You are on page 1of 7

Peristiwa Muakhat (Ikatan Persaudaraan Di Antara Muhajirin Dan

Ansar)
 
Dipetik dari web: www.darulkautsar.net
 
Peristiwa ' muakhat' ialah ikatan persaudaraan yang dijalinkan oleh Nabi s.a.w. di antara sahabat - sahabat
Muhajirin dan Ansar.
 
Ibnu Ishaq menulis: Rasulullah s.a.w. mempersaudarakan di antara sahabat - sahabat Muhajirin dan Ansar.
Maka Baginda s.a.w. bersabda mengikut apa yang sampai kepada kami dan kami berlindung dengan Allah
s.w.t. dari mengatakan atas nama Nabi sesuatu yang tidak diucapkannya -" Bersaudaralah kamu kerana
Allah dua - dua orang ". Kemudian Baginda s.a.w. memegang tangan Ali seraya berkata, " Ini saudaraku".
Rasulullah adalah penghulu sekalian Rasul, ikutan orang - orang bertaqwa dan pesuruh Tuhan Semesta
Alam yang tidak mempunyai bandingan dan tandingan dari kalangan hambaNya, dengan ini menjadi
saudara kepada Ali bin Abi Thalib. Hamzah bin Abdul Muttalib Singa Allah dan Singa RasulNya dan bapa
saudara Rasulullah s.a.w. menjadi saudara kepada Zaid bin Haritsah, hamba yang telah dibebaskan oleh
Rasulullah s.a.w. Kepadanyalah Hamzah berpesan pada hari peperangan Uhud, sekiranya beliau gugur
dalam peperangan itu. Ja'far bin Abli Thalib, Zuljanahain (yang mempunyai dua sayap yang terbang di
dalam syurga) menjadi saudara kepada Muadz bin Jabal. - (Lihat Sirah Ibnu Ishaq m/s 234, Sirah Ibnu
Hisyam jilid 2 m/s 108 - 110)
 
Cerita dari Ibnu Ishaq ini perlu dinilai semula dan diuji dengan neraca riwayat dan dirayat untuk
menentukan kesahihannya. Oleh kerana Ibnu Ishaq tidak mengemukakan sanadnya (dan untuk
menggantikan 'sanad' dia telah bersumpah dengan nama Allah bahawa apa yang diceritakannya adalah
sesungguhnya dari Rasullullah s.a.w.!) maka kita akan menilainya menggunakan kaedah dirayah
sebagaimana berikut:
 
(i) Jalinan persaudaraan yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w. di antara sahabat Muhajirin dan Ansar itu adalah
dengan maksud supaya sahabat - sahabat Muhajirin tidak kesepian dan bersedih hati kerana perpisahan
dengan ahli keluarga dan sanak-saudaranya di Makkah selain dari untuk sama - sama berganding bahu,
bantu-membantu terutamanya dalam memberikan peluang pekerjaan dan mewujudkan kesempatan -
kesempatan untuk hidup berdikari bagi Muhajirin. Tetapi dalam riwayat ini kita melihat beberapa orang
Muhajir telah dipersaudarakan Nabi s.a.w. dengan Muhajir juga termasuklah diri Baginda s.a.w. sendiri
yang telah bersaudara dengan Sayyidina Ali. Apa perlunya Rasulullah s.a.w. bersaudara dengan Sayyidina
Ali kerana sememangnya Baginda s.a.w. mempunyai pertalian darah dengan Sayyidina Ali selain dari telah
memelihara Ali semenjak kecilnya lagi. Rasulullah s.a.w dengan kedudukannya tidak memerlukan
'persaudaraan' dalam konteks supaya boleh hidup berdikari atau mendapat pekerjaan untuk hidup. Ikatan
persaudaraan yang sebegini sebenarnya menjatuhkan martabat Baginda s.a.w. sebagai nabi Allah!
 
Ketika menyebutkan kelebihan - kelebihan Rasulullah s.a.w. sebagai penghulu sekalian Rasul, Rasulullah
s.a.w ikutan orang - orang bertaqwa dan seterusnya tidak lain kerana untuk menyatakan kelebihan
Sayyidina Ali itu sendiri kerana tentunya seorang yang dipilih sebagai saudara oleh Rasulullah s.a.w..
adalah seorang yang cukup istimewa dan tiada tolok bandingnya.
 
