You are on page 1of 12

PERMAINAN BAHASA

PENGENALAN

Permainan bahasa adalah cara mempelajari bahasa melalui permainan.


Teknik ini sesuai digunakan pada semua peringkat pembelajaran bahasa, iaitu
daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat sekolah menengah.
Teknik ini juga adalah satu strategi pengajaran yang sesuai digunakan pada
pelbagai tahap pencapaian pelajar. Permainan bahasa bukanlah merupakan
aktiviti tambahan untuk bergembira semata-mata, tetapi ia boleh digolongkan
dalam pengajaran dan pembelajaran yang berhasrat memberi peluang kepada
pelajar mengaplikasikan kemahiran bahasa yang telah dipelajari di dalam bilik
darjah. Permainan bahasa merupakan aktiviti yang dirancang dalam pengajaran
dan ada hubung kaitnya dengan kandungan isi pelajaran secara langsung atau
tidak langsung.

OBJEKTIF PERMAINAN BAHASA

Permainan bahasa yang diintegrasikan dalam pengajaran seharusnya


mempunyai beberapa objektif yang tentu. Antaranya seperti yang berikut:

(a) Merangsang interaksi verbal pelajar


Dalam permainan, pelajar akan diminta bercakap untuk menyuarakan
pandangan dan pendapat mereka. Di samping itu, mereka juga diminta
memberikan alasan-alasan tertentu yang berkaitan. Lazimnya, mereka perlu
terlibat sepenuhnya secara aktif dalam permainan itu. Setiap ahli kumpulan akan
merasakan diri mereka diperlukan dalam kumpulan itu dan pada bila-bila masa
sahaja mereka akan diminta bercakap dan mengutarakan pandangan. Tiada
seorang pun daripada mereka dibiarkan bersendiri dan terkecuali. Sebaliknya,
mereka harus mengutarakan tekad dan berazam sepenuhnya untuk
berkomunikasi. Kesedaran seperti ini akan memberi peluang kepada guru
menghasilkan satu suasana pembelajaran yang menarik dan berorientasikan
pelajar. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator dan menjaga disiplin kelas.

(b) Menambah kefasihan dan keyakinan


Permainan bahasa boleh digunakan sebagai satu cara untuk meningkatkan
kefasihan berbahasa serta menambahkan keyakinan diri. Bahasayang
digunakan dalam sesuatu permainanitu tidak harus terhad kepada beberapa
struktur ayat sahaja. Fungsi bahasa boleh melibatkan semua peringkat
kerumitan berbahasa yang berbeza-beza. Permainan yang mengandungi
kegiatan memberikan arahan umpamanya, boleh dimainkan pada semua
peringkat bergantung pada pengetahuan bahasa dan kefasihan tertentu pelajar.
Pelajar biasanya merasa seronok apabila dihadapkan dengan permainan yang
mencabar. Secara tidak langsung mereka akan menyedari kebolehan dan
keupayaan mereka dalam bahasa. yang dipelajari. Peranan guru sebagai
pemaklumat bahasa sangatlah penting. Guru harus bersedia memenuhi
keperluan pelajar dalam permainan tersebut, terutama dalam konteks
kepelbagaian bentuk kosa kata serta kecanggihan tatabahasa dan sintaksis.

(c) Menyediakan konteks pembelajaran


Permainan bahasa membawa perkembangan perhubungan yang positif dalam
kalangan individu yang terlibat, bukan sahaja antara pelajar dengan pelajar tetapi
juga antara pelajar dengan guru. Permainan bahasa membantu merapatkan
hubungan dan kerjasama antara mereka. Ini merupakan satu suasana yang sihat
dan berfaedah kepada para pelajar, khususnya yang bersifat pemalu dan pasif.
Dalam permainan, mereka dapat menunjukkan kecergasan, di samping terlibat
secara berkesan dalam apa sahaja aktiviti yang dijalankan.

