penting kepada pelajar untuk
membuat pertalian.

Prinsip umum bagi sesuatu soalan ialah soalan itu dibina berasaskan apa yang
diajar kepada pelajar. Justeru, soalan pada peringkat pengetahuan perlu
mempunyai aras ketepatan yang sama seperti yang diberikan semasa pengajaran.
Seterusnya, jika guru hanya mengajar pada peringkat pengetahuan sahaja, maka
soalan juga harus berkait dengan pengetahuan yang disentuh sahaja. Guru juga
tidak wajar membina soalan berasaskan pengetahuan yang baru, yang tidak
disentuh dalam pengajaran.

Ciri-ciri soalan berasaskan pengetahuan ialah:

i. Soalan memerlukan pelajar menggunakan proses mental untuk mengingat


pengetahuan yang diminta.
ii. Pengetahuan yang diminta hendaklah sama dengan dengan pengajaran guru.
iii. Soalan tidak memerlukan pelajar mengubah pengetahuan dalam bentuk baru.
iv. Jawapan dapat ditentukan dengan mudah sama ada betul atau salah.
v. Perkataan yang biasa digunakan ialah seperti siapa, apa, di mana, bila, beri
definisi.
Contoh soalan peringkat Pengetahuan ialah:
Pelancong Barat lebih suka………………………di bawah matahari.
A. dijemur
B. berjemur
C. terjemur
D. menjemur

OUM 25
OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

2. Kefahaman

Dalam kehidupan seharian, kita sering menghadapi keadaan apabila


kenyataan-kenyataan yang kita kemukakan telah disalahtafsirkan oleh
orang lain. Apakah yang anda lakukan ketika itu? Adakah terdapat
beberapa cara terbaik yang anda rasakan boleh membantu untuk
memahami keadaan tersebut?

Objektif kedua Domain Kognitif ialah Kefahaman (Comprehension), yang


bermaksud keupayaan pelajar menjelaskan pengetahuan secara yang bermakna.
Pelajar boleh menjelaskan kefahaman mereka dalam bentuk tulisan, lisan atau
simbol tertentu. Pemahaman juga boleh dibahagikan kepada aspek-aspek berikut:
Jadual 2.1: Aspek Kefahaman

(a) Menterjemah Menterjemah bentuk komunikasi asal kepada


bentuk baru dengan tidak mengubah makna asal.
Misalnya, mengubah bentuk komunikasi yang
panjang kepada bentuk komunikasi yang lebih
pendek/ringkas dengan makna yang sama.

(b) Menafsir Menafsir idea/mesej yang disampaikan dalam


bentuk tersurat atau tersirat. Setelah sesuatu
idea/mesej itu difahami, maksudnya
disampaikan semula dalam perkataan pelajar itu
sendiri. Misalnya, murid dapat menafsir data
dalam bentuk carta kepada bentuk tulisan/
huraian.

(c) Mengekstrapolasi Mengekstrapolasi maklumat iaitu pelajar dapat


membuat telahan/ inferens tentang apa yang
akan berlaku pada masa hadapan berdasarkan
maklumat yang diberi/diterima.

Ciri-ciri soalan berasaskan kefahaman adalah seperti berikut:


i. Soalan memerlukan penggunaan proses mental berkait dengan kefahaman,
misalnya terjemahan, tafsiran dan ekstrapolasi.
ii. Pengetahuan/maklumat asas telah diajar/diberi kepada pelajar.
iii. Memerlukan bahan atau alat komunikasi untuk diterjemah, ditafsir atau
diektrapolasikan.
iv. Pelajar menyatakan kefahaman mereka dalam ayat atau perkataan mereka
sendiri.
v. Perkataan yang kerap digunakan dalam soalan ialah seperti huraikan,
bandingkan, nyatakan, bezakan, nyatakan dalam perkataan anda sendiri

26 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

Contoh soalan pada peringkat Kefahaman:

Pilih ayat yang paling sesuai sebagai soalan kepada penyataan di bawah:

“Fahrin pergi ke hospital kerana melawat datuknya yang sedang sakit.”


A. Ke manakah Fahrin pergi?
B. Apakah tujuan Fahrin pergi ke hospital?
C. Siapakah yang pergi ke hospital?
D. Fahrin berada di hospital?

3. Aplikasi

Keputusan kerajaan untuk menaiktarafkan sistem pertahanan negara


melalui pembelian peralatan tentera yang moden dan terkini,
memerlukan bukan sahaja tenaga pakar yang mahir dari segi teori,
malah juga mampu mengaplikasikan peralatan ketenteraan tersebut
secara professional dan terlatih. Pada pandangan anda, bagaimanakah
semua ini menjadi kenyataan? Cuba anda aplikasikan pula dalam sistem
pendidikan negara.

Objektif ketiga Domain Kognitif ialah Aplikasi (Application), yang bermaksud


keupayaan menggunakan konsep, prinsip, teori, hukum, prosedur dan kaedah am
dalam situasi khusus dan situasi am (Abu Bakar Nordin,1986). Pada peringkat ini,
pelajar perlu benar-benar memahami konsep, prinsip, teori, hukum, prosedur dan
kaedah am untuk menyelesaikan masalah dalam situasi baru. Pengajaran dan
penilaian peringkat aplikasi juga sepatutnya menekankan aplikasi pengetahuan dan
kemahiran yang dipelajari untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian,
selain dapat menyelesaikan masalah yang diberikan guru dalam bilik darjah.
Misalnya, murid dapat mengaitkan ciri-ciri fotosintesis dengan kehidupan manusia.