Persaudaraan Nabi s.a.w. dengan Sayyidina Ali ditolak oleh para ulama' dan mereka menganggapnya tidak
sahih kerana persaudaraan yang diadakan itu adalah di antara Muhajirin dengan Ansar supaya terjalin kasih
sayang di antara mereka, justeru itu persaudaraan Nabi s.a.w. dengan Sayyidina Ali begitu juga
persaudaraan di antara Muhajirin dengan Muhajirin yang lain sama seperti persaudaraan Hamzah dan Zaid
adalah suatu yang tidak berfaedah, begitu juga persaudaraan antara Muaz bin Jabal dengan Ja'far.
 
ii) Seterusnya Ibnu Ishaq menyebutkan persaudaraan yang dijalinkan di antara Hamzah dengan Zaid bin
Haritsah sedangkan mereka berdua ini juga dari kalangan Muhajirin. Untuk apa pula dipersaudarakan
mereka berdua ? Mungkin Ibnu Ishaq cuba memintas lintasan fikiran kita yang mungkin ragu dengan ikatan
persaudaraan di antara Nabi s.a.w. dengan Sayyidina Ali padahal mereka berdua adalah Muhajirin. Untuk
menenangkan kita, sengaja Ibnu Ishaq mempersaudarakan Hamzah dan Zaid bin Haritsah, bukankah
mereka berdua itu dari kalangan Muhajirin ?
 
(iii) Dalam riwayat tersebut di atas, Ja'far bin Abi Thalib telah dipersaudarakan dengan Muadz bin Jabal.
Bagaimana mungkin Nabi S.A.W mempersaudarakan Ja'far dengan Muadz kerana Ja'far telah berhijrah ke
Habsyah pada tahun kelima dari kenabian s.a.w. iaitu lapan tahun sebelum Hjirah dan berangkat dari
Habsyah ke Madinah pada tahun ketujuh selepas Hijrah (semasa penaklukan Khaibar) sedangkan peristiwa
mu'akhat ini berlaku lapan bulan selepas berlakunya Hijrah ke Madinah ? Riwayat ini sebenarnya
menunjukkan bercelarunya fikiran Ibnu Ishaq ini. Ibnu Katsir membuat komentar terhadap riwayat Ibnu
Ishaq ini dengan menulis bahawa keterangan Ibnu Ishaq dalam riwayat ini boleh dipertikaikan. Malah Ibnu
Hisham sendiri mempertikaikan cerita ini. ((Lihat al-Bidayah Wa an-Nihayah jilid 3 m/s 227)
 
(iv) Dalam riwayat yang sama juga disebutkan persaudaraan di antara Salman dan Abu Darda'. Ini juga
tidak mungkin berlaku kerana di permulaan hijrah Nabi S.A.W, Salman merupakan hamba kepada seorang
Yahudi. Selepas memeluk Agama Islam, beliau telah meminta dari tuan nya supaya memerdekakan beliau.
Tuannya telah meletakkan beberapa syarat yang berat yang mana terpaksa disempurnakan syarat - syarat
itu oleh Salman dalam masa empat tahun. Pada tahun yang ke-lima Hijrah barulah Salman dimerdekakan.
Bagaimana mungkin seorang yang terbelenggu dengan belenggu perhambaan itu dipersaudarakan dengan
seorang sahabat Ansar pula ? Mungkin sekali di sebalik ikatan persaudaraan Salman dengan Abu Darda' itu
adalah agenda Ibnu Ishaq yang tersendiri memandangkan beliau (Salman) adalah orang Farsi. Mengikut
dakwaan orang - orang Syi'ah, beliau (Salman) mempunyai ilmu - ilmu orang - orang dahulu dan orang -
orang kemudian, malah beliau adalah yang kelima dari 5 orang atau menurut riwayat yang lain ketiga dari 3
orang yang tetap di atas keimanannya selepas kewafatan Nabi S.A.W, sedangkan sahabat-sahabat yang
lain telah murtad.
 
Masalahnya bagaimanakah beliau (Ibnu Ishaq) boleh menerima seorang mukmin sejati seperti Salman
dipersaudarakan dengan seorang yang tidak tersenarai dari kalangan yang tetap dengan keimanannya
(menurut akidah Syiah) selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Zubair bin Awwam dan Abdullah bin Mas'ud
adalah di antara yang dipersaudarakan di permulaan hijrah itu tetapi yang anehnya mereka berdua dari
kalangan Muhajirin juga !!
 
