You are on page 1of 36

Siri Kampus Sejahtera (Bil.

7)

Promosi Kesihatan: Penilaian dan


Perundingan Kecergasan Fizikal

Ahmad Tajuddin Othman, Ph.D. (Purdue)

Universiti Sains Malaysia

bagi pihak Sekretariat Kampus Sejahtera


© Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2003

Hak Cipta Terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian


artikel, ilustrasi dan isi kandungan buku ini dalam apa juga bentuk dan dengan cara
apa jua sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman, atau cara lain
sebelum mendapat izin bertulis daripada Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan

Ahmad Tajuddin Othman


Promosi kesihatan : penilaian dan perundingan kecergasan
fizikal / Ahmad Tajuddin Othman.
(Siri Kampus Sejahtera ; bil. 7)
ISBN 983-2514-54-1
1. Public health - Evaluation. 2. Universities and colleges - Health
promotion services. I. Judul. II. Siri.
613 RA427.8

Penerbit Universiti Sains Malaysia


11800 USM Pulau Pinang, Malaysia

Ketua Pegawai Penerbitan: Akhiar Salleh


Editor Pengurusan: A’watif Ahmad
Pereka Bentuk dan Susun Atur Komputer: Rosman Ahmad, Pusat Racun Negara
Pembaca Pruf: Rosni Habib

Dicetak oleh Sinaran Bros Sdn. Bhd.


KUMPULAN PROMOSI KESIHATAN
Ahli Kumpulan

Dr. Ahmad Tajuddin Othman (Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan)


Profesor Madya Abas Hj. Hussin (Pusat Pengajian Sains Farmasi)
Profesor Madya Noryati Ismail (Pusat Pengajian Teknologi Industri)

iii
KAMPUS SEJAHTERA

Program Kampus Sejahtera wujud atas kesedaran akan kepentingan aspek kesihatan
serta persekitaran fizikal dan sosial yang kondusif kepada masyarakat kampus. Ia
merupakan satu proses yang dinamik dimana proses pembangunan dan
penambahbaikan berlaku secara berterusan dengan menggunakan sumber dan
kepakaran yang sedia ada. Masyarakat kampus melakukan tugas dan fungsi harian
dengan semangat sukarela, berganding bahu serta komitmen yang tinggi
menggunakan potensi sedia ada secara maksimum.

Kampus yang sejahtera adalah tempat di mana:


! Tubuh dan minda pelajar-pelajar dapat dipelihara dan dididik
! Persekitaran yang sesuai (seperti aspek prasarana dan keselamatan) untuk
aktiviti pembelajaran dan bekerja
! Masyarakat kampus bekerja dan menghabiskan usia mereka dengan penuh
ketenangan dan sentiasa dihargai
! Keseimbangan ekologi sebagai sumber kebanggaan dan kepuasan
Proses untuk mencapai tahap kampus yang sejahtera memerlukan komitmen
yang tinggi daripada pihak pengurusan universiti, kekuatan organisasi dan tindakan
yang inovatif. Tambahan lagi ia memerlukan penglibatan serta kerja sama dari
pelbagai lapisan masyarakat kampus dan bidang kepakaran.

Projek-projek kampus sejahtera yang telah dan sedang dijalankan ataupun yang
dirancang untuk masa hadapan bertujuan untuk memperbaiki kesihatan (dalam
konteks yang lebih luas) serta kesejahteraan masyarakat kampus melalui
penambahbaikan kualiti dalam aspek-aspek seperti:
! kesihatan dan kecergasan ! pembangunan kampus
! keadaan tempat tinggal ! keadaan tempat kerja
! makanan dan premis makanan ! keselamatan dan sekuriti
! sistem jalan raya dan pengangkutan ! prasarana bagi orang kurang upaya
! persekitaran ! prasarana sukan dan rekreasi
! lanskap dan ekosistem ! aktiviti komunikasi dan dokumentasi

Matlamat serta aspirasi universiti dalam membangunkan Kampus yang Sejahtera


akan tercapai dengan adanya komitmen yang tinggi serta semangat sukarela dan
rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat kampus.

“KOMITMEN DAN SEMANGAT SUKARELA ASAS


KESEJAHTERAAN KAMPUS”

Profesor Madya Mohamed Izham Mohamed Ibrahim


Penyelaras
Sekretariat Kampus Sejahtera
Universiti Sains Malaysia

iv
DARI HATI KE HATI

Kampus Sejahtera di Universiti Sains Malaysia adalah


satu usaha perintis yang unik. Dimulakan pada tahun
2001, ia berhasrat menarik perhatian seluruh warga
kampus bersama-sama memusatkan tanggungjawab
kepada USM. Program ini menjadi satu pelantar untuk
membolehkan setiap seorang anggota Universiti
menyumbang secara langsung kepada pembangunan
kampus melalui pembudayaan lima ciri utama.

Pertama, kesukarelaan. Setiap orang perlu mengambil


inisiatif secara peribadi untuk memikirkan bagaimana ia
boleh, secara positif dan proaktif, membantu dalam
proses membangunkan kampus ini terutamanya tempat
ia bekerja dan/atau belajar, tanpa disuruh atau dipaksa.

Kedua, bekerjasama dan berpasukan. Program Kampus Sejahtera menggalakkan setiap


warga USM berbincang sesama mereka dalam satu pasukan tentang hal-hal pembangunan
kampus, merentasi jabatan mahupun kedudukan dan status. Penekanannya adalah kepada
idea-idea baru.

Ketiga, bersumberkan data dan maklumat. Setiap usaha yang ingin diambil perlu
bersendikan data dan maklumat yang tepat dan jitu; dan bukan tanggapan kasar sahaja. Ini
bermaksud satu kajian teliti perlu dijalankan sebagai asas kepada tindakan dan syor yang
akan dikemukakan untuk pertimbangan pihak Universiti.

Keempat, insourcing, iaitu menggunakan apa saja kepakaran yang sedia ada di USM untuk
memantapkan lagi kajian dan tindakan yang mempunyai nilai praktis dan bukan dari aspek
teori sahaja, ataupun hanya sebagai satu usaha akademik semata-mata.