(d) Alat mengikis rasa bosan


Pada waktu-waktu tertentu, umpamanya pada waktu menjelang tengah hari,
pelajar akan merasa bosan, mengantuk dan lapar. Bayangkan sahaja
bagaimana guru dapat menyampaikan pengetahuan tentang tatabahasa dan
aspek-aspek pemahaman dalam keadaan yang melesukan. Begitu juga dengan
aktiviti kelas yang melibatkan penulisan karangan dan pembentukkan ayat-ayat.
Pada saat ini permainan bahasa dapat menimbulkan perasaan gembira dan
menyebabkan mereka lupa sekejap rasa lapar dan mengantuk. Permainan
mewujudkan komunikasi dalam bentuk yang semula jadi dan memenuhi
keperluan pelajar apabila berhadapan dengan dunia sebenar. Permainan ini
berasaskan keadilan dan pertandingan, akan meransang pelajar untuk bertindak
balas, memprotes dan memberikan hujah. Dengan ini, pelajar dilatih berhadapan
dengan interaksi kehidupan sebenar yang bakal dilalui oleh mereka dalam
kehidupan di luar bilik darjah.

(e) Alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan


Dalam pengajaran bahasa, permaian boleh dijalankan dalam pelbagai bentuk
mengikut tujuannya. Justeru, permainan sangat berguna dalam aktiviti
pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Kebanyakan pelajar yang lemah
menghadapi masalah pengamatan dan pendengaran. Kelemahan ini dapat
diatasi sedikit demi sedikit melalui aktiviti permainan yang dirancangkan. Jika
tiada langkah yang diambil untuk mengatasi kelemahan ini, pelajar berkenaan
akan menemui kesukaran menyebut bunyi, huruf, membunyikan suku kata dan
perkataan. Selepas sesuatu pengajaran, gerak kerja pengukuhan pula diadakan.
Latihan yang dijalankan secara berterusan mungkin membosankan pelajar.
Walau bagaimanapun, aktiviti pengukuhan masih boleh diteruskan dengan
syarat latihan dan latih tubi yang diperkenalkan itu dipelbagaikan dalam bentuk
aktiviti permainan bilik darjah.

Pelajar di dalam sesebuah kelas, biasanya mempunyai pelbagai peringkat


kebolehan, misalnya kumpulan cergas, sederhana dan lemah. Sesetengah
pelajar mempunyai perasaan malu yang tebal dan ada juga yang pendiam atau
tidak begitu ramah. Namun demikian, mereka perlu dilibatkan sama supaya
perasaan negatif yang menguasai diri mereka itu dapat dihapuskan. Sebagai
aktiviti pengayaan, pelajar yang lemah boleh digalakkan mengambil bahagian
bersama-sama dengan pelajar yang cergas melalui permainan yang dijalankan.
Namun, mereka ini harus diberikan tugas yang mudah yang bersesuaian dengan
kebolehan dan kemampuan mereka. Bagi pelajar yang cergas pula, permainan
dalam aktivitki pengayaan akan menambahkan kemahiran, pengetahuan dan
pengalaman mereka.

PERMAINAN BAHASA SEBAGAI SATU TEKNIK PENGAJARAN

Penggunaan permainan bahasa sebagai satu teknik pengajaran dan


pembelajaran bahasa bukan lagi merupakan satu perkara baru dalam dunia
pendidikan hari ini. Sebagai satu teknik yang digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa, permainan bahasa mempunyai kelebihan. Antaranya
seperti yang berikut:

(a) Untuk membolehkan pelajar membiasakan diri menyebut sesuatu bunyi


(perkataan, frasa dan ayat) dengan jelas, betul dan tepat. Di samping itu, mereka
juga boleh berlatih mengucapkan ayat dengan sebutan, intonasi, tekanan, jeda
dan gaya yang betul.

(b) Permainan bahasa dijadikan bahan rangsangan sama ada semasa


memulakan sesuatu pelajaran, pada pertengahan atau akhir pembelajaran.
Sebagai bahan rangsangan, permainan bahasa tentunya dapat menarik minat
dan perhatian pelajar. Ini kerana pelajar berpeluang menggunakan bahasa
dalam suasana yang menyeronokkan serta terlibat secara aktif.