Dalam konteks pembinaan item ujian, soalan pada aras ini bertujuan menentukan
sama ada pelajar dapat memilih pengetahuan yang bersesuaian dan
menggunakannya dengan betul dalam menyelesaikan masalah yang baru. Aplikasi
dalam konteks ini bermaksud menggunakan sesuatu yang abstrak dalam situasi
tertentu. Pengabstrakan ini mungkin dalam bentuk idea, hukum, kaedah, prinsip
atau teori yang perlu diingati, difaham dan digunakan. Keupayaan menggunakan
ilmu dalam menyelesaikan masalah baru yang berkaitan dengannya menjadi
petunjuk sama ada pelajar telah menguasai ilmu dalam mata pelajaran berkenaan.
Menurut Bloom (1971), pelajar dikatakan menguasai peringkat Aplikasi, sekiranya
mereka dapat:

i. Menentukan prinsip yang sesuai dalam menyelesaikan masalah yang baru.


ii. Menyebut semula satu masalah lama untuk menentukan prinsip yang boleh
digunakan untuk menyelesaikan masalah baru.
iii. Menentukan had setakat mana prinsip itu boleh digunakan dalam menyelesaikan
masalah baru.
iv. Menentukan kesesuaian sesuatu prinsip untuk digunakan dalam menyelesaikan
masalah baru dengan memberikan alasan.

OUM 27
OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

v. Menjelaskan fenomena baru dengan menggunakan prinsip yang dipelajari.


vi. Menelah apa yang akan berlaku dalam situasi baru dengan menggunakan prinsip
yang dipelajari.
vii. Memberi justifikasi/alasan tentang keputusan/tindakan yang diambil untuk
menyelesaikan masalah baru dengan menggunakan prinsip yang dipelajari.

Ciri-ciri soalan berasaskan aplikasi ialah:

i. Soalan menggunakan proses mental aplikasi.


ii. Soalan melibatkan tiga (3) frasa, iaitu menggunakan prinsip, menyelesaikan
masalah, dalam situasi baru.
iii. Soalan hendaklah berkaitan dengan masalah dalam situasi baru yang tidak sama
dengan masalah yang dibincang dalam bilik darjah.
iv. Perkataan yang sering digunakan ialah gunakan, pilih, buat, kira, selesaikan.

Contoh soalan peringkat Aplikasi ialah:

“Azah menyidai pakaian yang telah dibasuh di ampaian.”

Manakah antara yang berikut membantu mempercepatkan pengeringan


pakaian itu?

I. Sejuk
II. Berangin
III. Mendung
IV. Panas

A. I dan II sahaja
B. I dan III sahaja
C. II dan IV sahaja
D. III dan IV sahaja

Latihan 2.1

Sediakan satu jadual yang menunjukkan kata kerja perlakuan yang


sesuai untuk objektif Domain Kognitif peringkat Pengetahuan,
Kefahaman dan Aplikasi.

4. Analisis
Objektif keempat Domain Kognitif ialah Analisis (Analysis), yang bermaksud
keupayaan memecahkan sesuatu perkara kepada unsur-unsur kecil dan
memperlihatkan pertalian antara unsur-unsur tersebut. Justeru, peringkat Analisis
menekankan kepada keupayaan pelajar mengenal pasti unsur-unsur dan struktur
yang mengaitkan unsur-unsur tersebut bagi sesuatu dokumen/kes yang diberikan.

28 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

Selain itu, pada peringkat Analisis juga penghakiman turut berlaku, tetapi pada
peringkat yang lebih rendah daripada peringkat penilaian. Secara ringkas, analisis
terbahagi kepada tiga (3) jenis, iaitu:
Jadual 2.2: Jenis-jenis Analisis

(a) Analisis unsur Analisis unsur ialah keupayaan pelajar menentukan unsur-
unsur yang terdapat dalam sesuatu dokumen. Misalnya,
pelajar dikehendaki mencari bukti-bukti dalam sesuatu
dokumen untuk menyokong kesimpulan yang diberikan.

(b) Analisis hubungan Analisis hubungan ialah keupayaan pelajar menentukan


hubungan antara unsur-unsur yang terdapat dalam
komunikasi. Misalnya, pelajar dikehendaki menentukan
perkaitan antara bukti-bukti, bukti dengan hipotesis, atau
hipotesis dengan kesimpulan.

(c) Analisis prinsip Analisis prinsip ialah keupayaan pelajar mengenal pasti
prinsip organisasi yang digunakan untuk menghasilkan
sesuatu dengan menganalisis tujuan, pandangan,
pendirian, sikap dan konsepsualisasinya. Misalnya, pelajar
dapat mengenal pasti pendekatan yang digunakan oleh
penyanyi tertentu bagi menarik minat penonton.

