You are on page 1of 3

Contoh penggunaan kosa kata menarik 

Isu Program Latihan Khidmat Negara

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan program yang akan meneruskan agenda
perjuangan bangsa. Pihak kerajaan telah membuat kajian menyeluruh dan telus sebelum merangka
matlamat dan strategi program ini. Program ini merupakan kayu ukur atau cerminan pelapis masa depan
yang merupakan tonggak tamadun bangsa atau jati diri bangsa. Kejayaan program ini disandarkan pada
kesungguhan, iltizam dan penegasan baru. Sayangnya dasar yang hebat ini tidak disertai oleh
pelaksanaan yang cekap, telus dan terperinci.

Isu Gejala sosial 

Gejala sosial semakin kronik akibat landaan gelombang globalisasi. Walaupun hanya segelintir remaja
yang mempunyai komputer peribadi tetapi pengaruhnya sukar dibendung menyebabkan mereka terjajah
minda dan budaya. Hal ini amat membimbangkan pihak kerajaan kerana mereka merupakan cerminan
bangsa yang akan menongkah cabaran masa depan. Senario sosial yang dipaparkan mengetuk pintu
hati segenap masyarakat untuk bertindak secara kolektif bagi merencanakan tindakan untuk mengatasi
kemelut ini. Gagasan ”Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” akan dapat diimplimentasikan
sekiranya gejala sosial ini dicantas di peringkat akar umbi. Seharusnya asas utama yang perlu
ditekankan sejak kecil ialah pembinaan tahap sosialisasi anak melalui aspek keagamaan, bak kata
pepatah Melayu, ”kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.

Isu Alam sekitar

Peranan yang lebih signifikan perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk melestarikan alam sekitar.
Usaha ini harus mendapat komitmen yang sederap daripada pelbagai pihak bagi menghasilkan
persekitaran yang kondusif. Hal ini kerana alam sekitar yang bersih merupakan jantung dan nadi
kehidupan di jagatraya ini. Jika masyarakat hanya memekakkan telinga, menutupkan mata dan
membutakan hati, segala program yang dirancang akan kecundang. Ironinya, sokongan dan dukungan
segenap masyarakat akan mewarnai kehidupan ini . 

Isu Pembangunan 

Pembangunan tanpa perancangan secara holistik ibarat api dalam sekam yang akan merencatkan
aspirasi negara ini. Keghairahan sesetengah pihak yang berfikiran sempit dan obsesi menarah bukit dan
menggondolkan kawasan akan mencetuskan pelbagai musibah. Seharusnya sebagai warga yang
berhemah, kita haruslah menjunjung tanggungjawab dan meluaskan horizan minda untuk mengekalkan
kelangsungan citra negara yang unggul. Pembangunan yang direncanakan mestilah bertunjangkan
konsep mesra alam yang mampu memayungi kesejahteraan sejagat.

Isu Sukan
Sejajar dengan slogan ”Malaysia Boleh” setiap ahli sukan perlu memikul tanggungjawab yang amat berat
untuk memanifestasikan slogan tersebut. Mereka perlu merangka matlamat strategi bagi menyahut
cabaran tersebut. Jika slogan ini berjaya dimanipulasikan oleh ahli sukan negara sudah pasti kita dapat
bersaing di peringkat global. Negara kita juga akan terkenal di persada dunia. Sokongan dan dukungan
pihak kerajaan merupakan salah satu usaha yang boleh dilakukan untuk memperkasa sukan negara. Hal
ini kerana ahli-ahli sukan memerlukan pohon rendang untuk bernaung supaya mereka dapat memberi
komitmen yang jitu terhadap bidang sukan yang diceburi. Setiap ahli sukan seharusnya mampu
menghidu peluang melakarkan kecemerlangan bagi memastikan bidang sukan negara ini gah di persada
antarabangsa.

