You are on page 1of 8

PERUTUSAN KEMERDEKAAN KALI KE 50- MENTERI PELAJARAN

MALAYSIA

PERUTUSAN KEMERDEKAAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KE-50


TAHUN 2007

Bismillah-ir Rahman-ir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Bersyukur kita ke hadrat Illahi, kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat
kita bersama-sama menyambut dan meraikan sambutan ulang tahun hari
kemerdekaan negara kali ke-50. Saya berdoa agar sambutan ulang tahun
kemerdekaan pada tahun ini akan terus membangkitkan rasa kesyukuran dan
keinsafan tentang erti sebenar kemerdekaan yang telah kita usahakan dan nikmati.

2. Kemerdekaan kali ini amat besar ertinya kepada kita kerana selama 50 tahun ini,
kita telah menikmati kemerdekaan tanpa dijajah secara fizikal. Dalam usia
kemerdekaan ini, telah terbukti bahawa kita mulai matang dan mampu
memerintah sendiri dengan bijaksana seiring dengan kemajuan negara lain di
dunia. Namun demikian, tanpa kita sedari, sebahagian minda rakyat negara ini
masih dijajah oleh anasir-anasir luar sehingga berlakunya masalah-masalah sosial.
Hari ini budaya kuning masih menular terutamanya dalam kalangan remaja kita,
yang sepatutnya mengekalkan dan mengamalkan budaya kita sendiri. Oleh sebab
itu, setiap perilaku kita mestilah berpaksikan ajaran yang baik yang berasas
kepada agama dan moral. Sebagai masyarakat Malaysia yang merdeka, sepatutnya
kita tidak mudah terpengaruh dengan gejala-gejala sosial tersebut. Kita mesti
sedari bahawa kemerdekaan negara kita adalah hasil perjuangan pemimpin-
pemimpin terdahulu yang sentiasa mengamalkan nilai budaya tempatan. Kita
ambil kemajuan sains dan teknologi dari luar tetapi kita harus mengekalkan
kemajuan tersebut dalam budaya dan acuan kita sendiri. Itulah yang sepatutnya
kita harapkan.

Warga pendidikan yang dikasihi,

3. Bagi mengekalkan kebebasan minda dan fizikal yang kita kecapi sekarang,
perpaduan kaum dalam kalangan warga pendidikan merupakan elemen yang
paling utama. Perpaduan ini perlulah disemai kepada anak didik sejak mereka di
bangku sekolah lagi, supaya dapat melahirkan generasi masa depan Malaysia yang
bersatu padu, saling memahami dan saling menghormati antara satu sama lain.
Hasilnya, kita akan terus bersatu padu tanpa mengasingkan diri mengikut kaum
dan kelompok masing-masing. Kita perlu sedar bahawa rakyat negara ini begitu
istemewa kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan pada masa yang sama, hidup
dalam keadaan aman, damai dan harmoni. Kita perlu berbangga bahawa
keharmonian dan keistimewaan rakyat negara ini telah dijadikan contoh kepada
negara luar dalam usaha membendung isu perkauman. Jadi, kita perlu sama-sama
berganding bahu meneruskan keharmonian ini seiring dengan usia kemerdekaan
negara kita.

Warga pendidikan yang disayangi,

4. Kita perlu sedar bahawa generasi yang kita lahirkan hari ini merupakan aset
negara pada masa hadapan. Kita perlu mengakui bahawa generasi sebelum inilah
menjadi arkitek yang membentuk dan mencorak kemajuan negara. Kemajuan ini
boleh dirancang berdasarkan kemajuan teknologi negara luar tetapi perlu pula
mengekalkan ciri-ciri bangsa Malaysia. Gabungan teknologi yang diadaptasi
(glokal) ini akhirnya dapat memenuhi keperluan negara untuk menjadi terus maju.
Warga pendidik pula berperanan melaksanakan tanggungjawab dan amanah
untuk menyampaikan pelbagai ilmu dan pengetahuan kepada generasi sekarang
kerana setiap insan ialah permata negara yang tidak harus dikesampingkan.
Kemerdekaan tidak akan bererti sekiranya modal insan yang kita harapkan gagal
dibentuk. Oleh yang demikian, tanggungjawab guru sebagai pendidik dan murid-
murid sebagai pelajar adalah satu gabungan usaha untuk melahirkan insan yang
berkualiti dan produktif bagi menjamin kesejahteraan dan meningkatkan daya
saing negara di peringkat global.