Menurut Bloom (1971), ciri-ciri analisis adalah seperti berikut:

i. Pelajar dapat mengelaskan perkataan, frasa dan kenyataan dalam satu set
dokumen.
ii. Pelajar dapat menelah apa yang akan berlaku atau sifat yang tidak dinyatakan
dengan jelas.
iii. Pelajar dapat menggunakan kriteria yang relevan, menyusun unsur mengikut
sebab, akibat dan urutan untuk menentukan corak dan susunan bahan dalam
sesuatu dokumen.
iv. Pelajar dapat mengenal pasti prinsip organisasi dan mencorakkan rangka
keseluruhan dokumen.

Ciri-ciri soalan berasaskan analisis ialah:

i. Soalan menggunakan proses mental analisis, sama ada analisis unsur,


hubungan atau prinsip organisasi.
ii. Situasi masalah mestilah baru, tidak biasa atau berbeza dengan situasi semasa
pengajaran.
iii. Situasi, dokumen atau bahan yang hendak dianalisis perlu ada pada pelajar.
iv. Soalan memerlukan fikiran kritik, bukan mengulang pengetahuan yang dipelajari.
v. Perkataan yang kerap digunakan ialah seperti mengapa,kenapa, apakah faktor,
buatkan rumusan, buktikan.

OUM 29
OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

Contoh soalan peringkat Analisis:


Penulis sebuah buku tentang penilaian dalam pendidikan menyatakan
calon akan memperoleh jawapan yang betul sebanyak 50 peratus dalam
ujian benar-palsu dengan cara meneka. Pilih andaian berikut yang mungkin
dibuat oleh penulis:

A. Calon meneka dengan bijak.


B. Calon meneka secara membuta tuli.
C. Tekaan calon dibantu oleh penentu khusus.
D. Tekaan calon dibantu pengetahuan separa dan penentu khusus.

5. Sintesis

Pernahkah anda membaca beberapa novel-novel yang berada di


pasaran seperti novel Salina oleh A. Samad Said, novel Kuntum Tulip
Biru oleh Aena Wati atau novel Merpati Putih Terbang Lagi oleh
Khadijah Hashim dan sebagainya. Setiap novel akan memperlihatkan
perkembangan watak dan perwatakan yang cuba diperhalusi serta
disintesiskan dalam keseluruhan novel. Pada pandangan anda,
bagaimanakah penulis mampu menggarap sesuatu karya tersebut
sehingga berjaya mengangkatnya ketahap yang lebih tinggi?

Objektif kelima Domain Kognitif ialah Sintesis (Synthesis), yang bermaksud


keupayaan menggabungkan unsur-unsur dan bahagian-bahagian supaya sesuatu
dokumen itu menjadi lebih berstruktur, tersusun menyeluruh. Pelajar perlu
menggabungkan sesuatu struktur daripada yang tidak jelas kepada satu struktur
atau perkara yang lebih jelas. Sintesis terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

Jadual 2.3 : Jenis-jenis Sintesis

(a) Sintesis Sintesis penyampaian, iaitu sintesis yang menghasilkan


penyampaian bentuk penyampaian dengan tujuan tertentu seperti
menghibur, menghuraikan, menarik minat atau
menunjukkan perasaan marah. Misalnya, pelajar dapat
menyampaikan perbahasan dengan hujah yang menarik.

(b) Sintesis himpunan Sintesis himpunan, iaitu sintesis yang menghasilkan satu
himpunan perlakuan. Misalnya, pelajar dapat menyusun
kandungan pelajaran untuk persediaan peperiksasan.

(c) Sintesis cadangan Sintesis cadangan, iaitu sintesis yang menghasilkan


cadangan melalui andaian, analisis dan hubungan yang
abstrak. Misalnya, pelajar dapat mengemukakan teori yang
dapat digunakan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.

30 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

Menurut Bloom (1971), bentuk penghasilan sintesis adalah seperti berikut:

i. Menghasilkan komunikasi unik dalam bentuk penulisan esei, puisi, atau lukisan.
ii. Menghasilkan sebuah perancangan atau set operasi.
iii. Menghasilkan penerbitan satu set hubungan abstrak seperti membentuk
hipotesis.

Ciri-ciri soalan berasaskan sintesis ialah:

i. Soalan sesuai dengan proses mental sintesis.


ii. Masalah, tugas atau situasi hendaklah baru kepada pelajar atau berbeza dengan
daripada semasa pengajaran.
iii. Memberikan kebebasan kepada calon menjawab sama ada dari segi isi atau
masa.
iv. Hasilnya dinilai oleh “pengguna” seperti pembaca atau pemerhati.
v. Soalan tidak perlu terperinci kerana ia akan membataskan kreativiti.
vi. Bentuk soalan objektif atau esei memerlukan masalah yang kreatif.
vii. Perkataan yang kerap digunakan ialah seperti ramalkan, hasilkan, tuliskan,
cadangkan apa akan berlaku.

Contoh soalan pada peringkat Sintesis ialah:

Barang Kuantiti Harga


Topi 1 RM12.50

Baju 2

Jadual di atas, yang tidak lengkap, menunjukkan barang yang dibeli oleh
Raju. Raju mempunyai RM 345.00 dan selepas membeli barangan di atas,
baki wangnya ialah sebanyak RM 180.00

Berapakah harga sehelai baju yang dibelinya itu?

