You are on page 1of 27

Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat

dinafikan. Adat tersebut bermula dari dalam perut ibu, kelahiran, perkahwinan sehinggalah

kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan

kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak

budaya masyarakat tersebut.

Bangsa Melayu amat terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan santun. Kehidupan seharian

sangat dipengaruhi oleh persekitaran masyarakatnya dan kebiasaannya ini telah menjadi amalan

turun-temurun sejak azali lagi yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Tak lapuk dek hujan,

tak lekang dek panas, begitulah amalan-amalan tertentu ini tetap diamalkan walaupun arus

kemodenan telah lama menyerapi kehidupan masyarakat Melayu di negara kita ini.

Pepatah melayu "Biar mati anak, jangan mati adat", merujuk kepada betapa pentingnya adat serta

amalannya dalam masyarakat melayu. Terdapat banyak pepatah serta ungkapan yang merujuk

kepada perlaksanaan sesuatu adat itu. Kebanyakkan adat adalah juga merupakan peraturan

terhadap kehidupan seharian, ia juga dipanggil ritual.

Kelahiran
 Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan

suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah

dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru

itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu

banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia

merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.

Sewaktu Mengandung

i. Melenggang Perut

 Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara

Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara

ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia

dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk

membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal

bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.

 Peralatan untuk upacara ini termasuk:-

 Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan


 Segantang beras
 Beberapa urat benang mentah
 Damar
 Minyak kelapa atau minyak urut

 Lilin
 Tepak sirih yang lengkap isinya
 Pengeras sebanyak RM 1.25
 Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita

hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.

 Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di

kain basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama.

Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor

ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi dilepaskan

atau dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin.

 Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang

bakal lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan

akan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas

sehelai yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut. Bidan

akan mengurut ibu yang yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak

urut. Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya

perlahan-lahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Adalah

dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang

dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya. Akhirnya bidan akan

melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita hamil itu. Mengikut

adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan beserta dengan peralatan

upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa selamat akan diadakan dan ibu

yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini

mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.


Upacara Adat Melenggang Perut

Sewaktu Bersalin

Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan.

Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari. Tetapi

adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas bulan yang

dipanggil bunting kerbau. Mengikut kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan

digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam

rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping

itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran ini.

i. Potong Tali Pusat

 Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu

disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong

dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu

ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali

pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih

yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.
ii. Azan/Qamat

 Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala

bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan

melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan

berunsur keagamaan.

Bayi yang baru lahir diazankan/diqamatkan

iii. Membelah Mulut

 Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam

agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara bermula

dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah

mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada juga yang

menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru

lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun

demikian, adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.

iv. Berpantang
 Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa

berpantang yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang,

mereka akan mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh berpantang lazimnya

berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada

juga yang berpantang selama seratus hari.

 Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut

kehendaknya atau berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan.

Antara makanan yang dilarang keras ialah yang boleh mengakibatkan kegatalan

diseluruh anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari serta memakan

ikan yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung kerana ia boleh

menyebabkan bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi

dengan ikan haruan yang dibakar atau direbus dan dibenarkan minum air suam atau

susu.

 Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku

dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali normal. Biasanya tungku

diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara. Kemudian tungku itu dibalut dengan

kain yang dilapik dengan beberapa helai daun yang tebal seperti daun lengkuas yang

dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi sebagai ubat.

Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk

mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan

menyapu perutnya dengan air limau yang dicampur dengan kapur sebelum memakai
bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi perut buncit atau

pinggul yang turun selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita

selepas bersalin.

Selepas Lahir

i. Tanggal Pusat/Cuci Lantai

 Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada

ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat

naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan

dan akan tidur disamping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin

atau Khamis.

 Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai:-

 Nasi kunyit dan lauk-lauk

 Seekor ayam hidup

 Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang

 Hadiah untuk bidan sepersalinan pakaian

 Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan

memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan

kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan

dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si
ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan

yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.  

Upacara cuci lantai

ii. Memberi Nama

 Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang

baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama

para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi

akan dipilih.

iii. Cukur Rambut/Potong Jambul

 Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong

jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.
 Untuk mengadakan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.

 Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras
kunyit dan bertih.
 Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku
seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk.
Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias,
umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.

 Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam

yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi

seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil

berselawat. Si bayi akan ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para

hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit rambut  bayi tersebut dan

dimasukkan ke dalam kelapa tadi.

 Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan

yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki

menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah

selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut

dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya.

Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa

tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau

seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan. 


 Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut     diadakan. Dari segi syarak,

akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak

dilahirkan.

 Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan seperti

kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir. Seorang anak

disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup. Terdapat syarat-syarat tertentu

dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk akikah juga

berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah dua  ekor kambing

dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah sebagai

permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan

pada hari ke tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur

rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang

lain.

iv. Naik Buai

 Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat

sambutan di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam

suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat anak

atau cucu sulung.


 Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang

menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan.

Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara

berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan

lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada

kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak

dengan adat memberi nama dan adat cukur.

v. Jejak Tanah/Turun Tanah

 Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai

meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil

dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat

ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari

segi cara mahupun barangan yang digunakan.

 Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini. Selepas

kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak

berkenaan berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi pelbagai

jenis barang, termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di

dalam dulang itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain,

kasut, gunting, bubur, air sejuk dan wang. Lazimnya jumlah barangan yang

diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut akan dibiarkan bergerak memilih

barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja.


 Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal masa

depan kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika kanak-

kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja

tangan. Adat ini juga boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan memijakkan kaki

kanak-kanak itu ke piring-piring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan

beberapa jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu

dijejakkan ke tanah dan doa dibaca

Upacara jejak tanah

vi. Bersunat/Berkhatan

 Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil
iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak

perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun

atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan

menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam
lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di

dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam

menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi

kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan

kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis

perkahwinan.

vii. Berkhatam Al-Quran

 Dalam masyarakat Melayu, ilmu pengajian Al-Quran adalah amat ditekankan dalam

kehidupan seharian. Anak-anak telah dididik dan diasuh untuk membaca Al-Quran

semenjak kecil lagi.

 Bagi masyarakat Melayu zaman dahulu, mereka menghantar anak mereka untuk

mempelajari Al-Quran di pondok-pondok agama atau di madrasah. Di sana , terdapat

seorang guru agama yang akan mengajar anak-anak mereka membaca Al-Quran

sehingga tamat. Bagi zaman kini, konsep yang sama masih digunakan, yang berbeza

cuma cara ia dijalankan. Ada sesetengah ibu bapa yang mengajar sendiri anak mereka,

dan ada juga yang menjemput ustaz atau guru agama datang ke rumah untuk mengajar

anak mereka. Tidak kira bagaimanapun caranya, yang pasti, setelah tamat

menghabiskan pengajian membaca Al-Quran atau dalam bahasa Arab dipanggil

Khatam Al-Quran, satu kenduri kesyukuran akan dijalankan oleh ibu bapa dan kenduri

ini akan dihadiri oleh semua ahli keluarga dan penduduk setempat.
 Dalam kenduri tersebut, seorang guru akan dipanggil untuk menyemak bacaan anak-

anak yang bakal khatam Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran dari surah-surah yang terakhir

dalam Al-Quran bermula dari surah Ad-Dhuha sehingga surah An-Nas akan

diperdengarkan kepada tetamu dan setelah tamat tuan guru tersebut akan membacakan

doa khatam Al-Quran, menandakan kanak-kanak tersebut sudah diiktiraf tamat

membaca Al-Quran. Namun begitu, ini tidak bererti mereka tidak perlu lagi membaca

Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari. Upacara ini sebenarnya menandakan bahawa

kanak-kanak tersebut sudah tidak lagi memerlukan seorang guru untuk menyemak

bacaan mereka setiap kali mereka membaca Al-Quran. Bermula dari hari tersebut,

mereka hanya perlu membaca Al-Quran sendiri kerana mereka telah dianggap fasih dan

mahir dalam membaca Al-Quran. Selepas tamat bacaan doa, para tetamu akan dijamu

dengan makanan yang istimewa, bersesuaian dengan konsepnya iaitu mengadakan

kenduri kesyukuran supaya rahmatnya dapat dirasai bersama di kalangan semua

anggota masyarakat.

Perkahwinan

Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai

kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu

dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah

dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa

peringkat penting.
i. Merisik

 Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah

untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum

berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan

orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si

gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta

pengetahuan agamanya. Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara

terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya.

 Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan
sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah

mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.

 Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin

tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan

menetapkan tarikh untuk peminangan. Walau bagaimanapun adat merisik jarang

dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu, justeru itu

mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.

ii. Meminang
 Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan

menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan

akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi

menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara kedua-dua

belah pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk

adat bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan

dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang

untuk memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis

pertunangan kelak.

iii. Bertunang

 Selepas perbincangan diadakan, majlis pertunangan akan dilangsungkan. Pihak lelaki

akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara

bertunang. Pada hari tersebut, majlis kenduri akan diadakan bersempena pertunangan

tersebut di rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada tepak sirih atau

sirih junjung sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti

bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah

akan diberi kepada pihak perempuan.