Kelima, pentingnya dokumentasi yang lengkap. Ini untuk membolehkan langkah susulan
diambil serta dipantau secara berterusan. Melalui dokumentasi perkongsian maklumat dapat
diperluaskan dan pada masa yang sama mempermudahkan maklum balas daripada semua
pihak untuk meningkatkan keberkesanan Program Kampus Sejahtera.

Maka, berdasarkan kelima-lima asas utama ini, usaha untuk menerbitkan monograf Siri
Kampus Sejahtera amat dialu-alukan dan tepat dengan tujuan untuk meletakkan pembangunan
USM sebagai tanggungjawab bersama ke arah sebuah Kampus Sejahtera.

Profesor Dato’ Dzulkifli Abdul Razak


Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia

v
vi
KANDUNGAN

Abstrak 1

Objektif 2

Pengenalan 3

Definisi Kesihatan 3

Kesejahteraan dan Kecergasan 4


a. Kecergasan Fizikal Berlandaskan Kesihatan 5
b. Kecergasan Berlandaskan Perlakuan Motor 6

Promosi Kesihatan 6
a. Kontinum Kesihatan 7
b. Tahap Pencegahan 8

Penilaian Kecergasan Fizikal 10


1. Soal Selidik Maklumat Diri dan Tahap Kesihatan Am 10
2. Ujian Daya Tahan Kardiovaskular 11
3. Ujian Kekuatan dan Daya Tahan Otot 13
4. Ujian Fleksibiliti 16
5. Analisis Komposisi Badan 17
6. Analisis Darah 20
7. Analisis Pemakanan 21

Perundingan 22

Rumusan 22

Rujukan 23

Lampiran 24

vii
ABSTRAK
Kesejahteraan merangkumi beberapa dimensi, iaitu dimensi fizikal, sosial, emosi,
rohani, mental, persekitaran, dan pekerjaan. Keseimbangan antara kesemua
dimensi ini dapat mewujudkan seorang insan yang harmonis. Bagi mencapai
keseimbangan ini, seseorang perlu mengubah tingkah laku kesihatan dan cara
hidup kepada yang lebih sihat. Salah satu dimensi yang selalu diutamakan
ialah dimensi fizikal.

Kecergasan fizikal dikategorikan kepada dua, iaitu kecergasan fizikal


berlandaskan perlakuan motor dan kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan.
Kecergasan fizikal berlandaskan perlakuan motor berkait rapat dengan prestasi,
terutama di kalangan atlet. Kecergasan fizikal pula berlandaskan kesihatan
yang lebih menitikberatkan tahap kecergasan dan kesihatan sebagai matlamat
utama. Komponen-komponen kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan ialah
daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot, fleksibiliti dan
komposisi badan.

Perkhidmatan Penilaian dan Perundingan Kecergasan diwujudkan sebagai


suatu perkhidmatan kepada warga kampus Universiti Sains Malaysia.
Perkhidmatan ini menawarkan suatu siri ujian kecergasan yang menilai
komponen-komponen kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan. Penilaian
kecergasan ini merangkumi soal selidik maklumat diri, ujian kardiovaskular
submaksimum, ujian kekuatan dan daya tahan otot, ujian fleksibiliti, analisis
darah, analisis komposisi badan dan analisis pemakanan.

Penilaian kecergasan komprehensif ini dapat mengenal pasti keperluan


kecergasan seseorang serta menjadi asas kepada perundingan dan penasihatan
bagi meningkatkan tahap kecergasan. Preskripsi senaman dan program
kecergasan dapat direka bentuk dengan menggunakan maklumat yang
dikumpul bagi memenuhi keperluan pelanggan yang datang mendapatkan
perkhidmatan ini.

1
Objektif

i. Menilai tahap kecergasan diri dan gaya hidup seseorang sebagai titik mula sebelum
memulakan program latihan kecergasan.
ii. Memberi maklumat mengenai tahap kesihatan dan hubung kait dengan perlakuan
kesihatan seseorang.
iii. Menyediakan perkhidmatan perundingan berkaitan dengan perlakuan kesihatan bagi
memulakan gaya hidup sihat.

2
Pengenalan
Fokus kesihatan awam telah mengalami suatu perubahan semenjak
kebelakangan ini. Ahli profesional dalam bidang kesihatan awam telah
berganjak daripada usaha mengurangkan berlakunya penyakit dan mengelak
kematian pramasa kepada mengutamakan atau menggalakkan promosi
kesihatan (US Department of Health and Human Services, 1996). Jika kita melihat
kepada punca kematian di negara maju pada awal abad ke-20 dan
membandingkan dengan punca kematian pada akhir abad ke-20, kita akan
mendapati bahawa terdapat satu anjakan daripada penyakit berjangkit kepada
penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup. Sebagai contoh, punca utama
kematian di Amerika Syarikat pada awal 1900-an adalah penyakit-penyakit
berjangkit seperti tuberkulosis, pneumonia dan influenza. Kini, penyakit-
penyakit yang berkait rapat dengan gaya hidup seperti penyakit jantung, kanser
dan penyakit serebrovaskular menjadi punca utama kematian di negara itu
(Donatelle dan Davis, 2000). Anjakan punca kematian ini adalah sebagai hasil
peningkatan sistem sanitasi, penemuan vaksin dan antibiotik yang telah
mengurangkan kematian sebagai akibat penyakit berjangkit dan juga telah
menambahkan jangka hayat manusia. Namun, ancaman baru yang berkait rapat
dengan gaya hidup seperti kurang bersenam, makan makanan berlemak dan
tidak dapat mengurus stres dengan baik mula meningkat sebagai akibat
kemewahan dan kesenangan yang kita alami sekarang.

Definisi Kesihatan
Kesihatan pada awalnya bermaksud seseorang itu tidak berpenyakit. Dalam
erti kata lain, jika kita tidak mengalami sebarang penyakit, kita dianggap sebagai
sihat. Namun pada tahun 1947, dalam satu persidangan kesihatan antarabangsa,
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mendefinisikan kesihatan sebagai
“keadaan fizikal, mental dan sosial seseorang yang menyeluruh, bukan hanya
tidak berpenyakit atau tidak berdaya” (World Health Organization, 1947). Dalam
definisi ini, terdapat tiga komponen utama yang perlu kita lihat bagi memahami
maksud kesihatan. Komponen-komponen tersebut ialah kesihatan fizikal,
kesihatan mental dan kesihatan sosial.