(c) Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, permainan bahasa lebih


merupakan teknik mengulang kaji dan pengukuhan. Ini bermakna apa yang
dipelajari itu diulang-ulang sehingga kekal dalam ingatan. Teknik ini berperanan
meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pembelajaran.
(d) Masa untuk permainan bahasa dianggap sebagai masa istirehat yang
berfaedah. Teknik ini berupaya menghilangkan rasa letih dan bosan setelah
belajar sehari suntuk. Dengan cara bermain pelajar dapat memperbaharui
semangat dan minat untuk meneruskan pembelajaran mereka.

(e) Pelajar berpeluang menggunakan kemahiran bahasa yang ada pada mereka
dalam konteks dan situasi sebenar dan bermakna. Ini kerana semasa bermain,
pelajar akan bertindak balas secara spontan, iaitu dengan bertanya, memberikan
arahan, meneka dan membaca. Keseronokan bermain seperti ini akan
menghidupkan keinginan pelajar untuk belajar, berfikir, mendengar dan
mengeluarkan buah fikiran secara berkesan.

UNSUR PERMAINAN BAHASA

Aspek yang lebih ditekankan dalam permainan bahasa adalah semangat


bekerjasama dan bukan pertandingan semata-mata. Pelajar bekerjasama dalam
menyempurnakan tugas tertentu yang mendorong mereka untuk berinteraksi
antara satu sama lain. Permainan adalah satu cabaran untuk mencapai satu-
satu matlamat atau melaksanakan beberapa tugas yang menarik dengan
jayanya. Oleh itu, permainan harus berupaya memberikan motivasi yang tinggi
dan bukan hanya setakat bertanding. Permainan harus dapat memperkayakan
pengalaman pelajar dan membantu menghindarkan kebuntuan dan rasa bosan
di dalam bilik darjah. Aktiviti ini harus mampu memantapkan proses penguasaan
bahasa dengan menimbulkan keseronokan dan suasana yang lebih harmoni.
Permainan bahasa dapat meningkatkan motivasi, membantu proses sosialisasi
dan menyatukan pelajar daripada aras kebolehan yang berbeza-beza. Sekiranya
digunakan dengan betul, teknik permainan boleh memberikan lebih banyak
pengalaman yang berguna dan berharga jika dibandingkan dengan kaedah
pengajaran konvensional. Oleh itu, guru harus memikirkan faedah dan apa yang
dijangka dapat dicapai melalui aktiviti permainan di dalam bilik darjah. Untuk
pelaksanaan teknik permainan yang berkesan, perkara-perkara yang berikut
perlu diberikan perhatian:

(a) Meningkatkan motivasi


Motivasi adalah satu insentif atau rangsangan sesuatu aksi. Pelajar biasanya
ingin bekerja secara aktif dan bukan hanya bertindak sebagai penonton sahaja.
Motivasi mereka untuk terus belajar akan dapat dipertingkatkan sekiranya
mereka dapat melihat potensi kemahiran yang dipelajari di dalam bilik darjah
dapat dihubungkaitkan dengan kegunaannya di luar bilik darjah. Oleh sebab
terdapat beberapa masalah dalam pembelajaran bahasa, pelajar biasanya
menjadi pasif. Ini kerana di dalam bilik darjah pelajar dikehendaki melakukan
terlalu banyak aktiviti mendengar, latih tubi dan latihan menulis. Mereka juga
tidak dapat melihat kepentingan aktiviti ini dengan penggunaan bahasa dalam
kehidupan mereka seharian. Ini menjadikan pelajaran bahasa sungguh
membosankan, belajar untuk sementara waktu sahaja dan tanpa kesungguhan
serta keinginan yang mendalam. Permainan memerlukan penyertaan individu.
Sewaktu pelajar memainkan permainan bahasa, mereka akan melibatkan diri
dalam semangat pertandingan dan berhempas pulas untuk mendapatkan
jawapan yang betul.

