You are on page 1of 22

BAB 3

3.0 CERUN

3.1 PENGENALAN

Dalam pembinaan jalan, terutama sekali di kawasan yang berbukit pemotongan cerun
tidak dapat dielakkan bagi menjimatkan kos. Jalan yang dibina di tebing-tebing cerun
mendatangkan banyak masalah dalam soal kegagalan cerun. Kegagalan ini adalah disebabkan
keadaan cuaca di Negara kita yang sentiasa menerima hujan yang lebat. Maka untuk
mengurangkan atau mengawal masalah kegagalan cerun ini, pelbagai asas-asas utama yang
digunakan dalam mekanik tanah dan geologi akan digunapakai. Dalam menangani masalah ini,
jurutera akan merekabentuk cerun dengan rekabentuk yang selamat dan praktikal bagi
mengurangkan masalah kegagalan cerun. Perkara penting yang perlu difahami dalam bab ini
ialah RISIKO kegagalan cerun tidak dapat dihapuskan sama sekali samada secara ekonomi atau
praktikal. Merekabentuk cerun secara praktikal adalah bertujuan untuk mengurangkan RISIKO
kegagalan cerun sedikit yang mungkin.
3.1.1 Definisi tanah

Tanah merupakan komponen yang terdiri daripada agregat butiran galian yang
boleh diasingkan secara mekanikal seperti pengocakan dalam air. Pengkelasan tanah
berdasakan sifat-sifat meliputi kelas tanah berasaskan perkara berikut:

a. Tanah Berbutir Halus


b. Tanah Berbutir Kasar
c. Tanah Organik

Sistem pengkelasan tanah boleh didefinisikan sebagai penyusunan tanah yang


berbeza, tetapi mempunyai sifat-sifat yang sama kepada kumpulan dan sub-kumpulan
bergantung kepada kepentingan, penggunaan dan keperluan berkenaan.

3.2 JENIS-JENIS CERUN

3.2.1 Cerun Semulajadi


Cerun ini wujud sendiri di permukaan bumi tanpa dibentuk oleh manusia.
Kebiasaannya cerun ini wujud dikawasan berbukit. Cerun semulajadi terbentuk melalui
proses jangka panjang dan masih aktif untuk berubah bentuk dan juga terbentuk melalui
proses jangka pendek dan tidak aktif untuk berubah bentuk.

Cerun ini yang telah stabil untuk tempoh yang lama juga boleh mengalami
kegagalan secara tiba-tiba dan ini mungkin disebabkan beberapa faktor, antaranya:

a. Gangguan luaran disebabkan pemotongan dan penambakan pada permukaan


tanah atau cerun yang berdekatan yang akan mengakibatkan perubahan
keseimbangan daya-daya.
b. Gangguan luaran (gempa bumi/ gegaran)
c. Peningkatan tekanan air liang di dalam cerun yang disebabkan keadaan sekeliling.
d. Faktor luluhawa di mana proses boleh berlaku dengan kadar yang cepat dan perlu
dipertimbangkan dalam proses rekabentuk. Oleh itu, penting untuk mengambil
kira kemungkinan kesinambungan luluhawa di masa hadapan

3.2.2 Cerun Buatan

Cerun Buatan terdiri daripada tiga kategori

a. Cerun Potong
b. Cerun Tambak
c. Cerun Timbusan
3.2.2.1 Cerun Potong

Pemotongan cetek dan curam amat popular dalam bidang kejuruteraan seperti
bangunan dan jalanraya. Tujuannya adalah untuk merekabentuk satu cerun yang
mempunyai ketinggi dan kecondongan yang stabil dalam jangka hayat yang panjang dan
ekonomi. Rekabentuk ini mempengaruhi kaedah geologi, sifat bahan, kemungkinaan
banjir dan hakisan, kaedah pembinaan dan tujuan pemotongan dilakukan.

Kegagalan yang pantas berkemungkinan berlaku untuk jangka masa yang lebih
panjang, kecuali cerun yang dibina itu untuk tujuan sementara. Cerun yang dipotong
biasanya akan mengambil masa yang cukup pendek untuk mengalami kegagalan cerun
mungkin beberapa tahun setelah di potong.