A. RM 55.00
B. RM 76.25
C. RM 82.50
D. RM 152.50

6. Penilaian
Objektif keenam dan terakhir Domain Kognitif ialah Penilaian (Evaluation), yang
bermaksud keupayaan menilai sesuatu perkara berasaskan kriteria yang perlu
diketahui pelajar. Pelajar membuat pertimbangan tentang nilai sesuatun idea, hasil
kerja, penyelesaian, bahan dan sebagainya. Pertimbangan dibuat berdasarkan

OUM 31
OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

piawaian tertentu seperti tepat, berkesan, memuaskan, baik, buruk dan lain-lain.
Misalnya, pelajar dapat menilai satu hasil kerja, sama ada bermutu atau sebaliknya,
dengan membandingkannya dengan hasil kerja lain.

Ciri-ciri soalan berasaskan penilaian ialah:

i. Soalan menguji proses mental peringkat penilaian.


ii. Situasi perkara yang hendak dinilai mestilah baru dan tidak pernah disentuh
semasa pengajaran.
iii. Mutu penilaian boleh dibandingkan dengan penilaian pakar.
iv. Soalan penilaian dibentuk berdasarkan tiga (3) bahagian, iaitu apa yang hendak
dinilai, arahan tindak balas dan kriteria yang digunakan.
v. Perkataan yang biasa digunakan ialah seperti pertimbangkan, taksirkan,
tentukan, pertahankan.

Contoh soalan pada peringkat penilaian ialah:

“Kedatangan Islam ke Melaka telah disambut dengan baik oleh pemimpin


dan rakyat Melaka”

Berdasarkan penyataan di atas, apakah kesannya kepada kerajaan Melaka


pada kurun ke-15?

i. Islam menjadi agama rasmi.


ii. Tulisan Arab dijadikan tulisan jawi.
iii. Istana menjadi tumpuan para intelektual.
iv. Amalan tradisi dihapuskan.

A. I, II dan III
B. I, II dan IV
C. I, III dan IV
D. II, III dan IV

Latihan 2.2

Sediakan satu jadual yang menunjukkan kata kerja perlakuan yang sesuai
untuk objektif Domain Kognitif peringkat Analisis, Sintesis dan Penilaian.

32 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

2.3 OBJEKTIF DOMAIN AFEKTIF

Bagaimana anda membentuk objektif Domain Afektif?

Sebagai insan kita semua mempunyai perasaan. Ada ketikanya kita merasa gembira,
sedih, terharu, kecewa dan sebagainya. Selepas seseorang itu melalui pelbagai
pengalaman dalam hidupnya, dia akan mempunyai pandangan atau sikapnya tersendiri
terhadap sesuatu perkara yang dialami. Perasaan, sikap dan nilai adalah perkara yang
dipelajari dan berkembang dari masa ke masa, serentak dengan perkembangan insan
itu sendiri dalam pelbagai perkara. Jika kita berada dalam persekitaran yang sihat, maka
persekitaran ini sedikit sebanyak akan membentuk perasaan, sikap dan nilai yang positif.
Begitu juga sebaliknya.

Objektif Domain Afektif mempunyai hubungan dengan perasaan, emosi, minat, sikap,
penghargaan dan nilai. Dari segi praktiknya, guru jarang menulis objektif ini dalam buku
rekod pengajaran berbanding objektif kognitif, yang ditulis dalam bentuk perlakuan
pelajar. Ini berlaku kerana ketidakwujudan prosedur dan alat yang benar-benar sesuai
untuk mengukur pencapaian objektif afektif.

Seperti juga objektif Domain Kognitif, objektif Domain Afektif boleh dikelaskan mengikut
peringkat penghayatan daripada yang paling rendah kepada yang paling tinggi, seperti
yang diutarakan oleh Bloom et al. (1988), iaitu: (1) Penerimaan, (2) Gerak Balas,
(3) Penilaian, (4) Organisasi dan (5) Perwatakan.

Rajah 2.4: Objektif domain afektif

OUM 33
OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

1. Penerimaan
Objektif pertama Domain Afektif ialah Penerimaan (Receiving), yang bermaksud
kesediaan seseorang/penerima untuk menerima sesuatu yang ingin disampaikan.
Peringkat ini bermula dengan kesedaran penerima, misalnya, penerima sedar akan
irama, lirik lagu, keadaan kehidupan. Selepas kesedaran, individu berkenaan akan
menunjukkan kesediaan untuk menerima, iaitu individu berkenaan tidak “menjauhkan”
diri daripada rangsangan yang diterima. Seterusnya, individu berkenaan akan mula
bertindak secara terhad, iaitu cuba membezakan setiap rangsangan yang diterima.
Contoh objektif peringkat ini ialah pelajar dapat membezakan aktiviti luar bilik darjah
daripada aktiviti formal dalam bilik darjah.

