You are on page 1of 5

TINDAKAN

Gejala rasuah bukan suatu fenomena yang baru. Sejarah rasuah boleh disusuri dari masa
manusia mulai membentuk masyarakat bersosial sejak beribu-ribu tahun lalu. Dr Syed Hussein
Al-Attas dalam kajiannya telah mengupas kejadian rasuah di peradaban lama seperti Roman,
Greek dan Cina.

Amalan rasuah sangat ditegah oleh agama Islam. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan
jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada
hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan
(berbuat) dosa padahal kamu mengetahui salahnya.

Secara ringkasnya, gejala rasuah yang menular bukan sahaja menghakis kemoralan
sesuatu masyarakat, mencabuli hak sosial dan ekonomi golongan miskin dan terpinggir,
mencabar keluhuran undang-undang dan kesannya ialah pembangunan masyarakat yang
terbantut.

Kawalan undang-undang terhadap rasuah adalah melalui penguatkuasaan Akta


Pencegahan Rasuah 1997, Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat No 22, 1970, Akta Kesalahan
Pilihanraya 1954, Kanun Keseksaan dan Akta Kastam 1967. Bahagaian III Akta Pencegahan
Rasuah 1997 (Akta 575) secara intipati adalah sama dengan kesalahan-kesalahan yang
diperuntukan dalam Bahagian II Akta Pencegah Rasuah 1961 (Akta 57). Seksyen 10,11,12,13
dan 14 Akta 575 adalah in pari materia dengan Seksyen 3,4,6,7 dan 9 Akta 57. Seksyen 15 Akta
575 pula mengandungi kesalahan yang sama dengan seksyen 2 Ordinan 22. Satu perbezaan
ketara antara Akta 575 berbanding Akta 57 dan Ordinan 22 ialah penalti hukuman pemenjaraan
dan denda telah ditingkatkan.

Bagi kesalahan rasuah di bawah Ordinan 22, tiada had pemenjaraan minimum. Sebagai
contoh, dalam kes Pendakwa Raya lawan Datuk Tan Cheng Swee, tertuduh disabitkan atas
kesalahan Seksyen 2(1) Ordinan 22 iaitu menggunakan kedudukan sebagai pegawai awam untuk
keuntungan kewangan, Mahkamah Persekutuan hanya mengenakan hukuman denda RM2000
sahaja terhadapa beliau.
Di bawah Akta 57 (yang sudah dimansuh), tempoh maksimum pemenjaraan ialah 7 tahun
atau denda 10 ribu ringgit atau kedua-duanya. Tiada had pemenjaraan minimum di bawah Akta
57. Bagi Akta 575 pula, tiga jenis penalti dikenakan iaitu pemenjaraan, denda atau melucuthakan
harta. Seksyen 16 memperuntukkan pemenjaraan selama tempoh minimum 14 hari dan tempoh
maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang
ditawarkan atau diterima, jika dapat dinilaikan, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut yang mana-
mana yang lebih tinggi. Seksyen 36 dan 37 berkenaan dengan pelucuthakan harta yang
dibuktikan menjadi hal perkara rasuah.

Penalti pemenjaraan minimum yang dicadangkan semasa Bacaan Kali Pertama dan
Kedua Rang Undang-undang Pencegahan Rasuah 1997 di Dewan Rakyat adalah 6 bulan. Tetapi,
melalui Kertas Pemberitahuan semasa Bacaan Ketiga Rang Undang-undang tersebut, penalti
pemenjaraan minimum dikurangkan menjadi 14 hari. Dengan ini, adalah disimpulkan niat
Parlimen ialah mengenakan pemenjaraan minimum yang pendek dan mahkamah diberi budi
bicara untuk menentukan tempoh pemenjaraan berdasarkan fakta kes.