3.2.2.2 Cerun Tambakan

Pembinaan tambakan akan menyebabkan tanah asal dan tanah tambakan


mengalami pertambahan tegangan jumlah. Tekanan air liang awal juga berkait rapat
dengan kadungan air pada tambakan.

Semasa pembinaan, kerja tambakan dianggap mempunyai kebolehtelapan yang


rendah dan air yang meresap keluar adalah sedikit, maka resapan berlaku beransur-ansur
selepas pembinaan. Kekuatan ricih tanah yang menaggung tambakan juga mempenaruhi
kestabilan cerun tambakan itu.
3.2.2.3Cerun Timbusan

Cerun timbusan merupakan tanah yang mengandungi bahan timbusan yang


ditolak oleh jentera pemadat. bahan timbusan meliputi bahan-bahan yang kurang
optimum di mana antar bahan-bahan organik bahagian pokok, buangan dan runtuhan
yang di buang. Pemadatan dilakukan untuk menghilangkan lompang-lompang dalam
tanah tetapi ia hanya boleh berlaku di atas bahagian yang dipadatkan sahaja namun
bahagian yang lebih dalam masih longgar keran tanah timbusan adalah lembut.

3.2.3 Cerun Binaan

Cerun yang direkabentuk untuk tujuan kerja pembinaan dikenali sebagai cerun
binaan. Memandangkan ianya merupakan cerun yang direkabentuk, maka kestabilannya
lebih terjamin.

Walaubagaimanapun, perhatian perlu diberi kepada tekanan air liang pada cerun
binaan. Ini kerana perubahan tekanan air liang semasa pembinaan dan selepas
pembinaan merupakan faktor yang kritikal terhadap kestabilan cerun jenis ini.

3.3 PUNCA KEGAGALAN CERUN


Punca-punca kegagalan cerun tanah adalah dari tindakan alam semulajadi ataupun dari
tindakan manusia. Faktor daripada tindakan semulajadi tidak dapat dielakkan tetapi ianya dapat
dikawal dengan kaedah-kaedah pengawalan cerun. Faktor-faktor tindakan semulajadi adalah sifat
bahan, hakisan, cuaca serta keadaan geologi. Faktor tindakan manusia adalah aktiviti–aktiviti
yang dijalankan di kawasan berhampiran dengan kawasan cerun yang boleh menyebabkan
kegagalan cerun. Faktor lain yang turut mempengaruhi kegagalan cerun ialah geomorphologi dan
hidrogeologi kawasan.

Kegagalan cerun tanah di kawasan kediaman boleh menyebabkan kemalangan nyawa


orang ramai dan kerosakan harta benda serta menjejaskan aktiviti sosio-ekonomi di kawasan
tersebut.

3.3.1 Punca-punca Kegagalan Cerun

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan punca berlakunya kegagalan cerun.


Antaranya ialah faktor geologikal, fizikal, aktiviti manusia, morphologikal dan tindakan
air.

3.3.2 Faktor Geologikal


Kestabilan cerun turut dipengaruhi oleh keadaan geologi. Antaranya ialah
pengaruh sifat-sifat bahan, pengalihan sokong tanah cerun kerana hakisan, faktor beban,
enapan dan pengenaan surcaj.

3.3.2.1 Pengaruh Sifat-sifat Bahan

Sesuatu bahan itu mungkin secara semulajadinya adalah lemah ataupun menjadi
lemah. Ini kerana keadaan tanah yang semakin tepu dengan air. Selain itu, tanah yang
terdiri daripada bahan organik dan tanah liat mempunyai kekuatan yang lemah. Batu-
batuan pula berubah kepada tanah halus atau tanah liat setelah terluluhawa atau
mengalami tindakbalas kimia. Semua ini menghasilkan tanah yang bersifat lemah dan ia
terbukti akan mempengaruhi kestabilan cerun tanah.