(b) Interaksi
Murid sekolah rendah amat gemar bertutur dan mereka juga mudah untuk
bersosialisasi. Keadaan ini boleh dieksploitasi untuk meningkatkan interaksi
sesama mereka. Peluang menggunakan sepenuhnya tenaga dan kebolehan
untuk berkomunikasi sebenarnya berkait rapat dengan pengalaman berbahasa.
Perkara penting yang patut diberikan perhatian adalah kesan daripada interaksi
rakan sebaya. Mereka lebih banyak belajar melalui rakan sebaya daripada guru
mereka sendiri.

(c) Pertandingan
Permainan bahasa bercirikan persaingan. Persaingan boleh berlaku antara
sesama peserta, masa yang dihadkan, pencapaian persembahan yang terbaik
atau mencapai matlamat tertentu. Sudah menjadi adat pertandingan ada yang
menang dan ada pula yang kalah. Jadi, permainan bahasa mengeksploitasi
kecenderungan bertanding tersebut untuk maksud pembelajaran.

(d) Kerjasama
Bekerjasama adalah satu unsur yang kukuh bagi setiap permainan yang penuh
pertandingan. Dalam permainan, ahli-ahli kumpulan bekerjasama antara satu
sama lain untuk memastikan kemenangan bagi kumpulan mereka. Semangat
bekerjasama yang dipupuk melalui aktiviti permainan ini juga dapat digunakan
dalam perkara-perkara lain sama ada di luar dan di dalam bilik darjah.

(e) Pembelajaran semula jadi


Permainan bahasa membolehkan berlakunya pembelajaran secara semula jadi.
Malahan kecenderungan bermain adalah satu gesaan yang semula jadi. Ia harus
digunakan sebaik mungkin oleh guru, terutama yang sentiasa berusaha mencari
jalan merangsang keinginan pelajar untuk belajar. Pembelajaran bahasa berlaku
dalam diri pelajar dan ia adalah satu proses yang perlahan. Banyak aspek yang
berhubung dengan pembelajaran bahasa boleh berlaku melalui proses yang
semula jadi. Ia terlaksana apabila seseorang itu terlibat dengan penggunaan
bahasa itu secara langsung.

(f) Peraturan permainan


Dalam permainan bahasa, terdapat beberapa peraturan khusus yang telah
didefinisikan secara jelas. Semua pelajar yang terlibat dalam permainan,
biasanya tahu dan faham akan cara dan peraturan untuk bermain. Semua
peraturan yang telah ditentukan itu bertujuan mengawal permainan dan
memberikan petunjuk atau panduan kepada peserta, di samping dapat
mengredkan permainan itu mengikut nilai-nilai tertentu.
(g) Penamat permainan
Permainan bahasa mempunyai penamat. Biasanya, terdapat beberapa
penentuan awal yang menandakan titik penamat untuk peserta menghentikan
permainan mereka. Ia mesti dilakukan walaupun pada ketika itu pemain-pemain
masih belum mencapai keputusan yang sepatutnya.

PENGELOLAAN PERMAINAN BAHASA

Menyediakan pelajar atau kumpulan tertentu yang diperlukan untuk


melaksanakan aktiviti adalah satu faktor yang penting bagi memastikan kejayaan
sesuatu permainan. Organisasi bilik darjah mestilah dirancang dengan baik.
Tidak kurang penting adalah pelajar itu sendiri tahu dan faham apa yang harus
mereka lakukan. Pelajar boleh dibahagikan kepada pasangan, kumpulan kecil
yang mengandungi tiga atau empat orang ahli atau aktiviti yang melibatkan
keseluruhan kelas. Aktiviti berpasangan atau kumpulan diadakan bertujuan untuk
menggalakkan semangat bekerjasama, iaitu tolong-menolong dalam suasana
harmoni dagi menyelesaikan sesuatu masalah. Ia juga dapat mempererat
perhubungan dalam kalangan pelajar, di samping mereka harus menggunakan
kecerdasan mental dan kecergasan fizikal bagi mencapai matlamat permainan.

