You are on page 1of 6

My Doctor- Prof Dr Muhaya Muhamad

Ekstra Feminin: Pakar mata


Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

Prof Dr Muhaya Muhammad

PERJALANAN kerjayanya untuk mendaki ke puncak dilihat begitu mudah. Sebaik menamatkan
kursus doktor pelatih pada 1986, Prof Dr Muhaya Muhamad ditawarkan oleh Datuk Dr Mohd
Nor Marahakim, yang digelar Bapa Oftalmologi Malaysia menjadi pensyarah pelatih di
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam masa enam tahun selepas mendapat ijazah doktor falsafah pada 1991, beliau dilantik
menjadi Pakar Mata dan pensyarah Jabatan Oftalmologi, UKM mendahului rakan seangkatan.
Namun, katanya, semua itu adalah anugerah Allah, berkat doa, restu dan sokongan suami serta
ibu bapa.

Resipi menjadi doktor terbaik: Prof Muhaya ubati rohani sebelum rawat pesakit

BELIAU yang juga wanita Melayu pertama menjadi Pengerusi Persatuan Doktor Mata Malaysia,
mempunyai prinsip terpuji. Bagi Prof Dr Muhaya Muhamad, doktor Muslim perlu memiliki
kebersihan rohani sebelum mampu merawat pesakit. Tidak meninggalkan suruhan Allah dan
ikhlas membantu insan memerlukan, resipi terbaik bergelar doktor.
Katanya, sekiranya seorang itu bercita-cita menjadi doktor semata-mata mengejar glamor dan
wang ringgit, ia sebenarnya tidak sempurna, kerana doktor itu sendiri berperanan membantu dan
tidak memikirkan kesenangan mahupun keuntungan diri.

"Sebenarnya menjadi doktor paling mudah untuk kita mendapat pahala kerana menerusinya kita
lebih mudah berdakwah dan menyampaikan nasihat kepada pesakit. Sepanjang pengalaman saya
sebagai doktor, selalunya saya akan menyampaikan ingatan dan pesanan kepada pesakit, tidak
sekadar merawat semata-mata.

RAWATAN mata kini semakin maju dan


menjimatkan masa.

"Saya ada didatangi pesakit yang terlalu sedih kehilangan penglihatan, tetapi selalu saya
tekankan, bahawa insan berkenaan perlu bersyukur kerana hilang penglihatan bermakna dosa
daripada segi nafsu dan keinginan dunia akan berkurangan.

"Begitu juga sekiranya ada pesakit yang menghidap penyakit kronik, dan menunggu masa untuk
meninggal dunia, selalu saya tekankan, bahawa mati itu pasti berlaku, tetapi sekurang-kurangnya
insan berkenaan mempunyai masa untuk beribadah lebih, kerana ada juga kematian berlaku
secara tiba-tiba," katanya.

Lantaran prinsip itulah maka wanita yang berusia 50 tahun in cukup disayangi Hospital
Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dan Pusat Perubatan Prince Court.
Tanggungjawabnya terhadap dua pusat berkenan yang mana di HUKM, beliau masih bergelar
Profesor, sementara di Prince Court menggalas jawatan sebagai Ketua Jabatan Mata.

Prof Muhaya adalah pakar perunding mata pertama di Asia Tenggara yang menjalankan prosedur
lasik dengan mesin Vismax Femtosecond pada 15 September lalu. Ia adalah satu kaedah
termoden dan penghasilan 'flap cornea' dengan VisuMax adalah teknik tanpa pisau sepenuhnya.
PROF Muhaya bersama keluarga tercinta.

Satu ciri penting VisuMax ialah penggunaan kanta lekap yang diletakkan di kornea ketika
rawatan dan ini akan membekalkan keselesaan yang maksimum tidak seperti mikrokeratom atau
kaedah laser femtosecond yang lain, di mana penglihatan pesakit akan hilang untuk seketika
disebabkan peningkatan tekanan yang tinggi. Kelebihan VisuMax, prosedur ini sangat lembut
dan pesakit sering menyamakan prosedur VisuMax dengan proses memakai kanta lekap.

Prof Muhaya berkata, semua pesakit yang menjalani pembedahan lasik dengan kaedah itu di
Pusat Mata dan Lasik Prince Court melahirkan rasa gembira dan menyatakan ada peningkatan
kualiti hidup dari segi kebebasan daripada cermin mata dan dapat bersukan dengan lebih mudah.

Tidak terhenti di situ, ramai pesakitnya yang tetap mencari dirinya dan inginkan rawatan
daripadanya kerana prinsip 'cantiknya' itu.