Kesihatan fizikal merangkumi ketiadaan penyakit dan ketidakupayaan, serta


bertenaga untuk melakukan kerja harian dan aktiviti waktu senggang tanpa
berasa lesu. Kesihatan mental pula bermaksud kita tidak mempunyai masalah
mental dan berupaya untuk berhadapan dengan cabaran harian serta

3
berinteraksi dengan masyarakat tanpa sebarang masalah mental, emosi atau
tingkah laku. Kesihatan sosial dihuraikan sebagai keupayaan kita untuk
berinteraksi dengan orang lain dan persekitaran sosial secara berkesan serta
menikmati kepuasan hubungan peribadi (Nieman, 1999).

Bagi mencapai kesihatan seperti yang ditakrifkan oleh WHO ini, kita perlu
mengambil langkah-langkah untuk mengubah tingkah laku kesihatan serta
gaya hidup bagi memperbaiki keadaan diri kita. Oleh hal yang demikian, promosi
kesihatan dapat memainkan peranan yang penting dalam mencapai kesihatan
diri yang optimum.

Kesejahteraan dan Kecergasan

Pada lewat tahun 1950-an, Dr. Halbert Dunn pertama kali menggunakan istilah
“wellness” atau kesejahteraan dalam penulisan beliau mengenai pencapaian
kehidupan optimum. Beliau mentakrifkan kesihatan sebagai sesuatu yang pasif,
sebaliknya kesejahteraan ditakrifkan sebagai suatu proses pengembangan yang
sentiasa berubah menuju ke arah menjadi seseorang yang berada di tahap
paling optimum (Dunn, 1949). Kini, kesejahteraan didefinisikan sebagai satu
tahap fungsional yang dinamik dan bersepadu ke arah memaksimumkan potensi
seseorang, bergantung kepada tanggungjawab kendiri. Kesejahteraan bukan
sahaja melibatkan perlakuan kesihatan preventatif, tetapi peningkatan dari
segi pemikiran dan sikap. Kesejahteraan adalah satu ketetapan minda sepanjang
hayat dan pencapaian dalam dimensi emosional, kerohanian, fizikal, intelektual,
persekitaran, dan sosial (Robbins, Powers dan Burgess, 1999). Hal ini bermakna,
konsep kesejahteraan perlu diterapkan seawal mungkin bagi seseorang itu
menghayati dimensi-dimensi kesejahteraan.

Dimensi fizikal dalam konsep kesejahteraan melibatkan keupayaan operasi


sistem tubuh badan. Secara amnya, dimensi kesejahteraan fizikal boleh
digolongkan kepada dua, iaitu:

a. Kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan


b. Kecergasan fizikal berlandaskan perlakuan motor

Dimensi fizikal juga merangkumi penjagaan kesihatan kendiri seperti melakukan


ujian saringan berkala, mengambil langkah sepatutnya apabila sakit dan
penggunaan sistem perubatan yang bersesuaian.

4
a. Kecergasan Fizikal Berlandaskan Kesihatan

Kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan berkait rapat dengan penjagaan


kesihatan diri secara keseluruhan. Kecergasan ini merangkumi lima
komponen utama, iaitu:

1. Daya tahan kardiorespiratori


Daya tahan kardiorespiratori atau kardiovaskular ini didefinisikan
sebagai keupayaan untuk menghantar nutrien, terutama oksigen, ke
otot-otot yang bekerja dan mengangkut keluar hasil buangan ketika
kerja fizikal yang berterusan. Komponen ini melibatkan efisiensi
jantung, salur darah dan paru-paru.

2. Daya tahan otot


Daya tahan otot didefinisikan sebagai keupayaan otot menghasilkan
daya submaksimum yang berulang-ulang mengatasi rintangan atau
mengekalkan kontraksi otot berterusan untuk suatu jangka masa yang
panjang. Komponen ini merangkumi aktiviti yang melibatkan suatu
jangka masa yang panjang pada intensiti yang rendah.

3. Kekuatan otot
Kekuatan otot didefinisikan sebagai keupayaan sesuatu otot atau
kumpulan otot menghasilkan daya maksimum mengatasi rintangan.
Komponen ini merangkumi aktiviti yang melibatkan suatu jangka
masa yang pendek pada intensiti yang tinggi.

4. Fleksibiliti
Fleksibiliti merujuk pergerakan sesuatu sendi melalui julat pergerakan
sepenuhnya. Fleksibiliti perlu bagi pergerakan yang lancar dan efisien,
juga dapat mencegah daripada berlakunya kecederaan pada bahagian
sendi dan otot.

5. Komposisi badan
Komposisi badan merujuk perkadaran jumlah lemak badan dengan
berat tanpa lemak. Peratusan lemak badan adalah pengukuran
kegemukan yang lebih baik berbanding berat badan. Kelebihan lemak
dalam badan amat berkaitan dengan pelbagai jenis penyakit kronik.

5
b. Kecergasan Berlandaskan Perlakuan Motor

Kecergasan berlandaskan perlakuan motor berkait rapat dengan


pencapaian kemahiran dalam aktiviti sukan. Kecergasan ini merangkumi
enam komponen, iaitu:

1. Kepantasan
Kepantasan didefinisikan sebagai keupayaan melakukan pergerakan
dalam suatu jangka masa yang singkat.

2. Kuasa
Kuasa berkait rapat dengan kadar melakukan sesuatu kerja.

3. Koordinasi
Koordinasi berkait rapat dengan keupayaan menggunakan deria
seperti penglihatan dan pendengaran bersama dengan anggota badan
dalam melakukan pergerakan motor dengan lancar dan tepat.

4. Keseimbangan
Keseimbangan berkait rapat dengan keupayaan mengekalkan
keseimbangan ketika dalam keadaan statik atau bergerak.

5. Ketangkasan
Ketangkasan berkait rapat dengan keupayaan mengubah haluan atau
pergerakan dengan pantas dan tepat melalui ruang.

6. Masa tindak balas


Masa tindak balas berkait rapat dengan masa antara suatu stimulus
dengan permulaan tindakan kepada stimulus tersebut.