 Mengikut adatnya juga, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih

belum berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan. Adat ini dipanggil langkah

bendul. Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu samada lima,
tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas, kerana jumlah genap dikatakan memberi

implikasi yang tidak baik. Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak perempuan pula

akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat menghantar belanja turut diadakan

semasa adat bertunang ini dijalankan. Namun begitu ada juga yang menjalankannya

secara berasingan daripada adat bertunang iaitu mengadakannya beberapa minggu

sebelum majlis persandingan dijalankan.

 Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih

kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun

sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis. Setelah

pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang

belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan. Tempoh

bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua belah

pihak. Satu perkara yang turut dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang.

Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran

dan belanja yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus, sebaliknya jika pihak

perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua

kali ganda. Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana

wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan

menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar.

Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut.


Barangan hantaran

iv. Akad Nikah

 Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat

Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada

ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Upacara ini

dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah

dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang

dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat

kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam.

Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk

menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada

tok kadi atau imam.


 Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan

sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Pada hari tersebut, pengantin lelaki

akan mengenakan baju melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai

majlis pertunangan. Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin

lelaki, majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan. Sebelum upacara dijalankan,

wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan

dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di

atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis. Tok imam atau tok kadi akan menemui

pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan samada dia bersetuju atau

tidak dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan

menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal

berkaitan rumahtangga dari sudut agama. Selepas itu, tok kadi atau imam akan

membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan

pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok imam

menggoncangkan tangannya. Lafaz nikah berbunyi "Aku nikahkan dikau�.(nama

pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak �..(mengikut negeri) tunai"

dan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi "Aku terima nikahnya..

(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi). Saksi akan mengesahkan samada lafaz

tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan

mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat akan dibaca sejurus
selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat

diijabkabul.

 Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air

sembahyang. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada

isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman.

 Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah

diijabkabulkan. Selepas itu adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai

ditepung tawar. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih,

semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan

semangkuk air tepung tawar. Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung

tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan

pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga

kepada para hadirin. Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar.

Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil.

v. Berinai

 Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat.

 Berinai curi : diadakan tiga malam sebelum hari langsung untuk saudara mara
terdekat sahaja.

 Berinai kecil : diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara mara, jiran
tetangga dan sahabat handai.
 Berinai besar : diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah
untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan.

 Selepas adat berinai besar dilakukan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di rumah

pengantin perempuan, sebaliknya akan terus pulang ke rumah atau pun sekiranya

rombongan tersebut datang dari jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah

penanggak, iaitu rumah yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.

vi. Majlis Perkahwinan

 Sebelum majlis perkahwinan dijalankan, berbagai persiapan akan dijalankan

termasuklah mendirikan bangsal penanggah, khemah tetamu, menyiapkan pelamin

dan bilik pengantin serta menyediakan bunga telur.

 Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia

merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar raja

sehari.

 Pada hari tersebut, majlis diadakan secara meriah dengan dihadiri oleh sanak saudara,

jiran tetangga dan sahabat handai. Kedua-dua mempelai akan memakai dengan

pakaian pengantin, lazimnya baju songket dan dihias indah dengan perhiasannya

sekali. Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam sebelum majlis

persandingan bermula. Bagi mak andam tradisional, solekan pengantin didahului

dengan jampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin dan diberi makan sireh

untuk membuang perasaan gemuruh. Ada juga pengantin yang dicukur bulu kening
dan dipotong anak rambutnya supaya kelihatan lebih menarik. Adat mengasah gigi

juga dilakukan bertujuan untuk meratakan gigi. Namun adat ini sudah tidak lagi

diamalkan oleh masyarakat Melayu hari ini.

 Pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga

manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan

rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin

perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan

pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan.

Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembah

pengantin akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah

untuk adat bersanding pula. Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui

beberapa halangan di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk

mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar

tebus pintu atau tebus pelamin. Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang

dihias indah dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Semasa adat

bersanding diadakan, adat menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan

jemputan yang hadir juga akan diberi bunga telur pada hari tersebut.

 Seterusnya, majlis makan berdamai atau dipanggil juga makan beradab dijalankan.

Majlis ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua pihak. Selepas majlis

selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman dengan kedua ibu bapa dan sanak

saudara serta hadirin yang datang.


 Di sesetengah tempat, dua atau tiga hari selepas majlis perkahwinan, pasangan

pengantin tersebut akan menjalani upacara mandi sampat atau mandi berlimau.

Upacara ini dilakukan sebagai simbol kedua pengantin telah selamat bersatu sebagai

pasangan suami isteri yang sah. Dalam upacara ini, kedua pengantin baru akan

dimandikan dengan air mayang pinang, air kelapa atau air limau. Adat ini hanya

dilakukan di kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

 Seminggu selepas itu, adat menyambut menantu atau mengundang menantu akan

diadakan. Di sesetengah tempat ia dipanggil majlis bertandang. Majlis perkahwinan

akan diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah semeriah

 majlis di rumah pengantin perempuan. Ada juga yang menjalankan majlis bertandang

ini dengan hanya mengadakan doa selamat yang dihadiri oleh saudara mara dan jiran

sekampung tanpa mengadakan majlis persandingan.