Warga pendidik yang dihormati,

5. Peranan guru dalam menyampaikan ilmu tiada berpenghujung. Oleh itu,


Kementerian Pelajaran sentiasa menggalakkan guru-guru meningkatkan ilmu
pengetahuan dalam bidang masing-masing supaya mereka memiliki kepakaran,
seterusnya boleh mempraktikkannya dalam pengajaran dan pembelajaran secara
berterusan. Kemudahan dan infrastruktur kelas pertama yang disediakan seiring
dengan kematangan usia kemerdekaan negara, seharusnya dimanfaatkan secara
optimum tanpa disalahgunakan. Hal ini bersesuaian dengan matlamat negara
untuk melahirkan masyarakat yang mengamalkan budaya hidup berkonsepkan
Islam Hadhari, hasil cetusan Perdana Menteri kita. Hasilnya, ilmu dan kemahiran
yang ada dapat disalurkan kepada murid untuk dipraktikkan demi membangunkan
bangsa dan negara.

6. Kemerdekaan tidak akan bermakna sekiranya masyarakat kita tidak


mengamalkan sahsiah yang terpuji dan budi bahasa tinggi. Jika kita inginkan
negara kita menjadi cemerlang, Keperluan kita tidak cukup dengan hanya
menunjukkan keagungan, keindahan pembangunan fizikal dan kejayaan yang
diperoleh melalui statistik semata-mata. Kecemerlangan hanya akan muncul jika
kita menjadi satu bangsa yang berbudi pekerti, berakhlak mulia dan berhemah
tinggi. Jika kita berusaha untuk mencapai cita-cita ini, nescaya kejayaan dalam
bidang pembangunan fizikal akan selari dengan kejayaan pembangunan insan.
Pembinaan insan seperti ini merupakan proses yang berterusan dan menjadi
warisan daripada generasi ke generasi. Ibu bapa mengajar anak-anak menjadi
baik, anak-anak pula mengajar anak-anak mereka menjadi insan yang baik juga
dan begitulah seterusnya yang diamalkan daripada satu generasi kepada generasi
yang lain. Jika keadaan ini berlaku maka sudah pastilah bangsa kita akan terus
maju dan negara akan lebih gemilang dan makmur. Hal ini bertepatan dengan
salah satu teras misi nasional yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dalam
melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)

7. Dalam usaha meneruskan misi nasional melalui PIPP ini, bahasa perantara
merupakan elemen yang amat penting digunakan. Bahasa Malaysia telah diangkat
dalam mewujudkan perpaduan kaum dan seterusnya menyatukan ras dan etnik di
Malaysia. Bahasa Malaysia sebagai wahana untuk menyatupadukan masyarakat
berbilang kaum jelas dinyatakan dalam Penyata Razak 1956 dan menjadi cabaran
negara dalam usaha mencapai matlamat wawasan 2020. Sebagai bahasa perantara
untuk berkomunikasi, bahasa Malaysia terus diguna pakai dalam kebanyakan
urusan termasuk bidang agama, perundangan, perubatan, ekonomi dan sains
kemasyarakatan. Dalam merealisasikan impian ke arah pengukuhan penggunaan
bahasa Malaysia di negara ini, seluruh warganya harus menyedari akan peranan
dan tanggungjawab yang perlu dimainkan dalam mengukuhkan perpaduan rakyat
daripada pelbagai kaum. Jelaslah bahawa peranan bahasa Malaysia sebagai alat
perpaduan rakyat menjadi lambang kemerdekaan yang hakiki. Jadi, murid-murid
mesti menggunakan bahasa Malaysia dalam setiap urusan tanpa mempunyai rasa
rendah diri kerana bahasalah cerminan sesebuah negara.