Seterusnya Zubair bin Awwam dan Abdullah bin Mas'ud adalah di antara yang dipersaudarakan di
permulaan hijrah itu dan mereka berdua pun dari kalangan Muhajirin juga !!
 
(v) Ammar bin Yasir dan Huzaifah merupakan 2 orang yang tersenarai di antara sahabat - sahabat yang
dipersaudarakan Nabi S.A.W. meskipun kedua - dua mereka dari golongan Muhajirin
 
Hujah-hujah di atas telah membuktikan palsunya riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq itu walaupun
dipermulaan riwayatnya beliau menegaskan dengan pasti dan penuh yakin bahawa, " Kami berlindung
dengan Allah dari mengatakan atas nama nabi s.a.w sesuatu yang tidak diucapkan oleh baginda. " tetapi
bagaimana pula dengan riwayat yang dikemukakan oleh Tirmidzi dalam Sunahnya dan Hakim dalam
Mustadraknya ?
 
 
HADIS TENTANG PERSAUDARAAN RASULLULLAH DENGAN ALI DALAM SUNAN
TIRMIZI DAN MUSTADTRAK HAKIM
 
Bagaimana pula dengan riwayat yang dikemukakan oleh Tirmidzi dalam Sunannya dan Hakim dalam
Mustadraknya ? Riwayat ini adalah sebagaimana berikut:
 
"Dari Ibnu Umar bahawa, " Setelah Rasulullah s.a.w mempersaudarakan sahabat - sahabat Baginda s.a.w.,
maka Ali pun datang sambil menangis dan berkata, " Wahai Rasulullah ! Engkau telah mempersaudarakan
sahabat - sahabat yang lain tetapi tidak mempersaudarakan saya dengan sesiapapun. " Maka Nabi s.a.w.
pun bersabda, " Engkau adalah saudaraku di dunia dan di akhirat". - (Lihat Sunan Tirmidzi jilid 2 m/s 236
dan as-Mustadrak jilid 3 m/s 14)
 
Sebelum membincangkan hadis ini terlebih dahulu perlu disedari oleh kita semua bahawa musuh - musuh
Islam dipermulaan sejarah Islam telah menggunakan berbagai - bagai cara untuk memecahbelahkan umat
Islam di zaman itu merancang dengan rapi untuk mengelirukan ummah tentang sejarah awal mereka
melalui orang - orang tertentu seperti Ibnu Ishaq dan orang - orang yang menyelinap masuk di kalangan
Ahlus Sunnah dan menjadi sebagai perawi mereka.
 
Pendek kata sukar sekali untuk ditemui suatu kitab yang betul - betul bersih dari puak - puak penyangak ini.
Walaupun begitu kita merasa amat bertuah dan berbangga kerana ulamak-ulamak kita telah meninggalkan
pusaka yang amat berguna untuk menilai, mengesan dan menjejaki golongan yang tidak bertanggungjawab
ini.
 
Perawi pertama di dalam hadis yang dikeluarkan oleh Tirmidzi ini ialah Hakim bin Jubair yang merupakan
seorang dha'if dan Syi'ah. Bukhari berkata Imam Syu'bah mempertikaikannya. Ahmad berkata bahawa
Hakim bin Jubair ialah seorang yang dha'if, mungkarul hadis (seorang perawi dha'if yang mana riwayatnya
selalu bercanggah dengan riwayat - riwayat perawi - perawi yang tsiqah). Nasa'i berkata, " Dia seorang
yang tidak kuat". Daruquthni menulis, " Dia seorang yang matrukul hadis (seorang yang ditinggalkan
hadisnya dan tidak dihiraukan ceritanya). Muadz menceritakan bahawa, " Kami pernah meminta kepada
Syu'bah supaya dikemukakannya hadis - hadis Hakim bin Jubair. Dengan permintaan kami itu beliau lantas
menjawab, " Dengan mengemukakan hadisnya saya bimbang saya akan masuk neraka." Fallas berkata, "
Bahawa Abdul Rahman bin Mahdi tidak mahu menerima riwayat - riwayatnya dan selalu berkata, "
Walaupun riwayat - riwayatnya adalah sedikit, namun kebanyakannya adalah mungkar (menyalahi riwayat
- riwayat orang yang tsiqah). " Jauzajani berkata, " Hakim bin Jubair adalah seorang pendusta besar". Abu
Hatim berkata,
"Dia seorang yang dhaif dan matrukul hadis selain dari seorang yang melampau dalam fahaman Syi'ahnya"
- (Lihat Mizanu al-I'tidal jilid 1 m/s 583 - 584, Tahzibu at-tahzib jilid 2 m/s 383 dan lain - lain)
 
