You are on page 1of 6

KARANGAN JENIS PERBINCANGAN

Tajuk karangan: Amalan berjimat cermat

Fokus karangan: Cara-cara ibu bapa memupuk amalan berjimat cermat dalam
kalangan anak

[Ayat Rangsangan] Amalan berjimat cermat memang menjadi agenda perdana dalam
kehidupan seharian. [Ayat Huraian] Malangnya, anak-anak remaja bersikap membazir
dan memboros dari segi perbelanjaan serta penggunaan air dan elektrik. Mereka seolah-
olah tidak menghargai nilai wang dan sumber alam. Dalam konteks ini, ibu bapalah yang
bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak agar menjadi insan yang mengamalkan
budaya berjimat cermat dalam kehidupan. [Ayat Arahan] Persoalannya, bagaimanakah
ibu bapa boleh melahirkan anak yang menghayati amalan berjimat cermat dalam segala
aspek kehidupan?

[Ayat Topik 1] Antara langkah perdana dalam pemupukan amalan berjimat cermat
dalam kalangan anak ialah ibu bapa perlu menjadi anjakan paradigma kepada anak
mereka. [Ayat huraian] Mereka harus menjadi cermin perbandingan yang positif
kepada anak-anak dalam segala aspek kehidupan kerana bapa borek anak rintik! [Ayat
Contoh] Menurut pakar motivasi, Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah, setiap tindak-tanduk
ataupun gerak-geri ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak. Misalnya, jika ayah
bertelefon bimbit berjenama Nokia N95, anak lelaki pula hendak memiliki Nokia N97;
jika ibu senantiasa tidak menutup pili air selepas menggunakannya, maka anak gadis pula
akan senantiasa tidak menutup suis lampu. [Ayat Penyimpul] Jadi, ibu bapa haruslah
menjadi contoh teladan yang sihat kepada anak.

[Ayat Topik 2] Selain menjadi modal insan yang ideal, ibu bapa perlu mengamalkan
kesederhanaan dalam kehidupan seharian. [Ayat Huraian] Hal ini demikian kerana
sikap boros tidak relevan lagi dalam kehidupan kita dalam zaman kegawatan ekonomi ini
kerana mengundang musibah, iaitu kemiskinan dan kesengsaraan. [Ayat Contoh] Kita
sering terdengar cerita seorang ayah berumah banglo dan berkereta mewah dahulu, tetapi
sekarang berkain basah kering di pinggang. Kita bukan tidak boleh berkereta ataupun
berumah, tetapi apa gunanya berkereta mewah dan berrumah banglo.  [Ayat Penyimpul]
Pendek kata, anak-anak kita tidak akan mengamalkan sikap kesederhaan selagi ibu bapa
mengagung-agungkan kemewahan.

[Ayat Topik 3] Ibu bapa juga perlu mengamalkan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle)
dalam penerapan amalan berjimat cermat dalam kehidupan. [Ayat huraian] Dalam hal
ini, ibu bapa perlu menekankan kepentingan 3R dalam usaha mencermatkan perbelanjaan
dengan melibatkan semua ahli keluarga. [Ayat Contoh] Misalnya, anak-anak perlu
dididik agar mengurangkan penggunaan air, tenaga elektrik, kertas tulisan, ubat gigi,
syampu, pencuci muka, dan sebagainya. Selain itu, barang-barang terpakai seperti bekas
air, beg sekolah, kasut dan sebagainya perlulah digunakan semula. Barang-barang yang
tidak berguna pula dihantar ke pusat kitar semula.  [Ayat Penyimpul] Tegasnya, konsep 
3R ini dapat memupuk tabiat berjimat cermat dalam kehidupan anak.

[Ayat Kesimpulan] Intihanya, kepentingan peranan ibu bapa dalam melahirkan anak
yang berjimat cermat dalam kehidupan tidak dapat dinafikan. [Ayat Pandangan]
Sesungguhnya, tabiat lama, yakni pembaziran dan pemborosan, sukar dikikis, tetapi
boleh diubah secara beransur-ansur. [Ayat Cadangan] Dalam hal ini, ibu bapa perlu
menonjolkan kesungguhan, kezaman, dan keiltizaman melalui teladan dan
mengamalkannya sehingga konsep berjimat cermat ini menjadi sebahagian hidup kita.
Pedoman orang tua-tua  “cermat masa banyak, jimat masa sedikit” dan “ingat sebelum
kena, jimat sebelum habis” pula hendaklah dijadikan petunjuk dalam kehidupan kita .
[Ayat Harapan] Dengan ini, seisi keluarga dapat mencegap nikmat kebahagiaan,
keharmonian dan kemakmuran.
Tajuk karangan: Gejala lepak

Fokus karangan: Kesan-kesannya

[Ayat Rangsangan] Dewasa ini, gejala lepak meniti bibir dalam kalangan masyarakat.

[Ayat Arahan] Gejala ini mendatangkan dampak negatif kepada kaum remaja.

[Ayat Topik 1] Gejala lepak memang membuang masa remaja.

[Ayat Huraian] Mereka hanya berborak-borak kosong di tepi jalan raya ataupun di
kompleks beli-belah.

[Ayat Topik 2] Implikasinya, pelajaran mereka terjejas.