8. Akhir kata, sempena dengan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, marilah
kita sama-sama memperbaharu tekad dan azam untuk menghayati erti
kemerdekaan yang sebenar. Seharusnya kita bersama-sama berusaha
meningkatkan ilmu pengetahuan, mengoptimum kemahiran serta memperkukuh
disiplin diri, agar dapat mengangkat martabat bangsa dan negara supaya menjadi
lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Hal ini bersesuaian dengan tema
kemerdekaan “Malaysiaku Gemilang” yang menjadi penyemarak semangat
masyarakat untuk terus menjadikan negara gagah dan perkasa. Semoga kita akan
memiliki jati diri yang kental dan sukar digugat oleh mana-mana anasir yang boleh
merosakan bangsa dan negara. Jadikanlah diri kita sebagai warga negara yang
boleh dibanggakan dan menjadi contoh yang terbaik kepada orang lain hatta
kepada negara luar .

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sekian.

Sekian, Wabilahi Taufiq Walhidayah,

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.

Kiriman Melalui Emel: Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia


TITAH PERUTUSAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KE – 50
(2007)
________________________________________________________

Bismilahirahmanirahim.

Assalamualaikum Warahmatulaahi Wabaarakatuh dan Salam/ Sejahtera.

Beta memanjatkan kesyukuran ke hadarat Allah subhaanawata’ala atas limpah


dan kurnia-Nya, dapat Beta dan seluruh rakyat menyambut dan meraikan ulang
tahun kemerdekaan negara kali ke- 50 tahun pada tahun ini. Sesungguhnya, ulang
tahun kemerdekaan negara pada tahun ini begitu besar maknanya kepada Beta dan
seluruh rakyat Malaysia kerana sambutan ulang tahun kemerdekaan negara pada
tahun ini merupakan sambutan Jubli Emas. Ini bermakna kita telah berjaya
mentadbir dan menguruskan negara yang tercinta ini dengan baik mengikut cara
dan acuan kita sendiri tanpa bergantung kepada negara luar.

Oleh itu, besarlah harapan Beta agar seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga
pendidik dan murid-murid dapat menghayati dan menginsafi erti kemerdekaan
yang telah dinikmati selama 50 tahun ini.

Dengan ini, Beta berharap agar kemerdekaan negara ini dapat diisi dengan segala
rancangan dan program kemajuan untuk negara dan bangsa yang tercinta.

Justeru sukacita Beta mengingatkan bahawa usaha mempertahankan dan mengisi


kemerdekaan negara yang tercinta ini untuk 50 tahun mendatang dan untuk
selama-lamanya merupakan cabaran utama kepada seluruh rakyat Malaysia,
khususnya muridmurid yang menjadi generasi pewaris.

Sehubungan dengan ini dan bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan


negara yang ke-50 tahun pada tahun ini, Beta menyeru warga pendidik dan murid-
murid agar dapat menghayati makna yang terkandung dalam Rukunegara.
Sesungguhnya, prinsipprinsip Rukunegara seperti Kepercayaan kepada Tuhan,
Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan
Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan merupakan asas penting yang
mesti menjadi pegangan dalam memastikan kelangsungan kemakmuran dan
keamanan hidup di negara yang merdeka dan tercinta ini.

Oleh hal demikian, Beta amat berharap agar murid-muridlah sebagai generasi
pewaris memajukan negara dan menjadi tempat untuk menyandarkan harapan
negara dan bangsa daripada perkaraperkara yang boleh mengganggu gugat
kemerdekaan dan keharmonian hidup dalam kalangan masyarakat Malaysia yang
berbilang bangsa, bahasa, agama dan budaya.

Justeru, pemahaman terhadap ciri-ciri pembinaan negara dan bangsa Malaysia


yang telah dipersetujui oleh generasi terdahulu hendaklah difahami dan diteladani
dengan sebaik-baiknya oleh seluruh rakyat, khususnya murid-murid.
Sesungguhnya, pemahaman terhadap ciri-ciri pembinaan negara dan bangsa
Malaysia seperti institusi raja berperlembagaan, agama Islam sebagai agama rasmi,
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan hak-hak keistimewaan bangsa Melayu
danbumiputera tanpa menafikan hak-hak kaum lain hendaklah diperteguhkan dan
menjadi asas perpaduan dalam kalangan generasi kini.