Promosi Kesihatan
Promosi kesihatan ialah satu istilah yang baru digunakan dan sering bertukar
ganti dengan pendidikan kesihatan. Menurut Breckon, Harvey dan Lancaster
(1994), promosi kesihatan banyak menggunakan kaedah pendidikan dan
pendekatan pengawalan. Jadi, promosi kesihatan ialah satu bidang yang lebih
meluas daripada pendidikan kesihatan.
6
Promosi kesihatan didefinisikan sebagai “sains dan seni untuk membantu
seseorang mengubah gaya hidup mereka ke arah mencapai tahap kesihatan
yang optimum” (O’Donnell, 2000). Kesihatan optimum yang dimaksudkan oleh
O’Donnell ialah mencapai keseimbangan yang merangkumi dimensi fizikal,
mental, emosi, sosial dan kerohanian.

Perubahan gaya hidup boleh berlaku dengan kombinasi usaha-usaha seperti


meningkatkan kesedaran, mengubah tingkah laku dan mewujudkan
persekitaran yang dapat menyokong amalan-amalan kesihatan yang baik. Bagi
melengkapi definisi promosi kesihatan ini, kita mesti memahami konsep kontinum
kesihatan yang dapat menjelaskan peranan promosi kesihatan dalam
meningkatkan kesejahteraan diri.

a. Kontinum Kesihatan

Kontinum kesihatan seperti yang dipaparkan dalam rajah berikut telah


diubahsuai daripada kerja-kerja John Travis, M. D. (O’Donnell, 2000).
Bahagian sebelah kiri kontinum ini mewakili keadaan penyakit yang teruk
atau kematian pramasa. Bahagian sebelah kanan kontinum kesihatan pula
mewakili keadaan kesihatan yang optimum atau kesejahteraan. Titik
pertengahan kontinum ialah titik neutral yang menunjukkan seseorang
itu berada dalam keadaan tidak berpenyakit ataupun tidak sejahtera.
Perubatan biasanya berfokus pada bahagian sebelah kiri kontinum. Ahli
profesional dalam bidang perubatan akan bekerja dengan mereka yang
berkeadaan tidak berupaya, atau yang menunjukkan tanda dan simptom
penyakit. Matlamat perubatan adalah untuk membantu seseorang bagi
mengelakkan kematian pramasa dan mengurangkan atau belajar untuk
hidup dalam keadaan ketidakupayaan, atau mempunyai tanda dan
simptom penyakit. Walau bagaimanapun, apabila seseorang pesakit telah
kembali ke titik neutral sebagai hasil usaha ahli profesional perubatan
menyembuhkan penyakit atau masalah kesihatan, perubatan tidak banyak
membantu kita untuk terus maju ke sebelah kanan kontinum bagi menuju
ke arah kesihatan optimum. Di sinilah promosi kesihatan telah
menunjukkan impaknya. Ahli profesional dalam bidang promosi kesihatan
bekerja dengan mereka yang kelihatan sihat, tetapi sering berisiko untuk
mendapat penyakit. Promosi kesihatan dapat memajukan kita ke arah
kesihatan optimum dengan meningkatkan pengetahuan kita berkaitan
kesihatan, mengubahkan sikap kita terhadap kesihatan, dan yang paling
penting, mengubah tingkah laku kesihatan kita.

7
OPTIMUM

Kontinum kesihatan
Sumber: O’Donnell, 2000.

Program promosi kesihatan mengenal pasti mereka yang sihat tetapi


terlibat dalam tingkah laku yang berisiko atau tingkah laku yang akan
mendedahkan diri kepada penyakit berbahaya. Selepas mengenal pasti
masalah yang dihadapi, program promosi kesihatan cuba membantu dan
memberi motivasi untuk mengubah tingkah laku kesihatan kepada yang
lebih positif. Ahli profesional dalam bidang promosi kesihatan
menggalakkan mereka yang telah mempunyai tingkah laku kesihatan yang
baik untuk mengekalkan serta meningkatkan lagi kesihatan diri mereka.
Program promosi kesihatan bukan sekadar mengadakan kempen informasi
sahaja, malah program ini melibatkan percubaan untuk mengubah tingkah
laku, meningkatkan kemahiran, mengubahkan sikap, meningkatkan
pengetahuan, mempengaruhi nilai dan meningkatkan keupayaan untuk
membuat keputusan berkaitan dengan kesihatan. Secara realistik, program
promosi kesihatan mempunyai harapan yang baik untuk berjaya dalam
jangka masa panjang jika program dan perkhidmatan ini diadakan dalam
komuniti, organisasi, sekolah atau mana-mana tempat kita meluangkan
kebanyakan daripada masa kita.

b. Tahap Pencegahan

Apabila kita berbincang tentang promosi kesihatan, biasanya


perbincangan kita akan merangkumi pencegahan penyakit sebagai
sebahagian daripada istilah promosi kesihatan. Secara am, pencegahan
penyakit bermaksud mengambil langkah-langkah positif untuk mengelak
daripada menjadi sakit kemudian hari. Terdapat tiga tahap pencegahan
yang biasanya diterangkan dalam literatur.

8
i. Pencegahan primer (primary prevention) ialah tindakan-
tindakan yang diambil untuk mengurangkan risiko dan mengelak
daripada penyakit sebelum ia bermula. Sebagai contoh,
pengimunan daripada penyakit seperti polio, mengamalkan
pemakanan sihat, mengamalkan seks selamat dan bersenam
dengan kerap.
ii. Pencegahan sekunder (secondary prevention) ialah
mengenal pasti risiko kesihatan atau masalah awal sebelum
keadaan menjadi teruk atau menjadi penyakit dan mengambil
tindakan-tindakan pencegahan, atau intervensi, untuk
menghentikan tingkah laku tersebut atau mengurangkan risiko
sebelum penyakit itu dapat bertapak dalam diri seseorang. Sebagai
contoh, kita cuba menggalakkan remaja supaya berhenti merokok
atau mengurangkan menghisap rokok pada peringkat awal tingkah
laku merokok melalui program intervensi atau program mengubah
tingkah laku. Pencegahan sekunder juga dirujuk sebagai
intervensi. Pemeriksaan sendiri payu dara atau pemeriksaan sendiri
testikular dan ujian saringan lain termasuk dalam pencegahan
sekunder.
iii. Pencegahan tertiar (tertiary prevention) ialah rawatan atau
pemulihan selepas seseorang itu telah menghidapi penyakit.
Biasanya pencegahan tertiar ini dilakukan oleh pakar perubatan.
Sebagai contoh, pesakit jantung koronari yang telah menjalani
pembedahan pintasan perlu menjalani program pemulihan jantung
untuk meningkatkan keupayaan jantung mereka agar serangan
jantung tidak berulang dengan melakukan senaman tetapi dikawal
rapi oleh pakar pemulihan jantung agar mereka dapat bersenam
dalam keadaan yang selamat.