Secara Berkumpulan
Permainan bahasa boleh dilaksanakan dalam kumpulan-kumpulan kecil.
Biasanya, empat hingga enam orang pemain dalam satu kumpulan sudah
memadai. Bilangan ahli dalam satu-satu kumpulan adalah penting dalam
menentukan kelancaran permainan. Jika bilangan pelajar dalam sesebuah kelas
terlalu ramai, guru hendaklah membahagikan pelajar dalam banyak kumpulan.
Keadaan ini mungkin kurang selesa, terutama jika saiz bilik darjah itu kecil.
Walau bagaimanapun, jika keadaan ini tidak dapat dielakkan, permainan
tersebut boleh digantikan dengan jenis permainan bahasa yang dilakukan di luar
bilik darjah.
Secara Berpasangan
Aktiviti berpasangan merupakan satu bentuk gerak kerja yang efektif dalam
melibatkan penyertaan pelajar. Permainan bahasa secara berpasangan boleh
memberikan lebih banyak peluang latihan mendengar dan bertutur. Biasanya,
permainan secara berpasangan tidak banyak menimbulkan masalah jika
dibandingkan permainan secara kumpulan. Guru lebih mudah untuk mengawal
pasangan pelajar dengan bergerak dari satu pasangan ke satu pasangan yang
lain.

Secara Individu
Permainan secara individu amat sesuai untuk aktiviti pengayaan. Cara ini
biasanya dilakukan untuk pelajar yang pintar dan cerdas serta telah menyiapkan
tugas yang diberikan oleh guru dalam sesuatu masa tertentu. Dalam permainan,
pelajar berfikir sendirian untuk menyelesaikan masalah yang diberi. Jika masalah
itu tidak dapat diselesaikannya, pelajar boleh merujuk kepada guru untuk
mendapatkan petunjuk dan panduan.

BENTUK INTERAKSI DALAM PERMAINAN BAHASA


Peranan guru dalam aktiviti permainan bahasa adalah sebagai perunding,
mentor, pembetul kesalahan dan pengadil. Guru haruslah berkecuali dan
mengetepikan diri setelah arahan penting diberikan dan pelajar dapat
memahaminya dengan baik. Pelajar juga perlu diberitahu bahawa setiap mereka
mesti mengambil bahagian secara aktif dan menunjukkan kesungguhan. Guru
juga turut bertindak sebagai fasilitator dan merancang pembahagian pelajar
seperti dalam rajah yang berikut:

CIRI-CIRI PERMAINAN BAHASA YANG BAIK

Permainan bahasa yang dijalankan di dalam bilik darjah bukan setakat


berakhir di bilik darjah, tetapi ia mempengaruhi penguasaan bahasa pelajar
hingga ke luar bilik darjah. Berlaku juga keadaan pelajaran bahasa yang
disampaikan secara bermain dapat membantu pelajar mempelajari sesuatu yang
lebih daripada aktiviti bermain itu sendiri. Oleh itu, guru bahasa perlu mempunyai
pengetahuan tentang ciri-ciri permainan bahasa yang baik dan sesuai
dipraktikkan dalam pengajaran bahasa. Antara ciri-ciri permainan bahasa yang
baik adalah seperti yang berikut:

(a) Dapat mengukuhkan dan meningkatkan penguasaan bahasa seperti


penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis dan
penguasaan elemen tatabahasa.

(b) Mempunyai rangsangan dan bahan yang menarik, sesuai dengan peringkat
penguasaan bahasa pelajar.

(c) Memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi antara pelajar


dengan pelajar, pelajar dengan guru dan tindak balas pelajar terhadap
bahan.

(d) Dapat merangsangkan pelajar untuk bertindak balas secara aktif dan positif
serta dapat mengekalkan minat mereka.

(e) Melibatkan pelajar secara aktif sama ada dalam kumpulan atau kelas.

(f) Mempunyai arahan dan peraturan yang jelas dan mudah difahami.