3.3.2.2 Pengalihan Sokong Tanah Cerun Kerana Hakisan

Kaki cerun boleh berubah bentuk kerana proses hakisan yang berlaku. Antara
agen-agen yang boleh menyebabkan keadaan sebegini berlaku adalah seperti arus deras
sungai, ombak dan pergerakan cerun itu sendiri. Proses hakisan tanah akan meningkat
tegasan ricih yang boleh menimbulkan pergerakan pada cerun. Selain itu, aktiviti
pemotongan cerun dan kuari turut memberikan kesan terhadap kestabilan cerun.

3.3.2.3 Faktor Beban Pada Permukaan Enapan


Beban permukaan pada cerun mungkin berubah kerana disebabkan oleh hakisan
dan enapan pada permukaan. Ia juga boleh menyebabkan kaki cerun mengalami sedikit
perubahan. Perubahan yang dimaksudkan adalah pengumpulan enapan tanah yang
terhakis dari satu kawasan ke cerun.

3.3.2.4 Pengenaan Surcaj

Dalam kes ini didapati bahawa peningkatan jumlah bahan pada kawasan cerun
juga dapat memberikan surcaj kepada cerun. Selain daripada itu, air yang meresap
kedalam bumi juga boleh menjadi surcaj kepada cerun. Surcaj juga boleh meningkat
akibat daripada kerja-kerja penanaman pokok-pokok yang besar pada cerun. Aktiviti
manusia juga mampu mengakibatkan peningkatan surcaj pada cerun. Antaranya,
termasuklah kerja-kerja penambakan, pembinaan bangunan dan sebagainya.

3.3.3 Faktor Fizikal

Antara faktor-faktor fizikal yang mampu mempengaruhi kestabilan cerun adalah


seperti keadaan persekitaran, keadaan cuaca dan kesan keamatan hujan.

3.3.3.1 Faktor Keadaan Persekitaran Terhadap Cerun


Antara faktor persekitaran yang dapat memberi kesan terhadap kestabilan cerun
termasuklah beban atau daya luar, gempa bumi, keadaan cuaca dan gunung berapi.
Walau bagaimanapun, Malaysia tidak mengalami masalah gempa bumi dan gunung
berapi. Oleh itu, dua faktor ini tidak ditekankan dalam memahami masalah cerun di
Malaysia.
3.3.3.2 Faktor Keadaan Cuaca

Keadaan tanah yang tepu dengan air akan mengurangkan ikatan antara zarah
tanah di samping meningkatkan tekanan air liang. Perubahan suhu yang mendadak turut
mempengaruhi. Ini kerana cuaca yang kering dan panas akan menyebabkan tanah
menjadi kering. Pengeringan secara mendadak ini akan menyebabkan keretakan berlaku.

3.3.3.3 Kesan Keamatan Hujan

Suasana hujan yang lebat dikenalpasti sebagai salah satu daripada punca
ketidakstabilan tanah. Namun begitu, keamatan hujan adalah berbeza mengikut kawasan.
Sesetengah kawasan mengalami hujan yang sedikit tetapi dalam tempoh yang lama, dan
ada pula kawasan yang mengalami hujan yang banyak akan tetapi dalam tempoh yang
singkat.

Dalam kajian ini, ketidakstabilan dan runtuhan tanah didapati lebih kerap berlaku
dalam kawasan yang mengalami keamatan hujan yang besar berbanding kawasan yang
mengalami keamatan hujan yang sedikit. Resipan air hujan yang pesat akan
menyebabkan ketepuan air dalam tanah akan meningkat dan pada ketika ini tekanan air
liang dalam tanah turut meningkat. Fenomena ini adalah salah satu daripada punca
berlakunya ketidakstabilan dalam tanah.

3.3.4 Faktor Manusia

Sesetengah aktiviti manusia adalah bertujuan untuk membangunkan sesuatu


kawasan yang baru serta meningkatkan ciri-ciri keselamatan. Akan tetapi terdapat juga
aktiviti yang boleh memberikan kesan buruk kepada alam sekitar termasuklah cerun.