[Ayat Huraian] Hal ini demikian kerana mereka mengabaikan kerja rumah dan tidak
menelaah pelajaran.

[Ayat Topik 3] Selain itu, masalah sosial semakin meruncing.

[Ayat Huraian] Rata-rata kaki lepak terbabit dalam jenayah seperti vandalisme dan
gengsterisme.

[Ayat Topik 4] Natijahnya, imej negara tercemar.

[Ayat Huraian] Hal ini menjejaskan industri pelancongan kita kerana keselamatan
mereka terancam.

[Ayat Cadangan] Oleh itu, gejala lepak ini hendaklah dibendung.

[Ayat Harapan] Dengan ini, masa depan generasi muda dan negara terjamin.
KARANGAN CONTOH GRED A

Tajuk karangan: Destinasi pelancongan bersejarah

Format karangan: Surat kiriman tidak rasmi

7, Jalan Nirvana,

Taman Nirvana,

71000 Melaka.

18 JULAI 2010.

Menemui sahabatku Dayang yang kini berada di Burnei, semoga sihat sentiasa. Saya
sekeluarga di sini berada dalam keadaan sihat wal afiat.

Saudari,

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudari kerana sudi
menulis surat kepada saya tempoh hari. Saya kagum akan keistimewaan negara
saudari. Dalam warkah saudari yang lepas, saudari ingin mengetahui keunikan Malaysia
sebagai destinasi pelancongan. Dalam warkah saya ini, saya akan menceritakan sebuah
destinasi pelancongan yang kaya dengan nilai sejarah.

Salah sebuah destinasi pelancongan yang terkenal sebagai tempat bersejarah ialah negeri
Melaka. Dengan kata lain, bagi mereka yang ingin menghayati tempat-tempat yang
penuh dengan nilai sejarah, Melaka merupakan destinasi yang paling ideal. Selain
sebagai tempat yang bersejarah, Melaka juga tersohor sebagai negeri yang kaya dengan
tempat pelancongan, pusat beli-belah, dan rekreasi.

Saudari,
Melaka sememangnya kaya dengan kesan sejarahnya yang ditinggalkan oleh penjajah
sejak 5 kurun yang lalu bermula dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis,
Belanda, dan era Kolonial Inggeris. Berhampiran dengan muara Sungai Melaka, medan
bandar yang indah dengan bangunan-bangunan peninggalan Belanda yang berwarna
merah dapat kita lihat. Di sini terdapat sebuah bangunan yang dahulunya pernah didiami
oleh Gabenor Belanda, iaitu bangunan Stadhuys, yang telah dibina pada tahun 1650.
Tidak jauh dari situ, kita akan melihat sebuah gereja yang besar, iaitu Christ Church,
yang telah dibina pada tahun 1793. Gereja ini merupakan sebuah gereja Protestan yang
tertua di Malaysia. Di kawasan medan ini juga, para pelancong dapat melihat sebuah
menara jam yang bersejarah pada abad yang ke-19 dan sebuah Pancutan Air Ratu
Victoria yang menarik ciptaannya.

Selain Gereja Christ Church, terdapat sebuah gereja lagi di Jalan Laksamana, iaitu Gereja
St. Francis Xavier yang telah dibina pada tahun 1849. Manakala di atas Bukit St.Paul
pula tersergam indah Gereja St. Paul. Di pekarangan gereja ini, para pengunjung dapat
melihat sebuah boneka untuk memperingati St. Xavier dan kuburnya yang kosong. Di
kaki bukit ini jelas dapat dilihat peninggalan pintu gerbang terakhir kubu Portugis yang
kuat, iaitu A Famosa yang telah dibina pada pertengahan abad ke-16. Tidak jauh dari
pintu gerbang ini, sebuah istana lama telah dibina semula berdasarkan istana Sultan
Mansor Shah. Berhampiran dengan istana ini juga tersergam indah sebuah bangunan
lama yang dinamakan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang dijadikan sebuah
muzium untuk memperingati sejarah perjuangan kemerdekaan negara.

Saudari,

Untuk pengetahuan saudari, tempat-tempat pelancongan yang lain yang mesti dikunjungi
para pelancong termasuklah Bukit China, Dataran Belanda, Jonker Street, Melaka Street,
Muzium Maritim Melaka, Taman Mini Malaysia, Masjid Pulau Melaka, Seri Malaysia
Melaka, dan sebagainya. Di samping itu, negeri Melaka kaya dengan makanan
tradisional, kebudayaan, dan perayaan keagamaan.
Jadi, saya berharap bahawa jika saudari ingin menghayati keisitimewaan destinasi
pelancongan ini, bolehlah datang sendiri ke negeri ini.  Sebagai sahabat yang setia, saya
mengalu-alukan kedatangan saudari dengan tangan terbuka. Luangkanlah sedikit masa
dan kunjungilah negeri Melaka Bandar Bersejarah ini. Kata orang tua-tua, “Jauh
perjalanan luas pemandangan!”.

Sampai di sini sahaja coretan saya buat saudari di sana. Dalam warkah ini, telah saya
sertakan beberapa keping gambar tempat-tempat bersejarah. Semoga kita dapat berjumpa
lagi dalam lembaran yang akan datang.

Sahabatmu,

Wahida

You might also like