2. Gerak Balas

Kadangkala di bawah sedar, kita sedikit sebanyak akan cenderung untuk


memberi gerak balas terhadap alunan muzik yang terhasil melalui di saluran-
saluran radio. Gerak balas yang terhasil ini berbeza di antara individu dengan
individu yang lain berdasarkan kesesuaiannya. Pada pandangan anda,
sejauhmanakah muzik mampu digunakan dalam sistem pendidikan untuk
mewujudkan gerak balas di kalangan para pelajar?

Objektif kedua Domain Afektif ialah Gerak Balas (Responding), yang bermaksud
seseorang akan bertindak balas terhadap rangsangan yang diterima disebabkan dia
mempunyai motif tersendiri untuk berbuat demikian. Motif ingin tahu tentang sesuatu
boleh menyebabkan seseorang itu bertindak balas terhadap rangsangan yang diterima.
Tindak balas ini akhirnya akan melahirkan rasa kepuasan dalam diri individu berkenaan.
Pada peringkat awalnya, gerak balas ini mungkin juga berlaku disebabkan oleh arahan
orang lain. Bagaimanapun, selepas individu berkenaan mempunyai motif tersendiri, dia
akan bertindak balas sendiri. Misalnya, menunjuk minat terhadap aktiviti di luar bilik
darjah yang menyebabkan individu berkenaan bertindak balas bagi menghasilkan
kepuasan padanya, seperti membersihkan kawasan sekolah.

3. Penilaian
Objektif ketiga Domain Afektif ialah Penilaian (Valuing), yang bermaksud seseorang itu
memahami nilai sesuatu perbuatan yang dilakukannya kepada masyarakat. Nilai/motif
ini, yang boleh dianggap sebagai motivasi luaran, akan menjadi landasan kepada setiap
perlakuan yang ditunjukkan oleh individu berkenaan. Terdapat tiga (3) jenis nilai ini, iaitu:

34 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

Jadual 2.4 : Jenis-jenis Penilaian

(a) Penerimaan semua nilai Penerimaan semua nilai, iaitu menerima semua
nilai yang terdedah kepada individu tersebut yang
menjadi landasan kepada perlakuannya.

(b) Pemilihan nilai tertentu Pemilihan nilai tertentu, iaitu memilih nilai
tertentu dari nilai-nilai yang didedahkan kepada
individu tersebut yang menjadi landasan kepada
perlakuannya.

(c) Komitmen Komitmen, iaitu memegang teguh kepada


sesuatu kepercayaan (satu set nilai) yang menjadi
landasan kepada perlakuannya dan sanggup
mempertahan kepercayaan ini daripada sebarang
cabaran.

Latihan 2.3

Sediakan satu jadual yang menunjukkan kata kerja perlakuan yang sesuai
untuk objektif Domain Afektif peringkat Penerimaan, Gerak Balas dan Penilaian

4. Organisasi
Objektif keempat Domain Afektif ialah Organisasi (Organization), yang bermaksud
seseorang itu boleh menyusun semua nilai yang diterimanya kepada satu sistem yang
lebih praktikal. Penyusunan nilai-nilai ini terbahagi kepada dua peringkat, iaitu pertama,
mengkonsepsualisasikan nilai-nilai dan membentuk pertalian antaranya; dan keduanya
menyusun nilai-nilai ini hingga menjadi satu sistem nilai/kepercayaan. Contohnya, pelajar
dapat menerima peraturan sekolah dan seterusnya dapat mengawal diri mengikut
peraturan tersebut. Ini dapat dilihat melalui analogi Rajah 2.5 di bawah:

Rajah 2.5: Domain afektif organisasi

OUM 35
OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

5. Perwatakan
Objektif kelima dan terakhir Domain Afektif ialah Perwatakan (Characterization), yang
bermaksud seseorang itu mematuhi sesuatu sistem nilai dan sanggup mengamalkannya
sebagai satu cara hidup. Pada kebiasaannya, individu berkenaan akan kekal memegang
sistem nilai berkenaan. Pada peringkat ini, seseorang itu akan memperlihatkan: (a)
perwatakan berlandaskan kepada nilai tertentu, misalnya dapat membuat keputusan
mengikut keadaan, tanpa berasaskan perasaan atau sogokan; dan (b) sistem nilai
tersendiri, iaitu mempunyai falsafah atau prinsip hidup tersendiri. Ini boleh dilihat melalui
analogi dalam Rajah 2.6 berikut:

Rajah 2.6: Domain afektif perwatakan

Latihan 2.4

Sediakan satu jadual yang menunjukkan kata kerja perlakuan yang sesuai untuk
objektif Domain Afektif peringkat Organisasi dan Perwatakan.

2.4 OBJEKTIF DOMAIN PSIKOMOTOR

Pernahkah anda terfikir bagaimanakah anda menguasai satu-satu kemahiran yang


melibatkan pergerakkan fizikal yang juga dikenali sebagai psikomotor anda seperti
bersukan, menari atau menunggang motosikal? Bagaimana anda membentuk objektif-
objektif Psikomotor ini?

36 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

Psikomotor adalah kemahiran berkaitan pergerakan anggota fizikal seseorang. Guru-guru


pendidikan jasmani memberi sentiasa memberi tumpuan kepada pengawalan pergerakan
anggota dalam pengajaran dan latihan. Pada peringkat prasekolah dan sekolah rendah, kanak-
kanak diasuh untuk menguasai pergerakan yang biasa dilakukan dalam kehidupan harian
dan juga pergerakan baru dalam senaman. Di samping itu, mereka dilatih untuk menguasai
kemahiran khusus yang jarang dilakukan dalam kehidupan harian, misalnya, kemahiran
menggelecek dalam permainan bola sepak.