(g) Dapat dijalankan dalam jangka waktu dan tempat yang sesuai agar objektif
pembelajaran dapat dicapai.

PENGENDALIAN AKTIVITI PERMAINAN BAHASA

Sebelum sesuatu permainan itu dijalankan, persediaan yang rapi


hendaklah dibuat agar pengajaran melalui permainan itu dapat mencapai objektif
yang telah ditetapkan. Cara pengendalian sesuatu aktiviti permainan bahasa
penting, selain memilih permainan dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang
telah ditetapkan. Dalam aspek pengendalian aktiviti, perkara yang berikut perlu
diambil kira, iaitu:

(a) Perancangan Permainan


Guru harus merancang dan mengolah bahan permainan sesuai dengan tajuk
dan objektif pengajaran bahasa yang diajarkan. Pastikan bahan pengajaran itu
lengkap dan mencukupi untuk semua pelajar di dalam bilik darjah. Guru juga
harus memastikan jangka masa yang diperlukan untuk sesuatu permainan agar
masa dapat dirancang dengan sebaik-baiknya. Sebelum memulakan permainan,
pelajar hendaklah diberitahu tentang nama permainan, bentuk dan cara
pengelolaan mengikut keperluan bermain. Guru juga harus menentukan ada
penjaga masa dan hakim sebagai penyelia jika berkaitan. Semasa permainan
berlangsung, guru bertindak sebagai fasilitator dan membimbing pelajar apabila
diperlukan. Selepas permainan. Guru hendaklah berbincang dengan pelajar
tentang kemahiran, sikap dan pengajaran atau nilai yang telah diperolehi hasil
daripada aktiviti permainan yang telah dijalankan itu.

(b) Bentuk Permainan


Permainan bahasaboleh dilakukan dalam bentuk berkumpulan, berpasangan
atau secara individu. Permainan bahasa dalam kumpulan kecil sesuai untuk
kelas yang mempunyai bilangan murid yang ramai. Permainan secara
berpasangan pula memudahkan guru mengawal dan memberikan perhatian
kepada setiap murid. Manakala permainan secara individu sesuai untuk aktiviti
pengayaan dan pemulihan bagi pelajar yang pintar dan lemah. Permainan boleh
dijalankan dalam dua bentuk, iaitu bentuk pertandingan dan penghayatan
kendiri. Penentuan kalah menang dalam pertandingan ditentukan dengan kiraan
mata, tempoh masa, ketepatan jawapan atau kepantasan menyelesaikan
masalah. Permainan berbentuk pneghayatan kendiri dijalankan bagi memenuhi
minat dan memberikan kepuasan serta keseronokan kepada diri sendiri,
misalnya permainan teka silang kata, mencari perkataan tersembunyi atau
mencari gambar tersembunyi.

(c) Waktu Pengendalian Permainan


Permainan bahasa boleh dijalankan pada peringkat awal, pertengahan dan akhir
pelajaran. Pada peringkat awal pengajaran, permainan dijalankan dalam induksi
set. Permainan pada peringkat ini tidak memakan masa yang panjang dan
sesuai dijadikan sebagai rangsangan kepada tajuk atau kemahiran yang
diajarkan. Pada peringkat pertengahan, permainan dijalankan sebagai langkah
pengajaran guru. Manakala pada peringkat akhir, permainan dijalankan sebagai
aktiviti pengukuhan kepada kemahiran yang telah dijalankan.

(d) Tunjuk cara


Sebelum aktiviti permainan dijalankan, guru terlebih dahulu haruslah membuat
demonstrasi atau tunjuk cara tentang cara-cara bermain kepada pelajar agar
pelajar dapat memahami bentuk dan pelaksanaan permainan tersebut.

(e) Arahan dan Peraturan Permainan


Guru harus menerangkan arahan dan peraturan bermain secara jelas kepada
pelajar agar tidak berlaku salah faham dan kekeliruan semasa bermain. Ia juga
membolehkan permainan berjalan dengan lancar serta mencapai objektifnya.

You might also like