"Tidak dinafikan saya mempunyai pesakit yang ramai, kalau nak diikutkan, mesti jururawat yang
bertugas dengan saya mengeluh kepenatan, tetapi saya selalu ingatkan, kalau lagi banyak kita
membantu orang lain, lagi banyak kita mendapat pahala," katanya.

Prof Muhaya yang juga penerima pertama Anugerah Toh Puan Rahah pada 1982 yang diberikan
kepada pelajar wanita UKM yang paling cemerlang dari segi akademik dan sahsiah berkata,
beliau sentiasa berminat mengajar rakan seperjuangan.

Mengimbas kembali kenangan lalu, beliau akui cita-cita menjadi doktor berputik apabila
ayahnya membawa beliau melawat Universiti Malaya ketika berumur 10 tahun. Mengingat kata
ayah, menjadi doktor saja tidak cukup kerana seseorang Muslim itu perlu menggunakan
pendekatan holistik dan menerapkan nilai keislaman dalam rawatan.

Istimewa mengenai Prof Muhaya, beliau amat menitikberatkan aspek agama yang mana selalu
mengingatkan pekerjanya supaya tidak meninggalkan solat lima waktu, malah itulah kriteria
utama sekiranya ingin bekerja dengannya. Bagi dirinya, sama ada anda seorang pekerja atau
majikan, sekiranya amanah Allah tidak dilakukan dengan jujur dan amanah, bagaimana pula
dengan amanah kepada diri sendiri, majikan atau bagaimana apabila bergelar bos?

"Orang yang tidak meninggalkan solat dan selalu meminta pertolongan daripada Allah nyata
banyak kemudahannya. Saya pernah berhadapan dengan pesakit muda yang selesai menjalani
rawatan, mengikut kaedah biasa mampu sembuh dalam seminggu, tetapi pesakit itu tidak sembuh
juga walaupun sudah masuk hari ke-10. Saya terus bertanya, adakah anda mengerjakan solat?
Dan seperti dijangka jawapannya tidak.

"Begitu juga sekiranya saya melakukan pembedahan terhadap orang yang banyak beramal
kepada Allah, kerja pembedahan bagaikan 'dibantu' apabila ia berjalan dengan pantas dan tanpa
sebarang masalah. Begitulah besarnya nikmat sekiranya kita beramal ibadat. Saya percaya, kalau
kita selalu menolong orang, Allah juga akan sentiasa membantu kita," katanya.

Tidak sia-siakan masa

KEBIJAKSANAAN Prof Muhaya dalam menyampaikan ceramah dan peringatan banyak


dipengaruhi oleh ilmu. Katanya, perjalanan dari rumah ke pejabat yang mengambil masa selama
satu jam dipenuhi dengan mendengar CD ceramah agama dan maklumat itu dikongsi bersama
pekerja dan pesakitnya.

Begitu juga ketika waktu rehat tengah hari umpamanya, beliau akan pastikan diri mendengar
input ilmiah termasuk motivasi dan sebagainya, kerana beliau tidak mahu membiarkan masanya
terbuang begitu saja tanpa mendapat pengisian.

Nyata amalannya itu diperoleh daripada didikan arwah bapanya yang percaya manusia akan
menjadi insan terpuji menerusi ilmu yang dipelajarinya.

"Percaya atau tidak sejak berusia lapan tahun lagi, arwah bapa saya sudah memanggil guru
tuisyen mengajar kami adik-beradik subjek matematik dan bahasa Inggeris membuktikan beliau
sudah melihat kebaikan ilmu. Bayaran dikenakan ialah RM15 sebulan untuk saya dan kakak
yang ketika itu belajar dalam darjah enam. Jumlah yang agak besar pada 1966, tetapi ayah saya
tidak peduli.

"Sebagai pegawai tentera, dia mahu anak-anaknya menjadi orang berilmu. Ayah saya memang
sangat berdisiplin dan amalan itu saya perturunkan kepada dua anak perempuan saya. Saya tidak
sewenang-wenangnya membenarkan anak saya keluar bersuka ria atau menonton wayang,
sebaliknya akan ingatkan mereka, adakah mereka ingin bersuka tawa riang, dan menangis pada
kemudian hari? Bagi saya ibu bapa sebenarnya yang mencorakkan pendidikan anak-anak
mereka," katanya.

Mengulas mengenai kejayaan dikecapi hari ini, Prof Muhaya mengakui pernah terpengaruh
dengan kawan. Naluri anak dara yang suka melawa mendorong beliau memasuki pertandingan
kecantikan, tarian, persembahan fesyen dan pelbagai persatuan sekolah.