Sebagai mana dalam domain kognitif dan afektif, domain psikomotor turut mempunyai hierarki
tersendiri. Simpson (1972) mengemukakan tujuh peringkat objektif domain psikomotor,
daripada mudah kepada susah; iaitu: (1) Persepsi, (2) Persediaan, (3) Pergerakan Terkawal,
(4) Pergerakan Mekanistik, (5) Pergerakan Kompleks, (6) Pergerakan Suaian dan
(7) Pergerakan Ciptaan.

Rajah 2.5: Objektif domain psikomotor

1. Persepsi
Objektif pertama Domain Psikomotor ialah Persepsi (Perception), yang bermaksud
seseorang itu mempersepsikan satu pergerakan tertentu, seperti memerhati pergerakan
“rejaman” dalam permaian bola tampar. Melalui pemerhatian ini, seseorang itu akan
dapat mengingat pergerakan motor (motor movement) berkaitan dengan pergerakan
yang dilihat. Misalnya, apabila pelajar melihat pergerakan “rejaman” dalam permainan
bola tampar, dia akan ingat cara bagaimana pemain melakukan “rejaman” tersebut.
Contoh objektif pengajaran peringkat Persepsi ialah “Pelajar dapat menjelaskan cara
pemain melakukan “rejaman” dalam permainan bola tampar”.

2. Persediaan
Objektif kedua Domain Psikomotor ialah Persediaan (Set), yang bermaksud seseorang
itu bersedia secara mental, emosi dan fizikal untuk melakukan sesuatu pergerakan.
Misalnya, melalui pemerhatian terhadap sesuatu pergerakan, seperti memerhati
pergerakan “rejaman” dalam permainan bola tampar, pelajar dapat mengingat pergerakan
tersebut (persediaan mental) dan dengan itu bersedia untuk melakukannya. Contoh

OUM 37
OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

objektif pengajaran peringkat Persediaan ialah “Pelajar dapat menjelaskan cara melakukan
“rejaman” dalam permainan bola tampar”.

3. Pergerakan Terkawal
Objektif ketiga Domain Psikomotor ialah Pergerakan Terkawal (Guided Response), yang
bermaksud seseorang itu dapat melakukan pergerakan awal berkaitan kemahiran yang
ingin dipelajari. Pergerakan ini biasanya dilakukan secara peniruan dan cuba jaya.
Misalnya, pelajar meniru bagaimana pemain melakukan pergerakan “rejaman” dalam
permainan bola tampar. Contoh objektif pengajaran peringkat Pergerakan Terkawal ialah
“Pelajar dapat melakukan pergerakan awal cara melakukan “rejaman” dalam permainan
bola tampar”.

4. Pergerakan Mekanistik
Objektif keempat Domain Psikomotor ialah Pergerakan Mekanistik (Mechanistic
Response), yang bermaksud seseorang itu dapat melakukan sesuatu pergerakan yang
ingin dipelajari secara mahir dan yakin. Misalnya, pelajar berjaya melakukan pergerakan
“rejaman” dalam permainan bola tampar seperti yang perhatikan, iaitu berjaya meniru
pergerakan pemain. Contoh objektif pengajaran peringkat Pergerakan Mekanistik ialah
“Pelajar dapat meniru cara melakukan “rejaman” dalam permainan bola tampar”.

Latihan 2.5

Sediakan satu jadual yang menunjukkan kata kerja perlakuan yang sesuai
untuk objektif Domain Psikomotor peringkat Persepsi, Persediaan, Pergerakan
Terkawal dan Pergerakan Mekanistik.

5. Pergerakan Kompleks
Objektif kelima Domain Psikomotor ialah Pergerakan Kompleks (Complex Response),
yang bermaksud seseorang itu dapat melakukan sesuatu pergerakan yang kompleks
secara cekap dan licin. Misalnya, pelajar berjaya melakukan pergerakan “rejaman” dalam
permainan bola tampar dengan cekap dan licin, iaitu berjaya melakukan pergerakan ini
sendiri, tanpa meniru pemain. Contoh objektif pengajaran peringkat Pergerakan Mekanistik
ialah “Pelajar dapat melakukan “rejaman” dalam permainan bola tampar dengan cekap
dan licin”.

6. Pergerakan Suaian
Objektif keenam Domain Psikomotor ialah Pergerakan Suaian (Adaptive Response),
yang bermaksud seseorang itu dapat melakukan sesuatu pergerakan secara cekap
dan licin dalam sesuatu keadaan tertentu. Misalnya, pelajar berjaya melakukan pergerakan
“rejaman” dalam permainan bola tampar dengan cekap dan licin semasa bola rendah”.
Contoh objektif pengajaran peringkat Pergerakan Sesuaian ialah “Pelajar dapat
melakukan “rejaman” dalam permainan bola tampar dengan cekap dan licin semasa
bola rendah”.