 Setelah beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami-isteri tersebut akan

dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara. Tujuannya adalah untuk

merapatkan hubungan silaturrahim di samping kedua pengantin dapat berkenal-

kenalan dengan keluarga kedua belah pihak.


Pelamin yang telah siap dihias

Kematian

Mengikut ajaran Islam, mayat perlu dimuliakan dan dihormati daripada jasad yang hidup. Dalam

masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, kewajiban menguruskan mayat saudara

sesama Islam adalah fardu kifayah

i. Semasa Kematian

 Apabila berlaku kematian, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh keluarga si

mati ialah memberitahu kepada tok imam agar kematian itu dapat dimaklumkan

kepada saudara mara dan jiran tetangga di sekitar kawasan itu. Di kampung-kampung

misalnya, pengumuman akan dibuat di masjid oleh tok imam.

 Mayat tersebut akan diletakkan di ruang tengah rumah dan dibaringkan serta ditutup

dari kepala hingga ke kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat

dan kedua-dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas tangan

kiri ke dada. Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-
Quran. Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah tempat bara dan

kemenyan akan dibakar.

 Semasa mayat masih berada di dalam rumah, sebarang jamuan tidak akan diadakan.

Mayat tersebut juga perlu dikebumikan secepat yang mungkin. Sebelum

dikebumikan, mayat dimandikan oleh tukang mandi mayat dengan tertib dan cermat.

Mayat perempuan akan dimandikan oleh tukang mandi mayat perempuan dan

begitulah sebaliknya. Namun begitu mereka yang paling baik memandikan mayat

ialah di kalangan ahli keluarga si mati sendiri.

 Jenazah seterusnya dikapankan, iaitu dengan cara membalut badan mayat dengan

kain putih. Bagi jenazah lelaki, mereka perlu dibalut dalam tiga lapisan manakala

jenazah wanita pula sebanyak lima lapis beserta telekung. Jenazah juga akan

dipakaikan celak dan dibubuh kapur barus. Sebagai penghormatan terakhir, ahli

keluarga terdekat dan muhrim dibenarkan mengucup mayat tetapi disyaratkan air

mata tidak menitis pada tubuh jenazah. Mayat seterusnya disembahyangkan samada

di rumah atau di masjid.

 Sebelum jenazah dimasukkan ke dalam keranda,seorang wakil atau waris si mati akan

memberi ucapan ringkas dan memohon ampun dan maaf bagi pihak si mati jika

selama hayatnya beliau pernah berbuat dosa terhadap seseorang. Wakil tersebut juga

akan meminta supaya mana-mana hutang si mati yang masih belum dijelaskan agar

dapat dihalalkan ataupun si penuntut boleh menuntutnya pada waris si mati. Sebelum
keranda diusung, ahli keluarga terdekat akan lalu sebanyak tiga atau tujuh kali

dibawah keranda tersebut supaya mereka tidak terasa rindu pada si mati. Walau

bagaimanapun adat lalu di bawah keranda ini tidak lagi dilakukan oleh masyarakat

Melayu pada hari ini.

ii. Semasa Pengebumian

 Selepas itu jenazah akan dimasukkan ke dalam keranda dan diusung ke tanah

perkuburan.

 Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum

wanita kurang digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut.

Tangisan dan ratapan yang berlebihan terutamanya di tanah perkuburan tidak

digalakkan dalam Islam.

 Sebelum ditimbus, siak atau sesiapa yang hadir akan turun ke dalam kubur dan

membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat serta membukakan

ikatan di kepala.

 Kepala mayat akan disendal dengan tanah yang telah dikepal-kepal dan selepas

diazankan ditelinganya, barulah keranda ditutup dan tanah ditimbus Dua batang batu

nesan tertulis nama, tarikh lahir dan juga tarikh kematian akan dicacak di atas kubur

sebagai tanda. Seterusnya upacara membaca talkin akan dijalankan oleh tok imam.

Selepas talkin dan doa selesai dibaca, air akan disiram di atas kubur si mati dari

bahagian kepala sampai ke bahagian kaki sehingga habis. Kemudian bunga rampai
Batu nesan

iii. Selepas Kematian

 Kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas jenazah

selamat dikebumikan. Ia diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh

empat atau keseratus hari. Tujuannya adalah untuk mendoakan kesejahteraan si mati

yang berada di alam barzakh. Ada juga masyarakat Melayu yang melakukan adat

turun batu iaitu menimbus kubur si mati dengan batu-batu kecil dan membina pagar

kecil di sekeliling pusara tersebut selepas seratus hari seseorang itu meninggal dunia

You might also like