3.3.4.1 Kegiatan Manusia Dalam Menyebabkan Perubahan Beban Pada Cerun

Sememangnya, aktiviti manusia pada sekitar mampu mempengaruhi kestabilan


sesuatu cerun. Ini kerana aktiviti manusia itu meningkatkan lagi daya atau beban luar
hingga menyebabkan kegagalan. Antara aktiviti manusia yang menyebabkan perubahan
daya permukaan pada cerun adalah seperti:

i. Perataan pada cerun sedia ada


ii. Pembinaan pada sisi bersebelahan dengan cerun
iii. Getaran daripada kenderaan yang lalu-lalang
iv. Kerja pemusnahan batu-batu
3.3.4.2 Perataan Cerun

Kerja meratakan permukaan cerun akan menyebabkan kegagalan pada cerun. Ini
kerana hakisan semulajadi dan pengenapan berlaku. Pengenapan yang terjadi akan
menyebabkan kaki cerun berubah apabila banyak tanah yang berkumpul pada kaki cerun.

Kerja-kerja penambakan dan pengorekan turut termasuk dalam kerja-kerja aktiviti


manusia yang boleh mengganggu kestabilan cerun. Pengorekan menyebabkan cerun
terlalu curam manakala penambakan menjadi surcaj kepada cerun sekiranya tidak
membuat analisis kepada aktiviti cerun yang hendak dilakukan.

3.3.4.3 Pengorekan Secara Pemusnahan Atau Letupan Pada Kawasan Cerun

Kerja pengorekan secara letupan mengakibatkan kerosakan struktur tanah. Ini


kerana kerja-kerja letupan batuan akan menyebabkan pengurangan ketumpatan dan
kekuatan hingga menyebabkan peningkatan kemudahsaliran. Keadaan sebegini perlu
dikenalpasti di lapangan agar ia boleh diatasi dalam tempoh yang singkat.

3.3.5 Faktor Morphologikal


Kecondongan cerun memainkan peranan yang penting dalam kestabilan. Pada
nisbah kecondongan 2:3 ( tegak:ufuk ) pada umumnya, cerun adalah stabil, dengan syarat
tidak diganggu oleh aktiviti manusia dan faktor semulajadi. Namun begitu, cerun boleh
juga gagal tanpa ada campur tangan aktiviti manusia iaitu akibat dari tindakan hakisan di
bahagian bawah cerun atau pembebanan di bahagian puncak cerun.

3.3.6 Tindakan Air

Salah satu punca suatu cerun itu boleh gagal kerana tindakan air samada yang
mengalir sebagai air larian permukaan ataupun yang bertindak sebagai air liang. Air
boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif terhadap cerun yang dibina ataupun yang
secara semulajadi.

3.3.6.1 Kesan Resipan dan Air Larian

Anggaran resipan dan air larian amat penting dalam rekabentuk saiz dan sistem
saliran untuk cerun. Pendekatan yang munasabah ialah menyediakan sistem saliran yang
secukupnya.

3.3.6.2 Perubahan Paras Air Bumi


Perubahan paras air bumi secara mendadak pada cerun turut dikesan sebagai
punca berlakunya ketidakstabilan cerun. Peningkatan paras air bumi pada cerun mampu
meningkatkan tekanan air liang dan mengurangkan tegasan berkesan pada cerun tanah
yang tepu dengan air. Ini boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh. Peningkatan paras
air bumi juga boleh meningkatkan kesan pergerakan tanah yang boleh menyebabkan
kejadian tanah runtuh atau ketidakstabilan cerun.

3.3.7 Mekanisma Pergerakan Cerun

Terdapat pelbagai mekanisma pergerakan cerun yang berlaku. Namun begitu,


kriteria-kriteria utama perlulah dikenalpasti bagi tujuan mengklasifikasikan mekanisma
kegagalan cerun. Antara kriteria utamanya adalah mengetahui punca dan bentuk
runtuhan pergerakan dalam tanah. Pergerakan tersebut mungkin berbentuk runtuhan
(falls), gelinciran (slides) dan aliran (flow).

3.3.7.1 Runtuhan

Pergerakan jenis ini biasa berlaku pada cerun yang sangat curam. Kejatuhan
merupakan keadaan apabila tanah tertanggal terus dari cerun dan jatuh (Bromhead,
1986). Faktor yang meyumbang kepada fenomena kejatuhan ialah:
 Tindakan luluhawa yang menghakis cerun dan mengganggu kestabilannya.
 Tegasan graviti yang mengakibatkan wujudnya permukaan ricih pada cerun.
 Perubahan suhu yang menyebabkan sambungan pada batuan terbuka dan tertutup
dan membenarkan serpihan tanah memasukinya. Apabila ini berlaku ia
menghalang sambungan pada batuan itu menutup semula.