Oleh hal demikian, beta berharap dan menyeru seluruh warga pendidik supaya
dapat mendidik dan membimbing murid-murid untuk menghayati dan memahami
ciri-ciri pembentukan negara dan bangsa yang terkandung dalam kontrak sosial
sebaik-baiknya demi memastikan negara kita gagah dan gemilang selagi ada bulan
dan matahari.

Beta juga bertitah agar seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga pendidik dan
murid-murid supaya bersyukur dengan nikmat kemerdekaan negara yang telah
dinikmati selama 50 tahun ini.

Sebenarnya, kejayaan seluruh rakyat dalam memastikan kemerdekaan dan


keharmonian negara selama 50 tahun ini adalah atas keberkatan semangat
perpaduan yang diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia sejak dahulu dan kini.
Oleh itu, Beta berharap semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan murid-
murid terus disuburkan dan diperkasa menerusi proses pengajaran dan
pembelajaran serta kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah.

Sesungguhnya murid-murid pada hari ini merupakan pewaris segala kejayaan dan
tamadun bangsa Malaysia yang gagah dan gemilang pada hari ini dan seterusnya
akan datang. Oleh hal demikian, kemerdekaan dan kejayaan negara serta tamadun
bangsa yang dibina selama 50 tahun ini hanya akan terjamin sekiranya murid-
murid yang menjadi generasi pewaris mempunyai jati diri dan semangat cinta akan
negara atau semangat patriotik yang tinggi. Hal ini kerana murid-murid yang
mempunyai jati diri seperti berpegang teguh pada prinsip dan nilai-nilai bangsa
yang tulen dan bersemangat patriotik dapat menghindarkan diri daripada gejala-
gejala negatif seperti Mat Rempit, bohsia, lepak, gerakan ekstremisme dan lain-lain
yang boleh menggugat kelangsungan kemerdekaan dan keharmonian negara.

Justeru bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-50 ini,
Beta dengan sukacita menyeru murid-murid agar dapat menunjukkan tanda dan
lambang cinta akan negara atau semangat patriotik dengan jelas. Sebenarnya,
semangat cinta akan negara atau semangat patriotik ini bukan hanya ditunjukkan
dengan kesanggupan memikul senjata untuk mempertahankan negara daripada
penceroboh. Sebaliknya, pada konteks hari ini, semangat cinta akan negara atau
semangat patriotik ini hendaklah dimanifestasikan menerusi kesungguhan dalam
menuntut ilmu dan pengetahuan.

Oleh hal demikian, Beta berharap agar murid-murid berusaha dengan penuh
kegigihan untuk menguasai pelbagai disiplinilmu, terutama ilmu dalam bidang
Sains dan Teknologi. Beta percaya murid-murid yang berilmu dan berpengetahuan
akan mempunyai fikiran yang luas dan berpandangan jauh, kreatif dan inovatif,
rasional dan mempunyai ketahanan diri. Ciri-ciri ini akan menjadikan muridmurid
sebagai modal insan dengan minda kelas pertama yang tentunya menjadi aset yang
berguna kepada negara kerana murid-murid yang demikian cirinya dapat menjana
kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Malah, penguasaan ilmu dan pengetahuan yang pelbagai disiplin dalam kalangan
murid-murid membolehkan generasi pewaris bangsa dan negara mempertahankan
negara daripada penjajahan bentuk baru seperti penjajahan minda, budaya dan
ekonomi. Beta yakin ciri generasi pewaris yang disebutkan ini merupakan ciri
terbaik untuk menjamin kelestarian kemerdekaan dan kemakmuran negara.

Sehubungan dengan ini, usaha membentuk jati diri dan semangat cinta akan
negara atau semangat patriotik akan lebih mantap sekiranya warga pendidik dan
murid-murid dapat menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Islam Hadhari
yang menjadi pendekatan baru dalam pentadbiran dan pelaksanaan dasar-dasar
kerajaan pada hari ini. Pendekatan Islam Hadhari ini hanya merupakan suatu
usaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai kekuatan rohani,
akhlak, intelektual, mampu berdikari, berdaya saing, melihat kehadapan, inovatif,
cekap menghadapi cabaran dengan bijaksana, rasional, praktikal dan damai.

