You are on page 1of 1

Amalan gaya hidup sihat merupakan suatu budaya yang sihat.

Hal ini demikian kerana amalan ini


menjamin kesihatan dan kesejahteraan hidup, terutamanya dalam kehidupan kita yang penuh dengan
cabaran dan tekanan. Demi menangani kehidupan yang penuh dengan pancaroba ini, beberapa langkah ke
arah gaya hidup sihat perlu diamalkan secara konsisten dan bukannya secara hangat-hangat tahi ayam.

Antara gaya hidup sihat yang perlu diamalkan termasuklah pengamalan pemakanan yang seimbang.
Pengamalan diet yang seimbang dan berkhasiat membantu kita hidup dalam keadaaan sihat. Misalnya,
makanan yang kaya dengan karbohidrat, protein, vitamin, dan serat hendaklah diperbanyak manakala
makanan yang berminyak, berkolesterol, dan manis hendaklah dikurangkan. Pendek kata, kita hendaklah
memakan makanan berdasarkan panduan piramid makanan yang disyorkan oleh pakar pemakanan. kita
perlu ingat bahawa rakyat sihat negara makmur.

Tambahan pula, salah satu gaya hidup yang sihat ialah melibatkan diri dalam aktiviti riadah.
Apabila kita terlibat dalam aktiviti riadah seperti berjoging, mendaki gunung, berkelah, dan terlibat dalam
permainan, badan kita akan berpeluh. Seterusnya ini akan memastikan peredaran darah yang lancar dan
anggota badan kita sentiasa cergas. Maklumlah otak yang cerdas berada dalam badan yang cergas.

Sehubungan ini, kita juga perlu ingat bahawa untuk memastikan kesihatan kita sentiasa baik, kita
perlu mengelakkan diri daripada terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan kesihatan kita seperti merokok,
minum arak, mengambil dadah, seks bebas dan sebagainya. Jika tidak, kita sebenarnya mengundang
penyakit yang mungkin tidak ada penawar seperti kanser, AIDS dan sebagainya. Kata peribahasa sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Intihanya, gaya hidup sihat bukan hanya menjamin kehdiupan yang sihat tetapi juga menjamin
kebahagiaan hidup. Jadi, demi memperoleh kesihatan yang sempurna dan terhindar daripada penyakit yang
kronik, amalan gaya hidup sihat haruslah dijadikan agenda dalam kehidupan kita. Dengan adanya kesihatan
yang sempurna, kita kaan menjadi modal insan yang produktif dan menjadi pangkin kepada pencapaian
Wawasan 2020.

You might also like