Isu pendidikan

Saban hari kita sering dihidangkan dengan berita tentang tindakan sadis golongan pelajar. Fenomena
yang menjadi lumrah di kebanyakan institusi pendidikan ini, akan meranapkan keutuhan bangsa dan
negara. Golongan pelajar ini seolah-olah kehilangan pedoman dan menyerah kalah dalam dunia yang
dilingkari kepalsuan. Sebahagian daripada pelajar ini seolah-olah telah terjajah minda dan budaya,
lantaran mengamalkan fahaman agama yang jumud. Konsep yang diuar-uarkan oleh pihak kerajaan iaitu
untuk melahirkan modal insan yang berkualiti seolah-olah menemui jalan buntu. 

Isu Perpaduan

Menyingkap nostalgia 13 Mei 1969, telah terpalit sejarah hitam di negara ini. Hakikat ini telah menggamit
perasaan kita untuk memantapkan integrasi dan memperteguh ikatan perpaduan dalam kalangan
masyarakat di negara ini. Masalah perpaduan yang meruncing bukan sahaja melumpuhkan ekonomi
malah melampiaskan pelbagai musibah. Ketegaran perpaduan masyarakat di negara ini bukan sahaja
menjadi pemangkin yang mencorakkan negara yang berdaulat namun turut akan menjadikan negara ini
berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara di dunia ini.

Karya kreatif

Sakinah menyisir masa lalunya dan menyelongkar nostalgia silam. Air matanya mula bertakung. Tidak
terlintas di mindanya untuk mencantas tali persaudaraan yang terjalin. Segala peristiwa yang terungkai
mengocak ketenangan kali perasaannya. Tindakan Imran, tunangannya seperti manusia yang pincang
akhlak, rendah moral, sesat pemikiran dan menyeleweng daripada batas-batas keinsanan. Tidak pernah
terdetik di sukmanya gelagat Imran yang meracuni kepercayaannya selama ini. Sakinah mendepani hari-
hari yang mendatang walaupun kini dirinya semakin menanjak usia. Segala-galanya kini nampak begitu
sempurna. Cukup sempurna setelah mengharungi badai dan onak kehidupan. Semuanya kini bagaikan
seindah panorama Arafah. 

Isu media massa

Sebagai pengguna yang celik teknologi komunikasi, penggunaan internet sudah tentu merupakan batu
loncatan untuk kita menggapai kecemerlangan. Internet menyediakan pelbagai kemudahan serta tempat
tersimpan khazanah ilmu yang mampu diterokai oleh semua peringkat masyarakat. Teknologi maklumat
ini merupakan wahana yang dapat menyalurkan ilmu dan maklumat untuk dimanfaatkan oleh masyarakat
di negara ini. 

Isu Pertanian

Mutakhir ini, era perdagangan semakin mencabar dan didominasi oleh pasaran global. Hal ini demikian,
pemasaran hasil pertanian haruslah menepati kriteria yang ditetapkan. Hanya produk yang bermutu tinggi
dan menepati Skim Akreditasi Ladang Malaysia sahaja yang dapat meneruskan kelangsungan usaha
para petani. Golongan petani digalakkan mengamalkan pertanian yang mesra alam, hasil pertanian yang
berkualiti dan selamat untuk keperluan para pengguna. Jika gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan,
maka pengiktirafan akan ditarik balik. Kementerian Pertanian haruslah mempromosikan secara lebih
agresif bidang pertanian ini.

Isu Penyakit

Masyarakat hari ini telah digemparkan dengan pelbagai jenis penyakit berbahaya yang menggugah
kesejahteraan sejagat. Wabak dan epidemik penyakit ini adalah sinonim dengan tindak tanduk songsang
insani. Hal ini berlaku kerana mereka masih lagi terbelenggu dalam kepompong kejahilan. Sementelahan
pula, segelintir masyarakat terlalu taksub dengan gaya hidup yang diwarisi sejak turun temurun dan tidak
mahu membuat anjakan paradigma.

You might also like