Sesungguhnya, pendekatan Islam Hadhari ini dapat menjadi instrumen bagi


melahirkan modal insan yang cemerlang. Inilah hasrat dan matlamat yang
diidamidamkan pemimpin negara dan rakyat Malaysia selama ini. Justeru
pendekatan Islam Hadhari ini perlu dihayati dan diamalkan oleh warga pendidik
dan murid-murid bagi membolehkan warga pendidik dan murid-murid membawa
negara ke mercu kejayaan sehingga boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah dengan negara-negara maju.

Selain itu, Beta dengan rasa sukacita bertitah agar warga pendidik dan murid-
murid hendaklah mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam
kehidupan sehari-hari. Sesungguhnya, amalan akhlak pekerti yang baik, berbudi
bahasa dan bernilai murni dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya warga
pendidik dan murid-murid turut menjadi elemen penting dalam usaha melahirkan
modal insan yang cemerlang, dan seterusnya dapat menjamin sebuah kehidupan
yang aman, harmoni dan damai serta negara menjadi makmur.

Sehubungan dengan ini, Beta juga merakamkan rasa berbangga atas daya usaha
kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia kerana kejayaan
menghasilkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Antara teras strategi
pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan tersebut ialah membina negara
bangsa dan membangunkan modal insan. Sesungguhnya, kedua-dua teras ini
menjadi suatu strategi yang menyokong usaha-usaha melahirkan modal insan yang
cemerlang dan cinta akan negara. Malah, Beta yakin bahawa dua teras tersebut
juga dapat menjadi strategi untuk membina negara dan bangsa Malaysia yang
maju. Oleh itu, Beta menyeru agar Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ini
dilaksanakan dengan sebaik mungkin di sekolah-sekolah kerana kedua-dua teras
ini tentu dapat menyokong usaha melahirkan dan membentuk murid-murid
menjadi rakyat dan generasi pewaris yang berfikiran glokal dan bersatu padu.

Dengan ini, tentu murid-murid mampu memastikan kemerdekaan negara yang


dinikmati selama ini terus kekal sambil berupaya meneruskan usaha-usaha mengisi
kemerdekaan negara tercinta ini.

Sesungguhnya, seruan Beta terhadap pembentukan rakyat dengan ciri-ciri seperti


bersatu padu, berilmu dan berpengetahuan, mempunyai minda kelas pertama,
berbudi bahasa, menghayati prinsip9 prinsip Rukunegara dan memahami ciri-ciri
pembinaan negara dan bangsa serta mengamalkan pendekatan Islam Hadhari
adalah kerana beta yakin dengan ciri-ciri rakyat yang demikian akan menjadi
faktor penting untuk memastikan kejayaan Rancangan Malaysia Ke-9 terlaksana
seperti yang dirancang. Kerajaan memang bersungguhsungguh dan penuh
komitmen melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-9 ini demi kemajuan dan
kemakmuran rakyat dan negara. Malah Rancangan Malaysia Ke-9 ini juga
merupakan antara usaha dan kesungguhan kerajaan dalam memastikan
kemerdekaan negara yang diperoleh diisi dengan rancangan-rancangan
pembangunan yang bermanfaat untuk semua lapisan rakyat tanpa memilih agama,
kaum dan bahasa. Inilah amanah yang sedaya upaya dilaksanakan oleh kerajaan
untuk mengisi kemerdekaan negara demi Malaysia yang tercinta.

Oleh hal demikian, besarlah harapan Beta pada detik dan saat seluruh warga
Malaysia menyambut dan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-50
ini, warga pendidik dan murid-murid dapat bersama-sama memasang tekad dan
azam serta melaksanakan usaha-usaha ke arah memastikan negara tercinta ini
terus kekal merdeka, gagah dan gemilang. Justeru tema ulang tahun kemerdekaan
pada tahun ini, iaitu “Malaysiaku Gemilang” hendaklah menjadi suatu matlamat
untuk dicapai bersama-sama dengan penuh iltizam.

Akhir titah, selamat menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Yang
Ke-50.

Sekian, Wabilahi Taufiq Walhidayah, Assalamualaikum

Warahmatullaahi Wabarakatuh.

Kiriman melalui emel dari Bahagian Sekolah, KPM.

You might also like