Ahli profesional dalam bidang promosi kesihatan perlu menganjak minda


mereka daripada pencegahan tertiar dan berfokus kepada mempromosikan
kesihatan dan program pencegahan. Pendidik kesihatan pada peringkat
sekolah mahupun komuniti perlu meningkatkan usaha untuk
menggalakkan ahli masyarakat mengamalkan tingkah laku kesihatan yang
lebih positif bagi mengelakkan risiko penyakit serta mengadakan program
intervensi bagi mereka yang berisiko tinggi untuk mengurangkan peluang
mereka menghidapi penyakit. Usaha-usaha ini melibatkan seseorang itu
mengubah gaya hidup mereka serta mengubah tingkah laku agar mereka
dapat mengamalkan gaya hidup serta tingkah laku yang lebih sihat.

9
Penilaian Kecergasan
Fizikal

Program Penilaian dan Perundingan Kecergasan ini berfokus kepada dimensi


kecergasan fizikal berlandaskan perlakuan kesihatan. Penilaian kecergasan ini
merangkumi beberapa ujian dan analisis yang berkaitan dengan komponen-
komponen kecergasan berlandaskan kesihatan. Maklumat yang dikumpul
daripada siri ujian dan analisis ini digunakan untuk merangka program
intervensi bagi meningkatkan tahap kecergasan subjek yang mengambil
bahagian. Maklumat ini juga dijadikan bahan kajian bagi menentukan
keberkesanan program intervensi dan hubung kait dengan status kesihatan
diri seseorang. Ujian dan analisis yang dijalankan adalah seperti berikut:

1. Soal selidik maklumat diri dan tahap kesihatan am


2. Analisis darah
3. Analisis pemakanan
4. Analisis komposisi badan
5. Ujian daya tahan kardiovaskular
6. Ujian kekuatan dan daya tahan otot
7. Ujian fleksibiliti

Protokol Penilaian Kecergasan Fizikal

1. Soal Selidik Maklumat Diri dan Tahap


Kesihatan Am

Subjek mengisi borang maklumat diri

10
Setiap subjek dikehendaki mengisi borang maklumat diri yang
mengandungi maklumat demografi, sejarah kesihatan, tahap senaman,
amalan pemakanan, penggunaan dadah, alkohol, tembakau, stres,
keselamatan dan perubatan. Subjek juga dikehendaki melengkapkan soal
selidik tahap kesihatan am atau SF-36 Health Survey (Ware, 1993) bagi
mengukur tahap kesihatan am kendiri. Maklumat ini digunakan bagi tujuan
penyelidikan berkaitan dengan tingkah laku kesihatan dan tahap
kesihatan diri sebenar.

2. Ujian Daya Tahan Kardiovaskular

Ujian berbasikal submaksimum YMCA

Ujian makmal yang terbaik bagi mengukur daya tahan jantung dan paru-
paru ialah pengukuran langsung pengambilan oksigen ketika senaman
pada tahap maksimum (Nieman, 1999). Senaman dilakukan dengan
menggunakan cycle ergometer atau treadmill, yang membenarkan beban
kerja ditambah secara beransur-ansur daripada ringan hingga senaman
maksimum. Pengukuran seperti ini melibatkan peralatan canggih dan
mahal. Sebagai alternatif, pengukuran submaksimum digunakan sebagai
penilaian daya tahan kardiovaskular dalam program ini. Ujian
submaksimum digunakan bagi menganggar pengambilan oksigen
maksimum atau VO2 max. VO2 max didefinisikan sebagai kadar tertinggi
pengambilan oksigen pada tahap senaman maksimum. VO 2 max
diekspresikan dalam mililiter oksigen per kilogram berat badan per minit
–1 –1
atau ml.kg .min .

11
Ujian berbasikal submaksimum YMCA digunakan bagi menganggarkan
VO2 max seseorang. Berikut adalah peralatan dan protokol bagi
pelaksanaan ujian berbasikal maksimum YMCA.

Peralatan
Monark 828E cycle ergometer
Polar Vantage pemantau kadar nadi (heart rate monitor)
Alat sphygmomanometer (pengukur tekanan darah)
Stethoscope
Metronome
Perisian komputer ujian berbasikal Monark
Komputer
Jam randik