3.3.7.2 Gelinciran

Kegagalan secara gelinciran merupakan salah satu lagi bentuk mekanisma


kegagalan cerun. Ia melibatkan pergerakan tanah pada satah kegagalan yang mengalami
ricih yang tinggi. Antara punca kegagalan gelinciran ini berlaku adalah kerana
terdapatnya keretakan pada permukaan asal. Keretakan ini akan menjadi kedudukan
utama di mana kegagalan akan berlaku.

Tanah yang runtuh kemudiannya akan bergerak hingga melebihi kaki cerun dan
terkumpul pada kaki cerun. Kegagalan secara gelinciran lazimnya boleh dibahagikan
kepada dua kategori iaitu kegagalan secara arka bulatan dan kegagalan secara gelangsar
lurus.

3.3.7.4 Aliran

Pergerakan jisim tanah liat melalui mod aliran melibatkan ubahbentuk dalaman
yang lebih besar berbanding dengan fenomena gelinciran cerun (Bromhead, 1986).
Kejadian aliran akan berlaku dalam tanah yang berjelekit jika kandungan lembapan
melebihi had cecair.

3.4 PENGKELASAN KEGAGALAN CERUN

Kegagalan cerun boleh dikelaskan kepada tiga jenis iaitu:


a. Kegagalan Cerun Tanah
b. Kegagalan Cerun Batuan
c. Kegagalan Khas

3.4.1 Kegagalan Cerun Tanah

Kegagalan ini terbahagi kepada 5 kumpulan utama


a. Gelinciran
b. Gelongsoran
c. Aliran
d. Rayapan
e. Kompleks

3.4.1.1 Gelinciran
Gelinciran boleh berlaku pada semua jenis tanah. Kejadiannya sangat berkait
rapat dengan penepuan muka cerun akibat hujan lebat yang berlaku secara berterusan.
Gelinciran merupakan jenis Kegagalan Cerun yang utama di Malaysia. Bergantung
kepada ketebalan profil luluhawa dan sifat homogeny tanah, gelinciran boleh berlaku
pada zon yang nipis (kurang daripada 2m) yang dinamakan gelinciran cetek dan pada zon
lebih tebal yang dinamakan gelinciran dalam.

3.4.1.2 Gelonsoran

Gelonsoran berbeza dengan kegagalan gelinciran kerana biasanya ia berlaku pada


tanah berjelekit. Ia boleh terjadi di sepanjang satu atau beberapa satah lingkaran yang
khusus, mengekalkan tekstur tanah selepas mengelonsor. Gelonsoran boleh juga terjadi
pada bahan tambak yang padat sekiranya lapisan dasarnya secara relatif adalah lemah.
Kegagalan gelosoran mempunyai kaitan yang rapat dengan pengaruh air bawah tanah.

3.4.1.3Aliran

Kegagalan jenis ini terjadi apabila lapisan bahan bumi yang tepu air berubah sifat
menjadi cecair dan bergerak sepanjang cerun. Kejadian aliran tanah atau puing jarang
dilaporkan tetapi kesan yang dapat dilihat melalui topografi dan fotografi udara
menunjukkan kegagalan jenis ini terutama yang bersaiz kecil ada berlaku di kawasan
pergunungan. Bahan bumi yang terlibat biasanya bersifat peroi.
3.4.1.4 Rayapan

Rayapan merupakan fenomena kegagalan cerun yang sangat pelahan. Purata


pergerakan mungin hanya beberapa millimeter setahun dan hanya melibatkan zon lapisan
atas cerun. Rayapan pada lapisan tanah hasil luluhawa batuan boleh diperhatikan pada
anjakan struktur lapisan tanah. Pada lapisan tanah homogen, pergerakan ini hanya dapat
dikesan berdasarkan anjakan yang terjadi pada struktur atau tumbuhan yang berada di
atasnya.