7. Pergerakan Ciptaan
Objektif ketujuh dan terakhir Domain Psikomotor ialah Pergerakan Ciptaan (Originative
Response), yang bermaksud seseorang itu dapat melakukan sesuatu pergerakan baru
secara cekap dan licin dalam sesuatu keadaan tertentu. Misalnya, pelajar berjaya
melakukan pergerakan “rejaman” baru dalam permainan bola tampar dengan cekap
dan licin semasa bola rendah”. Contoh objektif pengajaran peringkat Pergerakan

38 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

Sesuaian ialah “Pelajar dapat melakukan “rejaman” baru dalam permainan bola tampar
dengan cekap dan licin semasa bola rendah”.

Latihan 2.6

Sediakan satu jadual yang menunjukkan kata kerja perlakuan yang sesuai
untuk objektif Domain Psikomotor peringkat Pergerakan Kompleks,
Pergerakan Suaian dan Pergerakan Ciptaan.

2.5 OBJEKTIF DOMAIN SOSIAL

Adakah objektif-objektif pengajaran yang telah dibincangkan itu mencukupi?

Selain proses/aktiviti yang berlaku dalam tiga domain utama ini, kita dapati proses/ aktiviti
dalam bidang hubungan sosial tidak diberi perhatian sewajarnya. Contohnya, hubungan
murid dengan murid, murid dengan guru atau murid dengan orang tua. Sehubungan itu,
Dettmer (1997) mencadangkan satu domain khusus untuk hubungan/tingkah laku sosial,
iaitu Domain Sosial. Domain ini terdiri daripada lapan peringkat objektif, iaitu: (1) Berhubung,
(2) Berkomunikasi, (3) Melibatkan Diri, (4) Berunding, (5) Bekerjasama, (6) Menghakim,
(7) Memulakan dan (8) Menukar.

Rajah 2.6: Objektif domain sosial

OUM 39
OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

1. Berhubung
Objektif pertama Domain Sosial ialah Berhubung (Relating), yang bermaksud seseorang
itu cuba menunjukkan tingkah laku membuat kontak (contact) terhadap seseorang lain,
seperti membuat kontak mata (eye contact). Di sini, kontak mata merupakan permulaan
kepada “perkenalan” yang berakhir dengan berlakunya sesuatu komunikasi. Contoh
objektif pengajaran peringkat Berhubung ialah “Pelajar menyedari kehadiran seseorang
lain”.

2. Berkomunikasi
Objektif kedua Domain Sosial ialah Berkomunikasi (Communicating), yang bermaksud
seseorang itu cuba berkomunikasi dengan seseorang lain, iaitu cuba memberi atau
menerima mesej, seperti ingin bertanya tentang sesuatu. Di sini, tingkah laku ingin
bertanya itu menyebabkan orang kedua turut bertindak untuk berkomunikasi. Contoh
objektif pengajaran peringkat Berkomunikasi ialah “Pelajar cuba berkomunikasi dengan
seseorang lain melalui bahasa isyarat”.

3. Melibatkan Diri
Objektif ketiga Domain Sosial ialah Melibatkan Diri (Participating), yang bermaksud
seseorang itu secara sukarela mengambil bahagian dalam sesuatu aktiviti berkumpulan,
seperti berbual-bual dengan beberapa orang lain. Di sini, tingkah laku berbual akan
menggalakkan ahli kumpulan turut mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut. Contoh
objektif pengajaran peringkat Melibatkan Diri ialah “Pelajar mengambil bahagian dalam
aktiviti berkumpulan”.

Rajah 2.7: Melibatkan diri

4. Berunding
Objektif keempat Domain Sosial ialah Berunding (Negotiating), yang bermaksud
seseorang itu boleh membuat perbincangan dengan ahli-ahli kumpulan tentang sesuatu
isu/masalah yang timbul, seperti berbincang untuk membuat sesuatu keputusan. Di
sini, tingkah laku berbincang menunjukkan seseorang itu ingin membantu untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi kumpulannya. Contoh objektif pengajaran
peringkat Berunding ialah “Pelajar cuba menjelaskan sesuatu isu/masalah supaya
penyelesaian yang baik dapat dicapai dengan segera”.

40 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

5. Bekerjasama
Objektif kelima Domain Sosial ialah Berkerjasama (Collaborating), yang bermaksud
seseorang itu boleh berkerjasama dengan ahli-ahli kumpulan untuk menjayakan sesuatu
projek, seperti berkerjasama untuk membersihkan kawasan sekolah. Di sini, tingkah
laku berkerjasama menunjukkan seseorang itu ingin semua ahli sama-sama
menyelesaikan projek/masalah yang dihadapi. Contoh objektif pengajaran peringkat
Berkerjasama ialah “Pelajar dapat menguruskan ahli-ahli kumpulan untuk menjayakan
projek”.

6. Menghakim
Objektif keenam Domain Sosial ialah Menghakim (Adjudicating), yang bermaksud
seseorang itu dapat bertidak untuk mendamaikan sesuatu keadaan apabila terdapat
perbezaan pendapat, seperti meleraikan satu pertengkaran. Di sini, tingkah laku
meleraikan pertengkaran menunjukkan seseorang itu ingin mengekalkan keharmonian
di kalangan ahli-ahli kumpulannya. Contoh objektif pengajaran peringkat Menghakim ialah
“Pelajar dapat menyelesaikan perbalahan di kalangan ahli-ahli kumpulan”.