Kesibukan itu menyebabkan prestasi pelajarannya merosot. Beberapa bulan sebelum LCE (SRP
sekarang), tiba-tiba Prof Muhaya tersedar beliau sebenarnya kesuntukan masa untuk belajar.
Hatinya panik. Tahun itu buat pertama kali dalam hidupnya beliau menyambut Aidilfitri di
asrama dan semua masanya dikhususkan untuk belajar.

"Bimbang juga jika tidak lulus periksa dan `ditendang keluar' daripada sekolah berasrama penuh.
Di mana hendak disorokkan muka yang pernah dinobatkan sebagai pelajar terbaik sekolah.

"Masuk tingkatan empat, saya kembali menjadi Muhaya yang sebelumnya. Saya suka belajar di
perpustakaan sebab sunyi. Hujung minggu, selepas sarapan saya ke perpustakaan untuk belajar.
Alhamdulillah, berkat usaha, saya jadi pelajar terbaik MCE tahun itu," katanya.

Kahwin awal

KETIKA di tingkatan lima itulah beliau mula berkawan dengan suaminya, Dr Azmi Jamion
ketika bertemu pada Pertandingan Piala Perdana Menteri. Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM), Prof Muhaya ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di
Universiti Kaherah, tetapi terpaksa ditolak kerana tidak mendapat kebenaran ayahnya.

"Saya terpaksa menyambung pelajaran di tingkatan enam. Patuh nasihat orang tua, banyak
hikmah di sebaliknya apabila dilantik ketua pengawas dan menjadi pelajar Melayu pertama yang
dapat empat Prinsipal dalam peperiksaan Higher School Certificate (1978) dan ditawarkan
bidang perubatan di UKM bersama suami yang masuk ke UKM terlebih dulu," katanya yang
mendirikan rumah tangga pada tahun kedua pengajian. Nyata, perkahwinan tidak menjejaskan
pelajaran malah mendapat pelajar terbaik pada tahun itu.

Beliau tidak menafikan bukan semua cerah menyinari hidupnya kerana menjelang 2000, anak
lelaki tunggalnya, Mohd Hilman, 11, meninggal dunia secara tiba-tiba ketika mereka sekeluarga
pergi membeli-belah.

Sungguhpun begitu, beliau reda dengan pemergian si kecil kerana yakin anaknya itu pasti
menyambutnya di padang mahsyar kelak.

INFO: Profesor Dr Muhaya Mohamad

 Memperoleh Fellowship dalam bidang Uveitis dari Hospital Mata Moorfields di United
Kingdom pada 1998, manakala kelulusan PhD dari University of London dalam bidang
Ocular Immunology.
 Anak Malaysia terunggul pakar dalam bidang Uveitis. Beliaulah yang memulakan
perkhidmatan Uveitis dan terapi immunosuppressive untuk penyakit mata autoimun di
Malaysia. Kini, Prof. Muhaya dianggap sudut rujukan dalam bidang pengurusan penyakit
uveitis sejak 1998. Beliau juga memberi latihan doktor pakar oftalmologi tempatan
khususnya dalam bidang uveitis.

 Pada 2005, Prof Muhaya dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Khas Terunggul (Special
Distinguished Service Award) oleh Akademi Opthomologi Asia Pacifik (APAO)
sempena Kongres APAO ke-20 yang diadakan di Kuala Lumpur.

 Kini beliau adalah Perunding Pakar Bedah Mata selain menyandang jawatan Ketua Pusat
Mata dan Lasik di Pusat Perubatan Prince Court; Profesor Oftalmologi di Universiti
Kebangsaan Malaysia, serta Profesor Ajung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 Pengerusi Persatuan Doktor Mata Persatuan Perubatan Malaysia (Malaysian Medical


Association Ophthalmological Society).

 Selain oftalmologi, Prof Muhaya mempunyai minat yang mendalam dalam


menyampaikan ceramah motivasi. Beliau sering diundang sebagai penceramah pada
minggu orientasi di PCMC. Topik kegemaran beliau adalah Perwatakan Berkesan. Prof
Muhaya juga sering diundang untuk berceramah kepada mahasiswa fakulti perubatan di
UKM, IIUM dan USIM.

 Wajah Prof Muhaya juga sering kelihatan di kaca televisyen berkongsi pengetahuan
beliau dalam berbagai penyakit mata di saluran TV1, TV2 dan TV3. Selain itu, pada
2005 beliau menerbitkan bukunya dalam bahasa Inggeris bertajuk How to become a good
and successful medical student.

You might also like