Tafsiran terhadap penghukuman di bawah Seksyen 16 Akta 575 dibincangkan dalam kes
Pendakwa Raya lwn Mohd Salim Hamiddulrahman Mahkamah Tinggi menafsirkan Seksyen 16
sebagai “mana-mana orang yang didapati bersalah … boleh apabila disabitkan … dipenjarakan
dan didenda“. Mahkamah menyatakan pemenjaraan dan denda diharus dibaca secara bersama
iaitu tafsiran secara konjuktif. Mahkamah juga turut menambah tafsiran konjuktif sedemikian
tidak bermakna bahawa perkataan “boleh apabila disabitkan“ adalah mandatori. Apa yang
dimaksudkan ialah Mahkamah masih boleh guna budi bicaranya dalam menggunakan kuasa di
bawah seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah iaitu pelepasan ikat jamin dengan syarat supaya
berkelakuan baik. Tetapi, sekiranya seksyen 16 hendak digunakan, maka kedua-dua denda dan
pemenjaraan harus dikenakan bersama. Intepretasi tersebut berdasarkan rujukan terhadap Rang
Undang-Undang.

Seperkara yang menarik ialah tiada hukuman sebatan ke atas kesalahan rasuah. Secara
umumnya, sebatan hanya dikenakan ke atas pesalah yang menggunakan kekerasan. Di sini
timbulnya pengecualiaan apabila Parlimen meluluskan Kanun Keseksaan (Pindaan) 1993 dengan
mengenakan sebatan ke atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang (seksyen 403 dan
404), pecah amanah jenayah (seksyen 406-409) dan menipu (seksyen 420). Tiada elemen
kekerasan digunakan dalam seksyen-seksyen tersebut. Di bawah Seksyen 288(4) Kanun
Prosedur Jenayah, rotan yang digunakan ke atas kesalahan seksyen tersebut ialah rotan halus.

Persoalan disini adalah adakah hukuman gantung ke atas pemberi dan penerima boleh
membendung gejala rasuah? Ahli Juris zaman dulu telah mencuba pelbagai pendekatan untuk
membendung gejala rasuah. Undang-undang Hammrabi misalnya telah menetapkan hukuman
mati bagi pegawai awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah tertentu. Hukuman mati juga
dikenakan ke atas mereka yang terlibat dalam rasuah di Cina purba. Walaupun hukuman mati
dikenakan, namun gejala rasuah masih lagi menular.

Berdasarkan pengalaman sejarah, jelaslah bahawa hukuman mati bukanlah satu hukuman
yang berkesan untuk membendung rasuah. Oleh kerana rasuah adalah satu jenayah yang
dilakukan secara sulit, maka adalah mustahil untuk mendapatkan perangkaan tentang kes rasuah
yang sebenarnya berlaku. Sebagai alternatif, persepsi terhadap kejadian rasuah seringkali
digunakan sebagai kayu ukur. Indeks Persepsi Rasuah yang diterbitkan oleh Transparency
International merupakan sumber berwibawa. Indeks tersebut diperolehi dengan soal-selidik
untuk mendapatkan perspektif ahli perniagaan asing terhadap rasuah dalam sektor awam.

Kedudukan Malaysia ialah dalam lingkungan 4.8 hingga 5.32 daripada skala 10 bagi
tempoh 1996-2003. Kedudukan Malaysia adalah jauh di belakang dengan negara jiran kita,
Singapura yang mencapai markah melebihi 9 dan berkedudukan dalam senarai 10 negara yang
paling kurang rasuah.

Seksyen 5 Akta Pencegahan Rasuah Singapura memperuntukkan bahawa hukuman am


bagi rasuah ialah denda tidak melebihi S$100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau
kedua-duanya. Untuk kesalahan spesifik yang dinyatakan dalam Akta tersebut, hukuman
pemenjaraan ditingkatkan kepada maksimum 7 tahun.