Protokol
" Subjek diberi taklimat mengenai ujian dan risiko ujian. Selepas taklimat ini, subjek
dikehendaki menandatangani surat kebenaran untuk diuji.
" Siapkan subjek untuk mengambil ujian dengan menentukan tempat duduk dan
pasangkan alat pemantau kadar nadi pada bahagian dada.
" Tetapkan metronome pada 100 detik seminit (100 dsm), bagi kadar kayuhan 50
rpm (satu detik bagi setiap jatuhan kaki). Biarkan subjek membiasakan diri pada
kadar kayuhan yang ditetapkan, memanaskan badan selama 3 hingga 5 minit.
" Tetapkan beban kerja dengan berpandukan kepada perisian komputer ujian berbasikal
Monark.
" Subjek berkayuh pada tahap beban kerja pertama selama 3 minit. Pantau kadar
nadi ketika subjek mengayuh. Ambil bacaan kadar nadi yang terpapar pada pemantau
kadar jantung dan rekodkan dalam komputer pada akhir peringkat itu. Jikalau berlaku
keraguan tentang bacaan kadar nadi jantung, teruskan berkayuh pada tahap beban
kerja yang sama selama 1 minit lagi. Objektif bacaan ini adalah untuk menentukan
kadar nadi dalam keadaan stabil (steady state) pada tahap beban kerja ini.
" Lihat pada skrin komputer bagi menentukan tahap beban kerja yang berikutnya.
Tahap beban kerja ditentukan berasaskan respons kadar nadi.
" Sentiasa periksa seting beban kerja pada cycle ergometer pada setiap tahap beban
kerja. Tali penggeser akan menjadi panas semasa ujian dijalankan dan seting beban
kerja akan berubah. Seting perlu dilaraskan sepanjang masa ujian, terutama pada
tahap permulaan.
" Sekali lagi, periksa kadar nadi selepas 3 hingga 4 minit berbasikal pada beban
kerja yang baru. Rekodkan dalam komputer dan ikut arahan seting beban kerja
pada tahap seterusnya.
" Sepanjang masa ujian, perhatikan tanda kelesuan atau ganjil pada subjek. Hentikan
ujian jikalau subjek menunjukkan tanda-tanda yang beliau tidak dapat meneruskan
12
ujian tersebut.
" Objektif ujian ini adalah untuk mendapatkan dua kadar nadi antara 110 dengan 150
dsm. Terdapat perhubungan linear antara kadar nadi dengan beban kerja pada jeda
ini bagi kebanyakan orang. Dua bacaan kadar nadi antara 110 dengan 150 dsm
pada dua beban kerja yang berlainan ini diperlukan bagi menetapkan hubungan
linear antara kadar nadi dengan beban kerja subjek yang diuji.
" Pengiraan oleh komputer memberi anggaran VO2 max subjek yang diuji.
" Rujuk Lampiran 1 bagi pengelasan prestasi.

3. Ujian Kekuatan dan Daya Tahan Otot

Tiada satu ujian yang dapat digunakan bagi mengukur kekuatan dan
daya tahan otot keseluruhan kerana kekuatan dan daya tahan otot adalah
spesifik kepada kumpulan otot tersebut. Dua ujian yang sering digunakan
bagi menguji kekuatan dan daya tahan otot seseorang ialah ujian curl-
up 1 minit (abdominal) dan ujian tekan tubi.

Peralatan
Jam randik
Tilam tangkas
Metronome
Pita pelekat
Pita pengukur
Tali

Protokol
I. Ujian Curl-Up 1 Minit
" Ujian ini bertujuan mengukur daya tahan dan kekuatan otot abdomen.
" Ujian ini berpandukan protokol Canadian Physical Activity, Fitness &
Appraisal (Canadian Society of Exercise Physiology, 1996).
" Letakkan pita pelekat dan tali pada tilam tangkas dalam dua barisan selari
berjarak 10 cm.
" Subjek berbaring di atas tilam tangkas dengan bahagian belakang kepala
rapat pada tilam. Kedua-dua belah tangan berada di sisi tubuh dalam keadaan
lurus, dengan telapak tangan menghadap ke tilam. Jari tengah kedua-dua
belah tangan mencecah garisan pertama (tali dilekatkan bersama pita sebagai
penanda). Kedua-dua lutut dibengkokkan pada sudut 90 darjah. Tumit kedua-
dua belah kaki sentiasa bersentuhan dengan tilam sepanjang ujian. Ujian
dilakukan dengan subjek memakai kasut.

13
" Set metronome pada rentak 50 detik seminit. Subjek akan melakukan
sebanyak mungkin curl-up dalam masa seminit pada kadar 25 curl-up seminit
tanpa henti. Bagi setiap curl-up, subjek akan bangun dengan “menggulung”
bahagian atas badan ke hadapan agar jari tengah kedua-dua belah tangan
dapat mencecah garisan kedua di atas tilam tangkas. Tapak tangan sentiasa
bersentuhan dengan tilam semasa pergerakan dilakukan. Semasa baring
semula, kedua-dua belah tulang skapula mesti menyentuh tilam dan kedua-
dua belah jari tengah mencecah garisan pertama. Pergerakan ini dilakukan
secara perlahan dengan kadar 25 curl-up seminit.

" Ujian ditamatkan belum cukup tempoh satu minit apabila subjek tidak berasa
selesa atau tidak dapat mengikut rentak yang ditetapkan atau tidak dapat
melakukan teknik yang betul (sebagai contoh, tumit kaki tidak bersentuhan
dengan tilam sebanyak dua kali berturut-turut selepas diberi amaran oleh
penyelia ujian).
" Rujuk Lampiran 2 bagi pengelasan prestasi.

II. Ujian Tekan Tubi (Lelaki)


" Ujian ini bertujuan mengukur kekuatan dan daya tahan bahagian atas badan
(triseps, deltoid dan pektoralis major).
" Subjek dalam keadaan meniarap, bersedia untuk ujian tekan tubi dengan
keadaan badan lurus dan tegak, kaki rapat dan menjengket, dan kedua-
dua belah tangan berada di bawah kedua-dua belah bahu.
" Seorang pembantu meletak tangan yang digenggam di atas lantai di bawah
14
dada subjek. Subjek menurunkan badan sehingga dadanya bersentuhan
dengan genggaman pembantu tersebut sambil menentukan badannya lurus,
kemudian mengangkat badannya kembali ke posisi asal.
" Kesilapan lazim yang sering berlaku ketika melakukan tekan tubi ialah tidak
melurus dan menegakkan badan.
" Skor ujian ialah jumlah tekan tubi yang dilakukan sehingga subjek berasa
lesu.
" Rujuk Lampiran 3 yang disediakan bagi pengelasan prestasi.

III. Ujian Tekan Tubi (Perempuan)


" Cara melakukan tekan tubi adalah sama seperti yang dilakukan oleh subjek
lelaki kecuali bagi subjek perempuan, tekan tubi dilakukan dengan posisi
lutut dibengkokkan.
" Subjek perlu memastikan kedua-dua belah tangan diletakkan ke hadapan
bahu sedikit semasa posisi atas supaya kedua-dua belah tangan berada
betul-betul di bawah bahu semasa posisi bawah.
" Kesilapan lazim dilakukan subjek perempuan ialah tidak meluruskan
bahagian belakang ketika melakukan tekan tubi.
" Skor ujian ialah jumlah tekan tubi yang dilakukan sehingga subjek berasa
lesu.
" Rujuk Lampiran 3 bagi pengelasan prestasi.