3.4.1.5 Kompleks

Kegagalan cerun tanah jenis kompleks merupakan gabungan dua atau lebih
kegagalan-kegagalan di atas. Jenis yang biasa dijumpai ialah gelinciran-aliran atau
gelonsoran-aliran. Mekanisma kegagalan dan faktor penyebab utama bersesuaian
dengan pertambahan rongga pada tekstur tanah menyebabakan pertambahan air yang
seterusnya mengubah sifat tanah menjadi cecair dan gagal secara aliran.
Rajah 3.4.1 Jenis-Jenis kegagalan tanah

3.4.2 Kegagalan Cerun Batuan

Kegagalan ini boleh dikategorikan kepada 4 komponen utama iaitu:

a. Kegagalan Lingkaran
b. Kegagalan Satah
c. Kegagalan Baji
d. Jatuhan
3.4.2.1 Kegagalan Lingkaran

Ianya hampir sama dengan bentuk kegagalan gelonsoran pada cerun tanah. Cerun
yang gagal pada sepanjang satah bentuk lingkaran akibat daripada faktor keselamatan
yang rendah. Kegagalan seperti ini berlaku pada kawasan batuan lemah atau pada zon
batuan hancur

3.4.2.2 Kegagalan Satah

Kegagalan berlaku sepanjang satah lemah dimana gelinciran boleh berlaku di


sepanjang satah perlapisan, satah sesar, kekar atau jenis zon lemah yang lain. Kegagalan
jenis ini berkait rapat dengan orientasi zon lemah(ketakselanjaran) dan ciri-cirinya.
Kegagalan jenis ini mudah diramal.

3.4.2.3 Kegagalan Baji

Kegagalan bentuk baji berpunca dari sifat jasad batuan yang sama, cuma
gelinciran berlaku sepanjang dua atau lebih satah lemah

3.4.2.4 Jatuhan.

Kegagalan Jatuhan bongkah, piung dan terbalikan terjadi pada cerun batuan yang
sangat curam. Orientasi ketidakselajaran juga berperanan menyebabkan jatuhan tanah
terbalikan. Kehadiran beberapa set kekar pada jasad batuan sering menghasilkan
bongkah atau piung. Bongkah ini boleh jatuh apabila ketidakstabilan berkurangan akibat
pengaruh air bawah tanah, gegaran dan sebagainya.

3.4.3 Kegagalan Khas

Kegagalan Khas yang biasanya berlaku pada kawasan beriklim tropika ialah
kegagalan hakisan. Kegagalan hakisan merupakan diantara yang terpenting di sepanjang
lebuhraya di Malaysia. Kegagalan boleh terjadi akibat hakisan keping dan hakisan air
laluan. Kegagalan akibat hakisan air ini meninggalkan kesan yang lebih ketara
berbanding hakisan keping. Hakisan air laluan membentuk alur, takar atau baji dan
memindahkan bahan daripada permukaan cerun lebih banyak daripada kesan kegagalan
gelinciran, gelonsoran atau jatuhan. Kegagalan jenis ini sering dijumpai pada cerun
batuan terluluhawa tetapi lebih mudah terjadi pada cerun tanah sekiranya tidak dikawal.

Rajah 3.4.2 Jenis-Jenis Kegagalan Cerun Batuan dan Kegagalan Khas


3.5 KESIMPULAN

secara umumnya diketahui bahawa air merupakan faktor utama kegagalan cerun
di kawasan cerun. Faktor utama ini wujud dalam pelbagai bentuk seperti air hujan, air
tanah, air permukaan dan air larian. Kesemuanya menjurus kepada pengurangan
rintangan ricih tanah yang menyebabkan berlakunya kegagalan. Faktor lain yang
dianggap penyebab kegagalan cerun ialah aktiviti luluhawa yang aktif, sistem saliran
yang lemah, rekabentuk yang tidak sempurna dan keadaan fizikal yang mempunyai
kecuraman yang tinggi.

(a) (b)

(c) (d)

Rajah 3.5 Gambaran Kegagalan Cerun (a),(b),(c),(d)

You might also like