Perawi kedua dalam isnad Tirmidzi ini ialah Ali bin Qadim Abu al Hasan al-Khuzaa'i al-Kufi. Yahya bin
Ma'in mengatakan, " Dia seorang yang dhaif". Ibnu Adi menulis, " Banyak dari riwayatnya menurut
pandangan saya adalah mungkar". Ibnu Sa'ad juga berkata, " Dia seorang mungkarul hadis dan dia seorang
Syi'ah pekat". (Mizanu al-I'tidal jilid 3 m/s 150)
 
Perawi terakhir dalam isnad Tirmidzi ialah Juma'i bin Umar at-Taimi. Dia telah menukilkan hadis ini dari
Abdullah bin Umar.
 
Imam Bukhari menulis tentang Juma'i bin Umar at-Taimi sebagaimana berikut, " Walaupun dia telah
mendengar hadis - hadis dari Ibnu Umar dan A'isyah namun ulama' hadis mempertikaikan riwayat -
riwayatnya." Ibnu Hibban menulis, " Dia seorang Rafidhi (Syi'ah pekat). Dia mereka hadis sesuka hatinya."
Ibnu Numair berkata, " Dia terbilang di antara orang - orang yang paling dusta." Ibnu ' Adi pula menulis, "
Bahawa cerita yang dikemukakannya adalah mungkar. Kebanyakan riwayat - riwayatnya tidak
dikemukakan oleh orang lain ". (Mizanu al-I'tidal jilid 1 m/s 421)
 
Jelaslah sudah bahawa terkumpul dalam isnad Tirmidzi itu tiga orang Syi'ah berturut - turut. Dua
daripadanya tertuduh mereka hadis. Perawi - perawi yang tertuduh mereka hadis, riwayat - riwayatnya
dihukum maudhu' dan palsu.
 
Isnad Hakim pula mengandungi dua orang perawi yang lain iaitu Ishak bin Bishr dan Salim bin Abi Hafsah
al-Ijli al-Kufi. Mereka menukilkan dari Jumai' yang disebut tadi.
 
(1) Ishak bin Bishr:
 
Imam Zahabi menulis bahawa Abu Bakar Ibnu Abi Syaibah, Musa bin Harun dan Abu Zura'ah ar-Razi
mengatakan dia seorang pendusta besar. Daraquthni menulis bahawa, " Dia terbilang di antara orang -
orang yang selalu mereka hadis. Dia seorang pendusta besar dan pereka hadis". - (Lihat Mizanu al-I'tidal
jilid 1 m/s 186, Kitabu ad -Dhu'afa Wa al-Matrukin m.s. 61)
 
(2) Salim bin Abi Hafsah al-Ijli al-Kufi
 
Berkenaannya Fallas berkata, " Dia seorang dha'if, seorang Syi'ah pelampau." Nasa'i berkata, " Tidak
tsiqah". Ibnu ' Adi berkata, " Dia tercela kerana fahaman Syia'ahnya yang melampau". Muhammad bin
Bishr al-Abdi menceritakan bahawa, " saya pernah melihat Salim bin Abi Hafsah - janggutnya sangat
panjang tetapi dia sangat bodoh. Dia selalu berkata, " Ingin sekali aku ikut serta dalam setiap peperangan
yang dilancarkan oleh Ali Alaihissalam". Jarir b. Abd. Hamid berkata, " Pernah saya melihat Salim
bertawaf Ka'bah sambil mengucapkan talbiah seperti ini, " Labbaika Muhlika Bani Umayyah (Ku sahut
seruanMu oh Tuhan yang membinasakan Bani Umayyah)."
 