15
4. Ujian Fleksibiliti

Ujian duduk dan jangkau

Fleksibiliti ialah keupayaan sesuatu sendi itu bergerak lancar melalui


julat pergerakan sepenuhnya. Fleksibiliti sesuatu sendi adalah terhad
sebagai akibat keketatan pada struktur tisu lembut (kapsul sendi, tendon,
otot dan ligamen). Otot ialah struktur utama dan mudah diubah bagi
meningkatkan fleksibiliti. Ujian duduk dan jangkau ialah ujian yang sering
digunakan bagi mengukur fleksibiliti. Ujian ini dipilih kerana kajian
menunjukkan bahawa orang yang mempunyai masalah bahagian belakang
sering mempunyai pergerakan terhad pada bahagian otot hamstring dan
bahagian belakang badan. Ujian ini berpandukan protokol Canadian
Physical Activity, Fitness & Appraisal (Canadian Society of Exercise
Physiology, 1996).

Peralatan
Kotak pengukur fleksibiliti
Pita pengukur

Protokol
" Subjek yang akan diuji perlu memanaskan badan dengan melakukan senaman
regangan statik. Subjek juga digalakkan melakukan senaman ringan seperti
berkayuh basikal atau berjalan cepat. Otot yang panas dapat diregangkan dengan
lebih baik dan selamat.
" Subjek dikehendaki menanggalkan kasut dan duduk dengan kaki berlunjur lurus,
berjarak 10–12 cm antara kedua-dua belah kaki. Kedua-dua belah tapak kaki

16
dan tumit menyentuh kotak dengan rapat.
" Tangan subjek diluruskan ke hadapan dan diletakkan atas tangan yang satu lagi
dengan kedua-dua belah jari tangan pada aras yang sama. Subjek menjangkau
ke hadapan, tapak tangan bersentuhan dengan kotak sejauh mungkin, dan
kemudian bertahan pada posisi jangkauan maksimum selama 2 saat.
" Empat percubaan dilakukan dan skor terbaik dicatat pada cm yang hampir.
Penyelia ujian memastikan tangan subjek sentiasa berada pada aras yang sama
dan juga memastikan lutut subjek tidak dibengkokkan dengan meletakkan sebelah
tangan ke atas lutut subjek.
" Rujuk Lampiran 4 bagi pengelasan prestasi.

5. Analisis Komposisi Badan

Pengukuran lipatan kulit


menggunakan angkup Lange

Komposisi badan adalah salah satu komponen kecergasan yang penting.


Komposisi badan merupakan jumlah lemak relatif kepada jisim tanpa lemak
dalam badan. Manusia yang mempunyai komposisi badan yang optimum
tampak sihat, bergerak dengan lebih efisien dan berasa yakin terhadap
diri mereka sendiri. Untuk mencapai kesejahteraan, kita mesti menetapkan
tahap komposisi badan yang sesuai untuk diri kita dan berusaha untuk
mencapai dan mengekalkan tahap komposisi badan yang optimum.
Pengukuran tepat komposisi badan dapat membantu atlet mahupun
individu yang ingin menguruskan berat badan mereka. Analisis komposisi

17
badan akan memberi maklumat yang lebih tepat berkaitan dengan
kandungan peratusan lemak dalam badan. Lemak yang berlebihan amat
berkaitan dengan pelbagai penyakit. Terdapat pelbagai cara untuk
mengukur lemak dalam badan termasuk timbang pengukuran lipatan kulit.

Peralatan
Angkup lipatan kulit Lange
Pita pengukur
Penimbang berat Health-O-Meter
Pen penanda

Protokol
" Pilih dan kenal pasti bahagian badan yang perlu diukur. Semua ukuran dilakukan
di sebelah kanan badan dengan subjek dalam keadaan berdiri. Bahagian yang
perlu diukur ialah triseps, suprailiak, abdomen dan paha bagi kedua-dua lelaki
dan perempuan.
" Pengukuran dilakukan di tempat berikut (Jackson & Pollock, 1989):

Triseps – Cubit lipatan kulit secara menegak pada


bahagian belakang lengan atas di titik pertengahan
di antara bahu dengan siku. Lengan yang diukur
hendaklah dibiarkan lurus dan tergantung secara
bersahaja.

Suprailiak – Cubit lipatan kulit pada bahagian


atas dan kehadapan sedikit dari tulang pinggul
sebelah kanan badan. Lipatan kulit dicubit secara
condong sedikit mengikut alur lipatan semula jadi
kulit pada bahagian tersebut.

18
Abdomen – Cubit lipatan kulit secara menegak
2.5 cm di sebelah kanan pusat.

Paha – Cubit lipatan kulit secara menegak pada


bahagian hadapan paha di titik pertengahan di
antara pinggul (lipatan inguinal) dengan patela
(lutut). Paha yang diukur hendaklah dibengkok-
kan sedikit dan tergantung secara bersahaja.

" Tandakan tempat yang akan diukur dengan pen penanda.


" Gunakan ibu jari dan jari telunjuk untuk mencubit lipatan kulit. Tarik lipatan kulit
tersebut ke atas supaya tisu otot tidak termasuk dalam lipatan kulit. Jangan cubit
terlalu kuat. Letakkan rahang kaliper yang terbuka secara tegak lurus dan ukur
lipatan kulit pada jarak 1 cm dari jari-jari yang mencubit. Biarkan rahang kaliper
mengepit lipatan kulit dan bacaan pada kaliper itu tidak berubah.
" Lakukan tiga kali pengukuran bagi setiap tempat dan catatkan bacaan median
untuk dijumlahkan.
" Jumlahkan ketiga-tiga ukuran lipatan kulit dan gunakan formula yang disediakan
bagi pengiraan anggaran peratusan lemak bagi lelaki dan perempuan.
" Lelaki
Peratusan Lemak = 0.29288 (jumlah empat lipatan kulit) – 0.0005 (jumlah empat
2
lipatan kulit) + 0.15845 (umur) – 5.76377
" Perempuan
Peratusan Lemak = 0.29669 (jumlah empat lipatan kulit) – 0.00043 (jumlah empat
2
lipatan kulit) + 0.02963 (umur) + 1.4072
· Rujuk Lampiran 5 bagi pengelasan komposisi badan.
19
6. Analisis Darah

Analisis darah dapat memberi profil berkaitan dengan kandungan glukosa,


kolesterol dan trigliserid dalam darah. Profil darah dapat memberi maklumat
berkaitan dengan tahap kesihatan individu, juga sebagai ujian saringan
bagi mengenal pasti risiko beberapa penyakit berbahaya seperti penyakit
jantung, diabetis dan hiperkolesterolemia.