Rajah 2.8: Menghakim

7. Memulakan
Objektif ketujuh Domain Sosial ialah Memulakan (Initiating), yang bermaksud seseorang
itu dapat memulakan sesuatu aktiviti berkumpulan yang baru, walaupun terpaksa
menghadapi risiko tertentu, seperti berkhemah di tepi sungai. Di sini, tingkah laku
mengadakan perkhemahan menunjukkan seseorang itu ingin melihat ahli-ahli
kumpulannya mendapat pengalaman baru. Contoh objektif pengajaran peringkat
Memulakan ialah “Pelajar berjaya mencadang dan melaksanakan projek baru bersama
ahli-ahli kumpulannya”.

8. Menukar
Objektif kelapan dan terakhir Domain Sosial ialah Menukar (Converting), yang bermaksud
seseorang itu berupaya menukarkan gaya hidup ahli-ahli kumpulan kepada gaya hidup
baru, seperti mencintai alam sekitar. Di sini, tingkah laku mendorong ahli-ahli kumpulan
mencintai alam sekitar menunjukkan seseorang itu ingin melihat ahli-ahli kumpulannya
hidup dalam persekitaran yang lebih harmoni. Contoh objektif pengajaran peringkat
Menukar ialah “Pelajar berjaya mendorong ahli-ahli kumpulannya membersihkan kawasan
sekolah setiap minggu “.

OUM 41
OBJEKTIF PENGAJARAN TAJUK 2

RUMUSAN
Penggubalan alat pengukuran memerlukan perancangan yang rapi, teliti dan sistematik, agar
keputusan yang diperoleh benar-benar tepat dan sebarang tindakan susulan akan tepat dan
selaras. Penetapan dan penentuan objektif pengajaran yang jelas akan dapat membantu
guru dalam menyediakan alat pengukuran yang berkesan dan sesuai bertepatan dengan
objektif penilaian yang ditetapkan. Tajuk ini telah menjelaskan tentang peringkat-peringkat
objektif pengajaran bagi Domain Kognitif, Domain Afektif, Domain Psikomotor dan Domain
Sosial. Tajuk seterusnya akan membincangkan tentang penyediaan Jadual Penentu Ujian
(JPU) yang diharapkan dapat memberi panduan kepada penggubal soalan ujian, bagi
memastikan soalan ujian yang digubal itu memiliki kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi.

GLOSARI
Objektif Pengajaran Dinyatakan dalam bentuk penyataan yang jelas bagi sebagai
panduan kepada guru dalam memilih kaedah dan pendekatan
dalam pengajaran di bilik darjah. Terbahagi kepada empat domain
iaitu kognitif, afektif, psikomotor dan social.

Domain Kognitif Melibatkan perkembangan intelek pelajar.

Domain Afektif Melibatkan perkembangan sikap dan nilai.

Domain Psikomotor Melibatkan perkembangan kemahiran dan kebolehan fizikal.

Domain Sosial Melibatkan perkembangan hubungan/tingkah laku sosial pelajar.

UJIAN 1
1. Jelaskan pertalian antara objektif pelajaran dengan penilaian.
2. Berikan tiga (3) peringkat objektif Domain Afektif.
3. Jelaskan maksud objektif “Analisis” dalam Domain Kognitif.

UJIAN 2
1. Jelaskan apakah Domain Sosial.
2. Senarai dan jelaskan tiga (3) peringkat objektif Domain Sosial.
3. Berikan contoh perlakuan yang sesuai bagi tiga (3) peringkat objektif Domain Sosial di
atas.

42 OUM
TAJUK 2 OBJEKTIF PENGAJARAN

RUJUKAN
Abu Bakar Nordin. (1987). Developing scale in affective domain. Occasional papers
no.5. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bloom, B.S. (1989). Taksonomi objektif pendidikan, buku pedoman 1: Domain kognitif
(ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bloom, B.S., Hasting, J.T., Madaus, G.F. (1971). Handbook on formative and summative
evaluation of student learning. New York: Harper and Row Publisher.

Dettmer, P.A. (1997). New blooms for established fields. Presented at annual conference
of the Kansas Association for Gifted, Talented, and Creative, Hutchinson, K.S.

Hanna, G.S. & Detmer, P.A. (2004). Assessment for Affective Teaching: Using Context-
Adaptive Planning. Boston: Pearson.

Krathwohl, D.R., Bloom, B.S., Masia, B.B. (1965). Classroom testing: Construction.
Illinois: F.E Peacock Publisher Inc.

Mokhtar Ismail. (1995). Penilaian di bilik darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Pusat Perkembangan Kurikulum. Penilaian kendalian sekolah. Kementerian Pendidikan


Malaysia.

Raminah Haji Sabran (1991). Penilaian dan pengujian Bahasa Malaysia: Penerapannya
pada peringkat sekolah rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Simpson, E.j. (1972). The Psychomotor Domain, vol. 3. Washington, DC: Gryphon
House.

OUM 43

You might also like