Pernah Umar bin Dzar berkata kepada Salim bin Abi Hafsah, " Engkau telah membunuh Sayyidina
Utsman. " Dia bertanya," Bunuh macam mana?" Umar bin Dzar menjawab, " Bila engkau senang hati
dengan pembunuhannya bermakna engkau telah membunuhnya". Husain bin Ali al Ju'fi menceritakan
bahawa, " Saya pernah melihat Salim bin Abi Hafsah. Dia berjanggut panjang dan sangat bodoh. Salim
selalu mengucapkan talbiah begini, " Labbaika qaatila Na'tsal (Ku sambut seruanMu wahai Tuhan yang
membunuh Na'tsal). " Na'tsal ialah nama seorang Yahudi di Madinah. Golongan Syi'ah telah memanggil
Sayyidina Utsman dengan Na'tsal (seolah - olah mereka mahu mengaitkan Sayyidina Utsman dengan si
Yahudi yang jahat itu)
 
Ali bin al-Madini berkata," Saya pernah mendengar Jarir bin Abdul Hamid berkata, " Bahawa saya telah
meninggalkan riwayat - riwayat Salim kerana dia selalu memusuhi dan menentang orang - oang Sunni bagi
pihak Syi'ah". Ali bin al-Madini berkata, " Orang - orang yang riwayatnya ditinggalkan oleh Syiah seperti
Jarir tentu sekali dia seorang Syi'ah melampau. " Bukhari menulis bahawa, " Dia tidak tsiqah". - (Kitabu
ad-Dhu'afa as-Saghir m/s 36). Khalab bin Hausyab pula menyatakan bahawa, " Dia adalah kepala kepada
golongan yang memburuk-burukkan Abu Bakar dan Umar." - (Lihat Mizanu al-I'tidal jilid 2 m/s 110)
 
Sekarang lihat pula apa kata pengarang - pengarang kitab hadis maudhu' tentang cerita ini :
 
Muhamamd bin Tahir al - Fattani al- Hindi menulis, " Semua riwayat - riwayat yang menyatakan Sayyidina
Ali telah dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan dirinya termasuklah riwayat Tirmidzi adalah
dha'if" - (Lihat Tazkiratu al - Maudhu'aat m.s. 97). Nasiruddin al- Albani menulis bahawa Imam Ibnu
Taimiyah ada menulis dalam kitabnya 'Minhaju as-Sunnah' bahawa semua riwayat yang menyatakan Ali
dipersaudarakan dengan Rasulullah s.a.w. adalah maudhu'. Imam Zahabi juga menulis demikian dalam
'Mukhtasar Minhaj as-Sunnah'- (Silsillah al-Hadis ad-Dha'ifah Wa al-Maudhu'aat jilid 1 m.s. 356).
 
Imam Zahabi dalam Mizan al-I'tidal telah pun menulis bahawa riwayat Jumai' bin Umair adalah mungkar.
Dalam Talkhis Mustadrak pula beliau menulis, " Jumai' adalah perawi yang tertuduh dan Ishaq bin Bishr
al- kahili adalah seorang yang punah ranah"- (Talkhis al-Mustadrak jilid 3 m/s 14)
 
Apa yang sebenarnya berlaku ialah Sayyidina Ali telah dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Sahl
bin Hunaif al-Ansari. Lihatlah apa yang ditulis oleh Ibnu Katsir, " Muhammad bin Ka'ab al-Qurazi berkata
bahawa Ali telah berhijrah setelah keluarnya Rasulullah s.a.w. dari Mekah. Rasulullah s.a.w. telah
memerintahkan supaya beliau membayar hutang - hutang Baginda s.a.w. dan supaya mengembalikan
barang - barang simpanan penduduk Mekahyang disimpan oleh Baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w.
memerintahkan beliau supaya mengiringi Baginda s.a.w, setelah menyelesaikan semua perintah - perintah
yang tersebut tadi. Selepas berhijrah Nabi s.a.w. telah mempersaudarakan beliau dengan Sahl bin Hunaif." -
(Lihat al-Bidayah Wan an-Nihayah jilid 7 m.s. 224)
 
Daripada keterangan yang lalu, para pembaca sekalian dapat melihat bahawa perawi - perawi dalam Isnad
Tirmidzi dan Hakim yang meriwayatkan cerita ini sama bulu dan warnanya dengan Ibnu Ishaq.

Saringan oleh : www.darulkautsar.net

Sumber: http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=188

You might also like