Peralatan
Sarung tangan getah
Lanset pakai buang
Kapas beralkohol pakai buang
Alat analisis darah Bioscanner 2000
Strip ujian kolesterol, glukosa, trigliserid

Protokol
" Penyelia ujian dikehendaki memakai sarung tangan getah bagi tujuan keselamatan.
" Jari subjek yang dikenal pasti untuk dicucuk dengan lanset dicuci bersih dengan
menyapu kapas beralkohol.
" Cucuk jari dengan lanset bagi mendapatkan setitik darah.
" Sapukan titik darah pada strip ujian memenuhi bulatan putih di atas strip ujian.
" Lap darah yang berlebihan pada jari dengan kertas tisu.

20
" Masukkan Memo Chip yang betul pada alat analisis darah Bioscanner 2000 dan
hidupkan alat tersebut.
" Masukkan strip ujian ke tempat yang disediakan dan tunggu.
" Rekod bacaan pada alat analisis Bioscanner 2000.

7. Analisis Pemakanan

Pemakanan seimbang amat penting dalam penjagaan kesihatan diri.


Amalan pemakanan yang tidak sihat akan meningkatkan risiko pelbagai
penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup seperti penyakit jantung,
hipertensi dan diabetis. Analisis pemakanan akan memberi maklumat
berkaitan pengambilan makronutrien dan mikronutrien. Maklumat ini akan
dijadikan panduan bagi merancang program pemakanan yang berkualiti
dan sihat bersesuaian dengan keperluan individu.

Analisis pemakanan mengguna-


kan perisian komputer Nutricalc

Peralatan
Rekod Pengambilan Makanan 3 Hari
Komputer
Perisian komputer Nutricalc

Protokol
" Subjek diberi Rekod Pengambilan Makanan 3 Hari.
" Subjek dikehendaki merekodkan jenis makanan dan amaun makanan yang
dimakan selama 3 hari (2 hari biasa, 1 hari hujung minggu).
" Rekod ini akan dianalisis dengan menggunakan perisian komputer Nutricalc.

21
Perundingan

Semua maklumat yang dikumpul hasil daripada ujian yang dijalankan


diserahkan kepada pakar perunding yang terlibat dalam program ini. Sebagai
contoh, pakar perunding kecergasan menggunakan maklumat ujian kecergasan
bagi mereka bentuk program senaman yang sesuai untuk meningkatkan tahap
kecergasan subjek yang diuji. Maklumat daripada analisis pemakanan pula
membantu pakar pemakanan membuat cadangan untuk meningkatkan
pengambilan makanan yang lebih berkualiti. Cadangan dan perakuan yang
diberi oleh pakar perunding adalah khusus dan bersesuaian bagi subjek dan
mengambil kira had yang dihadapi oleh subjek tersebut.

Rumusan
Program Penilaian dan Perundingan Kecergasan Fizikal ini adalah asas kepada
peningkatan tahap kecergasan warga Universiti Sains Malaysia ke arah
mencapai kesejahteraan. Program ini boleh dijadikan sebagai pengukur tahap
kecergasan warga kampus dan dapat membantu pihak penyelaras Kampus
Sejahtera membuat perancangan program-program mempromosikan kesihatan
di kalangan warga kampus. Sokongan daripada semua pihak menjayakan
program ini akan mengukuhkan kejayaan projek Kampus Sejahtera dan
menjadikan Universiti Sains Malaysia sebagai sebuah universiti terunggul di
Malaysia.

22
Rujukan
Brekon, D. J., Harvey, J. R. dan Lancaster, R. B. (1994). Community Health Education:
st
Setting Roles and Skills for the 21 Century. Gaithersburg, MD: Aspen Publication.
Canadian Society for Exercise Physiology. (1996). The Canadian Physical Activity, Fitness
& Lifestyle Appraisal. Ottawa, Ontario: Author.
Donatelle, R. J. dan Davis, L. G. (2000). Access to Health. Ed. ke-6. Needham Heights,
MA: Allyn and Bacon.
Dunn, H. L. (1949). “High-level wellness for man and society”. American Journal of
Public Health, 49: 786–792.
Jackson, A. S. dan Pollock, M. L. (1989). Practical assessment of body composition.
Physician and Sports Medicine, 13: 76–90.
Nieman, D. C. (1999). Exercise Testing and Prescription: A Health Related Approach.
Ed. ke-4. Mountain View, CA: Mayfield Publishing Company.
O’Donnell, M. P. (2000). How to Design Worksite Health Promotion Programs. Ed. ke-5.
Rochester Hills, MI: American Journal of Health Promotion.
Robbins, G., Powers, D. dan Burgess, S. (1999). A Wellness Way of Life. Boston, MA:
WCB/McGraw-Hill.
US Department of Health and Human Services. (1996). Physical Activity and Health: A
Report of the Surgeon General. Atlanta, GA: USDHHS (PHS) 91-50212.
Ware, Jr., J. E. (1993). SF-36 Health Survey: Manual and Interpretation Guide. Boston,
MA: Nimrod Press.
World Health Organization. (1947). Constitution of the World Health Organization. New
York: World Health Organization.

23
Lampiran

Lampiran 1. Norma VO2 max dalam ml.kg-1.min-1 (Nieman, 1999)

Lampiran 2. Norma ujian curl-up 1 minit (Canadian Society for


Exercise Physiology, 1996)

24
Lampiran 3. Norma ujian tekan tubi (Canadian Society for Exercise
Physiology, 1996)

Lampiran 4. Norma ujian duduk dan jangkau dalam cm (Canadian


Society for Exercise Physiology, 1996)

25
Lampiran 5. Norma peratusan lemak badan (Nieman, 1999)

26

You might also like