Tempoh pemenjaraan maksimum kesalahan rasuah di Singapura adalah jauh lebih pendek
daripada tempoh maksimum 20 tahun Akta 575 Malaysia. Pengalaman Singapura membuktikan
pengurangan gejala rasuah bukan disebabkan oleh hukuman berat sahaja.

Di Malaysia, hukuman mati dikenakan ke atas 4 jenis kesalahan sahaja iaitu kesalahan
membunuh (Seksyen 302 Kanun Keseksaan), mencolek (Seksyen 364 Kanun Keseksaaan atau
Seksyen 3(1) Akta Mencolek 1961), memiliki senjata api (Seksyen 57, Akta Keselamatan
Dalam Negeri 1960) dan pengedaran dadah merbahaya (seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya
1952). Elemen keganasan melampau wujud dalam tiga kesalahan pertama tersebut. Bagi
kesalahan mengedar dadah pula, justifikasinya adalah untuk membendung aktiviti sindiket
pengedaran dadah supaya bekalan dadah tidak berleluasa sehingga melumpuhkan masyarakat.

Secara umumnya, salah satu objektif hukuman mati adalah berdasarkan konsep balasan
iaitu “hutang darah dibayar darah”. Objektifnya ialah membalas balik secara fizikal perbuatan si
penjenayah. Saya berhujah kesalahan rasuah tidak boleh digolongkan dalam kategori ini.
Objektif hukuman mati yang lain ialah bertujuan pencegahan secara am iaitu untuk menakutkan
mereka yang ada kecenderungan melakukan jenayah dan masyarat secara amnya. Kelaziman
hukuman dijatuhkan akan menjadi amaran berterusan kepada masyarakat.
Hukuman mati juga akan mematahkan keupayaan secara kekal. Mereka yang dianggap
berbahaya kepada masyarakat akan diasingkan secara kekal dengan masyarakat.

Perubahan harus dilakukan terhadap dasar kerajaan ini. Hukuman tersebut wajar
digantikan dengan konsep hukuman secara moden adalah berdasarkan pemulihan. Pesalah harus
diberi peluang untuk pulang ke pangkal jalan. Hukuman mati tidak memberi peluang kepada
pesalah untuk menjadi seorang warga yang baik semula. Hujah-hujah tentang keberkesanan
tindakan polis dan pendakwaan untuk memastikan pesalah disabitkan mempunyai impak yang
lebih besar berbanding hukuman berat adalah sangat releven. Dengan kata lain, formula
pencegahan terhadap berlakunya jenayah ialah kepastian terhadap tangkapan dan hukuman dan
bukan keberatan hukuman per se.

Disamping itu, hukuman yang diambil haruslah berkadaran dengan kesalahan. Hal ini
kerana tujuan hukuman ialah untuk mengambil kira keuntungan tidak adil yang diambil oleh
pesalah. Hukuman setimpal harus dikenakan untuk memusnahkan keuntungan tidak adil yang
dinikmati oleh pesalah. Hukuman terlampau berat adalah tidak adil kepada pesalah. Saya
berhujah hukuman mati adalah terlampau berat dan tidak adil bagi pesalah rasuah.

Kita harus merenungi apa yang dikatakan oleh ahli falsafah Cina, Confucius: “Sekiranya
rakyat jelata dikawal dengan undang-undang, maka mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak
diheret ke penjara dan mereka tidak akan berasa malu untuk melakukan kesalahan. Jika mereka
dididik dengan moral dan etika, maka mereka akan berasa malu untuk melakukan kesalahan dan
akan menjadi orang yang baik.”

Akhir kata, hukuman gantung terhadap pemberi dan penerima rasuah bukanlah formula
untuk membendung rasuah. Kita harus menerimapakai nasihat Confucius dengan pendekatan
bersepadu yang merangkumi pendekatan undang-undang dan bukan undang-undang. Dengan ini,
barulah kita dapat memupuk nilai integriti sebagai budaya nasional untuk menentang gejala
rasuah.

You might also like